::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

21 August 2015

E-cerpen: Kita Satu Sama



Kita Satu Sama.
01
Azila menolak pintu stall yang baru lepas dia gunakan. Selesai menunaikan hajat, dia ke singki untuk membasuh tangan dan mengambil tisu. Sempat dia membelek wajahnya di cermin. Rambut yang dibiarkan lepas dia lurutkan dengan jari jemarinya yang runcing. Make up yang dikenakan pun masih ok, jadi tak perlulah dia hendak menambah lagi. Azila bersedia untuk melangkah keluar. Belum pun dia membuka langkah, tiba-tiba seorang lelaki masuk ke dalam bilik air dengan tergesa-gesa seperti hendak membuka seluar. Azila menjerit kuat. Terkejut bila seseorang yang berlainan jantina masuk ke dalam bilik air yang khas untuk wanita.

Sorry... Sorry! Salah masuk. Tak nampak signage,” ujar lelaki itu sebelum bergegas keluar.
Azila masih terpaku di tempat dirinya tadi. Masih terkejut dengan apa yang berlaku. Mujurlah tak ada yang pelik-pelik. Tak boleh jadi ni. Tong sampah yang menjadi penahan pintu dia alihkan dan pintu bilik air dia tutup. Lepas ni dia kena beritahu pihak pengurusan pula. Tak mahu perkara yang sama berulang pada orang lain pula.
***
02
Azzim mengeluh belum pun sampai sejam dia melaporkan diri ke sini, sudah berlaku insiden yang memalukan. Kenapalah pintu bilik air pejabat ni ditahan dengan tong sampah? Sudahlah signage yang membezakan bilik air lelaki dengan perempuan dilekatkan di pintu. Manalah dia hendak perasan bila pintu terbuka begitu. Azzim meraup wajahnya kasar. Mujurlah tak jadi kes tadi. Buatnya dia dituduh nak mencabul maruah wanita, tak pasal-pasal terus disuruh balik walaupun belum sehari dia di sini.
Azzim masuk ke bilik menunggu seperti mana yang diminta oleh Puan Zailina tadi. Manager bagi Jabatan sumber manusia. Mengikut surat tawaran, dia diminta untuk berjumpa dengan Puan Zailina untuk lapor diri. Duduk tanpa berbuat apa-apa, ingatannya melayang kepada insiden tadi. Dia tak dapat melihat wajah wanita yang menjerit tadi. Tetapi rambut yang menjadi tatapan matanya melekat diingatan. Azzim tersenyum nipis. Harap-harap tak traumalah perempuan itu tadi.
***
03
Azila menutup mulutnya bila rasa hendak menguap hadir. Mengantuk betul! Seminggu bercuti di Korea dan Jepun membuatkan badannya betul-betul keletihan. Kehadiran Rafidah ke tempat kerjanya membuatkan Azila membetulkan duduk. Mesti ada gosip terbaru yang Rafidah nak bawakan.
“Hai? Mengantuk?” tegur Rafidah bila melihat mata Azila sedikit berair. Bukan tak perasan sudah berapa kali Azila menguap sejak tadi.
Azila tidak memberikan apa-apa reaksi kepada kata-kata Rafidah. Keningnya di angkat bertanya apa tujuan Rafidah ke mejanya.
“Mana buah tangan aku?” Rafidah menghulurkan tangan.
Azila mencebik. “Ingat saja kau ni. Sorry tadi tak sempat nak letak kat atas meja semua orang. Aku pergi jumpa Haslinda tadi. Ada lelaki termasuk bilik air kita...” cerita Azila ringkas. Laci meja dibuka dan dua fridge magnet daripada Jepun dan Korea dia keluarkan dan dihulurkan kepada Rafidah.
“Ini je yang aku dapat bagi...”
“Eh! Okeylah daripada tak ada langsung.” Rafidah membelek fridge magnet itu dengan senyuman. Seronok bila dapat menambah koleksi magnet dari pelbagai negara.
“Hah! Berbalik kepada cerita tadi... Ada lelaki masuk bilik air kita? Kau biar benar?”
“Iya betul... Pintu bilik air kita kan selalu terbuka. Masa aku dok membelek muka depan cermin, tiba-tiba seorang lelaki masuk. Dah la tangan tengah buka tali pinggang. Eiii...” Azila menggeleng perlahan.
“Tu aku terus jumpa Haslinda. Suruh pesan pada cleaner supaya tutup pintu selalu. Hish... Tak pernah-pernah ada isu macam ni sejak aku kerja...”
Rafidah mengangguk faham. “Orang baru kot... Tak pun, pelawat...” tekanya.
Azila hanya mengganguk. Mungkin juga. Kalau pekerja yang dah lama, tak adanya tersalah pintu macam tadi.
“Ni... Aku nak cerita ni...”
Azila sudah tersenyum sumbing mendengar intro Rafidah. Dah agak! Mesti ada gosip baru ni.
“Hari ni bos baru kau masuk tau! Last week Puan Zailina beritahu masa kau cuti.”
Azila sedikit teruja. Mujurlah gosip yang dibawa oleh Rafidah gosip yang dia suka. Sudah hampir tiga bulan tempat Encik Faizul kosong setelah lelaki itu mendapat tawaran pekerjaan di timur tengah. Jadi dia dan rakan-rakan sekerja yang lain terpaksalah berhubung dengan Puan Alina yang cerewet dan lambat tu untuk segala urusan. Susah! Semua kerja jadi tergendala! Nak salahkan Puan Alina pun tak boleh. Beban kerjanya jadi dua kali ganda bila Encik Faizul tak ada.
“Wah... Alhamdulillah. Thanks God! Finally an angel has arrived! Lelaki ke perempuan?”
Belum sempat Rafidah hendak menjawab, perbualan mereka terganggu dengan bunyi orang melangkah dan saling berbual. Azila dan Rafidah saling berpandangan. Mendengarkan suara Puan Zailina memberi salam dan meminta perhatian semua, Azila dan Rafidah berdiri dan memandang ke arah dua manusia yang berada di tengah-tengah jalan. Azila terkedu.
“That’s your angel...” bisik Rafidah ke telinga Azila.
Azila mengetap bibir. Angel yang dimaksudkan Rafidah itulah lelaki yang tersalah masuk bilik air tadi. The fallen angel!
***
04
Azzim memandang ke sekeliling section. Kira-kira enam anak buah yang bakal berada di bawah pemantauannya nanti. Dia menghadiahkan senyuman buat semua yang berada disitu. Bila diminta memperkenalkan diri, dengan penuh karisma Azzim menceritakan latar belakangnya secara ringkas.
Pandangannya terhala ke arah seorang wanita anggun yang seolah-olah menyembunyikan diri daripada pandangannya. Bagai tahu-tahu dia sedang diperhatikan, wanita itu tiba-tiba mengangkat muka. Azzim terkejut. Kata-katanya mati sehingga menyebabkan semua pekerja memandang ke arah dia dan wanita itu. Azzim menelan air liur. Dia mungkin tak begitu cam dengan wajah wanita itu. Tetapi rambut itu... Dia rasa dia sudah cukup kenal. Aduh...!
