Bab-bab seterusnya, kalau tak silap saya sama je cuma berubah dari segi bahasa dan ejaan. (^^,)
Minta doakan semoga semuanya berjalan lancar. Aminn. (^^,) v
Suami Aku Ustaz?! 03
DUA minggu sebelum mak dengan ayah bertolak ke Mekah, aku dengan Abang Hafiz dinikahkan. Terasa macam kena tangkap basah pula dibuatnya. Hari tu, adalah buat kenduri sedikit dekat rumah Tok Dollah. Kenduri yang boleh dikira sebagai kenduri doa selamat untuk mak dengan abah sekali sebenarnya. Mujurlah mak dengan ayah ikutkan kehendak aku yang beriya-iya tidak mahu adakan kenduri di Pontian. Mahu satu Pontian nanti tahu aku menikah dengan abang sepupu aku ini. Isk!
Selepas menikah, mak awal-awal lagi sudah memberitahu aku perancangan dia. Selepas aku menduduki SPM, dia mahu adakan kenduri di rumah. Mahu aku menjemput seluruh sekolah, katanya. Eeii... tidak dapat aku bayangkan reaksi aku melayan kawan-kawan datang dengan Abang Hafiz berdiri di sebelah. Malu pula satu hal. Kalau jadilah perancangan mak, memang tidak sampai empat bulan lagilah aku naik pelamin, ya? Pada Wati pun aku tidak cerita apa-apa. Bukannya tidak percayakan kawan. Tapi, kalau dibuatnya dia terlepas cakap dekat sekolah nanti macam mana? Tidak ke naya aku? Ada dia orang fikir bukan-bukan dekat Abang Hafiz. Jatuh imej dia sebagai seorang ustaz nanti.
Aku teringat jawapan Abang Hafiz apabila aku asak dia dengan soalan kenapa dia setuju dengan idea merepek ni. Menahan sabar sahajalah aku dengarkan jawapan dia.
‘Abang terima kerana Allah...’
Sumpah aku tak faham. Sebab Allah? Kenapa? Aku ini ada macam anak dara yang sudah hanyut dalam gelora maksiat dunia ni ke sampai terima aku kerana Allah? Ada gaya aku ni macam anak dara sudah tidak ada dara ke, atau terima aku sebab takut aku makin hanyut atau apa? Argh! Apa aku merepek ni? Ataupun sebenarnya cik hati ni mengharapkan jawapan, ‘abang terima sebab abang sayang Lisa’ ke? Hah! Sungguh aku dah gila. Semua salah dialah!
***
BUAT kesekian kalinya aku terhendap-hendap melalui celah pintu untuk melihat apa yang sedang dilakukan Abang Hafiz. Dahi aku berkerut apabila melihatkan dia yang sedang khusyuk memandang sesuatu di tangan. Isk! Boleh pula ustaz muda ini baca buku tengah-tengah malam? Pergilah tidur, ya ustaz! Kalau nak menyahut seruan kerajaan sekalipun, bacalah esok siang. Matahari pun percuma. Jadi, tak perlulah menaikkan bil eletrik rumah Tok Dollah. Kalau nak minta aku tolong bacakan pun tak apa. Aku bukannya apa, kalau dia sudah tidur nanti, tak adalah aku rasa segan sangat nak masuk bilik ni.
“Tidurlah, Lisa. Dah malam dah ni.”
Nasib baik tak melompat aku dekat belakang pintu ni. Terus aku berdiri kaku. Macam mana dia tahu aku menghendap dia ni?
“Inikan rumah papan, Lisa. Kalau Lisa duk bukak tutup pintu sampai sepuluh kali ingat abang tak perasan ke?” dia menyoal lalu buku di tangan ditutup. Pandangannya dialihkan ke arah aku.
Dia ni, macam tahu-tahu je apa yang aku fikir. Aku menolak pintu perlahan-lahan. Kaki sudah melangkah masuk ke dalam milik Mak Usu ini. Kemudian aku berdiri tegak di hujung katil. Tidak tahu sama ada hendak naik ke atas atau terus berdiri dekat sini berdiri sampai Abang Hafiz yang turun.
Kononnya sebab sudah menikah siang tadi, malam terus dapat bilik sendiri. Walhal sebelum ni kalau balik kampung, aku duduk je sebilik dengan sepupu perempuan aku yang lain. Yang lelaki pula, tidur je dekat ruang tamu atau mana-mana tempat yang boleh meluruskan badan. Malam ni tak boleh ke tidur je macam selalu? Badan tiba-tiba rasa seram sejuk. Aduh! Dekat fikiran sudah terfikir benda yang bukan bukan. Erk! Walaupun aku ni menikah atas ‘kerelaan’ sendiri tanpa perlu persetujuan mak ayah, aku tetap kira budak bawah umur tahu?
