::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

27 September 2017

Cerita Pendek: Karma Part 2


7
"Karma..." sepatah perkataan itu terpacul daripada mulut Iliana.

Zila yang sedang leka melayan drama melayu menoleh. "Kau cakap dengan aku ke?" soalnya apabila terdengar Iliana berkata sesuatu.

Iliana menggeleng. "Kau percaya pada karma, Zila?"


Lama Zila diam. Berfikir. "Setahu aku, kalau dalam Islam ni... karma tak wujud. Yang ada hanyalah kifarah. Balasan Allah dekat dunia atas dosa-dosa yang kita buat."

Iliana mengangguk faham. Kalau begitu, apa yang berlaku dalam hidup dia dua tahun lepas merupakan kifarah atas dosa-dosa dia pada Hazrul, kah? Kerana apa yang dia lalui sebiji seperti apa yang dia telah lakukan pada Hazrul.

"Kenapa tiba-tiba tanya pasal karma ni? Ada novel baru pula ke?"

Iliana ketawa kecil. Kepalanya digelengkan perlahan. "Tak adalah. Tiba-tiba terfikir pasal karma. Selalu sangat orang cakap, bila kita buat orang, kita akan kena balik. Bak kata mat saleh, what goes around comes around."

Zila memandang Iliana dengan riak tidak percaya. "Pasal Hazrul ke?"

Iliana tersenyum nipis. "Kau ni kan, tahu aja apa yang aku fikir."

"Aku kenal kau bukan baru sebulan dua, Na. Aku kenal kau dari darjah satu. Dah dua puluh tahun dah Na..."

"Kau rasa apa yang aku buat dekat Hazrul dulu tu, kejam sangat ke, Zila?"

"Hrm..." Zila menggaru kepala yang tidak gatal. "Kejam jugalah sebenarnya. Kau gunakan Hazrul untuk kepentingan kau. Kesian juga dekat pak cik tu. Lama dia nak move on tau! Mujur tak sampai bunuh diri je."

Iliana sedikit terkejut. "Bunuh diri? Kau biar benar, Zila? Agak-agaklah. Aku pergi, sepuluh yang datang tau!"

"Kau ingat dia main-main ke dengan kau dulu?"

Iliana terdiam.

"Dia sayang kau bersungguh kot. Demi kau, dia ubah style dia untuk ikut style yang kau suka. Budak yang dulunya rambut sikat tepi jadi rambut bad boy. Sebab kau lah Hazrul yang tak popular tu jadi bualan dan kegilaan budak-budak perempuan lepas dia jadi hot, kau tahu?"

"Itu yang aku cakap... aku seorang pergi, sepuluh orang mari!"

Zila menggeleng tidak bersetuju. "Pak cik tu, depression teruk lepas kau tinggalkan dia. Kau yang kena dumped dengan Zul pun setahun lebih tak move on."

"Sheeshhh" Iliana menjeling Zila. Perlu ke ambil kes dia sebagai contoh?

"Macam itu jugalah pak cik tu. Dulu aku dengar cerita daripada akak dia, lama dia murung. Mujurlah nak juga sambung belajar dekat universiti akhirnya."

Iliana hanya diam. Sejak dia putuskan hubungan dengan Hazrul dulu, inilah pertama kali dia mendengar apa yang berlaku pada Hazrul selepas itu. Sedikit sebanyak, perasaan bersalah mula mengetuk hati Iliana.

***

"Bila kamu nak balik, Na? Dah sebulan lebih mak tak tengok muka kamu," kata Puan Salma di hujung talian.

Ilana tersenyum nipis. "Nanti ada cuti, Na baliklah mak. Sekarang ni tengah sibuk betul."

"Na... mak ayah tak pernah mengharapkan duit kamu bulan-bulan tu Na. Kami ni kalau boleh nak tengok kamu depan mata. Tahu kamu sihat ke tidak, hidup terurus ke tidak..." bebel Puan Salma lagi.

Iliana ketawa kecil. "Mak, takkanlah mak nak Na balik kampung? Apa je peluang kerja yang ada dekat sana? Penat Na belajar bertahun-tahun dekat universiti tiba-tiba mak nak Na balik kampung pula?"

