::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

17 April 2010

Ku Serah Cinta

Persiapan terakhir sebelum program esok pagi di perkemaskan. Jam sudah hampir ke angka 1 pagi. Nasib badanlah dah kena jadi ketua department majlis dan protokol. Setelah selesai rehearsal, Ayu menarik nafas panjang. Lega. Kalau malam ni dah uruskan semua, esok petang tak adalah kelam kabut masa program berlangsung.

Ayu membuang pandang ke arah keseluruhan dewan. Tiba-tiba dia terasa bahunya disentuh sesuatu. Spontan Ayu menoleh. Afiq disebelah hanya tersenyum menayangkan giginya yang tersusun. Iyalah! Baru je lepas tanggalkan ‘braces’. Senyumnya sampai ke telinga.

“Penat?” tegur Afiq.


Ayu melemparkan senyuman. “Sikit.”
Afiq membalas senyuman Ayu. Jam ditangan kirinya dikerling sekilas. Kemudian mereka berdua melangkah meninggalkan dewan. “Kau lapar tak?” spontan Afiq bertanya apabila perutnya tiba-tiba minta diisi.
Ayu sedikit terpinga-pinga mendengarkan soalan Afiq. “Tak. Kenapa?”
Afiq tersengih. “Aku laparlah. Kita keluar jom?”
Ayu mengangguk. “Aku tak kisah. Tapi sekejap...” kata-katanya terhenti. Tadi rasanya Afiq naik motor? “Takkan nak naik motor kau? Isk! Tak nak aku,” tolaknya tiba-tiba.
Afiq memuncungkan muka. “Aku tahulah. Aku pun tak ada nak bawak anak dara orang naik motor berdua dengan aku. Aku pinjam kereta Naim. Nanti aku mintak dia bawak balik motor
aku.”

Ayu tersengih lebar. Tertarik dengan kenyataan Afi sebentar tadi. ‘Aku pun tak ada nak bawak anak dara orang naik motor berdua dengan aku.’ Dan sebab itu dia setuju je bila Afiq mengajak dia keluar walaupun dah hampir 1.30 pagi!

“Aku pergi jumpa Naim sekejap. Kau tunggu ajelah kat sini. Bila aku dah ambil kereta nanti, aku text kau. Kau tunggu kat tepi jalan nun,” arah Afiq. Jari telunjuknya lurus menunjukkan arah jalanraya. Ayu hanya mengangguk tanda faham. Tanpa berlengah, Afiq bergegas mendapatkan Naim.

Afiq... sudah hampir 3 tahun mereka berkawan. Dan dalam 3 tahun itu, Ayu sudah faham benar dengan perangai Afiq. Bagi Afiq, dengan Ayu dia boleh membicarakan apa sahaja. Dia tak pernah kekok dengan Ayu. Macam dah ada chemistry.

“Kau dah fikir nak buat praktikal kat mana?” soal Afiq. Kereta dilarikan perlahan di atas jalanraya. Tak ada apa yang perlu dikejar. Walhal tadi sebenarnya perut dah berkeroncong.
Ayu menggeleng. “Belumlah pakcik. Aku ingat nak apply company consultant je,” ujar Ayu.
Afiq mengangguk tanda faham. “Kau nak mintak area mana?”
“Bandar besar. KL mungkin. Kau?” pandangannya dialihkan ke arah Afiq disebelah.
“Aku kerja dengan pakcik aku kot. Kat JB,” ujar Afiq dengan senyuman melebar. “Kau tak nak setempat sekali dengan aku ke? Manalah tahu nanti sehari tak jumpa aku kau rindu ke,” usik Afiq.
Ayu menyangkan riak wajah selamba. “Tak nak aku. Sama tempat dengan kau? Lagilah taknak. Mintak simpang,” balas Ayu.
Kening Afiq ternaik sebelah mendengarkan kata-kata Ayu. “Kenapa pulak?” Hatinya sedikit kecewa mendengar jawapan itu.
“Iyalah. Sudahlah kita ni satu kos. Satu kelas pulak tu. Apa-apa lab dengan tutor pun sama. Nak sama tempat praktikal pulak?” Ayu menggeleng-gelengkan kepala. “Cukuplah. Muak aku nanti asyik nampak muka kau je,” balas Ayu dalam tawa.
Afiq turut sama ketawa. “Ok. Kita tengok nanti bila dua-dua dah jauh. Tengok siapa yang cari siapa. Nanti, bila kau dah start mula rindu-rindu kat aku, hah! Tunggulah masa tu. Aku cakap apa, sorry, aku dah ada yang lain,” balas Afiq menutup rasa kecewa. Bertambah galak Ayu ketawa. “Banyaklah kau aku start rindu-rindu kat kau. Tak kuasa.”

Perbualan terhenti. Kereta di’parking’ betul-betul di hadapan kedai mamak. Sebaik sahaja turun daripada kereta, spontan tangan Afiq mencapai tangan Ayu. Ayu terkesima sebentar. Hangatnya genggaman Afiq bagai mengalir ke seluruh urat sarafnya.