“Lisa?”
Aku mengangkat muka. Wajah tenang Abang Hafiz aku pandang.
“Tak selesa ke kalau abang tidur sini? Kalau tak, abang tidur bawah?” Dia menunjukkan ke arah lantai yang kosong tidak beralas.
Rumah ni rumah papan. Sedangkan tidur atas katil berselimut pun sejuk dia sampai ke tulang, inikan pula tidur di atas lantai. Tiba-tiba aku rasa kesian. Terus aku menggeleng sehingga Abang Hafiz tersenyum. Alahai, walaupun dia ni abang sepupu aku, aku tetap nampak dia sebagai ustaz aku. Itulah, siapa suruh dia mengajar dekat sekolah aku lepas dapat ijazah dua tahun lepas?
Dulu, aku dengan dia boleh dikira rapat jugalah. Tetapi semenjak dia belajar dekat UIA, terus aku dengan dia jauh. Iyalah, dah dia balik sekali sekala. Aku ni pula bukannya rajin pun hendak pergi jumpa dia kalau dia balik bercuti. Perwatakan dia pun sudah mula berubah sedikit. Kalau sebelum masuk UIA, dia rajin berborak dengan menyakat aku. Selepas masuk UIA dia lebih banyak mendiamkan diri. Nampak aku pun jarang hendak tegur, jadi aku pun buat bodoh ajelah.
“Tidurlah dah pukul berapa dah ni.”
Aku menjeling jam di atas meja, sebelah Abang Hafiz. Jam menunjukkan pukul satu setengah pagi. Dia ni tak mengantuk lagi ke? Tanpa mengeluarkan sepatah kata, aku terus meluruskan badan kat atas katil. Isk! Mimpi buruk aku malam ni.
“Abang tak kacau Lisa. Tidur ajelah.”
Janji yang keluar daripada mulut dia membuatkan aku terasa lega sedikit. Mata aku pejamkan. Selimut aku tarik sampai ke dada. Tak apa Lisa... dia suami kau.. suami kau.. suami kau, Alisa.
“Zikirkan apa tu, Lisa? Lebih baik Lisa baca tiga Qul dan selawat sebelum tidur daripada sebut benda bukan-bukan,” tegur satu suara.
Siapa lagi kalau bukan ustaz aku tu yang menegur. Terasa darah menyerbu ke muka. Dush dush dush! Rasa hendak je aku tumbuk bantal ni. Ada sahaja benda yang memalukan aku apabila dengan dia ni.
“Diamlah!” marahku. Selimut aku tarik terus metutup kepala yang tadinya terbuka. Abang Hafiz sudah ketawa seorang diri. Kureng betul! Ustaz tu ustaz juga, tapi tidak sangka perangai sebagai abang sepupu tidak hilang lagi. Suka sangat menyakat aku.
***
RUTIN harian aku sedikit berubah selepas Abang Hafiz wujud dalam hidup aku selain sebagai seorang abang sepupu dan ustaz aku. Dia pindah masuk rumah ni duduk sekali dengan aku dua hari sebelum mak dengan ayah pergi. Mula-mula tu, aku bising juga cakap tak payah. Risau juga kalau tiba-tiba si Joe atau Wati datang bertandang dekat rumah ni tanpa diundang. Mesti ada jadi gossip dekat sekolah, Ustaz Hafiz dekat rumah Nur Alisa berdua-duaan. Lagipun, macam mana kalau orang kampung buat operasi? Ada tidak semena-mena kami kena tangkap basah. Isk! Habislah kena berhenti sekolah aku dibuatnya nanti.
Sekarang ni, setiap pagi sebelum Abang Hafiz pergi ke surau, dia mesti akan kejutkan aku sampai bangun. Kadang-kadang tu, aku gagahkan jugalah untuk buka kelopak mata ni walaupun terasa macam kena gam dengan gam gajah. Takut juga nanti disebabkan aku, dia terlepas berjemaah dekat surau. Tapi, apabila yakin dia dah pergi surau, aku tidurlah balik. Hahaha! Selepas tu, aku bangun balik bila tengok jam pukul enam setengah pagi dan sebelum dia tiba di rumah. Minta maaf ya, Ustaz Hafiz! Macam mana pun awak buat, saya ini kan budak-budak lagi.
