Dalam Ah Lee memeriksa keadaan kereta aku, aku
duduk di bangku kayu yang ada di situ. Mata memerhatikan Ah Lee yang leka
dengan kerja-kerjanya. Sempat dia bercakap-cakap dengan lelaki yang aku tegur
sewaktu baru sampai tadi. Tiba-tiba lelaki itu datang dekat aku dan hulurkan
satu botol kecik air gas 100 Plus yang dia ambil daripada dalam pejabat.
“Bos kasi,” kata dia dua patah sebelum kembali
menyambung tugas dia.
Aku mengerutkan dahi sambil membelek-belek
botol air yang aku rasa masih baru. Dia ni, tak ada motif lain kan? Iyalah, dah
ramai yang pesan, kalau ambil air daripada orang yang kita tak kenal, kita kena
berhati-hati. Zaman sekarang ni, macam-macam cara orang boleh buat untuk
pedajal kita. Sedangkan air kotak pun orang boleh suntik dengan dadah lepas tu
gam balik dekat bahagian lipatan kotak tu. Tapi, melihatkan rupa paras Ah Lee,
aku rasa yakin pula dia ni tak ada niat tak baik. Amboi, aku ni pun,
mentang-mentanglah Ah Lee tu ada rupa, belum dia bermulut manis dengan aku, aku
dah tergoda. Senang betul nak goda aku ni sebenarnya. Aku tergeleng-geleng
perlahan.
“Air tu baru lagilah! Jangan risau, saya tak
letak dadah dalam tu, kalau awak itu yang risau.”
Aku
tersentak. Mata kembali memandang Ah Lee yang berada di sebelah kereta aku.
“Err, bukan itu yang saya fikirkan...”
“Habis tu yang awak tergeleng-geleng tu?”
Aku menggigit bibir. Apa ni alasan aku nak
bagi? “Err...”
“Tak apalah. By the way, jom lunch?”
Mata kami sama-sama terarah ke arah jam yang
terletak di dinding, atas pintu masuk ke dalam pejabat. Dua belas setengah. Tak
sedar masa berlalu pantas sekali.
“Kereta awak tak ada apa masalah. Battery
masih ok. Saya dah servis sikit. Rasanya ok je. Boleh guna sepuluh tahun lagi!”
dia mengusik.
Spontan aku menarik muncung. Macam perli aku
je. Tiba-tiba aku terasa seolah-olah kami sudah lama kenal pula bila aku dah
pandai merajuk manja macam tu. Imah, behave!
“Hahahaha! Kelakar awak buat muka macam tu.
Dahlah, jom kita makan. Saya lapar!” dia dah berjalan melulu ke depan. “Saya
nak pergi bilik air sekejap. Tunggu!”
Aku mengangguk. Tidak lama kemudian, Ah Lee
muncul kembali dengan senyuman mesra.
“Ok, jom!” kata dia sebaik sahaja keluar
daripada bilik air. Aku lihat, tangan dia pun dah bersih.
“Eh, tak apa ke tinggalkan bengkel ni macam tu
je? Beritahulah siapa-siapa sebelum pergi?” aku mengingatkan.
“Tak apa. Saya bos dekat sini!” Ah Lee
mengenyitkan mata. Aku menggeleng. Sabar ajelah dengan apek seorang ni. Tapi,
comellah dia kenyit mata tadi. Hihihi! Habislah! Aku dah jatuh cinta!
***
“Ah Lee, umur awak berapa ye?”
Ah Lee yang baru hendak menyuapkan nasi
berlaukkan ikan goreng terhenti. Muka dia diangkat untuk memandang aku. “Awak
nak berkenalan dengan saya ke?”
Merah muka aku bila mendengarkan soalan dia.
“Iyalah! Saya nak juga tahu saya tengah makan dengan siapa sekarang ni. Buatnya
awak ni ahli kongsi gelap ke, boleh saya jauhkan diri siap-siap!”
“Awak rasa?” Ah Lee menyoal. Kata-kata aku
yang panjang lebar sikit pun dia tak komen. Ceh!
“Empat puluh!” kataku sengaja hendak mengusik
dia.
“Awak ni... saya baru dua puluh tahun awak
cakap saya empat puluh!” Ah Lee mencebik.
Aku tergamam. Seriously dia dua puluh?
Alamak! Tak jadi nak ajak dia kahwin kalau dia lagi muda daripada aku! Berangan
tak sudah aku ni.
