01
"Saya
suka awak!"
Amina
memandang wajah lelaki yang berdiri di hadapannya. Wajah yang serius meluahkan
perasaan itu membuatkan mata Amina membulat.
"Saya
serius. Saya minta awak beri peluang untuk saya buktikan pada awak..."
"Heh..."
Amina menggeleng perlahan.
Tak sangka lelaki yang terlanggarnya di perpustakaan universiti itu berani
berkata begitu. Bukanlah Amina nak merendahkan lelaki itu... tetapi, belajar
pun belum habis, sudah berani hendak meluahkan perasaan begini pula.
"Grow
up!" tegas Amina lalu berlalu menuju ke bangunan akademik. Ada
temu janji dengan Prof. Syahir untuk membincangkan tentang projek pengajian
sarjananya.
Tahun lepas, sebaik saja
tamat pengajian, hampir setengah tahun juga dia menganggur. Tak tahan melihat
Amina bersenang-lenang di rumah, ayahnya menyuruh dia menyambung pengajian ke
peringkat sarjana. Sebagai anak yang menurut kata, Amina menerima cadangan
ayahnya tanpa banyak soal. Tambahan pula, dia tak perlu runsing memikirkan duit
pengajian bila ayahnya berjanji untuk menanggung yuran dan memberikan duit
belanja harian.
Berjalan ke bangunan akademik
seorang diri membuatkan ingatan Amina melayang teringatkan Tarmidzi. Masuk
tadi, sudah tiga kali lelaki itu meluahkan perasaannya. Ergh! Sungguh dia tak
berkenan! Kenapalah lelaki sekarang berani tak bertempat? Entah apa yang dia
suka sangat padanya pun, Amina tak tahu. Takkanlah peristiwa terlanggar di
perpustakaan menyebabkan hati lelaki itu jatuh bersama barang-barangnya?
***
02
Amina sibuk membaca satu demi satu kertas
jurnal yang dia muat turun daripada internet. Semalam, selepas berbincang
dengan Prof Syahir, supervisornya itu
meminta dia menambah lagi jurnal untuk kajiannya. Belum cukup, kata Prof
Syahir.
Amina menggeliat kecil apabila terasa
letih setelah duduk hampir tiga jam di dalam perpustakaan. Dia menjeling ke
arah jam di pergelangan tangan. Sudah hampir pukul enam. Solat Asar pun dia
belum dirikan lagi. Sedar masa makin laju meninggalkan
dia, Amina bangun dan menuju ke surau yang terletak di luar perpustakaan.
Barang-barangnya dibiarkan saja di atas meja. Semenjak dia belajar di sini,
belum pernah lagi ada barang yang hilang di dalam perpustakaan.
Selesai menunaikan solat, Amina kembali ke
mejanya. Bibirnya menguntum senyuman apabila terpandangkan sweater hitam terletak elok di atas kerusinya. Sehelai nota merah
jambu yang ditindih dengan bekas penselnya dia capai.
'Datang nak melawat you. Tapi you tak ada.
I ada bawakan roti dengan air minuman. Jangan lupa makan/minum. ;) -Ismail-'
Amina meletakkan kembali nota itu di atas
meja. Dengan berhati-hati dia mengangkat sweater
yang Ismail gunakan untuk menutup roti dan air yang dia bawakan tadi. Dalam perpustakaan
ni tak dibenarkan membawa makanan dan minuman. Jadi salah satu cara Ismail
memastikan perutnya tidak kosong adalah dengan cara beginilah. Amina tersenyum
sendiri. Mujur dia duduk di tempat yang terceruk, jadi mudahlah dia
mencuri-curi makan.
Amina menyambung tugasannya kembali. Bunyi
kerusi di kubikel sebelah yang ditarik membuatkan perhatian Amina teralih. Dia
memandang manusia yang duduk di kubikel sebelah yang sememangnya kosong sejak
tadi. Melihatkan senyuman Tarmidzi, moodnya terus hilang. Argh!
***
03
"Awak buat apa kat sini?" soal
Amina kasar.
"Belajar.
Tak salah rasanya saya gunakan perpustakaan ni untuk belajar?" balas Tarmidzi
selamba.
Amina merengus geram. Sudah pukul enam
baru nak datang belajar. Duduk kubikel sebelah pula tu! Melihatkan Tarmidzi
sudah fokus dengan kerjanya, takkan dia pula yang nak balik? Lagipun, bukannya
Tarmidzi mengganggunya pun. Sekadar duduk di kubikel sebelah saja. Amina
menarik nafas dalam. Fokus Mina, fokus!
"Mina..." tiba-tiba terdena satu
suara dari sebelah. Amina spontan menoleh. Melihatkan senyuman Tarmidzi, dia
mengetap bibir geram.
"Nak apa?" soal Amina kasar.
"Dah masuk waktu maghrib. Jangan lupa
solat ya..." ujar Tarmidzi lalu bangun dan berlalu pergi.
Amina terpempan. Rasa bersalah pula kerana
berkasar sedangkan Tarmidzi mengingatkannya kepada tanggungjawab seorang
muslim. Dia menjeling ke sekeliling perpustakaan. Terpandangkan langit sudah
mula gelap melalui tingkap, memang benar waktu maghrib sudah masuk. Tak sedar
masa terlalu jauh meninggalkannya. Bila dia larut dalam dunianya sebentar tadi.
Amina sudah bersedia untuk bangun. Bunyi
mesej yang masuk ke telefonnya menyebabkan pergerakannya terhenti. Bibirnya
menguntum senyum bila terpandangkan nama Ismail di skrin.
'I ambil you depan library pukul 8. Kita dinner.' –Ismail-
Pendek saja pesanan Ismail namun itu sudah
cukup membuatkan hati Amina menggedik suka.
Ismail tu... bukannya baru sebulan dua
Amina kenal. Tetapi hampir tiga tahun lamanya. Masa itu, Amina masih lagi
bergelar mahasiswa yang sibuk untuk mendapatkan ijazah sarjana muda. Perkenalan
dengan Ismail pun bila Ismail menjadi supervisor
untuk projek kumpulan di tahun dua. Pensyarah muda, kacak dan bergaya... hati
gadis mana yang tak suka?
Cuma dulu, Ismail tak pernah kisah pun
dengan kewujudan Amina. Dan Amina tahu pada waktu itu Ismail sudah punya
kekasih hati. Tetapi sejak dia menyambung pelajaran ke peringkat sarjana,
hubungan mereka tiba-tiba menjadi semakin rapat. Perhatian yang Ismail berikan
menyebabkan perasaan Amina menjadi lain bila bersama lelaki itu.
Laju jari Amina berlari di atas skrin.
Mesej daripada Ismail dia balas. Kemudian, Amina mengemas barang-barangnya
sebelum turun untuk ke surau. Malas rasanya hendak masuk kembali ke
perpustakaan. Lebih baik dia menunggu Ismail di luar saja nanti.
"Jom solat jemaah..." usik
Tarmidzi lalu mengenyitkan mata.
Amina mencebik. "Mengada-ngada!"
balasnya lalu menolak pintu surau wanita.
Tarmidzi ketawa senang hati. Keras benar
hati seorang Amina ni untuk dia leburkan. Langsung tak pernah pandang dia
sedangkan dia sudah jatuh hati pada Amina sejak dia bertandang ke rumah wanita
itu tiga tahun yang lalu...
***
04
Kenangan
3 tahun lalu bagai diulang tayang di fikitan Tarmidzi. Masa itu dia mengikut
keluarganya menziarahi sahabat lama ayahnya yang sudah bertahun tak berjumpa
selepas tamat belajar.
Sewaktu
dia dan keluarganya tiba di rumah Amina, Tarmidzi sudah terpandangkan seorang
gadis yang sibuk dengan pembacaannya di pondok kayu di tepi rumah. Kehadiran
dia dan keluarganya langsung tak diambil peduli. Gadis itu hanyut dalam
dunianya sendiri.
"Mina!"
jerit suara ibu Amina dari dalam rumah.
Pada saat itulah Amina
mengangkat muka dan berbalas pandangan dengan Tarmidzi. Pandangan yang
membuatkan anak teruna yang baru berumur tujuh belas tahun jatuh hati. Namun
kehadiran Tarmidzi sedikit pun dia tidak endahkan.
Tarmidzi memandang Amina yang
menaiki sebuah kereta mewah dari jauh. Nafasnya dihela perlahan. Siapalah dia
kalau hendak dibandingkan dengan lelaki itu. Dia masih lagi berusaha untuk
berjaya sedangkan Ismail suda punya segala-galanya. Apa lagi cara agaknya yang
perlu dia lakukan untuk menarik perhatian Amina?
Langkah diatur perlahan-lahan
menuju ke perpustakaan. Telefon bimbit yang tiba-tiba berbunyi mematikan
pergerakannya. Laju dia mengeluarkan telefon dari kocek seluarnya.
Wahab
is calling...
Butang hijau ditekan.
Harap-harap ada khabar gembira yang dibawa lelaki itu.
"Helo, Miji..."
"Hah... macam
mana?"
"Aku dapat job baru
untuk kau."
Dan khabar itu membuatkan
Tarmidzi menarik nafas lega.
***
05
Amina
memandang wajah lelaki di hadapannya dengan senyuman yang tidak lekang daripada
bibir. Bila bersama dengan Ismail, pasti dadanya berdebar tak tentu hala.
Tetapi Amina bijak menyembunyikan rasanya. Tidak tidak mahu persahabatan yang
baru terjalin ini rosak kerana dia.
"You tengok I macam tu... tak akan sampai makanan you, Mina..." tegur Ismail bila terperasan Amina leka
memandangnya.
"Iya?
Tengok you... buat I terlupa yang I masih belum pesan apa-apa," balas Amina lalu membelek menu di tangan.
Ismail menggeleng perlahan.
Ada-ada saja jawapan gadis manis ini.
"Kenapa tak ajak roommate you sekali tadi?"
Amina menjeling Ismail
sekilas. Tak senang bila lelaki itu bertanya tentang Hajar, rakan sebiliknya.
"You lupa ke you ambil I dekat mana tadi... ada Hajar ke dekat
situ?" Soal Amina geram. Nada Amina yang berubah membuatkan Ismail
tersenyum nipis. Cemburulah tu!
"Sorry... janganlah marah. Hilang cantik you bila marah..."
Amina kembali sejuk. Mujur
Ismail pandai memujuk. Kalau tidak, pasti dia minta Ismail menghantar dia balik
sekarang juga.
"Tapi... boleh I minta nombor Hajar daripada you?" Soal Ismail selamba.
Amina merenung Ismail geram.
"Nak buat apa?"
Nada suaranya dikawal agar
tidak kedengaran terlalu berbeza. Dia geram. Geram yang teramat sangat! Dah kenapa
ajak dia keluar tetapi bertanya tentang perempuan lain? Bertanya tentang rakan
sebiliknya pula tu. Menyesal kerana memperkenalkan Hajar pada Ismail dulu.
"Kenapa I nak beritahu you, apa yang I nak buat
dengan nombor dia?" Soal Ismail kembali.
Amina tersentak. Soalan
Ismail bagai menyedarkannya yang dia tiada hak untuk mempersoalkan tindakan
Ismail. Amina menaharan rasa hati. Susah benar lelaki ini hendak nampak rasa
cinta yang ada dalam hati Amina. Apa lagi yang dia perlu lakukan untuk menarik
perhatian Ismail?
***
06
Amina
merengus geram. Geram bila ayahnya meminta dia pulang setelah dia berjanji
untuk keluar dengan Ismail hujung minggu ini. Amina menjeling jam di telefon
bimbit. Sudah pukul tiga petang. Selalunya kalau dia balik ke rumah di hujung
minggu, tepat pukul lima dia sudah bergerak dari kampus.
Ibu
jari Amina berlari-lari di atas skrin telefon. Nama Ismail yang terpampang di
aplikasi WhatsApp dia pandang lama. Macam mana ni? Dia sudah berjanji dan dia
sendiri yang mengajak Ismail keluar esok. Tetapi...
dia juga anak yang menurut kata. Selagi Ismail belum bersalam dengan ayahnya
untuk melafazkan akad, selagi itu dia di bawah tanggungjawab ayahnya. Dan tiada
alasan untuk dia menolak permintaan ayahnya. Lagi-lagi bila ayah mengatakan,
kawan boleh jumpa lain kali. Amina meletakkan kepala ke atas meja. Entah apalah
yang penting sangat sampai dia kena balik ni.
'You masih di library?'
Mesej yang baru masuk
daripada Ismail mengejutkan Amina. Bagai tahu-tahu saja yang Amina sedang
berfikir tentang dia. Akhirnya Amina mengalah. Nama Ismail dia tekan dan sebuah
panggilan dia buat untuk bercakap dengan lelaki itu.
"Yes, Amina?"
"You..." Amina menggigit bibir.
“Apa dia? Ini mesti ada apa-apa ni?"
"Haah. Ayah I minta I
balik weekend ni..."
"So....?"
Amina menghela nafas berat.
"I tak dapat keluar dengan you esok. Sorry Is..."
"Oh.. tak apalah. Nak buat macam mana. Kalau macam tu, kita jumpa Isnin nantilah..." tenang Ismail memutuskan.
"Oh.. tak apalah. Nak buat macam mana. Kalau macam tu, kita jumpa Isnin nantilah..." tenang Ismail memutuskan.
"Sorry, Is. Walhal I yang beriya-iya ajak you keluar..."
"Perkara kecil, Amina. Ada
apa ayah you suruh balik ni? Ada orang masuk meminang ke?"
"Choi! You jangan nak
cakap bukan-bukan...!" Amina sedikit terjerit.
Ismail hanya ketawa dihujung
talian. " Apa salahnya? You bukannya makin muda..."
"Eee.... you ni kan.
Habis you tu muda lagilah? Pandai-pandai je cakap orang."
"I tak apa. I lelaki. Life begins at 40..."
"Iyalah tu. Ok Is. I
betul-betul minta maaf. Nanti I belanja you dinner ok?"
"Ok. I tunggu..."
