::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

27 September 2017

Cerita Pendek: Karma Part 3 [end]


13

“Terima ajelah. Kau nak fikirkan apa lagi?”

Iliana memandang muka Zila dengan riak tak percaya. “Kau suruh aku terima?”

Zila mengangguk.

“Kau tahu kan kita tengah bercakap tentang Hazrul sekarang ni?”


“Ye. Hazrul. Bakal tunang kau dalam seminggu lagi dan bakal jadi suami kau dalam dua bulan lagi.”

Iliana menelan air liur. Bila Zila tolong congak berapa hari lagi pertunangan dan pernikahannya dengan Hazrul, kakinya rasa seram sejuk. Ah! Tak boleh jadi!

“Aku nak keluar. Nak ikut?”

“Kau nak lari ke?”

Iliana menjeling Zila geram. “Aku kalau lari, aku lari senyap-senyap je. Tak ajak kau, tau!”

Zila ketawa. Kepalanya digelengkan perlaham.

“Kau keluarlah. Aku nak tengok drama. Suami Aku Drebar Lori!” ujarnya dalam tawa.

Iliana mencebik. Tanpa berlengah, terus dia ke bilik untuk bersiap. Bukannya hendak ke mana pun, dia hanya hendak ke mall untuk mencari aiskrim. Kebiasaan yang dia lakukan apabila stress dengan kerja.

Lima belas minit memandu, Iliana melangkah masuk ke dalam mall yang terang benderang. Jam baru menunjukkan pukul lapan empat puluh malam. Orang pun masih ramai berjalan dalam mall ni. Iliana terus mengatur langkah untuk ke Baskin Robbins. Tidak sampai sepuluh minit, Iliana duduk di atas kerusi yang disediakan untuk menikmati aiskrim di tangan.

“Ayah… Fahmi nak aiskrim coklat. Please ayah?”

Suara anak kecil itu menarik perhatian Iliana. Iliana mengangkat muka dengan penuh debar. Tatkala pandangannya jatuh pada seorang kanak-kanak lelaki bersama ayahnya, badan Iliana terasa seram sejuk.

“Abang pergi duduk dulu. Nanti ayah bawakan aiskrim,” ujar si ayah.

“Okey ayah. Thank you…” balas Fahmi.

Laju si anak mencari tempat kosong untuk duduk. Iliana yang cuba mengelak daripada dikenali menunduk untuk menyembunyikan mukanya daripada dilihat Fahmi. Matanya tekum memerhatikan telefon bimbit di tangan. Harap-haraplah anak beranak ni tak nampak dia di sini.

“Eh? Aunty Yana!”

Badan Iliana kaku. Ah, sudah! Fahmi mengenali dia walaupun dia sehabis boleh cuba untuk mengelak daripada bertentangan. Boleh dia rasa Fahmi sudah berdiri di sebelah. Demi menjaga air mukanya di hadapan anak kecil itu, Iliana memusingkan badannya. Ceria wajah Fahmi menyapa pandangannya. Tangan dihulur tanda hendak bersalam.

“Fahmi… Fahmi sihat?” Iliana turut menghulurkan tangan. Dengan sopan Fahmi menyambut dan mencium tangan Iliana. Oh bekas bakal anak tiriku!

“Iliana…” tegur satu suara yang paling Iliana hendak elak.

Iliana mengangkat muka. Dia dan Zul berbalas pandangan. Iliana mengawal riak wajahnya. Dua tahun berlalu, tunjukkan yang kau wanita yang kuat, Iliana!

***
14

“Jemputlah datang majlis saya nanti. Dua bulan dari sekarang insya Allah…”

Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya sendiri. Iliana menampar-nampar pipinya perlahan. Kenapalah dia boleh cakap begitu tadi? Semuanya sebab dia tak nak nampak lemah dan kalah. Mana tidaknya? Selepas Zul menegurnya, Fatin berjalan masuk ke dalam Baskin Robbins dengan anak kecil mereka. Nampak benar mereka semakin bahagia.

“Kenapalah bijak sangat aku cakap macam tu? Pinangan si Hazrul itu pun belum tentu aku terima…” Iliana membebel sendiri.

