::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

28 May 2017

Cerita Pendek: Karma Part 1



1.
“Awak kejam Zul!” Iliana menahan air mata daripada jatuh ke pipi.

“Awak sedar tak majlis kita lagi sepuluh hari? Kenapa hari ni tiba-tiba awak buat keputusan nak putuskan pertunangan kita?” Iliana memandang tepat ke wajah Zul. Tiada nampak tanda-tanda bersalah pada wajah lelaki itu.


“Saya minta maaf Iliana. Makin dekat tarikh majlis kita, hati saya makin tak tenteram. Minggu lepas saya jumpa ex saya. Dan saya sedar saya masih sayangkan dia.”

Iliana terpempan. Zul jumpa Fatin, bekas isterinya? Fatinkah yang memujuk Zul untuk memutuskan pertunangan mereka?

“Dan sebab perempuan tu awak ambil keputusan macam ni? Awak tahu tak berapa banyak saya berkorban untuk awak. Saya cuba untuk jadi perempuan yang awak impikan. Saya cuba untuk tak ulang kesilapan yang bekas isteri awak pernah buat. Macam ni awak buat saya, ya?”

"Itu silapnya. Bila awak cuba jadi perempuan yang saya impikan, awak dah tak menjadi diri awak, Iliana."

Iliana memandang Zul dengan riak yang tidak percaya. Selama ini lelaki ini juga menyebut-nyebut agar dia tidak menjadi seperti bekas isterinya itu. Tiba-tiba lain pula yang dia katakan?

"Dan walau apa pun, awak takkan faham perasaan saya. Dia wanita pertama yang bertakhta dalam hati saya, Iliana. Dia wanita pertama yang melahirkan anak saya. Melahirkan Fahmi. Tak semudah itu untuk saya melupakan dia."

Zul memandang gadis di hadapannya dengan pandangan kosong. Bukan dia tidak kasihan, bukan tiada rasa bersalah dengan keputusan yang dia ambil. Tetapi... Zul menghela nafas berat. Sukar untuk dia katakan apa yang dia rasa.

"Cakaplah saya kejam atau apa sekalipun, itu takkan mengubah keputusan saya, Iliana. Saya akan hantar wakil untuk berjumpa dengan ibu bapa awak nanti. Maafkan saya..."

Zul bangun dan berjalan meninggalkan Iliana seorang diri. Dia tidak akan menoleh ke belakang lagi. Sejak berjumpa dengan Fatin bekas isterinya, dia semakin yakin keputusannya berkawan dan untuk berkahwin dengan Iliana merupakan keputusan yang salah. Sebelum dia dan Iliana kecewa dengan perkahwinan mereka beberapa tahun akan datang nanti, lebih baik dia putuskan sekarang.

Iliana memerhatikan Zul yang melangkah tanpa menoleh sedikit pun. Jelas menunjukkan Zul tidak akan berfikir dua kali dengan keputusannya. Dia rasa semuanya bagaikan mimpi. Baru minggu lepas dia excited bercerita tentang majlis yang bakal tiba dengan Zul, tiba-tiba semuanya musnah dalam sekelip mata.

Dada Iliana terasa berat. Bagaimana dia hendak menjelaskan kepada orang tuanya nanti? Kad jemputan ke majlis mereka sudah diedar. Duit pun sudah berbelas beribu habis. Terbayangkan wajah kedua orang tuanya, air mata Iliana tak semena-mena menitis. Awak kejam, Zul. Awak sangat kejam!

***

2.
Iliana mengurut-urut kelopak mata kiri yang bergerak-gerak. Pelik. Sudah seminggu kelopak matanya bergerak sendiri. Membuatkan dia rasa tidak selesa saja. Apa agaknya petanda bila kelopak mata bergerak sendiri ni ya? Dia kekurangan zat dalam makanan, kah? Tapi apa dia? Kalsium? Potasium? Sodium? Hahaha! Pandai-pandai saja dia ni.

"Jauh menung, cik kak? Kau tengok tv atau tv tengok kau?" tegur Zila bila melihatkan rakan serumahnya termenung.

Iliana menoleh. Zila sudah duduk di atas sofa di sebelahnya. Bila masa rakannya balik pun dia tak sedar.

"Mana remote?"

