::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

28 December 2016

Novelette: Dia Superstar p3 -End-



Dia Superstar 11
1 tahun berlalu...
Aku sibuk menyemak satu demi satu data yang tertera di atas kertas. Salah key-in, jenuh nak menjawab dengan bos. Ada hikmahnya juga praktikal dengan syarikat yang kecil begini. Pendedahannya lebih. Tak adalah aku buat kerja photocopy saja. Ofis mula riuh rendah apabila rakan-rakan sekerja yang lain pulang daripada makan tengahari. Sedang aku tekun memasukkan data ke dalam Excel, tiba-tiba fokus aku terganggu apabila Anas meletakkan sebungkus polistrin ke atas meja.

“Thank you!” ujarku tanpa melihat wajahnya.
“Welcome. Jangan lupa makan,” pesan Anas.
Aku sekadar mengangguk. Pasti dia perasan aku baru makan tengahari pada lewat petang semalam. Oh. Lupa nak cerita. Sekarang ni aku sudah tiga bulan menjalani latihan industri. Rezeki agaknya nak dapat tempat yang sama dengan Anas. Sebulan lagi latihan industri kami akan berakhir. Kemudian, ada lagi satu semester untuk kami menamatkan pembelajaran kami. Ah... cepatnya masa berlalu!
            Tentang Riz? Pastilah semakin terkenal. Dengar cerita, hujung tahun ni bakal keluar dengan filem baru di panggung wayang. Cerita berkisarkan kekeluargaan dan setiakawan. Pastinya akan diselitkan juga dengan kisah cinta. Ah! Pedulikanlah. Bukannya aku dengan dia ada apa-apa lagi pun. Antara kami habis begitu saja. Semua momen yang manis di antara aku dengan Riz bagaikan satu mimpi.
            Aku meletakkan sebeban kertas yang berisi data ke atas meja. Tangan mengurut-urut bahu dan tengkuk yang terasa lenguh. Mana tidaknya, sudah dua hari menghadap kerja yang sama. Tangan kanan mencapai plastik yang Anas letakkan tadi. Polistrinnya aku buka dan isinya aku jenguk. Hrm... lauk kegemaran aku! Pandai Anas memilih. Tahu saja apa yang aku suka dan tidak suka.
            Teringat pesanan mama semasa aku bercerita tentang hubungan aku dengan Riz yang sudah putus. Pilih lelaki yang sayangkan kita. Kalau ikut kes aku, Anaslah orangnya. Mana tidaknya, sehingga sekarang masih bertabah menunggu aku membuka pintu hati untuk dia walaupun sering aku ‘friendzone’kan dia. Cuma tentang Anas saja aku tidak pernah bercerita kepada mama. Ada mama fikir aku memutuskan hubungan dengan Riz gara-gara Anas nanti.
            Aku menanggalkan jam tangan dan meletakkannya di sebelah keyboard. Kemudian aku bangun dan melangkah ke musolla. Mahu refresh diri sebelum sambung membuat kerja. Argh... aku menggeliat. Letihnya rasa. Selesai solat, aku berteleku sekejap di atas sejadah. Sekejap tak sekejap, hampir sepuluh minit juga sebenarnya aku tertidur.
            Princess!”
            Aku tersentak.
“Riz?” Dalam keadaan blur aku memerhatikan Riz berdiri di pintu musolla. Keliru aku dibuatnya. Sejak bila Riz memanggil aku dengan panggilan princess? Sel-sel otakku mula berhubung. Dua tiga kali memejam celikkan mata, baru aku tersedar Anas yang berdiri di situ.
            “Pukul berapa dah?”
            “Dua setengah.”
            Aku menguap. Letih betul rasa. Aku bangun dan membuka telekung. Anas memerhatikan setiap pergerakan aku tanpa suara.
            “Bos cari ke?”
            “Tak adalah. Aku nak solat. Ternampak kau kat sini. Ingatkan tunggu aku jadi imam kau,” ujar Anas selamba.
            Aku ketawa kecil. “Kau lambat sepuluh minitlah Anas.”
            “Aku tahu princess. Aku sentiasa terlambat bila tentang kau...” ujar Anas sebelum berlalu ke bilik air.