Talian ditamatkan. Amina
tersenyum senang. Namun teringatkan kata-kata Ismail tadi, resahnya datang
kembali. Takkanlah ada orang nak masuk meminang. Tak mungkin... tak mungkin...
***
07
Bulat
mata Amina memandang wajah ayahnya. Khabar yang disampaikan oleh ayahnya itu
benar-benar memberi kejutan buat dirinya.
"Betul
ke, Fa? Ada orang nak masuk meminang Fa?" soal Amina kepada adiknya,
Fatima.
Fatima tersengih malu. Kepalanya dianggukkan perlahan.
Fatima tersengih malu. Kepalanya dianggukkan perlahan.
"Siapa? Akak kenal tak
kawan Fa tu? Amboi Fa.. sampai hati Fa rahsiakan daripada akak ya..."
rajuk Amina.
Fatima sekadar tersenyum.
Tahu rajuk kakaknya tidak akan bertahan lama.
"Fa kawan dengan anak
Uncle Kamal tak lamalah... tiba-tiba minggu lepas dia cakap nak ajak mak dengan
ayah dia datang rumah. Itu sebab yang Fa beritahu ayah..."
Amina mengangguk perlahan.
Fahamlah sudah maksud ayahnya yang kawan boleh jumpa lain kali. Tetapi perihal
keluarga, tidak ada yang berlain-kali.
"Tapi... siapa Uncle
Kamal tu?" Soal Amina. Pelik bila adiknya selamba menuturkan nama Uncle
Kamal bagaikan sudah lama kenal.
"Mina... kamu lupa ke Uncle
Kamal tu kawan lama ayah?" Tegur mak Amina. "Kan dia ada datang rumah
dengan keluarga dia dulu..."
Amina menggosok lehernya
lembut. "Tak ingatlah mak. Mungkin Mina dekat kampus agaknya..."
"Hish... tak adalah.
Kamu ada duduk dekat pondokn baca buku. Mak siap jerit panggil kamu bersalam
dengan Auntie Kamar..."
Amina mengerutkan dahi.
Sungguh dia tak ingat langsung!
"Anak dia ada seorang
tengah belajar dekat universiti kamu. Tarmidzi namanya..." ujar ayah
Amina.
Amina bagaikan ditarik ke
alam realiti. Sepotong nama itu mengingatkannya kepada seseorang. Seseorang
yang pernah menuturkan, 'Saya suka awak!' Tarmidzi!
"Habis tu... yang nak
kahwin dengan Fa ni... Tarmidzi tu ke?" Soal Amina sedikit terkejut.
Fatima menggeleng. "Abang dia... Muslim."
Fatima menggeleng. "Abang dia... Muslim."
"Berapa umur Muslim tu,
Fa?"
Fatima senyum bersalah.
"Tua tiga tahun dari kak Mina..."
Dan jawapan Fatima
menyebabkan rahang Amina jatuh.
***
08
Meriah
rumah Amina walaupun sekadar majlis pertunangan yang bakal berlangsung. Tarmidzi
menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya lalu di sangkutkan ke kocek
kemeja. Langkahnya diatur perlahan menuju ke rumah Amina. Kalau kedatangannya
tiga tahun dulu sekadar menziarahi ayah Amina yang merupakan kawan lama
ayahnya, kedatangannya kali ini adalah untuk bersama-sama meminang adik Amina
untuk abangnya, Muslim. Siapa sangka, dalam diam Muslim memikat Fatima. Dia
yang tiga tahun memendam perasaan pun masih belum
berjaya memikat Amina.
"Assalamualaikum..."
ayah Tarmidzi memberi salam dan disambut oleh ayah Amina. Selepas di jemput
masuk, rombongan yang mewakili Muslim duduk di atas lantai yang sudah
dibentangkan karpet.
Tarmidzi sekadar menjadi
pemerhati dan juga pendengar. Matanya sesekali menjeling ke arah dalam rumah.
Mencari kelibat Amina. Namun hampa. Sesekali Tarmidzi tersenyum bila
pandangannya berlaga dengan pandangan mak Amina. Mujurlah mak cik turut
tersenyum. Kalau dia tahu yang Tarmidzi mencari Amina, entah apa pula
tanggapannya nanti.
"Mawar di rumah kami ada
dua kuntum. Mawar mana yang menjadi idaman sang kumbang?" Soal ayah Amina
berkias.
Tarmidzi menjeling ke arah
ayahnya. Abang berkenan dengan mawar kecil. Miji berkenan dengan mawar yang
mekar, yah! Balasnya di dalam hati. Kemudian dia ketawa sendiri. Kalau dia buat
kerja gila, meminta ayah risikkan Amina untuk dia, agak-agak ayah pengsan tak?
Tarmidzi menjeling lagi ke
dalam rumah. Tiba-tiba Amina muncul dari dalam. Tarmidzi terpaku. Bagaikan tahu
dirinya sedang diperhatikan, Amina mengangkat muka dan pandangannya berbalas
dengan pandangan Tarmidzi. Setelah tiga tahun berlalu, Tarmidzi bagaikan jatuh
cinta lagi!
***
09
"Hai..."
tegur Tarmidzi bila terserempak dengan Amina di kafe.
Pelik.
Selalunya dia nampak gadis ini berdua. Kalau tidak bersama dengan Ismail, pasti
dia bersama dengan seorang gadis yang Tarmidzi yakin rakan baik Amina.
Amina
menjeling ke arah Tarmidzi. Ada pula lelaki ini di sini. Sekilas dia
memerhatikan Tarmidzi dari atas ke bawah. Kemas saja gayanya. Dengan ramput
yang disikat rapi juga cara pemakaian Tarmidzi, membuatkan lelaki itu nampak
matang.
"Hrm..." balasnya
malas. Bukan dia rajin sangat hendak melayan Tarmidzi. Tetapi mengingatkan
Muslim sudah pun mengikat tali pertunangan dengan Fatima, rasanya dia pun patut
melayan Tarmidzi dengan baik. Nanti apa pula kata ibu bapa Tarmidzi kalau
mereka tahu sikap dingin Amina terhadap Tarmidzi.
"Boleh saya duduk
sekali?"
Amina menjeling ke sekeliling
kafe. "Tak ada meja lain yang kosong ke?" Balasnya dingin.
Tarmidzi tersenyum sumbing.
"Ada... tapi kesian tengok awak makan seorang diri. Saya temankan,
ya?"
Amina mengetap bibir.
Akhirnya kepala dianggukkan perlahan. Hari ini memang dia kerseorangan. Hendak
mengajak Ismail makan, Ismail tiada di kampus. Hendak mengajak Hajar, ada saja
alasan rakan sebiliknya itu.
"Selalu nampak awak
dengan kawan. Mana kawan-kawan awak?"
Amina merengus geram. Sudu
dan garfu yang dipegang diletakkan ke atas pinggan.
"Awak... kalau nak makan
tu, makan je. Jangan banyak tanya!"
Tarmidzi tersenyum lagi .
"Mestilah kena tanya... saya ni prihatin dekat orang yang saya suka,
tau!"
Amina menjulingkan mata.
Malas hendak melayan Tarmidzi. Dah mula lah tu!
"Makan je tak payah
banyak cakap..." balas Amina perlahan
"Awak ni garang betul
dengan saya..."
Amina menjeling. "Dah
tu? Kenapa masih berani kacau saya?"
Tarmidzi tersengih.
"Sebab saya suka?"
"Heh..." Amina
mencebik. "Cari kerja dulu, dah ada duit sendiri baru berani nak suka anak
dara orang."
"Kalau dah ada kerja dan
dah ada duit sendiri?" Uji Tarmidzi.
Amina memandang Tarmidzi
lama. Apa maksud lelaki ni?
"Nanti saya minta mak
dengan ayah merisik awak, jangan menolak pula..." meleret saja nada suara
Tarmidzi.
Amina menjeling geram.
"Jangan nak buat sesuka hati awak. Nak mak dengan ayah awak dapat
malu?" Ugut Amina.
"We
will see..."
***
10
Panggilan
telefon daripada ayahnya tadi benar-benar memgejutkan Amina. Mana tidaknya,
tiba-tiba saja ayahnya bertanya kalau dia sudah mempunyai teman lelaki atau
belum. Hendak jawab 'sudah', siapa pula orangnya? Lelaki di hadapannya ini pun
tak pernah pula kata apa-apa.
Amina
menyimpan kembali telefonnya ke dalam beg. Wajah Ismail yang sedang berselera
menikmati makan malam dia pandang dengan seribu satu perasaan. Panggilan
daripada ayahnya tadi membuatkan dia risau.
Lagi-lagi mengingatkan kata-kata Tarmidzi beberapa minggu lepas. Hish...
"Kenapa tak makan?"
Soal Ismail bila terpandang Amina asyik merenungnya. Renungan kali ini bukan
seperti selalu. Renungan kali ini nampak Amina seolah-olah menyimpan masalah
sedangkan selalu Amina akan memandangnya dengan penuh rasa minat.
Amina menggeleng perlahan.
Sudu dan garfu dia capai kembali. Hilang sudah rasa enak nasi goreng ayam yang
dimakannya tadi. Lama Amina mengambil masa untuk menghabiskan nasi goreng itu.
"Amina,
are you okay?"
Amina tersenyum tawar. Ok.
Cukup. Tekaknya sudah tidak boleh menerima lagi nasi goreng ayam yang berbaki.
"Is... siapa I pada
you?" Soal Amina serius.
Ismail memandang Amina
tenang. "You are my best buddy,
Mina..."
"Itu je?"
"Amina, kalau you
berharap lebih daripada itu... I minta maaf. I selesa berkawan dengan you.
Jangan harapkan lebih daripada tu..." lembut Ismail menuturkan.
Amina menghela nafas berat.
Dia tahu selama ni dia hanya bertepuk sebelah tangan. Namun dia tetap berusaha.
Tambahan pula layanan baik Ismail padanya seolah-olah memberikan Amina harapan.
"Habis tu selama ni
layanan you pada I..."
"I layan semua kawan I
macam tu..."
Amina mengetap bibir.
Kecewanya mendengar jawapan Ismail hanya Tuhan yang tahu. Penat rasanya
mengejar seorang lelaki yang langsung tak pernah memandangnya.
"You tahu I dah lama
suka pada you kan..." soal Amina lirih.
Ismail memandang gadis di
hadapannya sedikit bersalah. Bukan niatnya hendak mengecewakan Amina, tetapi
soal hati dan perasaan tak boleh dipaksa.
"I minta maaf, Mina...
mungkin kita lebih sesuai jadi kawan," putus Ismail.
Amina menelan air liur pahit.
Tak guna dia mencuba lagi. Faham benar dia dengan sikap Ismail. Jika putih
katanya, putihlah jawapannya.
"Kalau macam tu...
mungkin lepas ni kita patut kurangkan berjumpa. Sebab... I akan bertunang tak
lama lagi."
"Amina,
are you serious?" Soal Ismail terkejut. Tak
ada angin, tak ada ribut... tahu-tahu saja nak bertunang.
Amina mengangguk yakin.
"Tadi yang ayah I telefon... dia beritahu ada orang meminang I. Kalau I
tak ada sesiapa, dia minta I terima sebab dia berkenan benar dengan lelaki
tu..."
"Amina, you jangan nak
buat keputusan melulu!"
"Melulu apanya, Is? You
sendiri cakap you anggap I macam kawan. You nak I terus kejar you sedangkan you
langsung tak pernah bagi peluang pada I? Unfair,
Is..." keluh Amina.
"Tak apalah, I yakin
keputusan ayah I tak silap. Terima kasih Is untuk beberapa bulan kebelakangan
ni..." ujar Amina dengan senyuman pahit.
***
11
Keputusan
ayah tak silap? Hah! Inilah buat kali pertama Amina rasa ayah telah membuat
kesilapan besar dalam membuat keputusan. Meminta dia berkawan dengan Tarmidzi
untuk mengenali hati budi budak itu. Amina membuat muka. Sungguh dia tak suka
bila mendengar sepotong nama itu yang disebut oleh ayahnya. Tak ada orang lain
ke?
"Tarmidzi
tu bagus budaknya, Mina. Apa salahnya Mina kenal dulu dengan dia..."
Amina
merengus geram. "Mina tak suka dia, mak. Nak kenal macam mana?"
"Sebab
Mina tak kenal, Mina tak suka..." pujuk mak Amina.
"Apa
yang ayah suka sangat pada dia, mak? Budak tu, belajar pun tak habis lagi tau!
Mina peliklah..."
"Dia
budak yang bertanggungjawab Mina. Dia pandai ambil hati mak dengan ayah. Mak
yakin dia boleh jaga Mina dengan baik."
"Ya
Allah mak... untuk sekali ni je Mina harap sangat mak dengan ayah tak paksa
Mina terima Tarmidzi tu. Selama ni, apa keputusan mak dengan ayah, Mina terima.
Tapi kalau bab Tarmidzi..." Amina menggeleng perlahan. Tak boleh! Tak
akan!
"Mina...
mak dengan ayah tak paksa Mina terima Miji tu. Mak dengan ayah minta Mina kenal
dia dulu. Dia budak yang baik. Kalau ikut gerak hati seorang ibu, insya Allah
dia boleh jaga dan bimbing Mina..."
Amina
mengeluh. Dia kematian kata-kata untuk menolak permintaan maknya. Lagi-lagi
bila mak sudah mengeluarkan isu 'rasa hati seorang ibu yang melahirkan anak'.
Akhirnya dia mengangguk lemah. Anggukan yang membuatkan maknya tersenyum suka.
***
"Nak
sangat jadi keluarga 69 ye?" Marah Amina bila Tarmidzi muncul saja di
depannya.
Tarmidzi
berlagak tenang. Dengan Amina dia kena bijak mengawal keadaan.
"Assalamualaikum
Mina..."
"Hish..."
Amina merengus geram. "Waalaikumussalam!" Balasnya marah.
Tarmidzi
menahan senyum. Dalam marah tetap masih hendak menjawab salam. Tidaklah keras
mana Amina ni...