"Celah kusyen kot," balas Iliana pendek. Dia sendiri tak perasan ke mana hilangnya alat kawalan jauh yang dia pegang tadi.

Zila menyeluk tangannya di celah-celah kusyen. Sebaik saja berjumpa dengan alat kawalan jauh itu, terus dia menukar kepada siaran yang lebih menarik.

"Kau ada masalah ke? Atau masih teringatkan Zul yang tak guna tu? Lupakanlah dia. Dah dua tahun, Na. Anak dia dah nak masuk tiga dah tu..." ujar Zila tak berperasaan.

Iliana menjeling ke arah Zila geram. Dua tahun berlalu, tak pasal-pasal nama Zul muncul. Sengaja hendak menggamit memorinya terhadap lelaki tak guna tu. Tiga bulan selepas memutuskan pertunangan mereka, Zul dan Fatin kembali rujuk. Entahlah. Dia sendiri tidak tahu hendak katakan tindakan Zul itu betul atau salah. Tidak tahu hendak membenci ataupun tidak. Melihatkan wajah ceria Fahmi, dia jadi tidak sampai hati untuk membenci Zul dengan tindakan yang dia ambil. Mungkin benar, Fahmi lebih memerlukan ibu kandungnya daripada dia, bekas bakal ibu tirinya ni.

"Kenapa dengan mata kau tu? Sakit ke?" soal Zila. Dari tadi dia perasan Iliana mengurut-urut mata kirinya.

"Atau ketumbit?" soal Zila lagi. Tangan kiri Iliana dibawa turun. Bulat matanya memerhatikan mata kiri Iliana. Tiada apa-apa pun.

"Mata aku ni. Dah seminggu asyik bergerak sendiri. Badan aku tak cukup zat ke apa agaknya, ya?"

"Tak cukup zat?" Zila nemandang Iliana dari atas ke bawah. "Aku rasa terlebih zat adalah," usik Zila. Sebulan dua ni nampak muka Iliana semakin berisi. Tak cengkung seperti selepas ditinggalkan Zul dahulu. Setahun lebih juga Iliana mengambil masa untuk pulih seperti biasa.

"Kau nak kutuk aku ke apa ni?" Iliana menarik bantal kecil disebelah. Dengan lembut bantal itu ditampar ke bahu Zila. Zila hanya ketawa melihatkan reaksi Iliana.

"Kejap. Aku google apa maksud bila kelopak mata kiri bergerak ya!"

Iliana hanya memandang Zila yang sudah memegang telefon bimbitnya. Fokus gadis itu mencari sebab kenapa kelopak mata kirinya bergerak. Iliana menahan ketawa. Kelakar pula melihatkan kesungguhan Zila. Sahabat yang sentiasa berada dengannya waktu susah dan senang.

"Okey dah jumpa! Dari segi perubatan tak ada. Tapi ada yang kata kelopak mata kiri bergerak ni petanda ada kawan-kawan lama nak jumpa. Ada lagi satu ni, tapi kau jangan takut pula aku cakap ni..."

"Hrm... apa dia?"

"Disebabkan jin." Zila memandang wajah Iliana dengan serius.

"Jin?"

"Jin. Jin kan bergerak melalui pembuluh darah manusia."

Berkerut dari Iliana mendengarkan penjelasan Zila. Selesai mendapatkan apa yang dicari, Zila meletakkan kembali telefon bimbit ke atas kusyen. Kepalanya dianggukkan beberapa kali, tanda dia serius dengan apa yang dikatakannya tadi.

"Tapi aku pelik."

"Pelik kenapa pulak?"

"Pelik sebab aku nampak je kau depan mata. Tak berjalan ke mana-mana pun?" Iliana menahan ketawa. Melihatkan wajah Zila yang tidak faham kata-katanya tadi menyebabkan tawa yang disimpan akhirnya berhamburan keluar.

"Kenapa... hei! Kurang asam punya member! Kau nak cakap aku jin ke apa?"

Zila memandang wajah Iliana geram. Akhirnya dia turut sama ketawa. Sedikit sebanyak dia turut bersyukur Iliana sudah boleh ketawa begini.

***

3.

"Awak kejam!" Iliana memandang tepat ke dalam mata Zul.