“Pandai Iliana! Nak nampak kuat sangat, menempah bala. Alahai Iliana… Iliana…” tambahnya lagi.

Sampai di rumah, Zila masih menonton drama Melayu di televisyen. Dia punya fokus, sampai langsung tak menegur Iliana nak baru pulang.

“Nah aiskrim kau.”

Iliana meletakkan bekas aiskrim di atas meja kopi. Tanpa sebarang suara, Zila mengambil bekas itu dan mula mencedok aiskrim dengan sudu yang diberikan.

“Aku jumpa Zul tadi.”

Zila terhenti menyuap. Pandangannya dialihkan daripada kaca televisyen ke muka Iliana yang tidak beriak di sebelahnya. Kisah Iliana terasa lebih menarik daripada drama Suami Aku Drebar Lori yang sedang ditayangkan.

“Dia ada kat sini?”

Iliana mengangguk. “Pindah sini balik tahun lepas.”

“Oh…” Zila sambung menyuap aiskrim. “Kau ok, kan? Cerita dua tahun lepas. Takkan kau masih mengharap?”

“Gila kau. Aku tak desperate mana nak kan dia.”

“Bagus! Maknanya kau dah move on sepenuhnya. Fikirkan masa depan kau je, Na. Takyah dikenang-kenang barang yang lepas. Tu Hazrul tu. Dia tu masa depan kau.”

Iliana mencebik. Tangan membuka lilitan selendang di kepala. Dalam pada masa yang sama, dia memikirkan kata-kata Zila tadi. Hazrul masa depannya? Entahlah. Dia masih tidak yakin untuk menerima Hazrul. Dia sendiri tak tahu dia tidak yakin dengan Hazrul ataupun tidak yakin dengan diri sendiri. Tapi bila Hazrul sudah katakan dia ikutkan saja keputusan kedua orang tuanya, tinggal dia yang perlu membuat keputusan.

‘Terima atau tolak?’

Iliana menelan air liur. Persoalan itu masih berlegar-legar di fikirannya. Wajah Hazrul menerpa ingatannya. Hazrul sekarang bukanlah Hazrul sepuluh tahun dulu. Jadi dia tak boleh nak agak apa yang lelaki itu rasa dan fikirkan. Dia dengan Hazrul sudah menjadi orang asing. Agak-agak kalau dia tak balik masa rombongan Hazrul datang nanti, apa jadi agaknya?

Bunyi telefon bimbit yang sayup-sayup dari dalam bilik mematikan khayalan Iliana. Terus dia bangun untuk menjawab panggilan tersebut. Membaca nama Puan Salma di skrin, Iliana menghela nafas berat.

“Buat apa sampai mak telefon sepuluh kali tak berangkat?” bising Puan Salma. Mana tidaknya, sepuluh kali dia mendail nombor Iliana tetapi tidak berangakat. Manalah tahu tiba-tiba anak perempuannya buat perangai pula.

“Na keluar tadi. Telefon tertinggal kat rumah. Kenapa mak?”

“Tak adalah apa. Sajalah mak telefon kamu nak dengar khabar. Bila balik sini? Cuti dah dapat belum? Rombongan Hazrul nak datang Sabtu ni. Kamu jangan buat perangai tak nak balik pulak.”

Iliana mengetap bibir. Risau pula kalau permintaannya nanti menyebabkan darah tinggi Puan Salma naik secara tiba-tiba.

“Mak…”

“Apa dia, Na?” suara Puan Salma masih lembut di hujung talian. Hatinya mula gundah. Terasa lain nada suara Iliana malam ini.

“Kalau Na tak balik weekend ni, boleh tak? Kita batalkanlah urusan hujung minggu ni. Na tak payah bertunang…” ujar Iliana. dengan berhati-hati.

“Iliana!” nada suara Puan Salma meninggi. Apa yang dia takutkan menjadi juga. Alahai Iliana anak bertuah!

Karma 15

“Saya tak sangka awak sekejam ni, Iliana.”

Menyirap darah Iliana mendengarkan suara Hazrul yang keras itu. Punyalah Iliana cuak memikirkan pelbagai cara untuk menjawab panggilan Hazrul dengan elok tadi, tiba-tiba lepas jawab telefon dia kena sound pula.

