“And they lived happily ever after...” Mama mengakhiri ceritanya untuk malam ini. Buku cerita ditangannya di tutup. Aku yang sudah mengantuk terus sahaja meletakkan kepala diatas bantal. Mama membetulkan selimut sebelum keluar dari bilik. Suis lampu ditutup.
“Good night sayang,” ucap Mama sebelum keluar.
“Night ma,” balasku perlahan.
Mata sudah tertutup. Malam itu aku pula yang bermimpikan putera raja datang menelamatkan aku dengan menaiki kuda putih. Oh, indahnya perasaan itu! ‘Semoga satu hari nanti aku turut menjumpai cinta yang sebegitu dan hidupku akan terus bahagia selama-lamanya,’ doaku di dalam hati.
***
Telefon bimbit di campak ke atas katil. Hatiku membuak-buak dengan perasaan marah. Haikal tak dapat dihubungi. Entah kenapa, semakin lama aku semakin meluat dengan perangai Haikal. Nafas dihela perlahan. Sabar Yati, sabar. Kaki dihayun ke arah meja cermin letaknya disebelah almari baju. Sikat dicapai lalu rambut yang kusut tadi aku sikat. Marahkan Haikal, rambut yang menjadi mangsa. Huh, semuanya serba tak kena kerana Haikal!
Dua minggu lepas, Laila memberitahu yang dia ternampak Haikal di Jaya Jusco. Mulanya aku tidak bersangka apa. Memang Haikal ada di sini, balik ke kampung. Tetapi apabila mendengarkan Haikal berjalan dengan seorang wanita yang tengah sarat mengandung, aku dah rasa lain. Sekalipun aku cuba menyedapkan hati sendiri, namun encik hati dekat dalam ni tetap berdegil. Tetap tidak mahu berlembut. Terasa seperti ada sesuatu yang disorokkan Haikal. Lagi-lagi bila aku susah sangat nak ajak dia jumpa masa tu.
Aku berbaring di atas katil. Jam sudah menunjukkan 2 pagi. Mata masih tidak mahu lelap. Tangan mencapai handset yang ditindih dengan badan. Nombor telefon Haikal didail. Hati tak putus-putus berdoa agar talian bersambung. Sebaik sahaja taliannya bersambung, aku tersenyum senang.
“Hello? Bang? Abang kat mana? Kenapa tak angkat Ayang call?” bertubi-tubi soalan aku lontarkan.
Talian disebelah sana senyap. Bunyi orang bernafas pun tak ada. Aku mengerutkan dahi. Skrin telefon bimbit dipandang sekilas. Talian bersambung. Takkanlah hantu yang jawab kut?
“Hello?”
“Abang Haikal tengah tidur,” lembut sahaja suara perempuan itu menjawab.
Aku menelan air liur. Ah sudah! “Err... ini siapa ni?” soalku. Pada masa yang sama, aku cuba membina kekuatan. Takut-takut jawapan yang aku terima nanti boleh bagi heart attack. Siapa tahu?
“Saya isteri abang Haikal.”
Telefon bimbit terlepas daripada pegangan. Serentak dengan itu pipi dah dibanjiri. Dada terasa sebu. Walaupun tak kena heart attack, namun jawapan tadi dah cukup membuatkan separuh nyawa aku melayang. Haikal, sampai hati Haikal buat Yati macam ni...
***
Hampir seminggu panggilan dan mesej daripada Haikal aku buat tak endah. Malas mahu membiarkan encik hati terus merana. Seminggu itu jugalah aku memenuhkan jadual hidup aku daripada pagi ke malam. Kalau tak menyibukkan diri dengan kerja, aku layankan sahaja Laila yang sibuk hendak bershopping. Mujurlah aku memang duduk dengan Laila dekat bandar besar ni. Kalau duduk dengan mama dan abah, memang ada yang sengaja cari pasal-lah balik lewat malam.