"Awak kejam!" sekali lagi dia luahkan perasaannya yang kecewa dengan tindakan Zul. Namun wajah Zul mula samar-samar.

"Awak kejam!" wajah Zul berubah kepada wajahnya sendiri. Iliana sedikit terkejut.

"Awak kejam, Iliana!"

Terus Iliana tersedar daripada tidur. Dia terduduk. Satu badannya berpeluh. Mimpi apa ni? Kenapa dia mimpi seperti itu? Kenapa wajah Zul bertukar menjadi wajahnya? Dan suara lelaki yang dia dengar sebelum dia tersedar tadi... suara siapa? Iliana meraup wajahnya perlahan. Kepalanya sakit secara tiba-tiba. Masuk kali ini sudah tiga kali dia bermimpi seperti itu. Semuanya salah Zila yang membuka kembali kisah dia dengan Zul. Cuma yang menjadi tanda tanya, siapa lelaki yang menuduh dirinya kejam itu?

***

4.
Iliana mencapai sebuah novel berwarna coklat keperangan. Gambar rama-rama di tengah-tengah muka hadapan novel tersebut menarik perhatiannya. Sekilas sinopsis di belakang novel dia baca. Menarik. Harganya pula tengah promosi, tanpa berfikir panjang, Iliana terus mengambil novel bertajuk Bidadari itu untuk dibawa ke kaunter pembayaran nanti.

Iliana melangkah pula ke arah rak-rak buku masakan. melihatkan gambar-gambar yang tertera di kulit buku membuatkan dirinya terliur. Nampak sedap! Iliana mencapai sebuah buku resipi masakan ayam. Usai membelek, dia letakkan kembali buku itu ke tempat asal. Terpandangkan sebuah buku resipi yang sedikit tebal, Iliana menghulurkan tangan untuk mengambil buku itu. Namun tidak sempat dia hendak capai, tangannya bersentuh dengan tangan seorang lelaki yang turut hendak mengambil buku yang sama.

"Eh! Sorry!" ucap lelaki itu tatkala tersedar perkara yang berlaku.

Iliana sekadar tersenyum. "Tak apa...."

Kepala ditoleh. Tatkala matanya menyapa wajah lelaki itu, memori lama yang tersimpan kemas kembali muncul.

"Iliana?"

Sedaya upaya Iliana menahan riaksi wajahnya daripada berubah. Gelojak di dalam hatinya hanya Allah yang tahu.

"Sorry. Kita pernah jumpa ke?" soal Iliana selamba.

Lelaki itu tersenyum hambar. Kepalanya digelengkan perlahan.

"Mungkin saya salah orang agaknya..."

Iliana sekadar tersenyum lalu mengangkat bahu. Tidak mahu berlama-lama dengan lelaki itu, Iliana melangkah ke arah kaunter pembayaran dengan tenang. Selesai membeli, terus Iliana berjalan keluar meninggalkan kedai buku Popular di belakang. Tangannya yang sedikit menggigil dia genggam kuat.

Ah... kenapa selepas bertahun-tahun, dia berjumpa kenangan yang dia mahu lupakan? Iliana mengurut-urut kening kirinya lembut. Cuba untuk mengawal perasaannya. Tersentuhkan kelopak mata kiri, ingatan Iliana melayang teringatkan peristiwa beberapa minggu yang lepas.

"... ada yang kata kelopak mata kiri bergerak ni petanda ada kawan-kawan lama nak jumpa."

Iliana mengetap bibir. Kalau inilah kawan lama yang nak jumpa, tak jumpa sampai mati pun dia sanggup!

***

5.
"Kau kenapa, Na?" tegur Zila sebaik saja Iliana mengambil tempat di sebelahnya.

"Muka kau pucat. Macam ternampak hantu," komennya lagi.

Iliana menjeling Zila sekilas. Tidak mahu menjawab soalan gadis itu, terus dia mencapai gelas kaca berisi air teh lemon untuk diminum.

"Kau dah order?" dia pula bertanya.

Zila mengangguk. "Quater chicken dengan side dish yang kau minta tadi."

Zila memanjangkan leher untuk melihat beg plastik yang Iliana bawa bersama tadi. "Sempat juga menyangkut novel?"

Iliana hanya tersengih. "Sempatlah kaut sebuah je. Tak sempat nak lama sangat tadi."