“Dah kenapa telefon saya terus nak tuduh-tuduh macam ni?” marah Iliana. Tak boleh terima betul rasanya. Macam ni nak kahwin dengan aku? Huh!

Hazrul terdiam.

“Hah! Hilang dah suara? Tadi marahkan saya bukan main. Apa yang awak tak puas hati lagi?”

“Sampai hati awak kan? Come on Iliana. Benda dah lama berlalu. Tak boleh ke awak buka buku baru?” nada Hazrul mula mengendur.

“Awak cakap pasal apa ni? Saya tak fahamlah….” nada Iliana turut kembali rendah.

“Kenapa batalkan pertunangan kita?” Hazrul terus menyoal tanpa konar.

“Batal atau tak, tak ada beza pun…”

“Banyak bezanya. Awak batalkan bermaksud awak menolak saya, pinangan keluarga saya, Iliana!” nada Hazrul mula mengeras.

Iliana menggeleng perlahan. Confirm Hazrul dengar berita tak habis ni. Agaknya masa Cik Aya cakap tak jadi bertunang, berkejar dia untuk telefon aku.

“Kan awak yang cakap, suka hati saya nak buat apa yang saya nak. Yang awak nak melenting sangat ni kenapa?” sindir Iliana.

“Awak tak matang Iliana. Awak langsung tak pernah bagi saya peluang, kan?”

“Saya ni pilihan keluarga awak je pun, kan? Kalau betul pun saya tolak pinangan keluarga awak tu, awak tak patut melenting macam ni. Cakap saya tak matang konon. Awak patut cermin diri awak sebab awak pun tak matang sama. Macam manalah keadaan kita dah kahwin nanti. Saya tak boleh nak bayangkan…”

“Jap. Awak cakap apa ni? Saya tak faham…”

“Jumpa awak dua bulan lagi, Hazrul. Doa sajalah rumah tangga kita aman dan tenang nanti Bak kata awak, berkat restu kedua orang tua kita,” sindir Iliana sebelum dia menamatkan panggilan.

Iliana mencampakkan telefon ke atas katil dengan geram. Kalau Hazrul depan dia sekarang, entah apalah dia akan buat pada lelaki itu. Bunyi mesej yang baru masuk membuatkan Iliana mencapai kembali telefon bimbitnya. Mesej pendek daripada Hazrul dia baca.

Jumpa hujung minggu ni. Saya ke sana. - Hazrul

Iliana mencebik.

Tak payah. Jumpa dua bulan je lagi. - Iliana

Banyak benda kita kena uruskan. Saya tak akan benarkan awak buat sesuka hati untuk majlis kita nanti. - Hazrul

Iliana membaca balasan Hazrul dengan sakit hati. Suka hati awaklah Hazrul!

***

Hujung minggu itu, Hazrul sudah terpacak depan rumah Iliana. Iliana yang baru hendak keluar mencari sarapan memandang Hazrul tanpa perasaan. Pukul berapa pulalah lelaki ni tiba? Seingatnya, tak ada panggilan telefon mahupun mesej daripada Hazrul subuh tadi.

“Morning,” sapa Hazrul apabila melihat Iliana berjalan menghala ke pintu pagar.

“Hrm... dah breakfast?” Iliana menyoal.
Hazrul menggeleng.

“Jomlah. Awak drive, saya tunjukkan arah,” ujar Iliana pendek. Kemudian pintu kereta Hazrul dibuka. Terpaksalah dia buat muka selamba dan membiasakan diri. Tambahan pula dua bulan lagi bakal hidup berdua.

Hazrul memandu tenang keluar dari taman perumahan Iliana. Iliana pula hanya memberikan arahan menuju ke kedai sarapan pagi sepatah-sepatah. Sungguh dia masih kekok bila berhadapan dengan Hazrul.

Sampai di kedai makan, Iliana terus ke arah sebuah meja yang terletak di tengah-tengah kedai. Belum sempat dia menarik kerusi, Hazrul mencuit lengannya dan menunjukkan ke arah sebuah meja di penjuru kedai. Sedikit jauh daripada meja-meja yang lain. Iliana memandang wajah Hazrul yang serius. Boleh baca kenapa Hazrul mengajak dia duduk di situ. Aduh… mahu atau tidak, dia kena hadap juga.