Melihatkan Ayu yang berhenti berjalan secara tiba-tiba, Afiq pantas menoleh. Pandangan Ayu ke arah tangan mereka yang bertaut membuatkannya sedar. Ops! Laju tangan Ayu dilepaskan. Kemudian dia tersengih cuba untuk menutup kesalahannya.

Disaat kaki mereka melangkah ke arah meja kosongdi bahagian luar kedai, ada sahaja suara-suara yang mengusik mereka berdua. Ayu tersenyum sumbing. Patutlah! Kawan-kawan si Afiq ni jugak. Janganlah mereka nampak apa yang berlaku tadi!

“Ceh, ada orang tu... mana pergi je berdua. Kelas berdua. Kalah orang bercinta. Kau percaya ke diorang ni bff je, bro?” soal Haikal kepada Zain.
Zain mencebik. “Entahlah. Orang tak nak mengaku ni susah. Lupa agaknya actions speak louder than words,” balas Zain.

Wajah Ayu sudah mula terasa panas. Malu. Segan. Tambahan pula, usikan nakal Zain dan Haikal membuatkan dadanya berdebar-debar. Wajah Afiq dipandang sekilas. Tenang. Seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tanpa disangka Afiq memandangnya dengan senyuman dibibir. Tepat ke matanya. Darah terasa berderau turun dari muka. Tapak tangan berpeluh secara tiba-tiba. Ya Allah. Ayu, Relax! Tarik nafas... Lepas...

***

“Kau balik lambat lagi, Ayu?” suara Diana memecah kesunyian malam.
Ayu tersandar di dinding. Terkejut! Budak ni pun. Ingatkan dah tidur. Suis lampu ditekan. Bilik yang tadinya gelap kini terang.

“Dah pukul berapa dah ni?” sekali lagi Diana bersuara.
Ayu melihat jam di tangan sekilas. “2.45 pagi,” jawabnya pendek.

Diana mengeluh. Balik lewat. Keluar dengan siapa lagi kalau bukan Afiq. Nak ditegur lebih-lebih sudah besar. Tahu mana betul mana salah. Diana hanya mendiamkan diri. Nak dikata apa lagi? Mata pun sudah mengantuk. Dia tersedar pun sebab bunyi pintu yang dibuka Ayu tadi.

Ayu menyalin kepada pakaian yang lebih selesa. Diana dilihat sudah kembali tidur. Lega. Lega untuk malam inilah. Esok habislah dia kena tegur. Sudahlah Diana tu ahli jawatan kuasa Lajnah Strategi dan Dakwah. Memang esok sakanlah makcik ni berdakwah kat aku! Kena pulak aku ni roommate dia.

***

Keesokan harinya, Diana hanya menayangkan muka selamba. Ayu menarik nafas lega. Nasib baik kisah malam tadi tak dipanjang-panjangkan. Pagi itu mereka bersarapan bersama memandangkan kelas bermula jam 9.00 pagi.

“Kau keluar dengan siapa malam tadi?” soal Diana tenang.
Ayu tersengih sumbing. Dia dah mula dah... “Dengan Afiq. Kenapa?” soalnya buat-buat tak faham.
“Lepas tu balik bilik 3-4 pagi?” tegur Diana.
Ayu hanya buat muka selamba. “Aku teman dia makan lepas rehearsal. Lepas tu lepak dekat kedai tu. Sakan berbual sampai tak sedar dah 2.30 pagi,” cerita Ayu sebelum Diana bertanya lebih-lebih.
Diana menarik nafas panjang. Memikirkan ayat yang sesuai untuk diucapkan. “Ayu, kau tahukan batas hubungan lelaki dengan perempuan?”
Ayu mengangguk malas. Dia tahu. Bukannya jahil sangat. Masa sekolah dahulu berbuih-buih ustazah bercakap. Tapi dia bukannya buat apa pun?
“Kau keluar malam. Dengan lelaki. Berdua pulak tu. Kalau jadi apa-apa macam mana?” soal Diana.
“Aku bukannya buat apa. Teman dia makan. Lepas tu berbual. Bukannya berdua. Haikal dengan Zain pun ada sekali, Diana.” Ayu mengeluh. Dia bukannya buat benda yang pelik-pelik. Dia masih ingat dosa pahala.
“Niat tak menghalalkan cara, Ayu.” Lembut Diana bersuara. Nak menegur orang bukannya boleh secara kasar. “Mula-mula mungkin kau keluar macam tu. Berbual-bual. Nanti dah lama sikit mulalah berpegang-pegang tangan. Sampai satu tahap nanti sebab dah biasa mulalah ‘ringan-ringan’. Lepas tu bila dah terlanjur, syaitan pun bersorak.”

Terasa bagaikan ada penampar sedas terkena di pipi Ayu. Macam tahu-tahu je malam tadi Afiq terpegang tangannya. Tapi itu ‘ter’ bukannya sengaja. Ah, Ayu! Tak payahlah nak menegakkan benang yang basah.