"Apa salahnya? Kamu tahu si Hazrul tu... yang berkawan dengan kamu masa tingkatan empat sampai tingkatan lima?"

Iliana mengetap gigi. Hendak berlakon dia hilang ingatan, tak boleh pula. Kenapa mesti nama Hazrul juga yang Puan Salma sebut? Macam tak ada orang lain!

"Dia dah balik kampung, Na. Beli tanah Wan Leman nak usahakan jadi kolam ikan."

"Itu orang. Bukannya Na..."

"Kamu kerjalah dengan dia."

"Hish mak ni. Tak ada kerjalah Na nak kerja dengan Hazrul tu. Kerja sekarang lagi seronoklah mak. Gaji pun sedap."

"Tapi masa untuk keluarga tak ada...."

"Tak apalah mak. Na single lagi. Nanti dah kahwin cerita lain."

"Itulah silap budak-budak muda sekarang... kalau single, sebut keluarga je fikir kahwin. Lupa ke ada mak ayah di kampung?" sindir Puan Salma.

Iliana menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia mula lagi... akhirnya Iliana mengalah.

"Nantilah, minggu depan Na balik. Mak janganlah merajuk..."

"Kamu kalau tak cakap, memang tak akan tunjuk muka."

"Ye mak. Minggu depan Na balik. Promise!" ujar Iliana sekali lagi. Mahu menamatkan bebelan Puan Salma yang tak tahu bila akan berhenti.

***

8

Kereta sudah siap diservis. Luaran dan dalaman kereta pun sudah berkilat dan bersih. Sebaik sahaja tamat waktu bekerja hari Jumaat itu, Iliana terus memandu pulang ke kampung. Perjalanan yang memakan masa hampir lima jam dia hiburkan dengan mendengar lagu-lagu kegemaran yang dia sudah masukkan ke dalam pendrive.

Membaca papan tanda selamat datang sebaik saja tiba di daerah dia membesar, senyum Iliana mula lebar. Kali terakhir dia pulang ke kampung adalah tiga bulan lepas. Dia pun tak sedar terlalu lama dia hanyut dengan kerja. Patutlah Puan Salma bising benar.

Akhirnya Iliana memohon cuti tiga hari. Dia hendak menghabiskan masa dengan Puan Salma. Kalau tidak buat begitu, bising lagilah emaknya. Panas telinganya nanti hendak mendengar ceramah maknya. Almaklumlah, dia suka kumpul cuti banyak-banyak untuk pergi bercuti dengan kawan-kawan. Bak kata Puan Salma, tak utamakan keluarga!

Lagi sepuluh kilometer untuk sampai ke rumah, telinga Iliana menangkap satu bunyi yang ganjil. Iliana memberhentikan kereta di bahu jalan. Kemudian dia turun untuk cek apa yang berlaku. Bulat matanya melihat tayar keretanya pancit.

Ah sudah! Iliana memerhati kawasan sekeliling. Kena pula tempat keretanya pancit ni tak ada rumah orang di sekeliling. Mana tidaknya? Dia baru saja keluar daripada lebuhraya. Jarak tol lebuhraya dengan bandar bukannya dekat. Jam pula sudah menunjukkan pukul sembilan malam.

Iliana menggaru kepalanya. Macam mana aku nak buat ni? Iliana tercongok di depan tayar yang pancit. Teorinya dia tau bagaimana hendak selesaikan, tetapi praktikalnya dia tidak pernah buat!

“Tayar pancit ke?” mendengarkan satu suara menegur, gelisah Iliana mula hilang.

Iliana bangun dan menoleh dengan senyuman. “Haah. Tayar…” muka Iliana berubah. Nadanya pula perlahan. “Pancit”

Hazrul menjeling ke arah jam di pergelangan tangan. Kemudian dia memandang wajah Iliana yang serius. “Saya ada urusan lain pula. Tak dapat nak tolong. Saya pergi dululah, ya?” ujar Hazrul lalu meneruskan pemanduannya.

Iliana menghentakkan kakinya geram. Yah! Kalau dah ada urusan lain, tak payah nak tunjuk baik dengan berhenti tadi. Jerk!

***

“Dah kenapa comot sangat kamu, Na?” tegur Puan Salma sewaktu Iliana bersalam dengannya.