"Kenapa
tiba-tiba keluarga 69 ni?"
"Awaklah!
Tahu kan abang awak dah bertunang dengan adik saya? Yang gatal sangat suruh
ayah awak merisik saya kenapa?"
"Sebab
saya nak juga tahu Amina yang saya suka ni betul ke dah berpunya. Dah ayah awak
cakap awak masih belum ada sesiapa. Apa salahnya saya mencuba?"
"Eee...
belajar pun tak habis lagi dah gatal nak merisik anak dara orang!"
"Okeylah
tu merisik. Bukannya saya buat benda yang salah pun." Tarmidzi memandang
wajah masam Amina.
"Mina..."
panggil Tarmidzi lembut. "Walaupun saya belum habis belajar, insya Allah
saya boleh jaga awak, beri makan pakai..." sambung Tarmidzi.
Meremang
bulu roma Amina mendengarkan kata-kata Tarmidzi. Belum apa-apa sudah bercakap
soal kahwin.
"Berangan!"
"Tak
salah... daripada angan-angan menjadi cita-cita. Daripada cita-cita saya akan
usahakan menjadi realiti..."
Amina
menjeling geram. Ada saja jawapan lelaki ni. Malas hendak melayan, dia
menghabiskan minuman yang berbaki di dalam gelas. Tanpa sebarang kata, dia
bangun dan berjalan meninggalkan Tarmidzi yang masih duduk. Geramnya
berbakul-bakul terhadap Tarmidzi.
Tarmidzi
memandang Amina yang sudah menjauh. Dalam keadaan sekarang, ada baiknya dia
membiarkan Amina bertenang dahulu. Dia belum mengenali Amina sepenuhnya. Kalau
dah kenal, senanglah dia nak uruskan nanti. Keluarga 69? Ketawa kecil Tarmidzi
mengingatkan kata-kata Amina tadi. Betul juga, ya? Siapa yang adik, siapa yang
abang, siapa yang kakak nanti? Amina... Belum pun apa-apa, awak dah fikir
sampai ke situ, ya?
***
12
Jom
breakfast.
Jom brunch.
Jom lunch.
Jom ais
jagung.
Jom dinner.
Amina membaca kelima-lima mesej yang
dihantar oleh Tarmidzi sepanjang hari ini. Setiap kali masuk waktu makan, pasti
ada saja pelawaan dia untuk makan sekali. Lengkap dari pagi sampai ke petang
pula tu. Apa tidaknya, mesej terbaru yang masuk ke dalam telefonnya berbunyi,
Jom supper.
Amina membaca mesej Tarmidzi berulang
kali. Bersalah pula bila langsung tidak membalas mesej lelaki itu. Bukan baru
hari ini Tarmidzi menghantar mesej, tetapi sejak seminggu yang lalu. Rimas dan
lemas! Tetapi hatinya terusik juga dengan kesungguhan Tarmidzi.
Ok.
Balas Amina pendek. Belum sempat dia
hendak meletakkan telefon ke atas meja, sebuah mesej baru daripada Tarmidzi
muncul.
Sungguh ke ni? Saya ambil awak depan
hostel ya?
Ok. 5 minit.
Balas Amina lagi. Dan kemudian, muncullah
sebuah mesej dengan penuh emoticon menunjukkan kegembiraan Tarmidzi kerana Amina
setuju dengan pelawaannya.
Amina bersiap seringkas mungkin. Sesekali
dia menjeling ke arah Hajar yang leka menghadap laptop dengan headphone di
telinga. Sesekali gadis itu bermain dengan telefon bimbitnya. Amina mengetap
bibirnya perlahan. Entah kenapa sejak kebelakangan ni Hajar seolah-olah
menjarakkan diri daripadanya.
"Hajar, aku nak keluar. Nak kirim
apa-apa?" Soal Amina sewaktu sedang menyarung tudung.
Hajar tidak menjawab. Amina menutup pintu almari baju lalu melangkah mendekati Hajar.
Hajar tidak menjawab. Amina menutup pintu almari baju lalu melangkah mendekati Hajar.
"Hajar..." panggil Amina lalu
mencuit bahu Hajar dengan lembut.
Hajar tersentak. Laju dia menyembunyikan
telefon di tangan daripada penglihatan Amina. Kemudian headphone yang menutup
telinganya dia tanggalkan. Namun, sempat juga mata Amina menangkap nama yang
tertulis di ruang pengirim mesej itu. Amina menahan riak wajahnya daripada
berubah.
"Kau cakap apa?" Soal Hajar
gelabah.
"Aku nak keluar. Nak kirim
apa-apa?" Sedaya upaya dia berusaha agar nada suaranya tidak berubah.
Pantas Hajar menggeleng dengan senyuman.
Kekok. "Thanks."
Amina mengangguk. Dia terus keluar dari
bilik yang dikongsi bersama Hajar. Sebaik saja pintu bilik ditutup, tak
semena-mena air matanya menitis ke pipi. Hajar... sampai hati kau buat aku
macam ni...
***
13
Tarmidzi
kalut. Sewaktu dia tiba di hadapan hostel Amina sebentar tadi, gadis itu sedang
menangis seorang diri di tembok. Bila dia memanggil Amina untuk masuk ke dalam
kereta, terus saja Amina masuk tanpa sebarang kata. Yang kedengaran hanyalah
esakan kecil yang dia cuba tahan.
"Mina...
awak okey?"
Amina
senyap. Tak tahu sama ada patut atau tidak menceritakan perihal sebenar kepada
Tarmidzi. Sudahlah perihal Hajar dengan Ismail. Nanti entah apa pula anggapan
Tarmidzi nanti. Ah! Sejak bila Amina sudah pandai menjaga hati Tarmidzi ni?
"Saya
nak makan ais krim..." pinta Amina tanpa menjawab soalan Tarmidzi.
Tarmidzi
sekadar mengangguk. Kemudian kereta dihalakan ke sebuah kawasan rumah kedai
tidak jauh daripada kampus. Tarmidzi memberhentikan kereta di hadapan 7E. Tanpa
sebarang kata, Tarmidzi terus keluar dan melangkah masuk ke dalam 7E. Tarmidzi
termangu di hadapan peti yang menempatkan pelbagai jenis ais krim. Ais krim apa
yang Amina suka? Akhirnya dia ambil saja ais krim kegemarannya. Harap-harap
Amina sukalah...
"Nah..."
hulur Tarmidzi.
Amina
ambil tanpa teragak-agak. Dalam sekelip mata saja dia sudah membuka dan
menikmati ais krim yang dibelikan Tarmidzi tadi.
"Dah
okey?" Soal Tarmidzi bila melihat Amina mula tenang. Tangisannya juga
sudah berhenti. Yang tinggal hanyalah kesan-kesan tangisa gadis itu.
"Nak
kongsi dengan saya?"
Amina
mengetap bibir. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan perlahan.
Tarmidzi
tersenyum kecil. Lagak Amina membuatkan gadis yang selalunya nampak matang dan
bijak menjadi seperti kanak-kanak. Terserlah sisi comelnya seorang Amina di
mata Tarmidzi.
"Awak...
nak supper tak?" Soal Amina bila teringatkan tujuan dia keluar dengan
Tarmidzi.
Tarmidzi
mengangguk. "Hrm... memang niat saya nak ajak awak supper. Saya belum
makan lagi dari tengahari..."
Amina
sedikit terkejut. "Kenapa tak makan lagi?"
"Sebab...
tak ada orang yang sudi temankan..."
Amina
mencebik geram. Pasti Tarmidzi nak mengenakan dia lagi.
Saya
gurau saja. Saya kena pergi kastam. Ada urusan."
"Urusan
apa? Kenapa student macam awak kena pergi kastam?" Amina memandang
Tarmidzi pelik.
Tarmidzi
sekadar tersenyum. Kepalanya digelengkan perlahan. Tanda tidak mahu Amina
bertanya dengan lebih lanjut.
"Jadi
awak nak supper tak? Ais krim dah habis satu kon..."
Amina
menghela nafas perlahan. Hendak bertanya lanjut, dia malu sendiri. Lagipun,
inilah kali pertama Amina boleh bercakap dengan baik dengab Tarmidzi. Itupun
awal-awal lagi dia sudah memalukan diri sendiri dengan menangis di hadapan
lelaki itu. Memalukan!
"Jomlah.
Tapi... saya nak singgah bilik air dulu..."
Tarmidzi
mengangguk. Kereta diundur perlahan untuk keluar daripada petak parkir. Sebelum
mereka pergi ke kedai makan, Tarmidzi menghalakan kereta ke arah stesyen
minyak. Memberi masa untuk Amina merapikan diri.
"Miji..."
Bulat
mata Tarmidzi mendengar Amina memanggil namanya begitu.
"Tarmidzi..."
amina membetulkan sebutannya.
"Hrm?"
"Kalau
kawan baik awak... backstab awak... awak buat apa?"
Tarmidzi
menjeling ke arah Amina sekilas. "Backstab yang macam mana? Pasal
bisnes?"
"Hrmmm...
keluar dengan girlfriend awak?"
"Saya
tak ada girlfriend, Mina... kalau ada, saya tak suruh ayah risikkan awak untuk
saya."
Amina
mengetap bibir geram. "Saya cakap kalauuu..."
Tarmidzi
sengih. "Kitorang ada bro codes."
"Bro codes?"
"Tak
dibenarkan keluar atau menyimpan perasaan pada awek ataupun bekas awek member
yang lain."
Amina
tercengang. "Biar benar?"
Tarmidzi
mengangguk yakin.
"Habis
tu kalau dah memang jodoh takde antara perempuan tu dengan lelaki tu... jodoh
dia dengan kawan kepada lelaki tu. Takkan tak boleh?" Marah Amina.
Tarmidzi
tersenyum nipis.
"Habis
tu... kalau jodoh Ismail bukan dengan awak... tetapi dengan kawan baik awak.
Takkan tak boleh?" Jawapan selamba Tarmidzi membuatkan Amina tersentak.
Tak semena-mena rasa marahnya yang sudah berkurangan tadi kembali mendidih.
"Tarmidzi!!!"
***
14
Tarmidzi tayang muka selamba walaupun
Amina memanggil namanya dengan marah. Bukan dia tak tahu cerita antara Amina,
Ismail dan Hajar. Dua tiga kali Tarmidzi ternampak Ismail dan Hajar keluar
berdua jika Amina sibuk. Teman lelaki apa kalau macam tu? Hanya Amina saja yang
tak nampak. Tapi tak tahulah kalau dia buat-buat tak nampak. Buta mata... buta
hati!
Tarmidzi menjeling ke arah Amina di sebelah.
Bulat matanya melihatkan Amina sesekali mengesat matanya. Ah sudah! Apa yang
dia dah buat? Baru je sebentar tadi Amina berhenti menangis. Kini dia menangis
kembali.
"Mina..."
Amina tidak menjawab. Sungguh dia memang
terasa hati dengan kata-kata Tarmidzi sebentar tadi.
"Mina... sorry saya tak ada niat nak
buat awak menangis..."
"Awak tak faham... sudahlah. Saya
rasa tak ada mood nak keluar. Tolong hantar saya balik?" Pinta Amina
perlahan. Malas nak bergaduh dengan Tarmidzi.
Tarmidzi mengeluh. Menyesal tak sudah.
Gatal sangat mulutnya hendak memberi komen tentang hal peribadi Amina. Lain
yang dia harapkan, lain yang jadi. Dengan hati yang berat, dia membuat pusingan
apabila tiba di lampu isyarat. Ikutkan sajalah kehendak Amina. Dia pun sudah
terasa kenyang dengan apa yang berlaku.
***
Seminggu Amina tidak membalas mesej-mesej
kirimannya. Seminggu jugalah Tarmidzi tidak tentu arah. Wahab sudah bising
kerana kerja-kerjanya menjadi dua kali ganda bila Tarmidzi hilang fokus. Hendak
bebelkan Tarmidzi, Tarmidzi ibarat 'bosnya'. Tapi kalau dah menyebabkan bisnes
mereka terganggu, bengang juga Wahab dibuatnya. Tarmidzi meraup wajahnya kasar.
Kemudian jari-jemarinya bermain dengan jambang yang sudah tumbuh meliar.
Amina... kenapalah keras sangat hati awak? Nak saya buat macam mana lagi?
Tangan mencapai telefon di sebelah laptop.
Semalam ayah sudah mengusiknya deengan bertanyakan tentang Amina. Mujur ayah
sporting bila dia suarakan hendak merisik Amina. Siap terus telefon ayah Amina
bertanya tentang anak gadisnya itu. Terkejut monyet juga ayah Amina bila
tiba-tiba ayahnya bertanya tentang Amina untuknya. Keluarga 69? Abang Muslim
saja yang bising. Ayah dengan mak cool aje. Selagi tidak melanggar syariat, apa
salahnya.
Bagaikan tahu-tahu saja Tarmidzi sedang
membaca mesej-mesej yang dihantar kepada Amina, sebuah mesej baru masuk ke
telefonnya. Jantung Tarmidzi berdetak hebat. Amina. Laju dia membaca mesej
daripada Amina. Ambil dia di depan hostel sekarang? Biar benar?
***
"Mina..."panggil Tarmidzi.
Amina mencapai gelas berisi jus oren di
hadapannya. Wajah Tarmidzi yang penuh tanda tanya dia pandang tak berperasaan.
"Saya confront dengan Hajar..."
Tarmidzi menunggu kata-kata Amina yang
seterusnya.
"Betul... Dia dengan Ismail tengah
berkawan sekarang..."
Riak wajah Amina mula berubah. "Dia
kawan baik saya. How could she do this to
me?! Dia tahu semuanya tentang saya. Dia tahu perasaan saya pada Ismail.
Tapi dia backstab saya macam ni
sekali..."
Tarmidzi diam. Pedih rasa hati bila gadis
yang dia suka bercerita tentang lelaki lain.
"Dia tak patut buat saya macam ni. How could she...?" keluh Amina.
