::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

28 June 2013

Cerpen: Aku Mencari Cinta

1
Aku menghentak stereng kereta dengan penuh rasa geram. Sekali lagi aku memulas kunci untuk menghidupkan enjin. Tak berjaya. Hei kereta buruk ni! Boleh pula dia buat hal tengah-tengah malam macam ni? Ini nak dapat teksi pun susah! Sudahlah pejabat aku ni tersorok sikit daripada jalan utama! Nak naik balik ke dalam pejabat, yang tinggal hanya Shamsul seorang. Tak fasal-fasal aku kena tangkap basah dengan budak tu nanti.
Aku menghentak lagi stereng kereta untuk melampiaskan rasa marah. Penat mengamuk, aku rasa nak menangis pula. Kereta, kereta… kenapa kau nak buat hal malam-malam macam ni sayang? Takkan sebab aku cakap dengan Zali tadi aku nak beli kereta baru, sayang terus merajuk kot? Lagipun kereta sayang, aku cakap dengan Zali dekat pejabat, sayang. Bukan dalam kereta!
Aku meletakkan kepala ke stereng. Mati kutu memikirkan cara untuk menghidupkan kereta. Telefon bimbit aku keluarkan daripada dalam beg tangan. Dengan perasaan bercelaru, aku telefon Shamsul untuk meminta bantuan daripada dia.
“Sul! Tolong aku....! Huk huk huk...”
“Eh? Kenapa dengan kau ni Imah? Kau dekat mana ni?”
“Kereta aku... tak nak hidup! Aku dah tak tahu dah nak buat apa ni. Huk huk huk...”
“Lah... kejap-kejap aku turun.”
Talian mati. Dalam tiga minit kemudian, Shamsul mengetuk cermin tingkap di sebelah aku. Aku terus membuka pintu.
“Kenapa ni?”
“Tak tahulah. Aku cuba dekat sepuluh kali, tak boleh.”
“Biar aku cuba kejap.”
Kami bertukar tempat. Aku keluar dan berdiri di tepi kereta manakala Shamsul cuba memulas kunci kereta. Perkara yang sama juga yang berlaku. Aku menendang tayar kereta geram. Sudahlah hari ni aku serabut dengan masalah kerja. Boleh pula kereta bodoh ni buat hal!
“Bodoh punya kereta!” marahku lagi. Sekali lagi tayar kereta aku tendang.
“Aduh!” Sepakan yang terlebih kuat akhirnya memakan diri. Sakit gila kaki aku ni! Kurang ajar betul kereta ni!
“Hah! Mencarut lagi. Kan dah Allah balas cash! Cuba istighfar banyak-banyak. Mengucap. Macam lagu Raihan, asyhadu...”
“Diamlah kau! Tak payah nak buat lawak bodohlah! Aku dahlah stress hari ni. Dengan first day period lagi. Kena marah dengan bos lagi. Lagi kau nak buat lawak. Sakit hati tau tak!”
“Ek eh kau ni. Aku tengah tolong ni kan? Relax lah. Bertenang sekejap. Takkan setiap kali period je, nak mengamuk?” katanya selamba. Sedikit pun tak ambil hati dengan kata-kata aku. “Aku rasa battery ni. Kau ada biar lampu terpasang ke? Kalau lampu terbiar lama pun boleh menyebabkan enjin tak boleh hidup.”
“Mana ada. Aku...”
“Hah! See? Ini apa ni?” Shamsul bermain dengan suis lampu. Aku terpinga-pinga melihat tangan dia yang memusingkan suis itu.
“Kau terlupa nak tutup agaknya masa datang pejabat pagi tadi?”
Aku terdiam. Salah sendiri. Ini bukan kereta yang bodoh! Aku yang bodoh rupanya! Aku bersandar lemah di kereta. Perlahan-lahan badan melorot ke bawah dan aku terduduk di atas jalan.
“Aku penatlah Shamsul. Macam mana nak balik ni?” kataku perlahan.
Shamsul keluar daripada kereta. Pintu ditutup lembut. Kemudian dia menghulurkan tangan kepada aku.
“Kedai makan dekat jalan masuk tu buka lagi tu. Kita pergi minum dulu, tenangkan fikiran kau...”
Aku memandang Shamsul yang tersenyum. Huluran tangan dia aku biarkan. Boleh bangun sendiri lagi ni. Tak darurat mana sampai nak berpegang tangan. Kemudian, kami sama-sama melangkah ke kedai makan yang di maksudkan. Dalam keadaan penat mental dan fizikal, rasa jauh sangat kedai yang kami nak pergi walaupun waktu biasa tak sampai lima minit perjalanan.
Sebaik saja tiba di kedai makan selera Thai ni, kami mengambil meja kosong yang paling dekat. Selesai membuat pesanan, Shamsul leka memerhatikan cerita Cina yang ditayangkan di televisyen. Aku pula sudah melayang memikirkan soal kereta.
“Macam mana aku nak balik ni? Kau ada nombor teksi tak?”
Shamsul menggeleng.
“Tidur ofislah malam ni,” cadangnya.
Aku menarik muka. Gila apa nak aku tidur dalam ofis. Aku lagi takutkan pegawai pencegah maksiat datang daripada takutkan hantu, tau?
“Tak pun, kalau kau nak balik dengan aku, aku boleh hantarkan?” cadangnya lagi.
Aku menggeleng perlahan. Idea tak membantu. Sudah tentu-tentu dia naik motor. Takkan aku nak berhimpit dengan dia? Ish! Mati hidup balik aku tak nak. Baik aku tidur dalam kereta lagi bagus. Tidur dalam kereta? Kalau itulah yang terpaksa aku buat, memang aku buat!
“Ada cara lain tak nak hidupkan kereta tu?”
“Boleh. Guna jumper. Tapi disebabkan aku naik motor je, manalah aku ada cable jumper tu...
Jumper? Apa tu?”
Shamsul menarik muka. Geram agaknya bila aku tak faham apa yang dia maksudkan.
“Inilah perempuan! Fasal kereta malas nak ambil tahu. Bila jadi apa-apa tengah jalan, dah menggelabah. Dahlah kau ni anak dara! Buatnya orang konon-konon nak bagi bantuan tapi niat ke lain? Hah! Macam mana?”
Aku sedikit cuak mendengarkan kata-kata dia. Ada ke patut cakap macam tu. Walhal fasal jumper tu je, dia melalut ke lain.
“Kau kahwin dengan aku jelah senang! Balik lambat, kita naik motor sama-sama. Apa-apa aku ada teman kau.” Dia sambung bila aku diam je kena marah dengan dia.
Dahi aku dah berkerut. Dia ni melalut sampai ajak kahwin ni apa fasal?
“Kau ni gila eh? Sekurang-kurangnya aku stress dengan kerja, aku mengamuk je. Yang kau ni, stress sampai ajak aku kahwin apa fasal?”
Ketawa besar Shamsul bila aku marah. Pelanggan yang duduk di meja lain pandang kami. Ek eh? Dia ketawa? Sabar ajelah budak ni. Ketawa Shamsul semakin perlahan apabila pelayan menghantar makanan yang kami pesan tadi.
“Habis tu macam mana aku nak balik ni? Kau ada cara untuk tolong tak?” soal aku serius. Tengok makanan pun dah tak ada nafsu bila memikirkan fasal kereta tu.
“Ada je sebenarnya. Lepas makan, aku call kawan aku. Dia pomen.”
Mendengarkan kata-kata Shamsul, aku menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya ada orang yang pakar yang boleh tolong.
“Dah tu, kenapa tadi kau tak call je terus?”
“Sebab tadi emosi kau tak stabil. Risau apa-apa jadi kat tengah jalan. Jadi aku ajak kau makan, untuk kau cool down dulu. Ok?” katanya prihatin. Aku tersenyum nipis. Hai Shamsul, beruntung siapa yang jadi isteri kau, tau? Tapi kalau aku, biarlah aku cari orang lain dulu. Shamsul ni, pilihan yang terakhir aku pilih. Huhu!
***
2
Kawan Shamsul tiba bila jam dah dekat pukul sebelas malam. Aku keluar pejabat tadi pukul sepuluh. Sejam juga aku habiskan masa dengan Shamsul dekat kedai makan tadi. Ini kalau mak dengan abah dekat kampung tahu aku balik lewat malam, sebulan tak habis dengar dia orang berleter. Bukan tak pernah dia orang bising aku masih di pejabat malam-malam begini, tapi kerja yang menimbun tak mengizinkan aku balik awal. Nak buat macam mana?
“Bos!” Shamsul mengangkat tangan sebaik saja lelaki itu keluar daripada kereta kancil dia.
Aku hanya menjadi pemerhati. Disebabkan pomen ni kawan Shamsul, biarlah dia yang uruskan sampai selesai.
“Apa fasal ini kereta?” lelaki itu menyoal dalam pelat Cina.
Lah, cina rupanya. Ingatkan Melayu kawan dia tadi. Cahaya lampu yang samar-samar membuatkan aku tak dapat nak mengecam wajah lelaki itu tadi.
“Kereta tak boleh hidup. Aku rasa battery ni.”
“Tolong buka hood, boleh?” katanya kepada aku yang berdiri di sebelah Shamsul.
Aku temangu. Hood?
“Bonnet,” Shamsul menerangkan.
Oh! Aku mengangguk. Tanpa berlengah, langkah di atur ke tempat pemandu dan lakukan apa yang disuruh. Lelaki itu melihat-lihat keadaan enjin dengan dibantu oleh lampu suluh.
“Cuba start!”
Aku mengikut. Hasilnya masih sama.
“Ok. Tunggu sekejap.”
Lelaki itu berlalu pergi ke kereta dia. Kemudian, kereta kancil dia parkir berhadapan dengan kereta aku. Bonnet keretanya dibuka. Kemudian, dia ke belakang kereta pula, mengeluarkan dua kabel panjang yang dipanggil jumper. Hampir setengah jam menguruskan kereta aku, akhirnya berjaya juga kereta buruk ini dihidupkan. Aku menarik nafas lega.
Thanks. Berapa ya?” soalku. Bersedia untuk mengeluarkan duit daripada beg tangan.
“Tak apalah. Saya pun kebetulan daripada bengkel. Kalau boleh, esok awak datang ke workshop saya. Boleh cek battery.”
“Ok...”
“Sul!” aku memanggil Shamsul. Shamsul mendekat. Pomen tadi mengemas barang-barang dia ke dalam kereta
