::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

07 August 2012

Cerpen: When I'm With You


“Awak tak banyak cakaplah. Saya suka awak!” selamba Raudhah menuturkan.
Lelaki itu tidak membalas. Wajahnya kemerahan. Itulah kali pertama dia mendapat perhatian daripada seorang pelajar perempuan dan juga rakan sekelasnya setelah hampir enam tahun dia bersekolah di sekolah rendah ini.

“Awak nak tahu? Hari ni last day saya kat sini. Ayah saya sambung belajar dekat UK. Lepas ni tak dapatlah saya nak jumpa awak lagi...”
Bulat mata Raudhah memandang wajah yang sudah serba tidak kena. Suka dia melihat lelaki itu yang sedikit malu-malu bila berbual dengan perempuan. Comel!
“Berapa lama awak dekat sana?” perlahan suara itu kedengaran.
Raudhah menjongketkan bahu.
“Tak tahu lagi. Kalau ayah saya tiba-tiba nak tinggal dekat sana terus pun boleh jadi jugak. Lepas ni, tak dapatlah saya nak jumpa awak lagi.” Raudhah masih tersenyum. Tangan diangkat, untuk melihat jam di pergelangan. Sudah hampir tiba masa untuk perhimpunan.
“Awak...”
“Hrm?”
“Saya suka awak. Nanti bila saya balik Malaysia semula, saya cari awak. Awak tunggu saya, ye! Tapi kalau lebih sepuluh tahun tak jumpa, tak apalah. Tapi, dalam masa sepuluh tahun ni, awak tunggu ye. Jangan kahwin dengan orang lain tau!” Ujar Raudhah nakal. Mata dikenyit sebelah sebelum meninggalkan lelaki itu yang semakin bertambah merah mukanya. Malu!

***

Bagai ada sesuatu yang menarik-narik hatinya untuk menjejakkan kaki ke sekolah itu. Sudah hampir seminggu dia tiba di Kuantan, baru hari ini dia memberanikan diri untuk masuk sekolah lamanya. Masuk tahun enam, belum pun sempat menduduki UPSR, dia sudah berhenti sekolah dan mengikut keluarganya berhijrah di United Kingdom. Memandangkan kedua ibu dan bapanya menyambung pelajaran di sana, hampir lima tahun juga dia bermastautin di UK. Kemudian, apabila keluarganya kembali ke tanah air, dia pula yang kembali menetap di sana, berusaha memenuhi cita-citanya untuk menjadi seorang arkitek.

“Assalamualaikum. Cik, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” suara teguran itu membuatkan Raudah tersedar daripada lamunannya. Lama dia merenung pintu bilik yang tertutup itu. Bilik yang dahulunya kelas Tahun Enam Mawar, kini sudah menjadi bilik untuk sains dan matematik. Pandangannya dihalakan ke arah lelaki yang berkemeja biru muda itu. Raudhah memaniskan muka.
“Saya saja datang melawat sekolah ni. Dekat lima belas tahun juga saya tak datang ke sini. Encik cikgu di sini ke?”
Lelaki itu sekadar tersenyum. Tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. “Saya Hazim,” ujarnya lalu menghulurkan tangan.
Senyuman lelaki itu dibalas. Raudhah nampak tenang. Tidak terkejut dan tidak pula kalut berhadapan dengan situasi begini. Tangan kanannya di letakkan di atas dada kiri, kepalanya ditundukkan sopan. Tips daripada Kak Maisara sewaktu belajar di UK, sangat bermanfaat buat dirinya yang banyak beurusan dengan kaum Adam.
“Saya Raudhah...” balasnya sopan.

Hazim senyum, menutup kegugupan. Tidak sangka gadis ini sudah pandai menjaga pergaulan, tidak seperti dahulu. Ah, silap dia juga. Bukankah sepatutnya lelaki yang patut menjaga maruah wanita?

“Dulu saya pelajar di sekolah ni. Tapi tak sempat ambil UPSR dah berhenti sebab pindah. Baru kali inilah saya berpeluang balik ke sini. Bilik ni dulu, kelas saya. Dah banyak berubah dah Malaysia ni. Bangunan sebelah itu pun, baru kan?” soal Raudhah meminta kepastian.
Hazim mengangguk. “Barulah juga. Dekat lima tahun. Raudhah batch mana?” ujinya, mahu memastikan sangkaannya tepat.
“Batch?”
Hazim mengangguk.
“Sepatutnya UPSR tahun 97. Masa tu, guru besarnya, Cikgu Karim. Garang orangnya!”
Hazim sudah tergelak. “Garang ya?”
Raudhah mengangguk perlahan. “Garang! Mana pergi bawa rotan. Siapa yang tak takut? Budak paling nakal masa zaman saya pun boleh tunduk patuh tau!”
“Iya? Siapa agaknya budak tu, ya?”
“Hrm... saya tak ingat sangatlah nama dia. Tapi dia memang nakal lah. Saya ni, memang selalu sangat jadi mangsa buli...” Raudhah tergeleng perlahan.
“Sungguh saya tak ingat. Tapi bila mengingatkan kenakalan budak tu, entah jadi apalah dia sekarang, ya? Entah jadi manusia ke tidak. Rindu pula nak jumpa kawan-kawan lama. Agaknya diorang ingat saya lagi tak?” Raudhah larut dalam kenangan silam. Cuba untuk mengingat kembali wajah-wajah yang pernah bersama-sama dengannya pada zaman kanak-kanak.
“Raudhah tengok sekarang, saya jadi manusia ke tak?”
Terpinga-pinga Raudhah mendengarkan soalan itu. Laju otaknya bekerja mencerakinkan makna tersirat di sebalik pertanyaan itu.
“Hazim...?” Otaknya sudah mula dapat mengecam wajah Hazim. Ternyata jauh berbeza berbanding dahulu. Hazim ketawa senang.
“Ya, sayalah orangnya. Raudhah dah tak kenal ya?”
Raudhah menggeleng perlahan. Lama berdiri di hadapan bilik tadi, kaki mula melangkah pula menuju ke aras bawah. Ingin melihat berjalan ke tempat lain pula.
“Banyak yang saya dah lupa. Muka kawan-kawan pun ingat-ingat lupa. So, how’s life?”
“Just fine. Ada kerja, ada kereta, ada rumah, single and available,” Hazim mengenyit mata sebelah.
Raudhah mencebik. “Ada-ada saja Hazim ni.”
Hazim ketawa senang. “So, apa kenangan yang Raudhah tak boleh lupa masa sekolah sini?” soalnya sewaktu sedang menuruni tangga, ingin ke pejabat sekolah pula.
Raudhah terdiam. Kenangan? Air mukanya sedikit berubah. Masih teringat-ingat mimpi yang mengganggunya saban malam. Lebih-lebih lagi semenjak dia kembali ke tanah air. Mimpi yang membuatkannya kembali ke sini untuk mencari si dia.

***

“So, sekarang ni Raudhah kerja di KL lah ya?”
Raudhah mengangguk perlahan. Cawan kertas di hadapannya di capai dengan tangan kiri dan perlahan-lahan isinya diteguk. Kotak burger yang sudah kosong isinya diletakkan di atas dulang yang masih tidak berangkat.
“Yup, di KL. Ikut company kawan ayah. Sejak habis belajar lagi,” ceritanya ringkas. Mata memerhatikan orang ramai yang keluar masuk pintu kaca KFC. Ramai juga yang makan tengah hari di sini. Cepat dan ringkas agaknya.
 “Bila Raudhah balik sini? Kalau tak silap, dulu Raudhah pindah ke UK kan? Ikut keluarga?”
“Hrm.. family tinggal dekat sama hampir lima tahun juga. Lepas tu balik ke Malaysia sekejap, terpaksalah ambil SPM. Mujurlah lepas dan saya pula ke UK balik sambung belajar,” kata Raudhah dalam ketawa. Teringat betapa sengsaranya diri dia dahulu terpaksa belajar subjek-subjek yang dia tidak pernah ambil kisah. Aduh! Mujur sahajalah resultnya agak baik.
“Apa yang best di UK?”
Raudhah diam. Tidak terus memberikan jawapan kepada soalan yang diajukan. Hazim leka merenung wajah manis itu. Setia menunggu butir-butir perkataan yang bakal keluar daripada mulut gadis itu.
“Hrm... apa yang best di sana? Saya rasa yang paling best bila saya lebih dekat dengan Islam. Sebab, bila kita ada perasaan tak selamat berada di celah-celah kehidupan jahiliah, kita akan cari sesuatu yang kita boleh pegang, boleh selamatkan kita daripada hanyut dalam arus kehidupan mereka. Tak seperti di sini bila kita sentiasa rasa selamat sebab majoriti rakyat Malaysia Islam walaupun tidak sepenuhnya.”
“Awak nak tahu Hazim? Walaupun kita selalu memandang tinggi dengan tamadun mereka, memandang tinggi dengan pencapaian mereka, sebenarnya mereka tak dipandang tinggi pun di ‘mata’ Allah. Sebab mereka bukan orang-orang yang beriman. Siang sibuk dengan kerja dan kehidupan seharian. Malam pula ke pub dan disco untuk berhibur. Sama je dengan kehidupan orang arab jahiliah dahulu. Hebat memang hebat, tapi sekadar di dunia.”
“Di sana ada satu kawasan perumahan yang disediakan khas buat remaja perempuan yang belum berkahwin hamil. Tapi environment dia, ya Allah... Boleh dikatakan kawasan ‘hitam’ lah juga. Tak selamat rasanya bila dekat sana. Itulah yang jadi bila apa yang dilarang hendak dilanggar. Institusi kekeluargaan tu dah hilang Jadi, apa yang seronoknya negara orang ni? Saya rasa biasa je. Cuma apa yang menarik, di kawasan orang bukan Islam inilah saya jumpa Islam kan?”
“Cuma saya tak nafikanlah, cuaca dekat sana lagi best dari sini. Tempat-tempat yang menarik di London itu, tetap menarik. Kalau awak nak melancong ke sana, bolehlah ajak saya!” ujar Raudhah dalam tawa kecil. Tiba-tiba dia jadi terlalu serius pula bercerita kisahnya di sana. Hazim belum tentu nak dengar. Muka pun serius je memandang wajah dia.

Hazim mengangguk perlahan. Patutlah Raudhah sudah semakin lain sekarang. Tapi mulut kepohnya tetap tak berubah. Peramah sangat! Bibirnya kembali tersenyum.
“Boleh saja. Kalau kita pergi berdua pun ok jugak, kan?” usik Hazim. Penuh dengan makna tersirat.
Raudhah memuncung. Ah! Tak sudah-sudah hendak mengusik.
“Oh! By the way, Hazim. Awak masih contact ke dengan budak-budak sekolah rendah kita?”
Topik perbualan bertukar. Raudhah menayangkan muka selamba walaupun hati bagaikan kompang dipalu menunggukan jawapan Hazim. Dia sudah tidak sabar-sabar untuk mencari gerangan si dia. Apa khabar agaknya dia sekarang ni? Sudah berpunya atau belum? Masih ingat dengan kata-kata yang pernah Raudhah katakan atau tidak? Raudhah menjadi serba tak kena.
“Ada yang saya contact lagi. Ada yang dah lost contact. Macam kes Raudhah lah, selama ni lost contact, baru hari ni jumpa balik. Makin manis pulak tu,” usik Hazim.
Muka Raudhah memanas. Tidak tapis-tapis si Hazim ni bercakap. Walaupun dia lebih banyak sikit mulut daripada Hazim, setiap kali Hazim bersuara, setiap kali itulah dia mengawal air mukanya supaya tidak berubah mendadak.
“Iyalah. Dulu pun, mana kita rapat sangat. Sudah orang tu kerjanya menyakat saya kan?”
Hazim ketawa. “Saya sakat pun sebab saya suka...”
Raudhah terdiam. Ligat dia memikirkan balasan yang sesuai. Erk! “Memang pun awak suka menyakat orang kerjanya...” sedaya upaya dia mengawal nada suara supaya tidak terlalu berubah. Hish, tadi gelabah lain, sekarang ni hal lain pula.
“Awak ingat lagi tak classmate saya masa sekolah dulu?” cepat Raudhah bertanya sebelum Hazim bersuara.
“Hrm... ingat-ingat lupalah, Raudhah. Kenapa?”
Raudhah mengetap bibir. Sedikit keberanian dikumpul. “Err, awak masih contact Syamil tak? Dia apa khabar?”
Hazim tersentak. Kenapa dalam ramai-ramai kawan lama, nama itu juga yang disebut Raudhah? Deringan telefon bimbit Hazim menyelamatkan keadaan. Tanpa berlengah, Hazim meminta diri untuk menjawab talian. Raudhah hanya menjadi pemerhati dari tempat duduk. Melihatkan cara Hazim, boleh diagak panggilan yang diterima merupakan panggilan penting.
“Ada masalah ke?” soal Raudhah sebaik sahaja Hazim selesai berbual di talian. Soalan tadi bagai sudah dilupakan
Hazim sekadar tersenyum. Kepalanya dianggukkan sedikit sebagai jawapan. “Saya kena pergi dulu. Ada hal sikit. Ada jodoh kita jumpa lagi, ya?” ujarnya nakal.
“Sebelum tu, boleh bagi saya nombor Raudhah? Senang nak contact nanti.”
Tanpa teragak-agak, sekeping bussiness card dikeluarkan daripada celah purse dan dihulurkan kepada Hazim yang sudah berdiri di hadapannya.
“Saya pergi dulu. Elok-elok drive balik nanti. Sekarang musim hujan,” sempat Hazim menasihati Raudhah.
Raudhah mengangguk. Tidak lama kemudian, Hazim berlalu pergi. Tanpa menunggu lama, Raudhah menghabiskan air yang masih berbaki sebelum bersiap-siap untuk pergi. Nampaknya sia-sia sahaja kedatangannya ke Kuantan seminggu ni. Ahad ni dia pula kembali ke ibu kota, kembali menyambung tugasnya yang tergendala.

