Kasih Suci 11
Aku membelek telefon bimbit buat ke sekian kalinya. Masih
tiada apa-apa mesej daripada Thaqif pada hari ini. Selalunya dia pagi-pagi lagi
dia akan menghantar mesej selamat pagi dan berjanji untuk makan tengahari di
mana-mana yang dia mahu. Dan pukul satu kereta dia sudah menunggu di hadapan
pejabat aku untuk mengambil aku.
Nak kata projeknya sudah selesai, macam belum. Kalau tak
silap masih berbaki dua bulan untuk dia berulang ke tapak projek dan memastikan
kerja-kerja berjalan seperti yang dirancang. Tapi kenapa dia tak mesej aku
apa-apa hari ni? Aku melihat masa terakhir dia online. Baru seminit yang lepas. Jari aku laju berlari di atas
skrin. Hendak menaip sesuatu.
Sedar tak sepatutnya aku yang menghubungi dia, ditambah
dengan Izzat yang sudah mula menganggap yang bukan-bukan, mungkin dah sampai
masanya untuk aku kurangkan interaksi aku dengan Thaqif. Aku mengeluh perlahan.
Telefon aku letakkan kembali ke atas meja.
“Hai Ila? Termenungkan apa?” tegur bos aku sewaktu aku
termenung memandang skrin monitor walaupun portal yang digunakan untuk membuat
kerja sudah terpampang di skrin.
Aku sedikit tersentak dengan teguran bos aku. Hilang
terus perkara yang bermain di fikiran tadi. Malu sendiri bila leka sewaktu masa
bekerja.
“Sorry bos...” ujarku
malu-malu alah.
“Hidup kita tak pernah lari daripada masalah, Ila. Tapi,
cubalah jangan campur adukkan urusan kerja dengan urusan perbadi,” pesan bos
aku sebelum dia berlalu ke pantri. Bos aku ni, tegurannya lembut. Tapi jangan
ada berani pijak kepala dia. Kalau nak tengok dia mengamuk, buatlah.
Izzat balik kan hari tu? Tak cakap dekat akak pun... –
Kak Win-
Mesej daripada Kak Win yang sedang cuti bersalin aku baca
sekali lalu. Malas rasanya hendak membalas bila mesej itu berkisarkan tentang
Izzat. Mengingatkan peristiwa sebelum dia pulang hari tu, tawar terus hati aku
terhadap dia.
Oh. Ha’ah. Dia balik sekejap je, Kak Win... –Suhaila-
Iya, ke? Patutlah tak singgah rumah akak. Selalunya kalau
balik, mesti dia datang cari Abang Nuar walaupun sekejap. – Kak Win-
Aku membaca mesej itu lalu keluar daripada aplikasi
WhatsApp yang digunakan untuk berhubung dengan lebih mudah. Laju jari jemari
aku berlari di atas skrin untuk membuka galeri gambar. Gambar kandid yang
dihantar Izzat aku buka. Izzat... saya yang nampak serasi dengan Thaqif ataupun
awak yang sudah berubah hati?
Tapi kalau benar Izzat yang berubah hati, siapa aku
hendak memaksa dia menerima aku? Ditambah pula dengan kekurangan aku yang kami
berdua tahu, pasti sedikit sebanyak perasaan dia turut teruji bila hari
pernikahan semakin hampir. Andai kata berkahwin dengan aku tidak dikurniakan
anak, lebih baik dia memilih Nabihah yang aku yakin tiada apa-apa masalah untuk
mengandung.
Terpandangkan bos sudah kembali, cepat-cepat aku menekan
butang ‘home’ untuk keluar daripada
gambar aku dengan Thaqif berbual mesra sewaktu mencari barang hantaran hari tu.
Ada bos aku tegur lagi bila aku leka dengan telefon pula. Mujurlah dia tak
berkata apa-apa sewaktu lalu di sebelah meja aku. Hanya sebuah senyuman yang
dia hadiahkan dan secara tidak langsung membuatkan hati aku sedikit tenang.