Rasa hendak menangis bila mengingatkan perselisihan yang berlaku di antara dia
dan Hajar. Peristiwa di bilik sebentar tadi bermain di fikiran.
Amina baru balik daripada berjumpa dengan
Prof Syahir sewaktu dia sedang berjalan menuju ke hostel. Dari jauh kelihatan
sebuah kereta yang dia cukup kenal sedang terpakir di hujung simpang. Amina
memperlahankan langkah. Tiba-tiba pintu sebelah penumpang terbuka dan seorang
gadis keluar dengan senyuman di bibir. Jantung Amina bagaikan direntap kasar.
Matanya dikecilkan, takut-takut kalau dia tersilap orang. Namun ternyata Hajar
sedang tersenyum ceria dengan memegang sejambak bunga, keluar dari kereta
Ismail.
Laju Amina menghayun langkah pulang ke bilik.
Sudah sampai masanya dia berhadapan dengan Hajar. Sampai bila Hajar nak main
sembunyi-sembunyi lagi? Tiba di bilik, Amina meletakkan barang-barangnya ke
atas katil. Nafasnya naik turun. Akhirnya Amina meraup wajahnya perlahan. Dia
menghenyakkan punggungnya ke atas tilam yang bersarungkan cadar berwarna ungu
cair. Tidak sampai seminit dia duduk, pintu bilik dibuka dari luar. Wajar Hajar
yang tersenyum sambil mencium bau bunga di tangan berubah rona.
"Kau dengan Ismail ada apa-apa
ke?" soal Amina tanpa berdolak-dalik lagi.
Hajar terkejut. Sangkanya Amina tiada di
bilik sewaktu dia pulang. Selalunya Amina akan menghabiskan masa di
perpustakaan sehingga malam.
"Ada apa-apa, apa?" soal Hajar
cuba bertenang. Bunga dan beg di letakkan di atas meja. Dalam serba salah, dia
membalas pandangan Amina yang nyata menahan marah.
"Aku nampak kau keluar dari kereta Is
tadi. Kau tahu aku suka dia, kan?"
Hajar menelan air liur. Tapi... Ismail
kata, Amina sudah pun bertunang dengan lelaki lain. Tahu tak betapa kecewanya
Hajar bila kawan baik sendiri langsung tidak bercerita apa-apa tentang
pertunangannya?
"Tapi... Is cakap kau dengan dia tak
ada apa-apa..."
"Sekalipun tak ada apa-apa... Kau tak
patut buat aku macam ni! Sampai hati kau backstab
aku, Hajar. Aku ingat kaulah kawan aku dunia akhirat..." jerit Amina. Air
matanya sudah bergenang. Kecewa bila mengingatkan kawan baiknya ada hubungan
dengan lelaki yang dia suka.
"Kau tak patut Hajar. Aku sayang kau
lebih daripada nyawa aku sendiri. Tapi... tengoklah apa yang kau dah buat. Kau
kecewakan aku! Kau jalinkan hubungan dengan lelaki yang selama ni aku suka kat
belakang aku. Sampai hati kau..." Amina menggeleng perlahan. Tak ada
perkataan yang sesuai untuk dia ungkapkan untuk meluahkan betapa kecewanya dia
dengan sikap Hajar.
"Sudahlah Hajar. Cukuplah. Buatlah
apa yang kau suka. Aku takkan ambil tahu lagi pasal kau sampai bila-bila. Kalau
kau cakap dengan aku awal-awal, mungkin lain penerimaan aku. Tapi
sekarang..."
Amina bingkas bangun. Dia mahu keluar. Dia
tak mahu melihat Hajar di depan matanya. Takut makin lama dia melihat wajah
Hajar, bercalar pula wajah manis itu. Bukan boleh jangka kalau emosi Amina
sudah tak stabil.
***
Dan peristiwa itu membawa Amina duduk di
hadapan Tarmidzi. Kata-kata Tarmidzi tempoh hari terngiang-ngiang di
telinganya. Mungkin bila berkawan selepas ini, dia patut memperkenalkan Sis
Code pula. Supaya tiada di antara rakan-rakannya nanti keluar atau menyimpan
perasaan pada pakwe ataupun bekas pakwe member yang lain. Amina tersenyum
sendiri. Memujuk hati.
***
15
'Dia
senyum pulak dah...' getus hati Tarmidzi. Keliru dibuatnya dengan sikap Amina
hari ni. Sudahlah tiba-tiba saja menghantar pesanan suruh ambil dia di hostel.
Masa dia tiba tadi, dia nampak wajah Amina keruh semacam. Lepas tu, tiba-tiba
boleh senyum sendiri. Sungguhlah susah nak faham perempuan ni.
"Jom
balik?" Kata Amina pendek.
Tarmidzi
memandang Amina pelik. Namun dia ikutkan juga kehendak Amina. Teh ais yang
berbaki dia habiskan lalu kunci kereta dicapai.
"Jom."
***
Amina
menayangkan wajah selamba sewaktu ayahnya memandang dia dengan wajah menyinga.
Semenjak dia memyuarakan rasa hati untuk berhenti daripada belajar di meja
makan lagi wajah ayahnya sudah berubah riak. Namun dia tahu, ayahnya menahan
diri daripada marah di hadapan rezeki. Hanya sepotong ayat saja yang keluar
daripada mulut ayah.
"Jumpa
ayah di study room lepas ni."
Dan
disebabkan itulah Amina dan ayahnya berada di bilik belajar berdua. Mak
awal-awal lagi sudah beritahu dia tak mahu masuk campur. Amina yang cari pasal,
Amina yang kena selesaikan, itu kata mak.
Amina
berdiri bagaikan pesalah menunggu hukuman. Ayahnya masih menunggu jawapan
daripadanya. Apa yang dia nak cakap? Nak berhenti sebab tak tahan menonton
sandiwara Hajar dengan Ismail?
"Amina...
ayah tanya kamu ni. Kenapa tiba-tiba nak berhenti?" Tegang suara ayah Amia
menyoal.
Amina
menghela nafas berat.
"Amina
tak boleh bawak. Berat sangatlah ayah research
ni..."
Dahi
ayah Amina sudah berkerut. "Tak boleh bawak?" Wajah anak gadisnya
dipandang dengan penuh rasa sangsi. Amina anak gadis yang paling rapat
dengannya. Hampir setiap perkara Amina akan ceritakan kepadanya. Dia boleh
kenal semasa bila Amina berbohong dan semasa bila Amina berlaku jujur.
"Selama
ni tak pernah Amina cakap research
susah?"
Amina
menelan air liur.
"Bila
ayah tanya, Amina yakin je cerita progress Amina?"
Amina
mengawal riak wajah daripada berubah. Bagaimana dia hendak berbohong pada
ayahnya yang sudah mengenalinya lebih 20 tahun?
"Mina
tak cerita sebab tak nak ayah susah hati. Ayah banyak berhabis untuk Mina. Tapi...
Mina dah tak boleh, ayah. Mina tak boleh teruskan..." ujar Amina cuba
menagih simpati.
Wajah
ayah serius memandang wajah Amina.
"Ayah
yakin ada perkara lain yang Amina sorokkan daripada ayah..." ayah jeda
seketika. "Okey. Kalau Amina dah buat keputusan tu ayah terima, tetapi
dengan syarat..."
Amina
sudah mula tak tentu arah. Syarat apa pula yang ayahnya nak kenakan padanya?
"Terima
Tarmidzi sebagai suami Amina. Ayah akan bincang dengan ayah dia, suruh datang
meminang... dua bulan lagi kamu berdua kahwin. Macam mana?"
"Hah?!"
Bulat mata Amina memandang ayahnya. Tak percaya dengan syarat yang dikenakan.
"Mana adil? Mina nak berhenti belajar bukan untul kahwin?!"
"Mana adil? Mina nak berhenti belajar bukan untul kahwin?!"
Ayah
hanya mengangkat bahu. "Dah banyak ribu ayah berhabis untuk Mina sambung
sarjana. Tiba-tiba belum sampai setahun dah nak berhenti. Sekurang-kurangnya
kalau Mina kahwin dengan Tarmidzi... kurang sikit rasa sebal ayah sebab duit
ayah hangus gitu je..."
Wajah
Amina berubah riak. Kahwin dengan Tarmidzi? Tak akan! Tak mungkin! Nehi! Never!
***
16
Amina melangkah masuk ke dalam bilik yang
sudah gelap. Matanya laju menangkap susuk tubuh Hajar yang meringkuk kesejukan.
Kipas yang ligat berputar Amina turunkan kelajuannya. Penatnya! Hampir seminggu
dia kembali ke kampus dan seminggu jugalah dia hanya berada di bilik pada waktu
Hajar sudah tidur. Tak pasal-pasal jadual tidurnya berubah. Amina meletakkan
beg sandang ke atas kerusi. Kemudian, satu demi satu pin tudung yang tersemat
dia tanggalkan. Jam sudah menunjukkan pukul dua pagi. Rasa mengantuk ni, boleh
membuatkan Amina tidur berdiri!
Selesai menyalin pakaian, Amina merebahkan
tubuh ke atas katil. Matanya terpandangkan sebuah patung beruang yang dipeluk
Hajar yang sedang tidur. Pasti Ismail yang menghadiahkan patung beruang yang
memegang hati itu. Serta-merta perasaan marah dan cemburu datang kembali. Amina
menarik nafas dalam. Cuba mengumpul kesabaran dan merawat hati yang kecewa. Tak
boleh jadi... dia kena juga usaha sesuatu untuk keluar daripada bilik ni.
Menyewa di luar mungkin? Tapi kalau ayah tahu, jadi isu pula.
Selepas ayah mengenakan syarat yang berat
sebelah tu, terus Amina menarik balik niatnya untuk berhenti belajar. Ergh!
Siapa nak kahwin dengan Tarmidzi tu? Masa depan pun kabur-kabur je, macam
penglihatan sewaktu dalam jerebu. Dengan degree
pun tak habis lagi, ada hati nak pinang anak dara orang! Pelik! Apalah yang
ayah berkenan sangat dengan Tarmidzi tu?
Amina ni, walaupun tak berkenan, Tarmidzi
jugalah yang dia jadikan mangsa diajak ke sana sini. Tarmidzi pula, ikutkan
saja kehendak Amina dengan senang hati. Setakat Amina mengajak dia ke
perpustakaan dan late supper pada
waktu malam... apalah sangat? Cuma Wahab saja yang beberapa kali menegur
Tarmidzi kerana kerap keluar berdua dengan Amina. Takut ada yang ketiga berjaya
menggoda. Huh, kalau diikutkan hati Tarmidzi, sekarang juga dia nak menjadikan
Amina isterinya yang sah. Senang nak ke sana ke mari. Tetapi Amina yang
terus-terusan menolak.
Terdengarkan ada bunyi pergerakan di katil
sebelah, cepat-cepat Amina memejamkan mata. Pasti Hajar tersedar dan bangun
mencari air. Namun seketika kemudian suasana malam kembali sunyi. Amina
mengiring ke kiri, menghadap dinding. Tiba-tiba terdengar suara Hajar
berbisik...
"Aku rindukan kau, Mina..." ujar
Hajar berserta keluhan berat
Amina menahan rasa di dalam hati. Entah
kenapa, jiwanya dihimpit rasa bersalah. Sejak perselisihan dengan Hajar
berlaku, dia terus menganggap Hajar tidak wujud. Hajar diibaratkan seperti
angin yang tidak boleh dinampak walaupun kehadirannya boleh dirasa. Sebarang
kata-kata ataupun persoalan, hatta salam daripada Hajar ibarat masuk telinga
kanan dan keluar telinga kiri. Itu hukuman yang dia jatuhkan buat Hajar yang
telah menikamnya dari belakang. Dia langsung tak sudi hendak memandang wajah
gadis itu. Tetapi malam ini... kata-kata Hajar menyiat-nyiat hatinya. Amina
menghela nafas berat. Pedulikan Hajar. Perempuan seperti itu langsung tak layak
dibuat kawan.
***
“Good
morning, Mina...” tegur Tarmidzi yang sudah menunggu Amina sejak pukul
lapan lagi. Dia sudah hafal benar dengan jadual Amina. Seawal jam lapan pagi
dia sudah bersiap untuk ke kafe, bersarapan. Kemudian, dia akan ke perpustakaan
universiti untuk mencari bahan untuk kajiannya. Jadi disebabkan hari ini
Tarmidzi tiada kelas, cepat-cepat dia bersiap untuk berjumpa selepas berjoging
tadi. Rasa tak lengkap hidupnya kalau tak berjumpa Amina sehari. Macam manalah
nanti kalau dia terpaksa meninggalkan Amina. Adakah Amina akan merinduinya
juga?
“Hai? Awalnya dah muncul dekat sini. Nak
apa?” soal Amina. Kalau orang lain dengar, pasti mereka menyangka Amina sedang
memarahi Tarmidzi. Sedangkan, itulah nada yang selalu Amina gunakan setiap kali
bercakap dengan Tarmidzi.
Tarmidzi tersenyum simpul. Entah kenapa,
dengan Amina... kesabarannya cukup tinggi. Kalau dengan rakan kelasnya yang bersikap
begini, memang dia tak layan terus. Mungkin itulah yang dinamakan cinta. Cinta
itu buta. Kekurangan insan yang kita cinta membuatkan kita hanya memejam mata
sebelah. Banyak lagi kebaikan yang boleh kita hitung, kita kira. Ah Tarmidzi...
pagi-pagi lagi sudah buat kuliah cinta!
“Jom, sarapan?” pelawa Tarmidzi.
Amina mengangguk. Tanpa sebarang kata dia
terus membuka pintu penumpang di sebelah pemandu. Tarmidzi ketawa kecil
melihatkan gelagat Amina. Dalam garang-garang itu, ada lembutnya. Itulah
Aminanya.
“Nak makan mana?” soal Amina pendek.
Selalunya dia akan sarapan di kafe saja. Tarmidzi pula, kalau tiada kelas pagi
pasti akan menemaninya. Tapi ini, melihatkan kereta Tarmidzi sudah keluar
daripada perkarangan universiti, Amina menjadi tertanya-tanya sendiri.