***

“Jadi, seminggu dekat sana kau tak dapat apa-apa cerita fasal dia?” Hanani sudah bertenggek di meja Raudhah. Mendengarkan soalan Hanani, Raudhah hanya menggeleng.
“Tak ada. Lain yang aku cari, lain yang aku jumpa.” Raudhah membalas tanpa mengalih pandangan daripada lakaran di hadapan.
“Lain yang kau jumpa? Kau jumpa apa pula?”
Pensel di jari dilepaskan. Perlahan-lahan, mukanya diraup dengan tapak tangan. Penat berjalan semalam tak hilang lagi ni!
“Kawan lama juga, Hazim. Tak ada apa yang menarik pun. Jumpa, minum sekejap lepas tu dia ada hal pula. Nak tanya fasal si Syamil pun tak sempat...”
“Hai? Takkanlah Hazim tu tak contact kau langsung lepas tu?”
Raudhah menggeleng. Kemudian, lama matanya merenung wajah Hanani. Fikirannya melayang. Terasa masih ada sesuatu yang tidak selesai selagi dia belum berjumpa dengan Syamil. Silapnya juga yang sering bertangguh-tangguh. Cuba kalau dia selesaikan lagi awal, kan mudah? Ah! Lagipun, itukan janji zaman budak-budak, zaman tak matang! Masakan kata-kata seperti itu pun dia hendak ambil begitu serius? Tapi kalau dia tak ambil serius, kenapa selepas 15 tahun baru dia hendak mencari Syamil kembali? Aduh, pening-pening!

“Hei! Termenung pula dia!” tegur Hanani. Tangan kanan Raudhah ditepuk perlahan. Raudhah mengurut dada perlahan. Terkejut! Kemudian Raudhah tersenyum sendiri, segan pula bila fikiran melayang terlalu jauh.
“Sudah-sudahlah tu. Jangan difikirkan sangat. Ada jodoh tu, adalah!”
“Hrm... memanglah. Tapi jodoh tu, kita kena usaha juga cari. Takkan nak tunggu datang bergolek, kan?” Kening di angkat, meminta persetujuan.
Hanani mencebik. Kalau tang bercakap, Raudhahlah yang betul semua. Kalau bab praktikkan...
“Kalau macam tu, jom balik kampung aku weekend ni. Ada...”
“Oh no, no! Kalau bab-bab match making ni aku tak setuju!” Laju Raudhah memotong.
Hanani tergelak. Tengok? Kalau bab praktikkan, Raudhahlah orang pertama yang akan mengelat. Bukan sekali dua dia cuba untuk memperkenalkan saudaranya di kampung tu. Itu pun sejak Raudhah sudah mula berbunga-bunga soal kahwin.
“Itulah namanya, cakap tak serupa bikin. Kalau kau selalu sangat cakap tak serupa bikin ni kan, Allah pun murka tahu? Tak percaya, buka surah As-Saf ayat 2 dengan 3...” Hanani sudah memulakan tazkirah ringkasnya. Raudhah sudah tergelak sendiri melihatkan wajah serius sahabatnya itu.
“Aku percaya dan aku tahu tu. Aku tengah usahalah ni. Cuma, bagi aku selesaikan dulu. Nanti, kalau memang dah pasti tak ada apa, that is it! Kau nak kenalkan aku dekat suami kau sebagai madu pun aku setuju, tahu!”
“Hei!” Hanani membulatkan mata. Bergurau tu tak agak-agak! Makin besar ketawa Raudhah melihat mimik muka Hanani.
“Dapat payung emas tau...!” meleret usikan Raudhah. Tangan Hanani sudah mencapai pemberat kertas di atas meja Raudhah. Laju Raudhah merampas kembali sebelum Hanani mengetuk pemberat itu ke tangannya. Ada kena ambil cuti lagi seminggu. Mengamuk bos besar nanti.

“Dah lima belas tahun, Raudhah. Kau juga yang kata kalau lepas sepuluh tahun, perjanjian tu dah tak valid. Lagipun, budak-budak punya janjilah, kenapa kau nak pegang sangat kata-kata tu?” soal Hanani pelik. Pelik dengan sikap Raudhah sejak kebelakangan ini.
“Kalau kau tanya aku kenapa, aku sendiri tak ada jawapan dia, Nani. Aku cuma ikut gerak hati aku je. Lagipun, mungkin sebab faktor umur yang rasa nak hidup berkeluarga sebab tu aku cari dia. Entahlah. Kita tengok dan lihat sahajalah. Ok?”
Hanani hanya mengangguk. Sebagai kawan, dia kenalah beri sokongan dengan apa yang Raudhah lakukan. Asalkan tidak melampaui batas-batas sebagai seorang Islam.
“Eh, sekejap. Ada call lah...”
Laju Raudhah menyeluk beg tangannya. Dahi Hanani sudah berkerut. Tak dengar bunyi apa pun? Ke telinga dia yang sudah tak berapa tajam?
“Siapa?” soal Hanani apabila Raudhah teragak-agak hendak mengangkat panggilan. Raudhah sekadar menggeleng. Telefon didekatkan ke telinga.
“Waalaikumsalam. Ya, nak cakap dengan siapa?”
Dahi Raudhah sudah berkerut.
“Sayang? Eh, saya rasa awak salah nombor ni. Saya bukan sayang awak. Saya sayang orang lain...” balas Raudhah dengan mata dikenyit nakal ke arah Hanani.
Hanani di sebelah sudah tergelak. Sempat lagi si Raudhah melawak dengan pemanggil di sana. Kalau dah salah nombor tu, sudahlah. Buat apa hendak dilayan lebih-lebih?
“Ya, saya Raudhah.” Wajah Raudhah kembali serius.
“Lah... Hazim. Saya ingatkan siapa tadi...” Raudhah kembali tersenyum. Pelik juga bila angkat-angkat call, ada lelaki memanggil dia sayang. Gatal tak bertempat! Raudhah menolak perlahan belakang Hanani, petanda untuk meminta Hanani beredar. Hanani mencebik. Sempat tangannya menepuk bahu Raudhah.
“Dalam tak ada apa yang menarik, bersayang-sayang ya?!” sengaja Hanani bercakap kuat sebelum menjauh, biar Hazim dapat dengar sekali. Amboi Raudhah! Cari Syamil, dapat Hazim. Untung betul!

Raudhah mengetap bibir. Geram pula dengan Hanani. Bergurau tak bertempat! Sudahlah Hazim tengah cuba masuk ‘line’, ada makin dahsyat ujian daripada si Hazim ni. Aduh! Perasan sendiri ke dia? Rasanya tidak. Dia bukanlah terlalu bodoh untuk tidak nampak hint-hint yang Hazim berikan sejak hari pertama mereka berjumpa. Aduh! Takut pula memikirkannya.
“Siapa tu?” soal Hazim dalam ketawa. Tersenyum sendiri dia mendengarkan suara perempuan yang sayup-sayup itu.
“Kawan. Buat lawak bodoh pula dia dekat sini. So, what’s up Hazim? Lama tak dengar cerita?” Lama? Raudhah mengerutkan dahi bila mendengarkan kata-kata dia sendiri. Rasanya belum sampai pun seminggu! Jaga-jaga, Raudhah! Jangan beri orang harapan.
“Ingatkan saya je yang teringat-ingatkan Raudhah!”Hazim masih ketawa. Terasa hilang rindunya dapat mendengar suara Raudhah. Macam tak jumpa lima belas tahun!
“What’s up, ye? Saya dekat KL ni. Ada conference. Esok habislah. So, boleh kita jumpa?”
Mendengarkan permintaan Hazim, tangannya mencapai planner hitam di penjuru meja. Kawan nak datang, takkan nak buat sombong pula? “Sure do. Why not? Bila ni nak jumpa? I nak letak dalam planner.”
“Amboi, siap planner semua. Macam buat meeting dengan MB pula,” usik Hazim. “So, is it going to be a lunch or dinner?” soal Hazim lagi. “Candle light dinner maybe?”
Erk? Raudhah terdiam. Tanpa isyarat, peluh sudah mula membasahi tangan dan tengkuknya. Candle light dinner pula? Lain macam je soalannya?
“Kita lepak mapley nak? Boleh layan bola sekali? Kan sekarang musim bola?” balasnya cuba untuk melawak. Tak selesa rasanya bila Hazim sudah mula masuk ke dalam mood hendak memancing perhatian dia.
“Awak ni Raudhah, kalau setakat mapley, dekat Kuantan sana saya selalu dah makan. Bola? Saya tak minat bolalah, Raudhah. Kesian isteri saya kena tinggal kalau saya keluar malam-malam. Beruntungkan awak?”
Nafas dihela perlahan. Sudah tidak tahu bagaimana cara untuk mengelak lagi. Tapi, selagi dia berlagak seperti biasa, tidak ada apa yang hendak dirisaukan. Dia berhubung dengan Hazim pun kerana hanya Hazim seorang yang boleh membantunya menjejaki Syamil. Itu sahaja!

***

Tepat jam 9 malam, mereka tiba di Warisan Tom Yam, restoran pilihan Hazim untuk dinner mereka. Menurut Hazim, tom yam di sini sedap. Raudhah sendiri tak pernah ke mari. Kalau Hazim meminta cadangan restoran mana untuk di pergi malam ni, memang tak makanlah jawabnya. Sudah menjadi kebiasaan mereka sekeluarga untuk makan malam di rumah. Kalau sambut apa-apa yang istimewa pun, dia dan ibu yang akan menyediakan juadah istimewa untuk hari itu.
“Rafi pernah ke sini?” soal Hazim kepada Rafi yang senyap di sebelah.
“Tak pernah. Kami jarang makan di luar,” balas Rafi sopan. Kalau tak kerana kakak kesayangannya, tak ada dia ikut Raudhah keluar dengan Hazim. Terpaksalah dia tangguhkan meeting untuk menyiapkan assignment dengan groupmatenya malam ni.
“Oh. Baguslah. Makanan dekat rumah lebih terjamin kebersihan dia. Selalunya siapa yang masak dekat rumah? Bibik ke, kak long?” korek Hazim lagi.
Raudhah hanya menjadi pendengar dan pemerhati. Rafi pun nampak selesa dengan Hazim walaupun dalam kereta dia banyak mendiamkan diri. Mengingatkan riak wajah Hazim yang sedikit berubah semasa kehadiran Rafi, Raudhah tersenyum sendiri. Mahunya tak terkejut, tiba-tiba dia bawa bodyguard untuk berjumpa Hazim.
“Kak long busy. Tapi kak long masak sedap sebenarnya. Cakap je nak apa, mesti boleh siap. Selalunya ayah tempah kak long kalau ada function dekat rumah...”
“Rafi...” tegur Raudhah. Dengan isyarat mata, Raudhah menahan Rafi daripada meneruskan cerita. Tak perlulah hendak memuji dia sampai ke langit. Cukuplah hanya keluarga yang tahu keistimewaan dia yang satu tu. Lagipun, belum sampai tahap ke masterchef lagi makanan yang dimasaknya.
“Wah, kenapa tak buka restoran je kalau macam tu?”
“Kalau buka restoran, hilanglah specialnya keluarga nanti. Lagipun...” kata-kata Raudhah terhenti saat pelayan menghantar makanan yang dipesan.
Tom yam campur, sotong dan udang goreng tepung, kailan ikan masin, ikan siakap masak stim belum dicampur dengan nasi lagi. Raudhah menggeleng perlahan, banyak sungguh! Ini kalau tak habis, memang dia pelangkung Hazim lepas ni.
“Banyak ni Hazim. Kalau tak habis macam mana?” tegur Raudhah lagi.
“Tak apa. Rafi, boleh tolong abang habiskan, betul tak?” Hazim tersengih. Tak fasal-fasal Rafi menjadi mangsa. Lagipun dia memang lapar betul hari ni. Satu hari tidak menjamah nasi. Sekadar mengambil roti untuk alas perut.
“Boleh bang... boleh! No problem!” balas Rafi. “Eh? Akak tadi minta nasi apa? Kenapa tak sampai lagi?” soal Rafi pula. Pandangannya diarahkan ke kawasan dapur, ingin melihat kalau-kalau ada pelayan membawa lagi pesanan yang tertinggal.
“Nasi goreng pataya. Hah, sampai dah pun...”
Pinggan putih diletakkan di hadapan Raudhah. Serentak dengan itu, ketiga-tiga mereka ketawa serentak. Siapa pula yang bijak sangat membuat bentuk love di atas telur ni? Alahai, macam-macam!

