Bab-bab seterusnya, kalau tak silap saya sama je cuma berubah dari segi bahasa dan ejaan. (^^,)
Minta doakan semoga semuanya berjalan lancar. Aminn. (^^,) v
Suami Aku Ustaz?! 02
HARI ini sudah masuk hari Selasa. Selepas perhimpunan pagi, subjek pertama yang aku kena tempuh adalah Pendidikan Islam. Aku menarik nafas dalam-dalam. Memberi semangat untuk diri sendiri bagi menempuh hari yang baru ini. Apatah lagi apabila terpaksa menghadap muka Abang Hafiz a.k.a. Ustaz Hafiz di pagi hari. Selepas apa yang mak dengan ayah sampaikan malam tadi, terus aku diserang penyakit insomnia. Pukul empat pagi baru dapat melelapkan mata ini.
“Oit!” Wati menyapa dari belakang. Bahu aku dicuit.
“Hrm... lambat sampai?” soalku sebaik sahaja terpandangkan dia dengan beg sandang di belakang.
“Tayar basikal aku pancitlah. Tak pasal-pasal kena kejut abang aku, suruh dia hantar,” Wati bercerita sambil meletakkan beg di lantai.
“Ehem!” tegur satu suara. Spontan kami berdua memandang Abang Hafiz yang sedang merenung aku dengan jari telunjuk di bibir. Terus kami terdiam.
Abang Hafiz ini jenis tepati masa sikit. Kalau kelasnya bermula jam sembilan setengah pagi selepas kelas Matematik Moden contohnya, sembilan setengah pagi itulah dia akan berdiri di sebelah pintu. Selepas itu, Cikgu Liana yang ajar Matematik Moden aku tu apa lagi, mulalah tersenyum-senyum apabila ternampak Abang Hafiz. Lagilah dia sengaja melambatkan diri untuk keluar dari kelas. Huh! Rasanya satu sekolah dah tahu yang Cikgu Liana suka pada dia. Cuma, aku tak tahulah Abang Hafiz suka ke tidak pada Cikgu Liana itu.
Selepas itu, apabila Cikgu Liana keluar, sempat pula dia menegur Abang Hafiz. ‘Maaf ya saya curi masa ustaz tadi’. Abang Hafiz pula hanya mengangguk. Hrm... macam mana aku boleh dengar? Iyalah, tempat duduk aku itu di tepi tingkap. Mestilah aku boleh dengar segala perbualan mereka berdua. Huh, menyampahnya aku! Eh, apahal gaya aku ini macam cemburu yang amat je apabila bercerita pasal Cikgu Liana?
“Awak ni, Alisa. Tengah berdoa sempat lagi awak berbual, ye? Kalau awak minta duit dekat mak awak, ada ke awak sibuk berbual dekat telefon?” tegur Abang Hafiz sebaik sahaja bacaan doa berakhir.
Aku memandang dia tidak beriak. Melihatkan wajah Abang Hafiz, terus perasaan geram datang bertimpa-timpa walaupun di dalam hati mengaku kesalahan sendiri.
“Sorry lah, ustaz!” balasku tidak berperasaan.
Abang Hafiz menggeleng. “Bukan dengan saya.”
Aku mengalihkan pandangan daripada memandang wajah Abang Hafiz. Faham dengan apa yang dimaksudkannya, cepat-cepat aku beristighfar di dalam hati.
***
SEBAIK sahaja masuk ke dalam kelas, seperti biasa Abang Hafiz akan meminta kami membaca ayat hafazan untuk tingkatan lima. Kemudian seperti biasa juga, dia akan mencari satu hukum tajwid untuk diuji kepada kami. Selalunya, aku terselamat daripada dipanggil. Aku tersenyum dalam diam. Nama lagi adik sepupu, kan? Mestilah besar mandat aku.
“Nur Alisa?”
Nyaris tersedak aku dibuatnya apabila Abang Hafiz memanggil nama aku. Baru hendak bangga abang sepupu sendiri yang menjadi ustaz aku, nama aku sudah kena panggil. Aduh!
“Apa hukum tajwid bagi potongan ayat ni?” jari telujuknya menunjukkan sepotong ayat yang sudah dituliskan pada papan putih.
Mata aku membulat sebaik sahaja mendengarkan soalannya. Alamak? Tajwid! Sumpah bahagian inilah yang paling aku lemah. Aduh, lain kali tanyalah soalan lain! Soalan bahagian ibadat ke... tauhid ke. Walaupun tidaklah hebat sangat, tapi topik itu aku okay lagi. Dulu semasa belajar di sekolah agama, aku selalu fikir hensak lulus dan naik ke darjah yang lagi tinggi untuk tahun depannya. Manalah ilmu hendak lekat dekat kepala ini, hah! Niat belajar itu pun dah tak betul.