Iliana menghela nafas perlahan. “Tayar pancit keluar tol tadi. Nak tak nak terpaksalah Na tukar dulu. Jauh lagi nak berjalan sampai ke rumah.”

Puan Salma menggeleng. “Kenapa tak telefon rumah? Kan Abang Long kamu ada.”

Iliana menepuk dahi. “Tak terfikir pula, mak.”

Cis! Marahkan Hazrul punya pasal, sampai dia menyusahkan diri menukar tayar kereta.

“Pandai pula kamu tukar tayar kereta? Seumur hidup mak, abah kamu yang buat semua.”

“Na buat sikit je. Tak sampai lima minit ada budak datang tolong.”

“Nasib baiklah budak baik. Buatnya ada yang niat jahat, lain pula jadinya malam-malam ni.”

Iliana sekadar tersengih. Teringatkan budak muda tadi, dia terfikir sesuatu. Cara si Amin tadi datang seolah-olah memang semata-mata hendak membantunya. Itu pun kerana Amin datang dari arah bandar dan pulang ke arah yang sama. Datang pula seolah-olah memang sudah tahu di mana lokasi kereta dia pancit. Iliana mengurut-urut dagunya. Adakah dia yang terlebih fikir?

***

“Esok temankan mak pergi rumah Cik Aya kamu. Dia ada buat doa selamat.”

Tegak terus Iliana duduk mendengarkan permintaan Puan Salma. Cik Aya itu emak kepada Hazrul. Rumah Cik Aya pula bermaksud rumah mak Hazrul. Kalau dah ada majlis di rumah itu, bermakna dia akan berjumpa bertentangan mata dengan Hazrul. Ah! Itulah perkara yang paling dia hendak elakkan bila balik ke kampung ini.

“Na malaslah, mak. Ayah tak pergi ke?”

“Ayah mengadu tak sedap badan petang tadi. Dia suruh mak pergi seorang. Memandangkan Na pun ada, boleh Na ikut sekali. Na pun lama tak balik kampung, kan?”

Iliana mengetap bibir. Bukan menjadi masalah pun kalau dia lama tidak balik ke kampung. Lagipun, adakah maknya dah lupa sejarah dia dengan Hazrul dulu? Ish!

“Na tak ikutlah, mak. Mak pergi sajalah. Sampaikan salam Na pada Cik Aya.”

Puan Salma memandang Iliana yang selamba meneruskan suapannya. Kepalanya digelengkan perlahan. Pasti anak gadisnya itu hendak mengelak daripada Hazrul.

“Temankanlah mak. Takkanlah sampai hati Na biarkan mak pergi seorang?”
Bila Puan Salma buat ayat macam tu, anak mana sanggup buat tak tahu. Iliana mengeluh perlahan. Akhirnya dia mengangguk bersetuju. Lebar senyuman Puan Salma apabila melihatkan anaknya menurut kata begitu.

***

9
Bagai seorang pesalah pula bila dia terjeling sana sini bagi memastikan dia tidak terserempak dengan Hazrul. Ah! Mana tidak bersalahnya. Zila sendiri kata tindakan dia dahulu kejam. Bila dia kejam, maknanya dia sudah menganiayai orang yang tidak bersalah.

Iliana menebalkan muka apabila terpaksa bersalam dengan Cik Aya dan Hazirah, kakak Hazrul. Rasanya dua insan ini cukup tahu apa yang berlaku sepuluh tahun lepas. Aduh! Rasa macam kena torture bila datang ke sini. Kenapalah hatinya lembut bila berdepan dengan Puan Salma? Patut dia keraskan saja hati dia supaya tidak terseksa di rumah Cik Aya ni.

“Makin cantik Cik Aya tengok Iliana sekarang.”

Itu teguran pertama Cik Aya selepas mereka bersalam.

“Biasa je Cik Aya...”

“Betul Cik Aya cakap ni. Iliana makin cantik. Dah ada jumpa orang baru, ke?”

Iliana ketawa kecil. Kekok. Matanya menjeling pula Hazirah yang sibuk melayan tetamu lain. Tadi masa bersalam pun manis je Hazirah senyum dekat dia. Tak nampak langsung tanda-tanda berdendam. Jadi, tak perlulah dia rasa bersalah, kan? Dia saja yang tak tentu arah sedangkan masing-masing dah lupakan peristiwa sepuluh tahun lepas agaknya.