***

“Dik, kira ya!” Hazim bersuara apabila seorang pelayan berjalan di sebelah meja mereka. Dalam pada masa yang sama, tangannya sibuk mengeluarkan dompet, sebelum sempat Raudhah menegah.
“Tak payahlah, Hazim. My treat. Bukan selalu awak datang sini...” sanggah Raudhah. Kalut dia mengeluarkan beg duit di dalam handbag. Hish, dia yang datang, dia pula yang nak belanja. Bukannya sikit pula tu. Yang  banyak makannya pun, si budak Rafi, adiknya juga!
“Naa... Ahah! Jangan menolak. Pantang saya bila makan, perempuan yang bayar, ya?” Hazim memberikan isyarat mata kepada Rafi. Mengerti sendiri, Rafi mengambil beg duit Raudhah daripada pegangan pemiliknya.
“Rafi!”
Rafi hanya tersenyum memandang muka Raudhah yang sudah sedikit kelat. “Rafi dah geng dengan abang Hazim dah. Sebarang surat-menyurat tidak akan di layan,” balas Rafi bersahaja. Beg duit Raudhah dipegang kemas, mengelakkan daripada diambil Raudhah.
Raudhah mendengus geram. Lagi-lagi apabila melihatkan Rafi dan Hazim membuat high-five. Geramnya tak terkata!
“Semua sekali lapan puluh tiga ringgit, lima puluh sen,” ujar si pelayan sebaik sahaja tiba dengan resit.
“Tapi, tak perlu bayar bang! Ada orang dah bayarkan...” sambung lelaki itu lagi apabila Hazim menghulurkan dua not lima puluh. Hazim dan Raudhah berpandangan. Siapa pula yang tolong bayarkan? Bukan sikit punya duit ni. Dekat seratus juga.
“Siapa ya yang bayar?” berkerut dahi Hazim bertanya.
Lelaki itu teragak-agak untuk menjawab. Matanya terarah ke dapur restoran. Bagaikan sedang meminta kebenaran daripada seseorang.
“Err... encik Syamil yang bayarkan. Kalau abang nak jumpa dia, dia ada di dapur sana...” jelas lelaki itu.

Raudhah terpempan. Hazim terkelu. Kedua-dua mereka memandang ke arah yang sama. Syamil? Syamil yang selama ni dia cari rupa-rupanya terlalu dekat dengan dia! Insan yang telah lama dia cari itu rupa-rupanya berkongsi oksigen di bandar raya yang sama dengan dia. Betapa kecilnya dunia! Allahuakbar!
Raudhah bangun daripada duduk tanpa sempat Hazim menahan. Kemudian, tanpa teragak-agak dia sudah berjalan ke arah dapur. Jiwanya meronta-ronta mahu berjumpa dengan insan itu. Insan yang secara tidak langsung telah bertapak di dalam hatinya.

“Syamil?” panggilnya perlahan. Pekerja dapur yang lain masing-masing sibuk dengan kerja mereka. Sesuai dengan keadaan pelanggan yang ramai di luar. Matanya memerhati sekitar dapur, mencari-cari susuk tubuh lelaki itu. Mana dia? Mana?
“Maaf cik. Ini kawasan staf. Kalau ada apa-apa cik boleh beritahu pekerja kami di kaunter,” tegur seorang pekerja yang berada di situ. Raudhah tidak berganjak. Dia tak mahu menyerah kalah selagi dia belum berjumpa dengan Syamil. Tak semudah itu dia akan melepaskan peluang yang ada. Kalau bukan sekarang, bila lagi dia dapat berjumpa dengan Syamil?
“Ada pekerja dekat sini nama Syamil tak? Saya nak jumpa dengan dia sekejap. Penting!” tegas Raudhah.
“Syamil?” Dahi lelaki itu sedikit berkerut.
“Encik Syamil ke maksud cik?”
Encik Syamil? Raudhah hanya mengangguk. Orang yang samalah agaknya.
“Encik Syamil tengah sibuk memasak tu. Kalau cik nak jumpa dengan dia, cik kena tunggulah sekejap,” ujar pekerja itu lagi.
Raudhah menggeleng perlahan. Mahu atau tidak, dia memang terpaksa menunggu. Matanya terhendap-hendap ke arah beberapa dua orang tukang asak yang lincah bekerja. Mana satu orangnya? Yang kurus tinggi itu kah, atau yang tinggi tetapi sedikit berisi itu?
“Baiklah. Tapi kalau saya dah balik, tolong bagikan dia kad ni...” kalut Raudhah mengeluarkan bussiness cardnya. Mengharapkan Syamil akan menghubunginya nanti. Takkanlah dia nak mengajak Hazim duduk di sini lagi. Esok, sudah sah-sah Hazim hendak memandu pulang ke Kuantan. Selesai memberikan pesanannya, Raudhah berjalan kembali ke meja. Wajah Hazim sedikit berbeza dari waktu mereka tiba. Rafi pula memandang keduanya dengan penuh persoalan.

“Hrm... kalau tak ada apa lagi, kita baliklah. Hazim, awak ok je kan?” soal Raudhah tak berperasaan. Perasaannya masih bercelaru selagi dia belum dapat berjumpa dengan Syamil. Terasa mahu saja dia duduk di sini sampai restoran ini tutup. Tapi, apa pula kata Hazim nanti? Yang lagi penting, apa pula penerimaan ayah dengan ibu? Aduhai, sabarlah duhai hati. Takkan lari gunung di kejar. Susah sangat, esok malam sebelum orang mula ramai, kita ke sini lagi.
“Hrm... bolehlah. Raudhah pun nampak macam dah tak ada mood,” kata Hazim sedikit berjauh hati. Ah! Kalaulah dia tahu Syamil bekerja di sini, tak ingin dia hendak mengajak Raudhah ke mari. Masih banyak lagi kedai makan lain yang istimewa. Tapi itu semua hanya kalau. Argh! Tangannya meramas rambutnya kasar. Kecewa kerana Raudhah masih belum dapat melihat ke dasar hatinya. Butakah gadis itu? Ah! Bukan buta, tetapi mata hatinya sudah dikaburi dengan nama Syamil, itulah penyebabnya!
“Eh, sorrylah. Saya bukan apa...” kata-kata Raudhah terhenti sejenak, mengambil masa untuk menyusun kata. “Well, Hazim tahulah kan saya ke Kuantan hari tu sebab nak cari Syamil. And then, bila dah terjumpa dekat sini, saya pun...”
“It is ok, Raudhah. Awak tak perlu explain...” potong Hazim. Buat apa hendak mendengar penjelasan yang bakal mengecewakan diri sendiri. Dia tahu, ada sesuatu di antara Syamil dengan Raudhah. Dia yakin itu!
“So, shall we go?” soal Hazim.
Raudhah mengangguk. Rafi hanya mengikut. Namun belum pun sempat meneruskan langkah, terdengar suara seseorang menjerit, memanggil nama Raudhah dari jauh. Raudhah menoleh. Terasa jantungnya terhenti sekejap. Syamil!

***

“Raudhah apa khabar?” sopan Syamil bertanya.
Setelah hampir seminggu semenjak mereka berjumpa di restoran hari itu, Syamil tiba-tiba muncul di hadapan rumahnya. Raudhah menjeling ke arah ayahnya yang duduk di hujung sofa dengan surat khabar di tangan. Dia yakin, walaupun ayahnya nampak seolah-olah tidak ambil kisah, namun telinga ayah terpasang untuk mendengar setiap perbualan mereka. Aduh! Perasaan malu dan segan mula hadir. Kalau sebelum ni dia yang tersua-sua mencari, bila dah di depan mata, rasa nak melarikan diri pula!
“Alhamdulillah, sihat je. Syamil macam mana pula? Lama betul tak dengar khabar?”
“Macam mana nak dengar khabar, saya lost contact terus dengan awak... Tak tahu macam mana nak berhubung. Awak pergi macam tu je pula tu...” Syamil menjeling Raudhah sekilas. Bibirnya tersenyum melihat Raudhah serba tak kena. Manis!
“Saya macam inilah. Habis belajar, buka restoran sendiri. Alhamdulillah, rezeki saya dekat situ. Dan sekarang, macam yang awak tengoklah...”
Raudhah terangguk-angguk mendengar. Lagi? Nak tanya apa? Aduh! Lidahnya terasa kelu untuk terus berkata-kata. Takkan nak tanya tentang status Syamil pula? Entah-entah, Syamil sendiri tak ingat apa-apa tentang perjanjian itu.
“Dah lama dah Raudhah jumpa Hazim? Nampak mesra je masa jumpa di restoran hari tu?”
Raudhah menggeleng. “Tak juga. Jumpa dia di Kuantan minggu lepas. Saya pergi sekolah kita dulu...”
Dahi Syamil sedikit berkerut. Sekolah kita? “Buat apa?”
Soalan itu cukup membuatkan Raudhah serba tak kena. Aduh! Apa yang dia nak jawab ni? Matanya menjeling ke arah ayahnya sekilas. Sempat matanya menangkap mata ayahnya yang turut memandangnya, meminta jawapan. Takkanlah dia nak jawab dia pergi mencari Syamil sedangkan semasa pemergiannya hari tu, dia hanya menyatakan kepada kedua ibu bapanya yang dia mahu berehat.
“Saya...”
Terasa darah sudah mula menyerbu ke muka. Ya Allah, harap apa yang dia buat ni tak salah!
“Saya pergi cari awak.” Serentak dengan itu, kulit muka Raudhah mula memerah. Sedaya upaya dia mencuba untuk mengawal agar tidak terlalu jelas kelihatan.
Syamil tergamam. Tak percaya dengan apa yang didengarnya. Raudhah mencarinya? Jadi selama ini tindakannya menanti Raudhah bukanlah tindakan yang bodoh.Rupa-rupanya Raudhah juga masih berpegang kepada janjinya. Allahuakbar! Tetapi, bolehkah Raudhah menerimanya jika dia memberitahu perkara yang sebenar? Mampukah Raudhah menerima diri dia seadanya, dan memaafkan segala kekhilafannya yang lalu? Perasaan Syamil kembali gundah.

***

Suasana hening buat seketika. Baik Syamil mahupun Raudhah, kedua-duanya bagaikan kehilangan kata-kata. Raudhah apatah lagi. Baru kini dia faham perasaan perempuan yang tersua-sua. Aduh! Terasa jatuh maruahnya ketika itu.
“Raudhah...”
Raudhah menoleh ke arah ayahnya. Surat khabar sudah berlipat dan terletak kemas di atas meja kopi.
“Ya, ayah?”
“Along tak nak buatkan air ke untuk Syamil? Ayah rasa, dah lama dia duduk kosong begini?”
“Ok. Err... tunggu sekejap ya, Syamil.”
Raudhah sudah bangkit dari duduk. Belum sempat dia hendak melangkah, ayah bersuara sekali lagi.
“Keluarkanlah sekali apa-apa yang boleh dikunyah. Kalau puding yang Along buat semalam ada lagi, boleh bagi Syamil jamah. Ayah nak berbual sekejap dengan Syamil.”
Erk? Mata Raudhah membulat. Dadanya bagaikan dipalu kompang. Tanpa membantah, dia terus ke dapur bagi memasak air dalam keadaan yang masih belum tenang. Ayah nak screen test Syamil, agaknya! Raudhah melawak sendiri, cuba menenangkan hati yang gundah. Kalau ayah menolak macam mana? Kalau Syamil dah berpunya pula, bagaimana? Aduh, kalut!

