---
“Hei? Muka macam lempeng basi je? Kenapa ni?”
Lamunan Raudhah terhenti tatkala mendengarkan suara
Hanani menegur. Kepalanya digelengkan perlahan. Pandangannya terarah kepada
kerja-kerja yang bertimbun, yang perlu disiapkan sebelum cuti panjang selepas
perkahwinannya. Raudhah menghela nafas perlahan. Pen yang terselit di jari
dilepaskan. Kemudian, dia melarikan pandangan ke sekeliling pejabat. Tak sedar
masing-masing sudah sibuk keluar, menyegarkan diri dengan makan dan solat.
“Hei? Kenapa ni? Kau ok ke tak? Kerja banyak sangat?”
tegur Hanani lagi. Melihatkan keadaan Raudhah yang bagaikan tak bersemangat
membuatkan dia turut sama berasa risau. Lagi-lagi selepas insiden tempoh hari.
“Aku ok. Tak ada mood sikitlah. Nak period agaknya...”
“Ya? Aku tengok kau semenjak dua menjak ni, muka lemau
je? Muka tak berseri langsung. Aura pengantin tu tak ada. Sebab banyak sangat
berdua dengan aku ke? Aku terambil seri pengantin kau, ya?” usik Hanani.
Raudhah senyum tak berperasaan. Kemudian dia mencapai tas
tangannya. Bersedia untuk keluar, merehatkan diri selama sejam sebelum kembali
meneruskan kerjanya. Semenjak bekerja, dia sedaya upaya mendisiplinkan diri
agar mematuhi segala peraturan di tempat kerjanya. Apabila waktu rehat, dia
rehat. Apabila waktu kerja, dia kerja. Barang-barang pejabat tak pernah dia
gunakan atas tujuan peribadi sekalipun hanya sebatang pen yang diberikan untuk
pekerja.
Ini semua kerana dia pernah mendengar ceramah seorang
ustaz tentang masalah sosial remaja. Walhal remaja yang terlibat itu pelajar
sekolah agama. Bila di soal tentang surah Ar-Rahman, semuanya dah tersemat di
dalam dada. Tetapi apabila dikorek-korek bertanya tentang keadaan ibu bapa, ibu
bapa remaja ini seorang yang suka mengular sewaktu bekerja. Ibu bapa remaja itu
memberikan anak-anak bahan belajar daripada hak pejabat, hatta sekeping kertas
A4 juga di ambil kira. Raudhah tak mahu anak-anaknya jadi begitu. Jadi dia
menjadi sangat berjaga-jaga. Risau gaji yang dia dapat setiap bulan tiada
keberkatan daripada Allah s.w.t.
Tetapi, Syamil pula bagaimana? Bukan hanya soal gaji,
soal makanan yang perlu diambil perhatian. Pergaulan ibu bapa juga turut
menyumbang sama. Kalau ibu bapa pun jenis yang tak kisah batas-batas pergaulan,
macam mana hendak mendidik anak menjadi anak yang sopan dan taat?
“Tengok tu? Termenung lagi? Kau fikirkan apa sebenarnya,
Raudhah? Risau barang hantaran ke? Jangan risau. Aku dah janji kan nak siapkan?
Insya Allah...” Hanani masih berusaha untuk mengorek rahsia hati Raudhah. Dia
tahu Raudhah sedang menyimpan sesuatu.
“Aku tak ada apalah. Kau jangan risau ok? Hah! Yang bab
hantaran tu, aku tak kisah pun kalau dapat masa hari wedding nanti. Tapi...
F.O.C. lah! Free of charge!” usiknya pula. Tak mahu Hanani terus-terusan
menyoalnya. Hanani memang pakar dalam bab-bab meneka ni.
“Iyalah... F.O.C. pun F.O.C lah. Tapi tak ada hadiah lainlah.
Hihihi!”
“So, kita nak makan mana ni?” soal Hanani.
“Hrmm...”
“Warisan Tom Yam?”
Raudhah sudah
ketawa. Pandai-pandai saja Hanani meneka. Lagipun, memang dia hendak ke situ
pun. Saja hendak memerhatikan Syamil menguruskan restorannya. Mana tahu satu hari
nanti dia berhenti menjadi arkitek dan membantu Syamil di restoran?
“Dah
agak dah! Memang tak ada tempat lain sejak tahu restoran tu encik tunang dia
punya, kan?”
“Memang
pun. Makanan dia pun sedap-sedap! Lagipun, aku ni pemilih sikit. Tak naklah aku
makan dekat restoran yang tak tahu tukang masaknya solat ke tidak. Mahu gelap
hati aku nanti. Kalau Warisan Tom Yam tu lainlah. Dia ada...”
