::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

05 October 2015

Mininovel: Kasih Suci 13

Kasih Suci 13
“Kak Win...” panggilku sewaktu menziarahi Kak Win yang masih di dalam pantang. Kak Win nampak cergas dan ceria. Sebuah senyuman manis dia hadiahkan buat aku yang baru tiba.
“Lama betul tak jumpa Ila. Ini baru nak datang ya? Farouq dah rindu kat Auntie Ila dia ni...” ujar Kak Win.
Aku tersengih. Farouq yang sedang tidur aku usik-usik. Bergerak-gerak bebola matanya kerana di ganggu walaupun mata itu terpejam rapat.

“Akak macam mana? Dah sihat sepenuhnya?”
Kak Win mengangguk. “Dah boleh menari dah ni...”
Gelak besar aku mendengar jawapan Kak Win. Boleh menari tu yang tak tahan tu...
“Betul ke apa yang Kak Win dengar daripada Abang Nuar?” nada suara Kak Win bertukar serius. Aku berhenti daripada mengusik Farouq. Selepas membetulkan duduk, aku memandang Kak Win  dengan senyuman nipis.
            “Betul Kak Win...” balasku dengan anggukan.
            Kak Win mengeluh. “Tapi kenapa, Ila? Sebab Thaqif?”
            Aku terdiam. Ternyata selama ini Thaqif dijadikan modal untuk menutup cerita sebenar. Yang menjadi mangsanya, aku. Aku menghela nafas berat. Takkan nak beritahu pada Kak Win yang Izzat sebenarnya sukakan orang lain?
            “Mungkin putus lebih baik. Lagipun, kad semua belum edar. Tak ada masalahlah...”
            Kak Win menggeleng lemah. “Akak dah pesan pada Ila... ini yang akak takut sangat. Habis tu? Sekarang ni macam mana?”
            “Hujung minggu ni mak dengan ayah Izzat akan jumpa mak Ila. Putus cara baik. Kak Win janganlah risau...”
            Kak Win diam. Namun dalam diam dia, aku tahu fikirannya penuh dengan soalan-soalan yang bagaikan peluru berpandu kalau dia buka mulut.
            “Thaqif?”
            “Kenapa dengan dia?”
            “Dah putus dengan Izzat, takkan nak berkawan dengan Thaqif lama sangat? Kalau dia ikhlas, suruh dia masuk meminang terus!” nada Kak Win sedikit meninggi.
Aku tahu dia masih terkilan dengan berita yang Abang Nuar sampaikan. Habis tu nak buat macam mana? Takkanlah aku hendak teruskan juga rancangan asal sedangkan terang-terang Izzat sudah menyatakan dia mencintai Nabihah. Aku tersenyum tawar. Sudahlah kecewakan aku, boleh pula Izzat mencadangkan agar aku menerima Thaqif. Memang taklah!
“Ila... akak kesal sangat dengan apa yang berlaku. Entahlah... akak rasa Ila dengan Izzat sesuai sangat. Tapi, mungkin itulah... akak lupa akak ni manusia. Jodoh pertemuan ni... Allah yang tentukan...” kata Kak Win perlahan. Mendengarkan Farouq mula merengek dan kelopak matanya sudak terbuka, perhatian kami beralih kepada anak itu. Tanpa sebarang kata, aku mengangkat Farouq dan aku dekatkan wajahnya dengan wajahku. Bau wangi... bau syurga...
            ***
            Mak di kampung masih belum aku khabarkan tentang masalah yang melanda. Kepala terasa berdenyut-denyut setiap kali teringat masalah yang aku hadapi. Ini baru putus tunang. Belum masalah yang besar lagi. Ada hikmahnya pertunangan aku dengan Izzat dulu sekadar menyarung cincin ke jari di perkarangan rumah. Kalau buat majlis dulu, entah mana aku nak letak muka.
            Aku memakirkan kereta di bahu jalan. Kemudian aku keluar daripada kereta dan berdiri di atas satu-satunya bukit yang ada tengah-tengah bandaraya ini. Pandangan aku lemparkan ke bawah bukit di mana letaknya hutan batu yang menjadi pusat ekonomi. Aku mengeluh perlahan. Sejak Izzat mengambil keputusan untuk memutuskan pertungan kami kelmarin, aku tak tahu apa yang patut aku lakukan. Panggilan daripada Mak Cik Jas pun aku tidak jawab. Pasti orang tua itu terkejut dengan apa yang berlaku.