Tersedar dengan situasi kekok itu, Azzim cepat-cepat menamatkan sesi perkenalan dan menghadiahkan senyuman manis buat wanita itu. Dalam hati dia berharap agar wanita itu tidak menceritakan apa yang berlaku pagi tadi. Cukuplah dia hanya berasa malu dengan wanita itu.
“Jadi Encik Azzim akan menggantikan tempat Encik Faizul sebagai manager bagi section ni. Memandangkan latar belakang Encik Azzim sedikit berbeza dengan bisnes yang kita buat sekarang, saya rasa mana yang lama dekat sini bolehlah kongsi apa yang patut kepada Encik Azzim.”
Azzim mengangguk bersetuju dengan kata-kata Puan Zailina. Pandangannya terarah kepada wanita yang memperkenalkan diri sebagai Azila tadi. Namun cepat-cepat dia melarikan pandangan apabila Azila memandangnya. Jangan cari pasal, Azzim. Sekali dia tu dah berpunya.
‘Siapa yang paling lama dekat sini?” soal Azzim bersahaja.
Matanya memandang seorang demi seorang. Namun tiada sesiapa yang mengaku.
“Azila. Dia paling lama dan berpengalaman kat sini. Apa-apa... Bolehlah rujuk dia,” Puan Zailina tolong jawabkan.
Azila sudah tak tentu arah. Kalau boleh dia tak nak banyak interaksi dengan Encik Azzim ni. Dia sendiri tak tahu mengapa. Namun Azila tetap cuba memaniskan wajah. Risau kalau ada yang menyangka bukan-bukan nanti.
Azzim mengangguk. Wajah manis Azila dia pandang sekali lalu. Fuh!
***
05
Azila bergerak malas menuju ke tempat Azzim. Kalau tak kerana tanggungjawab, dia biarkan saja Azzim survive sendiri di tempat baru ni. Namun sifat perikemanusiaannya membuatkan dia bersetuju apabila Azzim meminta mereka berjumpa.
“Duduklah...” ujar Azzim sopan.
Azila mengangguk. Dia menarik kerusi di hadapan Azzim perlahan dan dengan sopan dia duduk di atas kerusi itu. Rambutnya yang lepas dan beralun setiap kali dia bergerak menjadi tatapan mata Azzim.
“Saya harap insiden pagi tadi, tamat pagi tadi juga...” itu ayat pertama yang meluncur keluar daripada mulut Azzim.
Azila buat tak faham. “Insiden apa yang Encik Azzim maksudkan?”
Azzim merenung Azila lama. Budak ni sengaja nak uji aku atau macam mana?
“Saya tahu awak orangnya dalam bilik air tadi. Tak perlu nak berlakon...”
Azila sengih geram. Aku seboleh-boleh cuba untuk lupakan insiden tadi. Dia pula yang beriya nak mengingatkan. Akhirnya kepalanya dianggukkan perlahan. “Saya faham, Encik Azzim.”
Jawapan Azila membuatkan Azzim tersenyum senang. Beberapa fail yang terdapat di mejanya dia capai dan dibuka. Tujuan asal memanggil Azila diteruskan. Banyak perkara yang dia kena tahu memandangkan Puan Alina yang menjadi pemangku jawatan dia  sedang bercuti. Dengan sabar Azila menerangkan apa yang disoal Azzim. Bila Azzim banyak mempersoalkan sesuatu perkara, menyebabkan kesabaran Azila menipis. Kan bagus kalau syarikat mengambil dia saja menjadi manager. Huh!
“Terima kasih, Azila...” ucap Azzim sebaik saja Azila selesai menerangkan apa yang dia perlu tahu.
Bukan dia tak sedar wajah Azila yang menahan marah tadi bila disoal dengan soalan-soalan yang bodoh. Saja dia hendak menguji kesabaran wanita di hadapannya ini. Setiap kali dia hendak marah, pasti dia menarik nafas dalam dan kemudian dia memaniskan muka. Azzim menahan tawa.
“Sama-sama... Nanti kalau ada apa-apa, Encik Azzim bolehlah bertanya kepada Puan Alina. Dia lebih tahu. Saya ni sekadar eksekutif je...” ujar Azila sopan.
Azzim sekadar tersenyum. “Mana tahu satu hari nanti awak jadi manager pula? Gantikan saya?”
Azila hanya tersenyum. Dengan sopan dia meminta diri. Sebaik saja dia meninggalkan tempat Azzim, dia terpandangkan Rafidah yang menjungkitkan kening beberapa kali. Nak mengusiklah tu! Azila mencebik. Tak kuasa nak melayan Rafidah. Nanti mesti dia bagi idea untuk dia mengurat manager baru tu. Hish! Tak kuasa! Tengok umur macam dah tua. Mesti dah ada yang punya.
***
06
“Awak ke Jepun dengan Korea?” soal Azzim yang tiba-tiba saja meletakan pinggannya ke atas meja. Dia bertanya pun kerana mendengar perbualan mereka yang sibuk bertanyakan Azila tentang Jepun dan Korea. Azila, Rafidah, Fauzi dan Kamal memandang antara satu sama lain. Dah kenapa bos ni nak makan sini?
“Kenapa? Tak boleh ke saya nak makan sekali?” soal Azzim lagi bila masing-masing menayangkan muka pelik.
Azila tersenyum nipis. “Tapi bos-bos lain semua duduk meja sana. Encik tak nak join sekali ke?”
Azzim memandang ke sekeliling. Dia menjeling ke arah timun yang dia letakkan di tepi pinggan. Timun itu diambil lalu dikunyah selamba.
“Saya dah makan kat sini. Tak elok pula berpindah-pindah meja. Tak gitu?” Azzim sengih.
Azila, Rafidah, Fauzi dan Kamal hanya mampu senyum dan mengangguk. Pelik pula rasanya bila bos duduk makan semeja sekali. Nak berbual pun jadi terbantut.
“Eh! Teruskanlah bercerita. Saya seronok juga dengar cerita Azila tentang trip dia tu. Jangan tak tahu, saya kaki berjalan juga!”
“Wah! Ye ke? Selalu bos pergi mana?” soal Azila teruja.
Azzim sedikit terkejut melihatkan reaksi Azila. Tak seperti kalau berbual dengannya. Rafidah yang menjadi pemerhati hanya ketawa kecil. Fauzi sudah menggeleng dan Kamal hanya tersenyum simpul.
“Azila ni bos, memang excited terlebih sikit kalau jumpa orang yang sama minat dengan dia...” terang Rafidah. Azzim ketawa dan mengangguk faham. Bagus! Satu titik persamaan dia dah jumpa. Azila sudah tak tentu arah. Memang sikapnya yang satu ni sukar benar dia nak kawal. Over excited!
“Tak apa. Lepas ni, bolehlah kita pergi trip sekali. Awak suka ke tempat yang macam mana?”
Soalan Azzim membuatkan Azila malu sendiri.