"Kenapa? Bukannya ada apa nak dikejar pun. Aku pun baru je sampai ni."

"Aku jumpa kenalan lama."

Zila memandang wajah Iliana lama. "Agaknya sebab itulah kelopak mata kau bergerak-gerak hari tu kot!" tekanya.

Iliana sekadar ketawa kecil. Bahunya diangkat tanda tiada komen untuk dia berikan.

"Patutlah tak sempat nak kaut buku lain. Selalunya kalau kau dah masuk Popular tu, tak cukup tiga buah kau beli buku. Ini mesti sebab sakan sangat berbual tadi ni..."

Iliana menggeleng. "Tak pun. Tak berbual langsung."

Berkerut dahi Zila mendengarkan jawapan Iliana. "Takkan jumpa kawan lama tapi tak berbual langsung? Pelik... melainkan..." wajah Iliana dipandang lama. Melihatkan pandangan tajam Zila, degupan jantung Iliana berubah rentak. Janganlah budak ni pandai meneka siapa yang dia jumpa tadi.

"Eh, jap! Kau cakap kenalan lama, kan? Bukan kawan lama, kan?"

Iliana mengangguk.

"Kau jumpa musuh kau ke? Mastura?"

Geleng.

"Selain Mastura, orang yang kau akan jadi macam ni kalau kau jumpa..." Mulut Zila terlopong. "Kau jumpa Hazrul?!"

Iliana mengetap gigi. "Bingo!"

***

6
Iliana memandang siling lama. Badannya letih, otaknya penat. Tetapi mata tetap tidak mahu terlelap juga. Besar juga kesan Hazrul dalam hidup dia rupanya. Iliana menghela nafas berat.

Sedar tidak sedar, sudah sepuluh tahun rupanya sejarahnya dengan Hazrul berlalu. Kenapa mesti selepas sepuluh tahun dia berjumpa kembali? Kalau boleh, kisahnya dengan Hazrul tu hendak dibuang jauh-jauh. Kalau ada butang shift dan delete dalam hidup ni, pasti dia sudah tekan untuk buang Hazrul dan kenangan-kenangan bersama Hazrul selama-lamanya.

Iliana mengiring menghadap dinding. Nafasnya dihela perlahan. Satu demi satu kenangannya bersama Hazrul menerjah fikiran. Teringat kali pertama Hazrul meluahkan perasaannya di tangga luar perpustakaan.

"Saya dah lama perhatikan awak. Makin lama, makin saya suka pada awak. Boleh kita couple?" 

Itu ayat yang Hazrul katakan kepada Iliana. Iliana memandang lelaki yang berkaca mata dengan rambut yang bersikat tepi itu. Nampak skema. Iyalah... baju pun berwarna kuning cair, khas untuk pustakawan sekolah. Tetapi... memikirkan beberapa konflik yang dia hadapi sejak berpindah ke sekolah ini membuatkan dia mengangguk setuju.

Couple untuk menyelamatkan diri dia daripada diserang perempuan yang pendek akal kerana kononnya memandang teman lelaki mereka. Pandang je tau. Pandang! Alasannya Iliana ada niat nak rampas. Ceh! Apa kelas jadi perampas? Muka-muka boyfriend yang diorang dok puja itu pun tak mencapai tahap piawai dia. Nak buat apa? Buat sakit mata bolehlah.

Sejak menerima 'lamaran' menjadi buah hati Hazrul, semakin keraplah Hazrul mencari dia setiap kali ada masa terluang. Dia? Gunakan sepenuhnya kebaikan yang Hazrul tunjukkan. Perlukan tunjuk ajar? Tak perlu dia minta, Hazrul sendiri yang tawar diri nak jadi tutor akaunnya. Projek reka cipta? Hazrul kan ada. Beritahu saja apa yang cikgu hendak, minggu depannya siaplah projek itu Hazrul buatkan.

Setiap kali balik sekolah, pasti Hazrul akan berjalan kaki bersama dengannya sehingga ke rumah. Sedangkan, Hazrul itu ada sebuah superbike yang ayah dia hadiahkan kepada dia. Sejak jadi boyfriend Iliana, terus jadi zuhud kerana tidak menaiki superbike seperti sebelum-sebelumnya sebab Iliana tidak suka menunggang motor bersama lelaki.