            “Arghhh!!!!” jeritku bagai melepaskan segala tekanan yang terbuku di jiwa. Kemudian aku pejam mata. Rapat. Angin segar yang menampar muka membuatkan aku rasa sedikit tenang.
            “Menjerit tak menyelesaikan masalah Suhaila...”
            Teguran secara tiba-tiba itu menyebabkan mata aku terbuka luas. Thaqif sedang berjalan ke arah aku dan tanpa dipelawa, dia berdiri di sebelah, bersandarkan kereta aku.
            “Kenapa menjerit macam tu sekali? Stress?
            Aku memandang wajah Thaqif lama. Melihatkan wajah tenangnya, aku rasa sebak sendiri. Kenapalah hidup kami jadi begini? Thaqif selamba mengeluarkan kotak rokok dan lighter daripada kocek seluar. Kemudian sebatang rokok ditarik keluar daripada tempatnya. Rokok itu dinyalakan dan tanpa sebarang kata, dia berdiri memerhatikan pemandangan yang terbentang di depan mata.
            “Sejak bila abang merokok?” soalku ingin tahu. Selama mengenali dia, tak pernah aku melihat dia memegang benda yang sudah difatwakan haram itu. Bau badannya pun tiada bau rokok. Thaqif senyum nipis.
            “Dulu memang hisap. Sejak kahwin dengan Liana, berhenti. Baru ni hisap balik...”
            Aku diam. Nak komen lebih-lebih, aku tiada hak. Jadi aku perhatikan saja dirinya yang merokok.
            “Kenapa menjerit tadi? Ada masalah?” soal Thaqif perlahan. Masih tidak puas hati kerana soalan dia tak berjawab agaknya.
            Aku tidak terus menjawab. Mata aku pejam rapat dan nafas aku tarik dalam. Asap rokok yang masuk sekali bersama udara membuatkan aku batuk tiba-tiba. Nafas terasa sesak. Tersedar dengan keadaan aku, cepat dia mencampakkan rokok yang belum sampai separuh dia hisap. Aku tersedar Thaqif sudah mengangkat tangannya untuk mengusap belakang aku. Bagi mengelakkan ia berlaku, cepat-cepat aku menjauhi dia dan menggelengkan kepala. Thaqif meraup wajahnya kasar.
            Sorry. Abang tak berniat...” Thaqif serba salah. Tangannya diturunkan.
            “Tak apa...” kataku dengan senyuman nipis.
            ***
            “Kenapa sampai jadi macam ni?” melengking suara mak di talian sewaktu aku mengkhabarkan tentang keputusan yang aku dan Izzat ambil bersama.
            “Tak ada jodoh, mak. Nak buat macam mana...” balasku malas.
            “Mana mungkin? Mesti ada perkara yang kamu sembunyikan daripada mak!”
            Aku mengeluh. Macam aku pula yang bersalah sedangkan Izzat yang sudah membuat keputusan. Lagipun kalau hatinya sudah beralih arah, takkan aku nak berkeras juga hendak meneruskan rancangan asal kami? Selepas berkahwin pun, dia akan berada di Sarawak lagi. Pasti dia akan bertemu dengan Nabihah. Jenuh aku kena berusaha menyelamatkan rumah tangga nanti. Lagipun... aku sendiri sudah tawar hati dengan tindakan Izzat yang tiba-tiba saja mengambil keputusan mengejut.
            “Macam mana boleh jadi macam ni, yong...?” soal mak lemah.
            “Hujung minggu nanti... keluarga Izzat akan datang jumpa mak. Ila minta maaf mak. Ila harap mak janganlah minta Rosli tangguhkan lagi rancangan dia nak menikah dengan Lin. Kesian budak-budak tu mak...”
            Mak tidak menjawab. Yang kedengaran hanyalah keluhan panjang di hujung talian.
            “Silap mak... mak yang berkeras minta kamu cari juga suami. Tak apalah... mungkin bukan jodoh kamu dengan Izzat. Tapi kalau boleh, kamu baliklah ke sini hujung minggu nanti... masa orang tua Izzat nak datang,” pinta mak.
