::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

20 June 2013

Cerpen: Aku Mencari Cinta 03

Dalam Ah Lee memeriksa keadaan kereta aku, aku duduk di bangku kayu yang ada di situ. Mata memerhatikan Ah Lee yang leka dengan kerja-kerjanya. Sempat dia bercakap-cakap dengan lelaki yang aku tegur sewaktu baru sampai tadi. Tiba-tiba lelaki itu datang dekat aku dan hulurkan satu botol kecik air gas 100 Plus yang dia ambil daripada dalam pejabat.
“Bos kasi,” kata dia dua patah sebelum kembali menyambung tugas dia.

Aku mengerutkan dahi sambil membelek-belek botol air yang aku rasa masih baru. Dia ni, tak ada motif lain kan? Iyalah, dah ramai yang pesan, kalau ambil air daripada orang yang kita tak kenal, kita kena berhati-hati. Zaman sekarang ni, macam-macam cara orang boleh buat untuk pedajal kita. Sedangkan air kotak pun orang boleh suntik dengan dadah lepas tu gam balik dekat bahagian lipatan kotak tu. Tapi, melihatkan rupa paras Ah Lee, aku rasa yakin pula dia ni tak ada niat tak baik. Amboi, aku ni pun, mentang-mentanglah Ah Lee tu ada rupa, belum dia bermulut manis dengan aku, aku dah tergoda. Senang betul nak goda aku ni sebenarnya. Aku tergeleng-geleng perlahan.
“Air tu baru lagilah! Jangan risau, saya tak letak dadah dalam tu, kalau awak itu yang risau.”
            Aku tersentak. Mata kembali memandang Ah Lee yang berada di sebelah kereta aku.
“Err, bukan itu yang saya fikirkan...”
“Habis tu yang awak tergeleng-geleng tu?”
Aku menggigit bibir. Apa ni alasan aku nak bagi? “Err...”
“Tak apalah. By the way, jom lunch?”
Mata kami sama-sama terarah ke arah jam yang terletak di dinding, atas pintu masuk ke dalam pejabat. Dua belas setengah. Tak sedar masa berlalu pantas sekali.
“Kereta awak tak ada apa masalah. Battery masih ok. Saya dah servis sikit. Rasanya ok je. Boleh guna sepuluh tahun lagi!” dia mengusik.
Spontan aku menarik muncung. Macam perli aku je. Tiba-tiba aku terasa seolah-olah kami sudah lama kenal pula bila aku dah pandai merajuk manja macam tu. Imah, behave!
“Hahahaha! Kelakar awak buat muka macam tu. Dahlah, jom kita makan. Saya lapar!” dia dah berjalan melulu ke depan. “Saya nak pergi bilik air sekejap. Tunggu!”
Aku mengangguk. Tidak lama kemudian, Ah Lee muncul kembali dengan senyuman mesra.
“Ok, jom!” kata dia sebaik sahaja keluar daripada bilik air. Aku lihat, tangan dia pun dah bersih.
“Eh, tak apa ke tinggalkan bengkel ni macam tu je? Beritahulah siapa-siapa sebelum pergi?” aku mengingatkan.
“Tak apa. Saya bos dekat sini!” Ah Lee mengenyitkan mata. Aku menggeleng. Sabar ajelah dengan apek seorang ni. Tapi, comellah dia kenyit mata tadi. Hihihi! Habislah! Aku dah jatuh cinta!
***
“Ah Lee, umur awak berapa ye?”
Ah Lee yang baru hendak menyuapkan nasi berlaukkan ikan goreng terhenti. Muka dia diangkat untuk memandang aku. “Awak nak berkenalan dengan saya ke?”
Merah muka aku bila mendengarkan soalan dia. “Iyalah! Saya nak juga tahu saya tengah makan dengan siapa sekarang ni. Buatnya awak ni ahli kongsi gelap ke, boleh saya jauhkan diri siap-siap!”
“Awak rasa?” Ah Lee menyoal. Kata-kata aku yang panjang lebar sikit pun dia tak komen. Ceh!
“Empat puluh!” kataku sengaja hendak mengusik dia.
“Awak ni... saya baru dua puluh tahun awak cakap saya empat puluh!” Ah Lee mencebik.
