“Dik, kira ya!” Hazim bersuara apabila seorang
pelayan berjalan di sebelah meja mereka. Dalam pada masa yang sama, tangannya
sibuk mengeluarkan dompet, sebelum sempat Raudhah menegah.
“Tak payahlah, Hazim. My treat. Bukan selalu
awak datang sini...” sanggah Raudhah. Kalut dia mengeluarkan beg duit di dalam
handbag. Hish, dia yang datang, dia pula yang nak belanja. Bukannya sikit pula
tu. Yang banyak makannya pun, si budak
Rafi, adiknya juga!
“Naa... Ahah! Jangan menolak. Pantang saya
bila makan, perempuan yang bayar, ya?” Hazim memberikan isyarat mata kepada
Rafi. Mengerti sendiri, Rafi mengambil beg duit Raudhah daripada pegangan
pemiliknya.
“Rafi!”
Rafi hanya tersenyum memandang muka Raudhah
yang sudah sedikit kelat. “Rafi dah geng dengan abang Hazim dah. Sebarang
surat-menyurat tidak akan di layan,” balas Rafi bersahaja. Beg duit Raudhah
dipegang kemas, mengelakkan daripada diambil Raudhah.
Raudhah mendengus geram. Lagi-lagi apabila
melihatkan Rafi dan Hazim membuat high-five. Geramnya tak terkata!
“Semua sekali lapan puluh tiga ringgit, lima
puluh sen,” ujar si pelayan sebaik sahaja tiba dengan resit.
“Tapi, tak perlu bayar bang! Ada orang dah
bayarkan...” sambung lelaki itu lagi apabila Hazim menghulurkan dua not lima
puluh. Hazim dan Raudhah berpandangan. Siapa pula yang tolong bayarkan? Bukan
sikit punya duit ni. Dekat seratus juga.
“Siapa ya yang bayar?” berkerut dahi Hazim
bertanya.
Lelaki itu teragak-agak untuk menjawab.
Matanya terarah ke dapur restoran. Bagaikan sedang meminta kebenaran daripada
seseorang.
“Err... encik Syamil yang bayarkan. Kalau
abang nak jumpa dia, dia ada di dapur sana...” jelas lelaki itu.
Raudhah terpempan. Hazim terkelu. Kedua-dua
mereka memandang ke arah yang sama. Syamil? Syamil yang selama ni dia cari
rupa-rupanya terlalu dekat dengan dia! Insan yang telah lama dia cari itu
rupa-rupanya berkongsi oksigen di bandar raya yang sama dengan dia. Betapa
kecilnya dunia! Allahuakbar!
Raudhah bangun daripada duduk tanpa sempat
Hazim menahan. Kemudian, tanpa teragak-agak dia sudah berjalan ke arah dapur.
Jiwanya meronta-ronta mahu berjumpa dengan insan itu. Insan yang secara tidak
langsung telah bertapak di dalam hatinya.
“Syamil?” panggilnya perlahan. Pekerja dapur
yang lain masing-masing sibuk dengan kerja mereka. Sesuai dengan keadaan
pelanggan yang ramai di luar. Matanya memerhati sekitar dapur, mencari-cari
susuk tubuh lelaki itu. Mana dia? Mana?
“Maaf cik. Ini kawasan staf. Kalau ada apa-apa
cik boleh beritahu pekerja kami di kaunter,” tegur seorang pekerja yang berada
di situ. Raudhah tidak berganjak. Dia tak mahu menyerah kalah selagi dia belum
berjumpa dengan Syamil. Tak semudah itu dia akan melepaskan peluang yang ada.
Kalau bukan sekarang, bila lagi dia dapat berjumpa dengan Syamil?
“Ada pekerja dekat sini nama Syamil tak? Saya
nak jumpa dengan dia sekejap. Penting!” tegas Raudhah.
“Syamil?” Dahi lelaki itu sedikit berkerut.
“Encik Syamil ke maksud cik?”
Encik Syamil? Raudhah hanya mengangguk. Orang
yang samalah agaknya.
“Encik Syamil tengah sibuk memasak tu. Kalau
cik nak jumpa dengan dia, cik kena tunggulah sekejap,” ujar pekerja itu lagi.
Raudhah menggeleng perlahan. Mahu atau tidak,
dia memang terpaksa menunggu. Matanya terhendap-hendap ke arah beberapa dua
orang tukang asak yang lincah bekerja. Mana satu orangnya? Yang kurus tinggi
itu kah, atau yang tinggi tetapi sedikit berisi itu?
“Baiklah. Tapi kalau saya dah balik, tolong
bagikan dia kad ni...” kalut Raudhah mengeluarkan bussiness cardnya.
Mengharapkan Syamil akan menghubunginya nanti. Takkanlah dia nak mengajak Hazim
duduk di sini lagi. Esok, sudah sah-sah Hazim hendak memandu pulang ke Kuantan.
Selesai memberikan pesanannya, Raudhah berjalan kembali ke meja. Wajah Hazim
sedikit berbeza dari waktu mereka tiba. Rafi pula memandang keduanya dengan
penuh persoalan.
“Hrm... kalau tak ada apa lagi, kita baliklah.
Hazim, awak ok je kan?” soal Raudhah tak berperasaan. Perasaannya masih
bercelaru selagi dia belum dapat berjumpa dengan Syamil. Terasa mahu saja dia
duduk di sini sampai restoran ini tutup. Tapi, apa pula kata Hazim nanti? Yang
lagi penting, apa pula penerimaan ayah dengan ibu? Aduhai, sabarlah duhai hati.