“Teman aku balik?”
“Naik?” soalnya kabur.
“Kereta buruk ni lah!” balasku geram. Takut juga nak balik seorang diri. Sudahlah jalan nak masuk ke rumah aku gelap dan sunyi selepas pukul sembilan.
“Kereta buruk, kereta buruk. Bersyukur tahu ada kereta? Kau ingat semua orang mampu nak beli Toyota ni? Tengok pomen tu? Bawak kancil je sana sini tau!”
Overlah tu! Setakat Toyota Corolla yang dah lebih 20 tahun umur, takkan aku nak berlagak macam Toyota Altis yang baru lahir tahun lepas?” Shamsul dah malas nak layan bila aku menjawab. Dia menjeling aku geram
“Habis tu? Motor aku? Ke kau nak ajak aku tidur rumah sewa kau malam ni?”
“Gatal kau! Dahlah! Aku balik dulu lah walaupun aku takut gila ni nak balik.” Aku memboloskan diri ke dalam perut kereta. Belum sempat aku menutup pintu, pomen tadi mengetuk tingkap penumpang sebelah aku. Cerpin tingkap aku turunkan.
“Ya?”
“Rumah awak dekat mana? Saya temankan awak balik.”
Aku terpinga-pinga. Mata memandang Shamsul yang mengangguk mendengarkan pelawaan lelaki itu. Tetapi jauh di lubuk hati aku, aku lagi yakin dengan Shamsul daripada lelaki ni. Sudahlah tak kenal langsung. Nama pun aku tak tahu.
“Taman Permai. Dekat-dekat Tesco.”
Lelaki itu mengangguk. “Sama jalan dengan saya. Awak drive depan. Saya follow daripada belakang.”
Aku bersetuju. Tidak sampai sepuluh minit, kami sama-sama bergerak meninggalkan kawasan pejabat aku. Shamsul pula, bila yakin aku selamat dia masuk kembali ke dalam pejabat. Rasanya kalau sampai hujung tahun aku tak jumpa calon suami, memang aku ajak je Shamsul tu kahwin dengan aku. Zhafran pun, tak bagi aku apa-apa hint walaupun aku tahu dia tahu aku ada hati pada dia.
Sampai di rumah, aku terus memakirkan kereta di bawah garaj. Bilik Lin sudah gelap. Awal pula dia tidur malam ni. Aku melihat jam di tangan sekilas. Dua belas tengah malam. Memang patut pun dia dah tidur. Aku yang balik lambat sebenarnya. Aku berjalan ke arah pintu pagar. Pomen kereta yang menemani aku tadi masih setia menunggu di dalam kereta, di bahu jalan. Tingkap di sebelahnya diturunkan.
“Ini rumah awak?”
Aku mengangguk. “Ya. By the way, thanks ya.”
“Tak apa-apa. Perempuan bahawa memandu malam-malam macam ni seorang. Macam-macam boleh jadi...”
Aku tersenyum mendengarkan kata-katanya. Sama macam Shamsul. Wujud lagi rupa-rupanya lelaki yang mahu melindungi wanita. Bukannya mengambil kesempatan sewaktu wanita dalam kesusahan.
Teringat kata-kata seorang ustaz dekat televisyen dahulu. Kalau lelaki nampak wanita berjalan seorang diri pada waktu malam, lelaki itu kena bantu menghantar wanita itu ke tempat yang dia ingin tuju. Pada waktu malam, macam-macam boleh jadi dekat wanita tu. Ustaz tu tambah lagi, kalau naik kereta, suruh wanita itu duduk di tempat penumpang belakang. Kalau naik motor? Telefon teksi untuk wanita tu. Jangan pula ajak wanita tu naik motor sama-sama, macam Shamsul ajak aku tadi. Ceh!
“Oklah. Saya balik dulu. See you tomorrow!” Dia sudah bersedia untuk pergi. Namun mengingatkan sesuatu, laju aku menahan dia pergi.
“Eh, kejap! Nama awak siapa? Bengkel awak dekat mana?”
“Ah Lee. Bengkel dekat Jalan Mahsuri. Ada satu je bengkel dekat sana...”
“Ok. Jumpa esok, Ah Lee!” kataku lalu mengunci pintu pagar. Kereta Kancil Ah Lee sudah jauh meninggalkan aku. Laju jugak apek ni bawak kereta. Tadi dengan aku slow je. Alah, paling-paling orang cakap, ‘perempuan...’. Apa nak hairan.
***
Aku keluar pergi ke bengkel pada jam sepuluh pagi. Itu pun lepas merayu-rayu dengan bos mintak keluar. Kena pula kerja tengah banyak, masam juga muka dia walaupun dia mengizinkan. Itu pun lepas aku janji untuk siapkan projek aku malam ini juga. Aduhai! Balik lewat lagilah aku malam ni.
Aku tiba di bengkel tempat Ah Lee bekerja bila jam menunjukkan pukul sebelas pagi. Itu pun selepas sesat larat dalam Taman Mewah ni. Tamannya besar, berfasa-fasa. Bengkel Ah Lee ni pula tengah-tengah taman. Memanglah satu je dekat Jalan Mahsuri, tapi aku rasa dekat sepuluh juga bengkel dalam Taman Mewah ni. Dugaan betul.
Sampai di bengkel Ah Lee, aku terus bertanyakan tentang Ah Lee kepada pekerja yang ada di situ. Memandangkan Ah Lee lebih tahu masalah kereta aku, biarlah dia yang uruskan semua.
“Oh? Lu cari bos ah? Kejap ah...” Lelaki itu berkata selepas aku bertanya.
Aku mengerutkan dahi. Bos? Dia ni pemilik bengkel ni ke macam mana? Belum sempat aku nak berfikir lanjut, lelaki itu menjerit ke arah lelaki yang sedang berbaring di bawah kereta Proton Wira yang ada di situ.
“Bos! Ini ada perempuan cari!”
“Siapa?”
“Wa tak kenal lor!”
“Ok, ok sekejap!”
Aku lihat Ah Lee sudah keluar daripada bawah kereta. Dia berjalan ke arah rak yang menempatkan alat ganti kereta. Kain buruk di capai dan tangan yang berlumuran minyak dia lap.
“Eh! Awak!” Ah Lee berjalan ke arah aku dengan bibir yang mekar dengan senyuman.
Aku tergamam melihatkan paras Ah Lee. Kacak! Macam pelakon John Cho masa muda. Malam tadi aku tak nampak muka dia sebab cahaya tak berapa terang. Bila nampak depan mata macam ni, terasa dada aku berdebar-debar. Pipi aku terasa panas. Terasa malu-malu hendak membalas senyuman dia. Rasanya kalau berdiri depan cermin, aku rasa muka aku merah betul ni.
“Lama saya tunggu. Saya ingatkan awak dah cari bengkel lain!” katanya ramah.
Aku hanya mampu ketawa kecil untuk menutup kegugupan. Wargh! Apa kena dengan aku ni?
***
3
Dalam Ah Lee memeriksa keadaan kereta aku, aku duduk di bangku kayu yang ada di situ. Mata memerhatikan Ah Lee yang leka dengan kerja-kerjanya. Sempat dia bercakap-cakap dengan lelaki yang aku tegur sewaktu baru sampai tadi. Tiba-tiba lelaki itu datang dekat aku dan hulurkan satu botol kecik air gas 100 Plus yang dia ambil daripada dalam pejabat.
“Bos kasi,” kata dia dua patah sebelum kembali menyambung tugas dia.
Aku mengerutkan dahi sambil membelek-belek botol air yang aku rasa masih baru. Dia ni, tak ada motif lain kan? Iyalah, dah ramai yang pesan, kalau ambil air daripada orang yang kita tak kenal, kita kena berhati-hati. Zaman sekarang ni, macam-macam cara orang boleh buat untuk pedajal kita. Sedangkan air kotak pun orang boleh suntik dengan dadah lepas tu gam balik dekat bahagian lipatan kotak tu. Tapi, melihatkan rupa paras Ah Lee, aku rasa yakin pula dia ni tak ada niat tak baik. Amboi, aku ni pun, mentang-mentanglah Ah Lee tu ada rupa, belum dia bermulut manis dengan aku, aku dah tergoda. Senang betul nak goda aku ni sebenarnya. Aku tergeleng-geleng perlahan.
“Air tu baru lagilah! Jangan risau, saya tak letak dadah dalam tu, kalau awak itu yang risau.”
            Aku tersentak. Mata kembali memandang Ah Lee yang berada di sebelah kereta aku.
“Err, bukan itu yang saya fikirkan...”
“Habis tu yang awak tergeleng-geleng tu?”
Aku menggigit bibir. Apa ni alasan aku nak bagi? “Err...”
“Tak apalah. By the way, jom lunch?”
Mata kami sama-sama terarah ke arah jam yang terletak di dinding, atas pintu masuk ke dalam pejabat. Dua belas setengah. Tak sedar masa berlalu pantas sekali.
“Kereta awak tak ada apa masalah. Battery masih ok. Saya dah servis sikit. Rasanya ok je. Boleh guna sepuluh tahun lagi!” dia mengusik.
Spontan aku menarik muncung. Macam perli aku je. Tiba-tiba aku terasa seolah-olah kami sudah lama kenal pula bila aku dah pandai merajuk manja macam tu. Imah, behave!
“Hahahaha! Kelakar awak buat muka macam tu. Dahlah, jom kita makan. Saya lapar!” dia dah berjalan melulu ke depan. “Saya nak pergi bilik air sekejap. Tunggu!”
Aku mengangguk. Tidak lama kemudian, Ah Lee muncul kembali dengan senyuman mesra.
“Ok, jom!” kata dia sebaik sahaja keluar daripada bilik air. Aku lihat, tangan dia pun dah bersih.
“Eh, tak apa ke tinggalkan bengkel ni macam tu je? Beritahulah siapa-siapa sebelum pergi?” aku mengingatkan.
“Tak apa. Saya bos dekat sini!” Ah Lee mengenyitkan mata. Aku menggeleng. Sabar ajelah dengan apek seorang ni. Tapi, comellah dia kenyit mata tadi. Hihihi! Habislah! Aku dah jatuh cinta!
***
“Ah Lee, umur awak berapa ye?”
Ah Lee yang baru hendak menyuapkan nasi berlaukkan ikan goreng terhenti. Muka dia diangkat untuk memandang aku. “Awak nak berkenalan dengan saya ke?”
Merah muka aku bila mendengarkan soalan dia. “Iyalah! Saya nak juga tahu saya tengah makan dengan siapa sekarang ni. Buatnya awak ni ahli kongsi gelap ke, boleh saya jauhkan diri siap-siap!”