“Belum lagi, Cik Aya. Lepas kes putus tunang hari tu, Iliana rasa lebih baik Iliana layan mak ayah dulu. Fokus kerja…” balas Iliana lembut.

Cik Aya menepuk-nepuk bahu Iliana lembut. “Ada hikmahnya kenapa Iliana tak kahwin dengan lelaki tu dulu. Mungkin dia bukan jodoh Iliana. Insya Allah ada yang lebih baik nanti…” ujar Cik Aya lembut.

Iliana sekadar mengangguk dan tersenyum. “Terima kasih Cik Aya…”

“Duduklah dulu, Iliana. Lepas isyak nanti ada doa selamat lepas tu baru ada makan-makan sikit. Cik Aya nak tengok kat dapur sekejap.”

“Ha ya… ya Cik Aya. Pergilah…” ujar Iliana lalu duduk di sebelah Puan Salma. Melihatkan senyuman yang tidak lekang daripada bibir Puan Salma, Iliana menyenggol lengan Puan Salma perlahan.

“Kenapa mak senyum?”

“Tengok kamu berbual dengan Cik Aya kamu itulah…”

Iliana mengerutkan dahi. Terganggu pula dia dengan komen Puan Salma. ‘Cik Aya kamu’ tu.

Malas hendak memanjangkan perbualan, Iliana mengeluarkan telefon bimbit. Tiba-tiba satu mesej daripada nombor yang tidak dikenali masuk. Berkerut dahinya melihat gambar dia berbual dengan Cik Aya tadi dihantar oleh seseorang yang dia tak kenal. Profile picture pula kosong. Iliana mengetap bibir. Hanya seorang saja yang akan buat perkara macam ni. Hazrul!

***

“Kereta ok dah kak?” tegur seseorang sewaktu Iliana dan Puan Salma berjalan untuk pulang.

Iliana memandang lelaki yang menegurnya itu. Amin. Budak muda yang membantu dia menukar tayar malam semalam. Iliana menahan tangan Puan Salma daripada terus melangkah. Selepas meminta Puan Salma menunggu sebentar, Iliana menghampiri Amin.

“Tak pernah nampak awak selama ni. Duduk kampung ni ke?”

“Eh taklah kak! Saya duduk Kampung Jaya Hulu. Ini datang majlis ni sebab Abang Hazrul yang jemput.”

“Oh… awak kenal dia?” risik Iliana lagi. Ingin memastikan apa yang bermain difikirannya betul.

“Apa tak kenalnya. Saya kerja dengan Abang Hazrul, kak. Semalam tu, Abang Hazrul yang suruh saya tengokkan kereta akak. Tapi saya pelik juga, kenapa dia tak tolong je akak masa tu. Walhal bukannya ada apa-apa yang urgent pun.”

Iliana terpempan. Betullah apa yang dia fikirkan semalam!

“Amin!” jerit satu suara dari jauh.

Iliana dan Amin memandang ke arah datangnya suara itu. Wajah serius Hazrul menyapa pandangan Iliana.

“Sini kejap!” jerit Hazrul lagi.

Amin mencapai kopiah di atas meja dan diletakkan ke kepala. “Okaylah kak. Big boss dah panggil. Jumpa lagi! Tata titi tutu…!”

Tergelak Iliana mendengarkan gurauan Amin. Kemudian pandangannya dikalih ke arah Hazrul yang masih menunggu. Rasa kekok yang tiba-tiba muncul menyebabkan Iliana tidak belama-lama lagi di bawah khemah putih itu. Langkah di atur ke arah Puan Salma yang menunggu dan tanpa sebarang suara, tangannya mencapai tangan Puan Salma. Mereka berjalan kaki untuk pulang ke rumah.

***

10
Senyum lebar Puan Salma bila Iliana melayannya ke sana sini. Iliana pula betul-betul mengotakan janjinya untuk melayan mak dan ayahnya sepanjang dia bercuti. Tetapi yang paling tak tahannya, habis saja majlis di rumah keluarga Hazrul, terus Puan Salma cadangkan kepada Haji Rosli untuk berjalan. Ajak ke Melaka pula tu! Hilang terus sakit badan orang tua tu bila isteri ajak berjalan. Esoknya, subuh-subuh hari mereka bertiga bertolak ke Melaka.

