::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

06 July 2015

E-novel: Cinta Luar Biasa 03



Cinta Luar Biasa 03
Zaid memakirkan kereta Nissan Sunny milik ayahnya dengan berhati-hati. Mujurlah ada juga tempat parkir untuk mereka walaupun orang ramai memenuhi shopping mall pada hujung-hujung minggu begini. Kalau ikutkan hatinya, malas sungguh nak ke sini bila memikirkan suasana yang bakal sesak kerana orang ramai. Tapi bila mak sudah meminta tolong, takkanlah dia nak menolak. Ayah pula bukannya sihat sangat semenjak dua menjak ni.

Sebaik saja keluar dari kereta, Zaid mengunci setiap pintu kereta secara manual. Kereta lama, sudah berapa kali masuk bengkel pula tu. Manalah nak ada alat pengawal jauh. Kalau ada pun nanti tiba-tiba kereta menjerit macam ada orang usik. Walhal, tak ada apa pun yang berlaku. Sabar sajalah dia melayan kerenah Betty ni. Nama yang dia beri untuk Nissan Sunny yang sudah berjasa hampir dua puluh tahun lamanya.
Zaid melangkah ke arah pintu masuk shopping mall. Mak dengan adik-adiknya dia sudah turunkan awal-awal tadi. Tak sampai hati nak membiarkan maknya berjalan jauh. Langkah Zaid terhenti apabila sebuah kereta mewah yang laju membelok masuk ke kawasan parkir tanpa menghiraukan dia yang sedang berjalan melintas jalan. Sombong punya manusia!
Dia menjeling sekali lagi ke arah kereta mewah tadi. Eh? Kenapa muka penumpang tu macam dia kenal? Hish... tak mungkinlah dia. Zaid menyambung langkahnya dalam hati yang penuh tanda tanya. Takkanlah dia hendak berhenti di sini untuk menunggu kereta itu parkir dan menunggu pula sehingga penumpang itu keluar? Buatnya kereta tu tak dapat parkir di situ dan pergi ke tempat lain? Tak ke dia berdiri macam orang bodoh di sini? Zaid kembali meneruskan langkahnya. Kalau benar mereka berjodoh, pasti akan berjumpa di dalam nanti.
Mata Zaid melilau di dalam shopping mall yang besar ni. Dia tiada apa yang hendak dibeli. Tak tahu hendak ke mana, Zaid melangkah ke arah foodcourt yang terletak tidak jauh dari pintu masuk dia tadi. Dia memesan secawan Cappucino. Terperasankan harga yang dipamerkan di atas, matanya membulat. Dekat lima ringgit air ni? Ini sudah dicampur GST ke belum ni? Zaid menggaru lehernya perlahan. Sudahlah aku belum kerja. Kalau tahu, baik bawa air mineral dari rumah tadi.
Sementara menunggu mak dan adik-adiknya selesai membeli-belah, mata Zaid melilau ke arah orang yang lalu-lalang. Untung-untung dia berjumpa dengan orang yang dia cari. Siapa lagi kalau bukan Cik Aiza yang sudah mengetuk pintu hatinya sejak kali pertama mereka bertemu. Hati Zaid berlagu riang. Namun keriangan itu tak lama. Tiba-tiba dia rasa gelisah memikirkan kalau dia terjatuh cinta pada isteri orang.
Sejam menunggu. Telefon bimbit Nokianya masih belum menunjukkan tanda akan berbunyi dalam masa terdekat. Uish! Lamanya mak aku beli barang dapur? Ini betul ke beli barang dapur atau sebenarnya mak dah naik ke tingkat atas ke bahagian perkakas rumah, baju-baju ataupun kasut dan beg tangan? Bosan pula rasa menunggu. Tambahan pula air Cappucinonya pun sudah habis.
Zaid mengambil keputusan untuk berjalan di dalam shopping mall. Satu demi satu kedai yang ada di dalamnya dia lewati. Tak ada apa-apa yang menarik. Lagipun, bajetnya tiada untuk bersuka-ria membeli-belah. Apa tidaknya, sudah sebulan juga dia menganggur selepas berhenti kerja kilang dulu. Ini pun dapat duit kocek sebab bantu mak dengan ayah di pasar malam.
            Langkah Zaid terhenti di hadapan kedai Big Apple yang menjual pelbagai jenis donut. Terpandangkan seorang gadis yang dia cukup kenal sedang ketawa bersama seorang lelaki membuatkan hatinya tak keruan. Zaid tidak menunggu lama di situ. Cepat-cepat dia melangkah meninggalkan pasangan merpati dua sejoli itu sebelum kehadirannya dikesan Aiza. Teringatkan ayat-ayat mengurat yang pernah dia ucapkan dulu, dia menjadi malu sendiri. Isteri orang rupanya. Siapa sangka rupa-rupanya dia bertepuk sebelah tangan...