“Hai bos? Nak bercuti dengan Azila? Tak mengamuk ke orang rumah nanti?” soal Kamal.
Azzim diam. Dia menjeling ke arah Azila yang tunduk menikmati makan tengahari. “Saya single and available,” ujarnya. Bila Azila menjeling ke arahnya, dia mengenyitkan mata. Merah terus wajah Azila bila diusik begitu. Satu meja sudah ketawa melihatkan perkara itu. Fauzi yang sedikit panas menjeling ke arah Azila. Perlu ke nak malu-malu begitu?
“Ehem.. ehem... bos... baru sehari kat sini, takkan dah jatuh cinta pandang pertama kut, bos?” Fauzi menyoal.
“Hai? Panas ke Fauzi?” soal Rafidah tak bertapis.
Terangkat kening Azzim mendengarkan soalan Azila. Ada apa-apa ke antara Azila dengan Fauzi? Namun keadaan harus ditenangkan. Azzim mengambil lankah selamat untuk menamatkan topik perbualan mereka.
“Saya mengusik sajalah. Maaf Azila, buat awak rasa tak selesa...”
Azila senyum. Matanya menjeling ke arah Fauzi yang dia tahu sedang menahan marah. Habislah aku nanti... keluh hati Azila.
“Jadi masing-masing dah lama ke kerja dekat sini?” soal Azzim membuka topik baru.
Sesekali matanya menjeling ke arah Azila. Rancak masing-masing bercerita, manakala Azzim cuba menjadi pendengar yang baik. Salah satu cara yang dia yakin mampu menjadi rapat dengan anak-anak buahnya. Orang putih kata, ‘leaders become great not because of their power, but because of their ability to empower others.’ Jadi untuk itu, dia perlu mengenali anak-anak buahnya.
***
07
“Sukalah tu bos tunjuk minat kat dia...” sindir Fauzi sewaktu mereka keluar menonton wayang bersama.
Azila mencebik. “Ada ke nampak aku tunjuk muka suka?”
“Eleh... ye la tu. Mulut cakap tak, hati siapa tahu?”
Azila malas hendak melayan. Nanti jadi bergaduh. Sudahlah malam ni dia nak berehat-rehat dan menenangkan fikiran.
“Susah sangat ke untuk kau terima aku, Zila? Berapa lama lagi masa yang kau perlukan?” soal Fauzi bila Azila mendiamkan diri.
“Fauzi... please?”
Fauzi mengeluh. Namun dalam pada itu tangan Azila dia capai dan mereka berjalan bersama menuju ke panggung wayang. Azila yang tidak selesa perlahan-lahan menarik tangannya daripada dipegang Fauzi.
Azila menoleh ke kanannya. Kosong. Kalau melihatkan tempat duduk yang masih kosong sewaktu membeli memang tak ramai penonton untuk tayangan malam ni. Tanpa teragak-agak, Azila meletakkan beg tangannya di tempat duduk sebelah. Rambutnya yang melurut jatuh daripada sanggulan dia betulkan sehinggalah dia ditegur oleh seorang wanita yang ingin duduk di tempat sebelah.
Sorry. Ingatkan tak ada orang...” ujar Azila sopan.
Wanita itu tidak membalas. Sebaik saja Azila mengangkat beg tangan, wanita itu terus sahaja duduk. Mata Azila terpandangkan seorang lelaki yang berdiri di belakang wanita itu. Dahinya berkerut. Hai? Kata single and available... kalau dah lelaki tu. Hrmmm. Azila tersenyum sinis. Entah kenapa, panas saja hati Azila melihatkan Azzim berda dengan wanita disebelahnya. Rasanya Azzim tak nampak pun dia di sini.
***
08
“Good morning!” sapa Rafidah lalu meletakkan satu plastik hijau berisi kuih-muih.
Azila yang sedang leka membaca e-mel mengangkat kepala. Senyuman manis Rafidah menyapa pandangannya.
“Macam mana date dengan Fauzi semalam? Pergi mana je?” Rafidah sudah mengambil tempat di sebelah Azila.
“Biasa je. Keluar makan, tengok wayang. Aku macam biasalah... Belum separuh cerita dah tertidur.”
Rafidah tersengih mendengar cerita Azila. Kenapalah Fauzi beriya-iya nak memikat Azila ni. Rasanya dekat dua bulan usaha Fauzi masih belum menampakkan hasil. Kesian...
“Ni.. makanlah. Aku belikan untuk kau sekali,” pelawa Rafidah. Azila melihat kuih-muih yang dibawa Rafidah. Ada tiga jenis kesemuanya. Banyak pula tu! Terpandangkan karipap, tekaknya tiba-tiba sahaja menginginkan teh tarik.
“Aku pergi kafe sekejap. Nak beli air. Kau nak apa-apa?”
Rafidah menggeleng. “Aku bancuh je la kejap lagi...”
Tanpa bertangguh, Azila terus melangkah keluar pejabat.
“Selamat pagi, Azila!” tegur satu suara sewaktu Azila sedang melangkah ke lif. Azila hanya mampu tersenyum. Teringatkan peristiwa malam tadi di panggung wayang membuatkan senyumannya mati.
“Pagi, bos!” balasnya serius.
“Awak nak ke mana?”
“Kafe. Beli air. Bos nak apa-apa?”
Azzim menggeleng. “Saya masuk dulu. Jumpa di pejabat nanti...” ujar Azzim lalu berniat hendak meneruskan langkah.
“Bos...”
Azzim yang baru baru melangkah tiba-tiba rasa badannya tak stabil. Cepat-cepat dia berpaut pada dinding. Azila yang menjadi pemerhati membulatkan mata. Baru dia hendak berkata, ‘lantai licin. Hati-hati...’ tetapi Azzim sudah pun hampir tergelincir. Azila menyembunyikan senyuman.
“Fallen angel,” spontan Azila menyebut perkataan itu. Tersedar dia terlanjur kata, Azila mengunci mulutnya rapat.
Azzim yang sudah berdiri tegak menayangkan muka selamba. Fallen angel dia panggil aku? Dia tau tak fallen angel tu apa?
“Kenapa awak panggil?”
“Saya nak pesan... Lantai licin...” kata-kata Azila mati. Tiba-tiba fikirannya teringatkan keadaan Azzim yang hampir terjatuh tadi. Tak semena-mena dia ketawa kecil.
“Saya turun dulu bos...” pinta Azila lalu meninggalkan Azzim yang menahan rasa di belakang. Masuk saya ke dalam lif, ketawa dia lepas. Oh, my fallen angel!
***
09
Azzim berjalan menuju ke bilik mesyuarat. Pagi ni dia ada mesyuarat bersama beberapa orang atasan berkenaan laporan prestasi setiap jabatan. Sambil berjalan, matanya memerhatikan setiap anak buahnya yang sedang bekerja. Gelagat masing-masing dia perhatikan. Sebaik saja pandangannya menghala ke arah Azila, langkahnya mati. Azila yang sedang membuat panggilan dengan client merenung Azzim lama. Namun dia tetap melayan client yang berada di hujung talian.
“Nanti jumpa saya...” arah Azzim secara tiba-tiba.
