---
-Awak betul-betul
pasti dengan apa yang awak pilih?-
-Saya harap
awak buat keputusan yang tepat-
-Jangan
menyesal di kemudian hari. Semoga awak bahagia...-
Tiga mesej
terakhir daripada Hazim sering kali menghantui fikirannya. Apa yang Hazim
maksudkan? Ada sesuatu yang dia tidak tahu atau kata-kata itu sekadar ucapan
dan doa buat dia yang bakal mendirikan rumah tangga? Raudhah keliru sendiri.
Mahu bertanya, dia sudah mengambil keputusan untuk tidak menghubungi Hazim
lagi. Dia takut. Betul-betul takut. Takut kalau pesanan-pesanan atau gurauan
yang dia tak maksudkan apa-apa bakal mencambahkan perasaan Hazim yang sudah
sedia berakar itu. Jadi, biarlah segala-galanya terhenti di situ. Dia tak mahu
mengambil risiko.
“Banyak ke
lagi barang yang kau nak cari?” Hanani menuangkan air teh ke dalam cawan.
Uthman sesekali mengacah-acah Raudhah, mahu ajak bermain. Raudhah sekadar
tersenyum. Sesekali tangannya di panjangkan, cuba menangkap Uthman,
satu-satunya anak Hanani. Buat masa sekaranglah!
“Kalau untuk
resepsi tu, dah 80% lah. Makanan, khemah, kerusi, meja semua dah settle.
Tinggal kad kahwin je lah, adik aku si Rafi tu sibuk nak designkan. Goodies
bag, dengan benda kecik-kecik tu belum lagi. Ini yang aku nak ajak kau keluar
ni. Mak aku dah bising aku tak cari-cari lagi baju nikah dengan baju resepsi
apa semua ni...” ujar Raudhah dalam ketawa.
Sedikit pun
tidak rasa risau dengan majlis yang bakal berlangsung kurang daripada dua
bulan. Apa nak dirisaukan? Kad jemputan boleh diberi sebulan sebelum majlis.
Baju nikah dan baju resepsi, ibu yang tolong jahitkan. Bukan hanya jahit,
designnya pun ibu yang tolong designkan. Memang terbaiklah ibu!
“Mentang-mentanglah
ibu kau bekas tukang jahit, beli kain lambat-lambat pun tak apa, ya? Untunglah
orang tu kan. Ibu tukang jahit, bakal suami pula tukang masak...”
Raudhah sudah tergelak. Suka
mendengar usikan.
“Tak sangka ye korang ni? Boleh pula
janji-janji budak-budak tu jadi kenyataan? Dan yang paling aku tak sangka, kau
yang mulakan dulu ya? Aku ingatkan si Syamil tu yang duk tersuka dekat kau dulu?”
Spontan darah menyerbu ke muka
Raudhah. Raudhah hanya ketawa lagi dan lagi, Menutup rasa malu. Ah! Nampak
sangat dia ni jenis tak kisah serba-serbi. Ah tak apa. Nabi Muhammad s.a.w. pun
dilamar Siti Khadijah terlebih dahulu. Tapi, err... ada orang tengahlah!
Maisarah!
“Ah, kisah lamalah. Tak payah buka
ceritalah. So, suami kau bagi je kan aku bawak lari kau petang ni? Sebelum
maghrib kita baliklah. Lepas tu, err.. dinner kau ajaklah suami kau makan dekat
luar kalau tak sempat nak masak. Makan dengan restoran Syamil pun boleh...”
“Amboi...”
Hanani dan
Raudhah sudah berpadu suara. Siap promosikan restoran tunang sendiri! Ah! Nanti
si Syamil tu juga yang kena keluar duit untuk hantaran apa semua. Maka, Raudhah
sebagai tunang, perlulah membantu Syamil mempromosikan Warisan Tom Yam.
***
“Kau cadang
nak cari dekat mana ni?” soal Hanani.
Tali pinggang keledar
dipakai. Bukan sebab takutkan polis, tapi risaukan keselamatan diri. Kan Islam
sendiri mengajar kita menghargai nyawa yang masih ada?
“Tengoklah
dekat Kamdar dululah kot. Aku ingat nak survey-survey dulu dekat dua tiga
kedai, tengok mana yang cantik, mana yang harga berpatutan. Baru beli.”
