::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

15 May 2016

Mini-novel: Leman & Laili 01



Leman & Laili p1.
“Dah lama ke kenal?” tegur Farhah.
“Tak adalah,”  spontan Laili menjawab
“Kami childhood friend...” balas Sulaiman juga dalam masa yang sama.
Terpinga-pinga Farhah memandang mereka berdua. Jawab serentak namun jawapan nyata berbeza. Melihatkan kemesraan yang ditunjukkan Sulaiman terhadap Laili pun berbeza benar dengan penerimaan Laili. Gadis itu nampak lebih senyap dan tidak mesra. Bagaikan ada sebuah rahsia diantara mereka.
Laili menahan geram. Tak boleh ke Sulaiman buat tak nampak saja dia di sini? Menyesal pula dia join program makan malam syarikatnya kali ini. Kalau dia tahu Sulaiman akan datang dengan kekasihnya Lynn, tak adalah dia turut serta. Bukan dia suka sangat duduk dalam ruang yang sama dengan Lynn tu.
Sulaiman memerhatikan Laili yang jelas tidak suka dengan kehadirannya. Melihatkan Laili pada malam ini, terasa getaran dijiwanya. Kali terakhir dia bersemuka dengan Laili pun sepuluh tahun lepas. Sepanjang sepuluh tahun ini, Laili banyak melarikan diri daripadanya. Sulaiman menghela nafas perlahan. Sedikit sebanyak dia bersyukur kerana mengikut Lynn malam ini. Siapa sangka dia berjumpa dengan gadis pertama yang mengetuk pintu hatinya dulu.
***
Leman & Laili p2.
Sepuluh tahun dahulu...
“Ibu tak suka kamu berkawan dengan budak tu!” marah Puan Jamilah.
Sakit benar hati Puan Jamilah apabila melihatkan anak lelakinya semakin kerap menghabiskan masa bersama anak perempuan Puan Rumaizah yang tak serupa perempuan itu. Sudah banyak kali dia tegur kelakuan anaknya itu, namun apa yang dia katakan ibarat mencurahkan air ke atas daun keladi. Sedikit pun Sulaiman tak ambil peduli. Terbaru, anak perempuannya Suhana memberitahu rupa-rupanya Sulaiman dengan Laili itu bukan sekadar kawan biasa lagi. Mana darahnya tak naik? Geram! Degil!
“Dia ada nama, ibu. Laili namanya...” balas Sulaiman dalam nada rendah.
Walaupun dia tak bersetuju dengan ibunya, tak bermakna dia boleh meninggikan suara dengan wanita yang telah melahirkannya itu. Nanti pasti ibunya akan menuduh Laili menyebabkan dia berkurang ajar. Sudahlah terang-terangan ibunya menunjukkan rasa tak suka terhadap Laili. Kasihan Laili. Alasan ibunya, Laili seorang yang kasar, bermulut lancang dan tak ada rupa seperti seorang perempuan. Semuanya bermula gara-gara Laili menegur sikap ibunya yang suka bertanyakan Laili yang bukan-bukan. Kebanyakan soalan ibu berkenaan gosip-gosip yang melanda keluarga Laili. Tahu sikap ibunya yang suka menjaga tepi kain orang dan menjaja cerita yang bukan-bukan, Laili menegur dengan lembut...
“Mak cik... tak baik mak cik buat macam ni. Sayang pahala solat lima waktu yang mak cik buat bila mak cik jaja cerita orang. Saya tahu, keluarga saya tak sebaik mana... tapi janganlah mak cik sampaikan berita yang bukan-bukan pada orang lain. Kasihanilah mak saya, mak cik...” ujar Laili dengan nada paling lembut.
Puan Jamilah apa lagi... melentinglah dia. Habis semua kisah keluarga Laili dia ungkit. Sehingga menyebabkan Laili merajuk tak mahu memijakkan kaki ke laman rumah Puan Jamilah. Dan sejak itulah Puan Jamilah seolah-olah menjadikan Laili musuhnya. Ada saja cerita-cerita tentang Laili yang tak sedap di dengar menjadi buah mulut orang kampung. Puan Jamilah tidak tahu, gadis yang dia buruk-burukkan itulah telah mencuit hati lelaki anak terunanya, Sulaiman. Sekali dia tahu, nasib tak melayang saja periuk belanga di dapur kerana marahkan Sulaiman.
“Kalau ibu tahu kami keluar lagi dengan si Laili, siap kamu. Ibu tahulah apa nak buat nanti, Leman...” ugut Puan Jamilah.
