Kasih Suci 12
Aku masih terkebil-kebil di atas katil. Jam sudah
menunjukkan pukul empat pagi. Gila! Sejak pulang dari rumah Thaqif tadi , aku langsung
tak boleh lena. Masih terngiang-ngiang ayat-ayat yang diucapkan Thaqif malam
tadi.
“Tapi abang sedar perasaan abang ni salah. Abang tak
sepatutnya membiarkan diri abang jatuh cinta pada Suhaila. Jadi sebab itu abang
ambil keputusan untuk jauhkan diri terus. Walaupun Irfan terpaksa berpisah
dengan nenek dia.”
Kata-kata Thaqif menjerut perasaan aku. Aku serba salah.
Status sebagai tunangan mengikat diri aku. Kalau ditanya pada hati, siapa
Thaqif di hati aku, pasti hati aku turut keliru hendak memberikan jawapan. Apa
yang pasti, aku selesa bila bersama dia.
“Anggap apa yang abang katakan malam ni tak berlaku
Suhaila. Maafkan abang. Suhaila pergilah balik. Terima kasih sebab bantu abang
tadi...” itu kata-kata terakhir Thaqif sebelum dia masuk ke dalam rumah.
Aku menghela nafas perlahan. Tidak dapat lena, aku bangun
dah mengambil wudhuk. Al-quran yang sudah lama menjadi perhiasan di atas meja
aku capai. Lama tidak membaca ayat-ayat cinta daripada yang Maha Esa.
Mudah-mudahan dengan membaca Al-Quran dapat menenangkan perasaan aku yang rawan
ini.
***
Confession daripada Thaqif dan tiada
balasan daripada Izzat untuk mesej yang aku hantarkan padanya dua minggu lepas.
menyebabkan semangat untuk menyiapkan persiapan perkahwinan pun melayang. Minggu
lepas aku pulang ke kampung. Mak beberapa kali bising kerana aku tidak memberi
jawapan untuk beberapa perkara yang perlu dibuat keputusan. Lin cuba juga
mengorek rahsia daripada aku tentang apa yang membuatkan aku begitu, namun aku
hanya memberikan jawapan ‘tak ada apa.’ Betullah perempuan ni, kalau dia kata
‘tak ada apa’ sebenarnya penuh dengan bermacam perkara.
“Suhaila...”
Aku tersentak apabila nama penuh aku dipanggil. Kenapa
aku angkat dan wajah bos yang berdiri di sebelah meja aku pandang. Bos aku mamandang
aku dengan wajah yang serius. Aku menelan air liur.
“Masuk bilik saya sekejap,” katanya lalu melangkah ke
biliknya.
Lambat-lambat aku bangun. Buku catatan dan sebatang pen
aku capai sebelum aku ke biliknya.
“Duduk,” kata dia sewaktu aku berdiri di depan mejanya.
Aku menurut.
“Awak ada masalah?”
Aku diam dan menggeleng.
“Kalau tak ada, kenapa minggu ni sampai tiga kali awak
buat kesalahan yang sama? Ini bukan Suhaila yang saya kenal!” tegas sekali bos
aku bersuara. Aku memandang fail yang dia tolakkan ke arah aku.
Aku mengetap bibir. Fail hitam di atas meja aku pandang
lama.
“Amend balik.
Saya nak ada atas meja saya sejam dari sekarang...”
“Saya minta maaf
bos. Saya akan betulkan balik apa yang perlu,” ujarku lalu mengambil
fail di atas meja bos. Dengan sopan aku menyusun kembali kerusi seperti asal
dan berjalan menuju ke pintu.
“Suhaila... saya marah bersebab. Saya tak nak prestasi
kerja awak terganggu kerana masalah peribadi...” nada lelaki itu kembali
lembut.
Aku menoleh dan menghadiahkan senyuman buatnya. Kepala
aku anggukkan sebagai tanda faham.
“Saya faham. Terima kasih, bos.” Aku menutup pintu
biliknya lembut dan kembali ke tempat kerja. Fail aku letakkan di atas meja.
Aku menarik nafas dalam dan melepaskan perlahan-lahan. Membayangkan perasaan
aku yang celaru ini turut pergi bersama helaan nafas itu.