“Apa je aktiviti hari ni?” soal Hazrul selepas mereka memesan makanan. Wajah Iliana di hadapannya dipandang. Walaupun sudah sepuluh tahun berlalu, wajah gadis ini tidak berubah. Semakin cantik dan semakin manis.

“Tak ada apa. Plan nak husband hunting terpaksa cancel.”

Terangkat kening Hazrul mendengar. “Husband hunting? Really?”

Iliana hanya senyum sinis.

“Tak guna pun awak pergi husband hunting. Sepuluh tahun awak cari pun akhirnya dengan saya juga,” balas Hazrul selamba.

“Yakinnya awak?” soal Iliana sinis. “Apa-apa pun boleh terjadi dalam masa dua bulan ni. Kalau tak saya yang berubah, awak yang berubah.”

“Memang saya tak boleh nak yakin seratus peratus pun. Tapi…” Hazrul tidak meneruskan kata-katanya.

Iliana mengangkat muka. “Tapi?”

“Makanlah ajelah,” ujar Hazrul bila makanan mereka tiba. Secara tidak langsung terus mematikan perbualan mereka.

“Nanti kita pergi kedai kopi yang selesa sikit. Saya nak bincang tentang majlis kita dengan awak. Banyak yang saya dah uruskan. Tinggal nak cari cincin, baju, barang hantaran dan kalau apa-apa yang saya tertinggal.”

"Chop! Sekejap. Ada yang tak kena dalam ayat awak tadi. Cuba ulang balik?”

Hazrul memandang Iliana dengan riak pelik. Kata-katanya tadi diulang semula. Bahagian mana yang Iliana tak faham?

“Nak bincang tapi banyak yang awak dah uruskan?”

Hazrul mengangguk. Telefon bimbitnya dia scrol. Senarai persiapan perkahwinan dia belek. Ini pun Hazirah yang banyak membantu ni.

“Oh! Untuk majlis kita, mak ayah kita dah setuju nak buat sekali. Jadi, saya dah booked dewan dan tukang masak, pelamin. List tetamu belum finalise lagi. Baju sanding kita tempah. Nanti balik kampung kita pergi tengok yang mana awak nak. Untuk hari ni kita cari kain untuk buat baju. Untuk HIV test saya dah buat. Tinggal tunggu awak saja untuk kita hantar borang kebenaran nikah,” satu demi satu dia baca dan terangkan. Iliana ternganga.

“Wow. Cepat betul ya? Kalau tiba-tiba saya kata tak nak bertunang dan kahwin dengan awak hari tu macam mana?” soal Iliana. Tiba-tiba dia jadi gerun membayangkan majlis mereka dua bulan lagi. Sejujurnya tidak langsung tak bersedia dari segi mental mahupun fizikal.

“Benda nikah bukan boleh buat main. Mana yang saya boleh uruskan, saya buatlah. Saya dah cakap, saya tak akan biarkan awak rosakkan hari bahagia saya.”

“Bahagia ke kalau kahwin dengan saya?” sindir Iliana.

“Awak pilihan keluarga saya. Insya Allah bahagia,” jawab Hazrul yakin.

Iliana hanya mampu menghela nafas berat.

Karma 16

Tinggal dua minggu saja lagi sebelum hari pernikahan mereka tiba. Iliana sudah tidak senang duduk. Tidurnya tidak lena. Mandinya tidak basah. Bukan kerana dia dilamun rasa cinta, tetapi kerana risau hendak masuk ke dunia baru. Dunia dia dengan Hazrul.

Iliana termenung di atas sofa, memerhatikan televisyen yang terpasang tanpa fokus. Minggu ini dia tidak ke mana-mana. Masa Hazrul mesej kata nak datang pun dia tak bagi. Dia nak rehat. Dia nak tenangkan fikiran.

‘Bagi saya ‘me time’ sebelum saya kena habiskan sisa hidup saya dengan awak’

Itu yang dia balas pada Hazrul sehingga menyebabkan lelaki itu terus tidak menghubungi dia. Hazrul sentap? Ada dia kisah?