            Aku mengerutkan dahi. Nak cakap dia selalu terlambat berbanding Rizlah tu. Ada ada saja Anas ni. Aku mengemaskan tudung sebelum kembali ke meja. Sempat berselisih dengan Anas yang baru keluar dari bilik air dalam keadaan yang sudah berwudhuk.
            “Jangan lupa doakan kebahagiaan aku sekali,” usikku.
            “Kalau kebahagiaan kau tu dengan aku macam mana?” usikan aku berbalas dengan usikan. Namun aku hanya mampu menjelirkan lidah. Hampeh. Aku juga yang terkena.
            Aku menyambung tugasan aku yang tertangguh. Tak sedar masa berlalu sehinggalah aku terdengar suara rakan sekerja sudah mula riuh mengemas barang untuk balik. Aku menjeling jam. Patutlah. Sudah pukul enam. Solat Asar pun aku tunaikan lagi. Aku mengemas barang dan menutup komputer. Kerja boleh sambung esok. Waktu solat takkan ada lain kali.
            “Hah? Tak balik lagi?” tegur Anas bila aku kembali ke meja selepas solat.
            “Baru lepas solat. Kenapa?”
            “Ni. Nasi pun tak makan lagi?” Anas mengangkat polistrin yang masih berat.
            Aku hanya mampu tersengih. Memang silap aku pun. “Nak makanlah ni...”
            “Makan sekarang. Aku bancuhkan air,” tawar Anas.
            Aku sekadar mengangkat bahu. Orang dah offer diri, buat apa nak menolak. Aku menjamu selera di meja kerana malas hendak di pantri. Lagipun sudah habis office hour, apa nak kisah?
            Anas muncul dengan dua muk air di tangan. Muk di letakkan ke atas meja. Kemudian dia menarik kerusi orang sebelah dan duduk di hadapan aku.
            “Nas, kau tak letak dadah kan dalam air tu?”
            Anas merenung aku sedikit marah. “Aku kalau nak dajalkan kau, dah lama aku buat tau!” balas Anas geram.
Aku sudah tergelak. Manalah tahu kan tiba-tiba dia nak sakit hati sebab selalu kena tolak dengan aku.
            “Sekejap je masa berlalu kan, princess?
            “Hrmm...” aku sekadar menganggukkan kepala.
            “Praktikal kita pun dah nak habis.”
            “Hrmm...”
            “Dengar cerita ada budak kolej kita praktikal sini jugak lepas kita habis nanti.”
            “Oh...”
            Anas tergelak melihatkan reaksi aku. “Kau ni, kalau jumpa makanan memang macam ni. Tak peduli dah hal sekeliling!” kutuk Anas.
            Aku hanya ketawa. Anas sambung bercakap. Daripada satu cerita ke satu cerita keluar. Siapa kata perempuan kuat bergosip? Lelaki pun sama je. Aku dah banyak lepak dengan kawan-kawan lelaki, aku tahulah. Cuma topik perbualan je mungkin berbeza. Tapi tak tahan, cerita tentang perempuan tak pernah lepas menjadi topik perbualan. Ergh!
            Princess, aku nak tanya sikit.”
            “Apa benda?”
            “Kau dengan Riz macam mana sekarang?” soal Anas berhati-hati.
            Aku mengeluh. Mujur dah habis makan. Mahu hilang selera dibuatnya bila buka topik tentang Riz.
            “Macam mana apa?”
            “Iyalah. Aku nak juga tahu kau hubungan kau dengan dia macam mana. Aku masih ada peluang ke...” ujar Anas selamba.
            Aku diam. Polistrin aku letakkan ke dalam plastik dan plastik itu aku ikat kemas sebelum dibuang.
            “Aku tak rasa nak ada komitmen dengan mana-mana lelaki. Termasuklah kau. Lagipun, aku selesa berkawan dengan kau Anas. Kau tahu tu, kan?”
            “Ah... kena friendzone lagi...” Anas mengeluh.
            Aku sekadar ketawa. Malas hendak mengambil pusing apa yang ada di dalam fikirannya.
            “Sebenarnya aku nak beritahu kau ni...”
            “Apa?”
            “Ada orang tunggu kau kat bawah.”
