“Dengar cerita, kau terjatuh
semalam. Betul ke?”
Merah muka aku apabila Diyana
bertanyakan soalan itu sebaik saja aku tiba di sekolah. Hendak menipu, nanti
dia nampak pula luka-luka halus di tapak tangan aku. Akhirnya aku mengangguk
juga, mengiyakan kata-katanya.
“Aku
terpijak kain sekolah. Sebab tu terjatuh...”
“Hrm... lain kali kalau berebut
kejarkan tunang kau pun, hati-hati. Dia bukannya lari pun sampai kau nak
berebut begitu sekali. Terkejut Miss Zara
bila kau tiba-tiba keluar semalam, tahu? Kau tak tengok air muka dia macam
mana...” Diyana ketawa besar. Pasti kelakar sangat rupa Miss Zara sampai dia boleh ketawa macam tu sekali.
“Aku sebenarnya tak fahamlah. Macam
mana kau boleh bertunang dengan Aman Sprinter
tu? Sungguh aku tak faham. Aku tengok macam kau je yang terlebih suka dekat
dia. Dia tu macam tak ada apa je...”
“Aku bertunang dengan dia secara tak
rasmi je. Aku dengan dia rapat sejak kecil sampailah sekarang. Sebab itu arwah
ayah aku dengan Pak Cik Ramli cadangkan untuk kahwinkan kami berdua bila dah
besar nanti...”
“Lah... iya ke? Ingatkan dah buat
majlis dah. Hantar cincin tanda...” Diyana mencebik. Melihatkan reaksinya aku
terasa geram. Huh! Sabar sajalah bila kena hentam macam ni.
“Tapi, untunglah kau. Baru form one dah ada calon suami. Orang lain
semua sibuk belajar. Kau apa susah? Habis sekolah kahwin. Selesai masalah.
Cerah masa depan!”
Aku memandang Diyana sedikit tak
puas hati. Walaupun nadanya kedengaran jujur dan ikhlas, aku rasa ada sindiran
di dalam ayatnya.
“Dah kahwin pun, masih boleh belajar,
kan...?” soalku perlahan. Kenapa kalau bercakap soal kahwin, orang kata tak
payah belajar pun tak apa? Aku masih ingat lagi harapan ayah yang mahu aku
belajar sehingga ke universiti setiap kali kami lalu di sebelah universiti.
“Iyalah. Tapi ramai yang tak belajar
lepas kahwin! Mak aku dulu, kahwin je dengan ayah aku, terus jadi suri rumah.
Berhenti belajar walaupun dah masuk universiti. Walhal dia ambil bidang
perubatan tau dulu!”
Aku hanya mampu menelan air liur
mendengarkan cerita Diyana. Sedikit sebanyak rasa gerun mula mengetuk hati.
Ish! Memanglah seronok kalau hidup dengan Aman, tak kerja jadi suri rumah. Tapi
aku nak juga tunaikan harapan ayah aku!
“Alah... perkara yang lagi lima
tahun nak berlaku. Tak payah fikirlah, Diyana...” putusku akhirnya. Tak mahu
memanjangkan lagi perbincangan mengenai isu yang sama.
“Iyalah. Tapi kita kenalah merancang
masa depan kita juga. Tapi, suka hati kaulah. Engkau pun dah ada orang yang
tunggu...”
Aku menutup mulut rapat-rapat. Tidak
mahu memanjangkan lagi perbualan kami. Lagipun kelas dah hampir nak mula. Aku
menghela nafas lega apabila terpandangkan Cikgu Kamal berjalan menuju ke kelas
kami.
***
Sebaik saja waktu rehat tiba, aku
sudah bersidai di tangga, di sebelah kelas Aman yang terletak di blok G.
Sementara menunggu Aman turun, aku membetulkan tudung yang kusut berbantukan
pantulan cermin tingkap. Beberapa pelajar senior
yang lalu disebelah aku, tidak aku hiraukan. Rasanya mereka pun dah kenal
muka aku, satu-satunya pelajar perempuan yang selalu mengikut Aman Sprinter macam belangkas.
“Tunggu Aman?” tegur seorang pelajar
lelaki yang aku yakin rakan sekelas Aman. Sebab pernah terlihat Aman berjalan
dengan budak ni. Tanda nama yang dijahit pada bajunya aku baca. Abdul Rahim.