“Oit… jauh menung?” suara Zila menyapa gegendang telinganya.

Iliana memandang Zila sekilas sebelum kembali memandang televisyen di depan.

“Aku rasa aku tak bolehlah Zila.”

Laju Zila menoleh. “Tak boleh apa?”

“Kahwin,” balas Iliana pendek. Serentak dengan itu, kuat ZIla menampar lengan dia.

“Aduh! Sakitlah!” marah Iliana.

“Tahu pun sakit. Itu sakit sikit je tau. Tak fikir ke sakitnya hati mak ayah kau, sakit hati Hazrul, keluarga Hazrul…” bebel Zila. Bukan betul sangat Iliana ni. Buatnya dia ikut gila dia tu, mana keluarga Hazrul nak letak muka.

“Aku risau. Aku tak tahu boleh hidup dengan dia ke tak…”

“Sejak kebelakangan ni aku tengok korang berdua elok je? Takkanlah sikit pun tak ada rasa sayang?”

Iliana sekadar mengangkat bahu. “Dia yang nak sangat datang sini. Tak nak aku rosakkan majlis perkahwinan dia. Eh, majlis dia tu majlis aku jugak tau!”

Zila tersengih. “Kau ni cold feet ni. Sabar. Fikir apa kebaikan Hazrul sepanjang kau kenal dia. Aku yakin korang memang dah diciptakan untuk satu sama lain…”

“Mana kau tahu? Macam mana kau boleh yakin?”

“Entahlah ya? Bila aku tengok korang berdua, korang complement each other. Kau dengan gila kau, Hazrul dengan gila Hazrul. Tapi gila tu fit satu sama lain. Anak-anak korang mesti cheeky gila nanti…”

Iliana menjeling Zila. “Pandai-pandai je kau ni…”

“Betullah…” Zila dah ketawa. Nampak Iliana sudah sedikit relaks.

“Disebabkan kau tengah macam ni, apa kata kita keluar. Nak? Tengok wayang ke… karaoke ke… anything. Sebelum kau kahwin. Minggu depan kau dah start cuti, kan?”

Iliana diam memikirkan saranan Zila. Menarik juga. Lagipun lama dia tak keluar berseronok dengan Zila.

“Jom,” putusnya dengan semangat.

Zila tersenyum senang hati. “That’s my Iliana!”

***

Iliana sudah mula bercuti. Tinggal lagi beberapa hari saja lagi hari bersejarah dia dan Hazrul bakal tiba. Kalau sebelum ini dia gelabah, kini perasaannya mula tenang. Mungkin selepas dia memegang prinsip ‘apa nak jadi, jadilah’ membuatkan dia malas hendak berfikir panjang dan redah saja apa yang ada di hadapannya.

Sedang Iliana sibuk membantu Puan Salma di dapur, sayup-sayup telefon bimbitnya berbunyi dari dalam bilik. Laju Iliana berlari. Sebaik saja dia mendapatkan telefon bimbitnya, nama Hazrul dibaca sekilas. Degupan jantungnya tiba-tiba saja hilang rentak.

“Hello…”

“Assalamualaikum Iliana.”

“Waalaikumsalam. Ya?”

“Nanti kakak nak hantarkan baju nikah dan sanding. Saya dah berikan nombor telefon awak pada dia. Tunggu ajelah dia telefon nanti.”

“Oh…” Iliana mengangguk faham. Kakak tu merujuk kepada Hazirah. Satu-satunya kakak yang Hazrul ada.

“Itu saja?” soal Iliana bila Hazrul tidak menambah apa-apa lagi.

“Hrm…”

Entah kenapa hati Iliana sedikit kecewa mendengarkan balasan Hazrul. Sudah beberapa mingu tidak menghubungi dia, itu saja yang dia nak beritahu?

“Kenapa bukan awak yang hantar?” soal Iliana. Cuba memanjangkan bicara.

“Tak ada bezanya saya hantar atau kakak yang hantar. Yang penting baju tu sampai kat tangan awak dan awak boleh pakai masa majlis kita nanti,” balas Hazrul dengan nada yang sedikit menyakitkan hati.