***
Hujung minggu itu aku pergi ke rumah Mak Cik Jas. Sengaja
aku datang ziarah kedua ibu bapa Izzat. Datang kali ini, aku membawa sedikit
kuih-muih yang aku beli di taman perumahan tadi. Nak beli makanan berat, aku
tahu Mak Cik Jas selalu masak sarapan setiap hari.
“Sunyi je rumah ni. Macam ada sesuatu yang kurang
pula...” ujarku sebaik saja bersalam dengan Mak Cik Jas. Mak Cik Jas tersenyum
simpul.
“Irfan tak ada. Thaqif ambil balik kerja malam tadi...”
balas Mak Cik Jas lembut. Kuih-muih yang aku bawa dia salin ke dalam pinggan.
Dahi aku berkerut mendengarkan penjelasan Mak Cik Jas.
Thaqif ambil Irfan?
“Kenapa Abang Thaqif ambil Irfan, mak cik? Dia nak bawa
Irfan ke mana?”
Lama Mak Cik Jas diam sebelum menjawab soalan aku.
Secawan Milo panas dia hulurkan pada aku walaupun aku menolak.
“Dia cakap, dia nak belajar untuk jaga Irfan. Tak nak
harapkan mak cik sangat...”
Aku terdiam. Pelik. Selama ni Thaqif nampak senang sekali
bila Mak Cik Jas menjaga Irfan. Kenapa tiba-tiba dia nak belajar jaga sendiri?
Dah ada pengganti arwah Kak Liana pula ke?
“Dia nak belajar uruskan anak dialah agaknya. Eloklah
tu...” sambung Mak Cik Jas dengan senyuman. Bagai tahu-tahu saja apa yang aku
fikirkan.
Seperti biasa, Mak Cik Jas akan menemani aku bersarapan
di dapur. Pak Cik Yunus pula akan melayan pokok-pokok di laman rumah
“Dia dah ada pengganti agaknya...” ujarku
perlahan sehingga menyebabkan Mak Cik Jas merenung aku lama.
“Maaf
mak cik. Ila tak patut masuk campur urusan keluarga mak cik. Itu cuma pendapat
Ila saja...” kataku serba-salah. Sudahlah pengganti yang aku maksudkan itu
bakal menggantikan arwah anak Mak Cik Jas. Entah apalah fikir Mak Cik Jas bila aku
cakap begitu.
“Tak
apa... mungkin betul juga cakap Ila. Lagipun, Thaqif tu muda lagi. Eloklah
kalau dia mulakan hidup baru kalau betul dah ada pengganti. Cuma mak cik harap,
biarlah pengganti Liana tu betul-betul sayangkan Irfan. Risau mak cik kalau perempuan
tu tak boleh terima Thaqif dengan Irfan...” besar harapan Mak Cik Jas. Aku
mengangguk perlahan. Milo yang mula sejuk aku minum perlahan. Fikiran masih
penuh dengan perihal Thaqif dan Irfan.
“Ila
dengan Izzat macam mana?”
Aku
terbatuk kecil bila tersedakkan air Milo yang sedang aku minum. “Okey je mak
cik. Kenapa?”
Mak Cik
Jas senyum meleret. “Baguslah... Kahwin ni, bukan semata-mata untuk hubungan
intim. Kita kena belajar kenal hati budi bakal pasangan kita. Cari titik
keserasian antara kita dengan pasangan kita. Sebab lelaki dengan perempuan,
pemikiran berbeza. Minat berbeza. Cara bersosial berbeza. Jadi, kena
bertolak-ansur bila dengan pasangan nanti. Sama-sama belajar memberi dan
menerima. Bila dah yakin, kita kena ingat... pasangan kita ni anugerah daripada
Tuhan. Pasangan kita itulah yang terbaik untuk kita. Jangan nanti bila dah
kahwin, ada bergaduh... bermasam muka... terus datang perasaan yang kita
tersalah buat pilihan...” panjang lebar Mak Cik Jas menasihati aku.
Aku terkelu. Perasaan aku bercampur baur.