“Haikal lagi?” soal Laila apabila melihatkan aku memasukkan telefon bimbit ke dalam beg tangan.
“Erm. Siapa lagi yang nak call aku, mesej aku tiap sepuluh minit.” Pinggan yang telah licin ditolak lalu gelas berisi teh ‘o’ ais yang tinggal separuh di capai.
Laila ketawa. “Dahsyat juga penangan kau ni eh? Tak duduk diam dia aku rasa.”
Aku mencebik.
“Hrm... Dulu aku ingat lagi macam mana dia nak tackle kau. Siap pujuk rayu aku lagi tolong kenenkan dia kat kau. Tak sangka pulak aku boleh jadi macam ni,” perlahan Laila menuturkan kata.
Aku menarik nafas dalam. “Hati manusia La, berubah-ubah. Zaman belajar dulu tu dah 2 tahun lepas dah.”
“Mama dengan abah kau dah tahu ke pasal kau dengan Haikal?”
Aku menggeleng. “Tak tahulah aku nak cakap macam mana dekat diorang nanti. Dah lah selama ni memang diorang dah bising suruh Haikal hantar rombogan.”
Laila tersenyum sumbing. “Tak apalah, mungkin jodoh kau bukan dengan dia.”
Aku menghabiskan air yang tinggal.
“Entahlah, La. Selama ni memang aku rasa dialah jodoh aku. Memanglah kitorang ni seorang kat timur, seorang dekat selatan, tapi aku yakin sangat hubungan kitorang ok. Tapi bila dah jadi macam ni... Aku tak sangka sangat dia tipu aku selama ni,” keluhku. Lebih 3 tahun kami bersama, dan sekelip mata sahaja terputus macam itu sahaja. Aku menggigit bibir. Bila buka topik aku dan Haikal, mesti air mata bergenang.
Laila memandang aku dengan pandangan simpati. “Berdoalah. Minta petunjuk Allah,” pujuknya.
Aku tersenyum sumbing. “Hai... nampaknya tak adalah happily ever after eh kisah aku dengan Haikal?”
Laila menjulingkan mata. “Tak habis-habis dengan kisah dongeng tu. Kau tu dah 25 tahun tau? Bukannya 5 tahun!”
***
“Kalau dah tak ada jodoh nak buat macam mana?” suara Mama lembut menampar gegendang telingaku. Mujurlah Mama tak marah-marah. Manalah tahu, dekat 3 tahun berkawan putus macam tu je. Err... berkawan ke berkasih?
“Mama tak marah ke?” spontan mulut menuturkan apa yang berlegar dekat kepala.
Mama ketawa halus. “Mama nak marah kenapanya? Hrm?”
Aku pula yang terkulat-kulat. “Manalah tahu...”
“Hrm... Kiranya kamu dengan Haikal memang tak ada apa-apalah ni?” soal Mama menginginkan kepastian.
Aku mengangguk. Tersedar Mama tak berada di hadapanku, laju aku mengiyakan. “Lepas ni Mama ajelah carikan calon suami untuk Yati,” ujarku bergurau.
“Eh? Betul ke ni?” soal Mama serius.
Aku pula yang ketawa. “Mama ni... Yati bergurau ajelah.”
“Alah, kalau betul pun apa salahnya, Yati? Bercinta lama-lama pun belum tentu jadi,” ujar Mama.
“Hurm... Iyalah tu ma...”
“Betul apa yang Mama cakap?”
“Iye... Betul...” Akhirnya aku mengalah.
“Kalau macam tu...”
Belum sempat Mama menghabiskan ayatnya, aku memintas. “Mama... Yati baru je putus dengan Haikal.”
“Iyelah. Tapi mama tengok kamu ok je? Tak ada gaya macam orang putus cinta pun? Lagipun, Mak Ara sebelah rumah sibuk bertanyakan kamu untuk Ariffin.”
“Ariffin?”
