::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

17 April 2016

E-Cerpen: Kembali

Cerita ni dihantar ke pertandingan cerpen. Tapi sebab tak ada rezeki, maka saya sharekan di sini. ;) Selamat membaca. ^_^

Kembali
Dia berpusing ke kiri dan ke kanan. Peluh mula terbit dari liang roma kulitnya. Nafasnya naik turun. Tiba-tiba dia tersedar. Dia meraup wajahnya dengan tapak tangan. Astaghfirullah... ucapnya perlahan. Mimpi itu datang lagi. Mimpi yang sering dia alami sejak daripada peristiwa pahit itu.  Peristiwa yang meragut nyawa insan yang dia sayang. Tidak dapat tidur, dia bangun meninggalkan katilnya dan menuju ke bilik air. Wudhuk diambil. Usai menunaikan solat sunat tahajud berserta solat sunat taubat dua rakaat, dia mencapai Al-Quran biru pemberian insan yang sudah meninggalkannya hampir dua tahun lamanya. Satu demi satu kalimah yang Allah s.w.t. turunkan dia baca.

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? [Al-An’am:32]

Tidak semena-mena air matanya bertakung di tubir mata. Ya Allah... sesungguhnya dia dulu telah terpedaya dengan permainan dunia. Dan baru kinilah dia mula berfikir akan negeri akhirat sana. Masih adakah ruang keampunan untuk manusia seperti dia? Dia menangis mengenang khilaf diri. Andai masih ada ruang keampunan untuk manusia seperti dia, maka sesungguhnya dialah manusia yang paling bertuah. Ingatannya melayang teringatkan kenangan lalu...

***

Bebas. Itu yang dia rasakan sewaktu memijak bumi semenanjung Malaysia. Dari kecil sehingga tamat tingkatan lima, kehidupannya dihabiskan bersama keluarga di bumi kenyalang. Keluarganya bukanlah daripada golongan yang berada. Ayahnya mengusahakan tanah pusaka yang ditinggalkan oleh arwah datuk. Ibunya pula bekerja di kedai makan yang tidak jauh daripada rumah mereka Menjadi anak sulung, dia terpaksa mengorbankan masa mudanya untuk membantu kedua ibu bapa memandangkan adik-adiknya seramai lapan orang masih belajar di sekolah. Seawal umur sembilan tahun dia sudah menjaja kuih-muih yang dibuat oleh ibunya di sekitar kampung untuk mencari duit saku.
Di saat dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di universiti awam di Shah Alam, ayahlah orang yang paling gembira dan mendorongnya untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti. Dia berat hati untuk menunaikan permintaan ayahnya. Sementelah, untuk mendaftar di universiti tersebut pun memakan belanja yang besar. Namun senyuman ayahnya meyakinkannya...
“Ayah akan jualkan traktor ayah untuk belanja pendaftaran kakak nanti.”
Dan dengan pengorbanan ayahnya itu membuatkan dia tercampak ke bumi asing.
Bergelar mahasiswi menjadi titik perubahan di dalam hidupnya. Jika dahulu dia rasa selesa berada disamping keluarga, kebebasan yang dia nikmati sewaktu di IPTA berbeza. Dia mula mengenal dunia luar. Berkawan dengan rakan-rakan yang berbeza latar belakang. Paras rupa yang cantik menyebabkan ramai yang sudi berkawan dengannya. Jika sebulan pertama baju kurung jahitan ibunya tersarung di tubuh, bulan kedua baju itu sudah tergantung di dalam almari. Pakaian hariannya sudah berganti dengan pakaian trend masa kini yang dicadangkan oleh rakan-rakannya.
Dia mula rapat dengan rakan-rakan yang selalu menjadi model kulit majalah. Jika tidak muka depan pun, pasti ada sisipan yang memerlukan rakan-rakannya menggayakan pakaian yang ranggi dan terkini. Melihatkan kesenangan rakan-rakannya, dia mula terikut-ikut. Di universitilah dia mula mengenali barangan jenama mahal. Demi memuaskan nafsunya, juga untuk diterima dalam kumpulan rakan-rakannya, dia sanggup mengikat perut untuk membeli barangan yang dicadangkan mereka.
Bulan ketiga berada di tempat orang, dia mula mengikut rakan-rakannya ke pub dan club. Walaupun kali pertama dia agak kekok berada di tempat itu, namun tidak sukar untuk dia menyesuaikan diri. Di situlah permulaan kisah hitam dalam hidupnya…

***

“Terjaga lagi?” tegur Amirah apabila melihat dia di tikar sejadah. Dia mengangguk dan menghadiahkan senyuman nipis buat gadis yang banyak membawa dia mengenal Tuhan.
“Mimpi lagi kak…” balasnya perlahan. Dia meraup wajahnya dengan tapak tangan. Dadanya terasa berat. Rasa sesak nak bernafas. Sudah beberapa minggu dia merasakan begini. Al-Quran di tangan ditutup dan diletakkan di atas katil. Entah kenapa, satu demi satu peristiwa yang berlaku di dalam hidupnya kembali terlayar di fikiran...

