::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

20 December 2015

E-cerpen: Mina & Miji



01
"Saya suka awak!"
Amina memandang wajah lelaki yang berdiri di hadapannya. Wajah yang serius meluahkan perasaan itu membuatkan mata Amina membulat.
"Saya serius. Saya minta awak beri peluang untuk saya buktikan pada awak..."
"Heh..."
Amina menggeleng perlahan. Tak sangka lelaki yang terlanggarnya di perpustakaan universiti itu berani berkata begitu. Bukanlah Amina nak merendahkan lelaki itu... tetapi, belajar pun belum habis, sudah berani hendak meluahkan perasaan begini pula.

"Grow up!" tegas Amina lalu berlalu menuju ke bangunan akademik. Ada temu janji dengan Prof. Syahir untuk membincangkan tentang projek pengajian sarjananya.
Tahun lepas, sebaik saja tamat pengajian, hampir setengah tahun juga dia menganggur. Tak tahan melihat Amina bersenang-lenang di rumah, ayahnya menyuruh dia menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Sebagai anak yang menurut kata, Amina menerima cadangan ayahnya tanpa banyak soal. Tambahan pula, dia tak perlu runsing memikirkan duit pengajian bila ayahnya berjanji untuk menanggung yuran dan memberikan duit belanja harian.
Berjalan ke bangunan akademik seorang diri membuatkan ingatan Amina melayang teringatkan Tarmidzi. Masuk tadi, sudah tiga kali lelaki itu meluahkan perasaannya. Ergh! Sungguh dia tak berkenan! Kenapalah lelaki sekarang berani tak bertempat? Entah apa yang dia suka sangat padanya pun, Amina tak tahu. Takkanlah peristiwa terlanggar di perpustakaan menyebabkan hati lelaki itu jatuh bersama barang-barangnya?
***
02
Amina sibuk membaca satu demi satu kertas jurnal yang dia muat turun daripada internet. Semalam, selepas berbincang dengan Prof Syahir, supervisornya itu meminta dia menambah lagi jurnal untuk kajiannya. Belum cukup, kata Prof Syahir.
Amina menggeliat kecil apabila terasa letih setelah duduk hampir tiga jam di dalam perpustakaan. Dia menjeling ke arah jam di pergelangan tangan. Sudah hampir pukul enam. Solat Asar pun dia belum dirikan lagi. Sedar masa makin laju meninggalkan dia, Amina bangun dan menuju ke surau yang terletak di luar perpustakaan. Barang-barangnya dibiarkan saja di atas meja. Semenjak dia belajar di sini, belum pernah lagi ada barang yang hilang di dalam perpustakaan.
Selesai menunaikan solat, Amina kembali ke mejanya. Bibirnya menguntum senyuman apabila terpandangkan sweater hitam terletak elok di atas kerusinya. Sehelai nota merah jambu yang ditindih dengan bekas penselnya dia capai.
'Datang nak melawat you. Tapi you tak ada. I ada bawakan roti dengan air minuman. Jangan lupa makan/minum. ;) -Ismail-'
Amina meletakkan kembali nota itu di atas meja. Dengan berhati-hati dia mengangkat sweater yang Ismail gunakan untuk menutup roti dan air yang dia bawakan tadi. Dalam perpustakaan ni tak dibenarkan membawa makanan dan minuman. Jadi salah satu cara Ismail memastikan perutnya tidak kosong adalah dengan cara beginilah. Amina tersenyum sendiri. Mujur dia duduk di tempat yang terceruk, jadi mudahlah dia mencuri-curi makan.
Amina menyambung tugasannya kembali. Bunyi kerusi di kubikel sebelah yang ditarik membuatkan perhatian Amina teralih. Dia memandang manusia yang duduk di kubikel sebelah yang sememangnya kosong sejak tadi. Melihatkan senyuman Tarmidzi, moodnya terus hilang. Argh!
***
03
"Awak buat apa kat sini?" soal Amina kasar.
"Belajar. Tak salah rasanya saya gunakan perpustakaan ni untuk belajar?" balas Tarmidzi selamba.
Amina merengus geram. Sudah pukul enam baru nak datang belajar. Duduk kubikel sebelah pula tu! Melihatkan Tarmidzi sudah fokus dengan kerjanya, takkan dia pula yang nak balik? Lagipun, bukannya Tarmidzi mengganggunya pun. Sekadar duduk di kubikel sebelah saja. Amina menarik nafas dalam. Fokus Mina, fokus!
"Mina..." tiba-tiba terdena satu suara dari sebelah. Amina spontan menoleh. Melihatkan senyuman Tarmidzi, dia mengetap bibir geram.
"Nak apa?" soal Amina kasar.
"Dah masuk waktu maghrib. Jangan lupa solat ya..." ujar Tarmidzi lalu bangun dan berlalu pergi.
Amina terpempan. Rasa bersalah pula kerana berkasar sedangkan Tarmidzi mengingatkannya kepada tanggungjawab seorang muslim. Dia menjeling ke sekeliling perpustakaan. Terpandangkan langit sudah mula gelap melalui tingkap, memang benar waktu maghrib sudah masuk. Tak sedar masa terlalu jauh meninggalkannya. Bila dia larut dalam dunianya sebentar tadi.
Amina sudah bersedia untuk bangun. Bunyi mesej yang masuk ke telefonnya menyebabkan pergerakannya terhenti. Bibirnya menguntum senyum bila terpandangkan nama Ismail di skrin.
'I ambil you depan library pukul 8. Kita dinner.' –Ismail-
Pendek saja pesanan Ismail namun itu sudah cukup membuatkan hati Amina menggedik suka.
Ismail tu... bukannya baru sebulan dua Amina kenal. Tetapi hampir tiga tahun lamanya. Masa itu, Amina masih lagi bergelar mahasiswa yang sibuk untuk mendapatkan ijazah sarjana muda. Perkenalan dengan Ismail pun bila Ismail menjadi supervisor untuk projek kumpulan di tahun dua. Pensyarah muda, kacak dan bergaya... hati gadis mana yang tak suka?
Cuma dulu, Ismail tak pernah kisah pun dengan kewujudan Amina. Dan Amina tahu pada waktu itu Ismail sudah punya kekasih hati. Tetapi sejak dia menyambung pelajaran ke peringkat sarjana, hubungan mereka tiba-tiba menjadi semakin rapat. Perhatian yang Ismail berikan menyebabkan perasaan Amina menjadi lain bila bersama lelaki itu.
Laju jari Amina berlari di atas skrin. Mesej daripada Ismail dia balas. Kemudian, Amina mengemas barang-barangnya sebelum turun untuk ke surau. Malas rasanya hendak masuk kembali ke perpustakaan. Lebih baik dia menunggu Ismail di luar saja nanti.
"Jom solat jemaah..." usik Tarmidzi lalu mengenyitkan mata.
Amina mencebik. "Mengada-ngada!" balasnya lalu menolak pintu surau wanita.
Tarmidzi ketawa senang hati. Keras benar hati seorang Amina ni untuk dia leburkan. Langsung tak pernah pandang dia sedangkan dia sudah jatuh hati pada Amina sejak dia bertandang ke rumah wanita itu tiga tahun yang lalu...
***
04
Kenangan 3 tahun lalu bagai diulang tayang di fikitan Tarmidzi. Masa itu dia mengikut keluarganya menziarahi sahabat lama ayahnya yang sudah bertahun tak berjumpa selepas tamat belajar.
Sewaktu dia dan keluarganya tiba di rumah Amina, Tarmidzi sudah terpandangkan seorang gadis yang sibuk dengan pembacaannya di pondok kayu di tepi rumah. Kehadiran dia dan keluarganya langsung tak diambil peduli. Gadis itu hanyut dalam dunianya sendiri.
"Mina!" jerit suara ibu Amina dari dalam rumah.
Pada saat itulah Amina mengangkat muka dan berbalas pandangan dengan Tarmidzi. Pandangan yang membuatkan anak teruna yang baru berumur tujuh belas tahun jatuh hati. Namun kehadiran Tarmidzi sedikit pun dia tidak endahkan.
Tarmidzi memandang Amina yang menaiki sebuah kereta mewah dari jauh. Nafasnya dihela perlahan. Siapalah dia kalau hendak dibandingkan dengan lelaki itu. Dia masih lagi berusaha untuk berjaya sedangkan Ismail suda punya segala-galanya. Apa lagi cara agaknya yang perlu dia lakukan untuk menarik perhatian Amina?
Langkah diatur perlahan-lahan menuju ke perpustakaan. Telefon bimbit yang tiba-tiba berbunyi mematikan pergerakannya. Laju dia mengeluarkan telefon dari kocek seluarnya.
Wahab is calling...
Butang hijau ditekan. Harap-harap ada khabar gembira yang dibawa lelaki itu.
"Helo, Miji..."
"Hah... macam mana?"
"Aku dapat job baru untuk kau."
Dan khabar itu membuatkan Tarmidzi menarik nafas lega.
***
05
Amina memandang wajah lelaki di hadapannya dengan senyuman yang tidak lekang daripada bibir. Bila bersama dengan Ismail, pasti dadanya berdebar tak tentu hala. Tetapi Amina bijak menyembunyikan rasanya. Tidak tidak mahu persahabatan yang baru terjalin ini rosak kerana dia.
"You tengok I macam tu... tak akan sampai makanan you, Mina..." tegur Ismail bila terperasan Amina leka memandangnya.
"Iya? Tengok you... buat I terlupa yang I masih belum pesan apa-apa," balas Amina lalu membelek menu di tangan.
Ismail menggeleng perlahan. Ada-ada saja jawapan gadis manis ini.
"Kenapa tak ajak roommate you sekali tadi?"
Amina menjeling Ismail sekilas. Tak senang bila lelaki itu bertanya tentang Hajar, rakan sebiliknya.
"You lupa ke you ambil I dekat mana tadi... ada Hajar ke dekat situ?" Soal Amina geram. Nada Amina yang berubah membuatkan Ismail tersenyum nipis. Cemburulah tu!
"Sorry... janganlah marah. Hilang cantik you bila marah..."
Amina kembali sejuk. Mujur Ismail pandai memujuk. Kalau tidak, pasti dia minta Ismail menghantar dia balik sekarang juga.
"Tapi... boleh I minta nombor Hajar daripada you?" Soal Ismail selamba.
Amina merenung Ismail geram. "Nak buat apa?"
Nada suaranya dikawal agar tidak kedengaran terlalu berbeza. Dia geram. Geram yang teramat sangat! Dah kenapa ajak dia keluar tetapi bertanya tentang perempuan lain? Bertanya tentang rakan sebiliknya pula tu. Menyesal kerana memperkenalkan Hajar pada Ismail dulu.
"Kenapa I nak beritahu you, apa yang I nak buat dengan nombor dia?" Soal Ismail kembali.
Amina tersentak. Soalan Ismail bagai menyedarkannya yang dia tiada hak untuk mempersoalkan tindakan Ismail. Amina menaharan rasa hati. Susah benar lelaki ini hendak nampak rasa cinta yang ada dalam hati Amina. Apa lagi yang dia perlu lakukan untuk menarik perhatian Ismail?
***
06
Amina merengus geram. Geram bila ayahnya meminta dia pulang setelah dia berjanji untuk keluar dengan Ismail hujung minggu ini. Amina menjeling jam di telefon bimbit. Sudah pukul tiga petang. Selalunya kalau dia balik ke rumah di hujung minggu, tepat pukul lima dia sudah bergerak dari kampus.
Ibu jari Amina berlari-lari di atas skrin telefon. Nama Ismail yang terpampang di aplikasi WhatsApp dia pandang lama. Macam mana ni? Dia sudah berjanji dan dia sendiri yang mengajak Ismail keluar esok. Tetapi... dia juga anak yang menurut kata. Selagi Ismail belum bersalam dengan ayahnya untuk melafazkan akad, selagi itu dia di bawah tanggungjawab ayahnya. Dan tiada alasan untuk dia menolak permintaan ayahnya. Lagi-lagi bila ayah mengatakan, kawan boleh jumpa lain kali. Amina meletakkan kepala ke atas meja. Entah apalah yang penting sangat sampai dia kena balik ni.
'You masih di library?'
Mesej yang baru masuk daripada Ismail mengejutkan Amina. Bagai tahu-tahu saja yang Amina sedang berfikir tentang dia. Akhirnya Amina mengalah. Nama Ismail dia tekan dan sebuah panggilan dia buat untuk bercakap dengan lelaki itu.
"Yes, Amina?"
"You..." Amina menggigit bibir.
Apa dia? Ini mesti ada apa-apa ni?"
"Haah. Ayah I minta I balik weekend ni..."
"So....?"
Amina menghela nafas berat. "I tak dapat keluar dengan you esok. Sorry Is..."
"Oh.. tak apalah. Nak buat macam mana. Kalau macam tu, kita jumpa Isnin nantilah..." tenang Ismail memutuskan.
"Sorry, Is. Walhal I yang beriya-iya ajak you keluar..."
"Perkara kecil, Amina. Ada apa ayah you suruh balik ni? Ada orang masuk meminang ke?"