Spontan aku terbayangkan budak lelaki yang sibuk bercinta di saat orang lain sibuk menelaah pelajaran. Aku mencebik. Lelaki tu bukannya sibuk bercinta je masa zaman sekolah, sibuk juga bertukar-tukar girlfriend. Tahap buaya tembaga dah tu. Dia tu satu sekolah kenal. Tapi aku tak sure pulak kalau dia kenal aku. Hai... malang sungguhlah aku kalau jadi isteri dia. Aku tergeleng-geleng sendiri.
***
Aku mengambil dan membelek-belek kasut hitam yang tersusun di atas rak. Akhirnya kasut itu diletakkan kembali. Masih belum berjumpa dengan kasut yang sesuai. Mata kemudian melilau melihat ke arah Ariffin yang turut sama mencari kasut untuk hantaran nanti. Kaki dihayun ke arah Ariffin. Perlahan aku memanggil Ariffin yang leka dengan kasut yang baru disarungkan ke kaki. Kemudian telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan dijawab.
“Wa’alaikumussalam. Ada apa Dina?”
Dahiku berkerut. Perempuan? Agaknya yang nombor berapalah tu kan?
“I tengah shopping. Ha’ah, cari barang sikit.”
Aku memasang telinga. Kenapa tak cakap cari barang hantaran? Ariffin ketawa. Mataku tak lari daripada memerhatikan gelagatnya bercakap ditelefon. Dalam pada masa yang sama, matanya turut memerhatikan cermin di bawah untuk melihat kasut yang dipakainya itu.
“Miss me?” Ariffin ketawa.
Itu soalan dia tanya ke... soalan dia terkejut sebab perempuan tu rindu dia? Aku buat muka meluat. Malas mahu melihat drama sebabak kat depan mata, aku mencuit bahunya. Ariffin mendongak. Telefon di jarakkan dari telinga. Senyuman pencair hati dihadiahkan. “Ada apa, Yati?”
Aku mencebik. Ingat senyum-senyum macam tu hati aku cair ke? “Saya nak ke sana sekejap.” Aku menunjukkan ke arak susunan beg tangan. Naik juling mata tengok kasut dari tadi. Bertambah juling bila melihat Ariffin tersengih-sengih seorang diri.
Ariffin mengangguk. “Dah dapat kasut?” soalnya.
“Belum. Tak jumpa lagilah. Nanti kita tengok dekat tempat lainlah.”
Malas menunggu balasan Ariffin, aku meninggalkan Ariffin bersama promoter. Tak selesa betul cari barang dengan pak cik ni. Bila aku cadangkan beli sendiri-sendiri tak mahu pulak. Nak berkenalan katanya. Aku membuat muka. Dah kenal sangat dah perangai awak, Encik Ariffin oi!
Sambil membelek-belek beg tangan di atas rak, mataku terpandangkan Haikal yang berdiri bersebelahan seorang wanita sambil membelek-belek pakaian bayi. Aku menggigit bibir. Haikal tersenyum. Kemudian, apabila wanita itu membisikkan sesuatu di telinganya, Haikal tertawa. Aku mengundurkan langkah. Mengelak daripada dikesan oleh Haikal. Perasaan sebak muncul dengan serta merta. Ah! Hati masih belum kuat lagi.
Baru hendak pusing ke belakang, aku terlanggarkan seseorang di belakang. Spontan lelaki itu mengaduh.
“Sorry! Sorry sangat-sangat.” Tertunduk-tunduk aku memohon maaf. Lelaki itu ketawa. Aku mengangkat muka.
“Tengok siapa yang leka sangat tu? Hrm?” Ariffin mengintai-intai ke arah yang aku lihat tadi.
“Tak ada siapa. Dah jumpa ke kasut? Kalau dah, jom. Kalau belum lain kalilah kita keluar lagi. Letih dah ni,” rungutku. Terpandangkan Haikal yang sedang berjalan ke mari, aku memusingkan badan membelakangkannya.