            Aku hanya mampu menghela nafas berat.
***
-          Kenapa tak beritahu abang yang Izzat nak putuskan pertunangan kamu berdua?
Terkejut aku membaca mesej  Thaqif yang dia hantar awal pagi tadi. Pasti dia sudah mendengar berita daripada Mak Cik Jas. Aku teragak-agak hendak membalas mesej itu. Tapi apa gunanya? Ah! Persetankan semuanya. Aku sudah malas hendak fikir apa-apa lagi yang melibatkan aku dan Izzat.
-          Abang minta maaf Suhaila kalau hubungan kamu berdua bermasalah disebabkan abang...
Itu mesej kedua yang dia hantar. Aku mengetap bibir. Laju jari-jemari aku berlari di atas skrin.
+ Bukan salah sesiapa. Memang tak ada jodoh. Tak apa, Ila redha...
Balasku akhirnya. Bibir tersenyum tawar. Mujur juga aku dengan Izzat tidak bercinta beriya. Kalau tidak, entah macam mana pula penerimaan aku kalau dia tiba-tiba buat keputusan gila begini. Aku menyimpan telefon bimbit ke dalam beg tangan. Masih ada tanggungjawab yang perlu aku laksanakan sebagai seorang pekerja. Tak apa... patah tumbuh, yang hilang berganti...
***
Aku memandu pulang ke kampung sebaik saja tamat waktu pejabat. Tiga jam memandu, aku sudah tiba di laman rumah. Keadaan rumah nampak seperti biasa. Tenang bagaikan tiada apa-apa yang berlaku. Hakikatnya, penghuni di dalam rumah sudah serabut dengan masalah. Aku membuka pintu kereta lalu keluar. Beg pakaian aku ambil daripada boot. Sebaik saja berdiri di pintu utama, aku memberi salam. Malas rasanya hendak mengambil kunci di dalam beg.
“Yong...” tegur Fadhlin sebaik saja ternampak wajah aku. Aku tersenyum memandang adik aku yang seorang ni.
“Assalamualaikum...” ujarku lalu melangkah masuk. Mata melilau mencari wajah mak. Namun bayangnya tiada.
“Mak kat dapur,” beritahu Lin bila nampak mataku yang mencari.
“Ok,” kataku lalu meletakkan beg pakaian ke lantai sementara kaki melangkah ke dapur. Mak sedang menyiang ikan untuk masak tengahari nanti.
“Mak...”
“Hah! Dah sampai kamu, Ila...” laju mak membasuh tangannya lalu dihulurkan ke arah aku untuk bersalam. Kedua belah pipinya aku cium dengan penuh rasa sayang. Tak mengapalah jika tak berkahwin pun... mungkin masih ada tanggungjawab untuk mak yang masih belum aku langsaikan.
            “Ila salin baju dululah. Nanti Ila keluar tolong mak...” kataku meminta diri. Selesai menyalin baju, aku keluar ke dapur seperti yang dijanjikan. Tepat pukul dua belas, makanan untuk makan tengahari sudah selesai dihidang.
            Makan tengahari berlangsung dengan senyap sekali. Selalunya kalau aku balik sebelum ni, pasti riuh kami bercerita tentang persiapan kahwin atau apa saja yang berlaku di sekeliling. Tapi sejak aku khabarkan tentang niat Izzat untuk memutuskan pertunangan kami, masing-masing seolah-olah kehilangan kata-kata. Sesekali aku perasan juga Fadhlin yang sesekali menjeling ke arah aku. Namun aku hanya buat bersahaja.
            “Esok pukul berapa mereka nak datang?” soal mak memecahkan kesunyian.
            “Kalau ikut Mak Cik Jas hari tu... lepas Zohor.”
            Mak hanya mengangguk tanpa bertanya apa-apa lagi.
            ***
            Mak Cik Jas dan Pak Cik Yunus tiba seperti mana yang dijanjikan. Awal-awal lagi Mak Cik Jas menolak bila mak menjemput mereka makan. Akhirnya, mereka duduk di ruang tamu sambil berbual dan bertukar cerita sebelum berbincang ke arah Suasana sedikit ceria bila Irfan turut ada. Bila dia nampak saja wajah aku, terus dia mengikut setiap langkah aku ke mana saja.