"Choi! You jangan nak cakap bukan-bukan...!" Amina sedikit terjerit.
Ismail hanya ketawa dihujung talian. " Apa salahnya? You bukannya makin muda..."
"Eee.... you ni kan. Habis you tu muda lagilah? Pandai-pandai je cakap orang."
"I tak apa. I lelaki. Life begins at 40..."
"Iyalah tu. Ok Is. I betul-betul minta maaf. Nanti I belanja you dinner ok?"
"Ok. I tunggu..."
Talian ditamatkan. Amina tersenyum senang. Namun teringatkan kata-kata Ismail tadi, resahnya datang kembali. Takkanlah ada orang nak masuk meminang. Tak mungkin... tak mungkin...
***
07
Bulat mata Amina memandang wajah ayahnya. Khabar yang disampaikan oleh ayahnya itu benar-benar memberi kejutan buat dirinya.
"Betul ke, Fa? Ada orang nak masuk meminang Fa?" soal Amina kepada adiknya, Fatima.
Fatima tersengih malu. Kepalanya dianggukkan perlahan.
"Siapa? Akak kenal tak kawan Fa tu? Amboi Fa.. sampai hati Fa rahsiakan daripada akak ya..." rajuk Amina.
Fatima sekadar tersenyum. Tahu rajuk kakaknya tidak akan bertahan lama.
"Fa kawan dengan anak Uncle Kamal tak lamalah... tiba-tiba minggu lepas dia cakap nak ajak mak dengan ayah dia datang rumah. Itu sebab yang Fa beritahu ayah..."
Amina mengangguk perlahan. Fahamlah sudah maksud ayahnya yang kawan boleh jumpa lain kali. Tetapi perihal keluarga, tidak ada yang berlain-kali.
"Tapi... siapa Uncle Kamal tu?" Soal Amina. Pelik bila adiknya selamba menuturkan nama Uncle Kamal bagaikan sudah lama kenal.
"Mina... kamu lupa ke Uncle Kamal tu kawan lama ayah?" Tegur mak Amina. "Kan dia ada datang rumah dengan keluarga dia dulu..."
Amina menggosok lehernya lembut. "Tak ingatlah mak. Mungkin Mina dekat kampus agaknya..."
"Hish... tak adalah. Kamu ada duduk dekat pondokn baca buku. Mak siap jerit panggil kamu bersalam dengan Auntie Kamar..."
Amina mengerutkan dahi. Sungguh dia tak ingat langsung!
"Anak dia ada seorang tengah belajar dekat universiti kamu. Tarmidzi namanya..." ujar ayah Amina.
Amina bagaikan ditarik ke alam realiti. Sepotong nama itu mengingatkannya kepada seseorang. Seseorang yang pernah menuturkan, 'Saya suka awak!' Tarmidzi!
"Habis tu... yang nak kahwin dengan Fa ni... Tarmidzi tu ke?" Soal Amina sedikit terkejut.
Fatima menggeleng. "Abang dia... Muslim."
"Berapa umur Muslim tu, Fa?"
Fatima senyum bersalah. "Tua tiga tahun dari kak Mina..."
Dan jawapan Fatima menyebabkan rahang Amina jatuh.
***
08
Meriah rumah Amina walaupun sekadar majlis pertunangan yang bakal berlangsung. Tarmidzi menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya lalu di sangkutkan ke kocek kemeja. Langkahnya diatur perlahan menuju ke rumah Amina. Kalau kedatangannya tiga tahun dulu sekadar menziarahi ayah Amina yang merupakan kawan lama ayahnya, kedatangannya kali ini adalah untuk bersama-sama meminang adik Amina untuk abangnya, Muslim. Siapa sangka, dalam diam Muslim memikat Fatima. Dia yang tiga tahun memendam perasaan pun masih belum berjaya memikat Amina.
"Assalamualaikum..." ayah Tarmidzi memberi salam dan disambut oleh ayah Amina. Selepas di jemput masuk, rombongan yang mewakili Muslim duduk di atas lantai yang sudah dibentangkan karpet.
Tarmidzi sekadar menjadi pemerhati dan juga pendengar. Matanya sesekali menjeling ke arah dalam rumah. Mencari kelibat Amina. Namun hampa. Sesekali Tarmidzi tersenyum bila pandangannya berlaga dengan pandangan mak Amina. Mujurlah mak cik turut tersenyum. Kalau dia tahu yang Tarmidzi mencari Amina, entah apa pula tanggapannya nanti.
"Mawar di rumah kami ada dua kuntum. Mawar mana yang menjadi idaman sang kumbang?" Soal ayah Amina berkias.
Tarmidzi menjeling ke arah ayahnya. Abang berkenan dengan mawar kecil. Miji berkenan dengan mawar yang mekar, yah! Balasnya di dalam hati. Kemudian dia ketawa sendiri. Kalau dia buat kerja gila, meminta ayah risikkan Amina untuk dia, agak-agak ayah pengsan tak?
Tarmidzi menjeling lagi ke dalam rumah. Tiba-tiba Amina muncul dari dalam. Tarmidzi terpaku. Bagaikan tahu dirinya sedang diperhatikan, Amina mengangkat muka dan pandangannya berbalas dengan pandangan Tarmidzi. Setelah tiga tahun berlalu, Tarmidzi bagaikan jatuh cinta lagi!
***
09
"Hai..." tegur Tarmidzi bila terserempak dengan Amina di kafe.
Pelik. Selalunya dia nampak gadis ini berdua. Kalau tidak bersama dengan Ismail, pasti dia bersama dengan seorang gadis yang Tarmidzi yakin rakan baik Amina.
Amina menjeling ke arah Tarmidzi. Ada pula lelaki ini di sini. Sekilas dia memerhatikan Tarmidzi dari atas ke bawah. Kemas saja gayanya. Dengan ramput yang disikat rapi juga cara pemakaian Tarmidzi, membuatkan lelaki itu nampak matang.
"Hrm..." balasnya malas. Bukan dia rajin sangat hendak melayan Tarmidzi. Tetapi mengingatkan Muslim sudah pun mengikat tali pertunangan dengan Fatima, rasanya dia pun patut melayan Tarmidzi dengan baik. Nanti apa pula kata ibu bapa Tarmidzi kalau mereka tahu sikap dingin Amina terhadap Tarmidzi.
"Boleh saya duduk sekali?"
Amina menjeling ke sekeliling kafe. "Tak ada meja lain yang kosong ke?" Balasnya dingin.
Tarmidzi tersenyum sumbing. "Ada... tapi kesian tengok awak makan seorang diri. Saya temankan, ya?"
Amina mengetap bibir. Akhirnya kepala dianggukkan perlahan. Hari ini memang dia kerseorangan. Hendak mengajak Ismail makan, Ismail tiada di kampus. Hendak mengajak Hajar, ada saja alasan rakan sebiliknya itu.
"Selalu nampak awak dengan kawan. Mana kawan-kawan awak?"
Amina merengus geram. Sudu dan garfu yang dipegang diletakkan ke atas pinggan.
"Awak... kalau nak makan tu, makan je. Jangan banyak tanya!"
Tarmidzi tersenyum lagi . "Mestilah kena tanya... saya ni prihatin dekat orang yang saya suka, tau!"
Amina menjulingkan mata. Malas hendak melayan Tarmidzi. Dah mula lah tu!
"Makan je tak payah banyak cakap..." balas Amina perlahan
"Awak ni garang betul dengan saya..."
Amina menjeling. "Dah tu? Kenapa masih berani kacau saya?"
Tarmidzi tersengih. "Sebab saya suka?"
"Heh..." Amina mencebik. "Cari kerja dulu, dah ada duit sendiri baru berani nak suka anak dara orang."
"Kalau dah ada kerja dan dah ada duit sendiri?" Uji Tarmidzi.
Amina memandang Tarmidzi lama. Apa maksud lelaki ni?
"Nanti saya minta mak dengan ayah merisik awak, jangan menolak pula..." meleret saja nada suara Tarmidzi.
Amina menjeling geram. "Jangan nak buat sesuka hati awak. Nak mak dengan ayah awak dapat malu?" Ugut Amina.
"We will see..."
***
10
Panggilan telefon daripada ayahnya tadi benar-benar memgejutkan Amina. Mana tidaknya, tiba-tiba saja ayahnya bertanya kalau dia sudah mempunyai teman lelaki atau belum. Hendak jawab 'sudah', siapa pula orangnya? Lelaki di hadapannya ini pun tak pernah pula kata apa-apa.
Amina menyimpan kembali telefonnya ke dalam beg. Wajah Ismail yang sedang berselera menikmati makan malam dia pandang dengan seribu satu perasaan. Panggilan daripada ayahnya tadi membuatkan dia risau. Lagi-lagi mengingatkan kata-kata Tarmidzi beberapa minggu lepas. Hish...
"Kenapa tak makan?" Soal Ismail bila terpandang Amina asyik merenungnya. Renungan kali ini bukan seperti selalu. Renungan kali ini nampak Amina seolah-olah menyimpan masalah sedangkan selalu Amina akan memandangnya dengan penuh rasa minat.
Amina menggeleng perlahan. Sudu dan garfu dia capai kembali. Hilang sudah rasa enak nasi goreng ayam yang dimakannya tadi. Lama Amina mengambil masa untuk menghabiskan nasi goreng itu.
"Amina, are you okay?"
Amina tersenyum tawar. Ok. Cukup. Tekaknya sudah tidak boleh menerima lagi nasi goreng ayam yang berbaki.
"Is... siapa I pada you?" Soal Amina serius.
Ismail memandang Amina tenang. "You are my best buddy, Mina..."
"Itu je?"
"Amina, kalau you berharap lebih daripada itu... I minta maaf. I selesa berkawan dengan you. Jangan harapkan lebih daripada tu..." lembut Ismail menuturkan.
Amina menghela nafas berat. Dia tahu selama ni dia hanya bertepuk sebelah tangan. Namun dia tetap berusaha. Tambahan pula layanan baik Ismail padanya seolah-olah memberikan Amina harapan.
"Habis tu selama ni layanan you pada I..."
"I layan semua kawan I macam tu..."
Amina mengetap bibir. Kecewanya mendengar jawapan Ismail hanya Tuhan yang tahu. Penat rasanya mengejar seorang lelaki yang langsung tak pernah memandangnya.
"You tahu I dah lama suka pada you kan..." soal Amina lirih.
Ismail memandang gadis di hadapannya sedikit bersalah. Bukan niatnya hendak mengecewakan Amina, tetapi soal hati dan perasaan tak boleh dipaksa.
"I minta maaf, Mina... mungkin kita lebih sesuai jadi kawan," putus Ismail.
Amina menelan air liur pahit. Tak guna dia mencuba lagi. Faham benar dia dengan sikap Ismail. Jika putih katanya, putihlah jawapannya.
"Kalau macam tu... mungkin lepas ni kita patut kurangkan berjumpa. Sebab... I akan bertunang tak lama lagi."
"Amina, are you serious?" Soal Ismail terkejut. Tak ada angin, tak ada ribut... tahu-tahu saja nak bertunang.
Amina mengangguk yakin. "Tadi yang ayah I telefon... dia beritahu ada orang meminang I. Kalau I tak ada sesiapa, dia minta I terima sebab dia berkenan benar dengan lelaki tu..."
"Amina, you jangan nak buat keputusan melulu!"
"Melulu apanya, Is? You sendiri cakap you anggap I macam kawan. You nak I terus kejar you sedangkan you langsung tak pernah bagi peluang pada I? Unfair, Is..." keluh Amina.
"Tak apalah, I yakin keputusan ayah I tak silap. Terima kasih Is untuk beberapa bulan kebelakangan ni..." ujar Amina dengan senyuman pahit.
***
11
Keputusan ayah tak silap? Hah! Inilah buat kali pertama Amina rasa ayah telah membuat kesilapan besar dalam membuat keputusan. Meminta dia berkawan dengan Tarmidzi untuk mengenali hati budi budak itu. Amina membuat muka. Sungguh dia tak suka bila mendengar sepotong nama itu yang disebut oleh ayahnya. Tak ada orang lain ke?
"Tarmidzi tu bagus budaknya, Mina. Apa salahnya Mina kenal dulu dengan dia..."
Amina merengus geram. "Mina tak suka dia, mak. Nak kenal macam mana?"
"Sebab Mina tak kenal, Mina tak suka..." pujuk mak Amina.
"Apa yang ayah suka sangat pada dia, mak? Budak tu, belajar pun tak habis lagi tau! Mina peliklah..."
"Dia budak yang bertanggungjawab Mina. Dia pandai ambil hati mak dengan ayah. Mak yakin dia boleh jaga Mina dengan baik."
"Ya Allah mak... untuk sekali ni je Mina harap sangat mak dengan ayah tak paksa Mina terima Tarmidzi tu. Selama ni, apa keputusan mak dengan ayah, Mina terima. Tapi kalau bab Tarmidzi..." Amina menggeleng perlahan. Tak boleh! Tak akan!
"Mina... mak dengan ayah tak paksa Mina terima Miji tu. Mak dengan ayah minta Mina kenal dia dulu. Dia budak yang baik. Kalau ikut gerak hati seorang ibu, insya Allah dia boleh jaga dan bimbing Mina..."
Amina mengeluh. Dia kematian kata-kata untuk menolak permintaan maknya. Lagi-lagi bila mak sudah mengeluarkan isu 'rasa hati seorang ibu yang melahirkan anak'. Akhirnya dia mengangguk lemah. Anggukan yang membuatkan maknya tersenyum suka.
***
"Nak sangat jadi keluarga 69 ye?" Marah Amina bila Tarmidzi muncul saja di depannya.
Tarmidzi berlagak tenang. Dengan Amina dia kena bijak mengawal keadaan.