“Ada surau. Setiap kali waktu solat nanti Syamil akan
suruh anak-anak buahnya solat bergilir-gilir. Ada masanya Syamil sendiri jadi
imam... Hah! Dah kali ke seratus lapan puluh lima kau ulang cerita ni tau!
Sampai aku pun dah hafal sangat!” marah Hanani. Geram pula bila Raudhah asyik
bercakap perkara yang sama berulang kali.
Raudhah hanya ketawa. Tak mengambil serius dengan apa
yang Hanani ucapkan. Hanani memang begitu. Marah-marah sayang! Tak pernah pula
Hanani berhenti menjadi kawannya. Lagipun betul apa? Air tangan orang yang tak
solat ni, diibaratkan macam minum air kencing anjing hitam tau! Betapa kotor
dan jijiknya makanan itu walaupun hakikatnya makanan itu normal.
“Oklah. Lepas ni aku diam je. Merajuk dengan kau, Ni...
Dan, disebabkan aku merajuk, aku nak kau yang drive. Boleh?”
“Eh, no problem! Kereta baru, siapa yang tak nak, kan?” Kunci
kereta dihulurkan kepada Hanani. Tanpa membuang masa, Hanani hanya menerima
dengan ceria.
***
-Kita jumpa malam ni? Ajak Rafi sama...-
Buat kesekian kalinya Raudhah membaca nota yang
diselitkan Syamil sewaktu minuman dihantar ke meja mereka. Apabila dia
teringatkan pesanan Syamil, perutnya terasa sebu. Risau mengapa tiba-tiba
sahaja Syamil hendak berjumpa dengannya. Seolah-olah ada sesuatu yang Syamil
hendak bincangkan. Ah! Raudhah, itu semua mainan perasaan sahaja. Selama ini
kalau Syamil ajak berjumpa, tidak pula dia memikirkan apa-apa. Tetapi semenjak
dia ‘menangkap’ Syamil bersama seorang perempuan hari itu, mudah sahaja dia
memikirkan yang tidak-tidak.
“Jumpa dekat rumah jelah, Long. Rafi ada meeting malam
ni!” pinta Rafi.
Raudhah serba salah. Hendak memaksa, dia faham tugas Rafi
sebagai pelajar. Hendak menahan, dia takut Syamil memang betul-betul ada hal
sehingga terpaksa mengajaknya keluar.
“Long... Rafi bukan tak nak temankan. Tapi, Rafi memang
betul-betul ada meeting penting. Projek kita orang ada masalah sikit. Esok dah kena
jumpa supervisor nak tunjuk projek tu. Rasanya malam ni pun Rafi tak balik
rumah. Sorry kak...” ujar Rafi lembut.
Serba salah apabila melihatkan air muka Raudhah sedikit
keruh. Macam ada masalah sahaja Alongnya seorang ni. Pening kepalanya hendak
melayan. Ini baru Along, belum lagi Abang Hazim yang tak sudah-sudah
bertanyakan soal Along. Belum lagi memikirkan projek inovasinya yang sangkut
kat tengah jalan. Stress!
“Oklah. Along faham. Along dulu belajar jugak. Elok-elok
bawak motor pergi U nanti. Dah malam dah ni...” sempat Raudhah berpesan. Rafi
hanya mengangguk. Dalam pada masa yang sama, Raudhah merangka-rangka ayat untuk
dihantar kepada Syamil.
***
“Tak boleh ke kita keluar sekejap?” desak Syamil.
Raudhah hanya menggeleng perlahan. Sudah dijelaskan
perihal Rafi tadi, tetapi Syamil tetap mendesaknya.
“Rashidah? Takkan dia tak boleh temankan juga?” soal
Syamil lagi.
Dia terdesak. Betul-betul terdesak. Semakin hari
pernikahan mendekat, semakin dia resah juga perkara itu tak dikongsikan bersama
Raudhah. Dia tak mahu Raudhah menganggapnya menipu apabila mengetahui kelak.
Walaupun kalau boleh, mahu saja dia merahsiakan hal ini. Tetapi dia risau
penerimaan Raudhah kalau Raudhah mendengar daripada mulut orang lain. Sedangkan
pertemuan rahsianya bersama Kak Ainin di KFC hari tu pun, Allah dah mengizinkan
Raudhah melihat. Apa pula akan berlaku kalau Allah takdirkan Raudhah mengetahui
segala-galanya tanpa pengetahuan dia?
“Syamil... kalau hendak berbincang, bincang saja di sini.
Kalau rasanya perlukan privacy, pak cik beri masa sekejap untuk kamu
bincangkan....” ayah Raudhah bersuara. Kasihan pula melihatkan wajah Syamil
yang sedikit kusut. Bagaikan ada masalah sahaja lagaknya. Biarlah dia ke dapur
sebentar sementara Syamil dan Raudhah berbincang.