Sulaiman buat tak faham. Dia yang sudah bersiap-siap untuk bertemu dengan Laili di dewan badminton keluar tanpa mempedulikan kata-kata amaran ibunya.
***
Leman & Laili p3
Laili menjeling jam di pergelangan. Malam masih muda. Majlis pun baru berapa minit bermula. Namun bila terpaksa duduk satu meja dengan Sulaiman, seminit di sini sudah rasa seperti berjam-jam lamanya. Bukan hanya satu meja, duduk disebelah-sebelah lagi! Laili perasan Lynn berkali-kali menjeling ke arahnya setiap kali Sulaiman membuka mulut bercakap dengan dia.
“Laili...”
Sulaiman memanggil lagi. Hatinya kini sudah nekad. Dia akan memikat Laili sehabis boleh. Dia takkan biarkan Laili membuat alasan yang bukan-bukan lagi untuk menjauhkan diri. Sekali hati dia dicuri, dia akan ingat sampai mati.
“Apa lagi, Leman? Awak tak boleh ke anggap awak tak kenal saya? Saya rimaslah dengan awak! Kalau ada meja kosong dekat tempat lain, tak adanya saya nak duduk sebelah awak dekat sini tau!”
Laili cuba mengawal perasaannya. Riak wajah dan nada suara turut dikawal sama. Tidak mahu rakan semeja menyedari ketegangan di antara mereka. Sudahlah tadi Farhah menegur mereka apabila Sulaiman ramah bertanya itu ini kepada dia.
“Saya masih menantikan sebuah jawapan, Laili. Jawapan yang saya tunggu hampir sepuluh tahun lamanya.”
“Jawapan apa lagi...?” soal Laili kurang senang. Lynn sudah menjeling tajam ke arahnya. Risau agaknya kekasih hati disambar orang.
“Jawapan kenapa awak tinggalkan saya sepuluh tahun dulu “
Sulaiman mula serius. Membuka kisah yang tergantung sepuluh tahun dahulu menyebabkan emosinya berubah. Terlupa seketika terhadap majlis yang sedang berlangsung juga mata-mata yang memandang.
“Saya dah cakap kan dulu? Awak hanya test subject saya untuk saya test market. Awak tahu tak awak ni membosankan? Keluar dengan awak, saya tak dapat apa-apa. Buang masa saya saja...” Laili ulang kembali jawapan yang pernah dia berikan dahulu.
Wajah Sulaiman berubah. Laili yakin, kalau cahaya di dalam dewan ini cukup terang, pasti jelas kelihatan wajah lelaki itu merah kerana menahan marah. “Saya tak percaya...”
So? Tak percaya, sudah... Apa yang saya boleh buat?”
“Saya kenal awak, Laili. Awak tak pernah berjaya menipu saya. Saya tahu awak tak sejahat itu, Laili. Saya tahu perasaan kita sama.”
“Berapa bulan je awak kenal saya, Sulaiman?” Laili senyum sumbing.
“Keluar dengan awak, saya tak dapat apa-apa benefit. Sekurang-kurangnya boyfriends saya lepas tu ikutkan je apa yang saya nak. Saya minta apa saja mereka belikan,” ujar Laili selamba.
Gelarlah dia apa saja. Perempuan materialistik? Suka mempermainkan lelaki? Murahan? Tak menjadi kudis padanya. Hanya orang yang benar-benar mengenali Laili tahu bagaimana Laili sebenarnya.
“Saya tetap tak percaya...” tegas Sulaiman.
Laili sekadar mengangkat bahu. Tak berniat hendak meneruskan perbualan. Mujur Sulaiman sudah tidak bercakap dengan dia. Eloklah begitu. Laili tak berminat hendak mengembalikan kemesraan yang telah lama hilang. Namun begitu, jiwanya tetap tidak tenteram. Aura yang Sulaiman ada, masih menggetarkan jiwanya. Kalau tadi dia geramkan Sulaiman, geram itu sudah beralih jadi geramkan diri sendiri. Geram kerana hatinya masih dijentik rasa aneh setiap kali dia memandang wajah Sulaiman. Tolonglah Laili, sudah sepuluh tahun berlalu... tapi kenapa hati ini susah sangat nak melepaskan dia pergi?
***
Leman & Laili p4.
Laili menutup pintu rumah dengan berhati-hati. Tak mahu Puan Rumaizah yang sedang tidur terjaga kerana bunyi pintu yang kuat. Selesai majlis makan malam, Jefrey menghantarnya pulang seperti mana Jefrey mengambilnya awal malam tadi. Laili menyusun kasutnya di rak kasut sebelum melangkah untuk ke bilik. Baru tiga langkah dia ambil, terdengar suapa Puan Rumaizah menegur dari pintu bilik.