“Eh? Haikal kan?” Belum sempat aku menarik baju Ariffin, dia dah menegur Haikal yang betul-betul berjalan di hadapan kami. Haikal membalas teguran Ariffin. Wajahnya ceria. Kemudian dia memperkenalkan wanita yang berjalan disebelahnya.
“Risa, wife aku.”
Ariffin mengangguk lalu tersenyum. Aku menyusup ke rak lain ingin melarikan diri. Belum sempat aku hendak mengangkat kaki, Ariffin dah memanggil namaku. Ah, lelaki ini. Mahu tak mahu, aku terpaksa juga memusingkan badan. Kepala diangkat dan aku memandang terus ke arah Haikal. Spontan air muka Haikal berubah.
“Haryati, tunang aku.” Selamba Ariffin memperkenalkan aku kepada Haikal dan isterinya.
Aku bersalam dengan Risa. Sementara menunggu Ariffin berborak dengan Haikal, Risa cuba untuk beramah mesra dengan aku. Aku serba tak kena. Dalam hati dah merungut-rungut. Lama pulak pak cik ni berborak. Ah! Yang aku pelik, macam mana diorang boleh kenal?
Kami terus pulang selepas Ariffin membuat pembayaran. Pertemuan kami dengan Haikal masih terbayang-bayang di fikiran. Lama aku tidak menghubungi Haikal. Semenjak mendapat tahu dia dah berkahwin, memang aku tak pernah menjawab panggilannya, apa lagi hendak membalas mesejnya. Pada aku, Haikal pun tak bersungguh nak mencari aku.
“Jauh termenung? Dah sampai Terengganu?” tegur Ariffin.
Aku buat tak dengar. Terengganu? Kenapa dalam banyak-banyak tempat atas dunia ni, Terengganu juga yang disebutnya? Macam tahu-tahu aja Haikal bekerja di sana.
“Macam mana boleh kenal Haikal?” aku menyoal Ariffin. Ariffin memakai tali pinggang kaledar sebelum menghidupkan enjin kereta.
“Masa dekat ‘U’. Debat Alam Sekitar. Dia wakil UM kan? Masa tu saya committee,” jelas Ariffin.
Aku mengangguk tanda faham.
“Yati kenal dia ke? Korang satu U kan?” Ariffin kembali melontarkan soalan.
Laju aku menggeleng. Bohong sunat. Tapi kenapa aku nak berbohong? Nak jaga hati Ariffin? Dia tu siapa pada aku? Argh!
***
“Kita jumpa?” pujuk Haikal.
Aku menggeleng. Silap aku kerana menjawab panggilan Haikal. Entah kena rasuk apa entah, laju je aku menekan butang hijau tadi.
“Please sayang... banyak sangat benda yang tak selesai lagi,” rayunya lagi.
Aku menarik nafas dalam.
“Apa lagi? Semuanya dah habis. Over,” ujarku malas.
“No. Banyak lagi yang tak clear. Takkan semudah tu je Yati jumpa lelaki lain?”
“Ah, apa bezanya dengan abang? Masa kita bercinta pun, abang bukan setakat jumpa perempuan lain. Dah kahwin dah pun,” sindirku.
“Lain, Yati... lain,” balasnya. Tak lama kemudian dia menyambung, “tadi Ariffin cakap, korang ni... err... keluarga yang kenalkan?”
Aku hanya tersenyum sinis. “Kenapa? Tak boleh? Kadang-kadang, pilihan keluara ni jauh lebih baik. Tak adalah takut terkahwin dengan suami orang?”
Haikal terdiam sejenak. “Yati asyik menyindir abang je kan?”
“Betul apa yang Yati cakap?”
“Ya. Ada yang betul. Tapi Yati masih tak tahu cerita sebenar. Kita jumpa, Yati?”