"Assalamualaikum Mina..."
"Hish..." Amina merengus geram. "Waalaikumussalam!" Balasnya marah.
Tarmidzi menahan senyum. Dalam marah tetap masih hendak menjawab salam. Tidaklah keras mana Amina ni...
"Kenapa tiba-tiba keluarga 69 ni?"
"Awaklah! Tahu kan abang awak dah bertunang dengan adik saya? Yang gatal sangat suruh ayah awak merisik saya kenapa?"
"Sebab saya nak juga tahu Amina yang saya suka ni betul ke dah berpunya. Dah ayah awak cakap awak masih belum ada sesiapa. Apa salahnya saya mencuba?"
"Eee... belajar pun tak habis lagi dah gatal nak merisik anak dara orang!"
"Okeylah tu merisik. Bukannya saya buat benda yang salah pun." Tarmidzi memandang wajah masam Amina.
"Mina..." panggil Tarmidzi lembut. "Walaupun saya belum habis belajar, insya Allah saya boleh jaga awak, beri makan pakai..." sambung Tarmidzi.
Meremang bulu roma Amina mendengarkan kata-kata Tarmidzi. Belum apa-apa sudah bercakap soal kahwin.
"Berangan!"
"Tak salah... daripada angan-angan menjadi cita-cita. Daripada cita-cita saya akan usahakan menjadi realiti..."
Amina menjeling geram. Ada saja jawapan lelaki ni. Malas hendak melayan, dia menghabiskan minuman yang berbaki di dalam gelas. Tanpa sebarang kata, dia bangun dan berjalan meninggalkan Tarmidzi yang masih duduk. Geramnya berbakul-bakul terhadap Tarmidzi.
Tarmidzi memandang Amina yang sudah menjauh. Dalam keadaan sekarang, ada baiknya dia membiarkan Amina bertenang dahulu. Dia belum mengenali Amina sepenuhnya. Kalau dah kenal, senanglah dia nak uruskan nanti. Keluarga 69? Ketawa kecil Tarmidzi mengingatkan kata-kata Amina tadi. Betul juga, ya? Siapa yang adik, siapa yang abang, siapa yang kakak nanti? Amina... Belum pun apa-apa, awak dah fikir sampai ke situ, ya?
***
12
Jom breakfast.
Jom brunch.
Jom lunch.
Jom ais jagung.
Jom dinner.
Amina membaca kelima-lima mesej yang dihantar oleh Tarmidzi sepanjang hari ini. Setiap kali masuk waktu makan, pasti ada saja pelawaan dia untuk makan sekali. Lengkap dari pagi sampai ke petang pula tu. Apa tidaknya, mesej terbaru yang masuk ke dalam telefonnya berbunyi,
Jom supper.
Amina membaca mesej Tarmidzi berulang kali. Bersalah pula bila langsung tidak membalas mesej lelaki itu. Bukan baru hari ini Tarmidzi menghantar mesej, tetapi sejak seminggu yang lalu. Rimas dan lemas! Tetapi hatinya terusik juga dengan kesungguhan Tarmidzi.
Ok.
Balas Amina pendek. Belum sempat dia hendak meletakkan telefon ke atas meja, sebuah mesej baru daripada Tarmidzi muncul.
Sungguh ke ni? Saya ambil awak depan hostel ya?
Ok. 5 minit.
Balas Amina lagi. Dan kemudian, muncullah sebuah mesej dengan penuh emoticon menunjukkan kegembiraan Tarmidzi kerana Amina setuju dengan pelawaannya.
Amina bersiap seringkas mungkin. Sesekali dia menjeling ke arah Hajar yang leka menghadap laptop dengan headphone di telinga. Sesekali gadis itu bermain dengan telefon bimbitnya. Amina mengetap bibirnya perlahan. Entah kenapa sejak kebelakangan ni Hajar seolah-olah menjarakkan diri daripadanya.
"Hajar, aku nak keluar. Nak kirim apa-apa?" Soal Amina sewaktu sedang menyarung tudung.
Hajar tidak menjawab. Amina menutup pintu almari baju lalu melangkah mendekati Hajar.
"Hajar..." panggil Amina lalu mencuit bahu Hajar dengan lembut.
Hajar tersentak. Laju dia menyembunyikan telefon di tangan daripada penglihatan Amina. Kemudian headphone yang menutup telinganya dia tanggalkan. Namun, sempat juga mata Amina menangkap nama yang tertulis di ruang pengirim mesej itu. Amina menahan riak wajahnya daripada berubah.
"Kau cakap apa?" Soal Hajar gelabah.
"Aku nak keluar. Nak kirim apa-apa?" Sedaya upaya dia berusaha agar nada suaranya tidak berubah.
Pantas Hajar menggeleng dengan senyuman. Kekok. "Thanks."
Amina mengangguk. Dia terus keluar dari bilik yang dikongsi bersama Hajar. Sebaik saja pintu bilik ditutup, tak semena-mena air matanya menitis ke pipi. Hajar... sampai hati kau buat aku macam ni...
***
13
Tarmidzi kalut. Sewaktu dia tiba di hadapan hostel Amina sebentar tadi, gadis itu sedang menangis seorang diri di tembok. Bila dia memanggil Amina untuk masuk ke dalam kereta, terus saja Amina masuk tanpa sebarang kata. Yang kedengaran hanyalah esakan kecil yang dia cuba tahan.
"Mina... awak okey?"
Amina senyap. Tak tahu sama ada patut atau tidak menceritakan perihal sebenar kepada Tarmidzi. Sudahlah perihal Hajar dengan Ismail. Nanti entah apa pula anggapan Tarmidzi nanti. Ah! Sejak bila Amina sudah pandai menjaga hati Tarmidzi ni?
"Saya nak makan ais krim..." pinta Amina tanpa menjawab soalan Tarmidzi.
Tarmidzi sekadar mengangguk. Kemudian kereta dihalakan ke sebuah kawasan rumah kedai tidak jauh daripada kampus. Tarmidzi memberhentikan kereta di hadapan 7E. Tanpa sebarang kata, Tarmidzi terus keluar dan melangkah masuk ke dalam 7E. Tarmidzi termangu di hadapan peti yang menempatkan pelbagai jenis ais krim. Ais krim apa yang Amina suka? Akhirnya dia ambil saja ais krim kegemarannya. Harap-harap Amina sukalah...
"Nah..." hulur Tarmidzi.
Amina ambil tanpa teragak-agak. Dalam sekelip mata saja dia sudah membuka dan menikmati ais krim yang dibelikan Tarmidzi tadi.
"Dah okey?" Soal Tarmidzi bila melihat Amina mula tenang. Tangisannya juga sudah berhenti. Yang tinggal hanyalah kesan-kesan tangisa gadis itu.
"Nak kongsi dengan saya?"
Amina mengetap bibir. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan perlahan.
Tarmidzi tersenyum kecil. Lagak Amina membuatkan gadis yang selalunya nampak matang dan bijak menjadi seperti kanak-kanak. Terserlah sisi comelnya seorang Amina di mata Tarmidzi.
"Awak... nak supper tak?" Soal Amina bila teringatkan tujuan dia keluar dengan Tarmidzi.
Tarmidzi mengangguk. "Hrm... memang niat saya nak ajak awak supper. Saya belum makan lagi dari tengahari..."
Amina sedikit terkejut. "Kenapa tak makan lagi?"
"Sebab... tak ada orang yang sudi temankan..."
Amina mencebik geram. Pasti Tarmidzi nak mengenakan dia lagi.
Saya gurau saja. Saya kena pergi kastam. Ada urusan."
"Urusan apa? Kenapa student macam awak kena pergi kastam?" Amina memandang Tarmidzi pelik.
Tarmidzi sekadar tersenyum. Kepalanya digelengkan perlahan. Tanda tidak mahu Amina bertanya dengan lebih lanjut.
"Jadi awak nak supper tak? Ais krim dah habis satu kon..."
Amina menghela nafas perlahan. Hendak bertanya lanjut, dia malu sendiri. Lagipun, inilah kali pertama Amina boleh bercakap dengan baik dengab Tarmidzi. Itupun awal-awal lagi dia sudah memalukan diri sendiri dengan menangis di hadapan lelaki itu. Memalukan!
"Jomlah. Tapi... saya nak singgah bilik air dulu..."
Tarmidzi mengangguk. Kereta diundur perlahan untuk keluar daripada petak parkir. Sebelum mereka pergi ke kedai makan, Tarmidzi menghalakan kereta ke arah stesyen minyak. Memberi masa untuk Amina merapikan diri.
"Miji..."
Bulat mata Tarmidzi mendengar Amina memanggil namanya begitu.
"Tarmidzi..." amina membetulkan sebutannya.
"Hrm?"
"Kalau kawan baik awak... backstab awak... awak buat apa?"
Tarmidzi menjeling ke arah Amina sekilas. "Backstab yang macam mana? Pasal bisnes?"
"Hrmmm... keluar dengan girlfriend awak?"
"Saya tak ada girlfriend, Mina... kalau ada, saya tak suruh ayah risikkan awak untuk saya."
Amina mengetap bibir geram. "Saya cakap kalauuu..."
Tarmidzi sengih. "Kitorang ada bro codes."
"Bro codes?"
"Tak dibenarkan keluar atau menyimpan perasaan pada awek ataupun bekas awek member yang lain."
Amina tercengang. "Biar benar?"
Tarmidzi mengangguk yakin.
"Habis tu kalau dah memang jodoh takde antara perempuan tu dengan lelaki tu... jodoh dia dengan kawan kepada lelaki tu. Takkan tak boleh?" Marah Amina.
Tarmidzi tersenyum nipis.
"Habis tu... kalau jodoh Ismail bukan dengan awak... tetapi dengan kawan baik awak. Takkan tak boleh?" Jawapan selamba Tarmidzi membuatkan Amina tersentak. Tak semena-mena rasa marahnya yang sudah berkurangan tadi kembali mendidih.
"Tarmidzi!!!"
***
14
Tarmidzi tayang muka selamba walaupun Amina memanggil namanya dengan marah. Bukan dia tak tahu cerita antara Amina, Ismail dan Hajar. Dua tiga kali Tarmidzi ternampak Ismail dan Hajar keluar berdua jika Amina sibuk. Teman lelaki apa kalau macam tu? Hanya Amina saja yang tak nampak. Tapi tak tahulah kalau dia buat-buat tak nampak. Buta mata... buta hati!
Tarmidzi menjeling ke arah Amina di sebelah. Bulat matanya melihatkan Amina sesekali mengesat matanya. Ah sudah! Apa yang dia dah buat? Baru je sebentar tadi Amina berhenti menangis. Kini dia menangis kembali.
"Mina..."
Amina tidak menjawab. Sungguh dia memang terasa hati dengan kata-kata Tarmidzi sebentar tadi.
"Mina... sorry saya tak ada niat nak buat awak menangis..."
"Awak tak faham... sudahlah. Saya rasa tak ada mood nak keluar. Tolong hantar saya balik?" Pinta Amina perlahan. Malas nak bergaduh dengan Tarmidzi.
Tarmidzi mengeluh. Menyesal tak sudah. Gatal sangat mulutnya hendak memberi komen tentang hal peribadi Amina. Lain yang dia harapkan, lain yang jadi. Dengan hati yang berat, dia membuat pusingan apabila tiba di lampu isyarat. Ikutkan sajalah kehendak Amina. Dia pun sudah terasa kenyang dengan apa yang berlaku.
***
Seminggu Amina tidak membalas mesej-mesej kirimannya. Seminggu jugalah Tarmidzi tidak tentu arah. Wahab sudah bising kerana kerja-kerjanya menjadi dua kali ganda bila Tarmidzi hilang fokus. Hendak bebelkan Tarmidzi, Tarmidzi ibarat 'bosnya'. Tapi kalau dah menyebabkan bisnes mereka terganggu, bengang juga Wahab dibuatnya. Tarmidzi meraup wajahnya kasar. Kemudian jari-jemarinya bermain dengan jambang yang sudah tumbuh meliar. Amina... kenapalah keras sangat hati awak? Nak saya buat macam mana lagi?
Tangan mencapai telefon di sebelah laptop. Semalam ayah sudah mengusiknya deengan bertanyakan tentang Amina. Mujur ayah sporting bila dia suarakan hendak merisik Amina. Siap terus telefon ayah Amina bertanya tentang anak gadisnya itu. Terkejut monyet juga ayah Amina bila tiba-tiba ayahnya bertanya tentang Amina untuknya. Keluarga 69? Abang Muslim saja yang bising. Ayah dengan mak cool aje. Selagi tidak melanggar syariat, apa salahnya.
Bagaikan tahu-tahu saja Tarmidzi sedang membaca mesej-mesej yang dihantar kepada Amina, sebuah mesej baru masuk ke telefonnya. Jantung Tarmidzi berdetak hebat. Amina. Laju dia membaca mesej daripada Amina. Ambil dia di depan hostel sekarang? Biar benar?
***
"Mina..."panggil Tarmidzi.
Amina mencapai gelas berisi jus oren di hadapannya. Wajah Tarmidzi yang penuh tanda tanya dia pandang tak berperasaan.
"Saya confront dengan Hajar..."
Tarmidzi menunggu kata-kata Amina yang seterusnya.
"Betul... Dia dengan Ismail tengah berkawan sekarang..."
Riak wajah Amina mula berubah. "Dia kawan baik saya. How could she do this to me?! Dia tahu semuanya tentang saya. Dia tahu perasaan saya pada Ismail. Tapi dia backstab saya macam ni sekali..."
Tarmidzi diam. Pedih rasa hati bila gadis yang dia suka bercerita tentang lelaki lain.