***

Perkenalan dia dengan lelaki separuh abad itu bermula hanya sebagai rakan berbual. Pada masa itu dia sedang duduk di kaunter sambil melayan lagu-lagu yang dipasang di club. Tak sangka pula dengan menjadi teman berbual saja lelaki itu meninggalkan duit saku untuknya. Jumlahnya bukan sedikit. Cukup untuk dia makan dan berhibur selama seminggu.
Sekali merasa nikmatnya, membuatkan dia mahu lagi. Kalau sebelum ini dia kekok, kini dia pula yang sering merancang untuk ke kelab. Meskipun ada rakan-rakan yang menasihati, dia pekakkan telinga. Apa salahnya sekadar keluar bersama dengan lelaki yang kebosanan dan perlukan teman berbual? Padanya, tiada masalah. Bukannya dia yang mencari, mereka yang datang kepadanya.

***

“Mungkin sebab awak terlalu fikirkan perkara itu sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi...” pujuk Amirah. “Jangan terlalu menghukum diri sendiri... keampunan Allah itu luas.”
“Bagaimana saya tak menghukum diri saya kak? Saya sendiri rasa jijik dengan diri sendiri...”
            “Jangan begitu... Sebesar mana pun dosa yang kita lakukan, besar dan luas lagi ruang keampunan yang Allah s.w.t. berikan. Hatta dosa kita itu sebesar bumi, setinggi langit, Allah s.w.t. tetap akan ampunkan bila kita kembali kepada-Nya. Dengan syarat, kita tidak menyukutukan dia...” pujuk Amirah.
            Dia membalas kata-kata Amirah dengan anggukan yang lemah. Dia pernah dengar hadis yang Amirah maksudkan. Cuma... dia sendiri rasa terlalu hina dan kerdil dengan apa yang dia pernah lakukan...

            ***

            Perkenalan yang bermula sebagai rakan berbual di club kini bukan lagi hanya di club. Apabila dia mendapat panggilan telefon saja, dia harus mendapatkan lelaki yang menelefonnya. Apa saja yang rakan-rakannya menggelarkan dirinya, dia tak peduli. Asalkan bulan-bulan dia punya wang untuk berbelanja, berhibur. Pelajaran bukan lagi keutamaannya. Perubahannya mula dihidu oleh ahli keluarga di kampung apabila mereka semakin sukar menghubunginya. Nasihat rakan-rakannya dia tak ambil peduli. Harta dan wang sudah menggelapkan matanya. Padanya, rakan-rakan lain cemburu kerana tidak dapat menikmati apa yang dia miliki.
            Kalau dahulu, dia hanya berniat untuk mengambil kesempatanan ke atas kekayaan lelaki yang menjadi sugar daddy-nya, dia tak menyangka dia boleh jatuh cinta terhadap lelaki separuh abad itu. Dilayan bagaikan puteri, dijaga dan dimanjai seperti anak kecil menyebabkan hatinya yang sebelum ini keras mula mencair. Bila lelaki itu mengeluh dengan sikap isterinya, dia mula rasa simpati. Sedar tak sedar, dari rakan berbual menjadi rakan di katil.
            You tak perlu belajar. You nak apa, semua I boleh beri. Dengan syarat, you ikut cakap I,” ujar lelaki separuh abad itu menabur janji.
            Dia yang sudah alpa dengan nikmat dunia hanya mengangguk. Kelas sudah mula dia tinggalkan. Hidup barunya kini di sebuah apartment mewah yang disediakan oleh lelaki itu. Apabila diperlukan, lelaki itu akan datang kepadanya. Setiap bulan, jumlah wang di dalam akaunnya akan bertambah untuk dia membeli-belah.
            Bermulanya konflik besar di dalam hidupnya apabila ayahnya datang mengejut dari kampung. Sangkanya, ayahnya menelefon untuk bertanya khabar seperti selalu. Tetapi apabila ayahnya mengajak dia berjumpa, dia jadi tak tentu arah. Bagaimana dia hendak berhadapan dengan ayahnya yang sudah tahu dia berhenti belajar. Kalau dia memberitahu dia sudah bekerja, kerja apa pula yang harus dia katakan? Pengakhirannya, dia membiarkan saja ayahnya tertunggu-tunggu di kampus.