Aku membaca potongan ayat tersebut. Ini hukum mad. Cuma, mad apa ye? Huruf mad bertemu dengan alif. Ah sudah! Mad Jaiz ke.... Mad Wajib ke? Eh, Mad Arid Lissukun yang mana pula? Mad Arid yang tengah-tengah ayat rasanya. Mad Lin, Mad Badal, Mad... ah! Aku mengerutkan dahi kemudian memandang Wati di sebelah. Dia hanya memandang ke hadapan. Ah, hentam sahajalah labu!
“Err... Mad Jaiz kot...” balasku teragak-agak.
Mencerlung mata Abang Hafiz memandang aku. “Kenapa mesti ada perkataan ‘kot’ dekat belakang tu?”
Aku diam.
“Berikan sebab kenapa awak cakap Mad Jaiz.” Arahannya membuatkan aku terasa mahu lari, balik rumah.
“Err... Sebenarnya bab mad ni saya lemah sikitlah errr, ustaz! Kalau Mad Asli saya hebatlah,” ujarku. Darah sudah naik ke muka. Aduh! Terasa macam dimalukan dekat tengah-tengah kelas ini. Segannya aku! Umur sudah tujuh belas, tapi hukum tajwid yang orang cakap senang, aku tak lepas! Ke, memang dia sengaja hendak malukan aku? Ah, Alisa! Cuba berfikiran positif sedikit. Bukan ke kau tengah belajar sekarang?
Abang Hafiz memerhatikan aku lebih kurang setengah saat tanpa berkata apa-apa. “Tak apalah. Awak boleh duduk,” arahnya.
Aku duduk. Muka aku hadapkan ke bawah meja. Waaa! Rasa macam kena ketawakan satu kelas walaupun sebenarnya masing-masing di dalam kelas tidak bersuara.
“Ini Mad Wajib Muttasil,” ujar Abang Hafiz. Kemudian dia membuat bulatan pada ayat tersebut. “Ia Mad Wajib Muttasil sebab huruf mad, bertemu dengan alif di dalam satu kalimah.”
Abang Hafiz kembali memandang ke arah kami sekelas selepas menerangkan.
“Hrm... Macam nilah, untuk memudahkan awak tak keliru dengan Mad Jaiz, awak tengok jarak antara huruf mad dengan alif tu, dekat ke jauh.”
Abang Hafiz berfikir sejenak sebelum menulis sepotong ayat. Kemudian dia membuat dua bulatan pada ayat tersebut.
“Yang ini Mad Jaiz Munfasil. Kalau Mad Jaiz, huruf mad dengan alif bertemu di dalam dua kalimah. Jadi, ia jauh. Jauh untuk Jaiz. ‘J’ untuk jauh, dan ‘j’ untuk jaiz. Jadi bila awak ingat Mad Jaiz yang mana satu, dah tak jadi masalah untuk awak ingat Mad Wajib, bukan?” Panjang penjelasan Abang Hafiz.
“Faham, Nur Alisa?”
Sekarang, memang aku mahu lari keluar kelas apabila sekali lagi dia memanggil nama aku. Aku mengangkat muka sedikit. “Faham.”
“Hah, Alisa! Berapa harakat untuk Mad Wajib?” soalan lain yang diberikan Abang Hafiz.
“Err...” Aku berfikir sekejap. Cuba untuk mengingat. Aku keliru sebenarnya. Dua, empat atau lima ke... empat atau lima je?
Melihatkan aku terkial-kial Abang Hafiz geleng kepala. “Kelas? Macam mana kamu semua baca Al-Quran kalau tajwid simple macam ini pun tak lepas lagi? Hrm? Tajwid ini nampak je mudah. Tapi, kita kalau baca Al-Quran wajib kita baca dengan bertartil. Bertajwid. Ingat kelas, baca Al-Fatihah dalam solat itu rukun. Macam mana status solat awak nanti kalau awak baca main langgar je semua?” lembut nasihatnya.
Aku meletakkan kepala atas meja. Gila! Kalau memang jadi aku menikah dengan dia, memang setiap harilah aku dapat ceramah percuma!
***
“KENAPA abang setuju?” dengan nada perlahan aku melontarkan soalan. Risau orang lain yang sedang lalu-lalang di sebelah mendengar perbualan kami. Sebentar tadi, berebut aku mengejar dia sebaik sahaja dia keluar dari kelas aku. Mujurlah sekarang ini waktu Sejarah dan Cikgu Rohaya pergi kursus. Masa ini sahajalah peluang yang aku ada. Hendak telefon dia, nombor dia tidak ada dalam simpanan aku. Minta pada mak? Ada sepuluh juta soalan aku kena soal dengan mak nanti.
Abang Hafiz memusingkan badan ke arah aku. Pandangannya dijatuhkan ke muka aku seketika sebelum dia memandang ke arah papan kenyataan di dinding.
“Bagi sepuluh sebab kenapa saya perlu menjawab soalan awak?” kerek dia bertanya. Terasa perwatakan dia sedikit berbeza dari dalam kelas tadi.
Aku mencebik. Saya-awak konon. Kalau dekat luar sekolah, beriya hendak membahasakan diri abang. Piiraah!