"Dia tak patut buat saya macam ni. How could she...?" keluh Amina. Rasa hendak menangis bila mengingatkan perselisihan yang berlaku di antara dia dan Hajar. Peristiwa di bilik sebentar tadi bermain di fikiran.
Amina baru balik daripada berjumpa dengan Prof Syahir sewaktu dia sedang berjalan menuju ke hostel. Dari jauh kelihatan sebuah kereta yang dia cukup kenal sedang terpakir di hujung simpang. Amina memperlahankan langkah. Tiba-tiba pintu sebelah penumpang terbuka dan seorang gadis keluar dengan senyuman di bibir. Jantung Amina bagaikan direntap kasar. Matanya dikecilkan, takut-takut kalau dia tersilap orang. Namun ternyata Hajar sedang tersenyum ceria dengan memegang sejambak bunga, keluar dari kereta Ismail.
Laju Amina menghayun langkah pulang ke bilik. Sudah sampai masanya dia berhadapan dengan Hajar. Sampai bila Hajar nak main sembunyi-sembunyi lagi? Tiba di bilik, Amina meletakkan barang-barangnya ke atas katil. Nafasnya naik turun. Akhirnya Amina meraup wajahnya perlahan. Dia menghenyakkan punggungnya ke atas tilam yang bersarungkan cadar berwarna ungu cair. Tidak sampai seminit dia duduk, pintu bilik dibuka dari luar. Wajar Hajar yang tersenyum sambil mencium bau bunga di tangan berubah rona.
"Kau dengan Ismail ada apa-apa ke?" soal Amina tanpa berdolak-dalik lagi.
Hajar terkejut. Sangkanya Amina tiada di bilik sewaktu dia pulang. Selalunya Amina akan menghabiskan masa di perpustakaan sehingga malam.
"Ada apa-apa, apa?" soal Hajar cuba bertenang. Bunga dan beg di letakkan di atas meja. Dalam serba salah, dia membalas pandangan Amina yang nyata menahan marah.
"Aku nampak kau keluar dari kereta Is tadi. Kau tahu aku suka dia, kan?"
Hajar menelan air liur. Tapi... Ismail kata, Amina sudah pun bertunang dengan lelaki lain. Tahu tak betapa kecewanya Hajar bila kawan baik sendiri langsung tidak bercerita apa-apa tentang pertunangannya?
"Tapi... Is cakap kau dengan dia tak ada apa-apa..."
"Sekalipun tak ada apa-apa... Kau tak patut buat aku macam ni! Sampai hati kau backstab aku, Hajar. Aku ingat kaulah kawan aku dunia akhirat..." jerit Amina. Air matanya sudah bergenang. Kecewa bila mengingatkan kawan baiknya ada hubungan dengan lelaki yang dia suka.
"Kau tak patut Hajar. Aku sayang kau lebih daripada nyawa aku sendiri. Tapi... tengoklah apa yang kau dah buat. Kau kecewakan aku! Kau jalinkan hubungan dengan lelaki yang selama ni aku suka kat belakang aku. Sampai hati kau..." Amina menggeleng perlahan. Tak ada perkataan yang sesuai untuk dia ungkapkan untuk meluahkan betapa kecewanya dia dengan sikap Hajar.
"Sudahlah Hajar. Cukuplah. Buatlah apa yang kau suka. Aku takkan ambil tahu lagi pasal kau sampai bila-bila. Kalau kau cakap dengan aku awal-awal, mungkin lain penerimaan aku. Tapi sekarang..."
Amina bingkas bangun. Dia mahu keluar. Dia tak mahu melihat Hajar di depan matanya. Takut makin lama dia melihat wajah Hajar, bercalar pula wajah manis itu. Bukan boleh jangka kalau emosi Amina sudah tak stabil.
***
Dan peristiwa itu membawa Amina duduk di hadapan Tarmidzi. Kata-kata Tarmidzi tempoh hari terngiang-ngiang di telinganya. Mungkin bila berkawan selepas ini, dia patut memperkenalkan Sis Code pula. Supaya tiada di antara rakan-rakannya nanti keluar atau menyimpan perasaan pada pakwe ataupun bekas pakwe member yang lain. Amina tersenyum sendiri. Memujuk hati.
***
15
'Dia senyum pulak dah...' getus hati Tarmidzi. Keliru dibuatnya dengan sikap Amina hari ni. Sudahlah tiba-tiba saja menghantar pesanan suruh ambil dia di hostel. Masa dia tiba tadi, dia nampak wajah Amina keruh semacam. Lepas tu, tiba-tiba boleh senyum sendiri. Sungguhlah susah nak faham perempuan ni.
"Jom balik?" Kata Amina pendek.
Tarmidzi memandang Amina pelik. Namun dia ikutkan juga kehendak Amina. Teh ais yang berbaki dia habiskan lalu kunci kereta dicapai.
"Jom."
***
Amina menayangkan wajah selamba sewaktu ayahnya memandang dia dengan wajah menyinga. Semenjak dia memyuarakan rasa hati untuk berhenti daripada belajar di meja makan lagi wajah ayahnya sudah berubah riak. Namun dia tahu, ayahnya menahan diri daripada marah di hadapan rezeki. Hanya sepotong ayat saja yang keluar daripada mulut ayah.
"Jumpa ayah di study room lepas ni."
Dan disebabkan itulah Amina dan ayahnya berada di bilik belajar berdua. Mak awal-awal lagi sudah beritahu dia tak mahu masuk campur. Amina yang cari pasal, Amina yang kena selesaikan, itu kata mak.
Amina berdiri bagaikan pesalah menunggu hukuman. Ayahnya masih menunggu jawapan daripadanya. Apa yang dia nak cakap? Nak berhenti sebab tak tahan menonton sandiwara Hajar dengan Ismail?
"Amina... ayah tanya kamu ni. Kenapa tiba-tiba nak berhenti?" Tegang suara ayah Amia menyoal.
Amina menghela nafas berat.
"Amina tak boleh bawak. Berat sangatlah ayah research ni..."
Dahi ayah Amina sudah berkerut. "Tak boleh bawak?" Wajah anak gadisnya dipandang dengan penuh rasa sangsi. Amina anak gadis yang paling rapat dengannya. Hampir setiap perkara Amina akan ceritakan kepadanya. Dia boleh kenal semasa bila Amina berbohong dan semasa bila Amina berlaku jujur.
"Selama ni tak pernah Amina cakap research susah?"
Amina menelan air liur.
"Bila ayah tanya, Amina yakin je cerita progress Amina?"
Amina mengawal riak wajah daripada berubah. Bagaimana dia hendak berbohong pada ayahnya yang sudah mengenalinya lebih 20 tahun?
"Mina tak cerita sebab tak nak ayah susah hati. Ayah banyak berhabis untuk Mina. Tapi... Mina dah tak boleh, ayah. Mina tak boleh teruskan..." ujar Amina cuba menagih simpati.
Wajah ayah serius memandang wajah Amina.
"Ayah yakin ada perkara lain yang Amina sorokkan daripada ayah..." ayah jeda seketika. "Okey. Kalau Amina dah buat keputusan tu ayah terima, tetapi dengan syarat..."
Amina sudah mula tak tentu arah. Syarat apa pula yang ayahnya nak kenakan padanya?
"Terima Tarmidzi sebagai suami Amina. Ayah akan bincang dengan ayah dia, suruh datang meminang... dua bulan lagi kamu berdua kahwin. Macam mana?"
"Hah?!" Bulat mata Amina memandang ayahnya. Tak percaya dengan syarat yang dikenakan.
"Mana adil? Mina nak berhenti belajar bukan untul kahwin?!"
Ayah hanya mengangkat bahu. "Dah banyak ribu ayah berhabis untuk Mina sambung sarjana. Tiba-tiba belum sampai setahun dah nak berhenti. Sekurang-kurangnya kalau Mina kahwin dengan Tarmidzi... kurang sikit rasa sebal ayah sebab duit ayah hangus gitu je..."
Wajah Amina berubah riak. Kahwin dengan Tarmidzi? Tak akan! Tak mungkin! Nehi! Never!
***
16
Amina melangkah masuk ke dalam bilik yang sudah gelap. Matanya laju menangkap susuk tubuh Hajar yang meringkuk kesejukan. Kipas yang ligat berputar Amina turunkan kelajuannya. Penatnya! Hampir seminggu dia kembali ke kampus dan seminggu jugalah dia hanya berada di bilik pada waktu Hajar sudah tidur. Tak pasal-pasal jadual tidurnya berubah. Amina meletakkan beg sandang ke atas kerusi. Kemudian, satu demi satu pin tudung yang tersemat dia tanggalkan. Jam sudah menunjukkan pukul dua pagi. Rasa mengantuk ni, boleh membuatkan Amina tidur berdiri!
Selesai menyalin pakaian, Amina merebahkan tubuh ke atas katil. Matanya terpandangkan sebuah patung beruang yang dipeluk Hajar yang sedang tidur. Pasti Ismail yang menghadiahkan patung beruang yang memegang hati itu. Serta-merta perasaan marah dan cemburu datang kembali. Amina menarik nafas dalam. Cuba mengumpul kesabaran dan merawat hati yang kecewa. Tak boleh jadi... dia kena juga usaha sesuatu untuk keluar daripada bilik ni. Menyewa di luar mungkin? Tapi kalau ayah tahu, jadi isu pula.
Selepas ayah mengenakan syarat yang berat sebelah tu, terus Amina menarik balik niatnya untuk berhenti belajar. Ergh! Siapa nak kahwin dengan Tarmidzi tu? Masa depan pun kabur-kabur je, macam penglihatan sewaktu dalam jerebu. Dengan degree pun tak habis lagi, ada hati nak pinang anak dara orang! Pelik! Apalah yang ayah berkenan sangat dengan Tarmidzi tu?
Amina ni, walaupun tak berkenan, Tarmidzi jugalah yang dia jadikan mangsa diajak ke sana sini. Tarmidzi pula, ikutkan saja kehendak Amina dengan senang hati. Setakat Amina mengajak dia ke perpustakaan dan late supper pada waktu malam... apalah sangat? Cuma Wahab saja yang beberapa kali menegur Tarmidzi kerana kerap keluar berdua dengan Amina. Takut ada yang ketiga berjaya menggoda. Huh, kalau diikutkan hati Tarmidzi, sekarang juga dia nak menjadikan Amina isterinya yang sah. Senang nak ke sana ke mari. Tetapi Amina yang terus-terusan menolak.
Terdengarkan ada bunyi pergerakan di katil sebelah, cepat-cepat Amina memejamkan mata. Pasti Hajar tersedar dan bangun mencari air. Namun seketika kemudian suasana malam kembali sunyi. Amina mengiring ke kiri, menghadap dinding. Tiba-tiba terdengar suara Hajar berbisik...
"Aku rindukan kau, Mina..." ujar Hajar berserta keluhan berat
Amina menahan rasa di dalam hati. Entah kenapa, jiwanya dihimpit rasa bersalah. Sejak perselisihan dengan Hajar berlaku, dia terus menganggap Hajar tidak wujud. Hajar diibaratkan seperti angin yang tidak boleh dinampak walaupun kehadirannya boleh dirasa. Sebarang kata-kata ataupun persoalan, hatta salam daripada Hajar ibarat masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Itu hukuman yang dia jatuhkan buat Hajar yang telah menikamnya dari belakang. Dia langsung tak sudi hendak memandang wajah gadis itu. Tetapi malam ini... kata-kata Hajar menyiat-nyiat hatinya. Amina menghela nafas berat. Pedulikan Hajar. Perempuan seperti itu langsung tak layak dibuat kawan.
***
“Good morning, Mina...” tegur Tarmidzi yang sudah menunggu Amina sejak pukul lapan lagi. Dia sudah hafal benar dengan jadual Amina. Seawal jam lapan pagi dia sudah bersiap untuk ke kafe, bersarapan. Kemudian, dia akan ke perpustakaan universiti untuk mencari bahan untuk kajiannya. Jadi disebabkan hari ini Tarmidzi tiada kelas, cepat-cepat dia bersiap untuk berjumpa selepas berjoging tadi. Rasa tak lengkap hidupnya kalau tak berjumpa Amina sehari. Macam manalah nanti kalau dia terpaksa meninggalkan Amina. Adakah Amina akan merinduinya juga?
“Hai? Awalnya dah muncul dekat sini. Nak apa?” soal Amina. Kalau orang lain dengar, pasti mereka menyangka Amina sedang memarahi Tarmidzi. Sedangkan, itulah nada yang selalu Amina gunakan setiap kali bercakap dengan Tarmidzi.
Tarmidzi tersenyum simpul. Entah kenapa, dengan Amina... kesabarannya cukup tinggi. Kalau dengan rakan kelasnya yang bersikap begini, memang dia tak layan terus. Mungkin itulah yang dinamakan cinta. Cinta itu buta. Kekurangan insan yang kita cinta membuatkan kita hanya memejam mata sebelah. Banyak lagi kebaikan yang boleh kita hitung, kita kira. Ah Tarmidzi... pagi-pagi lagi sudah buat kuliah cinta!
“Jom, sarapan?” pelawa Tarmidzi.
Amina mengangguk. Tanpa sebarang kata dia terus membuka pintu penumpang di sebelah pemandu. Tarmidzi ketawa kecil melihatkan gelagat Amina. Dalam garang-garang itu, ada lembutnya. Itulah Aminanya.