“Awak dua puluh tahun? Hebatlah awak ni!
Muda-muda dah ada bengkel sendiri!”
Ah Lee yang sedang mengunyah tersedak. Sebaik
saja dia tekaknya kembali normal, dia ketawa besar.
“Awak percaya? Hahahaha! Saya dah tiga puluh
tahunlah!” kata dia lagi. Dan dia masih lagi ketawa. Ceh! Hampeh betul apek ni,
aku pula yang terkena.
“Awak?”
“Dua puluh lima!” kataku ceria. Rasa masih
muda.
“Tapi tak ada perniagaan sendirilah macam
awak!”
Ah Lee tersenyum. “Bengkel saya tu, daddy
saya yang banyak bantu. Tahun ni, dah lima tahun umur bengkel tu. Saya belajar
tak pandai. Daddy hantar pergi kemahiran. My siblings semua masuk
u, saya seorang saja yang tak.”
“Oh....” aku mengangguk faham. Siapa kata
orang yang tidak berjaya dalam pelajaran, tak boleh berjaya dalam hidup? Aku
yang ada ijazah pun jadi kuli je. Sudahlah kerja susah, gaji pun ciput. Nak
kahwin dengan tokey lah kalau macam ni. Tokey workshop!.
“Tapi awak dah berjaya sekarang!”
“Belum lagi. Banyak lagi nak kena kejar....”
dia senyum lagi.
Aku rakam muka dia yang tersenyum tu
banyak-banyak di dalam kepala. Lepas ni, tak ada lagi dah pertemuan aku dengan
dia kecuali kalau kereta aku rosak.
“Esok, saya pergi pejabat awak pula, ya? Kita lunch
kat sana.”
Aku tergamam. Baru aku berfikir bila agaknya
kami akan berjumpa lagi, dia sudah memberi jawapan. Ada chemistry kami berdua
ya?
“Ok! Jumpa esok. Saya rest pukul 1.
Awak nak datang pukul berapa?”
“Nanti dah sampai saya call.”
“Eh? Awak ada ke nombor saya?”
“Saya nak mintalah ni...”
Aku senyum. Tanpa teragak-agak aku menyebutkan
nombor aku kepada dia. Lepas buat missed call, aku simpan nombor dia di
dalam telefon. Ali sayang. Aku taip namanya. Kemudian aku ketawa sendiri.
“Jangan lupa date kita esok ya!”
katanya sebelum aku pulang ke pejabat. Jantung aku bergetar lebih hebat. Kalau
ini namanya cinta, habis tu yang aku rasa bila pandang Zhafran itu apa? Bukan
cinta juga ke namanya? Takkanlah sekelip mata terus hati aku berubah?
***
“Baik pula kau dengan Ah Lee tu eh?” Shamsul
menyoal. Aku dapat rasa ada terselit rasa tidak puas hati di situ.
“Lah... kami berkawanlah! Salah ke?” soalku
selamba. Siapa Shamsul hendak menghalang aku daripada berkawan dengan Ah Lee?
“Salah tu tidak. Tapi aku risaulah. Kau jangan
tangkap cintan dengan dia sudah!”
“Kenapa? Tak boleh ke?”
“Boleh tu boleh. Tapi kau sanggup ke nak
bimbing dia? Berat tau tugas nak bimbing saudara baru kalau tak betul-betul!”
dia mengingatkan.
Aku terdiam. Lama memikirkan apa yang Shamsul
katakan. Ah! Kerana cinta, semuanya bisa!
“Tak jadi masalah kalau dia sanggup!” kataku
yakin. Sedangkan, Ah Lee sedikit pun tidak memberi apa-apa hint
berkenaan hati dan perasaan. Cuma, kami selesa bila berkawan. Tapi, bukankah
itu menunjukkan kami serasi sebagai kawan saja? Aku saja yang terperasan
lebih-lebih. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
“Amboi... macam memang ada hati je dengan dia?
Aku ni ajak kau kahwin dah lebih sepuluh kali, kau pandang sepi je...”
Ketawa besar aku dengar kata-kata Shamsul.
“Kau ajak aku serious ke, main-main?”
“Ada ke orang cakap fasal ni main-main?” dia
membulatkan mata. Aku ketawa saja melihatkan gelagat dia.
“Yelah, yelah... nanti aku fikirkan...”