“Awak rasa?” Ah Lee menyoal. Kata-kata aku yang panjang lebar sikit pun dia tak komen. Ceh!
“Empat puluh!” kataku sengaja hendak mengusik dia.
“Awak ni... saya baru dua puluh tahun awak cakap saya empat puluh!” Ah Lee mencebik.
Aku tergamam. Seriously dia dua puluh? Alamak! Tak jadi nak ajak dia kahwin kalau dia lagi muda daripada aku! Berangan tak sudah aku ni.
“Awak dua puluh tahun? Hebatlah awak ni! Muda-muda dah ada bengkel sendiri!”
Ah Lee yang sedang mengunyah tersedak. Sebaik saja dia tekaknya kembali normal, dia ketawa besar.
“Awak percaya? Hahahaha! Saya dah tiga puluh tahunlah!” kata dia lagi. Dan dia masih lagi ketawa. Ceh! Hampeh betul apek ni, aku pula yang terkena.
“Awak?”
“Dua puluh lima!” kataku ceria. Rasa masih muda.
“Tapi tak ada perniagaan sendirilah macam awak!”
Ah Lee tersenyum. “Bengkel saya tu, daddy saya yang banyak bantu. Tahun ni, dah lima tahun umur bengkel tu. Saya belajar tak pandai. Daddy hantar pergi kemahiran. My siblings semua masuk u, saya seorang saja yang tak.”
“Oh....” aku mengangguk faham. Siapa kata orang yang tidak berjaya dalam pelajaran, tak boleh berjaya dalam hidup? Aku yang ada ijazah pun jadi kuli je. Sudahlah kerja susah, gaji pun ciput. Nak kahwin dengan tokey lah kalau macam ni. Tokey workshop!.
“Tapi awak dah berjaya sekarang!”
“Belum lagi. Banyak lagi nak kena kejar....” dia senyum lagi.
Aku rakam muka dia yang tersenyum tu banyak-banyak di dalam kepala. Lepas ni, tak ada lagi dah pertemuan aku dengan dia kecuali kalau kereta aku rosak.
“Esok, saya pergi pejabat awak pula, ya? Kita lunch kat sana.”
Aku tergamam. Baru aku berfikir bila agaknya kami akan berjumpa lagi, dia sudah memberi jawapan. Ada chemistry kami berdua ya?
“Ok! Jumpa esok. Saya rest pukul 1. Awak nak datang pukul berapa?”
“Nanti dah sampai saya call.”
“Eh? Awak ada ke nombor saya?”
“Saya nak mintalah ni...”
Aku senyum. Tanpa teragak-agak aku menyebutkan nombor aku kepada dia. Lepas buat missed call, aku simpan nombor dia di dalam telefon. Ali sayang. Aku taip namanya. Kemudian aku ketawa sendiri.
“Jangan lupa date kita esok ya!” katanya sebelum aku pulang ke pejabat. Jantung aku bergetar lebih hebat. Kalau ini namanya cinta, habis tu yang aku rasa bila pandang Zhafran itu apa? Bukan cinta juga ke namanya? Takkanlah sekelip mata terus hati aku berubah?
***
“Baik pula kau dengan Ah Lee tu eh?” Shamsul menyoal. Aku dapat rasa ada terselit rasa tidak puas hati di situ.
“Lah... kami berkawanlah! Salah ke?” soalku selamba. Siapa Shamsul hendak menghalang aku daripada berkawan dengan Ah Lee?
“Salah tu tidak. Tapi aku risaulah. Kau jangan tangkap cintan dengan dia sudah!”
“Kenapa? Tak boleh ke?”
“Boleh tu boleh. Tapi kau sanggup ke nak bimbing dia? Berat tau tugas nak bimbing saudara baru kalau tak betul-betul!” dia mengingatkan.
Aku terdiam. Lama memikirkan apa yang Shamsul katakan. Ah! Kerana cinta, semuanya bisa!
“Tak jadi masalah kalau dia sanggup!” kataku yakin. Sedangkan, Ah Lee sedikit pun tidak memberi apa-apa hint berkenaan hati dan perasaan. Cuma, kami selesa bila berkawan. Tapi, bukankah itu menunjukkan kami serasi sebagai kawan saja? Aku saja yang terperasan lebih-lebih. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
“Amboi... macam memang ada hati je dengan dia? Aku ni ajak kau kahwin dah lebih sepuluh kali, kau pandang sepi je...”
Ketawa besar aku dengar kata-kata Shamsul.
“Kau ajak aku serious ke, main-main?”
“Ada ke orang cakap fasal ni main-main?” dia membulatkan mata. Aku ketawa saja melihatkan gelagat dia.
“Yelah, yelah... nanti aku fikirkan...”
Shamsul mengangguk perlahan. Bersetuju dengan permintaan aku. Eh, maknanya sekarang, Shamsul melamar aku lah kan? Cuma tak rasmi je? Isk! Aku yang main-main fasal kahwin sebenarnya! Bila nak matang ni, Imah?
***
Hujung minggu itu aku pulang ke rumah setelah hampir sebulan tidak pulang ke kampung. Sedang aku berehat-rehat sambil menonton televisyen, mak menyuakan aku beberapa keping surat yang diposkan ke alamat rumah.
“Surat Imah ke?” soalku keliru.
“Eh, bukan. Surat adik. Saja mak bagi kamu ni...” mak memerli.
Aku ketawa kecil. Satu persatu surat aku buka. Selain daripada bil-bil bulanan, aku tertarik melihat dua sampul surat yang cantik dihiasi corak berwarna emas. Laju aku membuka kad undangan perkahwinan yang aku terima. Tak sabar nak melihat nama kawan aku yang bakal melangkah ke alam baru. Yang pertama, Osha dan Alvin. Yang kedua,  Atiqah dan Zhafran.
Jantung rasa berdegup lebih kencang daripada biasa. Atiqah dan Zhafran? Zhafran? Kecewa rasanya bila melihatkan nama lelaki pujaan aku tertulis elok di atas kad perkahwinan Atiqah. Sampainya hati Atiqah buat aku begini! Bukan setakat pertunangan antara dia dengan Zhafran tak diberitahu. Ini tiba-tiba saja kad kahwin mereka dah sampai. Sampainya hati kawan baik aku tu!
“Siapa yang kahwin?” soal mak bila lama aku terpaku dengan kad Atiqah di tangan.
“Lelaki pujaan orang, mak! Dia nak kahwin dengan kawan baik orang!” kataku geram.
“Lah? Dia tahu tak kamu suka lelaki tu?”
Aku mengangguk lemah. Tapi kenapa rasa sakit hati ini tak sakit mana. Aku cuma sakit hati bila perihal perkahwinan mereka dirahsiakan daripada aku. Itu saja. Aku rasa hati aku dah tidak ada pada Zhafran lagi. Ke sebab aku dah jatuh cinta pada Ah Lee?
“Tahu...”
Mak menghela nafas perlahan. “Tak apalah. Tak ada jodohlah tu. Nanti mak carikan calon suami untuk kamu. Kamu setuju?”
Aku menjeling mak geram. Mak ni! Hati aku tengah kecewa dengan Atiqah, boleh pula dia nak carikan calon suami. Tanpa sedar kad Atiqah aku renyuk. Geram dengan mak. Bila tersedar kad Atiqah sudah hilang serinya, aku terjerit!
“Alah! Dah tak cantik! Sudahlah majlis kawan baik. Alahai...!” marahku kepada diri sendiri.
Mak melihat aku dengan dahi berkerut. “Lah? Bukan kamu yang renyukkan sebab marahkan kawan baik kamu kahwin dengan lelaki pujaan kamu ke?”
Aku menggeleng perlahan. Jari aku lurutkan ke atas kad itu, berharap kesan renyuk hilang.
“Eh! Biarlah dia nak kahwin dengan siapa pun. Bukan laki orang pun. Lelaki pujaan je pun...” kataku.
Mak mengerutkan dahi. Kemudian dia menggeleng perlahan.
“Tak fahamlah mak dengan kamu ni. Jangan-jangan kamu dah ada kawan tak? Cepat-cepat bawa jumpa mak dengan abah! Kamu bukan makin muda...!”
“Mak, kalau kawan orang, orang Cina... mak terima tak?”
Mak merenung muka aku, meminta kepastian. Aku hanya ketawa.
“Bukan senang nak bimbing orang baru kalau iman kita pun belum cukup kuat! Lagi pula kalau kembali kepada Islam sebab cinta. Tak ke mana! Hilang cinta dekat kamu, hilang cinta pada agama. Kamu kena fikir masak-masak.”
Aku menelan air liur. Pandangan yang mak berikan, sama seperti apa yang Shamsul katakan. Apa? Aku ni nampak tak cukup beriman ke nak bimbing si Ah Lee tu?
4
***
Aku berdiri dengan menyandarkan badan ke kereta. Sementara menunggu Ah Lee menyiapkan kerja dia, aku memerhatikan kereta yang lalu lalang di jalan besar, bersebelahan dengan Jalan Mahsuri ni. Baru hari ini aku memerhatikan keadaan bengkel Ah Lee sepenuhnya. Kalau tidak, aku perhatikan Ah Lee je. Haha!
Bengkel kereta Ah Lee ni boleh dikatakan strategik juga kedudukannya. Bengkelnya di hujung jalan, di mana di penghujung jalan ada lorong yang menghubungkan dengan jalan belakang. Cuma lorong itu jarang orang gunakan. Jadi, dapatlah dia gunakan ruang yang ada untuk meletakkan kenderaan yang tunggu untuk dibaiki.
Sorry lambat,” dia menegur.
Bibirnya seperti biasa, masih setia dengan senyuman. Senyuman yang buat aku berdebar-debar tak kira masa. Aku menundukkan sedikit muka, mengelakkan debaran di dalam dada terlihat di muka. Eh, boleh ke? Aku rasa boleh saja. Bila dada aku berdebar-debar melihat Ah Lee, mesti air muka aku pun berubah daripada biasa, kan?
“Tak apa. Awak busy ke?”
“Bolehlah. Pagi je tadi banyak juga kereta datang...” katanya lagi.
Aku mengangguk perlahan. “Oklah tu... Tuhan Allah bagi awak rezeki banyak hari ni!” kataku.
Ah Lee tidak membalas. Seperti biasa, bila aku bercakap tentang ketuhanan sedikit, dia hanya tersenyum dan mengangguk.
So, kita nak lunch kat mana hari ni?” soalnya tiba-tiba.
Aku mengerutkan dahi. Kemudian aku menggeleng perlahan. Tak ada idea.
“Awak pandai makan, makanan Cina?”