Aku menggelengkan kepala perlahan. Tak habis lagi dia ni. “Sudahlah, bang. Cerita kita dah tamat dah sejak Yati tahu abang dah beristeri. Yati pun dah setuju dengan pilihan keluarga Yati. Walaupun Yati tak berapa kenal sangat Ariffin tu, abang doakanlah Yati bahagia,” putusku.
“Yati cintakan dia? Yati sayangkan dia?”
Aku terdiam.
“Diam tu tandanya tak kan? Sayang, kalau sayang sendiri tak kenal dia, macam mana nak hidup bersama?” soalan yang dilontarkan Haikal membuatkan lidah aku terus terkelu.
“You love me, don’t you? Kita jumpa please? Sebelum abang balik Terengganu lusa ni?” pujuk Haikal lagi.
Hatiku sedikit lembut. “Bila?”
***
“Kau nak jumpa dia lagi? Nak buat apa Yati?” marah Laila.
Aku yang leka menyemak kertas kerja di atas meja terhenti sebaik sahaja Laila duduk di hadapanku. “Entahlah, La. Aku pun tak tahu kenapa senang je aku setuju.”
Laila bermain-main dengan cop yang bersepah-sepah di atas mejaku. “Kau juga yang cakap semuanya dah tamat. Kenapa kau ikutkan juga cakap dia?”
Aku menggeleng lemah. Kertas di pegangan aku letakkan di atas meja. “Aku tak boleh tipu diri aku, La. Bila Haikal tanya aku sama ada aku cintakan Ariffin ke tak.”
Laila mencubit pipiku. “Haryati, wake up! Sekalipun kau cintakan dia dan dia cintakan kau, he’s married, Yati.” Laila melepaskan cubitannya. Perit!
Aku menggosok-gosok bekas cubitan di pipi. Bertambah tembamlah aku lepas ni. “Apa salahnya? Diakan lelaki? Lelaki boleh kahwin empat apa? Kalau susah sangat, aku suruhlah dia ceraikan isteri dia tu,” balasku geram.
“Yati? Cuba jangan diikutkan sangat perasaan kau tu. Cuba kau letakkan diri kau kat tempat isteri dia? Apa yang kau rasa? Yati, kalau dia boleh ceraikan isteri dia, tak mustahil dia akan ceraikan kau sebab perempuan lain tau!” marahnya.
“Habis tu kau nak aku buat macam mana? Perasaan ni bukannya boleh nak di kawal!” tingkahku.
“Kau dah istikharah? Doa? Minta petunjuk Allah?” soal Laila. Nadanya mula mengendur.
Aku mengangguk perlahan.
“Habis tu macam mana?” Laila memandangku meminta jawapan.
Aku menyandarkan badan ke kerusi. “Entahlah, La. Aku tak tahulah aku ke yang tak nak terima hakikat.”
Kening Laila ternaik sebelah. “Maksud kau?”
“Aku rasa lebih kepada Ariffin,” balasku berkias.
“Hah! Dah tu?” soalnya teruja.
“Aku anggap mimpi tu mainan tidur,” ujarku tak berperasaan. “Rasa sayang aku pada Haikal masih tak hilang, La.”
“Kalau kau dah minta bantuan Allah, insya Allah betullah apa yang kau mimpi tu,” komen Laila.
“Yati, jangan diikutkan sangat perasaan kau. Mungkin pada kau, kalau kau kahwin dengan Haikal, hidup kau happily ever after. Tapi itu sekejap je, Yati. Bukan ever after tu. Tu temporary happiness je. Belum lagi bila kau ada anak-anak, kau dengan keluarga mentua kau. Buatnya kau dengan mentua kau bermasalah, tetap tak happily ever after jugak. Kalau dapat anak-anak bermasalah lagilah tak happily ever after,” panjang Laila bersyarah.
“Habis tu kau nak aku buat apa?” soalku.
Laila menggelengkan kepalanya. “Jawapan dah ada pada kau, Yati. Kalau memang betul kau nak hidup bahagia selama-lamanya...” Laila mengangkat tangannya ke atas. Jari telunjuknya diluruskan.