“Aku mengingatkan ke Ayu. Aku sayang kau. Aku tak nak apa-apa terjadi nanti baru kau menyesal. Ayu, kita ni duta Ayu... Duta agama kita sendiri. Kau tahu kenapa umat Islam dipandang rendah walaupun sewaktu ketika dulu Islam sangat kuat? Sebab kita sendiri Ayu. Ikut budaya luar sampai orang bukan Islam pun menganggap kita sama dengan diorang.”

Diana memandang wajah Ayu yang sejak tadi terdiam. Dia tahu Ayu tak suka mendengar semua ni. Tapi menjadi tanggungjawabnya untuk menegur.

“Aku pun tak adalah baik sangat sebelum ni. Kau pun tahu aku macam mana masa first time kenal aku kan? Tapi sama-samalah kita berubah. Ingat Ayu, Islam dengan maksiat tak boleh berjalan seiring. Rugi kalau kau bertudung, solat, puasa tu semua tapi dalam masa yang sama kau buat dosa.”

Ayu menggigit bibir. Teruk sangat ke aku ni? Setakat keluar macam tu pun dah macam-macam Diana bisingkan. Walaupun Diana tak marah-marah. Tapi kata-katanya cukup tegas. Seolah-olah dia buat benda yang terlalu besar pulak.

“Jomlah gerak. Nanti lambat pulak,” Diana mencuit bahu Ayu. Ayu masih mendiamkan diri sejak tadi. Biarlah. Dia mahu memberi peluang untuk Ayu berfikir. Besi pun kalau terus di bengkokkan secara kasar boleh patah.

Habis kelas dia terus balik ke bilik. Matanya terpandangkan stick note yang dilekatkan Diana di atas meja belajarnya. Bila masalah budak ni tampal? Terus isinya dibaca.

- "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh/keseluruhannya (tidak sepotong-sepotong/separuh-separuh). Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan-syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu" (2:208)-

Ayu tersengih sumbing. Nak dikata apa lagi? Siap dengan ayat Al-Quran Diana berikan. Islam dengan maksiat tak boleh berjalan seiring, kan?

***

Masa berlalu pantas. Sedar 2 hari lagi Ayu bakal menjawab terakhir untuk kertas final examnya. Lepas ni dia tak sampai 3 hari dan terus membuat latihan industri untuk 8 bulan akan datang. Hai, entah macam manalah agaknya pengalaman pertama bekerja ni ye? Itu pun, nasib baiklah dia dapat consultant. Kalau kena dengan mana-mana kontraktor, memang banyak ke ‘site’ ajelah kerjanya.

Bunyi handset di atas meja menarik perhatiannya. Ayu yang sedang duduk mengemas beg memaksa diri untuk bangun. Siapa ajalah yang sibuk nak bermesej waktu orang nak sibuk ni? Kalau tak kemas sekarang berebut pulak nanti. Masa cuti bukannya boleh percaya sangat kalau tinggalkan barang kat stor. Ada yang hilang. Payah betul!

-Kau free petang ni?-

Berkerut-kerut dahi Ayu membaca mesej daripada Afiq. Belum sempat dia menekan butang ‘reply’ handsetnya sudah berlagu tanda ada panggilan masuk. –Pak Cik Poyo- Ayu tersengih. Habis dia kena dengan si Afiq ni kalau Afiq tahu dia menyimpan nombor Afiq dengan nama sebegitu.

“Assalamualaikum.”
Suara garau Afiq menjawab salam menampar gegendang telinga Ayu. “Kenapa tak balas mesej aku? Hah! Mesti saja nak tunggu aku call ni. Kau rindu nak dengar suara aku ya?”
Ayu mencebik. “Tak kuasa. Kenapa tanya aku free ke tak?” Rambut yang terjuntai di dahi dikuak ke belakang.
“Aku nak ajak kau keluar.”
Ayu menjeling jam loceng disebelah laptopnya. Dah pukul 5.00 p.m. Solat Asar belum tunaikan lagi. Diana pulak tak tahu ke mana. Sejak tengah hari dia keluar. Mungkin ke bilik Amira agaknya. “Sekarang ke?”
“Dalam pukul 6.00 p.m.” balas Afiq ringkas.
Ayu mengangguk tanda faham. “Free je. Kau nak ajak pergi mana?” Ayu melontarkan soalan yang sejak tadi mengganggu fikirannya.
“Okay. Kau siaplah. Nak belanja kau makan. Nak tunggu kau belanja aku? Tunggu ayam jantan bertelurlah agaknya. Hehehe,” usik Afiq.
Ayu hanya tersegih geram. Sempat lagi nak mengutuk aku! Sabar ajelah pak cik seorang ni. “Iyalah iyalah. Ok. Nanti dah sampai kau call. Aku nak solat sekejap,” balas Ayu. Handset di tangan diturunkan. Talian mati.

Tepat jam 6.00 p.m. Afiq sudah menunggu di bawah. Diana tak memberikan reaksi apa-apa ketika dia memberitahu mahu keluar. Sudah tak larat mahu menegur agaknya. Maaflah Diana. Aku janji ini yang terakhir.