“Baru sampai Laili?”
Laili mengurut dadanya kerana terkejut. “Ya, mak. Mak belum tidur?”
“Mak tersedar bunyi kereta. Pukul berapa sekarang ni?”
“Dua belas, mak. Majlis habis lewat sikit tadi…”
Puan Rumaizah mengangguk. “Mak nak ke bilik air sekejap. Jangan lupa solat isyak kalau belum tunaikan lagi…” pesannya.
“Ya, mak…”
Laili masuk ke bilik. Selepas menyalin pakaian, dia keluar untuk ke bilik air untuk mengambil wudhuk dan menunaikan solat Isyak. Selesai solat, Laili terus merebahkan tubuh ke atas katil. Badannya sudah letih. Otaknya juga sudah kepenatan. Penat kerana banyak bermain dengan emosi sepanjang majlis tadi. Laili mengiring ke kiri. Cuba untuk tidur. Namun entah kenapa, fikirannya melayang mengingatkan satu demi satu peristiwa sepanjang dia berkenalan dengan Sulaiman.
Dia berkenalan dengan Sulaiman sewaktu sibuk berlatih squash untuk menjadi wakil daerah. Sulaiman yang pada waktu itu sedang bermain bola dengan rakan-rakannya mula menegurnya dan berbual setiap kali selepas bermain. Jujur, dia sangat senang dengan sikap Sulaiman. Pertemuan yang sebelum ini hanya berlaku di padang beralih ke perpustakaan. Selesai bermain untuk daerah, Laili berhenti bermain squash untuk fokus untuk SPM yang bakal tiba. Sulaiman yang bakal mengambil STPM turut menghabiskan masa dengan Laili, mengulangkaji pelajaran.
Hubungan yang bermula sebagai kawan biasa bertukar menjadi rakan istimewa bila Sulaiman meluahkan isi hati. Tak sangka sebenarnya Sulaiman sudah lama perhatikan dia sejak dia di tingkatan tiga. Laili menerima Sulaiman tanpa berfikir panjang. Perhatian yang Sulaiman tunjukkan sejak awal sudah memikat hati Laili. Tetapi tak lama... baru tiga bulan berkawan, Laili sudah dilemparkan kata-kata penghinaan oleh... ibu Sulaiman.
‘Lelaki boleh dicari... tetapi kasih ibu tak boleh diganti...’
Berbekalkan kata-kata itu Laili membuat keputusan untuk menamatkan segala-galanya. Bukan untuk ibu Sulaiman, tetapi untuk maknya, Puan Rumaizah yang sering makan hati apabila dicaci maki oleh orang sekeliling. Walaupun hanya tiga bulan mereka berkawan, sepuluh tahun berlalu tetap tidak mampu membuatkan Sulaiman hilang daripada ingatannya.
***
Leman & Laili p5.
“Sukalah tu jumpa buah hati lama!” marah Lynn. Berbulu saja matanya melihat Sulaiman yang asyik memandang dan berbual dengan saingannya di pejabat. Baru dia tahu Laili merupakan kekasih pertama Sulaiman sewaktu di sekolah menengah.
“Please Lynn... don’t start,” mendatar nada Sulaiman menuturkan sebaris ayat itu. Letih. Dia cukup letih dengan sikap setiap perempuan di sekelilingnya. Ibunya, Lynn, juga... Laili.
Lynn memuncung. Dia sedar dia bukan pilihan Sulaiman. Ibu Sulaiman dan ibunya yang tak habis-habis kenenkan mereka berdua. Pada Lynn, walaupun dia tidaklah berharap apa-apa kepada Sulaiman, tetapi apa salahnya memberi peluang untuk itu? Manalah tahu mereka serasi bersama. Lynn sedar, Sulaiman tidak pernah melayannya lebih-lebih dan memberi harapan. Tetapi entah kenapa, melihatkan renungan Sulaiman terhadap Laili membuatkan dia cemburu tiba-tiba. Tak boleh terima kalau Sulaiman memilih Laili menjadi isterinya. No! She will never let it happen!
“Good night, Lynn...” ucap Sulaiman sebelum Lynn turun daripada kereta.
“Esok you ambil pukul berapa?”
“Esok I tak dapat ambil. You pergi kerja sendiri.”
