::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

21 January 2015

E-novel: 7 Years of Love 05



7 Years of Love 05
            Aku terhendap-hendap mencari kelibat Aman di sebalik pokok. Aman sedang berbual dengan beberapa orang pelajar lelaki tepi jalan mati yang jauh dan terceruk di daripada laluan orang awam. Kalau tak silap aku, mereka tu pelajar sekolah kami juga. Aku memerhatikan gelagat mereka dari jauh. Empat orang semuanya. Masing-masing sudah tidak memakai pakaian seragam sekolah lagi walaupun tidak kemas.

Aku memberanikan diri untuk mendekati, ingin melihat dengan lebih jelas apa yang mereka sedang lakukan. Seorang lelaki yang tinggi sedang bercakap sesuatu dengan Aman. Melihatkan gayanya, macam dia tu ketua kumpulan. Lelaki itu menghulurkan sesuatu kepada Aman. Aman menyambut. Rakannya yang memakai cermin mata mengunjukkan sesuatu. Lighter? Aman memegang sebatang rokok dengan jari telunjuk dan jari tengah. Selepas rokok itu dinyalakan, rokok itu dibawa ke mulut. Sesekali Aman terbatuk-batuk dan apabila dia terbatuk, kumpulan lelaki itu mentertawakannya.
            Dahi aku berkerut melihatkan gelagat mereka. Ini ke kerja Aman selama ni? Lepak dengan budak-budak nakal dan belajar perkara yang bukan-bukan? Kalau hari ni dia belajar merokok, hari esok entah apa pula yang dia belajar. Aku mula tak senang duduk. Sudahlah tak dengar apa  yang mereka katakan. Rasa macam nak je cari port yang dekat sikit.
            Aku sedang berjalan mencari tempat yang lebih dekat sewaktu aku terpandang seorang pelajar lelaki yang keempat dalam keadan yang takut-takut bila ada di antara mereka bercakap dengannya ataupun meletakkan tangan di atas bahunya. Dia pun tidak seceria seperti rakan dia yang lain. Hrm... pelik. Budak ni kena buli ke? Telahan aku seolah-olah benar bila dia semakin nampak cuak bila lelaki yang memberikan Aman rokok berkata sesuatu kepada dia.
Aku berjalan lagi untuk mendekati mereka. Entah macam tahu-tahu saja aku sedang menghendap, si mata empat mengangkat muka dan memandang tepat ke arah aku. Cepat-cepat aku menyorok dan bersandar di pokok di belakang aku. Aku membawa tangan aku ke dada. Mata aku pejam rapat-rapat. Terasa laju jantung aku bekerja mengepam darah. Aduh! Takutnya aku! Haraplah dia tak perasankan aku tadi.
“Hai, sayang...” teguran satu suara mengejutkan aku. Aku membuka mata. Terkejut beruk aku apabila wajah lelaki yang tinggi tadi betul-betul di depan mata aku. Aku melorot jatuh.
“Nakalnya dia menghendap abang dari jauh, ya? Kenapa tak datang terus dekat abang tadi?”
Gatal saja bunyinya. Lelaki itu mencangkung di hadapan aku. Aku menelan air liur. Mata aku bulat melihat lelaki yang berada di hadapan aku. Debaran di dada tak usah dicerita lagi. Aman! Mana Aman ni! Tiba-tiba tangan lelaki itu sudah melekat di pipi aku. Aku menepisnya kuat.
“Jangan peganglah!” maraku.
“Uish! Garang...!” dia ketawa. Tiba-tiba dia memegang kedua bahu aku dan menarik aku mendekatinya.