Aku mendongak ke arah siling. Tak ada apa pun?
“Happily ever after seorang muslim bila kita terima buku amal kita dengan tangan kanan nanti.”
Aku menelan air liur.
“Jangan ikutkan rasa cinta kau tu, sampai langgar semua hukum agama,” nasihatnya lagi.
***
“Risa tu cikgu, mengajar dekat sekolah menengah dekat-dekat rumah abang. Dia asal Kedah. Orang duduk merantau, Umi pula rapat dengan dia. Last-last dia jadi anak angkat Umi. Di takdirkan satu hari tu, rumah Risa kena rompak. Masa tu Risa kena rogol. Tak lama lepas tu disahkan mengandung. Umi yang minta sangat abang kahwin dengan dia untuk selamatkan maruah dia,” cerita Haikal.
Aku memandang Haikal tak percaya. Sanggup dia jadi pak sanggup?
“Percayalah dekat abang, Yati. Demi Allah, abang tak pernah ‘sentuh’ dia lagi semenjak kami menikah,” tambahnya lagi.
“Risa pun tahu tentang kita. Dan dia sendiri izinkan kalau abang nak kahwin dengan Yati. Sayang macam mana?”
Aku melemparkan pandangan ke jalan raya yang tak putus-putus dengan kereta. Sesak! Ayat-ayat yang keluar daripada mulut Haikal bagai dengar tak dengar je dah.
“Pukul berapa gerak esok?” soalku mengalih topik.
“Err... petang kut. Lepas Zohor.” Haikal memandangku pelik.
“Risa ikut?”
“Err... tak,” balas Haikal sambil menggeleng.
Aku sekadar mengangguk.
“Sayang?”
Aku memandang Haikal sekilas. Gelas yang masih penuh aku capai. Teringatkan kata-kata Laila di pejabat tadi membuatkan aku tak boleh nak berfikir. Cuba letakkan diri aku di tempat Risa. Susah! Susah sebab aku tak rasa apa yang dia rasa. Tapi, kalau aku jadi Risa, semestinya aku mengharapkan Haikal terus menerima aku. Aku mengeluh.
‘Jawapan dah ada pada kau, Yati.’
***
Aku membelek-belek cincin yang tersarung di jari manis semenjak siang tadi. Cincin yang disarungkan oleh lelaki yang sudah pun bergelar suami dipandang dengan perasaan berbaur. Sumpah lepas ni malang bertimpa-timpa. Daripada nak elak bercinta dengan suami orang, suami aku pulak yang bercinta dengan orang lain. Aduh! Agak-agaknya, Ariffin masih dengan perangai playboy dia ke? Bunyi pintu diketuk mematikan lamunan aku. Aku melemparkan pandangan ke arah pintu yang dibuka daripada luar. Tidak ada orang lain lagi, semestinya Ariffin yang bakal melangkah masuk ke dalam bilik ni. Aku buat tak tahu. Tak kuasa pulak nak bangun tolong bukakan pintu untuk suami seorang tu.
Pintu dibuka dari luar. Ariffin dah berjalan masuk ke dalam bilik ni. Aku tengok lagi laju kalau kura-kura yang berjalan. Elok je aku angkat muka tengok muka dia, zzap! Mata bertembung mata. Isk! Ariffin melemparkan senyuman pencair hatinya kat aku. Aku mencebik. Langkah diatur ke bilik air. Tak kuasa nak berlama-lama main mata dengan Ariffin. Bikin jantung aku berdegup kencang je.
Sebaik sahaja aku keluar, Ariffin dah berdiri di hadapan pintu bilik air. Aku mengurut-urut dada kerana terkejut. Mata menghadiahkan jelingan tajam ke arah Ariffin. Ah! Susahnya nak terima dia ni!
“Dah solat? Kalau belum, kita solat sekali,” ujarnya memandangku dengan senyuman tak lekang di bibir.