            “Hah?”
            “Sebenarnya dia dah tunggu sejak pukul lima tadi.”
            “Aku tak faham.”
            “Sebenarnya...”
            “Sebenarnya... sebenarnya. Sebenarnya apa Anas? Cuba kau cakap terang jelas lagi nyata sikit? Aku tak fahamlah!” rungutku. Cuak juga bila Anas menyatakan ada orang sedang menunggu. Siapa? Orang jahat ke?
            Anas senyum hambar. “Riz tunggu kau kat bawah.”
            Aku terkelu. Riz? Kenapa lepas setahun tiba-tiba dia mencari aku kembali? Aku jadi tak tentu arah. Entah kenapa, muka terasa panas saat mendengar nama Riz Hanafi.
            “Aku tahu kau masih tunggu dia. Kalau tak, tak adalah kau panggil nama dia masa aku kejutkan kau tengahari tadi. Pergilah jumpa dia, princess. Selesaikan apa yang masih tergantung sejak tahun lepas.”
            Aku diam. Sedikit sebanyak rasa terharu apabila Anas masih memikirkan perasaan aku walaupun banyak kali dia cuba menarik perhatian aku.
            “Anas... aku...”
            “Dahlah. Pergi turun. Sejam setengah dia tunggu kau tu...”
            Aku mengangguk perlahan. Beg sandang aku capai dan langkah aku atur untuk keluar. Sempat aku menoleh ke arah Anas dan menghadiahkan sebuah senyuman yang manis untuk tatapan dia.
            ***
            Aku memerhati ke sekeliling untuk mencari susuk tubuh Riz. Kalau di tengok daripada dalam Instagram dia, tubuhnya sudah semakin sado sekarang ni. Manalah tahu setahun tak berjumpa aku dah tak kenal Riz Hanafi lagi. Hati aku mula kecewa apabila aku langsung tidak berjumpa orangnya. Aku melihat jam di pergelangan. 6. 45 petang. Mungkin dia dah balik agaknya. Aku mengeluh perlahan. Sedikit kecewa kerana Riz tidak sabar menunggu. Tiba-tiba rasa hendak marah Anas kerana lambat memberitahu aku tentang Riz.
            Aku menoleh ke belakang apabila terdengar bunyi orang berjalan. Anas sedang melangkah ke arah aku dengan menyandang beg laptop.
            “Dah jumpa dah? Sekejapnya?”
            “Jumpa apanya. Bayang dia pun aku tak nampak. Kau tipu aku ya?”
            “Apa faedah aku bohong kau, princess?
Anas sudah melangkah ke arah sebuah kereta putih yang bertinted yang terpakir di hadapan aku. Tingkap kereta itu diketuk dan tidak lama kemudian pintu pemandu terbuka. Riz keluar daripada kereta itu dengan wajah yang manis dengan senyuman. Aku merengus geram. Jadi sejak tadi dia memerhatikan aku terpinga-pinga dekat sini? Marah pulak rasa.
            “Iz...” panggil Riz perlahan.
            Suara Riz membawa aku hanyut ke dalam dunia lain. Suara yang membuatkan membuai hati aku meskipun aku selalu mendengar suaranya di televisyen.
            “Riz...”
            “Jom. Aku hantarkan kau balik,” ujar Riz. Kemudian dia memandang Anas. Tangan di hulurkan dan mereka bersalam.
“Thanks, bro.”
            “Apa saja demi Izyana...”
            Riz merengus geram. Namun wajahnya kembali dimaniskan apabila dia memandang aku.
            “Ingat Riz, sekali kau terlepas, aku tak fikir dua kali untuk jadikan dia hak aku,” sempat Anas menjawab sebelum dia hilang.
            Riz mengetap giginya geram. Selepas menghela nafas, dia memberi isyarat mata kepada aku.
“Naiklah...”
            Aku mengangguk.


Dia Superstar 12
            “Lama tak jumpa kau, Iz. Kau sihat?”
            “Alhamdulillah.”
            “Praktikal ok?”
            “Ok je.”
            “Kau nampak susut. Rindukan aku?”
            Aku terdiam. Patutkah aku berterus terang saja tentang perasaan aku dengan Riz? Sejauh mana aku cuba untuk membuang dia, dia tetap dekat di hati.