“Kita makan dekat kedai kawan saya. Di
bandar universiti...”
Amina mengangguk. Pandangannya dilemparkan
ke luar kereta. Fikirannya penuh merancang jadualnya untuk hari ini. Sedang dia
leka merancang, tiba-tiba saja Tarmidzi menguatkan volume radio yang terpasang.
“Kuat sangatlah Miji... sakit telinga
saya...” rungut Amina.
Tarmidzi tersenyum sendiri mendengarkan
panggilan Amina.
“Lagu ni... lagu untuk awak,” balasnya
pendek
Amina mengerutkan dahi. Lagu untuk aku?
Lagu apa pula? Sudahlah bunyinya bingit. Macam lagu... Korea! Amina menjeling
Tarmidzi di sebelah. Kepalanya terangguk-angguk mengikut rentak lagu itu. Dan
tiba-tiba dia turut menyanyi bersama-sama ahli kumpulan tersebut.
Neon
alggamalgga alggamalgga neomu yebbeun miina
Nal
michyeotdago malhaedo nan niga jotda miina
Berubah air muka Amina mendengarkan lagu
yang dinyanyikan Tarmidzi dengan mengikut rentak di radio. Sudahlah sepatah
haram dia tak faham. Tambahan pula, Tarmidzi sengaja menekankan perkataan Mina
di hujung ayat tu sambil menjeling ke arahnya. Entah iya, entah tidak apa yang
dia nyanyikan.
“Hish... perlahankanlah sikit saya
bukannya faham pun. Awak ni...” marah Amina. Radio apalah boleh pasang lagi
Korea pagi-pagi macam ni.
Tarmidzi ketawa. Akhirnya dia perlahankan
juga volume kembali kepada asal. Namun mulutnya tak berhenti menyanyi lagu itu.
Bounce
to you, bounce to you nae gaseumeun neol hyanghae jabil sudo
Eobseul
mankeum ddwigo itneungeol
Break
it down to you, down to you nae gaseumi neo, neol gajji
Motandamyeon
meomchul georanda (nal barabwara)
Tarmidzi menjeling ke arah Amina yang
nampak tak berminat. Mina... kalaulah awak tahu yang lagu ni menggambarkan rasa
hati saya, apa agaknya reaksi awak, ya? Empat minit berlalu, lagu yang
dipopularkan oleh kumpulan Super Junior itu akhirnya tamat juga. Suasana di
dalam kereta kembali sunyi.
“Mina...” panggil Tarmidzi secara
tiba-tiba.
“Hrm?”
“Awak tahu tak... Mina dalam bahasa korea
tu maksudnya perempuan cantik.”
Spontan darah menderu ke wajah Amina. Jadi
perkataan yang ada dalam lagu tadi memang betullah Mina? Sangkanya, Tarmidzi
sengaja memain-mainkannya.
“Oh ye? Baru saya tahu...”
“Mina...” panggil Tarmidzi lembut.
“Ye?”
“Saya nak minta tolong boleh?”
Amina menjeling ke arah Tarmidzi sekilas.
“Apa dia?”
“Tolong cari lirik lagu Miinah dalam
Bahasa Inggeris. Saya tertanya-tanya apa maksud dia.”
Amina mengerutkan dahi. Pelik-pelik
permintaan Tarmidzi ni. Namun tangannya laju mengeluarkan telefon bimbitnya.
Bait-bait perkataan dia taipkan di Google. Tak lama kemudian, terpampang sebuah
blog yang menyiarkan lirik lagu itu di dalam tulisan Hangul, dan Bahasa
Inggeris. Amina scroll ke bawah. Berubah riak wajahnya tatkala membaca lirik
yang sudah diterjemah ke dalam bahasa inggeris itu. Nak ketawa pun ada. Memang betul,
lagu ni ibarat luahan hati Tarmidzi. Sedikit sebanyak, hatinya mula cair. Susah
sangat ke Tarmidzi nak ambil hati saya?
***
17
"Awak nak cari rumah sewa?" soal
Tarmidzi terkejut. Apa tidaknya… ribut tak ada, angin tak ada… tahu-tahu nak
cari rumah sewa. "Kenapa tiba-tiba?" soal Tarmidzi bila melihat Amina
menganggukkan kepalanya.
"Sebenarnya, hubungan saya dengan
Hajar tegang sikit…"
"So…?"
"Saya nak pindah. Saya tak nak tengok
muka dia lagi."
"Apa yang dia dah buat pada
awak?" uji Tarmidzi. Matanya merenung ke dalam mata Amina.
Amina sekadar menggelengkan kepala. Dia
tak mahu membuka balik kisah yang dia sudah tutup rapat-rapat. Biarlah Hajar
terus dengan dunianya dan Ismail. Amina tak mahu masuk campur. Melihatkan
gelengan Amina, Tarmidzi tersenyum. Senang dengan sikap Amina yang tidak mahu
menjaja cerita orang lain walaupun dia sudah boleh menjangkakan apa yang
berlaku.
"Mina… seteruk mana pun awak bergaduh
dengan Hajar, saya harap awak tak sampai memutuskan silaturrahim. Tak baik
tau…" ujar Tarmidzi lembut.
Amina sekadar mengangkat bahu. Tak mahu
memberikan apa-apa komen. Sekarang ni, siapa yang cari pasal dulu? Ini dah
cukup baik Amina tidak menggunakan bahasa kesat bila bercakap dengan Hajar. Dia
hanya tidak menghiraukan Hajar dan menganggap Hajar tidak wujud.
"Awak nak cari rumah ni, nak menyewa
dengan siapa?" Tarmidzi menukar topik bila nasihatnya sebentar tadi tidak
dilayan.
"Saya nak cari bilik sewa dulu. Kalau
dapat bilik lagi senang. Tak dapat bilik, saya nak cari rumah sewa. Nanti
pandai-pandailah saya uruskan tentang housemate."
"Saya ada."
"Hrm? Awak ada tau mana-mana bilik
atau rumah sewa?" soal Amina jujur.
Tarmidzi tersengih nakal. "Saya ada
untuk jadi housemate awak. Bukan setakat housemate saja... Roommate, bedmate
pun boleh," ujar Tarmidzi diikuti dengan ketawa besar.
Amina menjeling Tarmidzi geram.
"Gatal! Belajar belum habis dah galok sangat!"
Tarmidzi hanya ketawa. Tahu itu yang akan
diulang-ulang oleh Amina. "Kalau saya dah habis belajar? Awak tolak ke
kalau saya minta mak dengan ayah saya pinang awak?"
Mood tiba-tiba bertukar serius. Amina
terbatuk. Apa tidaknya? Soalan yang Tarmidzi lontarkan benar-benar diluar
jangkaannya. Tapi, ada logiknya juga soalan Tarmidzi tu. Kalau selama ini dia
menolak Tarmidzi atas alasan lelaki itu masih belum tamat belajar. Habis tu,
kalau dia dah berjaya menggenggam ijazah, apa lagi alasan yang dia ada untuk
menolak Tarmidzi? Amina tidak terus menjawab. Dengan tenang dia menghabiskan
makanan yang berbaki. Melihatkan reaksi Amina sebegitu, Tarmidzi faham sendiri.
Buat kesekian kalinya dia ditolak oleh Amina.
"Miji..." panggil Amina
tiba-tiba.
Tarmidzi mengangkat muka. Wajah Amina
dipandang dengan penuh persoalan.
"Saya minta maaf sebab gunakan awak
untuk mengisi masa saya. Jahatkan saya?" soal Amina perlahan.
"Saya tak pernah rasa dipergunakan
langsung, Mina. Sebaliknya saya rasa bertuah sebab dapat bersama dengan awak,
berkenalan dengan awak dengan lebih dekat. Di mana sebelum ni, saya tak dapat
peluang tu. Jadi... Masa-masa yang ada ni, saya gunakan sebaiknya agar awak
nampak usaha saya."
Amina mengetap bibir. Kalah dengan
kata-kata yang Tarmidzi ucapkan. Budak ni baik. Baik sangat. Tapi... Ah, Amina!
Sentiasa ada perkataan tapi dalam apa-apa perkara pun.
"Dua minggu lagi awak final exam,
kan?"
Tarmidzi mengangguk.
"Buat sebaiknya. Saya suka orang yang
bijak pandai ni..."
Wajah Tarmidzi mula bersinar. Benarkah apa
yang dia dengar? Bukankah secara tidak langsung Amina memberi hint yang Amina akan memberi peluang
kepadanya? Amina... Amina... Terlalu banyak perkara yang awak tak tahu tentang
saya.
"Okey. Insya Allah... Saya akan usaha
yang terbaik..." janji Tarmidzi.
***
Seorang wanita boleh membuat seorang
lelaki berjaya dan seorang wanita juga boleh menyebabkan hidup seorang lelaki
huru-hara. Tarmidzi sesekali memandang ke arah Amina yang tekun dengan laptopnya. Fokus sehingga tidak sedar
yang Tarmidzi sudah memandangnya hampir sepuluh minit lamanya. Tanpa Amina
sedar, dialah yang menjadi pemangkin semangat untuk Tarmidzi belajar. Dialah
yang membuatkan Tarmidzi berusaha untuk berdiri atas kaki sendiri. Dan dialah
yang menyebabkan Tarmidzi sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam
segala segi.
"Mina..." panggil Tarmidzi
secara tiba-tiba.
Amina menoleh. "Apa dia?"
"Tak ada apa. Suka tengok awak fokus
macam tadi..."
Amina mencebik. "Kalau suka,
biarkanlah saya terus fokus. Yang awak panggil kenapa?"
Tarmidzi ketawa. "Saja. Biar awak
pandang saya..."
Mendalam sekali kata-kata Tarmidzi. Amina
menggeleng perlahan. Macam-macam. Tahulah selama ni dia tak pernah ambil kisah
dengan kewujudan Tarmidzi selama ni. Tapi Tarmidzi tak tahu yang kini Amina
bagaikan ternanti-nanti dengan kehadiran Tarmidzi. Di saat dia terpandang saja
wajah Tarmidzi di luar kawasan asrama, pasti hatinya sudah melonjak suka.
Tapi... Tak naklah dia tunjukkan sangat pada Tarmidzi. Nanti makin menjadi-jadi
pula budak tu.
"Saya ada perkara nak beritahu
awak."
"Hrm...?"
"Pandanglah sini. Perkara serius ni..."
"Kalau setakat nak beritahu awak suka
saya, saya dah lama tahu, Miji..."
Tarmidzi mengetap bibir geram.
"Saya nak tunjukkan awak satu tempat
esok. Boleh ya?" pujuk Tarmidzi.
Mendengarkan itu, spontan Amina menoleh.
Melihatkan wajah penuh pengharapan itu membuatkan dia mengangguk setuju.
"Pukul berapa?"
"Macam biasa. Kita sarapan sama.
Lepas tu baru kita pergi tempat tu..."
"Tempat tu...?"
Tarmidzi mengangguk.
"Tempat tu tak ada nama ke?"
sindir Amina. Cara Tarmidzi cakap seolah-olah ada sesuatu yang dia rahsiakan
tentang tempat itu. Apa salahnya cakap je 'tempat itu' di mana. Kan senang?
"Adalah. Rahsia!" Tarmidzi sudah
tersenyum-senyum. Tak sabar rasanya hendak berkongsi dengan Amina tentang
pencapaian hidupnya.
***
Amina memandang pelik keadaan sekeliling.
Ok. Sebenarnya tidaklah pelik mana tempat yang Tarmidzi bawa ni. Kawasan rumah
kedai yang berada di pinggir bandar. Tapi dia pelik. Apa je yang ada di sini?
Rasanya tiada satu kedai pun yang selalunya didatangi oleh lelaki sebaya
Tarmidzi. Tiada kedai gadjet mahupun komputer. Jadi bila Tarmidzi
memberhentikan kereta di depan sebuah butik, Amina didatangi dengan seribu satu
persoalan.
"Jom..." ajak Tarmidzi lalu
membuka pintu kereta. Amina menurut. Dalam teragak-agak, dia mengikut langkah
Tarmidzi yang sudah menghala ke arah butik tersebut.
"Awak nak belanja saya baju ke?"
soal Amina bila Tarmidzi sudah menolak pintu masuk yang diperbuat daripada
kaca. Tarmidzi dan Amina melangkah masuk. Seorang gadis yang bekerja di butik
tersebut bangun apabila terpandangkan Tarmidzi tiba. Bila dia hendak membuka
mulut, cepat-cepat Tarmidzi meletakkan jarinya ke bibir. Menahan daripada gadis
itu bersuara.
"Amina... Ada mana-mana baju yang
awak berkenan?" soal Tarmidzi dengan senyuman.
Amina mengerutkan dahi. Namun dia tetap
melangkah ke arah satu demi satu rak yang menempatkan pelbagai gaya baju.
"Cantik-cantik baju dekat sini..." komen Amina. "Harga pun
berpatutan..." tambahnya lagi.
Tarmidzi tersenyum senang. "Awak
suka?"
Amina mengangguk. Tangannya menarik keluar
sehelai blouse putih dengan bunga
purple halus. Ringkas tetapi tetap cantik. "Saiz M ada?" soalnya
kepada salesgirl yang berdiri di belakang Tarmidzi.
Gadis itu mengangguk. "Ada kak.
Sekejap Aisy carikan ya..." balasnya lembut.
"Aisy?" soal Amina pelik.
"Aisyah..." Tarmidzi tolong
jawabkan. Amina menjeling ke arah Tarmidzi. Amboi? Siap tahu nama, nampak?
Tarmidzi hanya menjadi pemerhati. Sebaik saja mendapat apa yang diminta, Amina
terus menggayakan blouse tersebut ke
badannya.
"Macam mana? Okey?" soal Amina
meminta pendapat Tarmidzi. Tarmidzi mengangguk.
"Cantik. Tapi... Kalau awak pakai
baju ni, saya nak minta awak pakai dengan inner..." komennya. Amina
menahan diri daripada tersenyum.