“Hish! Apa ni?!” aku cuba menolak tubuhnya. Namun apalah sangat daya seorang budak perempuan kalau nak dibandingkan dengan tenaga seorang lelaki. Aku sudah terasa hendak menangis.
“Janganlah menangis sayang. Bukan ke sayang menghendap abang sejak tadi? Ini abang dah datang ni nak menangislah pula...” dia mengejek.
“Kenapa lama sangat, Arai?” aku terdengar suara Aman tidak jauh dari tempat kami. Arai bingkas bangun. Mata aku kembali bercahaya. Sedikit sebanyak aku terasa lega.
“Aman...!” panggilku lalu bingkas bangun untuk mendapatkan Aman. Aman terpinga-pinga apabila aku mencapai tangannya dan aku genggam kuat.
“Fiya? Fiya buat apa dekat sini?” soal Aman nyata terkejut melihat kehadiran aku.
“Kau kenal budak ni, Man?” Arai bangun dan berjalan ke arah kami. Aku menyorok di belakang Aman. Takut kalau di apa-apakan.
“Apa tak kenalnya... awek aku.”
“Awek? Patutlah menghendap kau, Man. Kau kena ajar sikit awek kau ni, jangan menyibuk urusan kau, urusan kita!” marah Arai.
Dia kembali melangkah ke arah kumpulannya tadi. Aman berpusing memandang aku di belakang. Raut wajahnya berubah. Nampak garang sekali. Aku tertunduk. Takut melihat pandangannya yang tajam itu.
“Kenapa datang sini? Bahaya tahu tak? Pergi balik!” marah Aman bila Arai mula menjauh.
“Tak nak! Aman buat apa dekat sini? Aman berkawan dengan budak-budak nakal, ya?”
“Fiya... jangan sibuk hal Aman! Pergi balik!” marah Aman lagi. Tangannya ditarik kasar.
“Tak nak! Fiya tak nak balik kalau Aman tak balik sekali!” aku menarik kembali tangannya. Menghalang Aman daripada pergi ke kumpulan Arai tadi.
“Jangan degil, Fiya... dengar cakap Aman. Pergi balik. Aman ada perkara nak diuruskan,” kata Aman cuba berlembut.
Dahi aku berkerut mendengarkan kenyataan Aman. “Uruskan apa, Aman? Aman jangan nak macam-macam. Fiya beritahu mak cik nanti!” ugutku.
“Fiya!” nada Aman mula meninggi. Namun suaranya diperlahankan agar tidak didengari Arai.
“Bila Aman cakap, dengar! Sini bahaya, Fiya! Arai tu bukan boleh buat main. Pergi balik, Fiya... tolonglah dengar cakap Aman ni. Janganlah degil!” marah Aman. Sekali lagi tangannya direntap kasar. Kemudian, dia terus berjalan ke arah Arai tanpa menoleh lagi.
Hati aku membengkak. Geram bila Aman masih tidak mengendahkan permintaan aku. Melihatkan Aman sudah bergelak ketawa dengan Azrai, aku perlahan-lahan melangkah ke tempat aku meletakkan basikal tadi. Dalam hati aku sudah membebelkan perangai Aman yang sudah berubah. Aman... apa nak jadi dengan Aman ni?
Aku menunggang basikal ke rumah. Belum pun jauh meninggalkan tempat mereka berkumpul tadi, dua buah kereta peronda polis melintasi aku menuju ke tempat mereka berkumpul tadi. Aku mula rasa tidak sedap hati. Hendak patah balik, risau jika Aman memarahi aku. Hendak pulang, rasa tak sedap hati pula.
Akhirnya aku mengambil keputusan untuk berpatah balik. Tiba di tempat mereka berkumpul tadi, aku lihat polis sudah menahan Azrai dan rakan-rakannya. Aku terjenguk-jenguk mencari kelibat Aman. Mana pulalah Aman ni pergi? Aku bergerak lagi mendekati mereka. Barulah Aman kelihatan sedang berbual dengan seorang anggota polis. Nampak serius saja perbualan mereka. Kereta yang membawa Azrai dan rakan-rakannya sudah bergerak pergi.