“Nak makan mana?” soal Amina pendek. Selalunya dia akan sarapan di kafe saja. Tarmidzi pula, kalau tiada kelas pagi pasti akan menemaninya. Tapi ini, melihatkan kereta Tarmidzi sudah keluar daripada perkarangan universiti, Amina menjadi tertanya-tanya sendiri.
“Kita makan dekat kedai kawan saya. Di bandar universiti...”
Amina mengangguk. Pandangannya dilemparkan ke luar kereta. Fikirannya penuh merancang jadualnya untuk hari ini. Sedang dia leka merancang, tiba-tiba saja Tarmidzi menguatkan volume radio yang terpasang.
“Kuat sangatlah Miji... sakit telinga saya...” rungut Amina.
Tarmidzi tersenyum sendiri mendengarkan panggilan Amina.
“Lagu ni... lagu untuk awak,” balasnya pendek
Amina mengerutkan dahi. Lagu untuk aku? Lagu apa pula? Sudahlah bunyinya bingit. Macam lagu... Korea! Amina menjeling Tarmidzi di sebelah. Kepalanya terangguk-angguk mengikut rentak lagu itu. Dan tiba-tiba dia turut menyanyi bersama-sama ahli kumpulan tersebut.
Neon alggamalgga alggamalgga neomu yebbeun miina
Nal michyeotdago malhaedo nan niga jotda miina
Berubah air muka Amina mendengarkan lagu yang dinyanyikan Tarmidzi dengan mengikut rentak di radio. Sudahlah sepatah haram dia tak faham. Tambahan pula, Tarmidzi sengaja menekankan perkataan Mina di hujung ayat tu sambil menjeling ke arahnya. Entah iya, entah tidak apa yang dia nyanyikan.
“Hish... perlahankanlah sikit saya bukannya faham pun. Awak ni...” marah Amina. Radio apalah boleh pasang lagi Korea pagi-pagi macam ni.
Tarmidzi ketawa. Akhirnya dia perlahankan juga volume kembali kepada asal. Namun mulutnya tak berhenti menyanyi lagu itu.
Bounce to you, bounce to you nae gaseumeun neol hyanghae jabil sudo
Eobseul mankeum ddwigo itneungeol
Break it down to you, down to you nae gaseumi neo, neol gajji
Motandamyeon meomchul georanda (nal barabwara)
Tarmidzi menjeling ke arah Amina yang nampak tak berminat. Mina... kalaulah awak tahu yang lagu ni menggambarkan rasa hati saya, apa agaknya reaksi awak, ya? Empat minit berlalu, lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Super Junior itu akhirnya tamat juga. Suasana di dalam kereta kembali sunyi.
“Mina...” panggil Tarmidzi secara tiba-tiba.
“Hrm?”
“Awak tahu tak... Mina dalam bahasa korea tu maksudnya perempuan cantik.”
Spontan darah menderu ke wajah Amina. Jadi perkataan yang ada dalam lagu tadi memang betullah Mina? Sangkanya, Tarmidzi sengaja memain-mainkannya.
“Oh ye? Baru saya tahu...”
“Mina...” panggil Tarmidzi lembut.
“Ye?”
“Saya nak minta tolong boleh?”
Amina menjeling ke arah Tarmidzi sekilas. “Apa dia?”
“Tolong cari lirik lagu Miinah dalam Bahasa Inggeris. Saya tertanya-tanya apa maksud dia.”
Amina mengerutkan dahi. Pelik-pelik permintaan Tarmidzi ni. Namun tangannya laju mengeluarkan telefon bimbitnya. Bait-bait perkataan dia taipkan di Google. Tak lama kemudian, terpampang sebuah blog yang menyiarkan lirik lagu itu di dalam tulisan Hangul, dan Bahasa Inggeris. Amina scroll ke bawah. Berubah riak wajahnya tatkala membaca lirik yang sudah diterjemah ke dalam bahasa inggeris itu. Nak ketawa pun ada. Memang betul, lagu ni ibarat luahan hati Tarmidzi. Sedikit sebanyak, hatinya mula cair. Susah sangat ke Tarmidzi nak ambil hati saya?
***
17
"Awak nak cari rumah sewa?" soal Tarmidzi terkejut. Apa tidaknya… ribut tak ada, angin tak ada… tahu-tahu nak cari rumah sewa. "Kenapa tiba-tiba?" soal Tarmidzi bila melihat Amina menganggukkan kepalanya.
"Sebenarnya, hubungan saya dengan Hajar tegang sikit…"
"So…?"
"Saya nak pindah. Saya tak nak tengok muka dia lagi."
"Apa yang dia dah buat pada awak?" uji Tarmidzi. Matanya merenung ke dalam mata Amina.
Amina sekadar menggelengkan kepala. Dia tak mahu membuka balik kisah yang dia sudah tutup rapat-rapat. Biarlah Hajar terus dengan dunianya dan Ismail. Amina tak mahu masuk campur. Melihatkan gelengan Amina, Tarmidzi tersenyum. Senang dengan sikap Amina yang tidak mahu menjaja cerita orang lain walaupun dia sudah boleh menjangkakan apa yang berlaku.
"Mina… seteruk mana pun awak bergaduh dengan Hajar, saya harap awak tak sampai memutuskan silaturrahim. Tak baik tau…" ujar Tarmidzi lembut.
Amina sekadar mengangkat bahu. Tak mahu memberikan apa-apa komen. Sekarang ni, siapa yang cari pasal dulu? Ini dah cukup baik Amina tidak menggunakan bahasa kesat bila bercakap dengan Hajar. Dia hanya tidak menghiraukan Hajar dan menganggap Hajar tidak wujud.
"Awak nak cari rumah ni, nak menyewa dengan siapa?" Tarmidzi menukar topik bila nasihatnya sebentar tadi tidak dilayan.
"Saya nak cari bilik sewa dulu. Kalau dapat bilik lagi senang. Tak dapat bilik, saya nak cari rumah sewa. Nanti pandai-pandailah saya uruskan tentang housemate."
"Saya ada."
"Hrm? Awak ada tau mana-mana bilik atau rumah sewa?" soal Amina jujur.
Tarmidzi tersengih nakal. "Saya ada untuk jadi housemate awak. Bukan setakat housemate saja... Roommate, bedmate pun boleh," ujar Tarmidzi diikuti dengan ketawa besar.
Amina menjeling Tarmidzi geram. "Gatal! Belajar belum habis dah galok sangat!"
Tarmidzi hanya ketawa. Tahu itu yang akan diulang-ulang oleh Amina. "Kalau saya dah habis belajar? Awak tolak ke kalau saya minta mak dengan ayah saya pinang awak?"
Mood tiba-tiba bertukar serius. Amina terbatuk. Apa tidaknya? Soalan yang Tarmidzi lontarkan benar-benar diluar jangkaannya. Tapi, ada logiknya juga soalan Tarmidzi tu. Kalau selama ini dia menolak Tarmidzi atas alasan lelaki itu masih belum tamat belajar. Habis tu, kalau dia dah berjaya menggenggam ijazah, apa lagi alasan yang dia ada untuk menolak Tarmidzi? Amina tidak terus menjawab. Dengan tenang dia menghabiskan makanan yang berbaki. Melihatkan reaksi Amina sebegitu, Tarmidzi faham sendiri. Buat kesekian kalinya dia ditolak oleh Amina.
"Miji..." panggil Amina tiba-tiba.
Tarmidzi mengangkat muka. Wajah Amina dipandang dengan penuh persoalan.
"Saya minta maaf sebab gunakan awak untuk mengisi masa saya. Jahatkan saya?" soal Amina perlahan.
"Saya tak pernah rasa dipergunakan langsung, Mina. Sebaliknya saya rasa bertuah sebab dapat bersama dengan awak, berkenalan dengan awak dengan lebih dekat. Di mana sebelum ni, saya tak dapat peluang tu. Jadi... Masa-masa yang ada ni, saya gunakan sebaiknya agar awak nampak usaha saya."
Amina mengetap bibir. Kalah dengan kata-kata yang Tarmidzi ucapkan. Budak ni baik. Baik sangat. Tapi... Ah, Amina! Sentiasa ada perkataan tapi dalam apa-apa perkara pun.
"Dua minggu lagi awak final exam, kan?"
Tarmidzi mengangguk.
"Buat sebaiknya. Saya suka orang yang bijak pandai ni..."
Wajah Tarmidzi mula bersinar. Benarkah apa yang dia dengar? Bukankah secara tidak langsung Amina memberi hint yang Amina akan memberi peluang kepadanya? Amina... Amina... Terlalu banyak perkara yang awak tak tahu tentang saya.
"Okey. Insya Allah... Saya akan usaha yang terbaik..." janji Tarmidzi.
***
Seorang wanita boleh membuat seorang lelaki berjaya dan seorang wanita juga boleh menyebabkan hidup seorang lelaki huru-hara. Tarmidzi sesekali memandang ke arah Amina yang tekun dengan laptopnya. Fokus sehingga tidak sedar yang Tarmidzi sudah memandangnya hampir sepuluh minit lamanya. Tanpa Amina sedar, dialah yang menjadi pemangkin semangat untuk Tarmidzi belajar. Dialah yang membuatkan Tarmidzi berusaha untuk berdiri atas kaki sendiri. Dan dialah yang menyebabkan Tarmidzi sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam segala segi.
"Mina..." panggil Tarmidzi secara tiba-tiba.
Amina menoleh. "Apa dia?"
"Tak ada apa. Suka tengok awak fokus macam tadi..."
Amina mencebik. "Kalau suka, biarkanlah saya terus fokus. Yang awak panggil kenapa?"
Tarmidzi ketawa. "Saja. Biar awak pandang saya..."
Mendalam sekali kata-kata Tarmidzi. Amina menggeleng perlahan. Macam-macam. Tahulah selama ni dia tak pernah ambil kisah dengan kewujudan Tarmidzi selama ni. Tapi Tarmidzi tak tahu yang kini Amina bagaikan ternanti-nanti dengan kehadiran Tarmidzi. Di saat dia terpandang saja wajah Tarmidzi di luar kawasan asrama, pasti hatinya sudah melonjak suka. Tapi... Tak naklah dia tunjukkan sangat pada Tarmidzi. Nanti makin menjadi-jadi pula budak tu.
"Saya ada perkara nak beritahu awak."
"Hrm...?"
"Pandanglah sini. Perkara serius ni..."
"Kalau setakat nak beritahu awak suka saya, saya dah lama tahu, Miji..."
Tarmidzi mengetap bibir geram.
"Saya nak tunjukkan awak satu tempat esok. Boleh ya?" pujuk Tarmidzi.
Mendengarkan itu, spontan Amina menoleh. Melihatkan wajah penuh pengharapan itu membuatkan dia mengangguk setuju. "Pukul berapa?"
"Macam biasa. Kita sarapan sama. Lepas tu baru kita pergi tempat tu..."
"Tempat tu...?"
Tarmidzi mengangguk.
"Tempat tu tak ada nama ke?" sindir Amina. Cara Tarmidzi cakap seolah-olah ada sesuatu yang dia rahsiakan tentang tempat itu. Apa salahnya cakap je 'tempat itu' di mana. Kan senang?
"Adalah. Rahsia!" Tarmidzi sudah tersenyum-senyum. Tak sabar rasanya hendak berkongsi dengan Amina tentang pencapaian hidupnya.
***
Amina memandang pelik keadaan sekeliling. Ok. Sebenarnya tidaklah pelik mana tempat yang Tarmidzi bawa ni. Kawasan rumah kedai yang berada di pinggir bandar. Tapi dia pelik. Apa je yang ada di sini? Rasanya tiada satu kedai pun yang selalunya didatangi oleh lelaki sebaya Tarmidzi. Tiada kedai gadjet mahupun komputer. Jadi bila Tarmidzi memberhentikan kereta di depan sebuah butik, Amina didatangi dengan seribu satu persoalan.
"Jom..." ajak Tarmidzi lalu membuka pintu kereta. Amina menurut. Dalam teragak-agak, dia mengikut langkah Tarmidzi yang sudah menghala ke arah butik tersebut.
"Awak nak belanja saya baju ke?" soal Amina bila Tarmidzi sudah menolak pintu masuk yang diperbuat daripada kaca. Tarmidzi dan Amina melangkah masuk. Seorang gadis yang bekerja di butik tersebut bangun apabila terpandangkan Tarmidzi tiba. Bila dia hendak membuka mulut, cepat-cepat Tarmidzi meletakkan jarinya ke bibir. Menahan daripada gadis itu bersuara.
"Amina... Ada mana-mana baju yang awak berkenan?" soal Tarmidzi dengan senyuman.
Amina mengerutkan dahi. Namun dia tetap melangkah ke arah satu demi satu rak yang menempatkan pelbagai gaya baju. "Cantik-cantik baju dekat sini..." komen Amina. "Harga pun berpatutan..." tambahnya lagi.
Tarmidzi tersenyum senang. "Awak suka?"
Amina mengangguk. Tangannya menarik keluar sehelai blouse putih dengan bunga purple halus. Ringkas tetapi tetap cantik. "Saiz M ada?" soalnya kepada salesgirl yang berdiri di belakang Tarmidzi.
Gadis itu mengangguk. "Ada kak. Sekejap Aisy carikan ya..." balasnya lembut.
"Aisy?" soal Amina pelik.
"Aisyah..." Tarmidzi tolong jawabkan. Amina menjeling ke arah Tarmidzi. Amboi? Siap tahu nama, nampak? Tarmidzi hanya menjadi pemerhati. Sebaik saja mendapat apa yang diminta, Amina terus menggayakan blouse tersebut ke badannya.
"Macam mana? Okey?" soal Amina meminta pendapat Tarmidzi. Tarmidzi mengangguk.
"Cantik. Tapi... Kalau awak pakai baju ni, saya nak minta awak pakai dengan inner..." komennya. Amina menahan diri daripada tersenyum.
"Kenapa?" soal Tarmidzi pelik melihatkan reaksi Amina.
"Tak ada apa-apa..."