            “Aku rindukan kau, Iz. Rindu sangat-sangat.”
            “Kalau rindu, kenapa tak pernah cari aku setahun ni?”
            “Aku tak nak buat kau makin marah. Keadaan aku, kerja aku tak mengizinkan aku untuk jadi seperti yang kau harapkan. Daripada aku buat kau marah, baik aku tunggu kau cool down dulu.”
            “Sampai setahun? Come on, Riz...”
            “Setahun untuk aku work out apa yang perlu dengan company aku. Sekurang-kurangnya aku dapat sambung belajar balik walaupun lambat satu semester daripada korang.”
            Aku sedikit terkejut mendengarkan berita yang Riz bawakan.
            “Mungkin agak pack sikitlah jadual aku. Mana dengan belajar, modelling dan berlakon lagi. Tapi alhamdulillah, sekarang aku dah boleh manage. Lepas korang habis praktikal nanti, aku pula yang sambung dekat  syarikat tu.”
            “Oh. Kau rupanya yang Anas cakap tadi.”
            “Hrm... kau dengan Anas macam mana?”
            “Dia kawan yang baik.”
            “Masih kawan seperti setahun yang dulu?” Riz mengangkat kening sebelah.
Aku diam. Riz sedang menyindir atau apa?
“Selama-lamanya hanya kawan.”
            Riz senyum nipis. Tapi kenapa aku nampak dia macam tersenyum sinis? Eh, bising aku berkawan dengan Anas, tapi dia pun minta tolong Anas untuk jumpa aku tadi.
            “Aku dah bincang dengan syarikat aku. Aku minta agar job yang akan datang tak ada scene yang memerlukan aku bersentuhan, berpeluk dengan artis perempuan. Tapi mungkin awal-awal ni susah sikit untuk dapat skrip macam tu. Kau tahu sajalah, dunia artis kita ni hitam dengan putih tu bercampur.”
            “Kalau dah tahu, kenapa masuk duduk dalam dunia tu?” soalku. Walaupun aku bukanlah alim benar, solat pun masih belum disiplin benar. Tapi soal pergaulan Riz dengan perempuan lain aku cukup sensitif.
            “Iz... dulu kita tak pernah berbincang langsung pasal hal ni. Kau tak pernah cakap kau tak suka. Aku pun tak boleh terus keluar macam tu je. Aku terikat dengan kontrak. Kau kena faham...”
            Aku menunduk. Ya. Silap aku sejak dari awal lagi. Mungkin aku patut bersyukur kerana Riz masih berusaha untuk mengikut kemahuan aku.
            “Kita kahwin, Iz?”
            Aku terpempan. Perlahan-lahan aku menoleh ke arah Riz. “Kau serius?”
            “Kalau dengan berkahwin menunjukkan aku serius dengan kau, kita kahwin. Kalau itu boleh buat kau rasa secure.”
            “Riz, satu benda yang aku belajar , relationship is not all about ‘me’. Tapi it is all about us. Aku minta maaf sebab selama ni aku sangka aku support kau tapi hakikatnya tak. Sorry aku selfish dan nak semua ikut cara aku.”
“Dan sekarang, aku tak nak kita kahwin sebab kau nak buat aku secure. Aku takut benda tu tak ke mana. Bila hati aku masih terus rasa curiga dekat kau. Bagi aku masa Riz untuk adapt dengan kehidupan kau. Bila tiba masanya, kita kahwin...” putusku.
Riz tidak menjawab. Riak wajahnya yang tak berubah menyebabkan aku tidak dapat meneka apa yang dia rasa. Aku menghela nafas lega. Sekurang-kurangnya kali ni aku rasa aku buat keputusan yang tepat.
***
Enam bulan berlalu...
Riz melayangkan kad undangan ke Anugerah Drama Negara yang bakal diadakan lagi sebulan. Dari sebulan yang lepas dia sibuk mengajak aku menjadi teman dia untuk ke majlis itu gara-gara dia tercalon sebagai pelakon lelaki terbaik dan pelakon lelaki popular. Sejak drama Satu Jiwa tahun lepas, berapa banyak syarikat produksi tawarkan dia untuk belakon.