“Aman!” jeritku.
Aman dan anggota polis itu menoleh ke arah aku. Berubah riak wajah Aman tatkala melihat aku. Dia membulatkan mata, tanda marah. Aku menelan air liur. Ok, takut sebenarnya kalau Aman marah. Tapi rasa hati yang ingin tahu dan risaukan keadaan Aman melangkaui rasa takut itu.
“Aman, lepas ni ikut saya ke balai. Kita ambil keterangan kamu.”
Terdiam aku mendengar kata-kata anggota polis yang bernama Haikal itu kepada Aman. Aku sekadar menjadi pemerhati di sebelah. Bila perbualan mereka sudah tamat, barulah aku bersedia untuk membuka mulut.
“Bukan ke Aman suruh Fiya balik tadi? Kenapa ada dekat sini?” marah Aman bila arahan dia aku tak ikuti.
“Fiya risaukan Amanlah! Tadi masa nak balik Fiya nampak kereta polis ke sini. Fiya datanglah...” aku cuba menjelaskan niat aku.
“Fiya ni degil, tau! Kalau apa-apa jadi tadi, apa yang Aman nak jawab dengan ibu Fiya? Cubalah dengar orang cakap. Aman buat macam ni bersebab. Bukan suka-suka!” marah Aman tanpa menghiraukan Inspektor Haikal yang sudah tersenyum-senyum di sebelah.
“Sudahlah tu, Aman. Siapa nama adik angkat awak tadi? Safiya?”
“Ye, Safiya. Inspektor tolong nasihatkan sikit dia ni. Degil! Tak nak dengar cakap orang!” sempat Aman membebelkan aku lagi. Aku memuncung. Adik angkat Inspektor Haikal kata? Aman ni pun! Tadi masa dengan Azrai elok dia kata aku ni awek dia. Sedihlah macam ni...
“Oklah Cik Safiya balik dulu. Aman kena ikut saya ke balai,” kata Inspektor Haikal.
Aku memandang Aman geram. Sudahlah dia tak jelaskan apa-apa, lepas tu tak habis-habis suruh aku balik. “Mak cik dengan pak cik tahu tak ni?”
Aman menggeleng. “Diorang tak tahu. Fiya tak payah sibuk nak bercerita pula. Jangan masuk campur urusan Aman. Biar Aman yang uruskan nanti,” putus Aman.
Aku mencebik mendengarkan kata-kata dia. Kerana tidak mahu berbalah, aku berpusing untuk kembali ke basikal aku. Baru lima langkah meninggal Aman, terdengar suara Aman sedikit terjerit dengan nada terkejut.
“Bila? Allahu akbar...! Sabar awak. Saya tahu awak kuat!”
Dan aku terpegun di situ.
***
“Adik Noriza kena buli dengan Arai bulan lepas. Arai pukul sampai pengsan. Bila dia dah sedar tu, ingatkan tak ada apa-apa. Baru-baru ni dia mengadu sakit kepala. Lepas tu Noriza bawa dia pergi hospital. Doktor tak sahkan apa-apa. Tiba-tiba je hari ni koma,” cerita Aman ringkas sewaktu kami dalam perjalanan ke hospital.
Aku terdiam mendengarkan cerita Aman tentang Nuqman, adik Noriza yang baru di tingkatan dua itu. Tak sangka rupa-rupanya Aman berkawan dengan Azrai untuk membantu pihak polis menangkap dia dan kawan-kawannya. Tak sangka juga rupa-rupanya Noriza berkawan rapat dengan Aman sebab Aman boleh membantu dia untuk menguruskan hal Nuqman. Amboi! Suka-suka hati kau je nak minta tolong Aman? Kalau apa-apa yang berlaku pada Aman, siapa nak jawab?