"Amina, kalaulah awak faham apa yang lelaki rasa bila tengok perempuan seksi…"
"Baiklah ustaz. Ana faham…"
Tarmidzi mengetap bibir geram. Baju di dalam pegangan Amina bertukar tangan. Tarmidzi memberikan signal ke arah Aisyah. Aisyah menyambut blouse yang dihulurkan oleh Tarmidzi dan melangkah ke arah kaunter untuk mendapatkan plastik.
"Sehelai je?"
Amina mengangguk. "Saya pun dah banyak baju. Sekali sekala beli tak apalah…"
Tarmidzi mengangguk. Dalam pada masa yang sama, Aisyah tiba dengan sebuah beg plastik di tangan dan terus dihulurkan beg plastik itu kepada Amina.
"Ada apa-apa lagi, Abang Miji?" soal Aisyah itu kepada Tarmidzi.
Amina sedikit terpinga-pinga. "Abang Miji?" terasa berasap telinganya mendengar panggilan itu. Siap berabang-abang! Setahu Amina, Tarmidzi tak ada pun adik bernama Aisyah?
"Dah tak ada apa. Wahab datang sini ke hari ni?" soal Tarmidzi kepada Aisyah. Soalan Amina sengaja dibiarkan tidak berjawab.
Aisyah mengangguk. "Abang Wahab datang nanti. Ada stok baru sampai..."
"Okey. Kirim salam dia. Abang tak boleh lama. Buah hati ada urusan lain," ujar Tarmidzi dengan sengih sumbing. Aisyah ketawa kecil.
"Inilah akak yang selalu abang cerita, ya? Sampai juga hajat abang nak tunjukkan dia kedai ni..."
Tarmidzi ketawa kecil. "Okeylah Aisyah. Abang gerak dulu. Hati-hati..." pesan Tarmidzi sebelum melangkah keluar.
Amina mengekor dari belakang. Geram bila Tarmidzi buat tak faham je dengan dia. Konon kata suka! Huh!
"Hati-hati..." ajuk Amina lalu membuat muka. "Menyampah!" tambahnya lagi.
Tarmidzi menjeling ke arah Amina sekilas. "Cemburu ke?"
"Cemburulah!"
Ketawa besar Tarmidzi mendengar pengakuan Amina. Sungguh dia tak sangka Amina sejujur itu. "Mina... Apa nama butik yang awak masuk tadi?"
Amina menjeling Tarmidzi geram. Tukar topiklah tu! "Saya tak kisahlah apa nama butik tu! Tak ada kena mengena dengan saya pun..."
"Ada... Saya pilih nama butik tu, daripada gabungan nama kita berdua, tau!"
"Kenapa pulak?" Amina menoleh ke arah butik. Gabungan nama mereka berdua? Matanya membaca tulisan yang terpampang di atas bangunan itu. 'Minji Closet'?
"Tapi..." otak Amina ligat berfikir. "Butik ni awak punya?" soalnya terkejut.
Tarmidzi senyum senang hati. "Dah hampir dua tahun. Alhamdulillah, sambutannya menggalakkan. Selain butik, kitorang pun jual online."
Berkerut dahi Amina mendengar cerita Tarmidzi. Nampak gaya macam tak berbohong. Cuma, logik ceritanya seperti ada yang tak kena.
"Butik tu dah dua tahun, dan dua tahun dulu awal letak nama kita berdua?" Amina ketawa menyindir. "Dua tahun dulu awak dah kenal saya ke?"
Tarmidzi senyum simpul. "Saya dah kenal awak tiga tahun, Mina. Cuma awak je yang tak pernah kenal saya."
Mulut Amina bagaikan terkunci.
"Dan, saya berterima kasih dengan awak... Sebab awak, saya sentiasa berusaha untuk memajukan diri saya. Manalah tahu satu hari nanti ada jodoh antara kita, sekurang-kurangnya saya dah ada income sendiri untuk sara hidup kita..."
Amina memandang Tarmidzi lama. Tak ada nampak bergurau ataupun memainkan dia. Kisah dan perancangan Tarmidzi membuatkan dia kehilangan kata-kata. Dan kini Amina sudah nampak kenapa mak dengan ayah begitu berkenan sangat dengan Tarmidzi. Amina mengetap bibir. Tiba-tiba dia rasa malu sendiri dengan sikap sombongnya selama ni.
***
18
Lama Amina menyepikan diri. Tarmidzi menjadi tertanya-tanya sendiri apa silapnya yang membuatkan Amina bersikap begitu. Rasanya, tak ada apa yang menjadi perselisihan antara mereka masa kali terakhir mereka berjumpa. Takkanlah cemburukan Aisyah sampai macam ni sekali? Tarmidzi melihat kalendar di telefon. Masuk hari ni sudah 2 hari Amina menolak bila diajak berjumpa. Okey… baru dua hari. Tapi rasa macam dua minggu!
Tarmidzi mencari-cari nombor Amina. Bila namanya terpampang di skrin, laju dia mendail nombor itu. Untung-untung, mood Amina baik. Boleh dia ajak Amina keluar ke kedai mamak untuk supper. Lama dia menunggu panggilan di angkat. Bila dia hampir berputus asa dan hendak mematikan panggilan, tiba-tiba terdengar suara Amina di hujung talian.
"Miji… tolong saya Miji!"
Tarmidzi tersentak. "Mina! Awak ada kat mana ni?"
"Saya ada di hostel. Miji, awak datang sini sekarang boleh? Kita pergi hospital. Hajar demam ni… demam panas!" kata Amina sebelum menamatkan talian.
Tarmidzi bingkas bangun dan mencapai tshirt putih yang dia sidai di birai katil. Selesai menyarungkan tshirt ke tubuh, dia mencapai kunci kereta yang berada di atas meja. Laju Tarmidzi melangkah keluar sehingga menyebabkan rakan sebiliknya kehairanan.
***
Amina gelabah. Sesekali dia meletakkan tangan ke dahi Hajar untuk merasa suhu tubuh gadis itu. Panas! Buat kesekian kalinya dia melembabkan tuala dan meletakkan ke dahi Hajar. Risau sungguh Amina bila melihatkan keadaan Hajar sekarang. Sebenarnya sejak semalam lagi dia sudah perasaan keadaan Hajar yang nampak tak bermaya. Tapi disebabkan perang dinginnya dengan Hajar belum berkesudahan, Amina buat pandang tak pandang saja dengan Hajar walaupun dia perasan Hajar seolah-olah cuba memberitahu sesuatu kepadanya. Bila sejak petang tadi Hajar terbaring di atas katil tanpa bangun-bangun, barulah hati Amina diterpa rasa risau. Takkanlah dia nak buat tak tahu terus bila Hajar mula meracau, bercakap yang bukan-bukan?
Mendengar telefon bimbitnya berbunyi, Amina laju menjawab panggilan daripada Tarmidzi. Tadi, dia jadi mati kutu bila tak tahu hendak memanggil siapa. Mujurlah dia perasan telefonnya berkelip-kelip tanda ada panggilan masuk. Amina menarik nafas lega bila nama Tarmidzi yang terpampang di skrin. Lupa perang dinginnya dengan Hajar masih belum selesai, laju Amina meminta bantuan Tarmidzi untuk ke hospital. Huh! Dalam hati geram juga bila mengingatkan Ismail. Mana lelaki yang selama ni sibuk sangat dengan Hajar sehingga meninggalkan dia tanpa sebarang kata? Bila dalam kesusahan macam ni, Amina juga yang memberi bantuan.
Dalam kepayahan, Amina memapah Hajar sehingga ke kereta Tarmidzi. Terpandangkan wajah Tarmidzi, baru Amina teringat tindakannya menjauhkan diri daripada lelaki itu. Tindakannya itu bersebab. Dia malu... cukup malu dengan sikapnya selama ni. Siapa sangka lelaki yang nampak tak matang dan dia selalu memandang rendah rupa-rupanya punya cita-cita yang cukup besar? Dan baru semalam dia tahu Tarmidzi merupakan pelajar cemerlang setiap semester kerana pointernya yang selalu menghampiri four flat. Jadi, dia mahu masa bertenang. Dia mahu berfikir secara rasional. Dia tak mahu menggunakan Tarmidzi hanya kerana dia kesunyian ditinggalkan Ismail.
"Mina... Awak dah call mak ayah Hajar?" soal Tarmidzi sewaktu mereka dalam perjalanan ke hospital.
Amina menggeleng. Gelabah kerana Hajar yang demam panas sehingga dia tak sempat hendak berfikir apa-apa.
"Nanti sampai hospital, awak telefonlah. Nampak gaya Hajar macam lemah sangat..."
"Hrm..." balas Amina pendek.
Tarmidzi menjadi mati kutu. Tak tahu bagaimana hendak terus berbual apabila melihatkan reaksi Amina begitu. Tak puas hati dengan apa yang berlaku, laju mulutnya menuturkan soalan, "saya ada buat salah ke dengan awak?" soal Tarmidzi.
Amina sedikit tersentak. "Tak ada apa. Kenapa?"
"Sebab dah dua hari awak senyap. Saya mesej, tak reply. Saya call, awak tak angkat. Apa kesalahan yang saya dah buat?"
Amina menelan air liur. Entah kenapa di pendengarannya, nada Tarmidzi kedengaran berbeza sekali. Kedengaran marah dan kecewa.
"Berterus terang, Amina. Janganlah buat saya macam ni. Saya berusaha sungguh untuk ambil hati awak, tapi awak seolah-olah tak hargai langsung usaha saya..."
"Miji..." panggil Amina lembut.
Tarmidzi diam. Sedikit sebanyak terasa lembut hatinya mendengarkan panggilan Amina.
"Saya perlukan masa untuk berfikir..."
Tarmidzi diam. Menanti kata-kata seterusnya daripada bibir itu.
"Apa yang berlaku sejak kebelakangan ni, banyak menyedarkan saya tentang beberapa perkara. Jadi, saya perlukan masa...”
“Berapa lama?”
Amina menggeleng perlahan. “Saya tak tahu.”
Tarmidzi menghela nafas berat. Kalau ikutkan hatinya, mahu saja dia mengajak Amina menikah secepat mungkin. Tetapi, mungkin dia patut memberikan Amina masa. Kalau sudah jodoh, pasti takkan ke mana. Tapi kalau tiada jodoh? Mungkin kau patut belajar menerima hakikat, desis hati Tarmidzi.
“Mina... ambillah seberapa banyak masa yang awak inginkan. Saya takkan paksa awak. Saya akan berikan awak ruang sepenuhnya untuk awak berfikir, kalau itu yang awak nak. Dan kalau awak perlukan saya, awak tahu kat mana nak cari saya.”
Suasana kembali sunyi. Masing-masing melayan perasaan sendiri sehinggalah kereta memasuki perkarangan hospital.
***
“Aku minta maaf, Mina...” ujar Hajar bila tersedar dari lena. Amina kaget. Tak sangka Hajar sedar sewaktu dia melawat. Akhirnya Amina hanya mengangguk. Tak tahu hendak memberikan reaksi yang bagaimana semenjak hubungan mereka yang dingin kebelakangan ini.
“Dia tinggalkan aku. Dia cakap keluarga dia dah carikan calon isteri untuk dia. Sampai hati dia, Mina... dia mainkan aku!” tangis Hajar sungguh-sungguh!
“Aku terima dia dulu sebab aku yakin kau dengan dia tak ada apa-apa. Dia cakap kau dah bertunang dengan lelaki pilihan keluarga. Aku minta maaf, Mina. Aku bersalah. Aku tikam kau dari belakang sedangkan aku tahu kau memang sukakan dia. Aku minta maaf, Mina...” ujar Hajar lagi.
Amina terkelu. Mujurlah hanya mereka berdua di dalam bilik ni. Mak Hajar meminta diri untuk ke bilik air semasa Amina tiba tadi. Amina menggeleng perlahan. Hatinya yang beku mula cair apabila melihatkan air mata Hajar. Sungguh, dia masih sayangkan sahabatnya ni. Matanya menjeling tangan Hajar yang kejap memegang tangannya. Seolah-olah tidak mahu Amina pergi meninggalkannya lagi.
“Aku minta maaf, Mina. Aku sayangkan kau. Sungguh! Aku rindukan kau. Aku tahu aku bersalah. Aku tahu kau ada hak untuk buang aku daripada hidup kau. Tapi, aku minta kau satu peluang je lagi, Mina. Aku nak berkawan dengan kau. Sampai bila-bila...” rayu Hajar.
Amina tersenyum nipis. Akhirnya dia mengangguk perlahan. Pegangan Hajar dia balas. Semua orang berhak untuk dapatkan peluang kedua, bukan? Lagipun dengan apa yang berlaku, Amina yakin ada hikmah yang tersembunyi. Apa yang pasti, makin jelas Ismail bukanlah sebaik mana bila sanggup mempermainkan perasaan wanita begini.
“Terima kasih, Amina... terima kasih...”
Dan serentak dengan itu, dua sahabat baik itu berpelukan.
***
Bagai terpandang-pandang nama Tarmidzi muncul di skrin telefon. Amina menghela nafas berat. Apa sudah jadi, Amina? Bukan kau ke yang minta masa untuk berfikir? Jadi, kenapa kau pula yang terpandang-pandang kehadiran Tarmidzi? Amina memandang kalendar meja yang terletak di tepi meja. Kalau tak silap, minggu peperiksaan Tarmidzi dah habis. Rasanya, dah boleh dah dia menghubungi Tarmidzi bertanya khabar.