Drama ketiga lakonan Riz berjaya mencapai rating sehingga 30% di seluruh negara. Aku tonton dramanya pun nampak peningkatan kualiti drama Melayu berbanding drama-drama yang lain. Kagum aku dengan Datin Mira yang betul-betul memastikan drama ketiga lakonan Riz yang merupakan drama syarikatnya berkualiti. Baik dari segi jalan cerita, suntingan, sinematografi dan lain-lain lagi.
            “Jom...” pujuk Riz.
            Aku mencebik. “Malaslah. Kau tahukan aku malas nak masuk campur dunia kau yang ni?”
            “Iz... please? Kau tahu semua ni takkan bermakna tanpa support kau, kan?”
            “Nanti orang buat gosip pasal kitalah...”
            “Dah nak gosip apanya lagi kalau kita dah bertunang...”
            Aku menjeling Riz sekilas. Dia tahu tak betapa aku struggle setiap kali ada gosip melanda dirinya. Kadang tu gosip-gosipnya semua tak berasas dan sengaja hendak merosakkan hubungan kami. Forum yang aku selalu lawati tu tak payah cakaplah. Memang aku pangkah terus dari hidup aku. Bukannya hendak mempercayai Riz seratus peratus, tapi kalau benda tu buat aku selalu bergaduh dengan Riz, nak buat apa?
            “This will be the first and the last.” Pujuk Riz lagi.
            “Kenapa pulak?”
            “Sebab aku dah janji dengan parents kau untuk quit daripada dunia hiburan lepas kita kahwin nanti.”
            Aku terkejut. “Tapi kenapa?”
            Riz sekadar mengangkat bahu. “Entah. Tak apalah. Dulu pun aku main-main je nak masuk modelling. Sekali dapat offer berlakon drama.”
            Aku memandang Riz dengan riak tak percaya. “Kau tak rasa sayang ke? Kau ada talent. Peminat dah ramai...”
            Riz menjeling aku geram. “Kau sebenarnya suka aku quit ke tak?”
            Aku mengetap bibir. Perlahan-lahan aku mengangguk.
            “Dah tu banyak tanya sangat kenapa?”
            Aku ketawa kecil. “Tak adalah. Itu minat kau. Aku tak nak halang. Cuma, macam yang aku minta, jaga pergaulan kau. Itu je. Kau kan tahu aku cemburu...”
            “Iz... aku dah rasa macam mana jadi popular. Aku dah rasa macam mana ramai peminat dan haters. Apa lagi yang aku nak? Kebahagiaan aku ada pada kau. Aku nak build life dengan kau. Hidup sampai tua dengan kau. Travel satu dunia dengan kau. Orang lain mungkin fame and popularity tu buat diorang happy. Tapi aku tak. Kau faham?”
            Aku hanya mampu tersenyum. Bahagia benar rasanya bila Riz kata begitu. Mama... Yana ikut pesan ma. Pilih lelak yang sayang Yana lebih dari Yana sayang dia.
            “Thank you...”
            Riz merengus geram. Namun aku tahu dia bukan marah benar. Mungkin ada sikitlah rasa sakit hati bila aku mempersoalkan tindakan dia tu sedangkan aku sendiri tak suka dunia hiburan Riz.
            “Ok. Aku ikut.”
            Mendengarkan keputusan aku, sekuntum senyuman muncul dari bibir Riz.
***
            “Pemenang bagi pelakon lelaki terbaik jatuh kepada...”
            Aku menjeling ke arah Riz disebelah yang tidak senang duduk. Sebuah senyuman kecil terbentuk di bibir.
            “Riz Hanafi!”
            Riz sudah tersandar di kerusi. Bibirnya sudah lebar dengan senyuman. Beberapa saat kemudian, Riz bangun untuk berjalan ke atas pentas. Sempat dia bersalam dengan beberapa artis lain dan memberikan tundukan hormat kepada artis wanita yang menghulurkan tangan. Melihatkan perkara itu, hati aku berbunga-bunga.