Tiba di Melaka jam sepuluh pagi, Iliana membawa kedua orang tuanya makan terlebih dahulu sebelum menaiki Menara Taming Sari. Tersenyum Iliana memerhatikan Puan Salma dan Haji Rosli berjalan berdua berpimpin tangan. Dah tua-tua pun masih romantik. Puan Salma memang manja dengan Haji Rosli. Haji Rosli pula melayan Puan Salma sebaik yang boleh. Dari kecil, jarang dia mendengar mak dan ayahnya bergaduh.

Cuma dia saya tidak menurun sikap Puan Salma. Dia rimas bila semua perkara perlu diharapkan pada lelaki. Semua keputusan perlu mengikut kuasa veto suami. Bukanlah hendak menggalakkan perempuan menjadi isteri yang derhaka, cuma pada Iliana, dia mahukan lelaki yang boleh mendengar pendapatnya dalam membuat keputusan dan sentiasa menyokong dirinya.

“Sweetnya mak dengan ayah ni,” usik Iliana sewaktu mereka berehat sebentar di taman sebelah Menara Taming Sari.

“Janganlah jeles. Kalau jeles, carilah calon menantu untuk ayah…” balas Haji Rosli.

Iliana hanya ketawa. “Calon menantu ayah sesat. Tak pakai GPS agaknya.”

“Pandailah kamu…” balas Haji Rosli pendek.

“Susah-susah sangat, Na… kalau lepas ni ada orang masuk meminang kamu je mak terus terima,” usik Puan Salma pula.
“Terimalah mak… zaman sekarang ni tak ada dah orang nak melamar anak dara orang yang tak kenal. Jadi, Na tak risaulah. Tak adanya tiba-tiba orang datang rumah nak melamar Na.”

“Eh! Itu cakap kamu. Yelah, benda belum kena batang hidung sendiri bolehlah cakap. Nanti kalau betul-betul ada… jangan sibuk merayu-rayu dekat mak nanti minta tolak pinangan tu!” ugut Puan Salma.

“Tak mak. Na takkan tolak!” Iliana hanya ketawa kecil. Tak mengambil serius kata-kata Puan Salma.

“Kita makan tengahari dululah baru check in hotel. Boleh ke?”

“Nak makan lagi ke, Na? Ayah kenyang lagi ni.”

“Mak pun sama. Kita pusing-pusing Bandar Hilir dululah baru check in hotel. Beriya sangat kamu ni, Na. Sampai nak tidur hotel apa semua.”

“Alah bukannya selalu pun mak. Nanti kalau Na berjalan dengan kawan-kawan, tidur hotel mak kecik hati pulak sebab tak bawak mak.”

“Entah. Betul kata Na tu, emaknya. Awak juga yang bising Na berjalan ke sana sini dengan kawan-kawan.”

Iliana ketawa kecil. Geli hati bila Haji Rosli mengenakan Puan Salma. Ada saja gurauan mereka berdua. Kemesraan mereka berdua semakin menjadi sejak mereka berdua menunaikan haji dua tahun lepas.

“Mak ayah nak naik beca?” soal Iliana bila terperasankan mata Puan Salma memerhatikan beca-beca yang berhias tidak jauh daripada mereka.

“Boleh juga kalau ayah nak.”

“Jomlah. Bukan selalu datang sini pun. Awak nak naik beca yang mana?”

Lebar senyuman Puan Salma. Mereka bertiga melangkah ke arah beca-beca yang tersusun. Selepas memilih beca yang dirasakan menarik, Iliana meminta kedua ibu bapanya untuk naik sementara dia menunggu di taman tadi. Sengaja memberi peluang untuk mak dengan ayahnya berdua.

11

Iliana kembali sibuk dengan kerja-kerjanya. Tiga hari bercuti, kerjanya terus menggunung macam tiga minggu dia bercuti. Suka atau tidak terpaksalah dia lebihkan masa bekerjanya sehingga semuanya selesai. Jam sudah menunjukkan pukul tujuh malam. Iliana masih ralit dimeja menyemak satu demi satu dokumen di dalam fail. Tiba-tiba konsentrasinya terganggu apabila telefon bimbitnya berbunyi. Iliana mengerutkan dahi. Mak? Pelik baginya bila Puan Salma menelefon waktu-waktu begini.