Erk! Aku menelan air liur. Serta-merta tekak terasa loya membayangkan makanan yang jauh beza dengan selera aku. Kena pula, Ah Lee ni faham ke halal haram? Sekali pun makanan yang dihidang tiada yang haram, bagaimana dengan proses penyediaan pula? Pinggan mangkuk, periuk belanga yang digunakan? Aku menggeleng perlahan. Nak kata tak mahu dan tak teringin langsung, tak sampai hati pula hendak menyakitkan hati Ah Lee.
“Awak nak cuba?”
Aku diam. Teragak-agak hendak menjawab.
“Kalau awak risaukan halal haram, awak tak perlu risau. Saya bawa awak ke kedai orang Islamlah!” katanya. Kemudian dia ketawa kecil apabila melihatkan air muka aku berubah lega. Pandai dia ‘membaca’ aku.
“Ok. Saya percayakan awak...” kataku walaupun hati masih teragak-agak mahu menerima.
Ah Lee membawa aku ke restoran Cina Muslim yang terdekat dengan bengkel kereta dia. Dekat tak dekat, lima belas minit juga kami berjalan. Dengan cuaca yang panas macam ni, berpeluh-peluh aku dibuatnya. Nak ajak naik kereta, rasa tak wajar pula sebab awal-awal dia cakap, ‘kita jalan kaki je. Restorannya dekat.’
“Penat ke?” soal dia sewaktu kami tiba di restoran itu.
Nak kata penat rasa macam tak patut pula walaupun aku rasa nak je mengamuk dekat dia ni sebab tak nak naik kereta. Kematu oi kaki aku berjalan! Berpeluh ketiak aku dibuatnya. Tahu tak aku kena masuk pejabat balik, Ah Lee? Busuklah aku nanti!
“Dekat je kan?” katanya lagi. Akhirnya aku mengangguk juga walaupun tak rela.
Tidak sampai lima minit kami menunggu, pelayan tiba dengan membawakan makanan. Aku termangu seketika. Rasanya kami baru je duduk dan belum pesan apa-apa makanan lagi.
“Saya dah order kan sebelum kita berjalan tadi...” katanya. Aku hanya mengangguk. Tak tahu apa hendak katakan.
“Makanlah...” pelawa Ah Lee.
“Awak ok ke tidak ni?” Ah Lee menyoal bila aku banyak mendiamkan diri. Mendengarkan soalan Ah Lee, aku mendapat satu akal.
“Tak... saya tak berapa nak oklah...”
“Kenapa? Tak nak share?”
Aku menghela nafas perlahan. Sudu dan garpu aku letakkan di tepi pinggan. Cuba mengumpul emosi agar idea yang muncul tadi berjaya dijalankan.
“Lelaki pujaan saya nak kahwinlah! Dengan kawan baik saya pula tu!” luahku. Seolah-olah betul-betul kecewa bila lelaki pujaan di ambil kawan baik sendiri.
Kening Ah Lee terangkat sebelah.
So?”
Aku mendengus geram. So? Itu yang dia tanya? Dia faham tak yang sepatutnya aku ni tengah kecewa tahap menonggeng dah ni? Ke muka aku tak cukup emosi? Aku nak juga tahu reaksi Ah Lee bila aku kata aku ada lelaki pujaan. Nak juga tengok dia ni cemburu ke tidak?
“Kalau awak tak ada benda yang lagi baik daripada ‘so’ untuk cakap, baik awak senyap!” aku berpura-pura marah.
Ah Lee tersenyum.
“Ramai lagi kan lelaki lain?”
“Contohnya?” ujiku. ‘Contohnya, sayalah!’ aku mereka jawapan yang bakal diucapkan Ah Lee. Kalau betul, memang aku buat kenduri tiga hari tiga malam.
“Mana saya tahu personal life awak!” kata Ah Lee selamba.
Aku mengeluh. Jawapan Ah Lee cukup menghampakan. Cukup menunjukkan yang dia sekadar selesa berkawan dengan aku. Entah-entah, ramai amoi yang nakkan dia. Aku ni dia pandang sebelah mata je agaknya. Sudahlah daripada hujung kepala sampai hujung kaki berselubung. Eh, silap. Sampai buku lali. Aku mana pakai stoking. Haha.
“Apa pendapat awak kalau kahwin berbeza budaya?”
“Ok je. Kalau kedua-dua pasangan boleh terima.”
“Berbeza agama?”
Air muka Ah Lee berubah.
“Bukan ke Islam tak benarkan umat Islam berkahwin dengan pasangan yang bukan Islam?”
Aku mengeluh. Dia tak faham dengan kiasan yang aku cuba sampaikan rupanya. Sekali lagi aku kecewa.
***
“Hoi! Dalam diam je kau, kan!” itu ayat pertama yang keluar daripada mulut aku bila satu hari Atiqah menelefon aku. Dah berkurun kad dia aku dapat, baru ini nak telefon aku? Huh! Putus sahabat!
“Assalamualaikum. Imah, sorrylah! Aku tak tahu nak cakap macam mana dengan kau. Semuanya mengejut!”
“Waalaikumsalam. Huh! Sudahlah kau! Alasan semata-mata!” kataku berdrama.
“Imah! Aku...” Atiqah kematian kata-kata. Aku dapat rasa dia serba salah gila dengan aku sekarang ni. Terbalas sudah kekecewaan aku bila dapat buat dia rasa serba salah begitu.
“Hah! Kau call ni ada apa?”
“Aku nak minta maaf. Aku tahu kau frust. Zhafran tiba-tiba datang rumah aku. Masa aku jumpa dia, aku ada juga cakap fasal kau. Tapi dia...”
Aku mengerutkan dahi. Budak ni... tak perlulah nak cerita selengkap itu! Laju aku memotong percakapan dia.
“Weh! Tak payahlah nak cerita yang Zhafran reject aku macam tu sekali. Kau ni, aku pun tahu malu juga! Jagalah sikit hati aku. Kecewa tahu tak bila lelaki pujaan aku suka kawan baik aku sendiri? Kecewa!” kataku.
Kalau tadi aku tak ada apa-apa perasaan, tiba-tiba rasa semacam pula bila Atiqah bercerita penolakan Zhafran. Huh! Sudahlah dengan Ah Lee pun macam kena reject juga! Bilalah aku nak jumpa cinta hati aku ni?
Sorry...”
“Hrm...” balasku endah tak endah.
“Aku harap kau datang!”
“Ye, aku datang!”
“Betul ke ni?” suara Atiqah kembali bersemangat. Aku tersenyum sumbing. Dahsyat juga rasa bersalah kahwin dengan lelaki pujaan kawan baik rupanya, ya? Sampai rasa takut dengan kawan baik sendiri.
“Insya Allah lah... kalau tak ada aral! Hai.... seronoklah kau... aku juga yang tak jumpa-jumpa cinta aku. Masih mencari cinta!”
“Eh! Mana ada kau seorang. Hanis dengan Nik kan ada? Ada tiga orang yang bertemu cinta lagi tau!”
Aku ketawa kecil. Terbayang seorang demi seorang sahabat yang sama-sama menuntut di universiti dahulu. Bila berkumpul, mesti keluar bermacam-macam jenis cerita. Bila dah rapat, rahsia masing-masing bukan jadi rahsia. Sebab itulah mereka tahu aku suka Zhafran, Hanis suka Aiman. Nik? Dia tu ustazah. Baik sikit. Tengok mana-mana lelaki pun dia tak teruja!
“Yelah kau! Pandai nak pujuk aku.”
Ketawa aku berpadu dengan ketawa Atiqah.
So, betul kau memang tak kisah?”
“Kenapa, kalau aku kisah, kau nak aku buat apa? Gantikan kau dekat majlis kau dengan Zhafran tu? Tak naklah aku!”
“Iya? Hrm.... kalau tak nak ni, mesti sebab dah ada orang lain ni...?” dia mengusik.
Aku ketawa menutup rasa malu. Ceh! Aku sudahlah aku yang bertepuk sebelah tangan. Ah Lee? Tangan pun dia tak ingin nak suakan.
***
“Kau dah fikirkan ke lamaran aku?” Shamsul bertanya masa aku betul-betul melangkah masuk ke dalam pejabat. Belum sempat aku hendak punch card dia dah tanya soalan tu. Bukan aku minta dia bagi masa ke? Rasanya baru dua minggu aku biarkan lamarannya tergantung.
“Bagi aku masa...”
“Sampai bila?” desaknya lagi. “Mak aku dah sibuk nak pinangkan anak kawan dia kalau aku tak ada calon lagi. Aku cakap aku dah ada calon, tapi dia tak percaya selagi aku tak kenalkan. Macam mana aku nak kenalkan bila kau dia je?”
Berkerut dahi aku mendengarkan cerita dia. Ada udang di sebalik batu rupanya. Aku tidak membalas. Tangan mencapai kad kedatangan dan aku masukkan ke dalam mesin.
“Oh! Kau nak ajak aku kahwin sebab nak elak daripada kena kahwin dengan calon mak kau ke?”
Shamsul menggeleng.
“Aku ajak kau kahwin dah lama, kan? Kau je ingat aku main-main. Mak aku baru je cakap hujung minggu lepas.”
“Bagi aku masa, Sul. Aku risau salah ambil keputusan. Bukan aku je yang merana, kau pun sekali!”
“Kau suka apek Cina tu ke?”
Aku terdiam. Suka kalau bertepuk sebelah tangan, tak guna juga!
“Hujung minggu depan, teman aku?”
“Pergi mana?”
“Kenduri kahwin kawan aku.”
Shamsul merenung mata aku meminta kepastian. Mesti dia ingat aku main-main nak ajak dia. Aku mengangguk meyakinkan.
“Tapi kemungkinan besar aku tidur rumah dia. Nanti aku carikan kau hotel.”
“Kenapa kau tiba-tiba nak berteman?”
Best friend aku, kahwin dengan lelaki pujaan aku. So, bila kau ada, tak adalah dia bersalah sangat. Boleh terima tak alasan aku?”
Shamsul sudah ketawa. Iyalah, alasan apa lagi yang aku ada untuk ajak dia? Tapi kenapa aku ajak dia pun aku tak tahu. Mungkin, bila berjalan dengan dia, aku boleh fikir-fikir sekali tentang lamaran dia tu? Harap-harap begitulah!
***
“Seronoknya tengok Atiqah. Nampak gayanya, kita berdua sajalah kan yang belum bertemu cinta, ye Nik? Hanis pulak ada si Khairul dia tu. Punyalah lama syok dengan Aiman, last-last dengan orang lain juga, ye?” kata aku dengan Nik selepas menjadi salah seorang saksi yang tidak rasmi pernikahan Atiqah dan Zhafran. Tatkala melihat Zhafran bersalam dengan ayah Atiqah, sedikit pun hati aku tak tercuit.