Amina mencari-cari nama Tarmidzi di dalam telefon. Sebaik saja nama dan nombor Tarmidzi terpampang di skrin, dia tersenyum di luar sedar. Hajar hanya menjadi pemerhati sejak tadi tersenyum. Sedikit sebanyak dia rasa gembira melihat Amina yang sudah kembali ceria sejak kehadiran Tarmidzi. Senyuman Hajar memudar bila melihatkan kerutan di dahi Amina. Apa pula masalah kawan baiknya ni?
“Kenapa, Mina?”
Amina menoleh ke arah Hajar. “Miji... aku tak dapat call dia.”
“Peliknya. Kau orang bergaduh ke?”
Amina diam. Gaduh? Tak ada gaduh rasanya. Cuma dia meminta masa untuk berfikir dan Tarmidzi bersetuju. Yakin mereka tidak bergaduh, Amina menggeleng perlahan.
“Tak adalah. Last aku contact dia, dia okey je?”
“Bila last contact?”
“Dua minggu lepas.”
Hajar menepuk dahi mendengarkan jawapan Amina. “Kenapa dua minggu lepas? Kenapa bukan semalam?” soal Hajar pelik.
“Err... sebab, aku minta masa untuk berfikir. Lagipun dia tengah final exam. Aku tak nak dia leka sangat!”
“Berfikir?”
Well, dia selalu ajak aku serius. Mungkin tunang, or kahwin macam tu. Tapi aku selalu lekehkan dia. Tapi rupa-rupanya...” Amina memejam mata. Wajah Tarmidzi yang tersenyum muncul di fikirannya.
“Dia bercita-cita besar. Untuk budak sebaya dengan dia, dia berjaya berdiri atas kaki sendiri. Bila dapat tahu, aku jadi malu. Sebab tu aku minta masa untuk berfikir. Aku...” Amina kematian kata-kata.
“Aku...tak nak terima dia sebab dia buktikan dia berjaya. Bukan budak lelaki yang selalu aku pandang rendah. Aku rasa bersalah. Aku tak tahulah Hajar...”
Hajar yang mendengar diam. “Dia nampak baik dan jujur, Mina. Aku rasa dia lebih dari gembira kalau kau bagi dia peluang...”
“Aku tahu...”
Suasana sepi seketika. Amina masih bermain-main dengan telefon di tangan. Tidak lama kemudian, tiba-tiba saja panggilan daripada Tarmidzi masuk.
“Assalamualaikum...” ucap Amina dengan sedikit debaran.
“Waalaikumsalam Amina...” balas Tarmidzi di hujung talian. “Sorry saya berebut sikit tadi. Baru nak angkat call, dah berhenti.”
“Hrm... awak sibuk ke? Sorry saya ganggu awak.”
“Tak apa Mina. Dah selesai check in dah ni.”
“Check in? Awak nak pergi mana?” kening Amina sudah bertaut.
“Oh? Saya tak beritahu awak ke?”
“Tak. Last kita jumpa, dua minggu lepas, Miji. Awak tengah final exam...”
“Oh...! Yeah... saya fikir saya tak patut sesakkan fikiran awak pasal saya. Sebab tu saya tak beritahu...” ujar Tarmidzi perlahan. Sedikit bersalah.
“Tarmidzi...! Awak nak pergi mana sebenarnya?” Jantung Amina mula berdegup kencang. Entah kenapa, terasa bagaikan Tarmidzi hendak pergi jauh meninggalkannya.
“Austria. Exchange student kat sana selama 1 semester.”
“Satu semester?!”
“Hrmm...”
“Ya Allah Miji... kenapa awak tak beritahu saya...?” Amina mengeluh berat. Tiba-tiba jiwanya rasa kehilangan. Tarmidzi sudah berada di airport. Penerbangannya bakal berlepas bila-bila masa saja. Lagipun, masakan dia hendak meminta Tarmidzi membatalkan segalanya hanya kerana perasaannya yang gila ni?
“Mina... tak ada apa yang berubah pun. Lagipun, kita boleh berhubung bila-bila masa je. Teknologi sekarang bukan macam dulu...” pujuk Tarmidzi. Sedih pula mendengarkan keluhan Amina.
“Tujuh bulan masa yang cukup untuk awak berfikir siapa saya pada awak, Mina. Dan saya harap bila saya balik nanti, saya tak perlu tunggu awak lagi. Kita bertunang dan nikah terus!”
Amina diam. Fikirannya semakin serabut. Jiwanya kacau. Tarmidzi menamatkan panggilan apabila pengumuman untuk penerbangannya sudah dibuat. Lama Amina berteleku di meja. Tanpa sedar, tiba-tiba saja air mata bergenang. Saya akan rindukan awak, Miji...
***
19
“Itulah, masa orang tu ada jual mahal sangat! Bila dah tak ada depan mata, nak makan pun tak ada selera!”
Panas telinga Amina mendengar sindiran maknya. Namun dia cuba untuk tidak mengambil peduli. Ibarat masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Hampir dua bulan Tarmidzi berada di negara orang. Selama dua bulan itulah mereka bertukar khabar melalui WhatsApp. Sesekali Tarmidzi menghantar gambar. Sesekali menghantar pesanan suara. Namun semua itu bukannya membantu. Lagi membuatkan Amina bertambah rindu adalah.
“Mina rasa nak pergi bercutilah, mak...” ujar Amina tiba-tiba. Spontan kepala maknya berpusing, memandang Amina yang sedang duduk d meja makan.
“Nak pergi mana? Bukan ke Mina cakap Mina tengah sibuk sekarang?”
“Sibuk, memanglah sibuk. Tapi... rasa otak dah tepulah, mak. Mina nak cuti.”
“Ke mana? Austria?”
Merah wajah Amina apabila maknya menyebut nama negara itu. Malu!
“Kalau pergi sana, agak-agak ayah bagi tak?”
Mak Amina menjeling Amina. Dia menyudahkan bilasannya yang terakhir. Kemudian, dia mengelap tangannya dengan tuala bersih sebelum mengambil tempat di sebelah anaknya itu.
“Mina dengan Miji sebenarnya macam mana sekarang? Jangan asyik bermain tarik tali... tak elok!”
“Hrm... macam itulah. Kalau ada jodoh, dan dia ajak Mina serius, insya Allah...”
Bulat mata mak Amina mendengar jawapan selamba Amina. “Sungguh ni? Tak bohong?”
Amina menguis-nguis bihun yang berbaki di pinggan. ‘Serius ke aku ni?’ soalnya pada diri sendiri. “Mina serius mak. Dua bulan dah Mina fikir. Kalau Miji masih sudi, Mina setuju je...”
“Kalau macam tu, nanti mak cakap dengan ayah. Soal pergi Austria tu, rasanya ayah tak ada masalah. Miji boleh diharap!”
Amina mengangguk perlahan. Turut merasakan perkara yang sama.
***
Sejuk! Itulah yang Amina rasakan sebaik saja menjejakkan kaki di bumi Austria. Datang melawat Tarmdzi bila musim sejuk hampir tiba, memang suhunya sudah mula rendah. Amina membetulkan baju sejuk yang tersarung di tubuh. Kaki dihayunkan ke arah tempat bas yang bakal membawanya ke hotel backpackers yang bakal menjadi tempat tidurnya selama seminggu ini. Tadi, setibanya dia di Vienna, terus dia menaiki kereta api untuk ke Graz. Kemudian dia menaiki bas pula untuk ke hotel. Hotel itu bukan saja terletak berdekatan dengan laluan pengangkutan awam, tetapi juga berdekatan dengan tempat tinggal Tarmidzi.
Kedatangannya tidak dikhabarkan kepada Tarmidzi. Sengaja Amina hendak membuat kejutan buat lelaki itu. Walaupun mak dan ayahnya tidak bersetuju dengan tindakannya, Amina keraskan hati. Hari ini saja dia akan bersendirian. Esok, dia akan berjumpa dengan Tarmidzi dan pasti selepas ini Tarmidzi akan melayannya ke sana-sini. Itupun kalau Tarmidzi tidak sibuk sangat. Kalau tidak, dapat makan bersama dengan Tarmidzi sepanjang keberadaan dia di sini pun sudah memadai.
Mujurlah tidak sesukar mana untuk mengembara seorang diri sebaik saja tiba di Graz. Dengan berbekalkan peta di tangan juga sedikit bahasa German yang dia belajar sejak Tarmidzi pergi, Amina berjaya juga check in di hotel. Perkara pertama yang muncul difikiran sebaik saja ternampak katil adalah, tidur! Badannya dah terasa sakit-sakit kerana sudah lama tidak berjalan jauh.
***
Subuh Amina dikejutkan dengan mesej Tarmidzi di WhatsApp. Awal-awal lagi Tarmidzi sudah menghantar pesanan selamat pagi. Pelik. Bagai tahu-tahu saja Amina berada dalam zon masa yang sama dengan dia. Selesai menunaikan solat subuh, laju Amina membongkar beg pakaiannya. Mencari makanan yang boleh dijadikan alas perut sementara menunggu masa untuk berjumpa dengan Tarmidzi.
Melihatkan jam sudah menunjukkan pukul tujuh, cepat-cepat Amina bersiap untuk keluar. Hendak ke tempat tinggal Tarmidzi sebelum Tarmidzi ke kampus. Amina berjalan ke arah tempat menunggu bas. Sementara menunggu bas tiba, sempat dia bergambar seorang diri dan menghantarkan gambar itu kepada Tarmidzi. Belum sempat Amina hendak menyimpan telefonnya ke dalam beg tiba-tiba telefon itu bergetar dan nama Tarmidi terpampang di skrin.
“Awak kat mana?” soalan pertama Tarmidzi sebaik saja salam berjawab.
“Cuba teka?” usik Amina ceria.
“Saya tak ada mood nak main teka-teki, Amina. Awak ke mana? Kenapa tak beritahu saya?” soal Tarmidzi tegang.
Amina mengetap bibir. Entah kenapa, dia tak suka dengan nada suara lelaki itu. “Kenapa awak moody ni, Miji?”
“Mana ada saya moody,” balas Tarmidzi dingin.
Moodylah kalau bercakap nada tegang macam ni...” ujar Amina lembut. “Saya ada di Graz.”
“You what?”
Amina ketawa kecil. “Suprise!”
***
“Sikit pun tak cerita pada saya, ya?” ujar Tarmidzi dengan muka geram. Melihatkan buah hatinya berada di depan matanya, sedikit sebanyak dia berasa lega. Wajah ceria Amina yang sedang menikmati piza keju yang dibeli tadi dipandang dengan seribu satu perasaan.
“Kalau cerita, bukan suprise namanya...” balas Amina ceria. Piza keju dinikmati dengan sepenuh perasaan. Bila Tarmidzi mengajak dia ke kedai menjual piza tadi, perutnya berbunyi bukan main. Walhal sudah dua bungkus roti dia bantai masa di hotel tadi.
“Mujur selamat sampai. Kalau jadi apa-apa tengah jalan semalam, macam mana?”
“Alhamdulillah dah selamat sampai pun, kan?”
Tarmidzi menggeleng perlahan. Mungkin Amina menyangka bahawa dia tak tahu langsung tentang kedatangan Amina. Hakikatnya, mak Amina awal-awal lagi sudah menelefon dia, memberitahu niat Amina untuk bercuti ke Graz. Dan bila penerbangan Amina berlepas, hampir setiap setengah jam dia akan track penerbangan Amina. Mungkin Amina tidak tahu, Tarmidzi senyap-senyap menunggu Amina dari jauh sewaktu penerbangannya tiba di Vienna. Risau benar dia semalam bila memikirkan keadaan Amina yang travel seorang diri. Di negara yang dia tak biasa pula tu!
“Jangan buat macam tu lagi. Saya tak suka tau! Sekurang-kurangnya, beritahu saya kalau nak ke mana-mana lepas ni...”
Amina mengangguk. “Iyalah, pak cik! Kalah ayah saya, awak ni...”
“Sebab saya sayang. Kalau saya tak sayang, saya buat tak tahu je...”
Amina tersenyum kecil. Dia menjeling ke arah Tarmidzi sekilas. Jambang yang mula tumbuh meliar membuatkan dirinya sedikit berbeza. Hilang sudah rindunya bila memandang wajah Tarmidzi.
“Awak busy ke hari ni? Sorry, kacau awak...”
Tarmidzi menggeleng. “Tak busy sangat. Masih boleh melayan awak, Mina...” balas Tarmidzi. Kopi panas yang masih berbaki separuh dia habiskan. Kemudian dia mengambil sepotong piza yang berada di antara mereka berdua.
“Kenapa habiskan air dulu? Nanti tersedak nanti kan dah susah?” tegur Amina.
“Tak apa. Air awak ada lagi, kan?”
Amina diam. Cawan kertas miliknya dijeling sekilas. Ada separuh lagi.
“Awak nak tengok universiti saya?” pelawa Tarmidzi. Melihatkan mata Amina yang sudah bercahaya, Tarmidzi ketawa kecil. Boleh baca jawapan Amina daripada riak wajah gadis itu. Oh Tuhan... bilakah masanya dia akan menjadi milikku?
***
Amina berjalan di Stadtpark sementara menanti Tarmidzi selesai dengan kerja-kerjanya. Tiada apa yang hendak di lakukan, dia hanya berjalan seorang diri sambil melihat bberapa monumen dan air pancut yang menjadi daya tarikan di Stadtpark. Berada dalam taman ini membuatkan Amina tidak terasa yang dia sedang berada di tengah bandaraya. Pokok-pokok dan rumput yang menghijau seolah-olah dia berada di dalam dunia lain.
Amina memandang ke arah langit. Cahaya matahari masih kelihatan walaupun tidak seperti di Malaysia. Patutlah kulit Tarmidzi semakin cerah. Penat berjalan, Amina duduk di kerusi yang terdapat di situ. Tak tahan dengan suhu yang rendah dan juga mati kutu kerana berjalan seorang diri, akhirnya Amina mendapatkan bas untuk pulang ke hotel.