“Mak cik
cakap ni, bukan hanya pada Ila. Pada arwah Liana pun, mak cik pesan perkara
yang sama. Pada Izzat pun, mak cik dah cakap sebelum dia balik ke Sarawak hari
tu. Kena rendahkan ego. Kena belajar terima kekurangan pasangan. Kalau ada yang
tak puas hati, bincang elok-elok. Tegur dengan hikmah. Insya Allah, pasangan
kita boleh terima. Dan yang paling penting, jaga hubungan dengan Allah s.w.t.
sebab, kalau yang satu ni tak jaga, semua benda kita buat akan jadi tak
kena...” tambah Mak Cik Jas lagi.
Aku hanya mampu mengangguk. Kata-katanya semua benar
belaka. Tak tahu hendak berkata apa, aku sekadar menghabiskan minuman di dalam
cawan. Mak Cik Jas tak henti-henti memerhatikan aku. Bagai boleh perasaan aku
yang bercampur-baur bila mengingatkan perihal Izzat.
***
Aku
pulang ke rumah sewa sebaik saja makan tengahari dan menunaikan solat Zohor di
rumah Mak Cik Jas. Selepas bersarapan pagi tadi, Mak Cik Jas mengajak aku ke
pasar untuk membeli barang dapur. Mujurlah aku jenis ke dapur juga dan membantu
mak kalau di kampung. Tak adalah terpinga-pinga bila Mak Cik Jas sesekali
meminta aku mendapatkan rempah-ratus dan barangan basah untuk dia. Mujur!
Sebaik
saja tiba di rumah sewa, aku hanya berehat dengan berbaring di atas katil.
Dalam pada itu, aku melayari Facebook dengan menggunakan telefon. Boleh pula
gambar pertama di timeline merupakan
gambar Izzat bersama geng Kapit berjalan ke Sibu. Aku mengetap bibir geram.
Lagi-lagi bila melihat Nabihah turut berada di dalam gambar.
Message.
‘Kita
jarang berjumpa dan kita sangat jarang duduk bersama. Jadi, mungkin mencari
titik keserasian antara kita menjadi sukar. Tapi itu tak bermakna kita tak
serasi. Izzat boleh katakan, Ila dengan Thaqif nampak serasi. Dan Ila pun boleh
katakan, Izzat dengan Nabihah juga nampak serasi. Ila nak tanya, sepanjang kita
bertunang, pernah tak Izzat rasa tersalah pilih bakal pasangan?’
Enter.
‘Ila tak akan buat keputusan sebab keputusan tu Ila dah
buat lama dulu. Tapi, Ila tak boleh baca hati Izzat. Kalau Izzat rasa pertunangan
kita ni satu kesilapan, kita masih boleh perbetulkan sebelum ikatan pernikahan
termeterai. Mungkin pertunangan kita dulu terlalu tergesa-gesa. Ila tunggu
keputusan Izzat.’
Enter.
Lama aku
merenung skrin telefon. Manalah tahu kalau-kalau Izzat membalas mesej aku pada
masa itu juga. Lima minit berlalu, masih tiada tanda-tanda Izzat akan membalas
mesej. Aku menutup Facebook dan meletakkan telefon bimbit di sebelah. Aku tak
sedar bila masa aku tertidur, tahu-tahu saja aku dikejutkan dengan bunyi azan
dari surau taman yang tidak jauh daripada rumah sewa aku.
***
“Ila... tolong datang
rumah abang!”
Permintaan
mengejut oleh Thaqif membuatkan aku turut terkejut. Bertambah terkejut bila terdengar suara Irfan nyaring menangis
di hujung talian. Mujurlah aku sudah selesai menunaikan solat Isyak sebentar
tadi.
“Please, Ila. I really need you now! Abang tak tahu nak buat apa ni. Irfan asyik mengamuk
dan meragam sejak tadi...” suara Thaqif kedengaran tertekan. Tahu ada sesuatu
yang tidak kena dengan Irfan, laju aku menerima permintaan dia.
“Mesej
alamat abang. Ila gerak sekarang...” kataku lalu menamatkan talian. Laju aku
mencapai beg duit dan menyarugkan tudung instant
yang aku sidaikan di kerusi. Selepas mengambil kunci ditempatnya, aku
bergegas keluar rumah untuk ke rumah Thaqif. Dalam hati tak henti-henti berdoa
agar Irfan tidak apa-apa.