“Eh? Shamsul tu siapa? Bukan cinta hati kau?” tanya Nik.
Aku menggeleng. Nafas dihela perlahan. Shamsul, aku pun tak tahulah nak terima atau tidak lamaran dia tu. Keliru, confuse!
“Dia ada juga ajak kahwin. Aku yang tak bagi jawapan lagi...”
Nik tersenyum. “Sebab?”
“Aku tak cintakan dialah. Aku tengok dia macam kawan-kawan je. Tak ada perasaan langsung. Tak dapat bayangkan nak hidup dengan dia. Aku tak jumpa lagi cinta yang aku nak cari,” kata aku perlahan. Mata memerhatikan Atiqah yang ceria duduk di sebelah Zhafran. Bahagia.
“Kita sebenarnya dah jumpa cinta yang kita cari. Kita je tak perasan benda tu...”
“Maksud kau?”
“Kita biasa dengar kalau seorang hamba mengaku mencintai Allah, tapi jarang-jarang kita dengar Allah mencintai hambanya. Cinta apa lagi yang kita cari selain daripada cinta Allah kepada kita?”
Aku diam. Nik sudah memulakan hujahnya.
“Dalam sebuah buku yang aku baca, penulis menceritakan tentang cinta Allah kepada hambanya. Antara bukti-buktinya adalah dengan tidak menyegerakan azab walaupun kita sangat banyak melakukan maksiat. Kaum Nabi Luth a.s., mengamalkan homoseksual, sekelip mata Allah terbalikkan kampung mereka menjadi laut mati. Zaman sekarang? Berapa ramai yang mengamalkan homoseksual, tetapi Allah beri kita masa untuk bertaubat sehingga kiamat.”
“Bercakap fasal taubat, bawalah dosa sebesar bumi pun, Allah akan ampunkan kalau kita bertaubat. Kita manusia, bila orang minta maaf, belum tentu kesan di hati itu akan hilang walaupun kita katakana kita memaafkan. Tak cukup ke cinta yang Allah bagi pada kita?”
“Itu belum masuk lagi bila kita berniat nak buat kebaikan, dapat 1 ganjaran, bila kita lakukan kebaikan itu, Allah gandakan jadi 10 ganjaran. Dan bila kita berniat nak buat dosa, Allah tidak lakukan apa-apa, dan bila kita lakukan maksiat itu, Allah berikan 1 ganjaran yang buruk. Itu juga tanda cintanya Allah kepada kita. Takkan kita tak terasa nak balas cinta Allah itu dengan cinta yang paling bersih dan suci?” Nik tersenyum. Bagaikan dia berkata-kata kepada diri sendiri pula.
“Kalaua nak list kan bukti cinta Allah kepada kita, tak terkira! Tapi aku tak nafikanlah pula cinta sesama manusia tu fitrah. Kalau tidak, kita tak akan ada rasa cinta dan sayang pada ibu bapa kita, pada keluarga kita. Cuma, jangan terlalu mencari cinta manusia.”
“Macam sekarang ni, ada orang dah lamar kau, tak tahu nak buat keputusan, kau mintalah bantuan Allah. Dekatkan diri dengan Allah. Bersihkan hati, baca Quran, solat istikharah. Masa ni kau letakkan sepenuh kebergantungan kau pada Allah sebab kita tak pernah tahu apa yang terbaik untuk kita, tapi kita yakin Allah akan beri yang terbaik untuk kita.”
“Tapi dalam pada masa yang sama, kau risik-risiklah juga Shamsul tu bagaimana. Perhatikan kawan-kawannya orang yang macam mana. Bincang dengan orang yang lebih arif. Bila kita kahwin, Allah akan campakkan rasa kasih sayang tu antara kita dan suami kita. Dan rasa cinta akan datang selepas tu. Ada ke orang cinta dulu baru sayang? Tak ada kan? Semuanya sayang dulu baru jatuh cinta. Insya Allah, kau ok je nanti. Aku doakan yang terbaik untuk kau!”
Nik memeluk bahu aku dengan tangan kiri dia. Nik, gaya ustazah-ustazah tak hilang! Macam dia sudah kahwin je mendengarkan nasihat-nasihat dia.
            “Macam mana kau jaga diri kau eh, Nik? Sejak zaman belajar sampai sekarang, kau tak pernah ke suka sesiapa ke? Musykil aku!”
            Nik ketawa perlahan. “Bohonglah kalau tak ada! Kan aku cakap, cinta sesama manusia tu fitrah...” Kemudian dia senyum. Matanya seolah-olah cuba menutup apa yang dia rasa.
“Sebenarnya kalau aku cerita fasal aku pada kau orang, kau orang mesti terkejut punya. Kadang-kadang, luaran kita nampak sangat cantik dan suci sedangkan hakikatnya, kita sentiasa berperang dalam diri kita... tapi, biarlah aib tu, Allah saja yang tahu. Kalau sekali aku bercerita, kat akhirat nanti Allah buka pula aib itu pada seluruh manusia. Tak mahulah aku. Malu!” Nik tersenyum sumbing.
“Hidup kita ni Imah, perjalanan yang sumpah panjang dalam membaiki diri kita. Tapi ingatlah, Allah sentiasa bersama-sama dengan orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang usaha memperbaiki amalnya.”
Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. [An-Nahl 16:128]
Nik menghabiskan kata-katanya, serentak dengan waktu orang ramai mula meninggalkan masjid ini. Aku cuba untuk menenangkan fikiran yang runsing. Sebenarnya, kalau hati aku tak terjatuh suka pada Ah Lee, aku tak perlu runsing mana. Terima saja lamaran Shamsul tu. Dia pun, baiklah juga. Sepanjang kat pejabat, tak pernah lagi nampak dia tinggal solat Zuhur dengan Asar. Sekurang-kurangnya, bila dia mampu solat 5 kali sehari semalam, dia mampu menjadi ketua untuk dirinya sendiri. Mungkin, dialah yang terbaik buat aku.... kot?
***
5
            Pantas betul masa berlalu. Sedar tak sedar sudah sebulan rupa-rupanya hubungan aku dengan Shamsul melangkah ke fasa baru. Tunang? Eh, mestilah tidak. Aku masih minta Shamsul berikan aku masa. Disebabkan hati aku belum dapat terima dia lebih daripada kawan, aku ajak dia jadi kawan baik aku dahulu. Aku pun serba salah sebenarnya nak tolak dia terus. Sebab aku rasa bila dia ajak aku kahwin, dia ikhlas nak kahwin dengan aku.
Tapi, walaupun hanya kawan baik, sebenarnya aku dah jumpa dengan ibu bapa Shamsul. Itu pun Shamsul main taktik kotor. Ceh! Dia ajak aku keluar hujung minggu dua minggu lepas. Ingatkan keluar berjalan saja, rupa-rupanya ibu bapa dia dah menunggu dekat restoran yang Shamsul bawa. Mujurlah aku tak pakai selekeh sangat. Buat malu saja!
Cuma, yang buat aku tak sampai hati bila mak Shamsul sangatlah baik dan lembut masa bercakap dengan aku. Menangis hati aku bila mengenangkan aku ni seolah-olah bila-bila masa je akan kecewakan anak dia. Ya Allah, janganlah aku termasuk dalam golongan yang menghancurkan hati orang dan hati mak bapak orang ni.
“Lama tak jumpa awak!”
Aku tersentak sewaktu hendak mengunci mangga pintu gril rumah. Laju aku menoleh ke belakang. Lee! Apa dia buat dekat sini, awal-awal pagi macam ni? Rasanya aku tak ada telefon cakap kereta aku rosak atau apa-apa saja. Menjajar aku cari telefon dalam beg tangan. Jangan-jangan handset ni buat hal lagi tak? Kadang-kadang sensor dia gila juga tiba-tiba telefon entah sapa-sapa.
“Awak sihat?”
Aku mengangka muka daripada telefon di tangan. Perlahan-lahan aku menganggukkan kepala. “Kenapa tanya?”
“Saja. Lama tak dengar khabar awak!”
Aku diam. Kaki dihayun ke arah pintu pagar untuk dibuka. Lee hanya memerhatikan aku daripada hujung mata.
“Jomlah! Saya hantarkan awak pergi kerja!” pelawanya.
Aku hanya tersenyum dan kemudian menggeleng. “Tak apa. Saya ada janji dengan orang ni...”
“Siapa?”
Aku sekadar tersenyum. Selesai membuka pintu pagar, aku terus masuk ke dalam kereta. Lee yang masih berdiri di sebelah keretanya aku tidak hiraukan. Sebaik sahaja mengeluarkan kereta daripada garaj, Lee sudah berdiri di hadapan kereta aku, tidak membenarkan aku pergi ke mana-mana. Aku mengeluh. Lee, buat apa kau cari aku lagi?
Aku tengah turunkan cermin kereta bila Lee tiba-tiba masuk ke dalam kereta aku. Tak sempat aku nak marah suruh dia ke tepi. Wajahnya yang bersahaja cukup buat hati aku panas. Lee, tolonglah! Tolonglah jangan muncul lagi dalam hidup aku!
“Kenapa awak ni? Call saya tidak. Mesej saya pun tidak. Awak merajuk dengan saya ke?” soal Lee sebaik saja duduk di dalam kereta.
“Merajuk? Buat apa saya nak merajuk?”
“Mana saya tahu! Sebab itu saya cari awak hari ni!”
“Saya sibuklah!”
“Sibuk? Selama ni awak sibuk macam mana pun, kita masih ada masa untuk lunch sama, kan?”
“Lee, sebelum kenal dengan saya, awak takkanlah tak lunch langsung?”
“Memanglah... tapi sejak ada awak saya dah biasa makan berdua!”
Aku mencebik. Seketika kemudian, ada bunyi hon kedengaran. Baru aku teringat kereta aku di tengah-tengah jalan.
“Lee! Turunlah! Saya nak pergi kerja ni!” kataku sebaik sahaja memberhentikan kereta di bahu jalan.
Ah Lee buat muka bersahaja. Melihatkan gelagatnya yang bersahaja, aku tahu aku dah tak boleh nak buat apa. Akhirnya kereta aku pandu perlahan meninggalkan kawasan perumahan aku.