Afiq membawanya ke Restoran Ala Thai tak jauh daripada universiti. Seorang pelayan datang ke meja mengambil order. Afiq yang mengorder. Dia ikut sahaja. Malas mahu banyak songeh. Dah orang nak belanja.

Afiq memandang Ayu yang duduk berhadapan dengannya. Matanya sedikit sepet di tepi. Hidung yang tak begitu mancung tapi tajamnya itu masih ada. Bibir yang comel. Cantik. Hatinya memuji.
“Apa pendapat kau tentang aku, Ayu?”
Kening Ayu terangkat sebelah mendengarkan soalan Afiq. Pendapat? Pendapat bagaimana? “Maksud kau?”
“Pendapat kau tentang akulah...” wajah Afiq sedikit memerah. Sudahlah kulit tu putih. Jadi pink dah. Ayuni ni pun, kau tak faham ke bentuk soalan aku?
Ayu tersenyum. “Kau kawan yang baik.”
Afiq mengeluh. “Kawan je?” Takkan itu je Ayu. Hampir 3 tahun mereka berkawan. Takkan Ayu tak pernah mengganggapnya lebih daripada seorang kawan?
“Aku sukakan kau Ayu. Kalau boleh aku nak jadi lebih daripada seorang kawan,” ujar Afiq tenang.

Tangan kanan Ayu yang terletak di atas meja di tarik dan digenggam. Lembut. Tangan itu dielus-elusnya.Menantikan jawapan daripada Ayu. Harapannya biarlah jawapan yang positif. Ayu menelan air liur. Jantung bagaikan melompat ke anak tekak.

Ayu tak memberikan jawapan. Tiba-tiba matanya terarah ke kaca televisyen yang memaparkan berita mengenai mayat bayi yang ditemui di dalam tong sampah. Hatinya mendongkol geram.

Masalah remaja zaman sekarang. Kalau tak kerana pergaulan bebas, tak adanya terjadi kes-kes macam ni.Nampaknya masyarakat kita pun dah mula menjadi seperti zaman jahiliah dahulu. Membunuh bayi perempuan. Tapi kita lagilah dahsyat, tak kira lelaki ke perempuan, dibuang je macam tu untuk menutup malu.

Kata-kata Diana bagaikan terngiang-ngiang semula ditelinganya. Mula-mula berbual-bual seperti kawan biasa. Nanti dah lama sikit mulalah berpegang-pegang tangan. Sampai satu tahap nanti sebab dah biasa mulalah ‘ringan-ringan’. Lepas tu bila dah terlanjur, syaitan pun bersorak.

Laju Ayu menarik tangannya daripada genggaman Afiq. Terasa berdosa dengan diri sendiri. Sebesar-besar dosa adalah dosa yang dilakukan ketika kita rasa berdosa melakukannya. Ayu memejamkan matanya. Diana, sejak bila aku mula dengar apa yang kau bebelkan?

“Tak boleh, Fiq.”
Afiq tergamam. “Kenapa?”
Ayu terdiam. Tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan. Entah kenapa hatinya tiba-tiba risau jika dia tergolong dalam golongan yang bakal membuang bayi. Nauzubillah.
“Aku... aku anggap kau sebagai kawan je selama ni. Aku minta maaf kalau aku ada buat apa-apa yang buat kau err... suka pada aku. Afiq...” Ayu tergagap-gagap mahu bersuara. “Aku dah ada yang punya. Aku harap lepas ni kita jangan jumpa lagi kalau tak ada benda penting.” Aku minta maaf Afiq. Aku terpaksa menipu kau.
Afiq terdiam. Sebaik sahaja pelayan meletakkan makanan, mereka menjamu selera dalam keadaan yang paling senyap. Hati Ayu tak tenteram. Bodohkah aku tak mengaku perasaan aku sendiri?

***

Hampir 5 bulan sudah Ayu menjalani latihan industrinya. Alhamdulillah. Semuanya berjalan lancar. Rezekinya mendapat supervisor yang banyak membantu. Pensyarah sudah beberapa kali datang menilai prestasinya. Haraplah latihan industrinya tak ada apa-apa masalah.

Selama mana Ayu menjalani latihan industri, selama itu jugalah Afiq tak menghubunginya. Masih terasa hati lagikah dia? Mana taknya. Angin tak ada. Ribut tak ada tiba-tiba aku dah berpunya dan mengambil keputusan tak mahu berjumpa lagi dengan dia.

Ayu menggeliat. Membetulkan urat saraf yang lenguh setelah sekian lama duduk di atas kerusi menyiapkan laporan latihan industrinya. Semua benda nak dilapor. Nasib baiklah dia agak rajin. Kalau kerja bertangguh, mahu patah jari-jemari ni nak menulis satu persatu.

Handset di sebelah buku laporannya di tenung. Mengharapkan ada panggilan masuk. Paling tidak pun 1 mesej dah cukup membuatkannya gembira. Asalkan si pemberi adalah orang yang bermula daripada huruf A dan berakhir dengan huruf Q.