Bunyi notification daripada
Facebook memberitahu ada sebuah mesej baru membuatkan semangat yang hilang
datang kembali. Cepat-cepat aku mencapai telefon bimbit aku dan membuka
aplikasi Messenger. Membaca nama
Izzat di situ membuatkan jantung aku semakin laju bekerja.
‘Saya akan balik minggu ni. Kita jumpa dan selesaikan apa
yang tergantung.’
Membaca dua baris ayat itu, hati aku menjadi libang-libu.
***
Seperti
biasa, setiap kali Izzat pulang ataupun pergi, pasti aku akan turut
bersama-sama Mak Cik Jas dan Pak Cik Yunus menjemput Izzat. Kali ini suasana
terasa berbeza sekali bila tiada keletah Irfan yang selalunya mencuit hati. Mak
Cik Jas nampak biasa saja. Aku pula yang terlebih rindu. Entah apa khabar
Thaqif dan Irfan agaknya.
Aku
menjeling jam di pergelangan. Kalau ikutkan jadual penerbangan, kapal terbang
Izzat sudah selamat mendarat. Kali ini kepulangan dia sedikit lama kerana hari
Isnin nanti cuti umum. Tidaklah dia berebut untuk pulang pada ahad pagi seperti
kepulangan yang lepas.
Melihatkan
skrin monitor memaparkan perkataan ‘LANDED’,
aku mengikut Mak Cik Jas melangkah ke arah balai ketibaan. Dengan sabar kami
menunggu Izzat. Hampir lima belas minit menunggu, Izzat tiba dengan senyuman di
bibir. Riak wajahnya seperti biasa. Riak wajah aku pula yang berubah bila
melihat Nabihah berjalan di belakang dia.
“Nabihah
ada. Dia cakap alang-alang ada kawan, itu yang dia balik sekali,” ujar Izzat
sewaktu Nabihah bersalam dengan Mak Cik Jas. Macam perempuan Melayu terakhir
gayanya. Bagai hendak memikat hati mak mertua!
“Oh...
tak apalah kalau macam tu. Bukannya perjalanan dekat. Sekurang-kurangnya ada
kawan yang kita percaya, betul tak Nabihah?” ujar Mak Cik Jas tanpa apa-apa
prasangka.
Aku yang
berdiri di sebelah hanya tersenyum tawar sewaktu Izzat menghadiahkan aku dengan
sebuah senyuman. Sedarlah Izzat! Aku ni tunang kau! Aku mengeluh perlahan.
“Kita
singgah makan dulu, ayah? Kami dari Sibu tadi tak makan apa-apa. Berebut sikit
tadi...” pinta Izzat.
Pak Cik
Yunus mengangguk. “Nak makan mana?”
“Mana-mana
je. Tak kisah. Izzat lapar betul ni. Biha, kau nak ikut sekali?” soalan Izzat
membuatkan rasa geram aku bertambah. Tak boleh ke kalau kita makan berempat
tanpa Nabihah? Sekali lagi aku mengeluh.
***
“Saya
minta maaflah kalau saya menyakitkan hati awak...”
Perlahan suara Nabihah menyapa telinga aku sewaktu aku
masuk bilik air. Entah kenapa, panas saja hati aku bila Izzat dengan selamba
mengajak Nabihah untuk makan sekali. Nabihah dengan selamba menerima tawaran
Izzat. Sakit hati bila melihat matanya yang bercahaya bila Izzat mengajak tadi.
Sekilas aku dah tahu isi hati dia.
“Tak
adalah. Saya okey...” balas aku malas hendak memanjangkan isu kecil ini.
“Iya?
Tapi saya rasa hati awak macam tak okey. Dari airport saya nampak air muka awak daripada senyum melihat Izzat jadi
beku bila nampak saya. Macam kertas litmus, daripada biru bertukar jadi merah, awak
tahu?”
Aku
diam. Malas hendak menjawab. Tambahan pula, rasa sakit hati tadi masih berbaki.
Takut-takut kalau aku termaki pula nanti. Akhirnya aku menutup kepala paip dan
bersedia untuk melangkah keluar.
“Rasanya
awak sendiri tahu perasaan saya pada Izzat. Sayangnya, lelaki yang saya cinta
tu buta tentang hati dan perasaan. Tiba-tiba saja beritahu dia dah bertunang.