"Kenapa?" soal Tarmidzi pelik
melihatkan reaksi Amina.
"Tak ada apa-apa..."
"Amina, kalaulah awak faham apa yang
lelaki rasa bila tengok perempuan seksi…"
"Baiklah ustaz. Ana faham…"
Tarmidzi mengetap bibir geram. Baju di
dalam pegangan Amina bertukar tangan. Tarmidzi memberikan signal ke arah
Aisyah. Aisyah menyambut blouse yang
dihulurkan oleh Tarmidzi dan melangkah ke arah kaunter untuk mendapatkan
plastik.
"Sehelai je?"
Amina mengangguk. "Saya pun dah
banyak baju. Sekali sekala beli tak apalah…"
Tarmidzi mengangguk. Dalam pada masa yang
sama, Aisyah tiba dengan sebuah beg plastik di tangan dan terus dihulurkan beg
plastik itu kepada Amina.
"Ada apa-apa lagi, Abang Miji?"
soal Aisyah itu kepada Tarmidzi.
Amina sedikit terpinga-pinga. "Abang
Miji?" terasa berasap telinganya mendengar panggilan itu. Siap
berabang-abang! Setahu Amina, Tarmidzi tak ada pun adik bernama Aisyah?
"Dah tak ada apa. Wahab datang sini
ke hari ni?" soal Tarmidzi kepada Aisyah. Soalan Amina sengaja dibiarkan
tidak berjawab.
Aisyah mengangguk. "Abang Wahab
datang nanti. Ada stok baru sampai..."
"Okey. Kirim salam dia. Abang tak
boleh lama. Buah hati ada urusan lain," ujar Tarmidzi dengan sengih
sumbing. Aisyah ketawa kecil.
"Inilah akak yang selalu abang
cerita, ya? Sampai juga hajat abang nak tunjukkan dia kedai ni..."
Tarmidzi ketawa kecil. "Okeylah
Aisyah. Abang gerak dulu. Hati-hati..." pesan Tarmidzi sebelum melangkah
keluar.
Amina mengekor dari belakang. Geram bila
Tarmidzi buat tak faham je dengan dia. Konon kata suka! Huh!
"Hati-hati..." ajuk Amina lalu
membuat muka. "Menyampah!" tambahnya lagi.
Tarmidzi menjeling ke arah Amina sekilas.
"Cemburu ke?"
"Cemburulah!"
Ketawa besar Tarmidzi mendengar pengakuan
Amina. Sungguh dia tak sangka Amina sejujur itu. "Mina... Apa nama butik
yang awak masuk tadi?"
Amina menjeling Tarmidzi geram. Tukar
topiklah tu! "Saya tak kisahlah apa nama butik tu! Tak ada kena mengena
dengan saya pun..."
"Ada... Saya pilih nama butik tu,
daripada gabungan nama kita berdua, tau!"
"Kenapa pulak?" Amina menoleh ke
arah butik. Gabungan nama mereka berdua? Matanya membaca tulisan yang
terpampang di atas bangunan itu. 'Minji Closet'?
"Tapi..." otak Amina ligat
berfikir. "Butik ni awak punya?" soalnya terkejut.
Tarmidzi senyum senang hati. "Dah
hampir dua tahun. Alhamdulillah, sambutannya menggalakkan. Selain butik,
kitorang pun jual online."
Berkerut dahi Amina mendengar cerita
Tarmidzi. Nampak gaya macam tak berbohong. Cuma, logik ceritanya seperti ada
yang tak kena.
"Butik tu dah dua tahun, dan dua
tahun dulu awal letak nama kita berdua?" Amina ketawa menyindir. "Dua
tahun dulu awak dah kenal saya ke?"
Tarmidzi senyum simpul. "Saya dah
kenal awak tiga tahun, Mina. Cuma awak je yang tak pernah kenal saya."
Mulut Amina bagaikan terkunci.
"Dan, saya berterima kasih dengan
awak... Sebab awak, saya sentiasa berusaha untuk memajukan diri saya. Manalah
tahu satu hari nanti ada jodoh antara kita, sekurang-kurangnya saya dah ada income sendiri untuk sara hidup
kita..."
Amina memandang Tarmidzi lama. Tak ada
nampak bergurau ataupun memainkan dia. Kisah dan perancangan Tarmidzi
membuatkan dia kehilangan kata-kata. Dan kini Amina sudah nampak kenapa mak
dengan ayah begitu berkenan sangat dengan Tarmidzi. Amina mengetap bibir.
Tiba-tiba dia rasa malu sendiri dengan sikap sombongnya selama ni.
***
18
Lama Amina menyepikan diri. Tarmidzi
menjadi tertanya-tanya sendiri apa silapnya yang membuatkan Amina bersikap
begitu. Rasanya, tak ada apa yang menjadi perselisihan antara mereka masa kali
terakhir mereka berjumpa. Takkanlah cemburukan Aisyah sampai macam ni sekali?
Tarmidzi melihat kalendar di telefon. Masuk hari ni sudah 2 hari Amina menolak
bila diajak berjumpa. Okey… baru dua hari. Tapi rasa macam dua minggu!
Tarmidzi mencari-cari nombor Amina. Bila
namanya terpampang di skrin, laju dia mendail nombor itu. Untung-untung, mood
Amina baik. Boleh dia ajak Amina keluar ke kedai mamak untuk supper. Lama dia
menunggu panggilan di angkat. Bila dia hampir berputus asa dan hendak mematikan
panggilan, tiba-tiba terdengar suara Amina di hujung talian.
"Miji… tolong saya Miji!"
Tarmidzi tersentak. "Mina! Awak ada
kat mana ni?"
"Saya ada di hostel. Miji, awak
datang sini sekarang boleh? Kita pergi hospital. Hajar demam ni… demam
panas!" kata Amina sebelum menamatkan talian.
Tarmidzi bingkas bangun dan mencapai
tshirt putih yang dia sidai di birai katil. Selesai menyarungkan tshirt ke
tubuh, dia mencapai kunci kereta yang berada di atas meja. Laju Tarmidzi
melangkah keluar sehingga menyebabkan rakan sebiliknya kehairanan.
***
Amina gelabah. Sesekali dia meletakkan
tangan ke dahi Hajar untuk merasa suhu tubuh gadis itu. Panas! Buat kesekian
kalinya dia melembabkan tuala dan meletakkan ke dahi Hajar. Risau sungguh Amina
bila melihatkan keadaan Hajar sekarang. Sebenarnya sejak semalam lagi dia sudah
perasaan keadaan Hajar yang nampak tak bermaya. Tapi disebabkan perang
dinginnya dengan Hajar belum berkesudahan, Amina buat pandang tak pandang saja
dengan Hajar walaupun dia perasan Hajar seolah-olah cuba memberitahu sesuatu
kepadanya. Bila sejak petang tadi Hajar terbaring di atas katil tanpa
bangun-bangun, barulah hati Amina diterpa rasa risau. Takkanlah dia nak buat
tak tahu terus bila Hajar mula meracau, bercakap yang bukan-bukan?
Mendengar telefon bimbitnya berbunyi,
Amina laju menjawab panggilan daripada Tarmidzi. Tadi, dia jadi mati kutu bila
tak tahu hendak memanggil siapa. Mujurlah dia perasan telefonnya berkelip-kelip
tanda ada panggilan masuk. Amina menarik nafas lega bila nama Tarmidzi yang
terpampang di skrin. Lupa perang dinginnya dengan Hajar masih belum selesai,
laju Amina meminta bantuan Tarmidzi untuk ke hospital. Huh! Dalam hati geram
juga bila mengingatkan Ismail. Mana lelaki yang selama ni sibuk sangat dengan
Hajar sehingga meninggalkan dia tanpa sebarang kata? Bila dalam kesusahan macam
ni, Amina juga yang memberi bantuan.
Dalam kepayahan, Amina memapah Hajar
sehingga ke kereta Tarmidzi. Terpandangkan wajah Tarmidzi, baru Amina teringat
tindakannya menjauhkan diri daripada lelaki itu. Tindakannya itu bersebab. Dia
malu... cukup malu dengan sikapnya selama ni. Siapa sangka lelaki yang nampak
tak matang dan dia selalu memandang rendah rupa-rupanya punya cita-cita yang
cukup besar? Dan baru semalam dia tahu Tarmidzi merupakan pelajar cemerlang
setiap semester kerana pointernya yang selalu menghampiri four flat. Jadi, dia mahu masa bertenang. Dia mahu berfikir secara
rasional. Dia tak mahu menggunakan Tarmidzi hanya kerana dia kesunyian
ditinggalkan Ismail.
"Mina... Awak dah call mak ayah
Hajar?" soal Tarmidzi sewaktu mereka dalam perjalanan ke hospital.
Amina menggeleng. Gelabah kerana Hajar
yang demam panas sehingga dia tak sempat hendak berfikir apa-apa.
"Nanti sampai hospital, awak
telefonlah. Nampak gaya Hajar macam lemah sangat..."
"Hrm..." balas Amina pendek.
Tarmidzi menjadi mati kutu. Tak tahu
bagaimana hendak terus berbual apabila melihatkan reaksi Amina begitu. Tak puas
hati dengan apa yang berlaku, laju mulutnya menuturkan soalan, "saya ada
buat salah ke dengan awak?" soal Tarmidzi.
Amina sedikit tersentak. "Tak ada
apa. Kenapa?"
"Sebab dah dua hari awak senyap. Saya
mesej, tak reply. Saya call, awak tak angkat. Apa kesalahan
yang saya dah buat?"
Amina menelan air liur. Entah kenapa di
pendengarannya, nada Tarmidzi kedengaran berbeza sekali. Kedengaran marah dan
kecewa.
"Berterus terang, Amina. Janganlah
buat saya macam ni. Saya berusaha sungguh untuk ambil hati awak, tapi awak
seolah-olah tak hargai langsung usaha saya..."
"Miji..." panggil Amina lembut.
Tarmidzi diam. Sedikit sebanyak terasa
lembut hatinya mendengarkan panggilan Amina.
"Saya perlukan masa untuk
berfikir..."
Tarmidzi diam. Menanti kata-kata
seterusnya daripada bibir itu.
"Apa yang berlaku sejak kebelakangan
ni, banyak menyedarkan saya tentang beberapa perkara. Jadi, saya perlukan
masa...”
“Berapa lama?”
Amina menggeleng perlahan. “Saya tak
tahu.”
Tarmidzi menghela nafas berat. Kalau
ikutkan hatinya, mahu saja dia mengajak Amina menikah secepat mungkin. Tetapi,
mungkin dia patut memberikan Amina masa. Kalau sudah jodoh, pasti takkan ke
mana. Tapi kalau tiada jodoh? Mungkin kau patut belajar menerima hakikat, desis
hati Tarmidzi.
“Mina... ambillah seberapa banyak masa
yang awak inginkan. Saya takkan paksa awak. Saya akan berikan awak ruang
sepenuhnya untuk awak berfikir, kalau itu yang awak nak. Dan kalau awak
perlukan saya, awak tahu kat mana nak cari saya.”
Suasana kembali sunyi. Masing-masing
melayan perasaan sendiri sehinggalah kereta memasuki perkarangan hospital.
***
“Aku minta maaf, Mina...” ujar Hajar bila
tersedar dari lena. Amina kaget. Tak sangka Hajar sedar sewaktu dia melawat.
Akhirnya Amina hanya mengangguk. Tak tahu hendak memberikan reaksi yang
bagaimana semenjak hubungan mereka yang dingin kebelakangan ini.
“Dia tinggalkan aku. Dia cakap keluarga
dia dah carikan calon isteri untuk dia. Sampai hati dia, Mina... dia mainkan
aku!” tangis Hajar sungguh-sungguh!
“Aku terima dia dulu sebab aku yakin kau
dengan dia tak ada apa-apa. Dia cakap kau dah bertunang dengan lelaki pilihan
keluarga. Aku minta maaf, Mina. Aku bersalah. Aku tikam kau dari belakang
sedangkan aku tahu kau memang sukakan dia. Aku minta maaf, Mina...” ujar Hajar
lagi.
Amina terkelu. Mujurlah hanya mereka
berdua di dalam bilik ni. Mak Hajar meminta diri untuk ke bilik air semasa
Amina tiba tadi. Amina menggeleng perlahan. Hatinya yang beku mula cair apabila
melihatkan air mata Hajar. Sungguh, dia masih sayangkan sahabatnya ni. Matanya
menjeling tangan Hajar yang kejap memegang tangannya. Seolah-olah tidak mahu
Amina pergi meninggalkannya lagi.
“Aku minta maaf, Mina. Aku sayangkan kau.
Sungguh! Aku rindukan kau. Aku tahu aku bersalah. Aku tahu kau ada hak untuk
buang aku daripada hidup kau. Tapi, aku minta kau satu peluang je lagi, Mina.
Aku nak berkawan dengan kau. Sampai bila-bila...” rayu Hajar.
Amina tersenyum nipis. Akhirnya dia
mengangguk perlahan. Pegangan Hajar dia balas. Semua orang berhak untuk
dapatkan peluang kedua, bukan? Lagipun dengan apa yang berlaku, Amina yakin ada
hikmah yang tersembunyi. Apa yang pasti, makin jelas Ismail bukanlah sebaik
mana bila sanggup mempermainkan perasaan wanita begini.
“Terima kasih, Amina... terima kasih...”
Dan serentak dengan itu, dua sahabat baik
itu berpelukan.
***
Bagai terpandang-pandang nama Tarmidzi
muncul di skrin telefon. Amina menghela nafas berat. Apa sudah jadi, Amina? Bukan
kau ke yang minta masa untuk berfikir? Jadi, kenapa kau pula yang
terpandang-pandang kehadiran Tarmidzi? Amina memandang kalendar meja yang
terletak di tepi meja. Kalau tak silap, minggu peperiksaan Tarmidzi dah habis.
Rasanya, dah boleh dah dia menghubungi Tarmidzi bertanya khabar.