“Baru nak masak air Along?”
Mujur tak terlepas piring kaca yang dipegang Raudhah. Raudhah mengangkat muka, memandang ke arah ibu yang baru masuk ke dapur dengan senyuman yang penuh makna.
“Hrm... tadi berbual dengan Syamil sekejap. Tak ada siapa boleh tolong masakkan air.”
“Along nak buat air apa ni? Kopi?”
“Buat Vico je kot. Kalau tak silap, dulu Syamil alergi dengan kopi,” balasnya bersahaja. Tidak sedar pandang ibunya sudah semacam. Sedar diri diperhatikan, Raudhah mengangkat muka, berbalas pandang dengan ibunya.
“Banyak yang kamu tahu tentang si Syamil tu, ya?”
Muka Raudhah sudah mula merah.
“Ibu pergilah duduk depan, boleh berbual-bual dengan Syamil...” Raudhah mengalihkan topik. Malu kalau diusik dengan soalan-soalan yang bakal mengungkai isi hatinya.
“Ibu dah duduk sekejap tadi. Manis orangnya. Biarlah ayah yang berbual dengan dia. Ibu ikutkan saja.”
“Ayah bualkan apa, ibu?”
“Eh? Sibuk pula anak dara seorang ni!” sekali lagi ibunya mengusik. Raudhah sudah tersipu sendiri.
“Apa-apa pun, you got my green light. Cuma, betul ke Hazim tu tak ada apa dengan Along? Ibu tak nak Along bagi harapan pada dia...”
Raudhah menghela nafas perlahan. Bukan dia tak nampak harapan yang menggunung daripada mata Hazim. Namun, hatinya bukan boleh dipaksa-paksa. Sekali hatinya kata Syamil, itulah keputusannya. Tidak ada yang boleh membantah selain Allah dan kedua-dua ibu bapa dia. Itu tekadnya.
“Along tak pernah bagi harapan pada dia pun, ibu. Lagipun kami jarang berhubung...” jelasnya ringkas.
“Baguslah kalau macam tu. Ibu risau juga bila dengar Rafi kata Hazim tu rajin mesej dia bertanyakan Along...”
Raudhah terpempan. Benarkah? Ah, sudah!

***

Hampir dua bulan semenjak Syamil berkunjung ke rumahnya dan sudah hampir dua minggu dia menjadi tunangan Syamil secara rasmi. Raudhah menilik lagi cincin emas yang tersarung elok di jarinya. Terasa bagaikan mimpi sewaktu mak Syamil menyarungkan cincin ke jarinya. Benarlah kata-kata seorang Umi yang pernah dia dengar di dalam sebuah kuliah. Jika seseorang itu jodoh kita, walaupun tidak dapat petunjuk sewaktu istikharah, urusan-urusan daripada merisik sehingga pernikahan yang Allah mudahkan itu juga jawapan daripada Dia. Jawapan dan juga petunjuk yang keputusan yang dibuat merupakan keputusan yang tepat. Harapnya semua berjalan lancar sehingga ke hari pernikahannya nanti.
Majlis pertunangannya pun dilakukan secara kecil-kecilan. Pada Raudhah, tak perlu hendak menghebahkan tentang pertunangan. Bila walimah nanti baru dia hebahkan kepada sahabat handai. Hanya beberapa kerat sahaja kawannya yang tahu tentang pertunangannya. Hanani sudah tentulah orang pertama yang tahu. Hazim? Biarkanlah dia. Tiada sebab untuk dia memberitahu kepada Hazim.

“Berseri-seri muka. Baru bertunang, belum kahwin lagi. Nanti kahwin agaknya silau terus orang lain tengok pengantin, ya?” usik Hanani dengan membawa sepinggan nasi campur di tangan. Raudhah ketawa. Lama dia terleka sementara menunggu Hanani mengambil nasi untuk makan tengah hari. Sedangkan, Hanani hanya terlewat beberapa saat saja daripada dia.
“Eleh, kalau aku senang hati, kau mesti lagi senang hati, ya tak? Tak perlu risau nak bermadu dengan aku, kan?” usik Raudhah pula.
Sejak dua menjak ni, hatinya lapang sentiasa. Bagaikan ada beban berat yang sudah diangkat daripada pundaknya. Terasa hidupnya lebih ceria daripada dahulu. Ah sudah! Macamlah sudah jadi isteri orang je gayanya. Belum apa-apa dia, sudah berangan berada di syurga.
“Alah, tak adanya kau nak cik abang aku tu. Kalau tiga tahun lepas, mungkinlah. Sekarang? Kau tengok perut dia pun kau dah lari...” Hanani mencebik. Sempat lagi dia mengutuk suaminya.
“Itu maknanya, kau pandai jaga lelaki. Kasi boroi biar perempuan lain tak pandang, kan?”
Hanani ketawa. Ketawa ada makna tu. Melihatkan rumah tangga Hanani yang sudah menginjak tiga tahun, sedikit sebanyak Raudhah berasa kagum. Jarang dia mendengar Hanani dan suaminya bergaduh. Anak mereka yang seorang itu pun nampak bijaknya. Beruntung Hanani, baru di dunia sudah mendapat syurga yang setiap wanita idam-idamkan.
“Nanti kau doakanlah untuk aku pulak ya?” ujar Raudhah tanpa sedar.
Hanani terpinga-pinga.
“Doa apa?”
Raudhah tersentak. Lantas, kepalanya digeleng perlahan. Berangan lagi!
“Doakan je apa yang terbaik untuk aku.” Raudhah tersenyum lagi. Kemudian, dia membaca basmalah untuk memulakan makannya.

***

-Sampainya hati orang tu bertunang tak beritahu saya-
Raudhah membaca mesej yang diberikan Hazim. Kerja yang tadi disiapkan, dibiarkan seketika. Keningnya terangkat apabila membaca mesej itu.
-Bertunang saja, Hazim. Nanti kenduri barulah diheboh-hebohkan. Nak ajak satu Malaysia pun boleh. Tapi jamu air kosong ajelah. Hihi. ;)-
Laju dia membalas mesej Hazim. Telefon diletakkan kembali di sebelah mouse. Kemudian matanya lama merenung telefon itu. Menunggu kalau-kalau ada balasan lagi. Hampa. Tanpa membuang masa, dia kembali meneruskan kerjanya. Entah mengapa, perasaan bersalah muncul.
-Iyalah, siapalah saya ni kan? Dengan kawan-kawan pun tak nak cerita. Merajuklah macam ni...-
Raudhah ketawa perlahan. Perasaannya tenang secara tiba-tiba. Membaca mesej membuatkan dia yakin apa yang dirasainya selama ini salah. Hazim hanya menganggap dia sebagai kawan saja.
-Merajuk, tak ada orang nak pujuk. By the way, mana awak tahu saya dah bertunang?-
-Rafi-
-Kepoh betul budak tu-
-Dia terpaksa cakap. Kalau t-
Berkerut dahi Raudhah membaca mesej yang tergantung itu. Kalau? Kalau apa? Baru dia hendak menaip mesej, telefonnya bergetar menandakan ada mesej baru masuk.
-Kalau tak, saya bakal pinang tunang orang...-
Raudhah tergamam. Terasa peluh sejuk mula keluar daripada tengkuknya. Spontan dia mencampak telefonnya ke atas meja. Tangannya meraup muka perlahan. Nafasnya mula tak teratur. Tanpa berlengah, dia meninggalkan meja kerjanya dan menuju ke bilik air. Dirinya perlu ditenangkan sebelum dia boleh meneruskan kerjanya. Ya Allah, perasaan apakah ini?

---

-Awak betul-betul pasti dengan apa yang awak pilih?-
-Saya harap awak buat keputusan yang tepat-
-Jangan menyesal di kemudian hari. Semoga awak bahagia...-
Tiga mesej terakhir daripada Hazim sering kali menghantui fikirannya. Apa yang Hazim maksudkan? Ada sesuatu yang dia tidak tahu atau kata-kata itu sekadar ucapan dan doa buat dia yang bakal mendirikan rumah tangga? Raudhah keliru sendiri. Mahu bertanya, dia sudah mengambil keputusan untuk tidak menghubungi Hazim lagi. Dia takut. Betul-betul takut. Takut kalau pesanan-pesanan atau gurauan yang dia tak maksudkan apa-apa bakal mencambahkan perasaan Hazim yang sudah sedia berakar itu. Jadi, biarlah segala-galanya terhenti di situ. Dia tak mahu mengambil risiko.
“Banyak ke lagi barang yang kau nak cari?” Hanani menuangkan air teh ke dalam cawan. Uthman sesekali mengacah-acah Raudhah, mahu ajak bermain. Raudhah sekadar tersenyum. Sesekali tangannya di panjangkan, cuba menangkap Uthman, satu-satunya anak Hanani. Buat masa sekaranglah!
“Kalau untuk resepsi tu, dah 80% lah. Makanan, khemah, kerusi, meja semua dah settle. Tinggal kad kahwin je lah, adik aku si Rafi tu sibuk nak designkan. Goodies bag, dengan benda kecik-kecik tu belum lagi. Ini yang aku nak ajak kau keluar ni. Mak aku dah bising aku tak cari-cari lagi baju nikah dengan baju resepsi apa semua ni...” ujar Raudhah dalam ketawa.
Sedikit pun tidak rasa risau dengan majlis yang bakal berlangsung kurang daripada dua bulan. Apa nak dirisaukan? Kad jemputan boleh diberi sebulan sebelum majlis. Baju nikah dan baju resepsi, ibu yang tolong jahitkan. Bukan hanya jahit, designnya pun ibu yang tolong designkan. Memang terbaiklah ibu!
“Mentang-mentanglah ibu kau bekas tukang jahit, beli kain lambat-lambat pun tak apa, ya? Untunglah orang tu kan. Ibu tukang jahit, bakal suami pula tukang masak...”
            Raudhah sudah tergelak. Suka mendengar usikan.
            “Tak sangka ye korang ni? Boleh pula janji-janji budak-budak tu jadi kenyataan? Dan yang paling aku tak sangka, kau yang mulakan dulu ya? Aku ingatkan si Syamil tu yang duk tersuka dekat kau dulu?”
            Spontan darah menyerbu ke muka Raudhah. Raudhah hanya ketawa lagi dan lagi, Menutup rasa malu. Ah! Nampak sangat dia ni jenis tak kisah serba-serbi. Ah tak apa. Nabi Muhammad s.a.w. pun dilamar Siti Khadijah terlebih dahulu. Tapi, err... ada orang tengahlah! Maisarah!
            “Ah, kisah lamalah. Tak payah buka ceritalah. So, suami kau bagi je kan aku bawak lari kau petang ni? Sebelum maghrib kita baliklah. Lepas tu, err.. dinner kau ajaklah suami kau makan dekat luar kalau tak sempat nak masak. Makan dengan restoran Syamil pun boleh...”
            “Amboi...”
Hanani dan Raudhah sudah berpadu suara. Siap promosikan restoran tunang sendiri! Ah! Nanti si Syamil tu juga yang kena keluar duit untuk hantaran apa semua. Maka, Raudhah sebagai tunang, perlulah membantu Syamil mempromosikan Warisan Tom Yam.