Syamil sedikit terkejut mendengarkan kata-kata Pak Cik
Jalil. Namun, sedikit sebanyak dia berasa lega dengan cara Pak Cik Jalil.
Biarlah aibnya hanya diketahui oleh orang-orang yang tertentu. Lebih-lebih lagi
insan yang bakal menemani hidupnya pada masa-masa akan datang.
“Apa yang penting sangat awak nak cakap?” soal Raudhah
apabila Syamil mendiamkan diri. Kalau tentang persediaan perkahwinan, rasanya
tiada apa-apa masalah.
Bibir Syamil bergerak-gerak, ingin menyatakan sesuatu.
Namun, dia ketandusan kata-kata untuk disusun supaya menjadi sebuah ayat yang
boleh diterima oleh Raudhah. Bagaimana harus dia memulakan?
“Raudhah, I was once married...”
Raudhah tersentak. Dahinya berkerut. Matanya membulat
memandang Syamil.
“What?” Biar benar?
“I was once married, Raudhah. Kahwin dengan adik angkat
saya...”
Raudhah menelan air liur. Terasa perit hendak menerima
apa yang Syamil sampaikan. Nafasnya bagaikan terhenti mendengarkan pengakuan
Syamil.
“So, that lady that I saw with you was your wife?”
Syamil menggeleng perlahan.
“Itu kakak dia. Ainin. Perempuan yang pernah jadi isteri
saya, Aina. Mulanya dia adik angkat di universiti saya sampai satu hari, we
fell for each other...”
Raudhah terdiam. Air matanya terasa bergenang ditubir
mata. Selama lima belas tahun dia setia menunggu Syamil. Selama lima belas
tahun dia mengharapkan Syamil turut menunggunya. Tak sangka selama ni hanya dia
yang memasang angan-angan sendiri. Semuanya merupakan perjanjian kosong,
perjanjian bodoh yang dicipta oleh dia sendiri pada masa yang belum matang!
Argh! Kenapa dia tak mendengar sahaja nasihat Hanani yang menyuruh dia
melupakan semua itu?
“Tapi, berkahwin dengan dia tak pernah termasuk dalam
perancangan saya, Raudhah. At that time, I was just thinking of having fun.
Bergembira, merasai apa yang orang lain turut merasa until one night...”
Raudhah tertunduk. Tak sanggup rasanya hendak mendengar
kata-kata yang bakal keluar daripada mulut Syamil. Terasa sakit apabila
terpaksa berhadapan dengan realiti. Realiti yang membuatkan impiannya untuk
bersama dengan Syamil punah!
“Sepatutnya saya menjaga dia, Raudhah. Tapi, saya silap.
Bila Allah dah larang, perkara itulah yang seronok dilakukan. At last, she
pregnant. Dan bagi menutup malu, family dia meminta saya bertanggungjawab,” kata-kata
Syamil terhenti. “Raudhah...” panggilnya perlahan apabila melihat Raudhah sudah
tergeleng-geleng tanda tidak boleh menerima.
“Stop it, Syamil. Saya tak nak dengar. Please!” pinta
Raudhah perlahan.
Menerima hakikat bahawa Syamil tidak pernah menaruh
perasaan terhadapnya itu satu hal. Menerima khabar Syamil pernah berzina dengan
perempuan lain satu lagi hal. Tanpa dipaksa-paksa Raudhah teresak sendiri. Ya
Allah, lagi beberapa minggu sahaja lagi pernikahannya bakal berjalan. Kenapa
baru hari ini Syamil membuka semuanya?
“Tak Raudhah. Awak kena tahu perkara sebenar. Saya tak
nak ada rahsia lagi antara kita. Kita bakal berkahwin, Raudhah. Saya tak nak
awak rasa tertipu bila kita dah kahwin nanti...”
“Apa yang membuatkan awak rasa saya tak rasa tertipu
sekarang, Syamil? Kenapa awak tak berterus-terang sejak awal? Apa yang
membuatkan awak yakin saya boleh terima semua ni?” marah Raudhah. Namun suaranya
dikawal. Dia tak mahu ibu dan ayahnya mendengar apa yang Syamil katakan. Makin
laju air matanya mengalir. Semakin jauh perasaannya terhadap Syamil. Benci! Dia
benci mendengar sejarah silam Syamil. Alangkah bagusnya kalau Syamil merahsiakan
sampai bila-bila. Sekurang-kurangnya taklah dia kecewa begini.