Aku tergamam. Seriously dia dua puluh? Alamak! Tak jadi nak ajak dia kahwin kalau dia lagi muda daripada aku! Berangan tak sudah aku ni.
“Awak dua puluh tahun? Hebatlah awak ni! Muda-muda dah ada bengkel sendiri!”
Ah Lee yang sedang mengunyah tersedak. Sebaik saja dia tekaknya kembali normal, dia ketawa besar.
“Awak percaya? Hahahaha! Saya dah tiga puluh tahunlah!” kata dia lagi. Dan dia masih lagi ketawa. Ceh! Hampeh betul apek ni, aku pula yang terkena.
“Awak?”
“Dua puluh lima!” kataku ceria. Rasa masih muda.
“Tapi tak ada perniagaan sendirilah macam awak!”
Ah Lee tersenyum. “Bengkel saya tu, daddy saya yang banyak bantu. Tahun ni, dah lima tahun umur bengkel tu. Saya belajar tak pandai. Daddy hantar pergi kemahiran. My siblings semua masuk u, saya seorang saja yang tak.”
“Oh....” aku mengangguk faham. Siapa kata orang yang tidak berjaya dalam pelajaran, tak boleh berjaya dalam hidup? Aku yang ada ijazah pun jadi kuli je. Sudahlah kerja susah, gaji pun ciput. Nak kahwin dengan tokey lah kalau macam ni. Tokey workshop!.
“Tapi awak dah berjaya sekarang!”
“Belum lagi. Banyak lagi nak kena kejar....” dia senyum lagi.
Aku rakam muka dia yang tersenyum tu banyak-banyak di dalam kepala. Lepas ni, tak ada lagi dah pertemuan aku dengan dia kecuali kalau kereta aku rosak.
“Esok, saya pergi pejabat awak pula, ya? Kita lunch kat sana.”
Aku tergamam. Baru aku berfikir bila agaknya kami akan berjumpa lagi, dia sudah memberi jawapan. Ada chemistry kami berdua ya?
“Ok! Jumpa esok. Saya rest pukul 1. Awak nak datang pukul berapa?”
“Nanti dah sampai saya call.”
“Eh? Awak ada ke nombor saya?”
“Saya nak mintalah ni...”
Aku senyum. Tanpa teragak-agak aku menyebutkan nombor aku kepada dia. Lepas buat missed call, aku simpan nombor dia di dalam telefon. Ali sayang. Aku taip namanya. Kemudian aku ketawa sendiri.
“Jangan lupa date kita esok ya!” katanya sebelum aku pulang ke pejabat. Jantung aku bergetar lebih hebat. Kalau ini namanya cinta, habis tu yang aku rasa bila pandang Zhafran itu apa? Bukan cinta juga ke namanya? Takkanlah sekelip mata terus hati aku berubah?
***
“Baik pula kau dengan Ah Lee tu eh?” Shamsul menyoal. Aku dapat rasa ada terselit rasa tidak puas hati di situ.
“Lah... kami berkawanlah! Salah ke?” soalku selamba. Siapa Shamsul hendak menghalang aku daripada berkawan dengan Ah Lee?
“Salah tu tidak. Tapi aku risaulah. Kau jangan tangkap cintan dengan dia sudah!”
“Kenapa? Tak boleh ke?”
“Boleh tu boleh. Tapi kau sanggup ke nak bimbing dia? Berat tau tugas nak bimbing saudara baru kalau tak betul-betul!” dia mengingatkan.
Aku terdiam. Lama memikirkan apa yang Shamsul katakan. Ah! Kerana cinta, semuanya bisa!
“Tak jadi masalah kalau dia sanggup!” kataku yakin. Sedangkan, Ah Lee sedikit pun tidak memberi apa-apa hint berkenaan hati dan perasaan. Cuma, kami selesa bila berkawan. Tapi, bukankah itu menunjukkan kami serasi sebagai kawan saja? Aku saja yang terperasan lebih-lebih. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
“Amboi... macam memang ada hati je dengan dia? Aku ni ajak kau kahwin dah lebih sepuluh kali, kau pandang sepi je...”
Ketawa besar aku dengar kata-kata Shamsul.
“Kau ajak aku serious ke, main-main?”
“Ada ke orang cakap fasal ni main-main?” dia membulatkan mata. Aku ketawa saja melihatkan gelagat dia.
“Yelah, yelah... nanti aku fikirkan...”