Shamsul mengangguk perlahan. Bersetuju dengan
permintaan aku. Eh, maknanya sekarang, Shamsul melamar aku lah kan? Cuma tak
rasmi je? Isk! Aku yang main-main fasal kahwin sebenarnya! Bila nak matang ni,
Imah?
***
Hujung minggu itu aku pulang ke rumah setelah
hampir sebulan tidak pulang ke kampung. Sedang aku berehat-rehat sambil
menonton televisyen, mak menyuakan aku beberapa keping surat yang diposkan ke
alamat rumah.
“Surat Imah ke?” soalku keliru.
“Eh, bukan. Surat adik. Saja mak bagi kamu
ni...” mak memerli.
Aku ketawa kecil. Satu persatu surat aku buka.
Selain daripada bil-bil bulanan, aku tertarik melihat dua sampul surat yang
cantik dihiasi corak berwarna emas. Laju aku membuka kad undangan perkahwinan
yang aku terima. Tak sabar nak melihat nama kawan aku yang bakal melangkah ke
alam baru. Yang pertama, Osha dan Alvin. Yang kedua, Atiqah dan Zhafran.
Jantung rasa berdegup lebih kencang daripada
biasa. Atiqah dan Zhafran? Zhafran? Kecewa rasanya bila melihatkan nama lelaki
pujaan aku tertulis elok di atas kad perkahwinan Atiqah. Sampainya hati Atiqah
buat aku begini! Bukan setakat pertunangan antara dia dengan Zhafran tak diberitahu.
Ini tiba-tiba saja kad kahwin mereka dah sampai. Sampainya hati kawan baik aku
tu!
“Siapa yang kahwin?” soal mak bila lama aku
terpaku dengan kad Atiqah di tangan.
“Lelaki pujaan orang, mak! Dia nak kahwin
dengan kawan baik orang!” kataku geram.
“Lah? Dia tahu tak kamu suka lelaki tu?”
Aku mengangguk lemah. Tapi kenapa rasa sakit
hati ini tak sakit mana. Aku cuma sakit hati bila perihal perkahwinan mereka
dirahsiakan daripada aku. Itu saja. Aku rasa hati aku dah tidak ada pada
Zhafran lagi. Ke sebab aku dah jatuh cinta pada Ah Lee?
“Tahu...”
Mak menghela nafas perlahan. “Tak apalah. Tak
ada jodohlah tu. Nanti mak carikan calon suami untuk kamu. Kamu setuju?”
Aku menjeling mak geram. Mak ni! Hati aku
tengah kecewa dengan Atiqah, boleh pula dia nak carikan calon suami. Tanpa
sedar kad Atiqah aku renyuk. Geram dengan mak. Bila tersedar kad Atiqah sudah
hilang serinya, aku terjerit!
“Alah! Dah tak cantik! Sudahlah majlis kawan
baik. Alahai...!” marahku kepada diri sendiri.
Mak melihat aku dengan dahi berkerut. “Lah? Bukan
kamu yang renyukkan sebab marahkan kawan baik kamu kahwin dengan lelaki pujaan
kamu ke?”
Aku menggeleng perlahan. Jari aku lurutkan ke
atas kad itu, berharap kesan renyuk hilang.
“Eh! Biarlah dia nak kahwin dengan siapa pun. Bukan
laki orang pun. Lelaki pujaan je pun...” kataku.
Mak mengerutkan dahi. Kemudian dia menggeleng
perlahan.
“Tak fahamlah mak dengan kamu ni.
Jangan-jangan kamu dah ada kawan tak? Cepat-cepat bawa jumpa mak dengan abah!
Kamu bukan makin muda...!”
“Mak, kalau kawan orang, orang Cina... mak
terima tak?”
Mak merenung muka aku, meminta kepastian. Aku
hanya ketawa.
“Bukan senang nak bimbing orang baru kalau iman
kita pun belum cukup kuat! Lagi pula kalau kembali kepada Islam sebab cinta.
Tak ke mana! Hilang cinta dekat kamu, hilang cinta pada agama. Kamu kena fikir
masak-masak.”
Aku menelan air liur. Pandangan yang mak
berikan, sama seperti apa yang Shamsul katakan. Apa? Aku ni nampak tak cukup
beriman ke nak bimbing si Ah Lee tu?
2 comments:
Best sangat ! :). Aku mencari cinta
CEPAT SAMBUNGGGG....
Post a Comment