“Na ada dekat mana tu?”

“Di ofis lagi mak. Solat Maghrib dulu baru balik.”

“Seorang je ke?”

“Tak. Ada ni dua tiga orang kawan tak balik lagi. Kenapa mak?”

Puan Salma diam. Iliana mengerutkan dahi. Dah kenapa pula mak ni? Tak pernah-pernah buat perangai begini.

“Nantilah dah balik rumah telefon mak semula. Apa perkara mak nak beritahu kamu ni.”

Iliana menggaru keningnya. Makin pelik permintaan Puan Salma. Malas hendak memanjangkan perbualan, dia hanya bersetuju.

“Nantilah dalam pukul sembilan Na telefon.”

“Okey.”

Iliana menamatkan panggilan. Mendengarkan bunyi notification waktu solat sudah masuk, dia terus mengemas fail-fail yang berselerakan di atas meja. Mahu menunaikan solat Maghrib dan kemudian terus pulang ke rumah sewa.

Sampai di rumah, Iliana terus membersihkan diri dan bersedia untuk tidur. Hampir saja dia terlupa untuk menelefon Puan Salma. Mujur Puan Salma menghantar mesej bertanya sama ada dia sudah tidur atau belum. Tanpa berlengah, nombor telefon Puan Salma dia dail.

“Helo assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam, Na. Kamu dah tidur dah ke?”

“Haah. Baring dah. Nasib baik mak mesej.”

“Hish kamu ni. Sibuk sangat ke dengan kerja tu?”
“Boleh tahanlah, mak. Apa benda yang penting sangat mak nak beritahu tadi?”

“Macam ni…” Puan Salma terdiam. Merangka ayat yang sesuai untuk dikhabarkan kepada Iliana.

“Ada orang datang rumah.”

“Oh! Siapa? Kawan ayah?”

“Ye. Kawan ayah, kawan mak.”

“Oh… okey…” balas Iliana pendek. Ingatkan ada apalah yang sampai Puan Salma telefon hendak bercerita.

“Dia nak merisik kamu, Na. Kamu belum ada berkawan dengan sesiapa lagi, kan?”

Dahi Iliana berkerut. Berita yang dibawa oleh Puan Salma kedengaran begitu pelik di telinganya.

“Dah kenapa tiba-tiba datang nak merisiknya ni? Dia kenal Na ke, mak? Tak yah nak mengarutlah mak. Na tak nak.”

“Kamu ni. Sampai bila nak bujang macam ni? Ada lelaki yang baik datang, elok agamanya… tak baik menolak. Dia pun sudi terima Na seadanya. Janji dengan mak ayah nak jaga kamu sebaik yang boleh. Boleh jadi fitnah kalau mak dengan ayah menolak, tahu?”

“Ish mak ni. Zaman sekarang tak ada dah orang kahwin arrange marriage macam ni. Na tak percayalah! Mana mungkin lelaki tu hidup dengan Na yang dia tak kenal ni.”

“Dia kenal kamu…”

“Hah? Apa mak cakap?”

“Dia kenal kamu dan kamu kenal dia. Mak dah setuju. Kamu juga yang setuju masa di Melaka hari tu, kalau mak terima mana-mana lelaki datang melamar kamu,” ungkit Puan Salma. Itu saja cara untuk dia buat Iliana bersetuju dengan pilihannya.

Iliana mengurut-urut keningnya. Sakit terus kepalanya mendengarkan berita yang Puan Salma khabarkan. Menyesal pula berkata begitu semasa di Melaka dulu. Aduh! Apa yang dia patut lakukan sekarang?

“Siapa?”

***

12

“Awak gila ya? Kenapa mak ayah awak datang ke rumah saya untuk merisik saya?” rendah saja nada Iliana menyoal Hazrul yang berada di hujung talian.

Lama lelaki itu diam. Yang kedengaran hanyalah nafas dia saja. Hish! Sudahlah nak angkat telefon sikit punya susah. Dah angkat malas nak bercakap pula!