***

“Kau cadang nak cari dekat mana ni?” soal Hanani.
Tali pinggang keledar dipakai. Bukan sebab takutkan polis, tapi risaukan keselamatan diri. Kan Islam sendiri mengajar kita menghargai nyawa yang masih ada?
“Tengoklah dekat Kamdar dululah kot. Aku ingat nak survey-survey dulu dekat dua tiga kedai, tengok mana yang cantik, mana yang harga berpatutan. Baru beli.”
“Untuk Syamil punya?”
“Hrm... dia tak kisah. Dia suruh aku yang pilih. Warna memang dah tetap, tinggal cari kain ajelah.” Raudhah mula memfokuskan diri dalam pemanduan. Setelah dia mula selesa, barulah perbualan disambung di antara mereka.
“Uthman ok pula kena tinggal dengan Hasrul? Sikit pun tak merengek kena tinggal tadi?” Pelik juga Raudhah bila melihat Uthman tak menangis tadi. Selalunya, pantang nampak Hanani tak ada. Mahu setaman dia meraung.
“Hrm... dah kena pujuk. Bapaknya nak bawa jalan, makan aiskrim. Sukalah dia. Lagipun, biarlah sekali sekala dengan bapaknya pula. Biar mak dia relaks sikit hari ni,” Hanani  tertawa kecil.
“Hai, tengok family kau buat aku tak sabar nak kahwin. Ada suami, ada anak...”
Hanani  mengangguk perlahan. Faham benar dengan perasaan Raudhah. Dia pun pernah merasakan perkara yang sama dahulu.
“Tapi risau jugak bila memikirkan fasal anak. Nak mendidik jadi anak yang soleh tu, mencabar tanggungjawabnya...”
“Sebab itulah kahwin ni, kena ada ilmu. Bukan hanya ilmu tentang hubungan suami isteri. It is more than that. Ilmu tentang tanggungjawab suami isteri, yes, memang kena ada. Tapi pada aku, ilmu tentang mendidik anak-anak tu perlu lebih sikit. Bukan senang nak mencorakkan kain putih. Salah corak, takut terjadi kirstian atau yahudi pula nanti...”
Raudhah mendiamkan diri. Memang betul kata-kata Hanani. Itu baru tentang mendidik. Belum masuk bab keadilan antara anak-anak. Lagi-lagi kalau pasangan yang ada anak ramai. Mesti ada seorang yang akan tersisih, terasa diri tak dimanjakan sepatutnya. Dan bila perkara itu terjadi, hanya agama yang akan ‘mengikat’ anak itu supaya tidak melakukan perkara yang bukan-bukan. Seperti apa yang berlaku pada salah seorang kawannya sewaktu dia belajar di UK dahulu.
“Alah, relakslah. Allah sentiasa bersama-sama dengan kita. Lagipun, bukan kita seorang yang kena mendidik anak. Suami pun ada tanggungjawab yang sama. Ok? Ni tadi ceria semacam, bila bercakap fasal anak terus terdiam membisu, ya?”
Raudhah tersenyum simpul. Kereta dibelok ke kiri, memasuki kawasan parkir yang disediakan di bawah bangunan shopping complex itu. Sedikit sebanyak topik yang dibualkan tadi membuatkan dia berfikir. Moga dia mampu menjadi isteri dan ibu yang baik walaupun bukan yang terbaik di atas dunia ni.

***

            Satu demi satu kedai yang menjual kain di jelajahi. Namun satu pun tidak menepati piawaian Raudhah. Ada sahaja yang tidak kena pada matanya. Bila warna dah sesuai, coraknya pula dia tak berkenan. Bila coraknya sudah ok, harganya pula terlalu mahal. Tak berbaloi pula untuk beli kain yang mahal sedangkan pakainya hanya sekali. Kalau ada adik-adiknya yang hendak berjimat waktu kahwin nanti, boleh saja guna baju nikah dia. Tapi, ada ke yang sudi meminjam? Rasanya zaman sekarang ni, masing-masing ikut nafsu sendiri.
“Eh? Itu bukan ke Syamil kau, Raudhah?”
Raudhah mengalihkan pandangan daripada hiasan barang hantaran yang bersusun di atas rak kaca ke arah yang ditunjukkan Hanani. Matanya dikecilkan. Syamil? Mana? Saat dia terpandangkan Syamil yang sedang duduk berhadapan dengan seorang wanita di dalam KFC, jantungnya berdegup kencang. Patutlah Syamil kata dia tak ada masa untuk keluar hari ni. Rupa-rupanya dia ada meeting lain.
“Ha’ah. Syamil. Dia memang ada cakap dia ada meeting dengan kawan lama dia. Sebab itu dia tak dapat teman aku hari ni.” Raudhah senyum. Dia cuba untuk menenangkan diri. Dia tak mahu terburu-buru. Dia mahu Syamil sendiri yang membuka mulut, bercerita apa yang dia sepatutnya tahu. Dia percayakan Syamil. Percaya walaupun telah lama mereka tak pernah berjumpa.
“Oh. Iya ke? Nampak serius je berbualnya. Macam bincang hal kerja pula...” Hanani memandang sekali lalu sebelum menarik tangan Raudhah ke tempat lain.
“Masa bertunang ni, memang banyak sikit dugaannya, Raudhah. Darah manis. Kita pula nak bina masjid. Jadi syaitan memang akan ganggu habis-habisan. Manalah dia suka perkara-peraka yang halal ni. Jadi, kalau apa-apa, jangan bertindak ikut emosi ya, dear? Doa banyak-banyak, minta Allah memudahkan urusan,” nasihat Hanani tanpa diminta.
Bagai tahu-tahu apa yang cuba disembunyikan oleh Raudhah. Raudhah... Raudhah. Bukannya baru setahun dua mereka berkawan. Dia cukup masak dengan air muka Raudhah yang akan berubah mengikut emosi. Hanani senyum tak berperisa. Kasihan pun ada apabila melihatkan senyuman Raudhah yang sudah pudar. Masa Hanani bertunang dengan Hasrul pun, boleh tahan dugaannya. Makin dekat-dekat hari pernikahan, makin menjadi-jadi. Mujurlah segala-galanya berjalan lancar. Syukur!
Raudhah mengiyakan kata-kata Hanani. Entah mengapa, mesej daripada Hazim kembali terbayang di fikiran.
-Jangan menyesal di kemudian hari...-
Ah! Syaitan sudah mula menjalankan misinya.

***

“Baju dah dapat! So, bila kita boleh pergi hantar tempah ya? Untuk saya, ibu akan jahitkan. Untuk awak je lah tak tahu nak hantar mana,” ujar Raudhah ceria. Sedaya upaya dia mengawal suara supaya tidak berubah dengan ketara. Bila Syamil membuka mulut baru dia akan bertanya bertubi-tubi. Itu janjinya.
“Iya? Cantik ok tak kainnya? Awak pergi dengan siapa? Hanani? Sorrylah. Hari saya ada hal hari tu. Tak dapat nak temankan...”
“Yup. Pergi dengan dia. Lama jugaklah berjalan mencari. Tapi tak apa, puas hati dapat barang yang sesuai...” Raudhah menghela nafas perlahan.
“Oh, ya! Awak ada hal apa hari tu? Kebetulan saya ternampak awak dengan someone dekat KFC masa sibuk cari barang.” Tenang Raudhah bersuara walaupun dadanya mula berdebar apabila perbualan mula menjurus ke arah peristiwa semalam.
“Nampak saya dekat KFC?” Syamil terdiam sebentar. Menyusun ayat memberi jawapan yang terbaik. “I met a friend of mine, actually. Jemput dia sekeluarga datang majlis kita nanti...”
Kata-kata Syamil membuatkan Raudhah tertanya-tanya sendiri. Perlukah sampai ke KFC hanya untuk menjemput kawan? Hatinya mula ragu-ragu dengan Syamil. Raudhah meraup muka dengan tapak tangan. Matanya memandang ke arah siling yang kosong. Kemudian pandangannya beralih pula ke arah penjuru bilik yang sudah mula penuh dengan barang-barang untuk perkahwinannya. Tiba-tiba dia mula terasa risau. Kalau masa bertunang pun dia mula tak yakin dengan kata-kata Syamil, bagaimana pula bila sudah hidup bersama nanti?

***

“Hei? Muka macam lempeng basi je? Kenapa ni?”
Lamunan Raudhah terhenti tatkala mendengarkan suara Hanani menegur. Kepalanya digelengkan perlahan. Pandangannya terarah kepada kerja-kerja yang bertimbun, yang perlu disiapkan sebelum cuti panjang selepas perkahwinannya. Raudhah menghela nafas perlahan. Pen yang terselit di jari dilepaskan. Kemudian, dia melarikan pandangan ke sekeliling pejabat. Tak sedar masing-masing sudah sibuk keluar, menyegarkan diri dengan makan dan solat.
“Hei? Kenapa ni? Kau ok ke tak? Kerja banyak sangat?” tegur Hanani lagi. Melihatkan keadaan Raudhah yang bagaikan tak bersemangat membuatkan dia turut sama berasa risau. Lagi-lagi selepas insiden tempoh hari.
“Aku ok. Tak ada mood sikitlah. Nak period agaknya...”
“Ya? Aku tengok kau semenjak dua menjak ni, muka lemau je? Muka tak berseri langsung. Aura pengantin tu tak ada. Sebab banyak sangat berdua dengan aku ke? Aku terambil seri pengantin kau, ya?” usik Hanani.
Raudhah senyum tak berperasaan. Kemudian dia mencapai tas tangannya. Bersedia untuk keluar, merehatkan diri selama sejam sebelum kembali meneruskan kerjanya. Semenjak bekerja, dia sedaya upaya mendisiplinkan diri agar mematuhi segala peraturan di tempat kerjanya. Apabila waktu rehat, dia rehat. Apabila waktu kerja, dia kerja. Barang-barang pejabat tak pernah dia gunakan atas tujuan peribadi sekalipun hanya sebatang pen yang diberikan untuk pekerja.
Ini semua kerana dia pernah mendengar ceramah seorang ustaz tentang masalah sosial remaja. Walhal remaja yang terlibat itu pelajar sekolah agama. Bila di soal tentang surah Ar-Rahman, semuanya dah tersemat di dalam dada. Tetapi apabila dikorek-korek bertanya tentang keadaan ibu bapa, ibu bapa remaja ini seorang yang suka mengular sewaktu bekerja. Ibu bapa remaja itu memberikan anak-anak bahan belajar daripada hak pejabat, hatta sekeping kertas A4 juga di ambil kira. Raudhah tak mahu anak-anaknya jadi begitu. Jadi dia menjadi sangat berjaga-jaga. Risau gaji yang dia dapat setiap bulan tiada keberkatan daripada Allah s.w.t.
Tetapi, Syamil pula bagaimana? Bukan hanya soal gaji, soal makanan yang perlu diambil perhatian. Pergaulan ibu bapa juga turut menyumbang sama. Kalau ibu bapa pun jenis yang tak kisah batas-batas pergaulan, macam mana hendak mendidik anak menjadi anak yang sopan dan taat?

“Tengok tu? Termenung lagi? Kau fikirkan apa sebenarnya, Raudhah? Risau barang hantaran ke? Jangan risau. Aku dah janji kan nak siapkan? Insya Allah...” Hanani masih berusaha untuk mengorek rahsia hati Raudhah. Dia tahu Raudhah sedang menyimpan sesuatu.
“Aku tak ada apalah. Kau jangan risau ok? Hah! Yang bab hantaran tu, aku tak kisah pun kalau dapat masa hari wedding nanti. Tapi... F.O.C. lah! Free of charge!” usiknya pula. Tak mahu Hanani terus-terusan menyoalnya. Hanani memang pakar dalam bab-bab meneka ni.
“Iyalah... F.O.C. pun F.O.C lah. Tapi tak ada hadiah lainlah. Hihihi!”
“So, kita nak makan mana ni?” soal Hanani.
“Hrmm...”
“Warisan Tom Yam?”
            Raudhah sudah ketawa. Pandai-pandai saja Hanani meneka. Lagipun, memang dia hendak ke situ pun. Saja hendak memerhatikan Syamil menguruskan restorannya. Mana tahu satu hari nanti dia berhenti menjadi arkitek dan membantu Syamil di restoran?
            “Dah agak dah! Memang tak ada tempat lain sejak tahu restoran tu encik tunang dia punya, kan?”
            “Memang pun. Makanan dia pun sedap-sedap! Lagipun, aku ni pemilih sikit. Tak naklah aku makan dekat restoran yang tak tahu tukang masaknya solat ke tidak. Mahu gelap hati aku nanti. Kalau Warisan Tom Yam tu lainlah. Dia ada...”
“Ada surau. Setiap kali waktu solat nanti Syamil akan suruh anak-anak buahnya solat bergilir-gilir. Ada masanya Syamil sendiri jadi imam... Hah! Dah kali ke seratus lapan puluh lima kau ulang cerita ni tau! Sampai aku pun dah hafal sangat!” marah Hanani. Geram pula bila Raudhah asyik bercakap perkara yang sama berulang kali.
Raudhah hanya ketawa. Tak mengambil serius dengan apa yang Hanani ucapkan. Hanani memang begitu. Marah-marah sayang! Tak pernah pula Hanani berhenti menjadi kawannya. Lagipun betul apa? Air tangan orang yang tak solat ni, diibaratkan macam minum air kencing anjing hitam tau! Betapa kotor dan jijiknya makanan itu walaupun hakikatnya makanan itu normal.
“Oklah. Lepas ni aku diam je. Merajuk dengan kau, Ni... Dan, disebabkan aku merajuk, aku nak kau yang drive. Boleh?”
“Eh, no problem! Kereta baru, siapa yang tak nak, kan?” Kunci kereta dihulurkan kepada Hanani. Tanpa membuang masa, Hanani hanya menerima dengan ceria.