Sungguh dia tak mampu menipu perasaan dia sendiri. Selama dia mana dia boleh berpura-pura? Sepanjang membuat latihan industri mungkin. Tapi bila balik universiti nanti? Bila dia kena berhadapan dengan Afiq nanti? Reaksi bagaimana yang dia harus berikan?

***

Minggu pertama ke kelas setelah sekian lama bekerja itulah kali pertama Ayu bertemu dengan Afiq. Ayu menunggu Diana di sebelah luar bilik yang dindingnya diperbuat daripada kaca. Dari luar dapat dilihat Afiq sedang mengemas barang miliknya sebelum melangkah keluar.

“Jom?” Diana menegur.
Ayu sedikit tersentak. Matanya masih tak lari daripada memerhatikan Afiq. Diana menoleh ke dalam kelas. Siapa yang Ayu tengok? Akhirnya dia tersenyum sumbing. Siapa lagi kalau bukan Afiq.
“Kau nak jalan dengan dia?” ujar Diana perlahan. Ayu, bila kau nak berubah?
Ayu menggeleng. Diana terkejut sendiri. “Aku dah tak ada apa-apa dengan dia,” serentak dengan itu tangan Diana ditarik. Lebih baik mereka pergi sebelum Afiq keluar daripada bilik itu.

Sepanjang perjalanan ke bilik, Ayu hanya mematikan diri. Tiada topik untuk dibualkan dengan Diana. Fikirannya sarat dengan pelbagai benda. Mana nak membiasakan diri ke kelas setelah terbiasa dengan bekerja. Tak sabarnya nak habis belajar. Tak perlulah dia bersalah setiap kali memandang wajah Afiq di kelas.

Diana memerhatikan Ayu yang bagaikan tiada semangat. Dahsyat juga penangan orang bercinta. Alangkah indahnya kalau cinta kita kepada Allah sama seperti itu. Diana mencari-cari kertas yang sesuai untuk dia menulis sesuatu.

Siap! Kertas berwarna kuning itu diberikan kepada Ayu. Ayu yang sedang khusyuk menatap skrin laptopnya sedikit terpinga-pinga.
“Apa ni?” Kertas kuning itu diambil.
Diana tak menjawab. Bacalah sendiri Ayu. Bukannya kau tak reti nak baca tulisan jawi.

***

Baju-baju yang bergantungan dimasukkan ke dalam almari. Yang mana perlu dilipat diasingkan. Kotak-kotak buku zamannya belajar dahulu disusun di penjuru bilik. Habuk-habuk yang tertinggal dilap dengan kain basah. Kemudian Ayu berdiri. Pandangannya dilepaskan ke sekitar bilik. Luas sikit. Ini kalau tak kemas, itu terlanggar, ini tersepak.

Setelah selesai menyiapkan kerjanya, Ayu menutup laptopnya. Sempat matanya menjeling jam loceng comel di sebelah laptopnya. 3.30 a.m. Mak oi! Esok Kak Ina minta dia tolong di nursery. Ada yang tak terbangun nanti. Laju Ayu melangkah ke bilik air. Sudah menjadi tabiatnya membersihkan muka dan bersugi sebelum tidur. Suasana hening di pagi hari membuatkannya mudah sahaja untuk tidur. Biarlah malam ini dia dapat bermimpi yang indah-indah.

***

“Lama kamu cuti Ayu?”
Ayu mengalih pandang ke arah Kak Ina yang laju menyediakan makanan untuk kanak-kanak. Dia tersenyum di dalam hati. Terasa diri ni tak membantu apa-apa langsung.
“Lama jugaklah Kak Ina. Sepanjang cuti sekolah inilah. Nasib baik saya dah bertugas masa awal-awal cuti hari tu. Kalau tak, mahu kena balik sana tengah-tengah cuti ni,” jelas Ayu.
“Kalau macam tu, bolehlah kau tolong akak lama sikit. Akak bukan nak mintak tolong banyak pun. Setakat melayan budak-budak ni. Tengah tak cukup orang ni. Hari tu Fatin baru je berhenti. Iyalah, budak lepas SPM. Kerja pun sebab nak tambah duit saku,” celoteh Kak Ina.

Ayu tersengih sumbing mendengarkan cadangan Kak Ina. Mungkin boleh dipertimbangkan? Lagipun dia belum merancang apa-apa untuk cutinya kali ini. Kalau dia sudah berkahwin agaknya mesti dia sibuk merancang itu-ini dengan suaminya.

Suami? Senyumannya memudar. Baru seminggu di kampung, maknya sibuk bertanya bila dia mahu memperkenalkan bakal suaminya. Ah! Orang tua. Bila tengah ‘single’ sibuk bertanya bila nak berdua. Bila dah berdua, sibuk bertanya bila nak bertiga. Nanti bila anaknya sudah besar, sibuk bila nak bermenantu. Haru betul!