Terpaksa Azila menutup corong telefon sebelum bertanya. Takut client salah faham pula.
“Pukul berapa?”
“Lepas saya habis meeting,” balas Azzim lalu menyambung langkahnya.
Azila hanya memerhatikan belakang Azzim sehinggalah bosnya itu hilang daripada pandangan. Dia menggeleng perlahan. Apa sajalah yang bos aku ni nak?
Hampir pukul dua belas barulah Azzim kembali ke mejanya. Azila tidak menunggu lama untuk terus berjumpa Azzim. Dia mencapai sebuah buku nota dan pen yang bakal digunakan untuk mencatit segala isi penting perbincangan nanti.
Azzim memerhatikan lenggok langkah Azila yang berjalan masuk ke dalam biliknya. Dia menahan senyuman daripada terbit dibibir. Melihatkan Azila masih berdiri, dengan lembut dia mengarahkan anak buahnya itu duduk.
“Saya nak tanya...”
Azila tekun mendengar.
“Kenapa awak panggil saya fallen angel?” soal Azzim terus.
Kening Azila terangkat sebelah. Alamak! Apa nak jawab ni? Takkanlah dia nak cakap yang dia gelarkan Azzim sebagai angel ataupun orang Melayu panggil malaikat sebab Azzim masuk kerja dikala mereka benar-benar memerlukan seorang ketua?
“Hrmmm.... angel itukan... malaikat...”
Azzim menggeleng. “Memang angel malaikat, Azila. Tetapi, fallen angel tu dah lain maknanya. Ada ke malaikat yang ingkar perintah Tuhan sehingga diturunkan dari syurga? Awak maksudkan saya ni iblis ke? Sebab Iblis yang turun ke dunia sebab ingkar perintah Allah...”
Terkulat-kulat Azila menerima teguran Azzim. Manalah dia tahu! Selama ni tengok drama selamba saja mereka bercakap tentang fallen angel? Azila memandang Azzim sekilas lalu dialihkan pandangan ke arah lain. Segannya!
“Tapi... yang saya maksudkan dengan fallen angel tu... malaikat yang terjatuh. Well... lantai licin... bos nyaris tergelincir...” teragak-agak Azila cuba menutup rasa malu. Tapi betul, apa? Fallen angel juga tu!
Azzim memandang gadis dihadapannya lama. Sudah dua kali dia memalukan dirinya di hadapan gadis ini. Kenapalah bila berdua, ada saja peristiwa yang tak kena?
“Kalau macam tu, tak apalah. Saya ingatkan awak tak tahu apa maksud fallen angel tu...”
Azzim menarik keluar fail-fail yang diletakkankan di rak yang berlabel ‘IN’. Azila yang masih duduk didepannya dia pandang dengan dahi yang berkerut.
“Kenapa?”
Giliran Azila pula mengerutkan dahi. “Kenapa apa?”
“Kenapa tak balik ke meja awak? Saya dah tak ada apa-apa lagi nak bincang dengan awak...” Azzim tersengih.
Spontan wajah Azila bertukar merah. Cis! Cakaplah dah tak ada apa-apa. Ini ambil fail tu macam ada benda yang tak kenal. Azila bangun dan bersedia untuk keluar daripada bilik Azzim.
By the way, Azila...” ujar Azzim secara tiba-tiba.
Azila menoleh.
“Betul ke saya ni ibarat malaikat?” Azzim senyum senget. Senyuman yang membuatkan Azila rasa nak cubit je pipi lelaki itu untuk melepaskan geram. Malas hendak melayan, dia terus menonong keluar. Boleh dengar di telinganya suara Azzim ketawa senang. Cis! Bukannya angel ni. Devil namanya. Sudahlah mengaku single walaupun dah ada awek. Huh!
***
10
Bulan Ramadhan tiba lagi. Seperti Ramadhan yang lepas-lepas, Azila akan tampil lebih sopan dengan tudung yang tersarung di kepala. Dia yang tidak reti hendak menggayakan tudung ataupun selendang mengambil langkah mudah dengan membeli beberapa jenis tudung sarung Ariani.
Banyak kali mama membebel menyuruh dia memakai tudung terus. Tetapi dia malas nak mengendahkan bebelan mamanya. Bila dia bertudung, dia rasa kurang yakin untuk berhadapan dengan orang. Dia rasa seolah-olah dipandang sinis apabila berhadapan dengan client yang bukan Islam. Seolah-olah bila dia memakai tudung, dia tak reti hendak melakukan kerja dengan baik. Lagipun, apabila berjalan dengan rambut yang lepas dan memakai kasut tumit tinggi, keyakinan dirinya tiba-tiba saja mencanak naik.
“Azila mana? Dia off ke hari ni?”
Terkejut Azila apabila terdengar suara Azzim kuat bertanyakan Fauzi yang duduk tidak jauh daripada meja. Pelik? Lelaki tu tak nampak aku ke? Belum sempat Fauzi menjawab, Azila terlebih dahulu menyahut. Azzim memandang Azila tak berkelip. Biar benar? Ini ke wanita yang selama ini menarik perhatian dia dengan rambutnya yang lepas bebas?
“Err... masuk bilik saya sekejap. Ada perkara saya nak awak betulkan...”
Azila mengangguk. Langkahnya diatur menuju ke arah bilik yang pintunya terbuka luas. Melihatkan mata Azzim yang tak berkelip memandangnya, dia merungut di dalam hati. Dah kenapa pak cik ni? Lupa pada perempuan yang menonton wayang bersama dengan dia ke? Ah Azila... perasan lebih pula kau ni.
“Canti awak bertudung. Hijrah sempena Ramadhan ni ke?” soal Azzim sebaik saja Azila duduk di hadapannya.
Azila tersenyum sumbing mendengar soalan yang selalu ditujukan kepadanya daripada orang yang kali pertama melihat dia bertudung di bulan Ramadhan.
“Taklah bos. Saya hormati bulan yang mulia ni. Jadi saya pakailah sopan sikit...” balas Azila sopan.
Azzim tersenyum nipis. “Hormati bulan mulia, je? Yang Maha Mulia?”
Terpinga-pinga Azila mendengarkan kata-kata Azzim yang penuh berteka-teki. Yang Maha Mulia? Dahinya berkerut. Seingatnya... selalunya penggunaan ‘Yang Maha’ ditujukan buat... Azila menelan air liur. Sedar Azzim menegurnya secara tidak langsung. Akhirnya hanya tersenyum nipis tanpa mahu membesarkan isu bertudung di bulan Ramadhan.
“Apa yang bos nak bincangkan tadi?” soal Azila, meminta Azzim terus ke tujuan asal.
“Awak nak kahwin dengan saya?”
Azila memandang Azzim tajam. Sungguh bos aku ni sudah gila!
“Gurau je... janganlah serius sangat!” kata Azzim bila melihatkan wajah tegang Azila. Dia sendiri jadi takut bila melihatkan mata tajam itu. Seolah-olah Azila hendak menerkam dan mensiat-siat kulitnya. Garang betul!