***

-Kita jumpa malam ni? Ajak Rafi sama...-
Buat kesekian kalinya Raudhah membaca nota yang diselitkan Syamil sewaktu minuman dihantar ke meja mereka. Apabila dia teringatkan pesanan Syamil, perutnya terasa sebu. Risau mengapa tiba-tiba sahaja Syamil hendak berjumpa dengannya. Seolah-olah ada sesuatu yang Syamil hendak bincangkan. Ah! Raudhah, itu semua mainan perasaan sahaja. Selama ini kalau Syamil ajak berjumpa, tidak pula dia memikirkan apa-apa. Tetapi semenjak dia ‘menangkap’ Syamil bersama seorang perempuan hari itu, mudah sahaja dia memikirkan yang tidak-tidak.
“Jumpa dekat rumah jelah, Long. Rafi ada meeting malam ni!” pinta Rafi.
Raudhah serba salah. Hendak memaksa, dia faham tugas Rafi sebagai pelajar. Hendak menahan, dia takut Syamil memang betul-betul ada hal sehingga terpaksa mengajaknya keluar.
“Long... Rafi bukan tak nak temankan. Tapi, Rafi memang betul-betul ada meeting penting. Projek kita orang ada masalah sikit. Esok dah kena jumpa supervisor nak tunjuk projek tu. Rasanya malam ni pun Rafi tak balik rumah. Sorry kak...” ujar Rafi lembut.
Serba salah apabila melihatkan air muka Raudhah sedikit keruh. Macam ada masalah sahaja Alongnya seorang ni. Pening kepalanya hendak melayan. Ini baru Along, belum lagi Abang Hazim yang tak sudah-sudah bertanyakan soal Along. Belum lagi memikirkan projek inovasinya yang sangkut kat tengah jalan. Stress!
“Oklah. Along faham. Along dulu belajar jugak. Elok-elok bawak motor pergi U nanti. Dah malam dah ni...” sempat Raudhah berpesan. Rafi hanya mengangguk. Dalam pada masa yang sama, Raudhah merangka-rangka ayat untuk dihantar kepada Syamil.

***

“Tak boleh ke kita keluar sekejap?” desak Syamil.
Raudhah hanya menggeleng perlahan. Sudah dijelaskan perihal Rafi tadi, tetapi Syamil tetap mendesaknya.
“Rashidah? Takkan dia tak boleh temankan juga?” soal Syamil lagi.
Dia terdesak. Betul-betul terdesak. Semakin hari pernikahan mendekat, semakin dia resah juga perkara itu tak dikongsikan bersama Raudhah. Dia tak mahu Raudhah menganggapnya menipu apabila mengetahui kelak. Walaupun kalau boleh, mahu saja dia merahsiakan hal ini. Tetapi dia risau penerimaan Raudhah kalau Raudhah mendengar daripada mulut orang lain. Sedangkan pertemuan rahsianya bersama Kak Ainin di KFC hari tu pun, Allah dah mengizinkan Raudhah melihat. Apa pula akan berlaku kalau Allah takdirkan Raudhah mengetahui segala-galanya tanpa pengetahuan dia?
“Syamil... kalau hendak berbincang, bincang saja di sini. Kalau rasanya perlukan privacy, pak cik beri masa sekejap untuk kamu bincangkan....” ayah Raudhah bersuara. Kasihan pula melihatkan wajah Syamil yang sedikit kusut. Bagaikan ada masalah sahaja lagaknya. Biarlah dia ke dapur sebentar sementara Syamil dan Raudhah berbincang.
Syamil sedikit terkejut mendengarkan kata-kata Pak Cik Jalil. Namun, sedikit sebanyak dia berasa lega dengan cara Pak Cik Jalil. Biarlah aibnya hanya diketahui oleh orang-orang yang tertentu. Lebih-lebih lagi insan yang bakal menemani hidupnya pada masa-masa akan datang.
“Apa yang penting sangat awak nak cakap?” soal Raudhah apabila Syamil mendiamkan diri. Kalau tentang persediaan perkahwinan, rasanya tiada apa-apa masalah.
Bibir Syamil bergerak-gerak, ingin menyatakan sesuatu. Namun, dia ketandusan kata-kata untuk disusun supaya menjadi sebuah ayat yang boleh diterima oleh Raudhah. Bagaimana harus dia memulakan?
“Raudhah, I was once married...”
Raudhah tersentak. Dahinya berkerut. Matanya membulat memandang Syamil.
“What?” Biar benar?
“I was once married, Raudhah. Kahwin dengan adik angkat saya...”
Raudhah menelan air liur. Terasa perit hendak menerima apa yang Syamil sampaikan. Nafasnya bagaikan terhenti mendengarkan pengakuan Syamil.
“So, that lady that I saw with you was your wife?”
Syamil menggeleng perlahan.
“Itu kakak dia. Ainin. Perempuan yang pernah jadi isteri saya, Aina. Mulanya dia adik angkat di universiti saya sampai satu hari, we fell for each other...”
Raudhah terdiam. Air matanya terasa bergenang ditubir mata. Selama lima belas tahun dia setia menunggu Syamil. Selama lima belas tahun dia mengharapkan Syamil turut menunggunya. Tak sangka selama ni hanya dia yang memasang angan-angan sendiri. Semuanya merupakan perjanjian kosong, perjanjian bodoh yang dicipta oleh dia sendiri pada masa yang belum matang! Argh! Kenapa dia tak mendengar sahaja nasihat Hanani yang menyuruh dia melupakan semua itu?

“Tapi, berkahwin dengan dia tak pernah termasuk dalam perancangan saya, Raudhah. At that time, I was just thinking of having fun. Bergembira, merasai apa yang orang lain turut merasa until one night...”
Raudhah tertunduk. Tak sanggup rasanya hendak mendengar kata-kata yang bakal keluar daripada mulut Syamil. Terasa sakit apabila terpaksa berhadapan dengan realiti. Realiti yang membuatkan impiannya untuk bersama dengan Syamil punah!
“Sepatutnya saya menjaga dia, Raudhah. Tapi, saya silap. Bila Allah dah larang, perkara itulah yang seronok dilakukan. At last, she pregnant. Dan bagi menutup malu, family dia meminta saya bertanggungjawab,” kata-kata Syamil terhenti. “Raudhah...” panggilnya perlahan apabila melihat Raudhah sudah tergeleng-geleng tanda tidak boleh menerima.
“Stop it, Syamil. Saya tak nak dengar. Please!” pinta Raudhah perlahan.
Menerima hakikat bahawa Syamil tidak pernah menaruh perasaan terhadapnya itu satu hal. Menerima khabar Syamil pernah berzina dengan perempuan lain satu lagi hal. Tanpa dipaksa-paksa Raudhah teresak sendiri. Ya Allah, lagi beberapa minggu sahaja lagi pernikahannya bakal berjalan. Kenapa baru hari ini Syamil membuka semuanya?
“Tak Raudhah. Awak kena tahu perkara sebenar. Saya tak nak ada rahsia lagi antara kita. Kita bakal berkahwin, Raudhah. Saya tak nak awak rasa tertipu bila kita dah kahwin nanti...”
“Apa yang membuatkan awak rasa saya tak rasa tertipu sekarang, Syamil? Kenapa awak tak berterus-terang sejak awal? Apa yang membuatkan awak yakin saya boleh terima semua ni?” marah Raudhah. Namun suaranya dikawal. Dia tak mahu ibu dan ayahnya mendengar apa yang Syamil katakan. Makin laju air matanya mengalir. Semakin jauh perasaannya terhadap Syamil. Benci! Dia benci mendengar sejarah silam Syamil. Alangkah bagusnya kalau Syamil merahsiakan sampai bila-bila. Sekurang-kurangnya taklah dia kecewa begini.
“Kehadiran awak dalam hidup saya seolah-olah memberi semangat untuk saya mulakan hidup baru, Raudhah. Lama saya menghukum diri setelah pemergian Aina dan anak kami. Bulan ke enam mengandung, Aina tumpah darah sewaktu di rumah. Masa tu, saya bukan Syamil yang awak kenal sekarang. Saya Syamil yang lupa ada penjaga kiri dan kanan. Saya Syamil yang gilakan hiburan. Saya Syamil yang tak pernah cukup dengan seorang perempuan. Bila Aina pergi, baru saya sedar. Hidup ini tak lama. Umur muda tak bermakna hidup masih panjang...”

“Dah berapa ramai perempuan yang awak dan berzina?” marah Raudhah.
Syamil tersentak. Soalan Raudhah betul-betul membuatkan dirinya terasa hina.
Kisah hidup Syamil dengan Aina sedikit pun Raudhah tak mahu ambil tahu. Apa yang dia tahu, Syamil lelaki kotor. Lelaki yang sudah bersama dengan ramai wanita! Mata Raudhah sudah mula perit, hidungnya pula sudah mula merah. Semuanya akibat menangis. Bodoh! Terasa dirinya betul-betul bodoh dalam menilai manusia.
 “Awak sedar tak zina tu dosa besar, Syamil? Awak sedar tak perkara itu hina di mata Allah? Kenapa awak boleh terjebak dengan perkara-perkara macam tu?” luah Raudhah kesal.
“Lima belas tahun dulu, awaklah lelaki yang paling sopan yang saya pernah jumpa. Awaklah lelaki yang paling segan dengan perempuan. Bila kena usik sikit, terus merah muka. Tak sangka ya, dalam merah-merah tu, boleh berubah jadi tak tahu malu langsung?”
“Pantai pun boleh berubah, inikan pula hati manusia kan?” sindir Raudhah lagi. Hilang perasaan sedih, perasaan marah dan geram mula yang mengganti. Dia memandang Syamil jijik. Geli membayangkan lelaki itu bersama dengan wanita-wanita yang berbeza setiap malam.
“Raudhah, kalau awak tak boleh terima...”
“Memang saya tak boleh terima Syamil. Kalau saya tahu selepas kita berkahwin pun, saya tetap tak boleh terima. Maaf Syamil. Saya jijik membayangkan awak bersama dengan perempuan-perempuan lain. Bukan saya tak terima sebab lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, lelaki penzina untuk perempuan penzina. Bukan. Bukan sebab itu. Cuma saya sendiri yang belum cukup mulia untuk menerima kelemahan awak...”
“Apa maksud awak?” soal Syamil sedikit cuak. Adakah ia bermaksud...

“Kita putus.”
Syamil terdiam. Badannya disandarkan ke sofa. Allah... Dia sedar khilafnya. Dia sedar betapa kotornya dia dahulu. Mungkin bukan Raudhah insan yang bakal menemaninya menjalani hidup sehingga ke hujung nyawa. Mungkin ada insan lain yang sudi menerima dirinya seadanya, sebagaimana dia berjanji untuk menerima bakal isterinya seadanya. Syamil memujuk diri sendiri.
“Along? Kenapa nak putuskan pertunangan tiba-tiba ni?” Pak Cik Jalil muncul setelah hampir sepuluh minit memberikan ruang buat mereka berdua. Dahinya berkerut melihatkan air muka Raudhah yang baru lepas menangis. Syamil yang berada dalam keadaan terkejut turut menarik perhatiannya. Apa yang berlaku? Selama dia di dapur, dia langsung tak mendengar apa-apa. Tahu-tahu bila masuk ke ruang tamu, Raudhah pula meminta pertunangan diputuskan.
“Lagi berapa minggu je lagi kamu dah nak menikah. Bawakkan bersabar kalau ada salah faham. Jangan ikutkan emosi sendiri je, Along. Cuba bawak bertenang, bawak berbincang dulu?” nasihat Pak Cik Jalil lembut. Dahulu, Raudhah sendiri yang beriya-iya mencari Syamil. Tetapi sekarang, apa sudah jadi?
“I’m done talking, ayah. Along naik dulu...”
Cincin dikeluarkan daripada jari perlahan-lahan. Kemudian, dia meletakkan cincin itu di atas meja, membuatkan Syamil tergamam.