Aku tiba di pejabat awal setengah jam seperti biasa. Motor Shamsul sudah ada di tempat biasa. Aku keluar daripada kereta tanpa sedikit pun menghiraukan Ah Lee. Sejak daripada dalam kereta, mulut dia saja yang bercakap itu ini. Aku? Aku kuatkan radio dan menyanyi ikut lagi yang dimainkan deejay. Masa itu baru mulut Lee terkunci.
“Sampai hati awak buat saya macam ni. Apa salah saya? Awak tak adil!” marah Lee.
Aku membulatkan mata. Suka-suka hati dia je nak marah aku. Aku pandang orang sekeliling. Malunya! Tiba-tiba Shamsul berjalan ke arah kami daripada gerai menjual sarapan pagi.
“Imah?” dia menyapa.
Aku hanya tersenyum simpul. Kening aku angkat dan mulu aku muncungkan ke arah Lee. Shamsul mengangguk dan Lee pula memandang kami berdua dengan riak yang tidak puas hati.
“Sarapan kita aku dah beli. Nak makan kat pejabat?”
“Macam biasalah!” balasku. Pintu kereta aku kunci. Lee aku biarkan terkontang-kanting seorang diri. Pandai-pandai dialah nak hidup macam mana. Aku dah suruh dia turun tadi, dia tak mahu!
“Fatimah!” Lee memanggil aku garang.
Aku tidak hiraukan panggilannya dan laju aku melangkah mengikut Shamsul yang sudah melangkah jauh ke hadapan. Maafkan aku, Lee. Aku tak nampak arah hubungan kita. Dan sekalipun kita berkawan baik, aku tak yakin aku mampu jadi kawan baik tanpa ada apa-apa perasaan pada kau.
***
“Sampai hati kau buat dia macam tu, kan?” kata Shamsul masa aku makan nasi lemak berlaukkan ayam goreng yang dia belikan.
“Sampai tak sampailah, Sul! Dah dia yang sibuk nak naik kereta aku jugak. Siapa suruh?”
Shamsul ketawa kecil. “Dia ke yang buat kau susah sangat nak terima aku, Imah?” soal Shamsul tiba-tiba.
Aku menelan nasi yang sudah dikunyah lumat. Air kopi susu yang Shamsul bancuhkan tadi aku hirup perlahan-lahan. Soalan Shamsul cukup sukar untuk aku jawab. Iya, memang dia yang buatkan hati aku gundah gulana. Tapi...
“Kau nak tahu tak, Imah? Ada satu perkataan Jerman ni...”
“Kau tak payah nak buat drama Jerman dengan akulah!”
Ketawa besar Shamsul bila aku memotong kata-kata dia. Dia ini pun, pagi-pagi buta nak buat drama Jerman apa fasal?
“Kau ni... aku baru nak cerita!” kata Shamsul bila ketawa dia reda. “Aku sebenarnya dah lama rasa benda ni. Tapi, aku diamkan je. Tapi, bila hari ni aku nampak depan mata aku, aku yakin aku tak silap...”
“Aku rasa kita sesuai jadi kawan baik je. Bila aku banyak spend masa dengan kau, aku rasa kita bukan diciptakan untuk satu sama lain. Aku tak tahulah daripada mana aku boleh rasa. Tapi, instinct aku kuat rasa macam tu. Aku tak ada rasa bahagia, aku tak ada rasa kau adalah orang yang aku cari. Mungkin kau hampir-hampir dengan apa yang aku cari, tapi bukan yang aku nak.”
Erk! Aku tersedak sambal ikan bilis Aduhai malangnya nasib aku ni. Sudahlah Zhafran reject aku. Hari ni Shamsul pula terang-terang kata aku ni tak membahagiakan? Aku bukan yang dia cari? Aduh! Tersayat hati aku dibuatnya. Nasib oh nasib! Terimalah segala kata-kata yang menyakitkan hati itu, wahai hatiku.
“Jadi kau nak cakap aku ni sengsarakan hidup kau lah? Macam tu?” kataku tak berperasaan. Kenapalah aku ada ramai kawan yang jujur sangat?
Shamsul ketawa lagi.
“Bukan! Bukan macam tu! Kau jangan salah faham! Kalau kau sengsarakan hidup aku, jadi kawan pun aku tak mahu! Cuma, kau nak tahu tak? Bila nampak Lee dengan kau tadi, aku rasa kau orang memang dah tercipta untuk satu sama lain...”
“Sejak bila kau jadi ahli nujum ni?”
“Tak perlu jadi ahli nujum. Tengok mata dia dengan mata kau bertentang mata pun dah boleh nampak!”
Aku mencebik. Ingat lagu Bawaku Terbang ke? Mata ke mata, ke hati, hati ke hati?
“Pffft!”
“Aku serious lah!” Shamsul dah mula nak marah bila aku buat tak layan.
“Dia bukan kot. Lagipun, dia tu tak nampak macam berminat je dengan aku. Dengan Islam. Lagipun bak kata mak aku, bukan senang nak bimbing orang baru kalau iman aku pun belum cukup kuat.”
“Bunyi macam kecewa je?”
“Kecewalah juga... Kau pun pernah cakap benda yang sama, kan?”
Shamsul terdiam.
“Jadi, kita macam mana?” aku menukar topik. Tak sedar aku terbuat dia serba salah. Tadi dia pun dah cakap aku tak membahagiakan, lagi nak jaga hati dia. Ceh!
“Macam mana, apa?” Shamsul mengerutkan dahi.
“Kau nak ajak aku kahwin lagi ke?” kata aku dengan senyum sumbing.
Shamsul turut sama tersenyum. Tapi ikhlas sikitlah daripada aku.
“Tak kot... bab hati dengan perasaan ni, tak boleh di paksa-paksa. Tapi aku nak ingatkan! Andai kata memang jodoh kau dengan dia tak ada, kau kena redha! Pada aku, perkahwinan tanpa cinta boleh bahagia. Sebab, bila kita berkahwin, Allah akan campakkan rasa kasih sayang tu. Dan daripada kasih sayang itu akan datangnya cinta,” pesan Shamsul. Dalam pada itu sempat dia mengingatkan aku kalau aku tak ada jodoh dengan Lee tu.
“Iyalah...”
So, bestfriend?”
Aku ketawa. “Selama ni bukan bestfriend?
“Oh? Kita bestfriend ye selama ni?” dia berlakon. Aku ketawa lagi. Sempat aku ketuk kepala dia dengan kotak tisu yang ada dekat atas meja ni. Terima kasih, Shamsul!
***
“Aku tak jadi kahwin dengan Shamsul.”  Itu cerita pertama yang aku khabarkan kepada Nik masa aku telefon dia semalam.
“Kau tolak?” Nik bertanya.
“Tak. Dia yang tarik balik lamaran dia. Jadi, aku tak bersalahlah, kan?”
Nik ketawa. “Habis tu, dah jumpa cinta yang kau cari?”
“Cinta tu dah jumpa. Aku je yang tak rasa cinta Allah pada aku!” kata aku teringatkan definisi cinta yang Nik bebelkan hari tu. Nik ketawa lagi.
“Maksud aku, dah jumpa calon suami ke? Kau ni...” kata Nik geram.
“Sebenarnya, aku suka pada seorang ni. Tapi berbeza budaya dan agama...” aku menghela nafas perlahan. Teringat Lee yang aku tinggalkan hari tu. Mesti dia marah betul dengan aku. Sudahlah tak jelaskan apa-apa
“Kau ada niat nak nikah dengan dia ke?”
Aku ketawa. Rasa segan pula bila Nik bertanya macam tu.
“Niat tu adalah. Tapi macam tak mampu je nak bimbing dia.”
“Bila kau dah ada niat, get yourself prepared. Sabar, tahan keinginan kau. Hidayah tu milik Allah. Kalau ada rezeki, ada jodoh, Allah akan tunjukkan jalan untuk kau dengan dia bersama. Sekarang ni, kau banyakkan solat taubat dan doa. Kalau dia bukan terbaik untuk kau, doa supaya Allah tutup pintu hati kau untuk dia dan doa agar pintu hati kau terbuka untuk lelaki yang soleh yang Allah dah jodohkan untuk kau. Ok?”
“Insya Allah...”
“Banyakkan baca Quran, sebab ia akan membersihkan hati. Ingat Allah banyak-banyak dan ingat mati. Itu akan buat kita lebih motivasi nak beramal. Insya Allah, ada lelaki yang soleh yang Allah ciptakan untuk kau.”
“Kau nak tahu tak Nik?”
“Apa dia?”
“Aku rasa malu dengan diri aku sendiri. Bila bercakap soal pasangan, soal kahwin, soal hati, soal apa-apa yang melibatkan kahwin ni lah, baru aku nak bergantung pada Allah. Baru nak meminta bantuan Allah. Baru nak solat sunatlah, doalah. Sedangkan selama ni, aku duk lepak je buat apa-apa tak pernah kisah Allah suka ke tidak,” luahku.
“Imah, hidayah Allah tu datang dalam macam-macam cara dan bentuk tau. Cuma kita je yang melihat itu sebagai hidayah ataupun kita anggap normal. Hidayah itu kan petunjuk. Dan bila kita dah sedar dan fikir tentang perkara ni, sebenarnya Allah sedang memanggil kita untuk kembali dekat dengan Dia. Dia tak mahu kita jauh. Kita yang kena beraksi sekarang ni!”
“Sebenarnya kalau kita sentiasa melihat sesuatu daripada sudut berbeza, melihat orang makan nasi pun sebenarnya ada hidayah untuk kita. Tapi kalau kita pandang dengan pandangan biasa, semuanya macam biasalah! Orang makan nasi. Ok, dia sedang makan.”
“Tapi kalau melihat dengan kaca mata lain, orang makan nasi, siapa yang memberi dia rezeki? Siapa yang menjadikan beras tu? Siapa yang menghidupkan pokok padi? Siapa yang menurunkan hujan sebagai sumber air untuk pokok padi itu? Siapa yang menggerakkan awan untuk menurunkan hujan itu? Bukankah itu semua petunjuk kebesaran Allah?”
“Sebab itulah hidayah boleh terlepas walaupun sebenarnya hidayah tu dah sepuluh tahun depan mata. Ingatlah, Allah bersama-sama dengan orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya,” kongsinya lagi. Nik ini ada sahaja perkara yang menarik dia nak kongsi.
Thank you, Nik! You are my best friend ever!” jeritan aku hanya disambut dengan ketawa Nik.
“Kita berkawan sampai syurga ye?”
Aku turut sama ketawa. “Ya! Sampai syurga, insya Allah!”