“Aman ni pun berani sangat! Kalau apa-apa jadi macam mana? Nasib baik Arai tak tak terbau apa-apa. Kalau dia perasan? Ada Aman masuk hospital juga tau!” marahku. Geram bila perkara macam ni Aman boleh ambil ringan.
“Aman bukannya ambil tindakan sendiri. Setiap apa yang Aman buat, Aman akan bincang dengan Inspektor Haikal...”
“Huh! Bincang dengan Inspektor Haikal, tapi mak dengan ayah tak tahu apa-apa...”
“Kalau diorang tahu, lagi susah kerja Aman. Fiya kan tahu macam mana mak dengan ayah Aman,” kata Aman perlahan.
Kami berhenti apabila tiba di depan rumah Aman yang bertutup pintu pagarnya. Aman turun untuk membuka pagar yang berkunci. Aku memerhatikan setiap pergerakannya tanpa sebarang suara.
“Siaplah. Lepas ni kita terus pergi hospital. Aman nak beritahu mak sekejap. Rasanya mak boleh tolong hantarkan. Kalau tak, kita naik basikal sajalah,” ujar Aman apabila dia kembali ke basikal untuk dibawa masuk ke dalam.
“Aman ajak Fiya pergi?”
Aman mengangguk. “Iya. Nanti merajuk pula kalau Aman tak ajak. Fiyakan manja! Suka merajuk tak bertempat!”
Sempat Aman mengenakan aku sebelum dia masuk ke dalam rumah lalu mengunci pintu pagar. Aku menjelirkan lidah bagi membalas usikan Aman. Aman hanya menggeleng perlahan.
“Cepat siap! Lambat Aman tinggalkan!” Sempat Aman mengugut.
“Ok... ok! Fiya siap!” kataku sedikit menjerit apabila Aman sudah menuju ke pintu utama. Aman mengangkat tangan tanda mendengar sebelum dia masuk ke dalam rumahnya. Aku tersenyum. Aman... walaupun macam tu, masih aku suka.
Jam menunjukkan pukul tiga petang sewaktu Aman memberi salam di pintu pagar. Aku yang sudah memberitahu pemergian aku pada ibu bergegas mencapai beg tote yang aku letakkan di sofa dan kemudian berjalan laju ke arah bilik yang ibu gunakan untuk menjahit. Tekun ibu menyiapkan leher baju kurung yang di tempah oleh jiran belakang rumah. Tersedarkan kelibat aku, ibu mengangkat kepala dan sebuah senyuman diberikan kepada aku.
“Ibu... Fiya pergi dulu, ibu! Aman dah panggil tu...”
“Iyalah. Naik apa perginya ni?”
“Tak tahulah. Aman kata tadi kalau Mak Cik Julia tak dapat hantar, kitorang naik basikal.”
“Hrm... hati-hati,” pesan ibu ringkas.
“Ok, ibu. Bye...!” kataku lalu berkejar ke pintu utama. Sebaik saja pintu dibuka, aku lihat Aman sudah berdiri bercekak pinggang. Pasti dia bising bila aku lambat bersiap.
Sorry Fiya lambat. Dah tak payah nak bebel apa-apa...” kataku sebelum sempat Aman membuka mulut.
“Mana ada Aman bebel apa-apa...” kata Aman lalu menunduk untuk menyembunyikan senyumannya. “Kita naik kereta, tau! Mak boleh tolong hantarkan.”
“Ok.”
Aku mengangguk. Pintu pagar aku tutup kembali dan aku kunci dengan mangga. Zaman sekarang ni pantang leka sikit, tak pasal-pasal orang masuk dalam rumah. Kami berjalan bersama menuju ke rumah Aman. Mak Cik Julia sudah menunggu kami di dalam kereta. Terus aku mengambil tempat di belakang sementara kerusi sebelah pemandu aku biarkan kosong untuk Aman.
“Kenapa tak duduk depan, Fiya?” soal Mak Cik Julia lembut.
Aku tersengih. “Biarlah Aman yang duduk depan...”