“Tak baik bergurau macam ni, bos. Orang dengar jadi salah faham!” tegur Azila tegas. Suka-suka hati dia je nak mengusik begitu. Nasib baik dia tanya aku. Cuba dia tanya perempuan lain? Harus mereka jawab ‘ya’ tanpa berfikir panjang.
“Ok, saya tahu gurauan saya tadi melampau. Saya minta maaf... berbalik kepada tujuan asal saya tadi...” Azzim mengeluarkan beberapa helai dokumen yang membuatkan dia keliru tadi. Beberapa persoalan dia utarakan kepada Azila dan Azila dengan tenang menjawab.
“Itu sajalah. Awak amend balik yang kita bincangkan tadi. Sebab kalau ikutkan last meeting, memang company ada buat perubahan sikit part tu. Saya pun ada e-melkan pada semua. Mungkin awak terlepas pandang.”
Azila mengangguk. Dokumen yang digunakan tadi dia ambil untuk dijadikan rujukan.
“Terima kasih bos. Saya keluar dulu...”
Azzim mengangguk. Gadis yang bertudung ungu itu menjadi tatapan sehinggalah tubuhnya hilang daripada pandangan.
Azila kembali duduk ke mejanya. Jam baru menunjukkan pukul dua belas dan perutnya sudah pedih dek kerana lapar. Inilah masalah bila datang bulan di bulan Ramadhan. Azila menarik nafas dalam. Dia membuka laci mejanya. Bekas kurma yang sengaja dia tinggalkan di pejabat dia buka dengan berhati-hati. Setelah pasti keadaan sekeliling selamat, dengan cepat dia memasukkan sebiji kurma ke dalam mulut. Biji dikeluarkan dan dibungkus dengan tisu.
Azila menundukkan wajahnya sambil mengunyah. Risau kalau ada kaum Adam nampak dan mengusik. Bukan boleh percaya sangat kaum Adam pejabat dia ni. Fauzi pun suka mengusik setiap kali dia period sampai dia naik meluat.
Sebiji kurma sudah selamat masuk ke dalam perut. Betullah kata orang... bila perut lapar, kurma sebiji pun dah rasa sangat sedap. Tangan Azila gatal mencapai kurma yang kedua. Baru dia menyuap ke dalam mulut, tiba-tiba dia tersedar ada seseorang lalu di sebelah mejanya. Meskipun mempunyai partition yang tinggi, Azila yakin Azzim boleh nampak dia yang baru memasukkan sebiji kurma ke dalam mulut. Lagi-lagi bila ternampak senyuman meleret Azzim apabila berbalas pandangan dengannya. Aduh.... Azila mengurut dahinya lembut. Kantoi tak puasa!
***
11
“Puasa tak hari ni?” usik Azzim bila ternampak Azila seorang diri berdiri di sebelah mesin fotostat.
Azila memandang ketuanya itu geram. Amboi! Baru sekali aku kantoi depan dia, dah nak bahan aku berkali-kali. Dia lupa agaknya yang awal-awal dulu dia tersalah masuk bilik air perempuan.
“Puasa bos. Alhamdulillah...” balas Azila selamba.
Azzim tersengih. Niat nak mengusik mati bila Azila selamba begitu. “Oklah tu kan. Kita satu sama. Hari tu... saya dah malukan diri termasuk bilik air perempuan.”
“Eh... mana ada satu sama bos. Dua satu. Bilik air dengan kes lantai licin...”
Azzim mengurut dahinya perlahan. Teringatkan peristiwa yang dipanggil ‘fallen angel’ oleh Azila membuatkan dia menggeleng perlahan.
“Lupalah tu...” tambah Azila lagi. Lupa macam mana dia lupa yang dia dah tak single dan tak available.
“Ingat saja awak ni, kan?”
Azila ketawa kecil. Mestilah ingat. Sebab kalau tak ingat nanti Azzim mudahlah nak menyakat dia.
By the way Azila. Awak memang manis bertudung. Saya harap, awak ikhlas  bertudung, bukan kerana bulan ni Ramadhan atau apa. Tapi kerana rasa kehambaan terhadap Pencipta kita...” Azzim sebelum berlalu ke biliknya.
Azila terpaku di sebelah mesih fotostat. Pujian Azzim membuatkan hatinya diterpa perasaan aneh. Azila mengetap bibir. Kertas yang selamat difotostat dia ambil. Azila kembali ke mejanya dan tangannya laju menggerakkan tetikus untuk menyambung kerja. Tanpa dia sedar, Fauzi hanya menjadi pemerhati sejak dari tadi.
***
12
Azila mengunyah nasi goreng kampung perlahan-lahan. Fauzi yang berada di depannya sedikit pun dia tak endahkan. Matanya melekat memandang berita yang disiarkan di televisyen. Kemudian dia menggeleng perlahan. Tak ada berita lain ke selain politik? Untuk manusia yang tak gemar politik macam dia ni terasa lemas dan merimaskan bila menonton berita. Akhirnya Azila kembali memandang nasi yang berbaki di dalam pinggan.  Mata tajam Fauzi yang sejak tadi memerhatikan dia, dia buat tak faham. Pasti ada saja perkara yang tidak memuaskan hati lelaki itu.
“Sampai bila kita nak macam ni? Aku serius dengan kau. Aku nak kahwin dengan kau. Kalau kau cakap ‘yes’... hari raya pertama nanti aku hantar rombongan meminang...” ujar Fauzi sebaik saja Azila selesai makan.
Azila memandang Fauzi serba salah. Silapnya kerana melayan segala kehendak Fauzi sedangkan hatinya sedikit pun tiada buat lelaki itu.
“Aku tak tahulah Fauzi. Aku tak sedia lagi nak kahwin...”
“Dah setahun, Zila... Umur kau pun bukannya makin muda. Mama dah bising dah bila aku bertangguh pasal kahwin.”
Azila memandang wajah Fauzi yang bersih. Lelaki ini cukup segala-galanya. Rupa yang segak, kerja yang bagus. Tapi... entahlah. Apa yang pasti, hati dia tak terusik dengan layanan baik Fauzi.
“Mungkin kau patut setuju dengan cadangan mama kau. Mana tahu perempuan yang mama kau kenalkan nanti lebih sesuai?”
“Kau jangan nak berdalih untuk mengelakkan diri, Zila...” tegas Fauzi. Geram bila wanita yang dia dambakan mengambil mudah dengan perkara itu. “Esok kita buka dekat rumah aku. Aku ambil kau pukul enam. Kita jalan bazar dulu,” putus Fauzi tanpa kompromi.
Azila menjeling Fauzi tanpa perasaan. Bila dia dah buat keputusan begitu, memang tak dapatlah hendak menolak.
***
Tepat pukul enam Fauzi sudah menghantar mesej, memberitahu dia sudah tiba di hadapan rumah Azila. Cepat-cepat Azila merapikan selendangnya agar kemas sebelum keluar dari rumah. Masuk saja ke dalam kereta, Fauzi sudah tersenyum lebar. Senang hati melihat gadis pujaan hati di depan mata. Lebih menggembirakan bila si dia sudah bersetuju untuk berjumpa dengan keluarganya.