Setibanya
di rumah Thaqif, aku lihat pintu utamanya sudah terbuka luas. Thaqif tak
kelihatan di mana-mana. Mungkin sedang memujuk Irfan agaknya. Aku meletakkan
kereta di luar pagar. Dengan berhati-hati aku membuka pintu pagar rumah Thaqif
yang tidak berkunci dan melangkah masuk ke perkarangan rumahnya. Inilah kali
pertama aku ke rumah Thaqif. Selalunya, dia saja yang datang ke rumah aku untuk
menghantar makanan.
“Assalamualaikum...”
ucapku di muka pintu. Mendengarkan suara tangisan dari atas, aku yakin Irfan
masih meragam. Nak masuk atau tunggu di luar? Nak masuk, tak manis pula. Nak
menunggu, suara Irfan nyaring di atas. Seminit menunggu, batang hidung Thaqif
masih tak muncul-muncul. Tiba-tiba terdengar suara Thaqif memetir memarahi
Irfan. Aku menelan air liur. Tak boleh jadi ni. Akhirnya aku nekad, untuk
masuk.
Langkah
aku terhenti di depan pintu sebuah bilik. Satu demi satu permainan Thaqif
berikan untuk memujuk Irfan namun Irfan mencampak permainan yang diberikan
ayahya itu. Melihatkan Thaqif kalut memujuk Irfan, aku jadi simpati. Mujurlah
ada Mak Cik Jas yang menjaga Irfan selepas pemergian arwah Kak Liana.
“Abang... ok ke?”
Mendengarkan
suara aku, Thaqif spontan menoleh ke pintu. Wajahnya kusut. Nampak letih dan tertekan.
Aku tersenyum nipis, dengan harapan dapat mengurangkan tekanan yang dia alami.
Penyelamat dah tiba. Come to acik, baby! Tangan
aku suakan ke arah dia, meminta Irfan untuk aku dukung.
“Tak
tahulah apa yang tak kena. Tadi masa ambil dekat rumah mak, ok. Lepas Isyak
tadi dia meragam. Bagi susu tak nak. Ajak main tak nak. Abang cuba pujuk pun
tak jalan...” Thaqif meraup wajahnya kasar. Bukan mudah untuk seorang lelaki
yang bekerja dan tidak beristeri untuk menjaga seorang anak kecil. Tambahan
pula Irfan sudah biasa dengan neneknya.
“Abang
tunggulah di luar rumah. Ila cuba buat apa yang boleh. Tak manis pula kita
berdua di dalam rumah ni,” kataku lembut.
Thaqif mengangguk. Tidak lama kemudian dia sudah hilang
daripada pandangan. Aku memberikan sepenuh perhatian aku kepada Irfan.
Pampersnya bersih. Suhu badannya normal. Perutnya tak kembung. Tapi apa yang
tak kena?
Dalam
aku cuba memujuk Irfan, tangisan Irfan semakin lama semakin perlahan.
Sedar-sedar saja dia sudah terlena dalam dukungan aku. Aku memandang wajah
polos Irfan dengan seribu satu perasaan. Sebuah kucupan aku berikan ke
kedua-dua belah pipinya. Hanya satu yang boleh aku fikirkan, Irfan perlukan
belaian seorang ibu.
Aku
meletakknan Irfan ke atas katil Thaqif. Bila keadaan tenang begini, barulah aku
tersedar keadaan bilik yang bersepah
ini. Di lantai penuh dengan bermacam jenis buku dan kertas. Hanya katil
yang ada kalau hendak duduk atau baring. Itu pun aku yakin katil itu bersih
kerana itu saja tempat untuk Irfan. Aku menggeleng perlahan. Setahu aku, rumah
dua tingkat ini ada empat bilik. Lagi empat bilik entah ada apalah agaknya.
Pengsan agaknya kalau Mak Cik Jas melihat keadaan rumah Thaqif yang macam
tongkang pecah!