***
Oh Tuhan, tolong aku sampaikan pesan ini padanya
Agar dia tahu bahwa kini aku jatuh cinta
Oh Tuhan, bantu aku temukan cara tuk mendapatkan dia
Karena kini ku tlah jatuh cinta…
Aku menekan tanda pangkah pada tetingkap radio online yang aku buka. Serta-merta lagu Pesan Cinta nyanyian Afgan terhenti. Aku tersenyum. Tiba-tiba aku teringatkan Lee. Rindu juga sebenarnya dekat dia. Komputer pejabat aku tutup dan plug aku tanggalkan. Kemudian, aku mengemas meja yang berserabut dengan segala macam kertas. Selesai mengemas meja, aku mencapai beg bimbit dan juga beg tangan. Kemudian aku berjalan ke luar untuk punch card.
“Balik dulu!” kataku kepada beberapa rakan sekerja yang masih ada. Langkah diatur pula ke kereta yang aku parkir di bawah pokok angsana.
“Sampai hati awak kan!”
Terkejut beruk aku bila ternampak Lee bersandar di pintu kereta aku. Jantung aku berdegup kencang. Alamak! Macam mana aku nak masuk ni?
 “Err... hi?”
“Hai? Fatimah! Awak sedar tak apa awak dah buat pada saya?”
Aku menggeleng. “Apa saya dah buat?” soalku takut-takut.
Lee menghela nafas perlahan. “Bagi saya kunci kereta awak!”
“Hah? Nak buat apa?”
“Bagi sajalah!” marahnya.
“Kereta awak mana?”
“Saya tak ada kereta. Kawan saya hantar tadi.”
“Suruhlah kawan awak ambil balik? Buat apa nak naik kereta saya?”
“Fatimah!” buat ke sekian kalinya Lee menaikkan suara.
Malas mahu bertelagah, aku ikutkan juga permintaan dia.
“Masuklah!” suaranya kembali lembut. Huh! Boleh pun cakap baik-baik! Aku bergerak ke tempat penumpang. Sebaik sahaja aku melabuhkan punggung, pintu kereta aku hempas menunjukkan tanda protes.
“Hempaslah pintu tu kuat-kuat. Awak ingat kereta awak ni muda lagi?” kutuknya.
Aku menarik muka. Sudahlah paksa-paksa aku! Dia kutuk kereta buruk aku ni? Aku seorang je tau yang boleh kutuk!
“Saya rindu dekat awak. Dekat sebulan kita tak jumpa kan?” Lee memulakan perbualan. Kereta dipandu keluar daripada kawasan pejabat dengan cermat.
“Hrm...”
“Awak tak rindu dekat saya ke?”
“Tak!”
Lee mengeluh. Kepalanya digelengkan perlahan. “Awak tahu tak? Kalau orang bercinta, sekurang-kurangnya dia mesej cakap nak break tahu? Awak ni, diam. Saya call tak angkat. Mesej tak reply. Sekali saya dapat tahu awak dengan Shamsul. Hebatlah awak boleh keluar dengan dua lelaki sekali gus!”
Panas telinga aku mendengarkan kata-katanya.
“Bila masa saya keluar dengan awak?” soalku geram. Macam aku ni kaki lelaki je ayat dia tadi.
“Lah? Sejak hari pertama kita lunch bersama dan hari-hari seterusnya, kita dating, kan?”
Is it?”
“Yes!” tegas Lee.
Aku diam. Mata aku pejam rapat-rapat. Nafas di tarik perlahan.
“Saya minta maaf...” kataku akhirnya.
“Kenapa?”
“Bila dengan awak, saya tak nampak our future...” aku teragak-agak untuk bersuara.
Tak tahu bagaimana hendak menyusun kata-kata. Tiba-tiba teringat kata-kata Shamsul. ‘Aku tak ada rasa bahagia, aku tak ada rasa kau adalah orang yang aku cari.’ Ini ke yang dia cuba sampaikan? Tidak nampak masa depan bila dengan aku? Ah! Tak fasal-fasal aku fikirkan tentang Shamsul.
“Jadi sebab tu awak keluar dengan Shamsul pula? Sebab nampak masa depan awak berdua? Awak tak ada rasa nak kahwin dengan saya ke?” soalnya terus.
“Awak juga yang cakap, Islam tak benarkan umat Islam berkahwin dengan pasangan yang bukan Islam...”
“So...?” Lee mengerutkan dahi.
Aku mengetap bibir menahan geram. “Kita berbeza budaya, berbeza agama, awak ingat kita boleh bersama ke?”
“Hah? Apa awak cakap ni?”
“Lee! Saya dah lama sukakan awak. Tapi, awak sikit pun tak tunjukkan yang awak nak serius dengan saya. Apa saya patut buat?!” marahku.
“Awak sepatutnya tanya!” Lee marah aku balik.
“Saya dah faham dengan apa yang berlaku sekarang.” Lee mengeluh.
“Fatimah, nama saya Ariff Lee. People call me, Ali. Kalau awak tanya bila saya convert, saya tak ada jawapan sebab saya seorang Islam sejak zaman nenek moyang saya lagi. Dan kalau awak nak tahu, saya generasi kelapan Islam sebab moyang saya orang Islam di China, kemudian moyang saya berhijrah ke Malaysia dan lahirlah saya di sini. Is that clear enough?”
Aku tergamam. Ah sudah! Selama ni aku ingat dia ni bukan Islam! Astaghfirullah-al-azim...
“Agaknya saya ni tak nampak macam orang Islam sebab tu awak tak dapat tahu. Tapi sekurang-kurangnya awak kena tanya, tahu?!” dia marah lagi.
“Habis tu saya cakap fasal Allah ke fasal ketuhanan ke, awak tak komen apa-apa pun?”
“Lah? Saya nak komen apa? Saya senyum sajalah. Yelah, saya mengakulah, saya ni kurang beriman sikit. Tak macam adik-beradik saya yang lain. Ma dengan daddy kerja dekat Hidayah Centre, saya ni macam tak dapat hidayah pula,” dia merendah diri. Sama seperti ketika dia bercerita tentang tahap pendidikan dia.
Kami sama-sama terdiam.
“Eh! Awak nak bawa saya pergi mana ni?” soalku kalut bila tersedar laluan yang dia bawa menyimpang daripada jalan pulang ke rumah aku.
“Saya nak bawa awak jumpa ma dengan daddy saya!”
“Hah?”
“Mereka singgah sebentar saja. Ada meeting di Hotel Regency. Selepas ni mereka kembali ke ibu kota. Jadi saya nak kenalkan awak dengan mereka sebelum mereka balik.”
“Tapi...”
“Jangan lari daripada saya lagi, Fatimah. Saya rasa, lepas ni saya nak terus meminang awaklah. Saya tak nak nanti awak dengan Shamsul. Boleh?”
“Saya dengan Shamsul tak ada apa-apa. Kami kawan baik.”
“Betul?”
“Ye...”
Yes!” dia sudah menjerit kegirangan.
“Tapi selama ni awak buat macam tak ada apa pun. Tak pernah pun cakap awak suka saya?”
“Saya tak pandailah. Saya ingat bila ajak awak dating awak dah faham. Tapi rupa-rupanya tak. Mujurlah awak tak kahwin dengan Shamsul. Kalau tidak, tak tahulah saya. Sudahlah hari tu awak breakfast dengan dia, kan?”
Aku tersenyum sumbing. “Kami kena uruskan satu projek berdua. Jadi pukul sembilan kena jumpa client. Sebab itulah kami datang awal dan sarapan bersama di pejabat...” kataku separuh jujur. Kisah Shamsul ajak aku kahwin dan fasa kami berkawan baik sebelum bertunang aku selindungkan.
“Hrm... lega hati saya.”
“Tapi sebenarnya dia ada ajak saya kahwin tau!” usikku. Mahu melihat reaksi dia.
What?”
Aku ketawa mengekek. Rasanya sejak hari terakhir aku keluar makan dengan Lee, baru inilah aku ketawa betul-betul daripada hati. Kalau tidak, rasa serba tak kena.
“Hai? Cemburu ke? Dulu saya cakap lelaki pujaan saya kahwin, awak tak ada perasaan pun?”
“Mestilah! Lagipun, lelaki pujaan awak kahwin dengan orang lain. Buat apa saya nak cemburu!” katanya dengan senyuman tersungging di bibir.
“Fatimah, jangan buang masa lagi. Kita kahwin?” ajaknya sekali lagi.
Aku terdiam. Terlalu banyak kejutan petang ini membuatkan aku tak boleh berfikir sepantas selalu. Err... Lee ajak aku kahwin? Aku? Lee? Bukankah selama ini itu yang kau inginkan, Imah? Kini Allah sudah membuka jalan seluas-luasnya untuk aku mendirikan rumah tangga. Kenapa hendak berbelah bahagi? Ah! Setiap keputusan itukan elok jika kita minta bantuan terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya meminta Allah memudahkan dan memberi yang terbaik untuk kami.
“Kita jumpa ibu bapa awak dulu, ya?”
Sure! Mereka tiada masalah. Saya pasti!” Lee menjawab ceria.
***
“Aku terima nikahnya...” lancar Lee menerima akad. Sekali lafaz, aku menjadi surinya yang sah. Aku menghadiahkan senyuman yang paling istimewa buat Lee pada pagi ini. Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan kami daripada awal sehinggalah ke akhirnya. Ada masalah kecil-kecil itu, adatlah. Yang penting, akad nikah selamat berjalan.
Seminggu selepas berjumpa ma dengan daddy Lee, mereka datang pula ke rumah untuk meminang. Serentak dengan itu, kami mengikat janji dan aku bergelar tunangan Lee. Pertunangan kami tidak ambil masa lama. Bila hati sudah yakin dan tetap dengan keputusan yang kami pilih, sebulan saja cukup untuk kami menguruskan segala-galanya. Biarkan kecil, asalkan diberkati. Itu kata Lee bila aku ada masa merungut dengan kesuntukan masa.
“Kita solat sunat dulu?”
Aku menggangguk. Langkah di atur mengikut Lee di hadapan. Akhirnya aku temui juga cinta yang aku cari. Yang menariknya, satu aku cari, dua aku jumpa. Cinta kepada Ilahi dan cinta kepada suami. Alhamdulillah. Barangsiapa dicintai Allah, nescaya dia akan dicintai oleh penduduk langit dan bumi. Mudah-mudahan kami antara hamba yang dicintai Allah. Amin...
-Tamat-