Shamsul mengangguk perlahan. Bersetuju dengan permintaan aku. Eh, maknanya sekarang, Shamsul melamar aku lah kan? Cuma tak rasmi je? Isk! Aku yang main-main fasal kahwin sebenarnya! Bila nak matang ni, Imah?
***
Hujung minggu itu aku pulang ke rumah setelah hampir sebulan tidak pulang ke kampung. Sedang aku berehat-rehat sambil menonton televisyen, mak menyuakan aku beberapa keping surat yang diposkan ke alamat rumah.
“Surat Imah ke?” soalku keliru.
“Eh, bukan. Surat adik. Saja mak bagi kamu ni...” mak memerli.
Aku ketawa kecil. Satu persatu surat aku buka. Selain daripada bil-bil bulanan, aku tertarik melihat dua sampul surat yang cantik dihiasi corak berwarna emas. Laju aku membuka kad undangan perkahwinan yang aku terima. Tak sabar nak melihat nama kawan aku yang bakal melangkah ke alam baru. Yang pertama, Osha dan Alvin. Yang kedua,  Atiqah dan Zhafran.
Jantung rasa berdegup lebih kencang daripada biasa. Atiqah dan Zhafran? Zhafran? Kecewa rasanya bila melihatkan nama lelaki pujaan aku tertulis elok di atas kad perkahwinan Atiqah. Sampainya hati Atiqah buat aku begini! Bukan setakat pertunangan antara dia dengan Zhafran tak diberitahu. Ini tiba-tiba saja kad kahwin mereka dah sampai. Sampainya hati kawan baik aku tu!
“Siapa yang kahwin?” soal mak bila lama aku terpaku dengan kad Atiqah di tangan.
“Lelaki pujaan orang, mak! Dia nak kahwin dengan kawan baik orang!” kataku geram.
“Lah? Dia tahu tak kamu suka lelaki tu?”
Aku mengangguk lemah. Tapi kenapa rasa sakit hati ini tak sakit mana. Aku cuma sakit hati bila perihal perkahwinan mereka dirahsiakan daripada aku. Itu saja. Aku rasa hati aku dah tidak ada pada Zhafran lagi. Ke sebab aku dah jatuh cinta pada Ah Lee?
“Tahu...”
Mak menghela nafas perlahan. “Tak apalah. Tak ada jodohlah tu. Nanti mak carikan calon suami untuk kamu. Kamu setuju?”
Aku menjeling mak geram. Mak ni! Hati aku tengah kecewa dengan Atiqah, boleh pula dia nak carikan calon suami. Tanpa sedar kad Atiqah aku renyuk. Geram dengan mak. Bila tersedar kad Atiqah sudah hilang serinya, aku terjerit!
“Alah! Dah tak cantik! Sudahlah majlis kawan baik. Alahai...!” marahku kepada diri sendiri.
Mak melihat aku dengan dahi berkerut. “Lah? Bukan kamu yang renyukkan sebab marahkan kawan baik kamu kahwin dengan lelaki pujaan kamu ke?”
Aku menggeleng perlahan. Jari aku lurutkan ke atas kad itu, berharap kesan renyuk hilang.
“Eh! Biarlah dia nak kahwin dengan siapa pun. Bukan laki orang pun. Lelaki pujaan je pun...” kataku.
Mak mengerutkan dahi. Kemudian dia menggeleng perlahan.
“Tak fahamlah mak dengan kamu ni. Jangan-jangan kamu dah ada kawan tak? Cepat-cepat bawa jumpa mak dengan abah! Kamu bukan makin muda...!”
“Mak, kalau kawan orang, orang Cina... mak terima tak?”
Mak merenung muka aku, meminta kepastian. Aku hanya ketawa.
“Bukan senang nak bimbing orang baru kalau iman kita pun belum cukup kuat! Lagi pula kalau kembali kepada Islam sebab cinta. Tak ke mana! Hilang cinta dekat kamu, hilang cinta pada agama. Kamu kena fikir masak-masak.”
Aku menelan air liur. Pandangan yang mak berikan, sama seperti apa yang Shamsul katakan. Apa? Aku ni nampak tak cukup beriman ke nak bimbing si Ah Lee tu?

2 comments:

Dikna said...

Best sangat ! :). Aku mencari cinta

Kak Sue said...

CEPAT SAMBUNGGGG....