***
            Aiza mengikut saja langkah Nizam. Di mana Nizam rasa hendak pergi, dia menurut tanpa sebarang bantahan. Sebenarnya, fikirannya penuh merangka ayat yang sesuai untuk berterus-terang kepada Nizam. Dia sudah tak sanggup hendak meneruskan lagi. Dia tak boleh nak berpura-pura gembira bila bersama Nizam. Jiwanya tiada bila bersama lelaki itu. Tapi, macam mana cara untuk dia menyatakan perasaannya agar Nizam tak terasa hati dan berdendam?
            Malam tadi, Nizam menuntut janji yang dia buat beberapa hari lepas untuk mereka keluar bersama pada hujung minggu ini. Dan dia hanya mengiyakan bila Nizam membuat jadual untuk mereka berdua. Jadi, sebab itu pagi-pagi mereka sudah tiba di sini. Tak sangka pula pukul sepuluh tempat parkir dah penuh. Jenuh mereka berpusing mengelilingi bangunan ini untuk mencari tempat parking. Mujur akhirnya jumpa juga.
            “Aiza nak donut?” soal Nizam lalu menunjukkan Big Apple yang berada di sebelahnya. Melihatkan Aiza yang seolah-olah tiada mood, dia pun menjadi kering idea untuk mengambil hati Aiza. Bila terpandangkan Big Apple di sebelah barulah dia terfikir untuk membelikan Aiza donut yang bersalut manisan tu. Mana tahu Aiza sudi menghadiahkan senyuman manis untuknya selepas makan donut tu nanti?
            “Boleh je. Jangan minta saya bayar pula sudahlah...” balas Aiza tak berperasaan.
Matanya memerhati ke sekeliling mall. Tak terasa hendak memandang wajah Nizam walaupun lelaki itu sedang bercakap dengannya. Nizam ni bukannya betul sangat. Ada masa dia selamba saja minta Aiza bayar kalau dia mahukan sesuatu benda. Mentang-mentanglah gaji Aiza tak kecil sangat dan bonus yang syarikat bagi setiap tahun boleh dikatakan agak besar berbanding dengan syarikat lain, selamba saja Nizam tayang muka bila meminta sesuatu daripada Aiza. Aiza pula, takkan hendak menolak. Tak sampai hati pula bila orang sudah meminta begitu.
            Nizam terdiam. Sindiran Aiza tajam menusuk hatinya. Namun dia tahankan juga rasa sabar. Kalau tak memikirkan air mukanya akan jatuh jika memarahi Aiza, pasti saat itu juga mereka sudah bertekak. Dia bukannya apa, bila dia mengusik Aiza membelikan sesuatu untuknya, dan Aiza tunaikan permintaan dia, dia rasa dihargai. Dia gembira bila orang kesayangannya membelikan sesuatu buatnya. Bukanlah selalu pun dia meminta. Tapi Aiza salah faham pula. Sabarlah Nizam... mungkin Aiza ada masalah, sebab itu mood dia berangin sejak dua menjak ni.
            Nizam meminta empat jenis donut dengan pelbagai jenis rasa. Selepas pelayan memasukkan kotak donut ke dalam plastik, Nizam menghulurkan plastik itu kepada Aiza. Bibirnya mengulum senyum.
            “Masuk sini kena senyum, tau! Nanti dah makan donut ni pula kena senyum lagi manis. Boleh?” pintanya.
Aiza menoleh ke arah Nizam di sebelah. Kemudian senyuman lebar ditarik dan selepas itu dia ketawa. Ketawa yang cukup janggal di pendengarannya. Terpandangkan pekerja Big Apple itu memerhatikan mereka berdua, Aiza rasa bersalah sendiri. Kemudian dia menggeleng perlahan.
“Sorry...” ucapnya perlahan.
Kenapalah kejam sangat kau, Aiza? Nizam cuba melayan kau dengan baik tapi kau pula yang buat perangai. Tapi, kalau hati kata tak suka, apa yang patut dia buat?
***
Zaid melepaskan lelah di kerusi kayu yang disediakan pihak pengurusan. Telefon Nokianya dikeluarkan dan dia mencari nama yang sudah meletak di hatinya. Cik Aiza. Lama dia merenung nama itu sebelum dia menekan butang ‘Option.’ Delete? Hatinya berbisik perlahan.