Malam, Tarmidzi menjemput Amina di hotel untuk makan malam bersama. Mereka hanya menaiki kereta api untuk ke kedai arab terdapat di bandaraya Graz ini. Amina hanya menjadi pemerhati apabila Tarmidzi membuat pesanan di dalam bahasa Jerman. Entah apa agaknya yang dia cakap. Amina bukannya faham sangat. Bahasa Inggeris pula memang kurang digunakan. Kata Tarmidzi tadi, sewaktu dia ke masjid pun, kalau tidak bahasa Jerman, mereka berkomunikasi dalam bahasa Arab.
“Jadi sebenarnya, kenapa tiba-tiba awak datang sini? Rindukan saya?” soal Tarmidzi sementara menunggu makanan tiba.
Amina tersenyum. Nak cakap apa? Takkan nak cakap Mina rindukan Mijinya? Malulah dia! “Saya rasa nak bercuti. Memandangkan awak kat sini, boleh saya berjalan ke sini sekali...”
Tarmidzi merenung wajah Amina lama. “Boleh percaya ke?” soal Tarmidzi.
Amina mengangguk yakin. “So, macam mana awak dekat sini? Okey?”
“Okey je. Research yang saya buat pun berjalan baik. Pensyarah pun supportive dan constructive.”
“Oh... tak ada jumpa awek baru?”
“Awak nak saya cari ke?”
Nyaris tersedak Amina mendengar soalan Tarmidzi. Baru niat hendak mengusik, dia pula yang diusik. “Tak naklah...” balas Amina perlahan.
Tarmidzi menahan senyum. Amina, susah sangat hendak meluahkan apa yang dia rasa. “Kenapa tak nak?” uji Tarmidzi lagi.
Amina mengetap bibir. Apa yang patut dia jawab? “Hrm... sebab... kalau awak jumpa orang lain, saya dengan siapa pula...”
Lebar senyuman Tarmidzi mendengarkan jawapan Amina. Pelayan yang tiba membawa makanan mereka membuatkan perbualan mereka terhenti. Selepas membaca bismillah, laju Amina menyuap kebab ke mulut sebaik saja pelayan itu pergi. Sejak siang tadi perut dia sudah menyanyi. Tarmidzi memerhatikan tingkah Amina tanpa henti.
“Mina...”
“Hrm?” Amina mengangkat muka. Wajah Tarmidzi yang nampak serius dia pandang.
“Tak ada apalah. Makan dulu...” ujar Tarmidzi. Seperti Amina, dia turut menikmati kebab di hadapannya. Makan malam mereka hanya diserikan dengan bunyi sudu dan garfu yang berlaga dengan pinggan kaca. Sesekali diselikan dengan suara orang yang berbual. Amina dan Tarmidzi sama-sama fokus dengan makanan mereka tanpa sebarang suara.
“So...” Amina memecahkan sepi di antara mereka. Tarmidzi yang baru lepas menyedut jus miliknya mengangkat kening. Menunggu Amina meneruskan kata-katanya.
“Apa yang awak nak cakap tapi terhenti tadi?” soal Amina dengan penuh minat.
Tarmidzi meletakkan gelas berisi jus di sebelah pinggan. Dia menarik nafas dalam. Agak-agak Amina marah tak dengan perancangan gilanya?
“Saya ada benda nak cakap.”
“Okey... apa dia?” Dada Amina mula berdebar hebat. Baru sehari dia di sini, Tarmidzi sudah membuatkan jantungnya berdegup kencang macam ni.
Tarmidzi merenung ke dalam mata Amina. “Mina... kita kahwin?” ujar Tarmidzi senafas.
Dunia seakan berhenti berputar. Fikiran Tarmidi mula menggila membayangkan jawapan yang bakal keluar daripada mulut Amina. Pertama, macam mana kalau Amina mentertawakan dia dan menolak tanpa sebarang alasan? Kedua, bagaimana pula kalau Amina tiba-tiba menyatakan bahawa dia sudah ada lelaki lain? Ataupun kembali kepada Ismail? Ketiga, bagaimana kalau Amina hanya menganggap dia sebagai kawan dan tidak lebih daripada itu? Tarmidzi menelan air liur.
“Okey,” suara Amina mengembalikan Tarmidzi ke alam nyata. Mata Tarmidzi membulat.
“Awak cakap apa?” soal Tarmidzi tidak percaya. Amina cakap ‘okey’ kan tadi?
“Saya jawab okey. Awak ajak saya kahwin, kan? Okey. Saya setuju,” jelas Amina.
Dalam hatinya, hanya Tuhan yang tahu betapa terkejutnya dia bila Tarmidzi mengajaknya berkahwin. Lelaki yang tidak pernah berputus asa. Lelaki yang berjaya membuka pintu hati Amina untuk menerima dirinya. Lelaki yang berusaha membuktikan dia boleh berdiri di atas kaki sendiri dan menjaga Amina dengan sebaik mungkin. Jadi, Amina tidak berfikir panjang untuk menerima lamaran tak rasmi Tarmidzi. Mengingatkan perbualan dia dengan maknya sewaktu di Malaysia, Amina semakin yakin dengan keputusannya.
“Okey...” Tarmidzi kehilangan kata-kata. Tak sangka sekali dengan jawapan Amina. “Mak dengan ayah kita dalam perjalanan ke sini,” sambung Tarmidzi.
Amina mengerutkan dahi. “Maksud awak?”
***
Bagaikan mimpi! Itu yang dirasakan Amina sebaik saja dia selesai bergelar isteri Tarmidzi. Tak sangka, niatnya untuk membuat kejutan untuk Tarmidzi rupa-rupanya menjadi kejutan besar buat dirinya. Amina memandang Tarmidzi yang berjalan di sebelah. Kehangatan yang mengalir daripada tangan Tarmidzi ke tangannya menyedarkan Amina yang semua ini bukan mimpi.
Semalam pagi penerbangan ibu bapa mereka tiba di Vienna. Tersenyum-senyum kedua-dua pasangan suami isteri itu apabila melihat Tarmidzi dan Amina menunggu berdua. Amina sudah tak tahu hendak letakkan muka di mana. Dulu sewaktu ayah Tarmidzi merisik dia untuk Tarmidzi, dia menolak tanpa berfikir panjang. Kali ini pula, tiba-tiba saja dia bersetuju. Entah apalah agaknya yang orang tua itu fikir.
Dan pagi tadi, mereka di nikahkan di Islamic Centre yang terdapat di Graz. Majlis pernikahan yang ringkas yang dihadiri oleh ibu bapa masing-masing. Amina hanya ikutkan saja perancangan Tarmidzi. Entah kenapa, dia tidak rasa hendak membantah. Doa apalah agaknya yang dibaca oleh Tarmidzi untuk melembutkan hati dia.
“Jauhnya termenung. Abang cakap pun tak dengar...” rungut Tarmidzi. Amina menoleh ke arah Tarmidzi di sebelah. Lancar saja lidah dia membahasakan diri sebagai abang.
“Terkejut lagi dengan semua ni...” ujar Amina lalu ketawa kecil.
“Abang minta maaf sebab tak minta pendapat Mina. Mujurlah Mina setuju je bila abang buat keputusan...” ujar Tarmidizi lalu menarik rapat tubuh Amina ke arahnya. Berada di luar negara, menunjukkan kasih sayang di tempat terbuka bukanlah suatu perkara yang ganjil. Bahkan, Tarmidzi semakin bangga apabila berjalan dengan Amina sebagai suami.
“Mina okey je. Kalau tak, mesti dah balik Malaysia sekarang.”
Tarmidzi ketawa kecil. Bahagianya hati dia sekarang, hanya Tuhan yang tahu. “Kalaulah Mina tinggal dengan abang, boleh abang bawa Mina berjalan. Honeymoon.”
“Tak apa. Lain kali pun boleh. Kita sama-sama ada tanggungjawab lain. Itulah! Abang yang tak sabar sangat nak menikah!”
“Benda baik, kan? Apa salahnya...? Bukannya baru ini abang ajak kahwin. Lebih dari tiga bulan lepas rasanya”
Amina tersenyum. “Iyalah. Jom, cepat! Bising nanti mak-mak kita tunggu barang tak sampai-sampai...”
Tarmidzi ketawa. Teguran Amina menyedarkan tentang tujuan mereka berdua keluar tadi. Langkah dipercepatkan untuk menuju ke rumah dengan tangan membawa barangan dapur yang dikirim oleh maknya tadi.
***
“Jaga diri...”
Amina mengangguk.
“Jangan nakal-nakal...”
Angguk lagi.
“Rindukan abang...”
Serentak dengan itu, air Amina luruh. Percutiannya selama seminggu berakhir juga. Jari Tarmidzi menyapu lembut air mata isterinya yang sudah membasahi pipi. Sejak berkahwin dengan Amina, semakin banyak perkara tentang diri Amina yang dia pelajari. Tubuh Amina didakap erat. Hampir seminggu menjadi suami Amina, merupakan waktu yang paling membahagiakan. Amina membalas pelukan Tarmidzi. Dia akan merindui lelaki ini sehinggalah lelaki ini kembali ke tanah air untuk menamatkan ijazahnya.
“Nanti kita skype, WhatsApp, WeChat, Facetime, semualah!” ujar Tarmidzi.
Amina ketawa kecil. Rasa panas mukanya dek kerana menangis. Tetapi menangis kerana berpisah dengan suami rasa berbeza dengan sewaktu mereka berpisah dua bulan lepas. Hidung Amina ditarik lembut. Kucupan demi kucupan dia hadiahkan di dahi dan kedua belah pipi isterinya.
“Allah akan jaga kita. Insya Allah, enam bulan lagi abang balik...”
Amina mengangguk. Semangatnya dikuatkan. Sayang isteri, tinggal-tinggalkan. Amina bersalam dengan Tarmidzi sebelum masuk ke balai perlepasan. Ibu bapa mereka yang sudah menunggu dari dalam hanya tersenyum simpul.
***
Enam bulan berlalu....
Amina terjenguk-jenguk dari luar balai ketibaan, mencari susuk tubuh suaminya yang sudah hampir enam bulan tak bertemu. Mujurlah teknologi sekarang di hujung jari, jadi hampir sepanjang masa mereka berhubung. Bercinta. Enam bulan yang memenatkan perasaan dan memeritkan jiwa. Ditambah pula apabila Amina disahkan bunting pelamin. Rosak terus plan untuk membuat majlis besar-besaran untuk mereka berdua.
Tarmidzi menolak troli yang sarat dengan muatan. Matanya melilau mencari Amina di luar. Sebaik saja terpandang wajah manis itu, bibir Tarmidzi membentuk senyuman. Semakin lebar apabila pandangannya jatuh ke arah perut isterinya yang sudah mula membulat. Alhamdulillah, selamat sudah satu semester berada di negara orang. Selamat sudah dia bergelar suami orang. Dan alhamdulillah atas rezeki yang Allah kurniakan tanpa disangka-sangka. Mujurlah mak ayah dan mak ayah mertuanya sporting, membantu dia menjaga Amina di sini.
Tarmidzi mempercepatkan langkah menuju ke arah Amina. Laju Amina menghulurkan tangan untuk bersalam dan mereka berpelukan melepaskan rindu. Tarmidzi mengusap lembut perut Amina. Yang ini memang tiada dalam perancangan. Bagai bermimpi bila lagi tiga bulan dia bakal mempunyai anak sendiri.
“Mina sihat?”
Amina mengangguk. Hilang segala kepenatan apabila melihat sang suami di depan mata.
“Jom, kita balik...” ajak Tarmidzi. Tangan Amina dicapai dan mereka berpimpinan tangan menuju ke pintu keluar. Sebuah teksi sudah menunggu mereka berdua. Memang sengaja Tarmidzi tidak membenarkan Amina memandu sendiri. Risau benar bila mengingatkan isterinya itu sedang mengandung,
“Mak dengan ayah ada dekat rumah ke?”
“Haah. Sibuk menguruskan persiapan majlis esok.”
Tarmidzi mengangguk. Majlis yang dikatakan Amina merupakan majlis doa selamat untuk mereka berdua. Tarmidzi mengusap-usap tangan Amina yang berada di dalam pegangannya. Bagai tidak mahu dilepaskan. Sesekali dia menjeling ke arah Amina. Si penyejuk mata dan hatinya. Mudah-mudahan anak di dalam kandungan itu nanti turut menjadi penyejuk mata dan hati.
“Terima kasih...” ucap Tarmidzi perlahan. Rasa tak cukup dengan terima kasih untuk dia ucapkan buat Amina. Kesediaan Amina menjadi isterinya juga pengorbanan Amina membawa zuriatnya seorang diri selama enam bulan ini membuatkan dia rasa terharu.
“Hrm? Terima kasih kenapa?” soal Amina walaupun sudah boleh diagak apa yang Tarmidzi maksudkan.
Tarmidzi memeluk Amina mesra. “Terima kasih untuk segala-galanya.”
“Sama-sama kasih, abang. Welcome home...” bisik Amina perlahan. Tarmidzi mengganguk. Senyum.
“I’m home...”
~Home is where the heart is~
.
Start: 201508
End: 201512

6 comments:

Anonymous said...

Best....hehe.

Zara said...

So sweet!! Thank you for the awesome cerpen!

Anonymous said...

Thumbs up!

meeka42 said...

Best >.<

Unknown said...

Menarik sangat! Lama mnunggu n3 baru dpt minji ni sgt superb

ana said...

Sis serius best! rindu gile dengan kasih suci sume tu. keep it up!