***

Bodoh! Bodoh! Bodoh! Itulah perkataan yang berulang-ulang di dalam fikiran Raudhah semenjak seminggu lepas. Semenjak dia memutuskan pertunangannya dengan Syamil, hatinya tak pernah tenang. Sekalipun kata-kata Syamil pada waktu itu menghancurkan hatinya, dia tetap tak mampu membohongi dirinya sendiri, dia rindukan Syamil! Sedangkan dia sendiri yang membuat keputusan untuk memutuskan pertunangan itu. Bodohnya dia! Kenapa dia mengambil keputusan terburu-buru begitu?
Seminggu dia putus tunang, seminggu itu jugalah ayah dan ibu melayan dia endah tak endah. Mana tidaknya, lagi tiga minggu dia bakal bernikah, tiba-tiba sahaja majlisnya tak jadi. Mujur jugalah kad kahwin belum diedarkan. Cuma sekadar menjemput dengan mulut saja. Nanti macam mana pula nak beritahu majlisnya tak jadi? Allahurabbi... seumur hidupnya, inilah kali pertama Raudhah bakal memalukan keluarga.
Raudhah membelek-belek kad kahwin yang berwarna hitam itu. Nampak naik serinya apabila tulisan dan coraknya digunakan warna silver. Perasaan Raudhah bercampur baur kembali. Rasa mahu sahaja dia menelefon Syamil dan memohon maaf. Tapi egonya menghalang. Ah! Kalaulah masa boleh diputarkan kembali...
-Apa khabar? Busy menguruskan hal kahwin? Hrm... tak nak jemput saya ke?-
Raudhah membaca mesej daripada Hazim tak berperasaan. Hazim? Agaknya kalau dia meminta Hazim menjadi pengganti, mesti Hazim tak menolak. Cuma yang menjadi masalahnya, hatinya yang menolak kuat kehadiran Hazim. Raudhah memicit dahi perlahan. Kusut rasanya memikirkan apa yang bakal berlaku. Dia keliru. Adakah ujian ini merupakan petunjuk daripada Tuhan bahawa dia dan Syamil memang tak ditakdirkan bersama ataupun syaitan yang menghasut hati-hati anak adam yang hendak mendirikan masjid, yang hendak menunaikan satu lagi ibadah kerana Allah?
-Insya Allah, kalau tak ada masalah nanti, sampailah kadnya...-
Berlapik Raudhah membalas. Tidak lama kemudian, telefonnya berdering. Tanpa menunggu lama, panggilan Hazim dijawab.

“Betul ke apa yang saya dengar?” itu soalan pertama yang keluar daripada mulut Hazim selepas salam berjawab.
“Apa yang Rafi cerita lagi?” soal Raudhah mula bosan.
Serasanya, sepanjang apa yang berlaku dalam hidup dia tak pernah terlepas daripada pengetahuan Hazim. Semuanya gara-gara adiknya Rafi. Bila ditegah, selamba pula Rafi menjawab yang dia masih belum betul-betul menjadi milik Syamil. Geram betul dia dengan Rafi. Ikut kepala dia saja nak buat apa.
“Bukan Rafi yang cerita. Dia pun tak bercerita apa-apa kalau saya tanya fasal awak. Tunang orang, kata dia...”
Eh? Raudhah terpempan. Kalau bukan adiknya, siapa lagi yang membawa berita kepada Hazim? Hanani? Tak mungkin sama sekali.
“Syamil. I heard from him. Dia mengeluh, meluahkan rasa kecewa mungkin?”
Raudhah terdiam. Rasa hendak menangis mendengarkan cerita ringkas Hazim. Bukan Syamil seorang saja yang kecewa, dia turut sama kecewa dengan keputusan terburu-buru yang dia buat.
“Sejak bila awak berkawan rapat dengan dia ni sampai semua benda dia cerita?”
“Syamil pernah jadi salah seorang ahli keluarga saya, Raudhah.” Hazim memulakan cerita. Cerita yang selama ini dia simpan daripada Raudhah. Dia bukan jenis hendak memburukkan orang lain. Cuma, tak sangka pula dia membuka cerita dalam keadaan begini.
“Syamil was married once. To my lovely cousin. It was five years ago, Raudhah. Saya dengan Aina sangat rapat. Dia dah macam adik kandung saya sendiri...”
Raudhah terkejut. Kecilnya dunia! Namun, ada sesuatu yang perlu dia bertanyakan kepada Hazim. “Awak tahu kenapa dia orang kahwin?”
Hazim tidak menjawab terus. Hanya nafas saja yang kedengaran di hujung talian.
“Secara jujurnya, saya yang paksa Syamil bertanggungjawab. Lepas apa yang dia buat, dia tak boleh terlepas macam tu je. Tapi, lepas kahwin pun dia tak berubah. Arwah Aina banyak kali menangis dengan saya. Saya nak masuk campur lebih-lebih, tak boleh juga. Lepas Aina meninggal, saya memang tak ambil tahu langsung fasal lelaki tak guna tu. Tak sangka pula dia dah buka restoran dekat KL nun. Kalau saya tahu, memang tak adanya saya bawa awak pergi restoran dia tu...” Hazim tergelak perlahan.
Kenangan lalu kembali berlayar di fikiran. Teringat saat-saat dia menerima nasi goreng pattaya dengan sos berbentuk love di atasnya. Kerja Syamil rupa-rupanya! Raudhah menghela nafas perlahan. Kenapalah dia tak merisik-risik dahulu tentang Syamil sebelum mengambil keputusan untuk bertunang dan berkahwin? Sekurang-kurangnya dia boleh berfikir sejuta kali sebelum mengambil sebarang keputusan.
“Kenapa awak tak pernah cerita dengan saya, Hazim?” soal Raudhah sedikit mengeluh.
“Sejak peristiwa dekat restoran dulu tu, saya banyak siasat fasal Syamil. Banyak yang dah berubah pada dia. Tengok air muka dia masa malam tu pun, saya dah boleh nampak dia bukan Syamil yang dulu. Syamil yang dulu dah mati. Bahkan saya tengok sekarang, dia jauh lebih baik daripada saya. Saya pula yang malu bila mengingatkan dulu pernah bertumbuk, bergaduh teruk dengan dia. Walhal, banyak cara lain nak mengajar manusia...”
“Lagipun, buat apa saya nak bercerita tentang kisah silam dia? Dia dah berubah, Raudhah. Past is past. Boleh jadi bila dekat akhirat nanti, kita pula yang minta bantuan dia untuk masuk syurga. Siapa tahu?”
Terasa panas muka Raudhah mendengarkan kata-kata Hazim. Malu benar apabila mendengar kenapa Hazim merahsiakan sedangkan dia terus-terusan menghina Syamil apabila Syamil menceritakan segala-galanya. Tak semena-mena air mata Raudhah menitis jatuh. Apa yang dia perlu buat sekarang?
“Why are you telling me this, Hazim? Bukan ke awak pernah...”
“Pernah cuba pikat awak, tapi tak dapat?” sambung Hazim. Kemudian dia ketawa.
Raudhah termalu sendiri.
“Ya, memang saya cuba. Tapi bila awak berusaha keras untuk cari Syamil dan keputusan awak memang dah tetap, saya tak boleh nak ubah. Saya respect awak, saya respect perasaan awak, saya respect keputusan awak yang memilih Syamil instead of me. Plus, he is a good guy. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. I believe that. Tapi siapa yang lebih baik daripada siapa tu, hanya iman dan taqwa je yang jadi pengukur. Kita tak tahu dan tak akan pernah tahu.”
“Kisah silam dia mungkin sedikit hitam, tapi semua orang ada zaman jahiliah tu. Yang penting sekarang ni, masa sekarang dan masa hadapan. Ya, Allah menghukum orang-orang yang berzina, di akhirat nanti mereka akan diazab dengan berat, dilipat gandakan seksa ke atas mereka, bangun dalam keadaan yang sangat hina. Tapi awak kena tahu Raudhah, Allah juga ada berfirman, semua azab itu akan dikenakan ke atas mereka kecuali mereka yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan kebajikan. Mungkin kita selalu je dengar, kalau bertaubat  dengan taubat nasuha, Allah akan ampunkan. Tapi mana dalilnya? Dalilnya ada dalam surah Al-Furqan, ayat 68 – 71,” panjang lebar Hazim bersyarah.
“Saya tahu mungkin kurang sesuai saya tegur awak. Sepatutnya boleh je sampaikan pada saudara perempuan yang dekat dengan awak. Tapi, aib Syamil, biarlah tamat di sini je. Tak perlu dihebah-hebahkan lagi. Kasihan dia. Sedangkan Allah swt yang menciptakan kita pun boleh menerima taubat Syamil, siapa kita yang hendak menghukum, Raudhah?”

***

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatilah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya...
Raudhah meraupkan muka dengan kedua belah tapak tangan. Bersungguh-sungguh dia berdoa, merayu, memohon bantuan daripada Allah. Selesai menunaikan solat sunat istikharah, Raudhah bangkit. Al-Quran di capai, mahu menenangkan hatinya yang kini rawan. Sebaris demi sebaris ayat dibaca berserta terjemahan.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. 49:11

Raudhah merapatkan Al-Quran mini itu ke dadanya. Buat kesekian kalinya dia menangis. Adakah dia antara orang-orang yang zalim? Merasakan diri lebih baik daripada Syamil? Merasakan diri lebih mulia dan tinggi darjatnya daripada Syamil? Rasanya, inilah ujian paling berat yang pernah dia rasai. Merasakan diri lebih baik dan mulia. Merasakan diri lebih ilmu agama daripada orang lain, merasakan amalan diri ini sudah lebih banyak daripada orang lain, merasakan diri sudah cukup bagus serba-serbi. Ya Allah, dia sudah ada penyakit ujub! Penyakit yang memakan segala amalnya kerana menghalang dirinya daripada berniat ikhlas ketika beramal.
Kini dia sudah nampak pengakhiran kisahnya bersama Syamil. Dia tahu apa tindakan yang patut diambil. Raudhah mencapai telefon bimbit yang terletak elok di atas tilam, di sebelah bantal. Bait-bait kata disusun untuk disampaikan kepada Syamil. Semuanya perlu diselesaikan sekarang juga walaupun mungkin Syamil tak sedar akan mesej yang dihantar pada pukul empat setengah pagi ini.

***

“Awalnya mesej ajak jumpa. Raudhah tak tidur malam ke tadi?” usik Syamil. Senyumannya ikhlas lahir daripada hati. Raudhah yang memandang kematian kata-kata. Takkanlah hendak berlaku jujur, sejujur-jujurnya? Dia sudah cukup malu sewaktu menghantar pesanan kepada Syamil, mengajak untuk berjumpa.
“Rafi, sihat?” tegur Syamil. Kemudian mereka bersalam dan berpeluk. Raudhah hanya memandang tanpa sepatah kata.
“Alhamdulillah bang. Cuma sekarang busy sikit dengan final year project. Sakit kepala jugak dibuatnya.”
“Tak apa. Tak lama dah tu. Nanti kau pulak yang rindu zaman belajar. Zaman abang dah lama berlalu dah.” Perhatian dialihkan kepada Raudhah yang duduk di sebelah Rafi. Kalau sewaktu tiba tadi dia merasakan tenang melihat Raudhah, kali ini perasaannya bertukar. Risau juga memikirkan apa yang hendak Raudhah sampaikan.
“Jadi, ada apa, Raudhah nak bincangkan? Boleh kita straight to the point je?”
Suasana kembali hening. Syamil menunggu kata-kata Raudhah, Raudhah pula kalut hendak bersuara. Rafi di sebelah sekadar menjadi pemerhati dan peneman. Mengelakkan fitnah berlaku apabila sepasang lelaki dan perempuan yang tiada ikatan berjumpa.
“Saya nak minta maaf...”
Kening Syamil terangkat sedikit. Benarkah apa yang dia dengar? “Maaf?”
“Apa yang berlaku minggu lepas. Saya betul-betul minta maaf. Tak sepatutnya saya cakap macam tu...”
Syamil tersenyum senang. Perasaannya kembali tenang. “Saya dah maafkan...”
“Semudah itu?”
Soalan Raudhah membuatkan dahi Syamil berkerut. Eh? Orang dah maafkan dia tanya macam tu pula?
“Habis tu? Awak nak saya cakap apa? Saya tak maafkan awak sampai awak kahwin dengan saya?” selamba Syamil menuturkan. “Saya maafkan awak, Raudhah. Saya sedar banyak dosa saya. Dan saya faham dengan keputusan yang awak ambil. Awak layak mendapat yang lebih baik. Ok?” ujar Syamil tenang.
Muka Raudhah memerah. Serta-merta dia terasa sebak mengingatkan kata-katanya kepada Syamil. Tak semena-mena dia menangis sendiri. Syamil yang nampak menjadi sedikit gelabah. Hendak memujuk, tak boleh. Sudahnya dia sekadar menghulurkan tisu.
“Awak lelaki yang baik, Syamil. Awak nak tahu? Hati saya kena infection. Awak nak tahu penyakit apa? Penyakit ujub, penyakit yang selama ni saya dengar dalam tazkirah-tazkirah, dalam ceramah-ceramah agama. Tak sangka rupa-rupanya penyakit tu dah lama bertapak dalam hati saya. Saya minta maaf dengan kata-kata saya. Kalau boleh diputarkan masa, saya bagi warning pada diri saya, jangan ikutkan sangat emosi. At last, semua sia-sia saya menunggu dan mencari awak sia-sia je...”
“But you know what? I really wish that you will never tell me about it, Syamil. Biarlah awak tipu saya seumur hidup sekali pun, saya sanggup daripada dengar pengakuan tu daripada mulut awak. Tapi bila fikir buat kali kedua, saya rasa lebih baik tahu sekarang daripada dah kahwin nanti kita bercerai berai. Bukan saya boleh jangka penerimaan saya macam mana pula nanti...”