Kalau pergi sekolah, kami bergerak asing-asing. Selalunya aku pergi dulu, merempit naik motor. Rumah dengan sekolah pun jauh juga. Dia pula pergi kemudian, naik kereta dia. Nasib baiklah rumah aku boleh dikira jauh dari rumah kawan-kawan sekolah yang lain. Kalau dulu, aku selalu merungut dekat mak sebab tak ada kawan dekat kawasan sini. Sudahlah aku ini anak tunggal. Kawan-kawan pula tinggal jauh. Sekarang ni pula, memang aku bersyukur sangatlah duduk rumah jauh ni. Ada hikmahnya, ya tak?
***
BUNYI telefon di atas meja cermin memaksa aku untuk bangun daripada berbaring. Dengan malas, aku berjalan mendapatkannya. Daripada lagu yang memenuhi ruang bilik ni, cukup memberitahu aku ada mesej masuk. Selalunya, waktu-waktu macam ini, hanya seorang insan itu sahajalah yang rajin hendak menghantar aku mesej.
-Lisa, malam ni tempat biasa?-
Tersenyum aku baca mesej daripada Joe. Nak ajak aku lepak mamaklah tu. Sebenarnya sudah banyak kali Joe ni mengajak. Cuma, semenjak tinggal sekali dengan Abang Hafiz ni, boleh dikatakan aku jarang keluar rumah juga. Iyalah... nak keluar selalu pun, lagi bagus aku habiskan masa buat mak ayah yang hendak berangkat ke Mekah. Aku teringat lagi ayat yang Abang Hafiz pernah cakap kepada aku, ‘buatnya mak dengan ayah tak balik lagi macam mana?’ Aduh! Rasa macam nak pengsan apabila dengar dia cakap macam tu.
Ada bagus juga nasihat Abang Hafiz. Terasa kemesraan aku dengan mak , ayah yang sudah hampir hilang dulu kembali selepas aku rajin duduk di rumah. Dulu, aku boleh dikatakan manja jugalah dengan ayah berbanding mak, sebab mak seorang yang bekerja di bandar besar nun. Tetapi, semenjak ayah turut bertukar ke Johor Bahru, aku banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawan. Tambahan lagi setelah mendapat lesen motor.
Aku menimbang tara dalam fikiran. Rumah tengah tak ada orang sekarang ni. Aku pula sudah mula bosan menghadap dinding bisu kiri kanan aku. Abang Hafiz pergi rumah Cikgu Hamidon selepas Maghrib tadi. Ada kenduri cukur jambul cucu dia. Mulanya Abang Hafiz ajak juga aku ikut. Tapi... nak mati? Memang sengaja mencari masalah namanya kalau aku ikut Ustaz Hafiz pergi kenduri Cikgu Hamidon. Gerenti ramai cikgu sekolah aku dekat sana.
-On. 9.00 aku sampai.-
Laju aku menaip. Message sent. Sementara menunggu balasan aku mencapai tuala untuk membersihkan badan. Semenjak balik dari sekolah tadi, aku tidak mandi. Nasib baik Abang Hafiz balik lambat sebab ada meeting dengan panitia Pendidikan Islam petang tadi. Makan malam pun dia beli bungkus je dekat kedai Mak Cik Bibah. Dia pun dah faham sangat dengan aku yang sememangnya pemalas yang bukan sedikit untuk ke dapur ni.
-Ok-
Ringkas balasan Joe. Aku memandang jam yang tergantung di dinding. Sudah pukul lapan empat puluh lima malam. Selepas mengemaskan tudung, aku terus capai helmet di atas rak kasut. Tidak sampai lima minit, motor laju membelah kepekatan malam.
***
“LISA!” Joe melambai dari tempat duduk dia. Pa’an dekat sebelah tengah sibuk menonton siaran bola.
“Lambatnya sampai?” Pa’an menegur sambil memandang aku sekilas. Kemudian pandangan kembali dihalakan ke kaca televisyen.
Aku tersengih. “Aku Isyak sekejap kat rumah tadi,” balasku. “Berapa dah?”
“Satu kosong,” Joe tolong jawabkan.
Aku mencapai gelas teh ‘o’ ais yang sudah tersedia atas meja. Memang selalu si Joe ni pesankan untuk aku kalau tahu aku akan lepak sekali dengan dia orang. Sampai dia dah hafal apa yang aku suka makan dengan minum.
“Susah betul nak lepak dengan kau sekarang. Apahal? Busy jaga anak ke?” Ala-ala serius Pa'an bertanya. Soalan yang keluar daripada mulut Pa’an membuatkan aku tersengih.
“Eh? Mana kau tahu?” sengaja aku balas dengan usikan juga. “Aku sibuk jaga suamilah, Pa’an.” Sengaja aku menjawab begitu. Pa’an hanya ketawa.