Amina mencari-cari nama Tarmidzi di dalam
telefon. Sebaik saja nama dan nombor Tarmidzi terpampang di skrin, dia
tersenyum di luar sedar. Hajar hanya menjadi pemerhati sejak tadi tersenyum.
Sedikit sebanyak dia rasa gembira melihat Amina yang sudah kembali ceria sejak
kehadiran Tarmidzi. Senyuman Hajar memudar bila melihatkan kerutan di dahi
Amina. Apa pula masalah kawan baiknya ni?
“Kenapa, Mina?”
Amina menoleh ke arah Hajar. “Miji... aku
tak dapat call dia.”
“Peliknya. Kau orang bergaduh ke?”
Amina diam. Gaduh? Tak ada gaduh rasanya.
Cuma dia meminta masa untuk berfikir dan Tarmidzi bersetuju. Yakin mereka tidak
bergaduh, Amina menggeleng perlahan.
“Tak adalah. Last aku contact dia, dia
okey je?”
“Bila last
contact?”
“Dua minggu lepas.”
Hajar menepuk dahi mendengarkan jawapan
Amina. “Kenapa dua minggu lepas? Kenapa bukan semalam?” soal Hajar pelik.
“Err... sebab, aku minta masa untuk
berfikir. Lagipun dia tengah final exam.
Aku tak nak dia leka sangat!”
“Berfikir?”
“Well,
dia selalu ajak aku serius. Mungkin tunang, or kahwin macam tu. Tapi aku selalu
lekehkan dia. Tapi rupa-rupanya...” Amina memejam mata. Wajah Tarmidzi yang tersenyum
muncul di fikirannya.
“Dia bercita-cita besar. Untuk budak
sebaya dengan dia, dia berjaya berdiri atas kaki sendiri. Bila dapat tahu, aku
jadi malu. Sebab tu aku minta masa untuk berfikir. Aku...” Amina kematian
kata-kata.
“Aku...tak nak terima dia sebab dia
buktikan dia berjaya. Bukan budak lelaki yang selalu aku pandang rendah. Aku
rasa bersalah. Aku tak tahulah Hajar...”
Hajar yang mendengar diam. “Dia nampak
baik dan jujur, Mina. Aku rasa dia lebih dari gembira kalau kau bagi dia
peluang...”
“Aku tahu...”
Suasana sepi seketika. Amina masih
bermain-main dengan telefon di tangan. Tidak lama kemudian, tiba-tiba saja
panggilan daripada Tarmidzi masuk.
“Assalamualaikum...” ucap Amina dengan
sedikit debaran.
“Waalaikumsalam Amina...” balas Tarmidzi
di hujung talian. “Sorry saya berebut
sikit tadi. Baru nak angkat call, dah
berhenti.”
“Hrm... awak sibuk ke? Sorry saya ganggu awak.”
“Tak apa Mina. Dah selesai check in dah ni.”
“Check
in? Awak nak pergi mana?” kening Amina sudah bertaut.
“Oh? Saya tak beritahu awak ke?”
“Tak. Last
kita jumpa, dua minggu lepas, Miji. Awak tengah final exam...”
“Oh...! Yeah... saya fikir saya tak patut
sesakkan fikiran awak pasal saya. Sebab tu saya tak beritahu...” ujar Tarmidzi
perlahan. Sedikit bersalah.
“Tarmidzi...! Awak nak pergi mana
sebenarnya?” Jantung Amina mula berdegup kencang. Entah kenapa, terasa bagaikan
Tarmidzi hendak pergi jauh meninggalkannya.
“Austria. Exchange student kat sana selama 1 semester.”
“Satu semester?!”
“Hrmm...”
“Ya Allah Miji... kenapa awak tak beritahu
saya...?” Amina mengeluh berat. Tiba-tiba jiwanya rasa kehilangan. Tarmidzi
sudah berada di airport.
Penerbangannya bakal berlepas bila-bila masa saja. Lagipun, masakan dia hendak
meminta Tarmidzi membatalkan segalanya hanya kerana perasaannya yang gila ni?
“Mina... tak ada apa yang berubah pun.
Lagipun, kita boleh berhubung bila-bila masa je. Teknologi sekarang bukan macam
dulu...” pujuk Tarmidzi. Sedih pula mendengarkan keluhan Amina.
“Tujuh bulan masa yang cukup untuk awak
berfikir siapa saya pada awak, Mina. Dan saya harap bila saya balik nanti, saya
tak perlu tunggu awak lagi. Kita bertunang dan nikah terus!”
Amina diam. Fikirannya semakin serabut.
Jiwanya kacau. Tarmidzi menamatkan panggilan apabila pengumuman untuk
penerbangannya sudah dibuat. Lama Amina berteleku di meja. Tanpa sedar,
tiba-tiba saja air mata bergenang. Saya akan rindukan awak, Miji...
***
19
“Itulah, masa orang tu ada jual mahal
sangat! Bila dah tak ada depan mata, nak makan pun tak ada selera!”
Panas telinga Amina mendengar sindiran
maknya. Namun dia cuba untuk tidak mengambil peduli. Ibarat masuk telinga kanan
dan keluar telinga kiri. Hampir dua bulan Tarmidzi berada di negara orang.
Selama dua bulan itulah mereka bertukar khabar melalui WhatsApp. Sesekali
Tarmidzi menghantar gambar. Sesekali menghantar pesanan suara. Namun semua itu
bukannya membantu. Lagi membuatkan Amina bertambah rindu adalah.
“Mina rasa nak pergi bercutilah, mak...”
ujar Amina tiba-tiba. Spontan kepala maknya berpusing, memandang Amina yang
sedang duduk d meja makan.
“Nak pergi mana? Bukan ke Mina cakap Mina
tengah sibuk sekarang?”
“Sibuk, memanglah sibuk. Tapi... rasa otak
dah tepulah, mak. Mina nak cuti.”
“Ke mana? Austria?”
Merah wajah Amina apabila maknya menyebut
nama negara itu. Malu!
“Kalau pergi sana, agak-agak ayah bagi
tak?”
Mak Amina menjeling Amina. Dia menyudahkan
bilasannya yang terakhir. Kemudian, dia mengelap tangannya dengan tuala bersih
sebelum mengambil tempat di sebelah anaknya itu.
“Mina dengan Miji sebenarnya macam mana
sekarang? Jangan asyik bermain tarik tali... tak elok!”
“Hrm... macam itulah. Kalau ada jodoh, dan
dia ajak Mina serius, insya Allah...”
Bulat mata mak Amina mendengar jawapan
selamba Amina. “Sungguh ni? Tak bohong?”
Amina menguis-nguis bihun yang berbaki di
pinggan. ‘Serius ke aku ni?’ soalnya pada diri sendiri. “Mina serius mak. Dua
bulan dah Mina fikir. Kalau Miji masih sudi, Mina setuju je...”
“Kalau macam tu, nanti mak cakap dengan
ayah. Soal pergi Austria tu, rasanya ayah tak ada masalah. Miji boleh diharap!”
Amina mengangguk perlahan. Turut merasakan
perkara yang sama.
***
Sejuk! Itulah yang Amina rasakan sebaik
saja menjejakkan kaki di bumi Austria. Datang melawat Tarmdzi bila musim sejuk
hampir tiba, memang suhunya sudah mula rendah. Amina membetulkan baju sejuk
yang tersarung di tubuh. Kaki dihayunkan ke arah tempat bas yang bakal
membawanya ke hotel backpackers yang
bakal menjadi tempat tidurnya selama seminggu ini. Tadi, setibanya dia di
Vienna, terus dia menaiki kereta api untuk ke Graz. Kemudian dia menaiki bas
pula untuk ke hotel. Hotel itu bukan saja terletak berdekatan dengan laluan pengangkutan
awam, tetapi juga berdekatan dengan tempat tinggal Tarmidzi.
Kedatangannya tidak dikhabarkan kepada
Tarmidzi. Sengaja Amina hendak membuat kejutan buat lelaki itu. Walaupun mak
dan ayahnya tidak bersetuju dengan tindakannya, Amina keraskan hati. Hari ini
saja dia akan bersendirian. Esok, dia akan berjumpa dengan Tarmidzi dan pasti
selepas ini Tarmidzi akan melayannya ke sana-sini. Itupun kalau Tarmidzi tidak
sibuk sangat. Kalau tidak, dapat makan bersama dengan Tarmidzi sepanjang
keberadaan dia di sini pun sudah memadai.
Mujurlah tidak sesukar mana untuk
mengembara seorang diri sebaik saja tiba di Graz. Dengan berbekalkan peta di
tangan juga sedikit bahasa German yang dia belajar sejak Tarmidzi pergi, Amina
berjaya juga check in di hotel. Perkara pertama yang muncul difikiran sebaik
saja ternampak katil adalah, tidur! Badannya dah terasa sakit-sakit kerana
sudah lama tidak berjalan jauh.
***
Subuh Amina dikejutkan dengan mesej
Tarmidzi di WhatsApp. Awal-awal lagi Tarmidzi sudah menghantar pesanan selamat
pagi. Pelik. Bagai tahu-tahu saja Amina berada dalam zon masa yang sama dengan
dia. Selesai menunaikan solat subuh, laju Amina membongkar beg pakaiannya.
Mencari makanan yang boleh dijadikan alas perut sementara menunggu masa untuk
berjumpa dengan Tarmidzi.
Melihatkan jam sudah menunjukkan pukul
tujuh, cepat-cepat Amina bersiap untuk keluar. Hendak ke tempat tinggal
Tarmidzi sebelum Tarmidzi ke kampus. Amina berjalan ke arah tempat menunggu
bas. Sementara menunggu bas tiba, sempat dia bergambar seorang diri dan
menghantarkan gambar itu kepada Tarmidzi. Belum sempat Amina hendak menyimpan
telefonnya ke dalam beg tiba-tiba telefon itu bergetar dan nama Tarmidi
terpampang di skrin.
“Awak kat mana?” soalan pertama Tarmidzi
sebaik saja salam berjawab.
“Cuba teka?” usik Amina ceria.
“Saya tak ada mood nak main teka-teki,
Amina. Awak ke mana? Kenapa tak beritahu saya?” soal Tarmidzi tegang.
Amina mengetap bibir. Entah kenapa, dia
tak suka dengan nada suara lelaki itu. “Kenapa awak moody ni, Miji?”
“Mana ada saya moody,” balas Tarmidzi dingin.
“Moodylah
kalau bercakap nada tegang macam ni...” ujar Amina lembut. “Saya ada di Graz.”
“You
what?”
Amina ketawa kecil. “Suprise!”
***
“Sikit pun tak cerita pada saya, ya?” ujar
Tarmidzi dengan muka geram. Melihatkan buah hatinya berada di depan matanya,
sedikit sebanyak dia berasa lega. Wajah ceria Amina yang sedang menikmati piza
keju yang dibeli tadi dipandang dengan seribu satu perasaan.
“Kalau cerita, bukan suprise namanya...”
balas Amina ceria. Piza keju dinikmati dengan sepenuh perasaan. Bila Tarmidzi
mengajak dia ke kedai menjual piza tadi, perutnya berbunyi bukan main. Walhal
sudah dua bungkus roti dia bantai masa di hotel tadi.
“Mujur selamat sampai. Kalau jadi apa-apa
tengah jalan semalam, macam mana?”
“Alhamdulillah dah selamat sampai pun,
kan?”
Tarmidzi menggeleng perlahan. Mungkin
Amina menyangka bahawa dia tak tahu langsung tentang kedatangan Amina.
Hakikatnya, mak Amina awal-awal lagi sudah menelefon dia, memberitahu niat
Amina untuk bercuti ke Graz. Dan bila penerbangan Amina berlepas, hampir setiap
setengah jam dia akan track penerbangan Amina. Mungkin Amina tidak tahu,
Tarmidzi senyap-senyap menunggu Amina dari jauh sewaktu penerbangannya tiba di
Vienna. Risau benar dia semalam bila memikirkan keadaan Amina yang travel
seorang diri. Di negara yang dia tak biasa pula tu!
“Jangan buat macam tu lagi. Saya tak suka
tau! Sekurang-kurangnya, beritahu saya kalau nak ke mana-mana lepas ni...”
Amina mengangguk. “Iyalah, pak cik! Kalah
ayah saya, awak ni...”
“Sebab saya sayang. Kalau saya tak sayang,
saya buat tak tahu je...”
Amina tersenyum kecil. Dia menjeling ke
arah Tarmidzi sekilas. Jambang yang mula tumbuh meliar membuatkan dirinya
sedikit berbeza. Hilang sudah rindunya bila memandang wajah Tarmidzi.
“Awak busy ke hari ni? Sorry, kacau
awak...”
Tarmidzi menggeleng. “Tak busy sangat.
Masih boleh melayan awak, Mina...” balas Tarmidzi. Kopi panas yang masih
berbaki separuh dia habiskan. Kemudian dia mengambil sepotong piza yang berada
di antara mereka berdua.
“Kenapa habiskan air dulu? Nanti tersedak
nanti kan dah susah?” tegur Amina.
“Tak apa. Air awak ada lagi, kan?”
Amina diam. Cawan kertas miliknya dijeling
sekilas. Ada separuh lagi.
“Awak nak tengok universiti saya?” pelawa
Tarmidzi. Melihatkan mata Amina yang sudah bercahaya, Tarmidzi ketawa kecil.
Boleh baca jawapan Amina daripada riak wajah gadis itu. Oh Tuhan... bilakah
masanya dia akan menjadi milikku?
***
Amina berjalan di Stadtpark sementara
menanti Tarmidzi selesai dengan kerja-kerjanya. Tiada apa yang hendak di
lakukan, dia hanya berjalan seorang diri sambil melihat bberapa monumen dan air
pancut yang menjadi daya tarikan di Stadtpark. Berada dalam taman ini
membuatkan Amina tidak terasa yang dia sedang berada di tengah bandaraya.
Pokok-pokok dan rumput yang menghijau seolah-olah dia berada di dalam dunia
lain.