“Kamu ni, Ayu. Dah sampai kemana? Akak beriya-iyalah bercerita itu ini. Boleh kamu buat tak tahu pulak?” tegur Kak Ina dengan dahi yang berkerut-kerut. Tangan yang basah dilap dengan kain.
Ayu kembali tersengih. Jauh fikirannya melayang. “Nantilah saya fikirkan cadangan akak. Apa-apa saya beritahu akak.”
“Hah! Iyalah. Akak harap sangat kamu dapat tolong. Kalau nak mengharapkan akak dengan Hanim berdua memanglah tak cukup tangan. Kalau semuanya bayi lagi tak apalah jugak. Diorang banyak tidur je. Ni kena macam si Hakim tu? Hah, ligat betul. Budak lain semua nak dikacaunya,” cerita Kak Ina.

Ayu hanya tergeleng-geleng mendengar cerita Kak Ina. Kanak-kanak... Biasalah. Semua benda nak dicuba. Semua benda nak dibuat. Farhan dengan Putra yang setahun lagi muda daripada Hakim pun nampaknya dah mua ikut jejak langkah Hakim.

“Seronokkan kak melayan kerenah budak-budak,” komen Ayu. Kakinya melangkah ke arah kaunter untuk mengambil dulang yang diletakkan makanan untuk kanak-kanak di atasnya. Kemudian, dulang ditatang dan dibawa ke ruang makan.
“Seronok itu memanglah seronok. Tapi penatlah sikit. Melayan budak-budak...” ujar Kak Ina lalu mengeluarkan pinggan dari dulang dan diletakkan di atas meja. “Kamu tu, Ayu. Akak tengok pandai dah melayan budak. Bila pulak nak melayan anak sendiri?”

Soalan yang terkeluar daripada mulut kakak sepupunya seorang itu membuatkan Ayu terkedu. Baru je semalam mak membebelkannya. Abah tak cakap apa sangat. Kata abah, belum sampai jodoh, nak buat macam mana. Tapi satu masalah abah, abah sibuk menyuruhnya meminta pindah balik ke semenanjung. Agaknya abah risau kot kalau-kalau dia terkenan dengan orang Sarawak.

Itulah abah, dahulu masa dia dapat tawaran dekat dengan rumah, dia sibuk suruh ambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah. Dia cakap anak perempuan tak sesuai jadi jurutera. Zaman sekarang ni, lelaki dengan perempuan ramai je ambil kejuruteraan. Abah tu je yang risau tak bertempat. Dulu semasa belajar, dia tak kisah pulak. Mungkin sebab aku sendiri yang degil nak jugak ambil engineering. Setahun mengikuti kursus, akhirnya dia tercampak terus ke Sarawak mengajar anak bangsa. Sesuatu yang tak pernah difikirkannya.

“Belum sampai jodohlah kak,” balas Ayu malas. Dah. Tukar topik. “Akak, Abang Man sekarang apa khabar, ya? Lama tak jumpa dia.”
Kak Ina hanya menggeleng mendengarkan soalan Ayu. Budak ni, ada sahaja nak tukar topik kalau ditanya pasal kahwin.
“Akak bukan apa Ayu. Akak kesian sangat tengok mak kamu tu ha. Asal berbual dengan akak ni, asyik mengeluh kamu tu tak nak kahwin-kahwin lagi. Umur semakin hari semakin bertambah. Tahun ni dah masuk 28 kan?”

Wajah Ayu memerah bila umurnya disebut Kak Ina. Bukan dia tak sedar umurnya semakin bertambah. Tapi nak buat macam mana? Dah dia masih belum berjumpa dengan lelaki yang betul-betul serasi dengannya. Ayu menarik nafas dalam. Atau dia sebenarnya masih menunggu Afiq?

“Dahlah kak. Makanan ni makin lama dibiarkan sejuk pulak nanti. Budak-budak ni pun dah lapar rasanya,” perlahan Ayu bersuara. Namun tegas. Memberi petanda tak mahu kisah kahwin dipanjang-panjangkan.

Kak Ina memandang Ayu yang sudah melangkah ke ruang hadapan. Bukan dia tak tahu kisah Ayu. Pada dialah Ayu menceritakan semuanya. Sudah faham sangat dia dengan perangai adik sepupunya seorang itu.

***

Ayu membelek kalendar kecil yang baru dikeluarkan daripada dompetnya. Tahun 2009 sudah tiba ke penghujungnya. Tahun depan sudah 2010. Maknanya sudah hampir 28 tahun dia bernafas di atas muka bumi ini.

Kalendar kecil itu kembali diselitkan di dalam dompet. Album yang tersusun kemas di rak di sebelah katilnya di capai. Satu persatu gambar di dalam album miliknya dibelek. Gambarnya semasa di universiti. Dia tersenyum. Satu persatu kenangan kembali menerpa fikirannya. Lebih-lebih lagi tatkala matanya terpandangkan seraut wajah yang dipujanya. Yang dirindunya.

Berita terakhir mengenai Afiq yang didengar daripada kawan-kawan, Afiq bakal menikah setahun selepas tamat pengajian. Dengan siapa dia tak tahu. Dan dia sendiri malas untuk mengambil tahu. Buat apa nak menyakitkan hati sendiri apabila melihat orang yang kita sayang menjadi hak orang lain?