Cuma... sebaik mana pun Hazrul melayan dia, hati Iliana tiada pada Hazrul. Jiwanya kosong. Dia rimas setiap kali Hazrul menunjukkan perhatian yang melampau. Dia tak suka apabila Hazrul mengajak dia lepak bersama-sama kawannya yang lain. Mana tidaknya, masing-masing tu kalau tidak nerd diorang tu geek. Tak masuk langsung dengan jiwa dia. Bila masa Iliana hendak lepak dengan kawan-kawannya, dia tak suka bila Hazrul nak ikut sekali. Tak perlu rasanya hendak masuk dalam circle kawan-kawannya. Get a life!

Tapi, lelaki seperti Hazrul itulah yang ibu bapanya berkenan sangat. Entah apalah yang ada pada Hazrul sehingga sering dibanding-bandingkan dengan kawan-kawannya yang lain. Tamat tingkatan lima, Iliana tidak bertangguh lagi. Hasrat yang sejak awal dia simpan dia suarakan pada Hazrul.

"Sampai hati awak, Iliana!" ujar Hazrul dengan wajah yang hampa. "Selama dua tahun kita berkawan, saya cuba untuk jadi seperti mana yang awak nak. Apa lagi yang awak tak puas hati, Iliana?"

"Awak tak jadi diri awak sendiri..." jawab Iliana mudah.

Hazrul menggeleng tidak percaya.

"Mudahnya awak cakap... selama ni awak tak cakap apa-apa, pun? Lagipun, dah macam-macam saya buat untuk awak. Kenapa tiba-tiba awak cakap awak nak break up?"

Iliana hanya memandang Hazrul dengan pandangan yang kosong. "Sebab awak bosan. Awak baik sangatlah, Hazrul."

Hazrul terpempan. Berubah sungguh wajah anak muda itu.

"Jadi semua kindness yang awak tunjuk, awak buat untuk saya tu tak ikhlaslah ya?" uji Iliana.

Hazrul memandang wajah Iliana tajam. Tak sangka hati wanita yang mencuri hatinya sungguh keras seperti ini.

"Awak jangan persoalkan keikhlasan saya, Iliana. Hanya Allah yang tahu sejauh mana keikhlasan saya. Awak tahu betapa saya sayangkan awak, Iliana. Kalau ada apa-apa yang saya boleh betulkan, beritahu Iliana. Please... jangan hancurkan apa yang kita bina dua tahun ni?" rayu Hazrul.

"Awak tak faham, Hazrul..." keluh Iliana. "It's just... it's not working between us!" tegas Iliana.

"Habis tu yang selama dua tahun ni apa?"

"Angan-angan awak? Mimpi? CIta-cita? I don't know." Iliana mengangkat bahu. 

"Awak kejam, Iliana..." ujar Hazrul kecewa.

Iliana memandang Hazrul lama. "Saya tak akan minta maaf, Hazrul. Please... just hate me," ujar Iliana selamba. Sedikit pun tidak rasa bersalah dengan tindakan yang dia ambil.

Hazrul menggeleng perlahan. Tak sangka Iliana boleh bertindak sebegini. Bagai separuh mati dia menyayangi Iliana, racun yang Iliana berikan.

"Please Iliana. Bagi saya satu lagi peluang..." rayu Hazrul.

Iliana menggeleng. "Awak tak malu ke merayu macam ni, Hazrul? Come on... mana maruah awak sebagai seorang lelaki?"

Iliana terus bangun dan meninggalkan Hazrul keseorangan. Penat dia hendak mengulangi apa yang dia cakap. Dia tak mahu, dia tak nak!

Hazrul memandang Iliana yang sudah meninggalkan dia. Terasa langit bagai hendak runtuh menimpa dirinya. Tak sangka setega itu Iliana meninggalkan dirinya. Dia baru memasang angan-angan hendak meminang Iliana. Mahu mengikat gadis itu dengan tali pertunangan sementara masing-masing melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Hazrul tersandar di tiang pondok. Terasa semangatnya hilang dibawa Iliana. Lama dia termenung seorang diri sebelum pulang ke rumah.

1 comment:

Afiqahai said...

Cerita ni memang tak ada sambungan dah ye? Tamat?