“Cantik kau hari ni,” puji Fauzi.
Azila menjeling. Jual minyak nampak? “Hari ni je? Aku rasa setiap hari aku cantik.”
Fauzi hanya senyum mendengarkan balasan Azila. Kenal sangat dengan sikap Azila. Kereta dipandu perlahan menuju ke bazar yang terdekat dengan kawasan perumahannya. Tiada apa pun yang dibeli kerana mama Fauzi awal-awal lagi sudah mengingatkan jangan beli merapu.
Tamat mengelilingi bazar, Fauzi terus mengajak ke rumah dia. Azila yang tadinya selamba baru terasa cuak. Perasaannya semakin celaru bila melihat beberapa buah kereta yang terpakir di laman rumah. Azila memandang Fauzi yang nampak tenang.
“Ada kenduri ke?” soal Azila risau.
Fauzi menggeleng. “Tak adalah. Masuklah. Jangan lupa salam mama saya nanti...” pesan Fauzi.
Azila menjeling lelaki itu geram. Macamlah dia ni kurang adab sangat sampai bab bersalam pun hendak diingatkan.
“Lagi satu... panggil mama nanti auntie. Dia tak gemar orang panggil mak cik,” pesan Fauzi.
Azila mengangguk faham. Amboi... setahu dia, Fauzi ni tak adalah bandar sangat. Urban juga mama Fauzi ni. Tiba di pintu, Fauzi memberi salam dan salamnya disahut oleh seorang lelaki separuh abad. Azila menghadiahkan sebuah senyuman. Sekali tengok, nampak ada iras Fauzi. Ayah dia mungkin...
***
Azila melepaskan lelah di atas sofa. Televisyen yang terpasang sedikit pun tidak berjaya menarik minatnya. Azila memejamkan mata. Teringat-ingat layanan dingin mama Fauzi sewaktu kehadirannya tadi. Mulanya, Azila ingatkan dia yang tidak pandai membawa diri. Tapi bila layanan mama Fauzi terhadap Mastura, anak kepada kawan lamanya cukup baik, Azila sudah faham sendiri. Lagi-lagi bila mama Fauzi meminta dia untuk tidak meneruskan hubungan dengan Fauzi. Ternyata telahannya benar! Mama Fauzi tak pernah menerima dia sebagai calon isteri Fauzi.
Auntie harap Azila tak bagi harapan pada Fauzi. Auntie ada calon yang lebih baik daripada Azila. Azila jangan kecil hati ya... Azila kena ingat, anak lelaki, syurganya dibawah telapak kaki ibu...”
Terngiang-ngiang kata-kata mama Fauzi sebelum dia dihantar pulang oleh Fauzi. Terasa hati? Adalah sedikit. Tapi yang pasti, dia rasa lega. Sekurang-kurangnya dia tak perlu hendak menjadi menantu untuk mak mertua yang mengugut dan sentiasa hendak permintaannya diikuti begitu. Takut dirinya sendiri yang tak mampu hendak menyayangi mama Fauzi seperti mana dia menyayangi mamanya.
“It’s not you... it’s me...”
Azila tersenyum sumbing bila tiba-tiba terdengar dialog yang dilafazkan oleh aktres wanita itu. Kalau dia cakap macam tu dekat Fauzi, boleh tak? Azila menekan butang merah. Televisyen yang terpasang tadi sudah gelap. Azila bangun dan berjalan ke bilik tidur. Ada tak sedar sahur dia dibuatnya esok.
***
13
Sebuah kotak yang diikat cantik dengan ribbon menarik perhatian Azila. Tambahan pula kotak itu diletakkan di atas meja dia. Azila memandang sekeliling. Tiada sesiapa yang boleh dia teka pengirim kotak ini. Tambahan pula masing-masing sibuk dengan kerja masing-masing. Azila memandang pula ke tempat Fauzi yang kosong. Ada kemungkinan ke lelaki itu yang mengirimkan hadiah ni? Azila duduk di atas kerusi dengan mata tak lepas daripada memandang kotak cantik itu. Agaknya kalau matanya ada kuasa, pasti ribbon itu terbuka sendiri.
Azila menghela nafas perlahan. Dengan berhati-hati tangannya mencapai kotak itu dan reben yang diikat cantik dia buka. Dadanya berdebar disaat penutup kotak itu dibuka. Sehelai selendang berwarna hijau ruby menyapa matanya. Sekeping kad yang diselitkan sekali bersama selendang itu dia capai. Jantungnya semakin laju bekerja sehingga menyebabkan tangannya sedikit menggigil.
Buat hiasan terindah di dunia... moga kau sudi menerima hadiah ini.
-AAR-
Azila termangu. Siapa hiasan yang terindah di dunia? Aku ke? Dan siapa pula yang menggunakan initial AAR ni? Azzim Abdul Rahman? Dada Azila berdebar hebat. Azila menjeling ke arah bilik Azzim yang masih gelap. Macam belum sampai. Habis tu, bila masa pula dia letakkan kotak ni di sini?
Azila cepat-cepat meletakkan kotak hadiah itu ke dalam laci bila terpandangkan Rafidah sudah berjalan menuju ke arah mejanya. Dengan kekok sebuah senyuman dia hadiahkan buat gadis itu.
“Kenapa?”
“Kenapa apa?”
Rafidah mengerutkan dahi. “Pelik sangat senyuman kau tu. Macam ada apa-apa je yang kau rahsiakan.”
Azila ketawa kecil. Dia menarik keluar kerusi dan dia duduk.
“Esok kan kau ada training dekat Shah Alam?”
Azila mengangguk.
“Berapa hari?”
“Tiga hari. Jangan rindu aku, ok?”
Rafidah mencebik. “Tak kuasa...” tangannya bermain dengan ribbon daripada kotak hadiah daripada AAR tadi. Azila mengetap bibir. Tak perasan pula ribbon ni tertinggal.
“Eh... Fauzi macam mana? Kau pergi rumah dia kan semalam?”
Azila menghela nafas berat. Teringatkan lelaki itu, fikirannya serabut hendak menyusun ayat yang terbaik untuk diluahkan.
“Aku tak bolehlah dengan dia. It’s not him... it’s me...” kata Azila serius dengan memandang Rafidah.
Rafidah ketawa kecil. Lawak betul Azila ni. Cliche sangat ayat minta break up macam tu. Hahahaha!
“Yang kau gelak tu dah kenapa?” marah Azila.
“Tak... tak ada apa. Alah, masing-masing dah matang. Cakap ajelah elok-elok...” Rafidah mengenyitkan mata sebelum berjalan meninggalkan mejanya. Azila merengus geram. Ingatkan adalah idea bagus yang Rafidah boleh kongsikan. Tak lama kemudian, Fauzi muncul dengan wajah yang ceria. Rasa bersalah terus menghimpit diri Azila.
“It’s not you... it’s not me... it’s your mom!” bisik Azila perlahan. Heh! Macamlah dia bersungguh sangat dengan Fauzi sampai nak menyalahkan mama Fauzi yang tidak bersetuju dengan hubungan mereka. Patutnya Azila berterima kasih dengan mama Fauzi sebab kalau tak kerana mamanya, tak adalah dia akan stuck dengan lelaki itu seumur hidup.