Takkan lari gunung di kejar. Susah sangat, esok malam sebelum orang mula ramai,
kita ke sini lagi.
“Hrm... bolehlah. Raudhah pun nampak macam dah
tak ada mood,” kata Hazim sedikit berjauh hati. Ah! Kalaulah dia tahu Syamil
bekerja di sini, tak ingin dia hendak mengajak Raudhah ke mari. Masih banyak
lagi kedai makan lain yang istimewa. Tapi itu semua hanya kalau. Argh!
Tangannya meramas rambutnya kasar. Kecewa kerana Raudhah masih belum dapat
melihat ke dasar hatinya. Butakah gadis itu? Ah! Bukan buta, tetapi mata
hatinya sudah dikaburi dengan nama Syamil, itulah penyebabnya!
“Eh, sorrylah. Saya bukan apa...” kata-kata
Raudhah terhenti sejenak, mengambil masa untuk menyusun kata. “Well, Hazim
tahulah kan saya ke Kuantan hari tu sebab nak cari Syamil. And then, bila dah
terjumpa dekat sini, saya pun...”
“It is ok, Raudhah. Awak tak perlu explain...”
potong Hazim. Buat apa hendak mendengar penjelasan yang bakal mengecewakan diri
sendiri. Dia tahu, ada sesuatu di antara Syamil dengan Raudhah. Dia yakin itu!
“So, shall we go?” soal Hazim.
Raudhah mengangguk. Rafi hanya mengikut. Namun
belum pun sempat meneruskan langkah, terdengar suara seseorang menjerit,
memanggil nama Raudhah dari jauh. Raudhah menoleh. Terasa jantungnya terhenti
sekejap. Syamil!
***
“Raudhah apa khabar?” sopan Syamil bertanya.
Setelah hampir seminggu semenjak mereka
berjumpa di restoran hari itu, Syamil tiba-tiba muncul di hadapan rumahnya. Raudhah
menjeling ke arah ayahnya yang duduk di hujung sofa dengan surat khabar di
tangan. Dia yakin, walaupun ayahnya nampak seolah-olah tidak ambil kisah, namun
telinga ayah terpasang untuk mendengar setiap perbualan mereka. Aduh! Perasaan
malu dan segan mula hadir. Kalau sebelum ni dia yang tersua-sua mencari, bila
dah di depan mata, rasa nak melarikan diri pula!
“Alhamdulillah, sihat je. Syamil macam mana
pula? Lama betul tak dengar khabar?”
“Macam mana nak dengar khabar, saya lost
contact terus dengan awak... Tak tahu macam mana nak berhubung. Awak pergi
macam tu je pula tu...” Syamil menjeling Raudhah sekilas. Bibirnya tersenyum
melihat Raudhah serba tak kena. Manis!
“Saya macam inilah. Habis belajar, buka
restoran sendiri. Alhamdulillah, rezeki saya dekat situ. Dan sekarang, macam
yang awak tengoklah...”
Raudhah terangguk-angguk mendengar. Lagi? Nak
tanya apa? Aduh! Lidahnya terasa kelu untuk terus berkata-kata. Takkan nak
tanya tentang status Syamil pula? Entah-entah, Syamil sendiri tak ingat apa-apa
tentang perjanjian itu.
“Dah lama dah Raudhah jumpa Hazim? Nampak
mesra je masa jumpa di restoran hari tu?”
Raudhah menggeleng. “Tak juga. Jumpa dia di
Kuantan minggu lepas. Saya pergi sekolah kita dulu...”
Dahi Syamil sedikit berkerut. Sekolah kita?
“Buat apa?”
Soalan itu cukup membuatkan Raudhah serba tak
kena. Aduh! Apa yang dia nak jawab ni? Matanya menjeling ke arah ayahnya
sekilas. Sempat matanya menangkap mata ayahnya yang turut memandangnya, meminta
jawapan. Takkanlah dia nak jawab dia pergi mencari Syamil sedangkan semasa
pemergiannya hari tu, dia hanya menyatakan kepada kedua ibu bapanya yang dia
mahu berehat.
“Saya...”
Terasa darah sudah mula menyerbu ke muka. Ya
Allah, harap apa yang dia buat ni tak salah!
“Saya pergi cari awak.” Serentak dengan itu,
kulit muka Raudhah mula memerah. Sedaya upaya dia mencuba untuk mengawal agar
tidak terlalu jelas kelihatan.
Syamil tergamam. Tak percaya dengan apa yang
didengarnya. Raudhah mencarinya? Jadi selama ini tindakannya menanti Raudhah
bukanlah tindakan yang bodoh.Rupa-rupanya Raudhah juga masih berpegang kepada
janjinya. Allahuakbar! Tetapi, bolehkah Raudhah menerimanya jika dia
memberitahu perkara yang sebenar? Mampukah Raudhah menerima diri dia seadanya, dan
memaafkan segala kekhilafannya yang lalu? Perasaan Syamil kembali gundah.
8 comments:
saya rasa kan saya nak raudhah dgn hazim!
huhu! akakkkk! saspens nya! best! best! tapi tulah, saya pun rasa nak hazim dengan raudhah. hee :D good job, akak! sambung lagi ye :)
terima kasih ;)
saya nak raudhah dengan syamil. :)
kenapa ye?..
Errr.. Syamil sbb pe tu? Dia buat apa ms dlu? Pas tau sbb br leh sy pikir nak raudhah ngn sapa.. Ngeee~
sye pon nak raudhah dengan hazim
saya nk raudhah dgn syamil
saya pun nak raudhah dgn syamil,huhu...
Post a Comment