Kena sangatlah tu berkawan dengan Aman. Abdul Rahman dan Abdul Rahim.
“Ha’ah. Mana dia?”
“Dia dekat atas dengan Noriza.”
Dahi aku berkerut mendengarkan nama
perempuan yang disebutkan. Noriza? Hah! Budak itulah yang rapat sangat dengan
Aman tu! Perempuan tu calon Penolong Ketua Pengawas untuk tahun depan. Hish! Buat
apa dia berbual dengan Aman aku? Perasaan aku mula berkecamuk.
“Jeles ke?” Abdul Rahim tersenyum.
Melihatkan senyumannya itu serta merta hati aku menjadi panas.
“Sibuklah!” marahku lalu bergegas
memanjat anak tangga untuk ke tingkat atas. Baru memanjat anak tangga yang keempat,
aku terdengar suara Aman ketawa dengan Noriza. Aku mendengus marah.
“Aman!” panggilku sebaik saja
terpandangkan Aman yang berjalan di sebelah Noriza. Mereka berdua memandang aku
serentak dengan dahi berkerut.
“Jomlah... lama Fiya tunggu!”
rungutku. Aku menjeling Noriza yang memandang aku dengan riak tidak puas hati.
Huh! Ada aku peduli engkau suka ke tidak? Jangan sesekali nak rapat dengan Aman
aku, tahu?
“Iyalah... Aman nak turunlah ni...”
kata Aman perlahan. “Oklah awak. Jumpa lepas ni, ye. Adik kesayangan saya dah
tunggu tu...” Aman memuncungkan mulutnya ke arah aku. Aku tersenyum, menutup
rasa geram bila Noriza memandang aku sinis. Adik, Aman kata? Aman! Fiya ni
bakal isteri Aman, tahu!
“Ok, Aman. Pergilah. Nanti menangis
pula budak kecil ni. Dah tingkatan satu masih tak pandai bawa diri!” ujar Noriza
lembut walaupun kata-katanya tajam menyindir aku. Aku mengetap gigi.
“Diamlah kau! Bedak!” marahku sambil
mengutuk dia yang sentiasa memakai bedak tebal ke sekolah. Kalau tengok muka
putih, tangan hitam tak seperti mukanya. Entah macam mana boleh jadi calon
penolong ketua pengawas pun aku tak tahu. Bodek cikgulah agaknya.
Mata Noriza bulat memandang aku.
Mulutnya terkumat-kamit seolah-olah sedang memaki aku walaupun suaranya tak
kedengaran. Mentang-mentanglah Aman membelakangkan dia, beranilah dia buat macam
tu! Cuba kalau depan Aman, pijak semut pun tak mati! Aman sudah mencubit lengan
aku sebaik saja aku mengutuk kawannya tadi.
“Tak baik cakap orang macam tu,
tahu?” marah Aman.
Aku menepis tangan Aman geram. Sudah begitu pun masih nak
menangkan perempuan tu lagi. “Biarlah! Dah memang muka dia je putih. Tangan
hitam. Entah berapa banyak bedak dia pakai pun Fiya tak tahu!” sambungku lagi.
Aman merenung aku marah. “Fiya! Kalau Fiya kutuk-kutuk
orang lagi... mulut tu laser sangat, Aman tak nak layan Fiya lagi. Aman tak
suka, tahu?” ugut Aman.
Aku sudah tersepit. Akhirnya aku mengaku kalah juga
apabila Aman sudah mengugut begitu. Cepat-cepat aku menarik tangan Aman untuk
ke kantin sementara Noriza aku jeling dengan geram.
“Budak tak matang. Memang macam itulah perangainya!”
katanya perlahan namun masih jelas di pendengaran aku. Perasaan aku yang mula
reda tadi kembali panas.
Aku menoleh kebelakang dan dengan muka mengejek aku
menjerit kuat, “diamlah, bedak!”
“Fiya!”
“Ok... ok! Sorry!”
***
“Aman...” panggilku bila Aman mendiamkan diri sejak kami tiba
di kantin. Marah benar dia bila aku sibuk mengejek kawannya tadi. Abdul Rahim
yang duduk semeja dengan kami hanya tersengih melihatkan gelagat kami.