            “Saya ingin mengucapkan terima kasih buat semua peminat-peminat saya, buat Datin Mira, orang yang pertama nampak bakat saya dalam dunia modelling dan lakonan, yang gilap bakat saya sehingga berjaya merangkul anugerah ini. Buat semua kru produksi yang banyak memberikan tunjuk ajar. Buat bakal isteri saya yang banyak memberi sokongan sejak dari hari pertama, terima kasih...” ringkas dan padat ucapan yang Riz berikan.
Aku tersenyum nipis. Dia langsung tidak menyebut tentang keluarganya. Iyalah, mana ada ahli keluarga dia yang menyokong Riz masuk dalam dunia lakonan. Harap-harap ucapan Riz tadi tak dijadikan isu oleh netizen nanti sudah.
            Sepuluh minit kemudian Riz kembali ke tempat duduk. Tangannya menghulurkan piala yang terukir nama award dan namanya. Wajahnya ceria. Sangat-sangat ceria. Perasaan bersalah mula muncul dalam diri aku. Tiba-tiba aku rasa tidak sampai hati untuk meragut senyuman itu dalam hidupnya.
            “Tahniah...”
            “Terima kasih Iz.”
            Aku mengangguk. Hati aku kembali berbolak balik. Patut aku bersetuju dengan keputusan Riz atau benarkan Riz terus menjadi seorang pelakon?
This will be the first and the last. Malam ni aku seronok sangat bila bakat aku dapat pengiktirafan.”
“Kau tak rasa sayang ke?” soalku. Entah kenapa, aku dapat rasa Riz sendiri berperang dengan dirinya sendiri.
“Iz...” tone Riz mula berubah.
“Berlakon ni, passion kau. Aku bersalah nak suruh kau quit Riz walaupun aku tak suka.”
“Iz, kita dah discuss benda ni sebelum ni, kan?”
“Riz, don’t quit. Tapi be selective. Kau teruskan minat kau, aku pilih skrip yang mana sesuai. Kan boleh?”
“Iz... tolonglah jangan rosakkan mood kita malam ni. Kita dah setuju, kan? Aku pilih kau, kan? Please...?
Aku mengetap bibir. Perlahan-lahan aku mengangguk. Baiklah Izyana. Riz pun dah tetap dengan pendirian dia.
“Tapi, kalau kau tukar fikiran, kita boleh bincang balik...” ujarku seraya menghulurkan piala itu kepada Riz.
Riz menjeling aku geram. Aku ketawa kecil dan mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Ok, kita tukar topik...” kataku sebelum Riz betul-betul naik angin.


Dia Superstar 13 (Epilog?)
Dengan sekali lafaz, aku sah bergelar isteri buat lelaki yang bernama Riz Hanafi. Anas yang menjadi official photographer kami aktif mengambil gambar dari setiap sudut. Ada masanya, dia pula yang mengajar kami untuk membuatkan pelbagai aksi. Kadang aku tak faham dengan Anas ni. Dulu siap buat confession atas gunung. Tapi hari ni kental pula aku tengok.
“Dah dah lah tu. Tak payah nak buat gaya lebih-lebih...” sound Anas bila Riz mula buat aksi terlampau. Riz hanya ketawa. Namun bunyinya kedengaran jahat sekali. Macam sengaja nak sakitkan hati Anas.
“Aku rasa tenang je dekat majlis korang ni. Memang tak jemput media langsung ke?”
Riz menggeleng. “Majlis untuk keluarga dengan kawan-kawan rapat je.”
“Tak kena pulau pula kau kan? Media ni perlu juga untuk naikkan nama kau. Forum pun boleh tahan jugak. Setahun kau tak ada, setiap malam budak ni menangis baca gosip pasal kau dekat forum,” cerita Anas.
Aku mencampakkan bunga di tangan ke arah Anas. Anas mengelak lalu ketawa. Riz sudah memandang aku dengan riak tak percaya.
“Forum apa? Tak pernah cerita pun sebelum ni?” Riz memandang aku dengan seribu persoalan.
Aku sudah rasa hendak kejar saja si Anas ni walaupun baju songket tersarung di badan. Sakitnya hati!
“Tak ada. Tak ada forum apa-apa. Heee... tak payah tahulah! Tak penting!” ujarku gelisah. Malunya kalau Riz tahu.