Masih terasa-rasa lagi kegembiraannya pada malam Za’imah menghulurkan kertas tertulis nombor Aiza. Masih terasa-rasa lagi debaran dadanya bila dia cuba menghubungi Aiza buat kali pertama. Tapi taliannya tidak berjaya disambung. ‘Engaged.’ Pada masa itu dia tak fikir apa. Langsung dia tak terfikir kalau dia mengganggu isteri orang pada waktu malam begitu. Apa yang dia tahu, dia ingin berbual dengan Aiza. Itu saja. Mungkin saat itu sudah menjadi petunjuk yang Aiza bukan jodohnya.
Zaid memejamkan matanya lama. Kemudian, butang untuk membuang nombor Aiza dia tekan. Dalam pada masa yang sama, dia menekan hatinya untuk melupakan Aiza. Gadis yang berjaya mencuri hatinya dalam masa satu saat.
Deringan telefon bimbitnya yang secara tiba-tiba membuatkan telefon murah itu tercampak ke lantai. Zaid menjeling ke sekelilingnya. Beberapa pasang mata yang terpandangkan insiden itu hanya tersenyum simpul. Cis! Buat malu saja. Jarinya cepat-cepat menekan butang hijau tatkala nama Za’im yang tertera di skrin telefon.
“Helo?”
“Zaid. Kitorang dah selesai. Kau kat mana?”
“Aku ada ni. Tunggu dekat tempat aku turunkan tadi. Nanti aku ambil kat situ...”
Sebaik saja talian tamat, Zaid bergegas menuju ke arah tempat meletak kereta. Namun sempat matanya menangkap figura Aiza yang sedang berjalan masuk ke dalam panggung wayang bersama suaminya. Zaid menghela nafas berat. Tak apa Zaid. Banyak lagi bunga di taman. Lagipun, bukannya kau tak perasan jenama kereta yang suami dia pakai. Rasanya sepuluh tahun kerja belum tentu dia mampu hendak beli kereta mewah macam tu. Mana mungkin Aiza akan memandang lelaki yang hanya mampu menunggang motor kapcai sepertinya...
***
Aiza memaksa kakinya mengikut langkah Nizam sewaktu Nizam mengajak dia menonton wayang. Rasa berat hatinya untuk menonton wayang sama berat dengan kakinya yang sedang melangkah. Rasa bersalah pun iya juga. Tak sampai hati hendak berterus-terang sedangkan dia tahu Nizam cuba untuk mengambil hatinya. Aiza mengeluh perlahan. Nizam sedang beratur membeli tiket manakala dia hanya duduk di kerusi yang disediakan. Hendak membeli bertih jagung pun rasa malas. Biarlah Nizam yang menguruskan semuanya. Dia malas hendak ambil tahu.
Aiza membelek telefon bimbitnya sementara menunggu Nizam selesai membuat pembayaran. Jari-jemarinya laju berlari di atas skrin. Tiada apa yang baru untuk dia lihat. Orang yang dia harapkan untuk telefon pun tiada. Mungkin Zaid baik-baik sahaja, sebab itu dah dekat seminggu kemalangan kecil itu berlaku, tiada panggilan daripada dia.
Aiza menghela nafas perlahan. Nizam sudah berjalan mendapatkannya dengan sekotak bertih jagung yang bakal dikongsi berdua. Aiza menghadiahkan senyuman nipis buat Nizam. Kemudian mereka sama-sama masuk ke dalam dewan yang sudah sedia untuk dimasuki.
Tamat menonton, Nizam mengajaknya makan terlebih dahulu di Nando’s. Sekali lagi Aiza menurut. Sementara menunggu makanan yang dipesan tiba, Aiza mencongak-congak sendiri. Patutkah dia berterus-terang dengan Nizam sekarang? Tapi buatnya putus selera lelaki ni, kesian pula. Mungkin sebelum Nizam hantar dia di rumah sewa nanti masa yang sesuai untuk dia berterus-terang.
“Kenapa, Aiza? Awak senyap sangat hari ni...” soal Nizam bila dia sudah boleh menahan rasa ingin. Boleh dikatakan semua yang dilakukan Aiza, nampak benar terpaksanya. Tak seperti sebelum-sebelum ni. Senyuman manis Aiza pasti akan ada buatnya.
“Tak ada apalah...” perlahan Aiza menjawab. Mata membaca menu yang tertulis di atas buku yang sengaja dia minta tadi. Rasanya kalau ada tertulis resipi dengan cara memasak ni, mesti dia boleh masak sendiri di rumah nanti.
“Tapi awak nampak lain sangat. Ada masalah ke? Mind to share?”