“Mereka yang buat keputusan. Saya tak terlibat.”
“Tak terlibat awak cakap? Oh… jadi mak ayah awak datang tu, merisik saya untuk hantulah ya?” sindir Iliana.

“Diorang cuma cakap nak merisik anak kawan diorang. Saya tak tahu pula orang yang dimaksudkan tu awak.”

“Jadi, sekarang dah tahu kan mak ayah awak merisik saya?”

“Hrm…”

“Masih nak teruskan juga ke?”

“Why not?

“Kalau awak nak rasa hidup awak macam neraka kalau kita jadi kahwin nanti, awak cubalah,” ugut Iliana.

“Saya yakin dengan pilihan orang tua saya. Lagipun, mak saya cakap mak dengan ayah awak kata awak masih single dan minta pihak kami hantar rombongan meminang. Apa lagi yang saya nak selain daripada restu orang tua kita.” Hazrul terhenti seketika.

“Atau sebenarnya awak yang takut hidup awak macam neraka lepas kita kahwin, Iliana? Iyalah… dengan apa yang awak dah buat pada saya sepuluh tahun dulu. Awak nak dump saya lagi kali ni?”

Iliana menelan air liur yang terasa pahit. Soalan Hazrul bagai menampar pipinya.

“Ini tak ada kena mengena dengan kisah kita dulu, ok?”

“Dah tu? Kenapa masih teragak-agak lagi?”

“Awak tak faham, Hazrul. Kita tak serasi!”

“Jadi… lelaki yang serasi dengan awak adalah lelaki macam bekas tunang awak? Tak adalah serasi mana kalau lagi beberapa hari nak majlis dia boleh putuskan pertunangan korang, kan?”

Panas rasa seluruh tubuhnya apabila Hazrul mengungkit satu demi satu peristiwa dalam hidupnya.

“Kenapa mesti benda itu juga awak nak ungkit?” marah Iliana.

Hazrul tidak menjawab.

“Awak nak balas dendam ya, Hazrul?” soal Iliana akhirnya. Itu saja yang terlintas di fikirannya. Hazrul ingin membalas dendam!

“Awak masih marahkan tindakan saya sepuluh tahun dulu? Apa niat awak sebenarnya? Awak nak tinggalkan saya macam Zul tinggalkan saya beberapa hari sebelum majlis? Macam tu?” soal Iliana lagi.

Iliana mengetap bibir. Entah kenapa hatinya rasa sedih secara tiba-tiba. Bila agaknya dia akan mendapat kebahagiaan yang sebenar? Sampai bila dia akan bertemu dengan orang yang salah? Dia sudah penat. Sebab itu dia menyibukkan dirinya dengan kerja saja.

“Tolonglah, Hazrul. Saya dah dapat balasan apa yang saya buat pada awak dulu. Lepas apa yang terjadi antara saya dengan Zul, tidur malam saya mimpi apa yang saya dah buat pada awak. Karma. Kifarah. Whatever it is… saya dah dapat. Awak masih berdendam lagi, Hazrul?” luah Iliana sedikit kecewa.

“Jangan buat sangkaan yang bukan-bukan Iliana. Saya dah jelaskan awal-awal tadi, saya terima sebab awak pilihan orang tua saya. Kalau ditakdirkan bukan awak sekalipun yang mereka pilih, saya tetap akan terima.”

Iliana tidak membalas.

“Sudahlah. Tak guna kita bercakap panjang-panjang. Suka hati awaklah Iliana. Sekalipun awak nak tinggalkan saya seorang diri masa majlis pernikahan kita nanti, saya tak kisah. Buatlah apa yang awak nak buat. Apalah sangat kena tinggal, kan? Saya dah biasa. Pengalaman sepuluh tahun dulu dah mengajar saya,” ujar Hazrul sebelum menamatkan talian.

Iliana terkelu. Kata-kata Hazrul menusuk ke dalam hatinya. Apa yang patut dia lakukan sekarang? Argh! Kenapa tiba-tiba saja hidupnya jadi serabut begini?

2 comments:

Afiqah Ai said...

Wahh welcome back writer! Hehehe
Sedihnya ayat Hazrul yang last tu. Mesti diteruskan juga majlisnya. Cara Hazrul balas dendam adalah dengan membahagiakan Iliana. So sweet. 😍

azaini mohd said...

best3x