Iliana membuat muka. Menyampahnya! Macam tak boleh jawab elok-elok!

“Suka hati awaklah…” ujar Iliana sebelum mematikan talian. Hish! Baru ingat nak berbaik-baik sebelum menikah, dah dia sakit hati lagi dengan cara Hazrul.

Jam dua petang, Iliana menerima panggilan telefon daripada Hazirah. Hazirah sudah menunggu di luar rumah untuk menghantar baju. Bergegas Iliana mencapai tudung dan menyarung selipar untuk mendapatkan Hazirah.

“Terima kasih, kak.”

“Sama-sama. Cantik betul baju korang berdua. Jeles akak tengok…” Hazirah menghulurkan sepasang kurung moden berwarna putih yang dihiasi dengan renda dan manik. Baju yang akan dipakai sewaktu nikah nanti.

Iliana hanya ketawa kecil. “Hazrul yang pilih.”

“Okeylah tu. Dia memang bersungguh betul merancang majlis korang berdua. Tak nak ada cacat kata dia. Nak jadikan hari perkahwinan korang kenangan yang paling manis buat Iliana dia cakap.”

Iliana ketawa kekok. “Iya ke?”

“Iye. Bersyukurlah Na. Hazrul tu sayang betul-betul dekat Na tau. Beriya dia minta mak risikkan tentang Na daripada Mak Cik Salma. Kalau betul Na tak ada sesiapa, dia nak pinang Na. Akak cakap bukan sebab back up dia adik akak. Tapi sebab akak kenal Hazrul tu dari kecik lagi. Akak boleh teka apa yang dia fikir, apa yang dia rasa…” kata Hazirah lalu menghulurkan sepasang lagi kurung moden berwarna peach untuk majlis sanding. Kedua-dua baju ini ditempah khas dengan tukang jahit di kampungnya. Hanya kain yang mereka pilih bersama.

Mendengarkan penerangan Hazirah, Iliana terdiam sendiri. Beriya-iya Hazrul berkata Iliana hanya pilihan keluarga Hazrul. Rupa-rupanya lain ceritanya.

“Hazrul punya baju dah ambil sekali?”
“Dah. Hazrul terpaksa uruskan ladang ikan dia hari ni. Tu yang minta akak ambilkan…”

Patutlah…

“Lagipun mak tak bagi dia jumpa Na dah dekat-dekat majlis ni. Maklumlah, tengah berdarah manis takut lain jadinya…”

Iliana hanya ketawa kecil. Sama saja mentaliti Cik Aya dengan Puan Salma. Orang-orang lama ni memang menjaga betul pantang dan adat melayu. Selagi tak bercanggah dengan hukum agama, dia ikutkan saja. Lagipun, tak ada sebab dia beriya nak jumpa Hazrul. Dah nak kahwin dah pun. Panjang jodoh, seumur hidup dia kena hadap muka lelaki tu.

“Oklah, akak balik dulu. Nanti cubalah bajunya. Kalau nak alter apa-apa boleh beritahu awal-awal. Ada masa lagi sebelum majlis,” pesan Haziral sebelum pulang.

Iliana membawa dua pasang persalinannya ke bilik. Kemudian dia mencuba satu demi satu persalinan yang ada. Sewaktu dia memerhatikan diri di dalam cermin dengan tubuh tersarung baju nikah, Iliana menelan air liur. Tak sangka dalam masa beberapa hari lagi dia bakal menjadi isteri Hazrul. Fuh…!

***

Karma 17

Rombongan daripada pihak Hazrul masih belum tiba. Masing-masing yang berada di rumah pihak perempuan sudah mula tak senang duduk. Sudah dua puluh minit berlalu, kenapa rombongan Hazrul lewat sangat? Sedangkan bukannya jauh benar rumah mereka. Hanya lorong sebelah saja.

Iliana cuba menenangkan diri. Jari-jemarinya terasa seram sejuk. Janganlah perkara yang tidak elok berlaku. Kalau dia ada calon untuk menjadi pengganti Hazrul tak mengapa juga. Dia tarik saja pengganti itu kalau tiba-tiba Hazrul buat onar. Jadi pengantin lelaki bidan terjun pun tak apa. Dia upah saja lelaki itu jadi suaminya seumur hidup.