Aku menggeleng. “Cuti.” Spontan muka terasa panas.
Ariffin mengangguk tanda faham. Aku berbaring di atas katil. Selesai mandi dan berwudhu’ Ariffin menunaikan solat Isyak bersendirian. Aku memerhatikan dia melakukan satu demi satu rukun solat. Wajahnya yang tenang tak berkerut. Aku leka memerhatikan Ariffin. Apa yang ada pada dia ni sampai ramai budak sekolah dulu minat gila kat dia?
Hidung tak adalah mancung macam bangla, mata tak adalah sepet macam cina. Kulit pun hitam manis, tak seputih mamat Korea. Bibir tak merah jugak sebab seingat aku dulu dia ni merokok masa zaman sekolah sampai pernah kena gantung. Mata masih ralit memerhatikan Ariffin. Senang cakap, Haikal jauh lebih handsome dari mamat ni. Bukan jauhnya beza sentimeter, tapi berkilo-kilometer.
“Lekanya?”
Aku tersentak. Ariffin sudah selesai menunaikan rukun Islan yang ke dua untuk hari ini.
“Come,” panggilnya. Tangannya menggamitku ke arahnya yang sudah berdiri di tepi tingkap.
Come? Come je? Huh, Haikal lagi romantik. Dalam membebel seorang diri, aku bangun juga pergi mendapatkannya. Sebaik sahaja aku berdiri di sebelahnya, Ariffin melangkah ke meja cermin. Dia ni nak main kejar-kejar apa dah malam ni? Aku dah buat muka boring.
“Kenapa buat muka boring tu? Haryati?” tegurnya.
Aku melemparkan senyuman tanpa perasaan. Ariffin mengambil sesuatu daripada laci meja cermin. Entah bila masa pulaklah dia letak barang dalam tu. Kemudian, dia kembali mendapatkan aku yang dah berdiri macam patung dekat sini.
“Nah, hadiah.”
Tangan kanannya menghulurkan kotak hitam yang dihiasi reben merah. Tak romantik langsung. Kata dulu player. Tak adalah romantik mana dia ni. Dulu sebelum menikah, cakap pun lembut je dengan aku. Huh, dah kahwin lain jadinya. Baik aku ajak Haikal kahwin je dulu. Astaghfirullah...
Akhirnya kotak bertukar tangan.
“Nak bukak sekarang ke?” soalku bodoh.
“Eh, awak punya barang. Suka hati awaklah!” Ariffin leka memerhatikan langit yang dihiasi bintang-bintang.
Kotak dibuka. Erk? Jam tangan? Ingatkan rantai ke... gelang ke...
“Jam mahal ni, tahu?” Tangan Ariffin dah mengeluarkan jam dari kotaknya.
Aku menunggu tindakannya yang seterusnya. Ariffin menarik tangan kiriku. Jam berwarna silver itu dipakaikannya. Nasib baik jam tak termasuk dalam barang hantaran. Kalau tak, rugi je jam sampai 2-3. Aku ni bukannya jenis suka melaram.
“Abang tak nak hadiahkan rantai, gelang. Rasa benda tu dah biasa orang hadiahkan untuk isteri dia masa baru kahwin.” Spontan je Ariffin membahasakan diri abang dekat aku.
Jam terletak elok dipergelangan tanganku. Kotak hitam tadi di ambil kembali.
“Nasib baik muat,” ujarnya tersenyum.
“Kenapa bagi jam?” soalku tidak mahu menjadikan malam ini terlalu sunyi.
Ariffin memandangku sejenak. Berfikir. “Kenapa eh?” soalnya tersenyum-senyum. Nampak nakal je riak mukanya.
“Sebab, tiap kali isteri abang ni tengok jam, dia akan ingat abang. Lagi, bila dia tengok masa berdetik, dia akan ingat masa berlalu sekejap je untuk kita hidup. Bila-bila je kita akan mati. So, bila dia fikir macam tu, dia akan ingat nak beramal. Dalam pada masa yang sama...”