Riz mengecilkan matanya. Aku mengalih pandangan. “Iz... baik cakap cepat. Apa yang buat Iz menangis?”
“Tak ada apa. Orang cakap tak ada apa kan...” aku sudah mula membuka langkah. Nampak gaya Riz ada potensi hendak mengejar aku ni.
“Cakap! Apa yang buat Iz menangis setiap malam ni?” Riz semakin menghampiri.
“Tak ada apa... Ish kaulah ni Anas!”
“Iz...”
“Tak. Iz dah tak baca lagi dah sumpah. Aaaaaaa....”
Aku sudah membuka langkah seribu. Namun berapa jauh sangatlah aku boleh berlari dalam pakaian begini. Anas mengambil gambar candid kami dalam ketawa. Kurang asam betul!
“Hah!” Riz sudah berjaya menangkap tangan aku dan menarik aku ke dalam pelukannya.
“Cakap cepat! Kenapa baca forum dan gosip-gosip yang tak masuk akal tu? Oh! Patutlah susah sangat nak percayakan Riz ya? Baca gosip-gosip itu semua!” marah Riz. Pipi aku ditarik geram. Aku sudah terjerit kecil.
“Iz dah tak baca. Sejak Riz jumpa Iz balik masa Iz praktikal hari tu Iz dah tak baca dah. I love you and I trust you, okay?”
Riz sudah tergelak-gelak. Setelah berpuas hati dengan penjelasan aku, dia melepaskan pelukannya. Mataku beralih ke arah Anas. Melihatkan senyumannya yang kurang ceria berbanding tadi menyebabkan aku tidak jadi hendak memarahinya. Hish pak cik ni. Ingatkan kental sangat.
***
Aku dan Riz menghantar ibu bapanya ke kereta untuk pulang. Sejak menjadi tunangan Riz lagi aku nampak hubungan mereka hambar. Namun Riz tetap berusaha menjadi anak lelaki yang baik. Nampaknya aku pun kenalah belajar menjadi menantu perempuan yang baik juga.
Selepas bersalam dan memerhatikan pemergian mereka, Riz menarik tangan aku untuk menuju ke dalam rumah. Namun tiba-tiba sahaja tangannya memeluk aku dari belakang. Public display affection yang dia tunjukkan tanpa mengira tempat.
“Nak tahu satu perkara tak?”
“Apa dia?”
“Bila Iz sah jadi isteri Riz, rasa happy tu melebihi rasa happy masa dapat award masa malam anugerah tu.”
Aku tersenyum manis. Sejuk hati mendengarkan kata-katanya. “Mestilah. Sebab Iz bukan award yang orang beri, Iz award yang Tuhan bagi. Tak gitu?”
Spontan tangan Riz naik ke pipi aku. Aku mengaduh apabila dia mencubit pipiku tanpa sebarang amaran.
“Betullah tu...” balasnya pendek.
Aku ketawa kecil. Jawab soalan dengan betul pun kena cubit.
“Terima kasih sebab selalu usyar Riz dulu. Sudi jadi girlfriend Riz dan sekarang jadi isteri Riz...”
Aku mengangguk perlahan. “Terima kasih jugak sebab bersabar dengan Iz. Terima Iz walaupun dah tak slim macam zaman athlete dulu. Satu je Iz nak minta...”
“Apa dia?”
“Please don't fall out of love with me...”
Riz memandang aku lama. Renungannya membawa seribu erti. Renungan yang pada aku, dia meminta aku terus mempercayainya.
“Insya Allah...” balasnya pendek dan yakin.
Aku tersenyum gembira. Mudah-mudahan permintaan aku ni Allah perkenankan. Kata Isma, aku kena rajin berdoa supaya Allah kekalkan kebahagiaan kitorang sebab hati manusia ni Allah yang pegang. Ah... tak mahu fikir yang lain. Aku mahu terus larut dalam kebahagiaan yang aku rasakan kini. Riz Hanafi, superstar yang sentiasa bersinar di hati aku.

2 comments:

Afiqah Ai said...

Ingatkan it will happy ending with Anas. Tapi its okayy. Tak semua kita suka akan jadi milik kita. :') thank you for this story.

Dewi Aja said...

Nice :)
Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami http://kbagi.com/ atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)