Sedangkan selama ni, sepenuh perhatian dia berikan pada saya. Tapi tak apa...
selagi dia belum menjadi yang sah untuk awak, saya rasa tak salah untuk saya
mencuba nasib. Saya bukan perempuan yang mudah mengalah!”
Berdesing
telinga aku mendengarkan kata-kata Nabihah. Marah dan geram bercampur menjadi
satu. Aku menoleh dan memandang Nabihah lama. Perempuan tak sedar diri! Kalau
tak kerana iman yang masih berbaki, pasti kesat kata-kata yang aku hamburkan
pada Nabihah.
Astaghfirullah al-Azim. Kalau itu berlaku, pasti syaitan
bersorak kegembiraan kerana berjaya menyebabkan dua orang wanita Islam bergaduh
hanya kerana seorang lelaki. Sudahlah lelaki itu belum menjadi halal lagi buat
aku. Aku mengetap bibir, menahan kemarahan. Tak mahu berlama-lama di dalam
rumah syaitan ini, aku melangkah keluar tanpa sebarang kata.
***
Pagi-pagi lagi Izzat dah menghantar pesanan menggunakan
aplikasi WhatsApp. Memberitahu dia hendak menjemput aku di rumah sewa pukul dua
belas tengahari untuk mengajak aku keluar. Tanpa berdolak-dalik, laju aku
memberi persetujuan. Baguslah dapat berjumpa dua mata. Lagipun, aku tak nak
perkahwinan kami nanti penuh prasangka. Biar segala-galanya jelas hari ini.
“Ila dah lunch
ke?”
Aku menggeleng. “Ila ingat Izzat nak ajak keluar lunch sekali. Sebab tu Ila tak makan
lagi.”
Izzat mengangguk. “Betullah tu. Memang nak ajak Ila makan
pun.”
Diam. Tak tahu apa hendak diceritakan. Perjalanan kami
hanya disulami bunyi radio sehinggalah tiba ke restoran.
“Nak makan apa? Kat sini, mi kari dia sedap.”
Aku memandang ke sekeliling. Benar kata Izzat. Hampir ke semua
pelanggan yang ada sedang menikmati mi kari. Namun, ia bukanlah makanan
kegemaran aku. Aku memandang Izzat dengan senyuman di bibir. Kepala aku
gelengkan perlahan.
“Selain mi kari, ada apa lagi? Masakan panas ada?”
“Ada puan. Nasi campur ada. Ayam penyet ada, pecel lele
ada...” ujar gadis yang mengambil pesanan.
“Kenapa? Tak suka mi kari ke?” lelaki dihadapan aku
bertanya.
“Tak minat sangat...” balasku perlahan. “Bagi saya mi
goreng satu ya. Air, air suam.”
Gadis pelayan itu mengangguk dan mencatatkan pesanan di
atas ketas. Kemudian, dia meminta diri untuk
“Sorry. Tak tahu awak tak suka mi kari. Kalau
Nabihah, memang favourite dia. Kalau saya
tahu, tak adalah saya ajak ke sini...”
Berdesing
telinga aku mendengarkan nama itu daripada mulur Izzat. Aku cuba berlagak
tenang. Tak guna nak bergaduh pun.
“Tak apa, Izzat. Bukannya mi kari je yang ada kat sini.”
Izzat
mengangguk bersetuju. Kemudian, kami saling berpandangan tanpa sebarang kata.
Sedar dengan keadaan yang kekok, ketawa kecil meletus di mulut masing-masing.
“Tiba-tiba
kekok, ya?” soal Izzat dengan senyuman.
Aku
mengangguk. Mana tak kekoknya kalau dalam hati masih berbelah bahagi.
Izzat nampak tenang seperti biasa.
Seolah-olah mesej yang aku kirimkan di Facebook tidak memberikan apa-apa kesan
kepada dia. Inilah perempuan, kan? Bila ada perkara yang merunsingkan kepala,
buat apa pun rasa serba tak kena.
“Letak
tepi dulu segala masalah kita. Kita makan dulu. Lepas tu baru bincang. Boleh?”
ujar Izzat tiba-tiba.