Assalamualaikum. Setelah sekian lama akhirnya siap juga 1 cerpen untuk warming up mood menulis dan mengasah balik skil-skil yang dah berkarat. Cerita ini mungkin biasa-biasa, atau bosan, atau huduh gila pada sesetengah daripada kita. Tak apa, saya faham. Mohon komennya di mana saya boleh perbaiki lagi mutu penulisan saya ye. Terima kasih kerana sudi membaca. (^^,)v

12 comments:

Anonymous said...

emm.... akhirnya tamat jua cerita nie... tertunggu2 juga lerr mcmana ending...with a sweet ending, i luv it!!!!!

-sj-

SimPle_Mzrins said...

Best. Penuh kejutan..Dan bukan sekadar cerita sahaja. Tapi ada pengisiannya. Moga terus diberi idea dalam berkarya..^_^

Anonymous said...

Best2. Banyak pengisian. Double thumbs up! :)

kak na said...

tq utk citer yg bnyk pengajaran ini,tahniah cik writer

Kak Sue said...

besttt sangat banyak pengajaran yg boleh diambil..
anak ayam meniti titi
Ariff Lee tetap dihati...
hehehe

ciknie said...

x sgka ah lee 2 islam..tp mmang best crita nie.sy sngat stuju dgn prenggan akhir 2

Anonymous said...

Haha betul2 tekejut yg ah lee tu rupanya dh Islam. Dannnnnnnnnn lagi satu... Hanis ended up ngan khairul?? Wah wah wahhh ingat hanis dgn bos dia yg nama syamir or syamil tuu.. Lagi satu surprise.

Anonymous said...

Waaa, nice story. Ada banyak pengajaran. I love it :)

Anonymous said...

Terbaiklah

Anonymous said...

Sukkaaaa

Abby Sha said...

The best cerpen luv it

Abby Sha said...

The best cerpen luv it