Amina memandang ke arah langit. Cahaya
matahari masih kelihatan walaupun tidak seperti di Malaysia. Patutlah kulit
Tarmidzi semakin cerah. Penat berjalan, Amina duduk di kerusi yang terdapat di
situ. Tak tahan dengan suhu yang rendah dan juga mati kutu kerana berjalan
seorang diri, akhirnya Amina mendapatkan bas untuk pulang ke hotel.
Malam, Tarmidzi menjemput Amina di hotel
untuk makan malam bersama. Mereka hanya menaiki kereta api untuk ke kedai arab
terdapat di bandaraya Graz ini. Amina hanya menjadi pemerhati apabila Tarmidzi
membuat pesanan di dalam bahasa Jerman. Entah apa agaknya yang dia cakap. Amina
bukannya faham sangat. Bahasa Inggeris pula memang kurang digunakan. Kata
Tarmidzi tadi, sewaktu dia ke masjid pun, kalau tidak bahasa Jerman, mereka
berkomunikasi dalam bahasa Arab.
“Jadi sebenarnya, kenapa tiba-tiba awak
datang sini? Rindukan saya?” soal Tarmidzi sementara menunggu makanan tiba.
Amina tersenyum. Nak cakap apa? Takkan nak
cakap Mina rindukan Mijinya? Malulah dia! “Saya rasa nak bercuti. Memandangkan
awak kat sini, boleh saya berjalan ke sini sekali...”
Tarmidzi merenung wajah Amina lama. “Boleh
percaya ke?” soal Tarmidzi.
Amina mengangguk yakin. “So, macam mana
awak dekat sini? Okey?”
“Okey je. Research yang saya buat pun
berjalan baik. Pensyarah pun supportive dan constructive.”
“Oh... tak ada jumpa awek baru?”
“Awak nak saya cari ke?”
Nyaris tersedak Amina mendengar soalan
Tarmidzi. Baru niat hendak mengusik, dia pula yang diusik. “Tak naklah...”
balas Amina perlahan.
Tarmidzi menahan senyum. Amina, susah
sangat hendak meluahkan apa yang dia rasa. “Kenapa tak nak?” uji Tarmidzi lagi.
Amina mengetap bibir. Apa yang patut dia
jawab? “Hrm... sebab... kalau awak jumpa orang lain, saya dengan siapa pula...”
Lebar senyuman Tarmidzi mendengarkan
jawapan Amina. Pelayan yang tiba membawa makanan mereka membuatkan perbualan
mereka terhenti. Selepas membaca bismillah, laju Amina menyuap kebab ke mulut
sebaik saja pelayan itu pergi. Sejak siang tadi perut dia sudah menyanyi.
Tarmidzi memerhatikan tingkah Amina tanpa henti.
“Mina...”
“Hrm?” Amina mengangkat muka. Wajah
Tarmidzi yang nampak serius dia pandang.
“Tak ada apalah. Makan dulu...” ujar
Tarmidzi. Seperti Amina, dia turut menikmati kebab di hadapannya. Makan malam
mereka hanya diserikan dengan bunyi sudu dan garfu yang berlaga dengan pinggan
kaca. Sesekali diselikan dengan suara orang yang berbual. Amina dan Tarmidzi
sama-sama fokus dengan makanan mereka tanpa sebarang suara.
“So...” Amina memecahkan sepi di antara
mereka. Tarmidzi yang baru lepas menyedut jus miliknya mengangkat kening.
Menunggu Amina meneruskan kata-katanya.
“Apa yang awak nak cakap tapi terhenti
tadi?” soal Amina dengan penuh minat.
Tarmidzi meletakkan gelas berisi jus di
sebelah pinggan. Dia menarik nafas dalam. Agak-agak Amina marah tak dengan
perancangan gilanya?
“Saya ada benda nak cakap.”
“Okey... apa dia?” Dada Amina mula
berdebar hebat. Baru sehari dia di sini, Tarmidzi sudah membuatkan jantungnya
berdegup kencang macam ni.
Tarmidzi merenung ke dalam mata Amina.
“Mina... kita kahwin?” ujar Tarmidzi senafas.
Dunia seakan berhenti berputar. Fikiran
Tarmidi mula menggila membayangkan jawapan yang bakal keluar daripada mulut
Amina. Pertama, macam mana kalau Amina mentertawakan dia dan menolak tanpa
sebarang alasan? Kedua, bagaimana pula kalau Amina tiba-tiba menyatakan bahawa
dia sudah ada lelaki lain? Ataupun kembali kepada Ismail? Ketiga, bagaimana
kalau Amina hanya menganggap dia sebagai kawan dan tidak lebih daripada itu?
Tarmidzi menelan air liur.
“Okey,” suara Amina mengembalikan Tarmidzi
ke alam nyata. Mata Tarmidzi membulat.
“Awak cakap apa?” soal Tarmidzi tidak
percaya. Amina cakap ‘okey’ kan tadi?
“Saya jawab okey. Awak ajak saya kahwin,
kan? Okey. Saya setuju,” jelas Amina.
Dalam hatinya, hanya Tuhan yang tahu
betapa terkejutnya dia bila Tarmidzi mengajaknya berkahwin. Lelaki yang tidak
pernah berputus asa. Lelaki yang berjaya membuka pintu hati Amina untuk
menerima dirinya. Lelaki yang berusaha membuktikan dia boleh berdiri di atas
kaki sendiri dan menjaga Amina dengan sebaik mungkin. Jadi, Amina tidak
berfikir panjang untuk menerima lamaran tak rasmi Tarmidzi. Mengingatkan
perbualan dia dengan maknya sewaktu di Malaysia, Amina semakin yakin dengan
keputusannya.
“Okey...” Tarmidzi kehilangan kata-kata.
Tak sangka sekali dengan jawapan Amina. “Mak dengan ayah kita dalam perjalanan
ke sini,” sambung Tarmidzi.
Amina mengerutkan dahi. “Maksud awak?”
***
Bagaikan mimpi! Itu yang dirasakan Amina
sebaik saja dia selesai bergelar isteri Tarmidzi. Tak sangka, niatnya untuk
membuat kejutan untuk Tarmidzi rupa-rupanya menjadi kejutan besar buat dirinya.
Amina memandang Tarmidzi yang berjalan di sebelah. Kehangatan yang mengalir
daripada tangan Tarmidzi ke tangannya menyedarkan Amina yang semua ini bukan
mimpi.
Semalam pagi penerbangan ibu bapa mereka
tiba di Vienna. Tersenyum-senyum kedua-dua pasangan suami isteri itu apabila
melihat Tarmidzi dan Amina menunggu berdua. Amina sudah tak tahu hendak
letakkan muka di mana. Dulu sewaktu ayah Tarmidzi merisik dia untuk Tarmidzi,
dia menolak tanpa berfikir panjang. Kali ini pula, tiba-tiba saja dia
bersetuju. Entah apalah agaknya yang orang tua itu fikir.
Dan pagi tadi, mereka di nikahkan di
Islamic Centre yang terdapat di Graz. Majlis pernikahan yang ringkas yang
dihadiri oleh ibu bapa masing-masing. Amina hanya ikutkan saja perancangan
Tarmidzi. Entah kenapa, dia tidak rasa hendak membantah. Doa apalah agaknya
yang dibaca oleh Tarmidzi untuk melembutkan hati dia.
“Jauhnya termenung. Abang cakap pun tak
dengar...” rungut Tarmidzi. Amina menoleh ke arah Tarmidzi di sebelah. Lancar
saja lidah dia membahasakan diri sebagai abang.
“Terkejut lagi dengan semua ni...” ujar
Amina lalu ketawa kecil.
“Abang minta maaf sebab tak minta pendapat
Mina. Mujurlah Mina setuju je bila abang buat keputusan...” ujar Tarmidizi lalu
menarik rapat tubuh Amina ke arahnya. Berada di luar negara, menunjukkan kasih
sayang di tempat terbuka bukanlah suatu perkara yang ganjil. Bahkan, Tarmidzi
semakin bangga apabila berjalan dengan Amina sebagai suami.
“Mina okey je. Kalau tak, mesti dah balik
Malaysia sekarang.”
Tarmidzi ketawa kecil. Bahagianya hati dia
sekarang, hanya Tuhan yang tahu. “Kalaulah Mina tinggal dengan abang, boleh
abang bawa Mina berjalan. Honeymoon.”
“Tak apa. Lain kali pun boleh. Kita
sama-sama ada tanggungjawab lain. Itulah! Abang yang tak sabar sangat nak
menikah!”
“Benda baik, kan? Apa salahnya...?
Bukannya baru ini abang ajak kahwin. Lebih dari tiga bulan lepas rasanya”
Amina tersenyum. “Iyalah. Jom, cepat!
Bising nanti mak-mak kita tunggu barang tak sampai-sampai...”
Tarmidzi ketawa. Teguran Amina menyedarkan
tentang tujuan mereka berdua keluar tadi. Langkah dipercepatkan untuk menuju ke
rumah dengan tangan membawa barangan dapur yang dikirim oleh maknya tadi.
***
“Jaga diri...”
Amina mengangguk.
“Jangan nakal-nakal...”
Angguk lagi.
“Rindukan abang...”
Serentak dengan itu, air Amina luruh.
Percutiannya selama seminggu berakhir juga. Jari Tarmidzi menyapu lembut air
mata isterinya yang sudah membasahi pipi. Sejak berkahwin dengan Amina, semakin
banyak perkara tentang diri Amina yang dia pelajari. Tubuh Amina didakap erat.
Hampir seminggu menjadi suami Amina, merupakan waktu yang paling membahagiakan.
Amina membalas pelukan Tarmidzi. Dia akan merindui lelaki ini sehinggalah
lelaki ini kembali ke tanah air untuk menamatkan ijazahnya.
“Nanti kita skype, WhatsApp, WeChat,
Facetime, semualah!” ujar Tarmidzi.
Amina ketawa kecil. Rasa panas mukanya dek
kerana menangis. Tetapi menangis kerana berpisah dengan suami rasa berbeza
dengan sewaktu mereka berpisah dua bulan lepas. Hidung Amina ditarik lembut.
Kucupan demi kucupan dia hadiahkan di dahi dan kedua belah pipi isterinya.
“Allah akan jaga kita. Insya Allah, enam
bulan lagi abang balik...”
Amina mengangguk. Semangatnya dikuatkan.
Sayang isteri, tinggal-tinggalkan. Amina bersalam dengan Tarmidzi sebelum masuk
ke balai perlepasan. Ibu bapa mereka yang sudah menunggu dari dalam hanya
tersenyum simpul.
***
Enam bulan berlalu....
Amina terjenguk-jenguk dari luar balai
ketibaan, mencari susuk tubuh suaminya yang sudah hampir enam bulan tak
bertemu. Mujurlah teknologi sekarang di hujung jari, jadi hampir sepanjang masa
mereka berhubung. Bercinta. Enam bulan yang memenatkan perasaan dan memeritkan
jiwa. Ditambah pula apabila Amina disahkan bunting pelamin. Rosak terus plan
untuk membuat majlis besar-besaran untuk mereka berdua.
Tarmidzi menolak troli yang sarat dengan
muatan. Matanya melilau mencari Amina di luar. Sebaik saja terpandang wajah
manis itu, bibir Tarmidzi membentuk senyuman. Semakin lebar apabila
pandangannya jatuh ke arah perut isterinya yang sudah mula membulat.
Alhamdulillah, selamat sudah satu semester berada di negara orang. Selamat
sudah dia bergelar suami orang. Dan alhamdulillah atas rezeki yang Allah
kurniakan tanpa disangka-sangka. Mujurlah mak ayah dan mak ayah mertuanya sporting, membantu dia menjaga Amina di
sini.
Tarmidzi mempercepatkan langkah menuju ke
arah Amina. Laju Amina menghulurkan tangan untuk bersalam dan mereka berpelukan
melepaskan rindu. Tarmidzi mengusap lembut perut Amina. Yang ini memang tiada
dalam perancangan. Bagai bermimpi bila lagi tiga bulan dia bakal mempunyai anak
sendiri.
“Mina sihat?”
Amina mengangguk. Hilang segala kepenatan
apabila melihat sang suami di depan mata.
“Jom, kita balik...” ajak Tarmidzi. Tangan
Amina dicapai dan mereka berpimpinan tangan menuju ke pintu keluar. Sebuah
teksi sudah menunggu mereka berdua. Memang sengaja Tarmidzi tidak membenarkan
Amina memandu sendiri. Risau benar bila mengingatkan isterinya itu sedang
mengandung,
“Mak dengan ayah ada dekat rumah ke?”
“Haah. Sibuk menguruskan persiapan majlis
esok.”
Tarmidzi mengangguk. Majlis yang dikatakan
Amina merupakan majlis doa selamat untuk mereka berdua. Tarmidzi mengusap-usap
tangan Amina yang berada di dalam pegangannya. Bagai tidak mahu dilepaskan.
Sesekali dia menjeling ke arah Amina. Si penyejuk mata dan hatinya.
Mudah-mudahan anak di dalam kandungan itu nanti turut menjadi penyejuk mata dan
hati.
“Terima kasih...” ucap Tarmidzi perlahan.
Rasa tak cukup dengan terima kasih untuk dia ucapkan buat Amina. Kesediaan
Amina menjadi isterinya juga pengorbanan Amina membawa zuriatnya seorang diri
selama enam bulan ini membuatkan dia rasa terharu.
“Hrm? Terima kasih kenapa?” soal Amina
walaupun sudah boleh diagak apa yang Tarmidzi maksudkan.
Tarmidzi memeluk Amina mesra. “Terima
kasih untuk segala-galanya.”
“Sama-sama kasih, abang. Welcome home...” bisik Amina perlahan.
Tarmidzi mengganguk. Senyum.
“I’m
home...”
~Home is where the
heart is~
.
Start:
201508
End:
201512
6 comments:
Best....hehe.
So sweet!! Thank you for the awesome cerpen!
Thumbs up!
Best >.<
Menarik sangat! Lama mnunggu n3 baru dpt minji ni sgt superb
Sis serius best! rindu gile dengan kasih suci sume tu. keep it up!
Post a Comment