“Masih tak dapat hubungi keluarga Hazrul lagi, abang?” Puan Salma menyoal suaminya. Susah hati bila bayang rombongan lelaki masih tak kelihatan.

“Dah. Tadi abang dapat bercakap dengan abang Mus. Hazrul cirit birit katanya…”

Barulah masing-masing menarik nafas lega mendengarkan penerangan Haji Rosli. Puan Salma sudah menggelengkan kepala. Entah apalah si Hazrul ni makan sampai sakit perut?

Iliana menggaru lehernya perlahan. Sakit perut pulak dah…

“Sabar…” bisik Zila perlahan.

Iliana hanya ketawa menutup kekok. Badannya sejak tadi tidak rasa selesa dengan pakaian yang dipakai. Ditambah pula dengan perasaan cuak hendak menikah dan cuak kerana Hazrul tidak muncul-muncul, berpeluh juga dibuatnya. Nasib baiklah ruang tamu rumah orang tuanya ni ada penyaman udara dan malam pernikahannya hanya dihadiri oleh beberapa orang saudara terdekat. Tidaklah lencun pakaiannya dengan peluh.

“Aku tawakkal je apa nak jadi. Tak larat nak fikir apa dah.”

“Insya Allah nanti sampailah tu. Lagipun ayah Hazrul sendiri yang jawab panggilan ayah kau tadi, kan?”

Iliana hanya mengangguk. Sedang dia mengelap peluh di dahi dengan tisu, kedengaran suara Haji Mustapha memberi salam. Iliana menarik nafas lega.

***

“Sorry untuk apa yang berlaku malam ni,” ujar Hazrul sewaktu mereka sedang menjamu selera berdua. Baru inilah dia dapat bercakap dan berdua-duaan dengan Iliana selepas sibuk bersalam dan bergambar selepas nikah tadi.

“Ingatkan tiba-tiba tukar keputusan tadi, tak jadi kahwin dengan saya. Manalah tahu, balas dendam…”

“Mana ada. Saya siang tadi tak sempat nak makan. Dapat makan sandwich je, beli masa keluar ke pekan. Tak sangka boleh food poisoning pula. Punyalah berusaha nak jadikan dua hari ni hari yang perfect…”

“Biasalah. Kita hanya merancang. Tuhan yang menentukan. Saya dah rancang nak kidnap je anak lelaki sesiapa tadi jadi suami saya kalau betul awak batalkan pernikahan kita ni tapi, Tuhan dah tentukan awak jodoh saya,” ujar Iliana selamba.

“Hish! Sepuluh tahun saya tunggu malam ni tau! Walau apa pun yang terjadi, saya akan usahakan sampai jadi realiti!”

Iliana mengangkat muka dan menoleh ke arah Hazrul. “Awak cakap apa? Sepuluh tahun?”

Hazrul sedikit gelabah. “Apa dia yang sepuluh tahun?”

“Awak cakap sepuluh tahun awak tunggu saya?”

“Mana ada. Awak salah dengar ni. Sepuluh harilah. Kan awak tak nak jumpa saya dekat dua minggu. Makanlah… saya rasa perut saya rasa tak sedap baliklah…”

Hazrul menukar topik. Iliana hanya tersenyum sumbing. Nak mengelaklah tu! Mujur dia dah dengar sebahagian cerita daripada mulut Hazirah. Tak apa, panjang umur, panjang jodohnya dengan Hazrul, adalah nanti lelaki tu buka cerita. Tak dengan dia, dengan anak-anak mereka nanti. Ah! Tiba-tiba fikirannya terlalu ke depan.

“Saya nak kena pergi bilik air ni. Perut memulas balik. Teman saya sekejap.”

Akhirnya Hazrul tidak boleh menahan lagi. Kuih apam yang sudah dia buang kelapanya dia letakkan ke atas pinggan Iliana. Ini pun dia takut nak makan beriya sebab tahu perut masih tak elok.

“Awakkan tahu kat mana bilik air rumah saya? Masuk sajalah…”

“Ish! Malulah. Nanti orang kata apa pula. Temanlah sekejap…” kata Hazrul lebih berupa arahan.