            ***

            “Awak...” suara Amirah menampak gegendang telinganya. Tangan gadis itu sudah mengusap lembut bahu dia yang terhinggut-hinggut kerana menangis. Dia tewas dengan perasaan sendiri.
            “Saya teringatkan arwah ayah...” katanya dalam esakan. “Sampainya hati saya buat dia macam tu. Teruknya saya biarkan ayah tertunggu-tunggu di wakaf. Kerasnya hati saya pada waktu itu, kak...” setelah hampir dua tahun, barulah dia mampu meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya.
            “Kawan-kawan saya beritahu, ayah tak makan dan tak minum tunggu saya. Ayah saya beritahu mereka yang duitnya hanya cukup-cukup untuk membawa saya pulang ke kampung. Tetapi saya...” dia kematian kata-kata. Wajah lembut ayah terlayar di minda. Ayah yang sudah kembali ke pangkuan-Nya tidak lama selepas ayah datang untuk memujuk pulang. Kembali ke hadrat Ilahi kerana sakit yang tiada siapa tahu apa puncanya. Tetapi dia tahu, ayah sakit kerana memikirkan anak gadisnya yang sudah hanyut dengan penipuan dunia.
            “Jahatnya saya, kotornya saya, sehingga mengandungkan anak lelaki yang tak guna tu! Bodohnya saya kerana tertipu dengan kata-kata manis dia. Naifnya saya kerana menyangka dia turut sayangkan saya. Sedangkan pada saat dia menegur saya di tempat jijik itu sendiri sudah membuktikan niat dia yang tak baik. Ya Allah... macam mana kalau Allah tak ampunkan saya, kak? Saya malu dengan Allah... Saya kembali ke kampung pun saya dihalau oleh mak saya. Mak tak mengaku saya anak bila mak perasan saya mengandungkan anak luar nikah.”
            Amirah tidak berkata-kata. Namun gadis itu tak berhenti menenangkan dia yang sudah terbawa-bawa dengan emosi. Dia mencapai Al-Quran biru pemberian terakhir ayahnya. Masih dia ingat kata-kata adiknya sewaktu menyampaikan Al-Quran ini,

            “Ayah pesan, nanti kakak balik, berikan kitab ini. Kata ayah, walau sebesar mana pun dosa kakak, ayah tetap sayangkan kakak.”

            Pesanan itu melekat dikepalanya. Apabila dihalau oleh mak, dia membuat keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur, tempat di mana dia hilang harga diri. Kali ini pemergiannya untuk mengenal diri sendiri. Sudah ditakdirkan dia hanya mengandungkan anak lelaki itu hanya tiga bulan. Pada saat dia mula memulakan langkah untuk berubah, Allah pertemukan dia dengan Amirah yang tidak pernah menghukum masa silamnya.
            “Saya sakit kepala, kak. Saya nak tidur sekejap. Nanti azan subuh, akak tolong kejutkan, ya?” pintanya perlahan.
            Amirah mengangguk. Sebelum tidur, dia bangun menunaikan solat sunat taubat. Kemudian, dia meletakkan kepalanya di atas sejadah. Mahu lelap sekejap. 

            ***

Azan Subuh berkumandang dari masjid yang berdekatan dengan rumah sewa mereka. Amirah mengetuk perlahan daun pintu untuk mengejutkan Aaliyah seperti yang dipesan tadi. Senyap. Tiada jawapan daripada Aaliyah dari dalam. Tanpa berfikir panjang, Amirah terus memulas tombol pintu untuk masuk ke dalam bilik. Sebaik saja pintu terbuka, kelihatan Aaliyah masih terlena di atas sejadah.
Amirah tunduk. Kaki Aaliyah digerakkan dan nama Aaliyah dipanggil. Namun tiada jawapan. Hati Amirah mula diterpa rasa pelik. Kaki Aaliyah terasa sejuk benar. Amirah sedikit menggigil. Dia melangkah mendekati tubuh Aaliyah. Tiada tanda-tanda gadis itu bernafas. Tak semena-mena air mata Amirah bertakung. Dia meletakkan jari ke leher Aaliyah untuk memeriksa nadi. Tiada. Allahuakbar... Amirah bergegas kembali ke bilik. Nombor telefon Mak cik Jas dan Pak Cik Yunus di sebelah rumah dia dail. Dia sendiri buntu tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk menguruskan Aaliyah.
Aaliyah, meskipun kau pernah jatuh ke jurang yang paling dalam, namun Allah s.w.t. tetap meninggikan kedudukanmu di sisi-Nya. Dua tahun kau belajar untuk kembali ke jalan-Nya dan hari ini kau sudah kembali kepada-Nya. Aaliyah, semoga kedudukanmu tinggi di sisi Tuhan-Mu dan membantu aku untuk bersama-sama denganmu di akhirat kelak.

“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;
Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, -
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;” (Al-Furqan 25: 68-71)

-TAMAT-
20160212

No comments: