***
Suasana hening buat seketika. Baik Syamil
mahupun Raudhah, kedua-duanya bagaikan kehilangan kata-kata. Raudhah apatah
lagi. Baru kini dia faham perasaan perempuan yang tersua-sua. Aduh! Terasa jatuh
maruahnya ketika itu.
“Raudhah...”
Raudhah menoleh ke arah ayahnya. Surat khabar
sudah berlipat dan terletak kemas di atas meja kopi.
“Ya, ayah?”
“Along tak nak buatkan air ke untuk Syamil?
Ayah rasa, dah lama dia duduk kosong begini?”
“Ok. Err... tunggu sekejap ya, Syamil.”
Raudhah sudah bangkit dari duduk. Belum sempat
dia hendak melangkah, ayah bersuara sekali lagi.
“Keluarkanlah sekali apa-apa yang boleh
dikunyah. Kalau puding yang Along buat semalam ada lagi, boleh bagi Syamil
jamah. Ayah nak berbual sekejap dengan Syamil.”
Erk? Mata Raudhah membulat. Dadanya bagaikan
dipalu kompang. Tanpa membantah, dia terus ke dapur bagi memasak air dalam
keadaan yang masih belum tenang. Ayah nak screen test Syamil, agaknya! Raudhah
melawak sendiri, cuba menenangkan hati yang gundah. Kalau ayah menolak macam
mana? Kalau Syamil dah berpunya pula, bagaimana? Aduh, kalut!
“Baru nak masak air Along?”
Mujur tak terlepas piring kaca yang dipegang
Raudhah. Raudhah mengangkat muka, memandang ke arah ibu yang baru masuk ke
dapur dengan senyuman yang penuh makna.
“Hrm... tadi berbual dengan Syamil sekejap.
Tak ada siapa boleh tolong masakkan air.”
“Along nak buat air apa ni? Kopi?”
“Buat Vico je kot. Kalau tak silap, dulu
Syamil alergi dengan kopi,” balasnya bersahaja. Tidak sedar pandang ibunya
sudah semacam. Sedar diri diperhatikan, Raudhah mengangkat muka, berbalas
pandang dengan ibunya.
“Banyak yang kamu tahu tentang si Syamil tu,
ya?”
Muka Raudhah sudah mula merah.
“Ibu pergilah duduk depan, boleh berbual-bual dengan
Syamil...” Raudhah mengalihkan topik. Malu kalau diusik dengan soalan-soalan
yang bakal mengungkai isi hatinya.
“Ibu dah duduk sekejap tadi. Manis orangnya.
Biarlah ayah yang berbual dengan dia. Ibu ikutkan saja.”
“Ayah bualkan apa, ibu?”
“Eh? Sibuk pula anak dara seorang ni!” sekali
lagi ibunya mengusik. Raudhah sudah tersipu sendiri.
“Apa-apa pun, you got my green light. Cuma,
betul ke Hazim tu tak ada apa dengan Along? Ibu tak nak Along bagi harapan pada
dia...”
Raudhah menghela nafas perlahan. Bukan dia tak
nampak harapan yang menggunung daripada mata Hazim. Namun, hatinya bukan boleh
dipaksa-paksa. Sekali hatinya kata Syamil, itulah keputusannya. Tidak ada yang
boleh membantah selain Allah dan kedua-dua ibu bapa dia. Itu tekadnya.
“Along tak pernah bagi harapan pada dia pun,
ibu. Lagipun kami jarang berhubung...” jelasnya ringkas.
“Baguslah kalau macam tu. Ibu risau juga bila
dengar Rafi kata Hazim tu rajin mesej dia bertanyakan Along...”
Raudhah terpempan. Benarkah? Ah, sudah!
***
Hampir dua bulan semenjak Syamil berkunjung ke
rumahnya dan sudah hampir dua minggu dia menjadi tunangan Syamil secara rasmi.
Raudhah menilik lagi cincin emas yang tersarung elok di jarinya. Terasa
bagaikan mimpi sewaktu mak Syamil menyarungkan cincin ke jarinya. Benarlah
kata-kata seorang Umi yang pernah dia dengar di dalam sebuah kuliah. Jika
seseorang itu jodoh kita, walaupun tidak dapat petunjuk sewaktu istikharah, urusan-urusan
daripada merisik sehingga pernikahan yang Allah mudahkan itu juga jawapan
daripada Dia. Jawapan dan juga petunjuk yang keputusan yang dibuat merupakan
keputusan yang tepat. Harapnya semua berjalan lancar sehingga ke hari
pernikahannya nanti.
Majlis pertunangannya pun dilakukan secara
kecil-kecilan. Pada Raudhah, tak perlu hendak menghebahkan tentang pertunangan.
Bila walimah nanti baru dia hebahkan kepada sahabat handai. Hanya beberapa
kerat sahaja kawannya yang tahu tentang pertunangannya. Hanani sudah tentulah
orang pertama yang tahu. Hazim? Biarkanlah dia. Tiada sebab untuk dia
memberitahu kepada Hazim.