Iliana menggeleng. Tak faham sungguhlah dia. Orang nak kata apa? Semua orang dah tahu Hazrul sakit perut. Iliana mencapai tisu merah yang ada di atas meja panjang itu. Tanpa sebarang kata, mulutnya dikesat lembut untuk membuang sisa minyak daripada mee goreng yang dia makan tadi. Kemudian, dia menarik lembut tangan Hazrul dan mereka berdua berjalan ke dalam rumah. Tanpa menghiraukan mata saudara-mara yang memandang dan suara-suara yang mengusik.

Iliana menyuruh Hazrul masuk ke dalam bilik air di dalam bilik pengantin yang sudah berhias. Hampir ketawa Iliana dibuatnya bila melihatkan Hazrul hampir berlari masuk ke dalam bilik air. Walaupun tak patut dia ketawakan suaminya yang dalam kesakitan.

“Dah selesai?” soal Iliana bila wajah Hazrul muncul disebalik pintu bilik air.

“Eh? Awak tunggu?”

Iliana mengerutkan dahi. “Dah tadi awak juga suruh teman?” jawab Iliana jujur.

Hazrul tersenyum manis. Lain pula perwatakan Iliana selepas bertukar status. Adakah kerana statusnya sebagai suami menyebabkan Iliana melayannya dengan baik begitu? Adakah Iliana terpaksa dan hanya bermuka-muka? Ya Allah jika Iliana hanya berpura-pura melayannya baik sekalipun, kau tumbuhkanlah rasa sayang dan cinta di dalam hati Iliana, isteriku buat diriku ya Allah. Kalaulah Iliana tahu perasaannya sepuluh tahun ini…

Melihatkan Hazrul berjalan menghampirinya, Iliana berdiri. Bersedia untuk melangkah seiringan keluar dari bilik. Belum sempat dia membuka langkah, tiba-tiba saja tubuhnya dipeluk dari belakang. Iliana pegun.

“Terima kasih…”

Lembut suara Hazrul menyapa telinganya.

“Terima kasih sebab terima saya jadi teman hidup awak, Iliana. Mungkin saya bukan pilihan awak, saya bukan ideal type awak, tapi saya janji selagi saya hidup, saya akan cuba bahagiakan awak dan saya nak bimbing awak dan anak-anak kita untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Itu janji saya…”

Iliana hanya mampu menelan air liur. Tiba-tiba saja hatinya terusik mendengarkan kata-kata Hazrul. Sedar pula Hazrul yang dia bukan ideal type aku, getus hati Iliana.

“Saya…” kata-kata Iliana terhenti bila Hazrul lebih cepat dalam tindakannya. Spontan darah menyerbu ke mukanya. Malu apabila kali pertama diperlakukan begitu.

“Jom keluar. Apa kata saudara-mara kita nanti…” ajak Hazrul lembut.

“Eee… keluar bilik air terus peluk cium orang…” bebel Iliana, menutup malu.

Hazrul ketawa besar. “Saya dah basuh tangan tau! Mulut saya pun bersih, ok?”

Iliana hanya mencebik. Langkah Hazrul diikuti. Lama dia memandang belakang Hazrul yang bidang. Hazrul sepuluh tahun dulu berbeza dengan Hazrul sekarang. Hazrul tidak tahu, kematangan yang Hazrul tunjukkan sedikit sebanyak mencuit hati Iliana. Sesuatu yang Hazrul tiada sepuluh tahun dulu. Beri saya masa, Hazrul… untuk belajar menyayangi dan mencintai awak seperti sayang dan cintanya awak pada saya, bisik Iliana di dalam hati.

-End-

5 comments:

Unknown said...

rasa macam x puas..nk sambungn lgiiii

Anonymous said...

cik penulis....sambunglah lagi.. tak puas lah

Siti said...

Yup....buat special entry pls

Anonymous said...

Penulis kenapa lama menyepi... Dah lama rindu coretan penulis.

SURA's World said...

Salam, kemana cik penulis menyepi..sudah lebih 3tahun..semoga cik penulis sentiasa dalam rahmat-NYA, dan diberikan ilham oleh-NYA untuk terus berkarya Aamiin