Diana pulak dah selamat mendirikan rumah tangga. Dengan pilihan ibu bapanya. Orang yang sebaik Diana, pasti sahaja mendapat orang yang baik-baik juga. Aku ni je yang masih sendiri. Menantikan putera raja datang menaiki kuda putih agaknya, kata mak. Ah! Mak bukannya tahu perasaannya.

Mata Ayu tiba-tiba terpandangkan ke arah kertas kuning yang diberikan Diana sewaktu ketika dahulu. Doa pendekat jodoh. Dia tersenyum. Bait-bait makna doa itu dibaca didalam hati.

-Ya Allah, jadikanlah dia (sebut nama orang yang inginkan jodoh) dikasihi pada hati-hati mereka yang beriman dan gembirakanlah dia (sebut nama orang yang inginkan jodoh) dengan kekayaan sehingga seratus dua puluh kebaikan. Allah adalah sebaik-baik pemelihara dan Dia amat mengasihi daripada segala-galanya-

Dulu rajin juga dia mengamalkan doa ini selepas solat. Tapi semenjak dia mendapat tahu Afiq bakal menikah, semakin lama doa ini semakin tak diamalkan. Dia bagaikan sudah berputus harap dengan Allah. Ya Allah, ampunkan dosa aku.

***

Pagi itu buat kali kedua Ayu menjejakkan kaki di nursery milik Kak Ina. Kerjanya pagi ini menyambut anak-anak di muka pintu. Ada yang menangis-nangis mahu mengikut ibu bekerja. Ayu tersenyum. Dia cukup sukakan budak-budak. Senang saja mahu memujuk mereka. Anak-anak yang masih tidur Ayu letakkan di dalam bilik.

“Ada orang nak kenal dengan Ayu,” Kak Ina memandang Ayu yang sedikit terkejut dengan apa yang katakan sebentar tadi.
Ayu ketawa tak berperasaan. Apa pulaklah yang dicanangkan Kak Ina pada ‘orang’ itu ya? “Siapa?” soalnya sekadar menjaga hati kakak sepupunya.
“Kawan Abang Man kamu.”

Ayu hanya mematikan diri. Tak berniat untuk bertanya lebih lanjut. Difikirannya terbayangkan adik kepada Kak Ina yang tua setahun daripadanya. Lama mereka sudah tak berjumpa. Rasanya kali terakhir masa Isteri Abang Man melahirkan anak mereka yang ke dua dahulu. Itu pun setahun yang lepas.

“So macam mana Ayu?” sekali lagi Kak Ina bersuara meminta jawapan.
Ayu tersenyum sinis. Siapalah sangat nak berkenalan dengan dia tu? “Malaslah kak...”
“Cubalah kenal dulu. Mana tahu serasi? Kadang tu, kita kena juga berusaha cari jodoh kita. Dalam pada tu, berdoa minta petunjuk daripada Allah,” nasihat Kak Ina.
Ayu menggeleng perlahan. Dalam kepala jenuh memikir cara menolak.
“Kalau dia betul-betul serius, akak suruhlah dia jumpa mak abah saya. Kalau diorang ok, saya ikut je. Kalau tak...” Ayu mengangkat kedua belah bahunya. “Tak payahlah.”
Kak Ina terpegun mendengar jawapan Ayu. “Betul kamu tak nak kenal? Jangan nanti kalau mak abah kamu terima, kamu pulak yang dok sibuk menolak,” Kak Ayu memberi peringatan.

Ayu menunduk. Dalam diam dia tersenyum sinis. Masakan lelaki itu pun bersetuju? Kenal aku pun tidak, ni terus nak jumpa mak abah? Entah-entah belum apa-apa dah mengaku kalah. Ayu mengangguk yakin.

***

“Kenapa tak cakap?” Ayu membuat muka. Bila mak dengan abah dah terima pinangan barulah dia tahu Afiq punya kerja.
Afiq tersengih. Matanya tepat ke arah mata Ayu. Cantik! “Dah kau yang tak nak jumpa aku. Siapa suruh?” balasnya.
Ayu menunduk. Tak mahu membalas pandangan mata Afiq. Segan. Afiq tersenyum. Suka melihat Ayu dalam keadaan begitu.
“Siapa ye dulu cakap dia dah ada yang punya?” usik Afiq.
Darah terasa menerbu ke arah wajah Ayu.
“Nasib baiklah aku beranikan diri nak tanya Diana walaupun Diana layan nak tak nak je.”

Kenangan dahulu terimbau kembali di fikirannya. Bagaimana dia memberanikan diri untuk bertanya kepada Diana. Dia segan. Diana bukan perempuan yang duduk semeja dengan lelaki berborak benda-benda yang tak berfaedah. Kalau bercakap pun benda-benda yang penting je.