“Untuk Syamil
punya?”
“Hrm... dia
tak kisah. Dia suruh aku yang pilih. Warna memang dah tetap, tinggal cari kain
ajelah.” Raudhah mula memfokuskan diri dalam pemanduan. Setelah dia mula
selesa, barulah perbualan disambung di antara mereka.
“Uthman ok
pula kena tinggal dengan Hasrul? Sikit pun tak merengek kena tinggal tadi?”
Pelik juga Raudhah bila melihat Uthman tak menangis tadi. Selalunya, pantang
nampak Hanani tak ada. Mahu setaman dia meraung.
“Hrm... dah
kena pujuk. Bapaknya nak bawa jalan, makan aiskrim. Sukalah dia. Lagipun,
biarlah sekali sekala dengan bapaknya pula. Biar mak dia relaks sikit hari ni,”
Hanani tertawa kecil.
“Hai, tengok
family kau buat aku tak sabar nak kahwin. Ada suami, ada anak...”
Hanani mengangguk perlahan. Faham benar dengan
perasaan Raudhah. Dia pun pernah merasakan perkara yang sama dahulu.
“Tapi risau
jugak bila memikirkan fasal anak. Nak mendidik jadi anak yang soleh tu,
mencabar tanggungjawabnya...”
“Sebab itulah
kahwin ni, kena ada ilmu. Bukan hanya ilmu tentang hubungan suami isteri. It is
more than that. Ilmu tentang tanggungjawab suami isteri, yes, memang kena ada.
Tapi pada aku, ilmu tentang mendidik anak-anak tu perlu lebih sikit. Bukan
senang nak mencorakkan kain putih. Salah corak, takut terjadi kirstian atau
yahudi pula nanti...”
Raudhah
mendiamkan diri. Memang betul kata-kata Hanani. Itu baru tentang mendidik.
Belum masuk bab keadilan antara anak-anak. Lagi-lagi kalau pasangan yang ada
anak ramai. Mesti ada seorang yang akan tersisih, terasa diri tak dimanjakan
sepatutnya. Dan bila perkara itu terjadi, hanya agama yang akan ‘mengikat’ anak
itu supaya tidak melakukan perkara yang bukan-bukan. Seperti apa yang berlaku
pada salah seorang kawannya sewaktu dia belajar di UK dahulu.
“Alah,
relakslah. Allah sentiasa bersama-sama dengan kita. Lagipun, bukan kita seorang
yang kena mendidik anak. Suami pun ada tanggungjawab yang sama. Ok? Ni tadi
ceria semacam, bila bercakap fasal anak terus terdiam membisu, ya?”
Raudhah
tersenyum simpul. Kereta dibelok ke kiri, memasuki kawasan parkir yang
disediakan di bawah bangunan shopping complex itu. Sedikit sebanyak topik yang
dibualkan tadi membuatkan dia berfikir. Moga dia mampu menjadi isteri dan ibu
yang baik walaupun bukan yang terbaik di atas dunia ni.
***
Satu
demi satu kedai yang menjual kain di jelajahi. Namun satu pun tidak menepati
piawaian Raudhah. Ada sahaja yang tidak kena pada matanya. Bila warna dah
sesuai, coraknya pula dia tak berkenan. Bila coraknya sudah ok, harganya pula
terlalu mahal. Tak berbaloi pula untuk beli kain yang mahal sedangkan pakainya
hanya sekali. Kalau ada adik-adiknya yang hendak berjimat waktu kahwin nanti, boleh
saja guna baju nikah dia. Tapi, ada ke yang sudi meminjam? Rasanya zaman
sekarang ni, masing-masing ikut nafsu sendiri.
“Eh? Itu bukan ke Syamil kau, Raudhah?”
Raudhah mengalihkan pandangan daripada hiasan barang
hantaran yang bersusun di atas rak kaca ke arah yang ditunjukkan Hanani.
Matanya dikecilkan. Syamil? Mana? Saat dia terpandangkan Syamil yang sedang
duduk berhadapan dengan seorang wanita di dalam KFC, jantungnya berdegup
kencang. Patutlah Syamil kata dia tak ada masa untuk keluar hari ni. Rupa-rupanya
dia ada meeting lain.