“Berseri-seri muka. Baru bertunang, belum
kahwin lagi. Nanti kahwin agaknya silau terus orang lain tengok pengantin, ya?”
usik Hanani dengan membawa sepinggan nasi campur di tangan. Raudhah ketawa.
Lama dia terleka sementara menunggu Hanani mengambil nasi untuk makan tengah
hari. Sedangkan, Hanani hanya terlewat beberapa saat saja daripada dia.
“Eleh, kalau aku senang hati, kau mesti lagi
senang hati, ya tak? Tak perlu risau nak bermadu dengan aku, kan?” usik Raudhah
pula.
Sejak dua menjak ni, hatinya lapang sentiasa.
Bagaikan ada beban berat yang sudah diangkat daripada pundaknya. Terasa
hidupnya lebih ceria daripada dahulu. Ah sudah! Macamlah sudah jadi isteri
orang je gayanya. Belum apa-apa dia, sudah berangan berada di syurga.
“Alah, tak adanya kau nak cik abang aku tu.
Kalau tiga tahun lepas, mungkinlah. Sekarang? Kau tengok perut dia pun kau dah
lari...” Hanani mencebik. Sempat lagi dia mengutuk suaminya.
“Itu maknanya, kau pandai jaga lelaki. Kasi
boroi biar perempuan lain tak pandang, kan?”
Hanani ketawa. Ketawa ada makna tu. Melihatkan
rumah tangga Hanani yang sudah menginjak tiga tahun, sedikit sebanyak Raudhah
berasa kagum. Jarang dia mendengar Hanani dan suaminya bergaduh. Anak mereka
yang seorang itu pun nampak bijaknya. Beruntung Hanani, baru di dunia sudah
mendapat syurga yang setiap wanita idam-idamkan.
“Nanti kau doakanlah untuk aku pulak ya?” ujar
Raudhah tanpa sedar.
Hanani terpinga-pinga.
“Doa apa?”
Raudhah tersentak. Lantas, kepalanya digeleng
perlahan. Berangan lagi!
“Doakan je apa yang terbaik untuk aku.”
Raudhah tersenyum lagi. Kemudian, dia membaca basmalah untuk memulakan
makannya.
***
-Sampainya hati orang tu bertunang tak
beritahu saya-
Raudhah membaca mesej yang diberikan Hazim.
Kerja yang tadi disiapkan, dibiarkan seketika. Keningnya terangkat apabila membaca
mesej itu.
-Bertunang saja, Hazim. Nanti kenduri barulah diheboh-hebohkan.
Nak ajak satu Malaysia pun boleh. Tapi jamu air kosong ajelah. Hihi. ;)-
Laju dia membalas mesej Hazim. Telefon
diletakkan kembali di sebelah mouse. Kemudian matanya lama merenung telefon itu.
Menunggu kalau-kalau ada balasan lagi. Hampa. Tanpa membuang masa, dia kembali
meneruskan kerjanya. Entah mengapa, perasaan bersalah muncul.
-Iyalah, siapalah saya ni kan? Dengan
kawan-kawan pun tak nak cerita. Merajuklah macam ni...-
Raudhah ketawa perlahan. Perasaannya tenang
secara tiba-tiba. Membaca mesej membuatkan dia yakin apa yang dirasainya selama
ini salah. Hazim hanya menganggap dia sebagai kawan saja.
-Merajuk, tak ada orang nak pujuk. By the way,
mana awak tahu saya dah bertunang?-
-Rafi-
-Kepoh betul budak tu-
-Dia terpaksa cakap. Kalau t-
Berkerut dahi Raudhah membaca mesej yang
tergantung itu. Kalau? Kalau apa? Baru dia hendak menaip mesej, telefonnya
bergetar menandakan ada mesej baru masuk.
-Kalau tak, saya bakal pinang tunang orang...-
Raudhah tergamam. Terasa peluh sejuk mula
keluar daripada tengkuknya. Spontan dia mencampak telefonnya ke atas meja. Tangannya
meraup muka perlahan. Nafasnya mula tak teratur. Tanpa berlengah, dia meninggalkan
meja kerjanya dan menuju ke bilik air. Dirinya perlu ditenangkan sebelum dia
boleh meneruskan kerjanya. Ya Allah, perasaan apakah ini?
4 comments:
Bestnye bila ramai orang nak. Hahah...
utgla raudhah, dua2 nak kt die..hehe
Siapa kta ble rmai yg nak kat kte SERONOK...payah jgak sebenarnya ble ramai org nak ni.coz mestiada yg x brpuashati ble kte buat pilihan.ada jg hati2 yg terluka jka x d pilih, shngga snggup gna cra khurafat/sihir utk lpskn rsa xpuasht tu.Itu pengalaman sbnar sya.hmpir hlng nyawa krna hal mcm ni....
harap2 kekal lah raudha ngan syamil
Post a Comment