“Aman... kan Fiya dah cakap sorry. Lagipun, takkan sebab Noriza tu je Aman nak marahkan Fiya
sangat?”
“Fiya... bukan sebab Noriza tau yang Aman marah sangat?
Tapi Aman marah dengan sikap Fiya tu. Cubalah matang sikit!”
“Habis tu? Dah dia kutuk-kutuk Fiya. Marahlah Fiya!” aku
cuba mempertahankan diri aku. Aman merenung aku lama.
“Apa yang dia kutuk? Aman tak dengar apa-apa pun? Fiya tu
yang sensitif sangat!”
“Dia cakap Fiya budak kecil yang tak pandai bawa diri,
dia cakap Fiya budak tak matang... itu bukan mengutuk ke?”
Aman yang tadinya serius tiba-tiba ketawa. “Bukan memang
betul ke apa yang Noriza cakap tu? Kalau tak, takkan sejak Fiya masuk sini,
asyik Aman kena teman mana pergi?” kata Aman dalam tawanya. Aku merengus geram.
“Sudahlah! Malas nak layan Aman. Balik sendiri-sendiri
nanti...!” kataku geram seraya meninggalkan makanan yang belum luak walaupun sedikit.
Semua gara-gara Noriza!
“Jangan-jangan Noriza tu girlfriend Aman, kan? Sebab tu Aman marah Fiya sangat! Aman jangan
nak main-main, ok? Fiya cakap dengan mak cik nanti! Huh!” kataku sebelum
meninggalkan Aman dan Abdul Rahim.
Sambil berjalan kembali ke kelas, mulut aku
menyumpah-nyumpah Noriza geram. Disebabkan dia Aman marahkan aku dan disebabkan
dia aku kelaparan masa rehat ni. Sampai saja di kelas, aku menarik kerusi
kasar. Kemudian aku duduk dan terus meletakkan kepala di atas meja tanpa
menghiraukan rakan sekelas yang ada di dalam kelas. Di kepala aku masih
terbayang-bayang wajah Noriza dengan senyuman sinisnya tadi. Aku mendengus
geram. Kenapa mesti nak teringatkan wajah perempuan yang terlebih bedak tu!
“Argh geramnya!” jeritku tanpa sedar.
Tiba-tiba saja bahu aku dicuit lembut.
“Jangan sibuklah, Diyana!” marahku bila tahu Diyana yang
sibuk mengganggu aku.
“Fiya... nah makan. Tadi tak makan langsung, kan?” aku
terkejut beruk kerana bukan suara Diyana yang kedengaran, tetapi suara Aman.
Cepat-cepat aku mengangkat kepala dan memandang Aman yang sudah duduk di tempat
Diyana di sebelah
“Tak nak! Pergilah sibukkan dengan Noriza tu! Jangan-jangan
dia mati kebuluran tu hah bila Aman tak kisahkan pasal dia.”
Aman ketawa kecil. “Sudah-sudahlah tu marahkan si Noriza.
Makanlah. Marah Ayem tadi bila Aman marahkan Fiya sampai Fiya tak makan
langsung.”
Kata-kata Aman sedikit pun tidak berjaya memujuk hati
aku, sebaliknya aku jadi marah semula.
“Ayem marah baru sedar Fiya tak makan lagi, kan? Sudahlah
Aman! Pergi balik kelas Aman!” kataku seraya bangun dan meninggalkan Aman
terpinga-pinga di kelas aku.
Beberapa mata yang memandang kami berdua tidak aku
hiraukan. Aku terus berjalan ke bilik air yang terletak di hujung bangunan. Aku
berdiri hadapan cermin sambil mataku memandang pantulan wajahku di cermin.
Bodoh kau, Fiya! Nampak sangat kau tak yakin dengan diri sendiri.
4 comments:
nak lagi cite nye.. best sangat.. tak sabar nk tggu.. hehehe
Bestnyaaa citer nii.x sbr nk tgg entry baru...
Haha cerita ni mengingatkan diri pada kenangan waktu sekolah
sis.. best2!! rndu zaman sekolah dulu.. budak form 1, mestilah tak mtang lagy kan? haha
Post a Comment