“Ha’ah. Syamil. Dia memang ada cakap dia ada meeting
dengan kawan lama dia. Sebab itu dia tak dapat teman aku hari ni.” Raudhah
senyum. Dia cuba untuk menenangkan diri. Dia tak mahu terburu-buru. Dia mahu
Syamil sendiri yang membuka mulut, bercerita apa yang dia sepatutnya tahu. Dia
percayakan Syamil. Percaya walaupun telah lama mereka tak pernah berjumpa.
“Oh. Iya ke? Nampak serius je berbualnya. Macam bincang
hal kerja pula...” Hanani memandang sekali lalu sebelum menarik tangan Raudhah
ke tempat lain.
“Masa bertunang ni, memang banyak sikit dugaannya,
Raudhah. Darah manis. Kita pula nak bina masjid. Jadi syaitan memang akan
ganggu habis-habisan. Manalah dia suka perkara-peraka yang halal ni. Jadi,
kalau apa-apa, jangan bertindak ikut emosi ya, dear? Doa banyak-banyak, minta
Allah memudahkan urusan,” nasihat Hanani tanpa diminta.
Bagai tahu-tahu apa yang cuba disembunyikan oleh Raudhah.
Raudhah... Raudhah. Bukannya baru setahun dua mereka berkawan. Dia cukup masak
dengan air muka Raudhah yang akan berubah mengikut emosi. Hanani senyum tak
berperisa. Kasihan pun ada apabila melihatkan senyuman Raudhah yang sudah
pudar. Masa Hanani bertunang dengan Hasrul pun, boleh tahan dugaannya. Makin
dekat-dekat hari pernikahan, makin menjadi-jadi. Mujurlah segala-galanya
berjalan lancar. Syukur!
Raudhah mengiyakan kata-kata Hanani. Entah mengapa, mesej
daripada Hazim kembali terbayang di fikiran.
-Jangan
menyesal di kemudian hari...-
Ah! Syaitan sudah mula menjalankan misinya.
***
“Baju dah dapat! So, bila kita boleh pergi hantar tempah
ya? Untuk saya, ibu akan jahitkan. Untuk awak je lah tak tahu nak hantar mana,”
ujar Raudhah ceria. Sedaya upaya dia mengawal suara supaya tidak berubah dengan
ketara. Bila Syamil membuka mulut baru dia akan bertanya bertubi-tubi. Itu
janjinya.
“Iya? Cantik ok tak kainnya? Awak pergi dengan siapa?
Hanani? Sorrylah. Hari saya ada hal hari tu. Tak dapat nak temankan...”
“Yup. Pergi dengan dia. Lama jugaklah berjalan mencari.
Tapi tak apa, puas hati dapat barang yang sesuai...” Raudhah menghela nafas
perlahan.
“Oh, ya! Awak ada hal apa hari tu? Kebetulan saya
ternampak awak dengan someone dekat KFC masa sibuk cari barang.” Tenang Raudhah
bersuara walaupun dadanya mula berdebar apabila perbualan mula menjurus ke arah
peristiwa semalam.
“Nampak saya dekat KFC?” Syamil terdiam sebentar.
Menyusun ayat memberi jawapan yang terbaik. “I met a friend of mine, actually.
Jemput dia sekeluarga datang majlis kita nanti...”
Kata-kata Syamil membuatkan Raudhah tertanya-tanya
sendiri. Perlukah sampai ke KFC hanya untuk menjemput kawan? Hatinya mula
ragu-ragu dengan Syamil. Raudhah meraup muka dengan tapak tangan. Matanya memandang
ke arah siling yang kosong. Kemudian pandangannya beralih pula ke arah penjuru
bilik yang sudah mula penuh dengan barang-barang untuk perkahwinannya.
Tiba-tiba dia mula terasa risau. Kalau masa bertunang pun dia mula tak yakin
dengan kata-kata Syamil, bagaimana pula bila sudah hidup bersama nanti?
2 comments:
hurmmm,mesti ad something yg syamil nk sorokkn ni...anyway,nk mntk tlong update la slalu entry...rasa lama sgt nk tunggu satu2 entry...hihi
best sangatttt! ^^ thank you akak! ada masa, sambung lagi ye :)
Post a Comment