“Dah
tidur dah dia?” soal Thaqif yang sudah sedikit tenang. Asap berkepul-kepul
keluar daripada mulutnya. Aku sedikit terkejut bila Thaqif bertukar menjadi
‘naga’. Tak pernah aku melihat dia merokok sepanjang aku mengenali dia.
“Dah...”
Thaqif
menggeleng perlahan. “Entah kenapalah tiba-tiba meragam sangat-sangat...”
“Hrm...
rindukan nenek dia agaknya. Kenapa abang tiba-tiba ambil keputusan untuk jaga
Irfan?”
Thaqif
tidak terus menjawab. Lama dia merenung wajah aku sebelum melarikan
pandangannya ke jalan. “Biarlah abang belajar jaga anak sendiri. Sampai bila
nak mengharapkan mak...”
“Pelik...”
“Kenapa?”
“Abang
pelik sejak kebelakangan ni. Ada apa-apa yang tak kena?”
Thaqif
kembali memandang aku. Aku membalas pandangannya lama, mahu meminta jawapan
bagi persoalan aku .
“Izzat ada
cakap apa-apa pada Suhaila masa dia balik hari tu?”
Dahi aku
berkerut. Kenapa tiba-tiba timbul soal Izzat ni? Sudahlah aku dengan dia pun
dalam keadaan tegang.
“Izzat
tanya abang kalau abang denga Suhaila ada apa-apa...”
Aku
terkejut besar mendengar kata-kata Thaqif. Tak sangka Izzat turut berdepan
dengan Thaqif. Ingatkan dengan aku saja dia meminta penjelasan.
“Entah
apalah yang Izzat fikirkan. Ila tak faham betul!” rungutku geram.
Thaqif
tak memberi apa-apa respon dengan rungutan aku. Rokoknya dihisap bagaikan tiada
apa-apa. “Sebab itu abang tak nak dia salah faham dengan hubungan kita. Jadi,
abang ambil keputusan untuk jaga Irfan dan kurangkan berjumpa dengan
Suhaila...”
Aku
terkelu mendengarkan penjelasan Thaqif. Kepala aku gelengkan perlahan. Tak
boleh terima dengan tindakan dia. Tak berjumpa dengan aku, tak apa. Tapi bila
melibatkan Irfan, aku tak boleh terima.
“Kita
bukannya buat apa. Lagipun antara kita memang tak ada apa-apa. Kenapa nak
menyusahkan diri? Ila anggap abang macam abang Ila dan abang pun anggap Ila
macam adik, kan?”
Thaqif
tersenyum nipis. “Kalau abang cakap, abang tak anggap Suhaila sebagai seorang
adik, macam mana?”
“Maksud
abang?” aku mula rasa tak kena. Debaran di dada tak usah diceritakan lagi.
Asap
rokok dihembus keluar. Thaqif merenung ke arah jalan. Lama. Sehingga membuatkan
aku rasa tidak sabar untuk mendengarkan penjelasan dia.
“Ada
masanya abang rasa nak bawa Suhaila lari daripada Izzat dan jadikan Suhaila
suri di hati abang.”
Aku terlopong. “Abang cakap apa ni...”
Thaqif
senyum sumbing. “You heard me.”
***
Saya ingin menjemput rakan-rakan pembaca untuk menambah saya sebagai rakan di Facebook ataupun menyertai group Facebook saya yang bernama - Hannah Dhaniyah supaya kita boleh engage lebih rapat lagi. ^_^
***
Saya ingin menjemput rakan-rakan pembaca untuk menambah saya sebagai rakan di Facebook ataupun menyertai group Facebook saya yang bernama - Hannah Dhaniyah supaya kita boleh engage lebih rapat lagi. ^_^
5 comments:
Aduhai ila... dilema abg thaqif n izzat
Huhuhu best dah lama nak tggu entri nii . Habis kat blog ke
Dah agak dah. Thaqif mesti ada perasaan itu. Hmmm... terima orang yang sayang dari orang yg kita sayang tapi belum tentu akan sayang kita.
Mmmm. Biaq la dgn Thaqif pon. Huhu
sis best2. rndu ssgat dengan novel ni. ila lagi sesuai dengan thaqif. kipidap sis.
Post a Comment