Aku menahan gelak. Dah macam ustaz pula dia punya penerangan. Baru kahwin dah cakap pasal mati semua. Aduhai... macam-macam!
“... bila dia sedar hidup ni tak lama, dia akan appreciate orang yang bagi jam ni dalam hidup dia,” tambahnya lagi.
Pening aku mendengarkan alasannya. Apa-apalah, Ariffin.
“Banyak benda yang kita saling tak kenal lagi kan?”
Aku mengangguk.
“Abang harap, kita tak ambil masa lama nak saling mengenali. Kalau tak...” Ariffin menunjukkan jam di tanganku. “Masa berlalu cepat. Buang masa kita je nanti,” ujarnya ketawa.
Aku mencebik.
“Yati memang tak banyak cakap, eh? Bila dengan abang mesti dia main angguk-angguk geleng-geleng je,” komen Ariffin.
“Tak juga. Ikut keadaan.”
Ariffin tersenyum. Kotak hitam di letakkan kembali di meja cermin. “Jangan diam sangat Yati. Nanti kalau ada misscom dah susah. Lagipun, macam mana abang nak kenal Yati kalau macam ni? Hrm?”
“Abang faham kalau Yati susah nak terima abang. Mungkin Yati dah ada pilihan sendiri. Tapi, kadang-kadang pilihan sendiri belum tentu jodoh kita, kan?”
Aku mengangguk. Mengiyakan.
“Awak?”
Kening Ariffin terangkat. “Siapa?”
Faham dengan soalannya, aku bertanya sekali lagi. “Abang? Tak ada pilihan sendiri?”
Ariffin tersenyum senang mendengarkan aku membahasakan dirinya abang. Kemudian dia menggeleng. “Tak ada. Sebab itu minta mak bertanyakan tentang Yati dekat mama.”
Aku memandang Ariffin pelik. “Kat sekolah dulu bukan ke ramai peminat? Takkan tak ada yang sangkut?”
Ariffin ketawa. “Masa sekolah tu kawan je semua,” jelasnya. Ariffin menarik aku ke dalam pelukannya. “Yati seorang je yang abang nak,” ujarnya lembut. Tangannya dilingkarkan ke pinggang. Geli memang geli, tapi bertahan sahajalah. Cuba untuk membiasakan diri.
Aku memandang ke luar tingkap. Langit masih ceria dengan bintang yang bertaburan. Kalau ditanya pada hati, nama siapa yang tertulis di sana, semestinya hati akan menjawab Haikal. Tapi bila mengingatkan kata-kata Laila membuatkan aku berfikir panjang. Hidup bukannya fairy tale yang cinta itu mesti akan bersatu walaupun banyak halangan. Tetapi hakikatnya, sekalipun kita bercinta bagai nak rak dengan orang lain, kalau dia bukan jodoh kita, tetap tak akan bersatu.
Teringat kad yang Laila berikan bersama-sama dengan hadiah tadi. Sempat dia selitkan satu hadis dekat dalam kad comel itu:
“Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)
Happily ever after huh? Insya Allah aku akan usahakan. Amin...
maaf atas kekurangan.
terima kasih kerana membaca and memberi komen. =)
-aku_dia-
Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)
***
Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:
1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.
Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v
***
Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:
1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.
Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v
::aku_dia's current status::
04.05.2016
Mencari momentum untuk menulis.
Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^
Mencari momentum untuk menulis.
Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
best..
menarik..
btol kte penulis kdg2 pilihan kte x semesti di takdir kan tuk kte..
karya yang baik.keep it up!!!
sy bc semua cerpen dlm ni...byk pengajarannya. truskan usaha dlm menyampaikan ilmu dlm bentuk cerita. makananya lbh mendalam dn mudah difahami. berbintang2 sy bg untuk penulis. x sbr juga nk tunggu SAU.
Post a Comment