            Aku melayan Irfan melihat ikan di tepi rumah. Mulutnya riuh bercakap itu ini. Aku layankan saja. Rindu juga sebenarnya dengan Irfan. Semenjak kali terakhir berjumpa anak kecil ini pun semasa aku ke rumah Thaqif bila Irfan meragam malam tu. Aku bangun daripada duduk apabila Irfan menarik tangan aku untuk mengikutnya. Tak semena-mena mata aku terpandangkan seseorang berdiri di luar pagar. Thaqif?
            “Ayong! Mak panggil...” teguran Fuad, adik lelaki aku mematikan lamunan aku. Tanpa berlengah, aku terus mendukung Irfan dan melangkah masuk ke dalam rumah.
            “Ayong... duduk sini sekejap,” pinta mak lembut.
            Aku termangu-mangu. Dalam kekeliruan itu, aku ikutkan juga permintaan mak.
            “Sebenarnya mak cik dengan pak cik ada perkara nak bincangkan dengan Ila...”
            “Okey...” kalau soal putus tunang tu, rasanya tiada apa lagi yang perlu dibincangkan. Aku sudah memberi masa yang lama untuk mereka berbincang sesama mereka.
            “Mungkin tak sesuai untuk pak cik katakan ni, Ila... tapi sebenarnya tujuan kami datang membawa hajat dua orang yang penting dalam keluarga kami. Seorang anak lelaki kami... seorang lagi menantu kami yang sudah kami anggap sebagai anak sendiri...”
Entah kenapa kata-kata Pak Cik Yunus membuatkan peluh dingin mula terbit. Apa yang Pak Cik Yunus maksudkan? Aku memandang Mak Cik Jas yang tersenyum penuh kelembutan. Dada terasa berdebar menunggukan penjelasan Pak Cik Yunus yang seterusnya.
“Ila... Izzat meminta kami hadir untuk pertunangan kamu berdua. Dan secara rasminya, pertunangan Ila dengan Izzat putus sampai setakat ini saja...”
Pak Cik Yunus mencapai cincin yang aku berikan pada mak sebelum mereka tiba. Aku memandang saja gerak-geri Pak Cik Yunus yang menghulurkan kotak cincin itu kepada Mak Cik Jas. Dalam pada masa yang sama, sebuah kotak lain dia keluarkan dan diletakkan di atas meja kopi.
“Dan seterusnya, kami datang untuk meminang Ila buat anak lelaki kami yang lagi seorang. Untuk Thaqif. Dia yang berhajat benar untuk memperisterikan Ila...”
Aku terkejut. Riak wajah sudah tidak dapat aku kawal lagi. Aku menoleh ke arah mak yang tenang di sebelah. Kedua-dua adik lelaki aku yang menjadi pendengar sejak tadi hanya memandang aku, menunggu jawapan.
“Ila macam mana? Setuju untuk menerima lamaran Thaqif? Kalau setuju, kita...”
“Mak cik...” pintasku sebelum Mak Cik Jas meneruskan kata-katanya. Aku masih terkejut dengan apa yang berlaku, takkanlah terus hendak merancang itu ini?
“Kenapa tiba-tiba je ni? Janganlah minta Ila terima Thaqif hanya kerana nak menjaga air muka Ila sebab putus tunang dengan Izzat...”
“Ila... bukan macam tu. Thaqif memang ikhlas. Bukan sebab nak jaga air muka Ila...”
“Perkara ni terlalu mengejut, mak cik. Ila tak setuju...”
“Jangan terus menolak, yong. Fikirkan dulu. Mungkin ada hikmah kenapa Izzat beralih arah dan Thaqif hantar wakil untuk meminang kamu...” tegur mak apabila aku laju membuat keputusan.
“Betul kata mak Ila. Fikirkan dulu, nak. Mak cik dengan pak cik terima apa saja keputusan Ila, tetapi bukan dengan mendadak macam ni...” sambung Mak Cik Jas.
Aku tergeleng perlahan. Masih tidak percaya dengan apa yang berlaku. Irfan yang berada di atas riba aku usap kepalanya lembut dan kepalanya aku cium. Irfan... sungguh ke ayah Irfan ikhlas ni?

6 comments:

Anonymous said...

Sokong 200% ila n thaqif

Miss Y said...

Saya lebih suka kalau ada hero lain.

meeka42 said...

sissssssss, sambunglaaaa

Anonymous said...

Saya tetap mengharapkan suhaila dengan izzat. Tolong sambung lagi ye cik writer jgn lah stop.

zah said...

Sambunglah lagi.....

Unknown said...

Lamanya mghilang cik writer ni