“Kehadiran awak dalam hidup saya seolah-olah memberi
semangat untuk saya mulakan hidup baru, Raudhah. Lama saya menghukum diri
setelah pemergian Aina dan anak kami. Bulan ke enam mengandung, Aina tumpah
darah sewaktu di rumah. Masa tu, saya bukan Syamil yang awak kenal sekarang.
Saya Syamil yang lupa ada penjaga kiri dan kanan. Saya Syamil yang gilakan
hiburan. Saya Syamil yang tak pernah cukup dengan seorang perempuan. Bila Aina
pergi, baru saya sedar. Hidup ini tak lama. Umur muda tak bermakna hidup masih
panjang...”
“Dah berapa ramai perempuan yang awak dan berzina?” marah
Raudhah.
Syamil tersentak. Soalan Raudhah betul-betul membuatkan
dirinya terasa hina.
Kisah hidup Syamil dengan Aina sedikit pun Raudhah tak
mahu ambil tahu. Apa yang dia tahu, Syamil lelaki kotor. Lelaki yang sudah
bersama dengan ramai wanita! Mata Raudhah sudah mula perit, hidungnya pula
sudah mula merah. Semuanya akibat menangis. Bodoh! Terasa dirinya betul-betul
bodoh dalam menilai manusia.
“Awak sedar tak
zina tu dosa besar, Syamil? Awak sedar tak perkara itu hina di mata Allah?
Kenapa awak boleh terjebak dengan perkara-perkara macam tu?” luah Raudhah
kesal.
“Lima belas tahun dulu, awaklah lelaki yang paling sopan
yang saya pernah jumpa. Awaklah lelaki yang paling segan dengan perempuan. Bila
kena usik sikit, terus merah muka. Tak sangka ya, dalam merah-merah tu, boleh
berubah jadi tak tahu malu langsung?”
“Pantai pun boleh berubah, inikan pula hati manusia kan?”
sindir Raudhah lagi. Hilang perasaan sedih, perasaan marah dan geram mula yang
mengganti. Dia memandang Syamil jijik. Geli membayangkan lelaki itu bersama
dengan wanita-wanita yang berbeza setiap malam.
“Raudhah, kalau awak tak boleh terima...”
“Memang saya tak boleh terima Syamil. Kalau saya tahu
selepas kita berkahwin pun, saya tetap tak boleh terima. Maaf Syamil. Saya
jijik membayangkan awak bersama dengan perempuan-perempuan lain. Bukan saya tak
terima sebab lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, lelaki penzina untuk
perempuan penzina. Bukan. Bukan sebab itu. Cuma saya sendiri yang belum cukup
mulia untuk menerima kelemahan awak...”
“Apa maksud awak?” soal Syamil sedikit cuak. Adakah ia
bermaksud...
“Kita putus.”
Syamil terdiam. Badannya disandarkan ke sofa. Allah... Dia
sedar khilafnya. Dia sedar betapa kotornya dia dahulu. Mungkin bukan Raudhah
insan yang bakal menemaninya menjalani hidup sehingga ke hujung nyawa. Mungkin
ada insan lain yang sudi menerima dirinya seadanya, sebagaimana dia berjanji
untuk menerima bakal isterinya seadanya. Syamil memujuk diri sendiri.
“Along? Kenapa nak putuskan pertunangan tiba-tiba ni?”
Pak Cik Jalil muncul setelah hampir sepuluh minit memberikan ruang buat mereka
berdua. Dahinya berkerut melihatkan air muka Raudhah yang baru lepas menangis.
Syamil yang berada dalam keadaan terkejut turut menarik perhatiannya. Apa yang
berlaku? Selama dia di dapur, dia langsung tak mendengar apa-apa. Tahu-tahu
bila masuk ke ruang tamu, Raudhah pula meminta pertunangan diputuskan.
“Lagi berapa minggu je lagi kamu dah nak menikah.
Bawakkan bersabar kalau ada salah faham. Jangan ikutkan emosi sendiri je,
Along. Cuba bawak bertenang, bawak berbincang dulu?” nasihat Pak Cik Jalil
lembut. Dahulu, Raudhah sendiri yang beriya-iya mencari Syamil. Tetapi
sekarang, apa sudah jadi?
“I’m done talking, ayah. Along naik dulu...”
Cincin dikeluarkan daripada jari perlahan-lahan.
Kemudian, dia meletakkan cincin itu di atas meja, membuatkan Syamil tergamam.
3 comments:
oooo....jahatnyer syamil...tp dia dah bertaubatkan..nampaknyer mmg x de jodoh antara mereka berdua :(
xkire lar sape pun jodoh die... jgn Hazim sudahlar... xbkenan dgn mamat tu... tq cik writer...
nak dgn hazim... tp jgnlah nilai dan hukum syamil hina sgt... dia dah berubah..
Post a Comment