Teragak-agak Aiza hendak membuka mulut untuk menjawab soalan Nizam. Mujurlah pelayan tiba dengan makanan yang mereka pesan sebentar tadi. Aiza menggeleng perlahan. Sebuah senyuman nipis dia hadiahkan buat Nizam di hadapannya.
“Makanlah...”
Nizam memandang Aiza lama. Bila Aiza sudah menyuap sesudu nasi ke dalam mulut, barulah dia mencapai garfu dan pisau untuk memotong ayam di dalam pinggan miliknya. Namun sikap Aiza yang nyata berubah masih menjadi teka-teki buatnya.
***
“Nizam...” panggil Aiza perlahan. Dia mengumpul kekuatan untuk menyataan apa yang dia rasakan sepanjang berkawan dengan Nizam.
Nizam menoleh ke arah Aiza di sebelah. Kereta sudah lama berhenti di hadapan rumah sewa Aiza, namun lama Aiza duduk berteleku. Mendengarkan Aiza memanggil namanya, perasaanya mula resah.
“Saya minta maaf. Sebenarnya...” Aiza menelan air liur. Macam mana aku nak cakap ni? Habis hilang segala perkataan-perkataan yang dia susun sepanjang perjalanan pulang tadi.
“Kenapa, sayang? Ada apa-apa yang tak kena ke?”
‘Sayang...’ getus hati Aiza. Sungguh dia tak berkenan dengan panggilan itu. Aiza menarik nafas dalam. Kemudian dengan berhati-hati dia mula bersuara.
“Saya rasa... kita tak boleh terus macam ni...”
Nizam terpempan. Apa maksud Aiza?
“Tahun lepas, kita berjanji untuk berkawan dan kenal hati budi masing-masing, kan? Sebenarnya makin lama kita kenal, saya rasa kita tak serasi...” takut-takut Aiza memandang wajah Nizam di sebelah.
“Saya susah nak faham awak, saya susah nak masuk dengan cara awak. Saya rasa, saya bukan orangnya. Awak faham, kan maksud saya?”
“Sayang... kenapa tiba-tiba ni?” Nizam ketawa kecil. Menutup rasa terkejut dengan apa yang Aiza luahkan.
“Tak. Ini bukan tiba-tiba Nizam. Dah lama saya rasakan benda ni. Saya rasa kita berdua tak ada chemistry. Mungkin kita lagi sesuai menjadi kawan...? Lagipun, selama ni kita tak pernah berbincang pasal ni, kan?” lepas tu tiba-tiba awak bersayang-sayang dengan saya, tokoknya di dalam hati.
Nizam merenung Aiza lama.
“Mungkin, saya bukan wanita yang boleh bahagiakan awak... saya tak sanggup terus berpura-pura gembira sedangkan rasa saya pada awak... kosong.”
“Tapi sayang dan cinta itu boleh dipupuk, Aiza...”
“Iya... memang boleh. Tapi setahun kita berkawan, Nizam. Pada awal saya rasa ok. Makin lama perasaan saya pada awak makin pudar. Saya minta maaf. Saya rasa daripada saya biarkan perkara ni berlarutan, baik saya hentikan semua. Sekurang-kurangnya, awak boleh cari gadis yang serasi dengan awak dan kita masih boleh berkawan...”
Nizam tidak menjawab. Dia diam di tempat duduknya, merenung kosong ke arah jalan. Aiza memerhatikan Nizam dalam keadaan serba-salah. Tapi, memang mereka tak ada apa-apa hubungan selain kawan biasa. Kawan biasa yang mencari kesesuaian untuk menjadi luar biasa.
“Saya minta maaf sebab perkara ni mengejut. Saya...”
“Bagi saya masa, Aiza. Mungkin kita boleh cuba lagi...” potong Nizam sebelum sempat Aiza meminta diri. Aiza menggeleng perlahan.
“Setahun bukan jangka masa yang sekejap, Nizam. Saya minta maaf. Terima kasih untuk hari ni. Mungkin buat masa sekarang, lebih baik kita jauhkan diri dulu. Kalau apa-apa, awak tahu macam mana nak hubungi saya. Saya sentiasa ada, sebagai kawan awak...”
Perkataan ‘kawan awak’ ditekan kuat. Cuba memberi pemahaman yang tiada apa lagi yang patut mereka lakukan untuk naik ke tingkat seterusnya dalam perhubungan. Aiza yakin, bukan Nizam orangnya.

1 comment:

Unknown said...

hurmm ada ke dgn meminta wanita beli brg dia rasa dihargai... eee patut betul biar lah ikhlas dari hati kalo dpt laki cmni better say bye2 aje...
xsuka nizam suka memaksa huhu

zaid jgn mengalah ya aiza xde hati pn gan si nizam tu