***
Azila mengurut bahunya perlahan. Jam sudah menunjukkan pukul sembilan malam. Kalau tak kerana training selama tiga hari yang wajib dia pergi, tak adalah banyak sangat kerja-kerja yang sangkut di pejabat. Nak tak nak, terpaksa dia balik lewat malam ini. Dia memberanikan diri untuk berada di pejabat sehingga pukul sembilan. Tetapi, bila dia beberapa kali terdengar bunyi paip air dibuka di pantri, terus datang perasaan yang bukan-bukan. Janganlah muncul hantu tengah dia sibuk dengan kerja ni.
Azila melangkah masuk ke dalam lif dengan longlai. Belum sempat pintu lif nak tertutup, tiba-tiba terdengar satu suara menjerit. Azila mula meremang. Cepat-cepat dia menekan butang ‘door close’ agar pintu lif tertutup cepat. Lagi dua inci untuk pintu tertutup, tiba-tiba ada tangan menahan pintu itu. Azila tergamam. Azzim muncul dengan tercungap-cungap. Tapi betul ke ini Azzim? Bukan tadi dia seorang saja yang tinggal di pejabat?
Azila mula terasa seram sejuk. Seingat dia tadi, tepat jam tujuh Azzim sudah pulang. Habis tu, siapa yang berdiri dengan bersama-sama dengan dia sekarang ni? Azila menunduk memandang lantai lif. Mulut sudah terkumat-kamit membaca ayat qursi dan beberapa ayat lazim. Namun semuanya berterabur. Dia sudah tidak mampu hendak bertenang. Nak mengangkat muka memandang ‘Azzim’ di depanya pun dia takut. Takut rupa lelaki itu berubah menjadi lain. Peluh sejuk mula terbit di tubuhnya. Azila mengenggam jari-jemarinya kuat. Ya Allah... lindungilah aku ya Allah. Sesunguuhnya tiada kuasa lain yang lebih besar daripada-Mu...
“Azila...” panggil suara itu. Azila tak berani hendak menyahut. Bau pelik yang tiba-tiba muncul di dalam lif membuatkan dia semakin susah hati. Bilalah lif ni nak sampai ke bawah? Boleh dia buka langkah seribu!
‘Gedegang!’
Lif tiba-tiba berhenti. Lampu yang menerangi ruang kecil ini juga turut mati.
“Allahuakbar!” jerit Azila kuat lalu terduduk. Dia sudah tidak mampu hendak mengawal diri lagi. Rasa takutnya semakin menjadi-jadi. Badannya sudah menggigil tanpa dapat dikawal lagi.
“Azila, awak ok?” tegur Azzim bila tersedar Azila sudah terduduk di lantai lif. Telefon bimbitnya cepat-cepat dikeluarkan dan dengan bantuan cahaya daripada telefon itu, dia menyuluh ke arah Azila yang sudah pucat lesi.
“Astaghfirullah al-azim...” Azzim menggeleng perlahan. Kena sampuk pula ke budak ni? Beberapa ayat Al-Quran dibaca dan dihembuskan ke ubun-ubun Azila. Hendak sentuh, tak manis pula. Melihatkan reaksi Azila, Azzim dapat mengagak wanita itu hanya lemah semangat. Bukan kena rasuk seperti mana yang dia sangkakan tadi.
“Lain kali jangan berani balik lewat sangat, Azila... bahaya...” ujar Azzim lembut.
Azila memandang Azzim di hadapannya. Betul ke ini Azzim? Ataupun...
“Encik Azzim?” panggilnya takut-takut.
Melihatkan anggukan Azzim, air mata Azila laju  menuruni pipinya. Ya Allah... apa yang berlaku ni?
“Jangan takut. Ini kali kedua saya terkena lif macam ni. Sebab itu saya tunggu awak balik baru saya balik...” ujar Azzim lalu menekan butang kecemasan yang ada di situ. Azila sudah tidak mampu berfikir apa. Dia hanya terduduk sambil memerhatikan Azzim meminta bantuan.
***
14
Azila bangun pagi dengan perasaan yang berbeza. Entah kenapa peristiwa malam tadi benar-benar memberi kesan kepadanya. Terasa dia tiada apa-apa dan hanya mampu bergantung kepada Allah. Kalaulah malam tadi bukan ‘Azzim’ yang berada di dalam lif dengan dia, entah apalah yang berlaku agaknya. Sejujurnya, hatinya agak tersentuh bila mendapat tahu Azzim menemani dia sepanjang dia berada di pejabat. Cuma, Azzim duduk di bilik mesyuarat yang sedikit jauh daripada pandangan Azila. Aduh! Malunya... Azzim sudah melihat sisi dia yang paling memalukan!
Azila menyarungkan baju kurung berwarna hitam ke tubuh. Kemudian, sehelai tudung Ariani berwarna merah jambu dia sarungkan ke kepala. Entah kenapa, kata-kata Azzim pada hari pertama Ramadhan hari tu terngiang-ngiang di telinganya.
“Saya harap, awak ikhlas  bertudung, bukan kerana bulan ni Ramadhan atau apa. Tapi kerana kehambaan terhadap Pencipta kita...”
Tudung yang baru hendak disarungkan dia turunkan. Azila berjalan ke arah meja cermin. Kotak hadiah daripada AAR dia buka. Selendang hijau pemberian AAR dia keluarkan. Hadiah saja kan... bukan memberi makna apa-apa. Lagipun, Azzim sendiri sudah berpunya. Azila tersenyum sendiri.
***
Bulat mata Azzim melihat Azila muncul dengan selendang hijau pemberiannya. Mood untuk bekerja tiba-tiba saja melonjak naik. Tak sangka gadis itu sudi menerima hadiahnya. Hiasan terindah dunia. Itu doanya untuk Azila. Moga-moga Azila menjadi wanita yang solehah satu hari nanti. Kerana seindah hiasan dunia adalah wanita yang solehah.
Azila menghadiahkan senyuman buat Azzim. Melihatkan riak wajah Azzim, dia semakin yakin, lelaki itulah yang memberikan selendang ini. Tanpa sedar, Fauzi yang sejak tadi menjadi pemerhati. Patutlah Azila semakin menjauhkan diri daripada dia. Sudah ada yang lain rupa-rupanya! Naik turun dada Fauzi menahan marah.
***
“Kalau kau yang tak terima aku, jangan gunakan mama sebagai alasan!” marah Fauzi bila Azila memberitahu tentang harapan mama untuk menyatukan dia dengan Mastura.
Azila tayang muka bosan. Kalau Fauzi tak nak percaya, apa lagi yang dia boleh buat?
“Kau dengan Azzim memang ada sesuatu, kan?” teka Fauzi.
Azila menggeleng. “Nak ada apanya? Dia bukannya single and available pun.”
“Habis tu kalau dia single, memang kau ada hatilah nak mengurat?” sindir Fauzi.
Azila tak menjawab. Tak ada guna dia bergaduh dengan Fauzi. Dia takkan menang.