Dan bila ditanya kenapa Ayu berubah, Diana jawab satu je. Kalau dia betul-betul serius dengan Ayu, minta Allah permudahkan jalan untuk mereka bersama. Tak perlu nak berjumpa, berdating, bercouple segala bagai. Terasa macam kena penampar juga masa tu.

“Eleh, yang kau tu? Aku dengar nak menikah setahun lepas habis belajar. Apa cerita?” Ayu mula mengungkit.
Afiq hanya tersenyum-senyum. Tak sangka Ayu masih mengambil tahu kisah hidupnya. “Kisah lama Ayu...”

Afiq cuba mengelak untuk bercerita. Kisah hampir 4 tahun yang lepas. Dia sendiri tak sangka ibu dan ayahnya mahu menjodohkan dia dengan anak kawan baiknya. Ingatkan benda-benda macam ni berlaku dalam novel melayu je. Mujurlah gadis itu yang menolak. Dia pernahlah sekali melihat gambar gadis itu. Baik budaknya. Manalah dia nakkan aku yang serba kekurangan ni.

Ayu mencebik. Tak nak cerita ya? Tak apa. Satu hari nanti mesti dia tahu jugak.
“Dah lebih 5 tahun dah, Ayu. Dan aku rasa aku dah bersedia,” serius Afiq bersuara. Ayu terpegun.
“Mungkin aku tak sebaik mana Ayu. Insya Allah aku akan berusaha untuk berubah untuk menjadi yang lebih baik. Aku harap kau sudi bersama dengan aku,” ujar Afiq dengan muka yang sudah kemerah-merahan.

Ayu tersenyum. Masih ada yang tak berubah pada Afiq. Teringat sewaktu kali pertama Afiq meluahkan perasaannya. Cuma yang berbeza, kini mereka sudah tak sebebas dahulu. Ayu tak memberikan apa-apa reaksi.

“Walaupun mak dengan abah kau dah terima, aku tetap nak dengar daripada mulut kau sendiri.” Afiq menatap wajah Ayu. “Disebabkan kau tak jawab apa-apa, aku assume kau terimalah ya?” ujar Afiq tersenyum-senyum.
Ayu membulatkan mata. “Mana boleh? Suka hati kau je.”
Afiq tersengih. Senyuman yang seudah lama tidak dilihat Ayu. “Iyalah. Kau pernah dengar tak hadith Rasulullah s.a.w.?”
Ayu menayangkan muka kelam. Hadith yang mana pulak ni?

Melihatkan wajah Ayu yang sebegitu, Afiq menyambung kata-katanya, “dari Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda, seorang wanita janda, tidak boleh dikahwinkan tanpa bermesyuarat terlebih dahulu dengannya. Seorang gadis perawan tidak boleh dikahwinkan sebelum meminta izin kepadanya. Dan para sahabat bertanya, bagaimana bentuk keizinan gadis itu. Lalu Rasulullah menjawab, jika dia diam sahaja.” Afiq dah tersenyum nakal.

Wajah Ayu mula memerah. Cis! Ada sahaja cara Afiq mahu mengenakannya. “Kalau macam tu, kau dah tahulah jawapan aku. Tak payah aku nak cakap lagi kan?” balas Ayu. Mukanya masih terasa panas. Matanya menjeling ke arah yang sedang membaca surat khabar. Iya-iya je abah baca. Entah-entah sibuk memasang telinga.

Afiq tersenyum senang. Dia berterima kasih dengan Azman, rakan sekerjanya. Dapat tahu Azman dengan Ayu saudara pun masa dia terlihatkan gambar keluarga Azman sewaktu berkunjung ke rumahnya.

***

Pengantin masih lagi bersalam dengan tok kadi yang mewakili Encik Zainal. Dengan sekali lafaz, Nur Ayuni binti Zainal selamat menjadi isteri kepada Muhammad Afiq bin Muhammad Tahar. Ayu masih lagi menunduk memandang ke arah lantai masjid. Terasa semuanya bagaikan mimpi.

Afiq melangkah ke arah Ayu. Mengambil posisi untuk menyarungkan cincin. Wajahnya ternyata ceria. Berseri-seri setelah disatukan dengan gadis pujaan hatinya. Dia bersyukur. Bersyukur kerana Allah memakbulkan doanya selama ini. Semoga jodoh mereka berpanjangan.
-Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka Dia menyayangimu. Bila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia sedang mengujimu. Bila Dia tak makbulkan doamu, maka dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu. Bersangka baiklah pada Allah dalam apa jua keadaan. Kasih sayang Allah mendahului kemurkaan-Nya.-

-aku_dia-

4 comments:

Anonymous said...

n3 yg bagus..islamik
semua dr Allah s.w.t..

yuta0330 said...

hurmm..cerita yg simple jek..tp, bessssst..sweet.

Anonymous said...

ska cite2 awk..smuanya islamik...but sweet gitu..aaaaa

jazlien said...

salam, saya suke cite akak yang berunsurkan keagamaan ni..tq kak coz banyak doa & hadis yang sye bace dr cerpen-cerpen akak n novel SAU.. semoga diperbanyakkan lagi pengisian yang begini untuk masa akan datang..