“Abang yang patut bagi sepuluh sebab kenapa Lisa kena ikut keputusan dia orang?” balasku geram. Dia orang. Keputusan mak dengan ayah, bukan keputusan aku.
Abang Hafiz hanya tersenyum nipis. “Saya ada sebab sendiri kenapa saya tak beritahu awak.”
Heh? Apa punya jawapan tu? Berkerut dahi aku mendengarkan kata-katanya.
“Huh!” akhirnya aku hanya mampu merengus geram.
Abang Hafiz menayangkan muka tidak faham. Dia bergerak sedikit, bagaikan ingin menyambung kembali langkah yang terhenti tadi.
“Abang boleh tolak. Kalau abang dah ada pilihan sendiri, Lisa boleh tolong beritahu dia orang,” spontan aku melontarkan idea sebelum dia sempat berjalan.
Manalah tahu ustaz seorang ni sudah ada pilihan hati, Cuma tidak sanggup hendak menolak permintaan orang tua aku. Dia kan sangat menjaga hati orang tua. Abang Hafiz terdiam seketika. Tanpa menoleh ke arah aku, dia membalas.
“Their choice is my choice, Alisa. You don’t have to worry about that.”
Daripada cermin pada papan kenyataan, mataku dapat menangkap bayangan wajahnya yang sedikit tersenyum membalas kata-kata aku.
Dahi aku berkerut. Huh! Jawapan dia tu... macam redha wa pasrah je, macam dialah anak dara yang kena paksa kahwin. Sekarang ni anak daranya aku tahu? Aku!
***
MALAM ini, mak dengan ayah balik lewat lagi. Aku berjalan menuju ke dapur. Pintu peti ais aku buka. Mata melilau mencari sesuatu untuk dimakan. Tiada. Walaupun peti ais penuh berisi, namun tidak ada sesuatu pun yang aku boleh gayakan untuk makan malam. Inilah masalahnya apabila tidak pernah teringin untuk belajar memasak.
Aku mengeluh. Pintu peti ais aku tutup. Takkanlah kena makan mee Maggi lagi? Cukup-cukuplah sudah dua hari berturut aku makan. Ada botak aku dibuatnya. Sudahlah belajar tidak berapa pandai. Aku berjalan ke bilik. Kosong. Sunyi. Ah! Penyakit aku apabila tinggal berseorangan di rumah sudah mula menyerang. Laju aku mencari-cari telefon yang selalunya aku tinggalkan di atas katil. Nombor Joe aku dail. Tidak lama kemudian, panggilan berjawab. Aku sudah tersenyum sampai ke telinga.
***
“LAMBAT!” aku memuncungkan bibir sebaik sahaja Joe tiba. Hampir dua puluh minit dia lambat, sampai aku pun sudah mula terasa seperti kera sumbang. Iyalah... bukan ke pelik apabila anak dara duduk kedai mamak malam-malam seorang diri?
Joe hanya tersengih. Tangan diangkat ke arah si pembuat air. Meminta segelas nescafe ais seperti kebiasaannya.
“Sorrylah. Aku ada kerja sikit tadi,” katanya memberi alasan. Tangannya sibuk membetulkan rambut yang sedikit kusut.
Aku memandang Joe tidak berkelip. Seperti biasa, aku akan membaca riak wajahnya kalau dia memberi alasan. Boleh dikesan keadaan Joe yang serba tidak kena apabila ditenung aku. Terus dia duduk di hadapan aku.
“Kau tertidur kan?” serkapku.
Joe mengetap bibir. Pandangannya dialihkan ke arah lain seketika sebelum dia memandang aku kembali.
“Sumpah aku memang tak boleh nak tipu kau, Lisa. Dahsyatlah kau ni,” balasnya perlahan.
Aku ketawa sebaik sahaja Joe mengaku. “Dah kau tu pun! Nak bohong, tapi tak pandai.”
Joe sudah tergeleng-gelengkan kepala. “Masalahnya, aku seorang je pula tu. Orang lain tak adanya.”
Aku hanya tersengih. Malas mahu mengulas apa-apa. Nanti ada pula budak ini terperasan lebih-lebih yang aku ambil berat tentang dia. Walhal, tidak pun.
“Kau dah order belum? Takkan lama sangat makanan kau nak sampai?”
“Dah. Baru sekejap tadi.”
“Okay...” Joe membalas pendek. Tidak lama kemudian dia tersenyum dan mengangkat tangan ke arah seseorang di belakang aku. Spontan aku menoleh. Berderau darah aku bila melihat Abang Hafiz yang sedang memandang ke arah kami. Aku terasa seperti matanya hendak menerkam aku bila-bila masa sahaja. Pandangan aku alihkan ke hadapan. Bibir diketap perlahan. Apa pula ustaz ni buat dekat mamak malam-malam macam ni? Aku hanya mampu menelan air liur.
4 comments:
hahhaha..lawak la diorang ni..sweet!
bakal bini ustaz, aci je lepak kat mamak. hahaha...
hee.. yang dah komen sume name ummi.
best lah. nanti nak beli xD
bile nk kuar novel nie???xsabar....
Post a Comment