“Aku minta maaf, Fauzi. Mungkin kita sesuai jadi kawan. Aku minta maaf sebab buang masa kau untuk perkara yang tak pasti. Mungkin memang Mastura jodoh kau...” ujar Azila sebelum meninggalkan Fauzi seorang diri. Biarpun apa yang berlaku malam ini membuatkan hubungan persahabatan dia dengan tegang, tapi dia lega kerana tak perlu rasa bersalah kerana membiarkan Fauzi tertunggu-tunggu.
***
15
Syawal datang lagi. Meskipun Ramadhan sudah berlalu, Azzim tersenyum apabila melihat tudung masih lagi melekat di kepala Azila. Menutup mahkota yang menarik perhatiannya sewaktu kali pertama mereka berjumpa di dalam bilik air... wanita.
Suasana riuh dengan perbualan anak-anak buahnya. Hari ini section mereka membuat ‘rumah terbuka’ sempena raya. Masing-masing mengeluarkan lima puluh ringgit untuk menempah ketupat, rendang dan pelbagai lagi juadah lain. Menjadi tuan rumah dan menjemput section lain datang makan.
Azila sedang bergelak ketawa dengan Rafidah menarik perhatian Azzim. Melihatkan ada sebuah kerusi kosong di sebelah Azila, cepat-cepat dia mencedok kuah kacang ke dalam mangkuk dan berjalan menuju ke arah kerusi itu. Tawa Azila dan Rafidah terhenti. Bos seorang ni memang suka benar makan dengan anak-anak buah. Berbeza dengan bos-bos mereka sebelum ni.
“Jadi Azila...”
“Hrm?” Azila mengalih pandang ke arah Azzim. Rafidah yang duduk di sebelah turut mencuri dengar.
“Ketupat rendang dah sedia terhidang, bila saya boleh masuk meminang?”
Tersedak terus Rafidah mendengar lamaran selamba Azzim kepada Azila. Azila sudah terpinga-pinga melihat Azzim. Lelaki ni salah ambil makanan ke macam mana? Tak apa... cool Azila, cool.
“Eleh bos. Bawak-bawaklah beringat kekasih hati seorang tu. Ada hati nak mengurat saya...” ujar Azila selamba. Rafidah yang menjadi pemerhati drama sebabak menahan sakit di dada kerana tersedak. Namun sedikit pun dia tidak menunjukkan tanda-tanda untuk bangun mengambil air.
“Kekasih hati? Wow... macam mana awak lebih tahu tentang kewujudan kekasih hati saya daripada saya sendiri?” dahi Azzim sudah berkerut.
Azila mencebik. “Saya ada masa bos tengok wayang dengan awek bos...”
“Wayang?” tak hilang kerutan di dahi Azzim. Seingat dia, lama sungguh dia tak menonton wayang. Kali terakhir menonton pun masa... Azzim ketawa kecil. Faham sudah dengan apa yang dikatakan Azila.
Azila mencebik. See? Malulah tu sebab dah kantoi. “Betul kan saya cakap? Pandai bos ya. Awek sikit punya cantik, dah nak cari lain...”
Azzim menggeleng dengan senyuman. “Itu bukan awek sayalah!”
“Habis tu? Adik? Oh, come on bos.. cliche sangat jawapan tu...”
“Memanglah bukan adik. Tapi itu kakak saya. Abang ipar tiba-tiba ada emergency dekat hospital, jadi dia minta saya temankan kakak saya...”
Azila terdiam. Patutlah masam benar muka wanita yang duduk di sebelahnya pada waktu itu. Suami tak dapat menonton sekali rupa-rupanya...
“Jadi... macam mana? Saya anggap hari awak pakai tudung tu...awak setuju...”
Azila terpempan. Ada makna rupanya tudung itu? Bukan sekadar hadiah biasa? Rafidah mengerutkan dahi. Sejak bila pula Azila dengan Azzim ni ada sesuatu? Siap ada tudung hadiah apa semua. Kenapa dia tak tahu?
“Bos... policy company tak bagi suami isteri satu ofis, bos...” sampuk Rafidah.
Azila di sebelah menjegilkan mata. Menyibuk pula mak cik ni! Percayalah nanti tak sampai berapa jam dah tersebar Azzim melamar dia ni.
“Tak apa... itu bukan masalah besar. Yang menjadi masalah bila tuan badan tak bagi green light lagi.”
Rafidah menyenggol lengan Azila. Azila membalas dengan cubitan. Ketawa Azzim melihatkan gelagat kedua-duanya.
“Bos, kot iya pun janganlah tanya depan-depan orang. Malulah saya!”
Azzim senyum. “Ok. Saya tunggu jawapan awak,” balasnya senang hati.
Azila menyambung makan. Azzim di sebelah turut menikmati lontong yang dia ambil tadi. Rafidah sudah tak sabar-sabar hendak bercerita dengan rakan-rakan yang lain. Suasana di antara mereka menjadi sunyi sepi. Habis ketupat dan rendang di dalam pinggan, Azila bangun untuk mengambil air. Kenyang rasanya bila dilamar secara tiba-tiba tadi. Baru dia hendak melangkah, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.
“Bos...”
Azzim mengangkat muka.
“Bos tahu kat mana nak cari rumah mak ayah saya...” balas Azila berkias.
Azzim tak jadi hendak menelan. Betulkah apa yang dia dengar tadi? Adakah itu bermaksud Azila memberi lampu hijau untuk dia berjumpa terus dengan ibu bapa Azila? Azzim tersenyum sendiri. Tak sangka semudah itu lamaran tak rasminya mendapat jawapan. Dia mengerling ke arah Rafidah yang sudah terlopong. Hrm... seingatnya pada meeting yang lepas, syarikat bakal menurunkan polisi suami isteri tak boleh bekerja satu ofis. Nampak gayanya, bolehlah Azzim minta keluarga dia ke rumah keluarga Azila hujung bulan ini.
Kita satu sama, Azila. Bukan satu sama kerana berlaku peristiwa yang memalukan. Tetapi kerana kita seri kerana suka antara satu sama lain. Moga perancangan murni kita akan dipermudahkan, doa Azzim di dalam hati. Azila sedang duduk di sebelah Jenani sambil memegang secawan air dipandang. Seketika kemudian, pandangannya berbalas dan sebuah senyuman terbit di bibir masing-masing. Senyuman yang hanya difahami oleh mereka berdua...
xxx
*kredit pickuplinecornetto di IG faizdickievp

5 comments:

eifa arey said...

Menarik. Saya suka

Unknown said...

sy pn suka

kaknOOr said...

Simple tapi menarik

Kak Sue said...

BESTT... MUDAH FAHAM... DAN MENARIKK...

Aziela said...

Aduhai....sangat best. Tak sangka cerpen boleh beri pembaca impak macam baca novel dari segi feelingnya. Intro jer dh tangkap pembaca masuk dlm scene. Straight, tak meleret. Sharp dan konsistent. Dlm tu manage juga membuai perasaan dgn indah.