Aku memandang dia lama lalu mengangguk. Bagai tahu-tahu
saja apa yang bermain di fikiran aku. Suasana kekok perlahan-lahan mula luput
bila kami mula bertukar-tukar cerita tentang kehidupan masing-masing. Perbualan
hanya terhenti seketika sewaktu pelayan menghantar pesanan kami. Kemudian dia
menyambung cerita tentang gelagat anak-anak muridnya. Mendengarkan cerita dan
semangat dia mengajar di Sarawak membuatkan aku tersenyum. Nampak benar dia
suka dan ikhlas sewaktu menjalankan tugas dia.
“Awak tahu, Abang Thaqif dah ambil Irfan?” soalan Izzat
menyebabkan cerita tentang Sarawak tamat dan topik baru dibuka.
Aku mengangguk perlahan. Mi goreng aku sudah pun selamat
dimakan. Yang tinggal hanyalah beberapa ekor udang yang aku letakkan ke tepi
tadi. Udang yang menjadi rencah mi goreng aku kopek kulitnya menggunakan sudu
dengan berhati-hati.
“Mak awak beritahu masa saya ziarah dia minggu Thaqif
ambil tu...”
“Awak tahu kenapa dia ambil Irfan?”
Aku mengangkat bahu. “Mak awak cakap, mungkin dia belajar
untuk jaga Irfan. Dah ada pengganti arwah Kak Liana agaknya...”
Izzat diam. Sedar mata dia memerhati setiap pergerakan
aku menyebabkan aku mengangkat muka dan memandang dia. Udang yang sudah berjaya
aku buang kulitnya aku masukkan ke dalam mulut dengan garfu.
“Kenapa?” soalku sebaik saja.
“Awak cintakan saya?”
Erk! Aku tersedak mendengarkan soalan Izzat. Dah kenapa
tiba-tiba tanya soalan begitu? Melihatkan aku yang batuk berkali-kali, Izzat
menghulurkan air suam kepada aku. Laju aku mengambil dan meminumnya.
“Kenapa tiba-tiba tanya macam tu?”
Izzat senyum. “We
are grown up, Ila. Dah matang. Jangan tipu diri sendiri. Apa perasaan awak
pada saya? Siapa saya pada diri awak?”
Soalan Izzat tiba-tiba membuatkan aku mengeluh panjang.
Kenapa diutarakan soalan ni sedangkan sejak awal lagi aku sudah terima dia
seadanya.
“Awak penting bagi saya, Izzat. Saya anggap awak bakal
imam saya. Yang akan saya hidup bersama dan jadi kawan saya masa saya lalui
hari-hari tua saya nanti.”
Izzat mengangguk. Bibirnya tersenyum nipis.
“Soalan lagi satu awak tak jawab lagi...”
“Apa dia?”
“Awak cintakan saya?”
“Cinta boleh dipupuk lepas kahwin.”
“Ila...”
“Izzat, berterus-terang sajalah. Izzat juga cakap kita
dah besar, dah matang. Jangan berdolak-dalik lagi. Jangan berteka-teki!” kata-kata
yang dia ucapkan tadi aku hamburkan kembali kepada dia.
Izzat terdiam. Lama dia merenung aku sebelum dia mengalih
pandangan ke arah akuarium yang terletak di tepi dinding.
“Izzat rasa, kita terlalu tergesa-gesa ambil keputusan
untuk bertunang dulu...”
Aku
tersandar ke kerusi. Nampak sudah ke mana arah perbincangan kami. Apa yang aku
takutkan akhirnya berlaku juga.
“Izzat baru
sedar... Izzat cintakan Nabihah.”
Dan saat
itu aku rasa hendak meraung di situ juga.
7 comments:
Jangan kata meraung, kalau aku, sepak terajang dah
buat pa nk meraung bg sedas baru puas hati...
aduyai izzat ni..bg penampar buaya je..jgn meraung..geram betul la..
ek elleh izzat nii. dulu ckp cintakan ila..takpe thaqif ada ngeh ngeh ngeh
Hoyeeee...thaqif n ila..end up together
Thaqif ada la ila. Blah ja dri izzat tu. Grrrr
bab 13 n selebihnya mana huaaaaaaaaaaaaaaaaaa.
Post a Comment