“Ada-ada sajalah engkau ni, Lisa!” balasnya.
Aku hanya tersengih. “Mak ayah aku kan nak pergi Mekah hari tu. Takkan aku nak sibuk keluar pula kan?”
Joe dan Pa’an mengangguk faham. “So, sekarang kau lepak seoranglah dekat rumah?”
Aku tidak tahu sama ada hendak mengangguk atau menggeleng. “Kadang-kadang tu aku pergi rumah Mak Long aku.”
Lain ditanya lain yang aku jawab. Ini kalau tengah ujian lisan Bahasa Melayu, memang aku dapat ‘C’.
“Elok-elok duduk rumah seorang tu. Aku rasa lagi baik kau duduk je rumah Mak Long kau. Kau tu dahlah perempuan,” nasihat Joe.
Aku hanya tersengih. Dengan adanya Ustaz Hafiz kau orang dekat rumah tu, insya Allah aku selamat. Lagipun, kan mak dengan ayah suruh kahwin pun sebab hendak suruh dia jaga aku. Masa inilah untuk menggunakan Ustaz Hafiz di rumah.
***
DUDUK dengan budak dua orang ni, memang macam-macam cerita yang keluar. Walhal, setiap hari sudah jumpa di kelas. Sampaikan aku bercerita mengenai Jojo, kucing belakang rumah Mak Long beranak pun dia orang layankan aje. Kawan terbaiklah dia orang berdua ni. Tengah aku layan pemain nombor lapan menggelecek bola, telefon yang aku letak sebelah helmet hitam milik Pa’an berbunyi.
-Hafiz Calling...-
Dahi aku berkerut. Jam di pergelangan aku jeling. Baru pukul sembilan suku. Takkanlah awal sangat Abang Hafiz balik? Teragak-agak aku hendak menekan tanda hijau untuk menerima panggilan bila tengah duduk dekat hadapan Joe dengan Pa’an ni. Mataku memandang mereka berdua di hadapan. Pa’an leka dengan bolanya, manakala Joe sedang memerhatikan aku dengan hujung mata.
“Lisa kat mana ni?” serius suara Abang Hafiz di hujung talian.
Aku cuba berlagak selamba apabila mendengarkan nada suara dia yang tidak seperti selalu.
“Dekat tambak ni. Kenapa?”
“Dengan siapa?”
Aku menarik nafas dalam-dalam. Ah, Alisa! Macamlah tidak biasa diri tu kena bebel.
“Farhan dengan Johan.” Aku menjawab bosan. Bukannya ada orang lain lagi yang sudi nak lepak dekat kedai mamak dengan aku. Buat-buat tidak tahu pula ustaz ni. Lagipun, bukannya Abang Hafiz tidak kenal budak berdua ni.
Abang Hafiz diam di hujung talian. “Abang nak Lisa balik sekarang.” Abang Hafiz mengeluarkan arahan.
“Tak panas punggung lagi orang dekat sini. Kejap lagilah.” Sengaja aku memberi alasan. Air pun tidak sampai separuh lagi aku minum.
“Now,” suaranya lebih tegas dari tadi.
“Ok! Ok!” ujarku geram sebelum mematikan talian.
“Apahal? Macam tension je bunyinya?” tegur Joe apabila dia tengok muka aku tidak puas hati.
“Err... Mak Long aku panggil baliklah. Ada hal. Aku gerak dululah.” Telefon aku letakkan ke dalam kocek. Air yang berbaki aku minum sekadar termampu. Kunci motor aku capai. Huh! Bukannya Mak Long, tapi anak Mak Long aku yang suruh aku balik sekarang.
“Lah? Baru sampai dah nak balik?” soal Pa’an apabila melihat aku sudah siap hendak bergerak pulang.
“Hrm. Ada hal lah kat rumah. Ok, aku gerak dulu.”
***
SAMPAI di perkarangan rumah, terasa darah berderau turun daripada muka apabila terpandangkan kereta Waja hitam milik Pak Long sudah elok terparkir di belakang kereta milik Abang Hafiz. Aduh! Mati aku, mati! Sebab ini ke Abang Hafiz beriya-iya suruh aku balik sekarang? Motor aku parkir di garaj. Sempat mata menangkap susuk tubuh Abang Hafiz yang berjalan keluar dari pintu utama.
“Assalamualaikum.”
"Waalaikumussalam." Serius je wajah Abang Hafiz menjawab salam aku. Tiba-tiba aku terasa cuak sendiri. Buat salah, siapa yang tidak takut?
2 comments:
bla novel ni nak kluar ye?
wallahualam..
masih belum ada balasan dr admin. ^^
Post a Comment