“Syamil...” panggil Raudhah perlahan. Tangisannya sudah mula reda. Ada sesuatu yang lebih penting untuk dia beritahu Syamil. Memberitahu keputusan yang dia ambil, yang bakal merubah hidupnya.
“Saya?”
“Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, kan?”
Syamil mengangguk. Mengiyakan.
“Sudi tak kalau awak bimbing saya, perempuan yang tak berapa baik ni sampai ke akhir hayat? Kita cancel kan pertunangan kita yang cancel tu?”
Rafi tersenyum melihat telatah kakaknya. Hendak komen lebih-lebih, saudara kandung dia juga. Kemudian Rafi memandang Syamil yang sedikit terkejut mendengarkan kata-kata kakaknya. Ah, Abang Syamil ni pun, tak payah nak terkejut sangatlah dengan peminangan Kak Raudhah tu! Hari tu pun Kak Raudhah jugak yang mulakan first step. Alahai, kalau aku yang kena pinang, memang demam seminggu!
“Cancelkan pertunangan kita yang cancel?” soal Syamil blur. Terkejut dengan keputusan Raudhah tadi membuatkan dia tak boleh nak berfikir dengan cepat.
“Maknanya, our engagement still on lah! Lapan belas hari bulan lapan nanti kita nikah macam yang dirancang!” kata Raudhah sedikit marah. Sudahlah malu sebab dia lagi yang memulakan, boleh pula Syamil blur tak bertempat. Dia menjeling ke arah Rafi yang sudah tersengih-sengih.
“Our engagement memanglah masih on. I thought Raudhah datang memang nak pulangkan cincin?”
“What?” giliran Raudhah pula yang terkejut. Eh? Bukan ke cincin tunang dah diberikan kembali kepada Syamil?
“Pak Cik Jalil yang cakap jangan putuskan dulu. Biar Raudhah berfikir dengan tenang dulu. Dia cakap nanti dia beritahu Raudhah. Pak cik tak cakap apa-apa ke?”
Darah laju menyerbu ke muka. Aduh! Kiranya selama ini dia menangis kerana perkara yang tak terjadi? Allahu akbar... cantik betul cara Allah hendak mengajar dia.
“Err, tak ada apa pula?”
Syamil tergelak. Kelakar pula melihat wajah Raudhah. “Nanti balik pergi tanya ayah, ok?”

***

“Memang saja ayah buat macam tu. Biar jadi pengajaran sikit dekat kamu. Yang pertama, jangan hina-hina orang, yang kedua, sebelum ambil apa-apa keputusan, fikir banyak kali dulu.” Tegang air muka ayah Raudhah sewaktu Raudhah bertanyakan perihal pertunangan itu.
“Syamil dah beritahu ayah apa yang berlaku sebelum kamu bertunang dengan dia lagi. Dia risau kalau kamu tak boleh terima dia. Ayah yang yakinkan dia supaya masuk meminang. Sebab ayah yakin, anak ayah bukan jenis orang yang macam tu. Tapi ayah tak sangka kamu boleh buat macam tu. Siapa yang ajar kamu Raudhah?” nada suara ayahnya mula meninggi.
Masing-masing di ruang tamu terdiam. Hanya kedengaran suara ayahnya sejak tadi. Ibu Raudhah memandang Raudhah bersimpati.
“Nanti dah kahwin jangan sesekali bertindak bodoh macam tu. Salah faham, terus minta cerai. Ayah memang tak akan sebelahkan kamu lagi masa tu...”
Raudhah mengangguk lemah.
“Pergi ambil balik cincin tunang kamu. Ayah letak dalam laci meja cermin. Tak larat dah ayah nak simpan lama-lama.”

***

Raudhah membelek dua bentuk cincin yang tersemat dijari. Bibirnya menguntum senyum. Syukur majlis pernikahannya sudah selamat. Petang tadi, tepat jam dua empat puluh tiga, dia selamat menjadi isteri buat seorang lelaki yang dia sayangi. Yang peliknya, air matanya sedikit pun tak luruh. Ayahnya pula yang terkena selesema sewaktu bergambar bersama keluarga. Kesan menangis agaknya. Raudhah tersenyum lagi.
Bunyi pintu bilik diketuk menarik perhatian Raudhah. Tatkala dia menoleh, kepala Syamil tersembul di sebalik pintu. Hatinya berbunga. Senyuman ikhlas dari hati diberikan buat suaminya itu. Semoga Allah terus mencampakkan perasaan kasih sayang ini, amin...
“Awak dah solat ke? Kalau belum, kita berjemaah nak? Selalu nampak awak imamkan anak buah awak je...” tegur Raudhah.
Syamil senyum. Isterinya ini jenis kurang rasa malu kalau berdua dengan Syamil. Selamba sahaja lagaknya walaupun belum sampai sehari berkahwin. Masa di sekolah rendah dahulu, Raudhahlah yang galak mengusik Syamil.
“Hai, berawak-awak? Ingatkan panggil dengan panggilan mesra dan penuh kasih sayang? Raudhah kena tambah ilmu rumah tangga lagi ni...” usik Syamil.
Raudhah pula yang tersipu. Rasa hendak tergeliat pula hendak memanggil Syamil dengan panggilan abang. Umur pun sebaya. Pelik pula rasanya.
“Iyalah... you pergilah ambil wudhuk dulu. I dah ada...” ujar Raudhah selamba.
Syamil membulatkan mata. “Amboi, cantik bahasa?”
Raudhah sekadar ketawa.
Tenang rasanya menunaikan solat berimamkan suami sendiri. Bacaannya sangat merdu dan sungguh syahdu. Bacaan al-fatihah Syamil pun terasa-rasa begitu mendayu-dayu, merayu-rayu memohon Allah menunjukkan jalan yang lurus. Tak semena-mena air mata Raudhah bergenang. Teringat satu artikel yang pernah dia baca, tentang Allah swt menjawab ayat di dalam surah al-fatihah yang kita baca.

Apabila hamba-KU mengucapkan:Alhamdulillahi rabbil 'alamin(segala puji tertentu bagi allah,tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam)
AKU menjawab:hamdani 'abdi(hambaku memujiku)
Apabila hamba-KU mengucapkan:Arrahmanirrahim(Yang maha pengasih lagi maha penyanyang)
AKU menjawab:'Atsna alayya 'abdi(hambaku menyanjungiku)
Apabila hamba-KU mengucapkan:Maliki yaumiddin(Maha penguasa hari kemudian)
AKU menjawab:Majjadani abdi(hambaku mengagungkanku)
Apabila hamba-KU mengucapkan:iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in(kepda engkau kami menyembah dan kepada engkau kami minta pertolongan)
AKU menjawab:Hadza bayni wa bayna abdi,wali abdi wa saala(inilah bahagianku dan bahagian hambaku yg dimintanya)
Apabila hamba-KU mengucapkan:Ihdinash siratal mustaqim,siratal ladzina an'amta 'alaihim ghairil maghdubi 'alaihim waladh-dhaalin(pimpinlah kami ke jalan yang lurus,yakni jalan yang tidak engkau murkai dan tidak pula jalan orang yang sesat)
AKU menjawab:Hadza li abdi,wali 'abdi ma saala(inilah bahagian hambaku,untuk apa yang dimintanya)

            Terasa begitu dekat sekali Allah dengan hambanya walaupun darjat hamba dengan Tuhan terlalu jauh. Allahurabbi…

            “Assalamualaikum warahmatullah…”
Kepala dipusingkan ke kiri. Kemudian, tangan meraup muka dengan bibir mengalunkan istighfar. Selesai menunaikan solat dan berdoa, Raudhah menghulurkan tangan untuk bersalam. Tak semena-mena air matanya jatuh. Terasa syahdu mala mini dia rasakan. Melihatkan Syamil sekarang, tiada siapa menyangka dia menanggung rasa bersalah atas dosa-dosa yang pernah dilakukan. Ah, kisah lama, buat apa hendak dikenang. Yang penting bagaimana kita menggunakan masa sekarang dan merancang masa hadapan untuk menjadi yang lebih baik di mata Allah.
            “Raudhah minta maaf, bang. Bimbinglah Raudhah. Tegurlah Raudhah kalau Raudhah ada salah silap…”
            Terasa tangan Syamil mengusap-usap kepalanya yang ditutupi telekung putih. Terasa kasih sayang menjalar dengan setiap usapan itu.
            “Salah tu, Raudhah. Bukan abang saja yang bimbing, tapi Raudhah pun kena bimbing abang sama. Tegur kalau abang ada tersilap. Bukan Raudhah seorang saja tau yang nak masuk syurga!” Hidung Raudhah ditarik perlahan.
Raudhah tergelak perlahan. Ya, bukan dia seorang yang nak masuk syurga. Sunyilah dia di syurga kalau Syamil tiada bersama. Syamil, when I’m with you I can see the jannah in front of me. Iyalah, kan perempuan mudah masuk syurga?
Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Hadis Riwayat Ahmad)
            Doanya, moga Allah rumah tangganya sentiasa diberkati dan di rahmati sehingga ke syurga. Amin!

12 comments:

kleo said...

^^Y sangat berpuas hati dengan ending dia. syukurlah masing-maisng boleh terima. cuma curious hazim macam mana nanti ye? terima kasih kak penulis for this wonderful writing! :) terima kasih juga untuk input al-fatihah tu. nice sharing! =)

terima kasih ye! :D

Saya Nurul said...

Sangat sangat terkesan di hati bila baca... Yelaa, kadang kadang kita tak sedar yang kita ni ujub sehingga sesuatu perkara buruk menimpa kita. Terima kasih sangat sangat sebab sampaikan banyak maklmat baru melalui karya anda... :)

mar chan said...

nice.. nice..
nmpk ending baru start baca dr awal. so that xyah tggu update lama2. haha..
byk ilmu baru dpt harini. terima kasih. :D

nabila said...

nice nice.. sgt happy ngan ending dia..>0_o<

sue said...

Siapa kita untuk menilai diri sesorang itu baik atau x??? diri kita sendiri kita x tahu kan???.... cerita yang banyak memberi kesedaran....TQ

Anonymous said...

rsa mcm nak menangis je time bca alfatihah tu..betul2 masuk je jiwa. betapa kita ni lalai dalam menilai diri sendiri, apatah lagi untuk menilai orang lain di sisi Allah

>>k<<

aisya said...

alhamdulillah..bnyk ibrah yg bole diambil..teruskan mggunakan mata pena sbg medium dakwah..that's ur advantage =)
interesting story =)

Anonymous said...

Thanks kak. Cite ni banyak bg kesedaran kat sy. And thanks jugak info sal al-fatihah tu. Baru sy tau. Rasa dekat je ngan Allah bila baca. Keep it up! Awesome la cite ni. Hee. 😁

Anonymous said...

sgt bgs!!!tersentuh sgt bab surah al-fatihah tu.ye, kasih syg Allah tanpa sempadan.kita je sll leka & merungut xtentu hala..astagfirullahala'zim....

sufi (",)

Ann Hafiena said...

ya Allah..alhamdulillah.. terima kasih hannah dhaniyah.. betul la kan..bila kita inginkan jalan kebaikan, Allah pasti beri. Macam mana jalannya, pasti ada.. Moga Allah terus memberi hannah ilham untuk terus menyampaikan mesej2 islam ni... barokallahu fik

Renn Oyong said...

Erkk hiiii...nice story!
Eventhough i'm not a muslim but i get the msg in this story..
Boleh dipraktikan dlm kehidupan kita seharian...

Anonymous said...

wow!!!lngkp jln citenyerrr..puas bca cite mcm ni..