Mak Cik Julia tidak berkata banyak. Kereta Proton Wira miliknya diundur ke belakang. Aman menunggu di tepi jalan untuk mengunci pintu pagar sebelum kami keluar ke hospital. Bila segalanya sudah selesai, Mak Cik Julia terus memandu ke hospital besar.
“Fiya kenal ke kawan Aman tu?”
“Kenal macam tu je, mak cik. Adalah jumpa sekali dua...” lepas tu berperang mulut sebab perempuan tu bajet bagus sangat! Aku hanya mampu menyambung dalam hati.
“Macam mana adik dia boleh kena buli, Aman? Mak tanya Aman tak cerita lagi...”
Aman sedikit mengeluh. “Aman pun tak tahulah mak. Noriza kata Nuqman tak bercerita apa-apa. Tak nak Noriza risau agaknya. Mungkin budak tu nampak lembik je, memang jadi bahan bulilah agaknya...”
“Aduhai... buli sampai koma pula tu. Dia tak fikir ke budak tu ada mak bapak? Suka-suka hati je nak belasah anak orang...”
“Dia anak yatim, mak. Mak ayah dah meninggal...”
“Allah...” Mak Cik Julia kehilangan kata-kata. Aku turut bersimpati dengan nasib yang menimpa adik Noriza, Nuqman. Sudahlah tiada tempat bergantung, kena pula buli dengan budak sekolah.
“Habis tu dia tinggal dengan siapa sekarang?”
“Atuk dia. Atuk dia pun dah tua sangat. Sebab Noriza anak sulung, lepas waktu sekolah, dia kerja part time sampai malam. Mak cik pak cik dia ada juga tolong bagi duit. Tapi berapalah sangat diorang dapat bagi, mak...”
Aku menelan air liur. Orang susah rupanya Noriza tu. Aku pula asyik nak bergaduh saja dengan dia. Rasa bersalah mula mengetuk pintu hati. Tak patut juga aku melayan dia macam tu. Mungkin lepas ni aku kena belajar berbaik dengan Noriza. Lagipun dia kawan Aman.
“Ada masa, ajaklah dia ke rumah. Boleh mak berkenalan dengan dia. Manalah tahu, dia boleh jadi anak angkat mak pula. Berapa adik beradik Noriza tu?”
“Ada lima mak. Bawah dia dekat sekolah bandar. Duduk asrama. Dapat bantuan. Yang kena buli ni, yang nombor tiga. Dua orang lagi sekolah rendah. Seorang darjah tiga, seorang lagi darjah dua.”
Mak Cik Julia mengangguk mendengarkan cerita Aman. Aku pula yang mendengar hanya menggelengkan kepala. Habislah aku kalau Noriza jadi anak angkat Mak Cik Julia. Persaingan sengit!
“Fiya? Termenungkan apa tu? Turunlah!” teguran Mak Cik Julia mengembalikan aku ke alam realiti. Jauh sangat aku berangan memikirkan Noriza. Aku tersengih menutup rasa malu. Kemudian, cepat-cepat aku membuka pintu lalu keluar daripada perut kereta. Kami tiba di ruang legar di mana Noriza berada. Dari jauh sudah kelihatan Noriza yang duduk di atas kerusi membungkam.
“Awak!” panggil Aman perlahan.
Noriza mengangkat kepala perlahan-lahan. Matanya merah kerana menangis. Melihatkan Aman dan Mak Cik Julia di sebelah, Noriza terus menangis lalu ditenangkan oleh Mak Cik Julia dalam pelukannya. Aku? Terus dihambat rasa cemburu melihatkan kemesraan yang baru terjalin itu.

2 comments:

zuyyin ayreesa said...

Alahai
Kesian tu memanglah tapi rasanya macam asa bau-bau yg kurang enak aje,terasa macam Fiya nanti bakal makan hati.
Aduhai

ana said...

waaa. makin best sis. x sngke noriza miskin.. apepon carry on sis. u're the best!!