“Kenapa? I dah terbiasalah you hantar dan ambil I dari ofis. Tak boleh ke you hantar je macam selalu?” pinta Lynn lebih kepada mengarah. Sekurang-kurangnya, bila Sulaiman menghantar dia ke pejabat, dapatlah dia sakitkan hati Laili.
I tak akan selamanya ada untuk you, Lynn. I dah pernah cakap dulu, I hantarkan you seminggu ni pun sebab kereta you masuk bengkel. Takkanlah selamanya I nak hantar you? I ni kuli you ke? Hamba you?” nada suara Sulaiman mula berubah.
Lynn terkulat-kulat apabila ditengking. Panas mukanya kerana dimarahi Sulaiman. Mujurlah hanya mereka berdua di dalam kereta ni.
“You tak payahlah nak tengking-tengking. I cakap elok saja, kan? I tak pernah anggap you kuli atau hamba. In fact, I anggap you lebih mulia daripada tu, Man. You tahu, kan?”
“Dah you nak menggedik sangat, siapa suruh? I minta maaf Lynn. I cakap dengan you awal-awal. Hati I dah ada yang punya!”
“Siapa? Laili?” Lynn mencebik.
“Yang pasti bukan you, Lynn. I hanya boleh berkawan dengan you. Tapi kalau you cross the line, I minta maaf. You takkan nampak muka I lagi,” ugut Sulaiman.
Lynn keluar daripada kereta tanpa sepatah kata. Pintu kereta Sulaiman dihempas kuat. Kakinya dihentak-hentak ke tanah, menunjukkan rasa marah. Tak guna punya Laili, selama ni elok je Sulaiman melayannya. Baru berjumpa dengan Laili, terus layanannya berubah 180 darjah. Sulaiman menurunkan tingkap. Lynn yang sedang berjalan masuk dia pandang.
“Jahanam kereta I, you nak ganti ke?!” jerit Sulaiman.
***
Lynn memandu ke pejabat dengan seribu satu perasaan. Sejak malam tadi sehingga bangun tidur pagi tadi hatinya tak tenang. Tak tenang kerana memikirkan tentang Sulaiman dan Laili. Bagaimana kalau Laili kembali kepada Sulaiman? Bagaimana pula dengan dirinya? Ah, sudah! Adakah tanpa dia sedar, dia pun sudah mula mencintai Sulaiman?
Masuk di tempat parkir, Lynn tidak terus mematikan enjin kereta. Dia menarik nafas dalam dan cuba mempositifkan diri. Tak mahu emosinya terganggu hanya kerana sikap Sulaiman malam tadi. Namun tidak lama dia dapat mengekalkan semangat itu. Baru saja dia keluar daripada kereta, matanya terpandangkan kereta Sulaiman terpakir tidak jauh dari tempatnya dan Sulaiman sedang berdiri berhadapan dengan Laili, membincangkan sesuatu. Lynn merengus geram.
“Semalam kata ada hal, tak boleh hantar? Tiba-tiba pagi ni boleh pula ada dekat sini?!” marah Lynn tanpa sebarang amaran.
Sulaiman sedikit terkejut. Bagaikan terlupa Lynn juga bekerja di bawah bumbung yang sama dengan Laili. Laili tayang muka selamba. Baguslah perempuan ni dah sampai, getus hatinya.
“Oh, Lynn... ni boyfriend awak cari awak tadi. Saya masuk dululah ya...” ujar Laili tanpa menoleh ke belakang lagi. Seperti mana dia meneruskan kehidupan tanpa mahu mengenang kisah lalu. Namun, kenapa hatinya bagai tak mengizinkan dia berbuat begitu?
Melihatkan Laili sudah melangkah pergi, Sulaiman membuka pintu keretanya dan masuk tanpa menghiraukan Lynn yang terpinga-pinga di luar.
“Hey! Man! Bukalah! You tak jawab lagi soalan I. Sulaiman!” marah Lynn sambil mengetuk-ngetuk tingkap kereta Sulaiman.
Sulaiman menghidupkan enjin kereta. Sebaik saja masuk gear, dia terus memandu keluar kawasan parkir. Jauh sedikit dari kawasan pejabat Laili, Sulaiman memberi isyarat ke tepi. Dia memberhentikan kereta di tepi jalan. Telefon bimbitnya dikeluarkan dan nombor sahabat lamanya dia dail. Ada pertolongan yang dia perlukan daripada lelaki itu.
“Helo Jeff. Kita jumpa?”
***
Leman & Laili p6
“Jauh menung, Laili?” tegur Puan Rumaizah tatkala melihatkan anaknya berteleku seorang diri di meja makan. Dia menarik kerusi di sebelah Laili untuk duduk. Lama tidak dapat duduk bersembang dengan anak daranya ini.
Laili yang tersentak kerana ditegur Puan Rumaizah mengangkat kepala dengan senyuman. “Mak...”
“Fikirkan apa? Banyak masalah ke?”
Laili menggeleng. “Tak ada apalah, mak... Laili ok je...”
“Iya? Hrm... lama mak tak nampak kamu termenung macam ni. Seingat mak, masa awal-awal kita pindah ke sini, hampir lima bulan kamu duduk termenung macam ni. Jangan macam tu, Laili. Kalau ada masalah, ceritalah dengan mak. Kamu seorang sajalah anak mak yang tinggal...” Puan Rumaizah memandang anaknya dengan penuh rasa kasih. Anaknya seorang inilah yang menjadi penyejuk mata dan hatinya selepas dugaan yang melanda mereka sekeluarga.
Laili melentokkan kepalanya ke bahu Puan Rumaizah. Bibirnya menguntum senyuman tawar. Kata-kata maknya membawa Laili ke kenangan lalu. Sewaktu di tingkatan lima, begitu banyak perkara pahit  dan manis yang berlaku dalam hidupnya. Kalau ditanya apa perkara manis yang berlaku dalam hidupnya, ada dua jawapan yang Laili akan beri. Kesibukannya sebagai pelajar untuk menduduki peperiksaan SPM dan juga berkenalan dengan Sulaiman dan berkawan rapat untuk beberapa bulan.
Namun, bila mengingatkan perkara pahit yang berlaku, perkara manis itu hilang nikmatnya bila melihat wajah duka emak apabila mendengar Abang Long di tangkap kerana menyamun dan membunuh orang kaya di kampung. Ayahnya pula sudah menjadi mayat hidup kerana ketagihan dadah. Orang kampung muka bercerita dan memulaukan mereka sekeluarga. Tidak tahan di hina, emaknya mengambil keputusan untuk berpisah dengan ayahnya. Dan dia mengajak emaknya pindah untuk memulakan hidup baru. Along pula dihukum mati tiga tahun kemudian kerana membunuh dengan niat selepas dibicarakan dan membuat rayuan.
Berpisah dengan Sulaiman bukan perkara yang mudah untuk dia lakukan. Laili yakin, jika dia bercakap dengan baik, Sulaiman tidak akan mengendahkan permintaannya. Sementelah, mendengar kejian dan makian yang keluar daripada mulut ibu Sulaiman terhadap dia dan emaknya, Laili mengambil keputusan untuk meninggalkan Sulaiman terus tanpa sebarang kata. Tak sangka, sepuluh tahun berlalu, takdir mempertemukan mereka semula.
“Laili...!”
“Hah!” bulat mata Laili mendengar suara ibunya yang meninggi secara tiba-tiba. “Kenapa, mak?”
Puan Rumaizah menggeleng. Kalau dahulu Laili jadi begini kerana Sulaiman. Kali ini, kerana siapa pula?
“Tak keluar dengan Jefrey ke? Selalu rajin mengikut dia keluar?”
“Hrm... tak adalah moodlah. Malam ni nak habiskan masa je dengan mak dekat rumah.” Laili senyum manis.
“Habiskan masa apanya kalau fikiran entah ke mana-mana?” sindir Puan Rumaizah.
Laili senyum hambar. Dia berkira-kira sama ada mahu menceritakan tentang pertemuannya dengan Sulaiman ataupun tidak. Kalau dia cerita, apa gunanya? Menunjukkan dia masih terikat dengan kenangan lalu, adalah!
“Laili... kenapa ni?” soal Puan Rumaizah tidak puas hati. Penat dia bercerita itu dan ini, namun Laili seringkali hilang dalam dunianya sendiri.
“Mak...”
“Hrm?”
“Laili...” Laili menghela nafas berat. “Laili jumpa Sulaiman balik, mak... dan Laili sangat terganggu dengan pertemuan kami. Kenapa ya, mak? Laili masih sukakan dia ke?” soal Laili lurus.
Puan Rumaizah terdiam. Benar, sepuluh tahun dulu, lima bulan Laili termenung kerana Sulaiman, kini anak gadisnya itu masih termenung kerana orang yang sama.
“Laili... kalau mak tak izinkan kamu berkawan, bercinta dan berkahwin dengan dia, kamu boleh ikut cakap mak?”
Dan Laili terus kematian kata-kata.

No comments: