::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

15 May 2016

Mini-novel: Leman & Laili 03



Leman & Laili p10.
Tak ada terima apa-apa ke hari ni? – 0123456789
Laili membaca mesej yang dia terima dengan kerutan di dahi. Mesej yang tiba hampir setengah jam yang lepas. Siapa pula yang tersalah hantar pesanan ni?
Laili, sekali pun kita tak ada jodoh, takkan berkawan pun tak boleh? – 0123456789
Mesej kedua tiba. Membaca setiap patah perkataan di skrin tidak memerlukan Laili untuk mengerah otaknya. Pasti Sulaiman yang menghantar pesanan itu. Betullah telahan Jefrey tadi. Memang lelaki itu yang menghantarkan bunga untuknya.
Sorry, awak salah nombor ni. Saya bukan Laili. Saya Siti Nurhaliza. – Laili
Bagai digeletek hati Sulaiman membaca balasan daripada Laili. Ingatkan tak sudi nak balas mesej dia. Hampir setengah jam dia hantar mesej pertama dan beberapa minit lepas mesej kedua, barulah ada balasan daripada gadis itu.
Oh, Siti Nurhaliza rupanya. Saya suka lagu Siti, situ, sana, sini. Sebab situ, sana, sini saya pergi, pasti jumpa Siti. Awak buat saya gila bayang.– 0123456789
Laili mencebik. Menyampah pula bila Sulaiman turut sama melayan kesengalan dia. Laili melarikan ibu jarinya ke atas skrin untuk menyimpan nombor lelaki itu. Setelah selesai, dia membalas lagi mesej Sulaiman.
Nak apa? – Laili
Nak berkawan dengan awaklah ;) – Leman
Tak ada istilah berkawan sampai nak bagi sejambak bunga ros. - Laili
Awak tak suka? – Leman
Awek awak yang tak suka. Selamat dah bunga tu dalam tong sampah dia kerjakan. – Laili
Sulaiman terkejut. Lynn ke yang Laili maksudkan? Mesej Laili dia biarkan tidak berbalas. Laju tangannya mendail nombor Lynn. Mahu brainwash sedikit sikap gadis itu yang padanya cukup kurang ajar. Namun panggilannya tak berjawab. Tak boleh jadi. Semakin sukar untuk dia memikat Laili kalau begini.
Saya minta maaf Laili. Demi Allah, dia bukan awek saya. Apatah lagi nak jadikan dia isteri saya. – Leman
Laili membaca mesej Sulaiman dengan seribu satu perasaan. Sulaiman menyukai dia. Dia pun senang dengan Sulaiman. Tetapi kenapa jalan cinta mereka begitu sukar?
Jarang gerak hati seorang ibu itu silap. Saya minta maaf. Bukan setakat bercinta, berkawan dengan awak pun saya tak mampu. Mungkin kita perlu belajar terima hakikat dan teruskan kehidupan seperti biasa. Terima kasih untuk bunga. - Laili.
Sent. Blue tick yang muncul menandakan mesej yang dihantar sudah dibaca Sulaiman. Laili terpaksa mengalah. Dia tidak mahu bermain dengan api. Takut nanti hatinya turut rentung sekali. Berkawan dengan Sulaiman tidak semudah diungkap dengan kata-kata. Tambahan pula, dia dan Sulaiman masing-masing menaruh harapan. Bimbang jika sudah terlajak sayang, tak mampu dia hendak mengundur masa jika hubungan mereka terus-terusan ditentang keluarga.
Kita lunch sama. Saya tunggu awak di lobby nanti. – Leman
Laili menghela nafas berat. Terlupa Sulaiman bukan seorang yang akan menyerah begitu saja.
***
Sulaiman memakirkan kereta tidak jauh dari pintu utama pejabat Laili. Hendak berhenti betul-betul di depan itu, rasa tak patut pula. Jam baru menunjukkan pukul dua belas suku tengahari. Masih awal lagi. Terlanjur dia ada mesyuarat tidak jauh dari pejabat Laili, terus dia ke sini. Telefon bimbit dicapai dan nombor Laili dia dail. Tidak sampai lima saat, panggilannya berjawab.
“Saya tak dapat keluar dengan awak,” ujar Laili tanpa sempat dia hendak memberi salam.
“Mana boleh! Saya dah ada dekat depan pejabat awak ni.”
“Boleh je. Lynn akan ganti tempat saya,” Laili menjawab selamba. Sengaja hendak menyakitkan hati Sulaiman. Hakikatnya, dia sedang berjalan menuju ke pintu utama. Sewaktu Sulaiman menelefon, dia baru hendak menghantar pesanan kepada lelaki itu, bertanya di mana lelaki itu berada.
Sulaiman merengus geram. Seorang demi seorang perempuan dalam hidupnya menguji kesabarannya. Kenapalah perempuan terlalu kompleks?
“Saya tak peduli. Kalau awak tak keluar, saya yang akan masuk ke dalam cari awak,” ugut Sulaiman.
Baru dia hendak menamatkan panggilan, matanya menangkap susuk tubuh Laili yang sedang berjalan ke arah keretanya dengan wajah sinis. Cis! Mengenakan akulah tu!
“Kenapa pipi tu?” tegur Sulaiman apabila terpandang kesan merah di pipi Laili.
Laili membelek pipinya di cermin. Rasanya tadi dah tambah bedak. Masih merah lagi, kah?
“Nanti... kalau awak kahwin dengan Lynn, hati-hati. Awak buat hal sikit je, teruk awak dikerjakan.”
Sulaiman sedikit terkejut mendengarkan kata-kata Laili. “Selain buang bunga yang saya bagi, dia tampar awak juga?”
Laili menjeling Sulaiman yang jelas sedang menahan kemarahan. “Kita nak kat makan mana ni?” soal Laili, malas hendak memanjangkan isu Lynn.
“Awak nak makan apa? Tom yam seafood?
“Pipi macam nak lebam macam ni buat saya tak rasa nak makan apa-apa...”
Sulaiman memandang Laili dengan penuh rasa simpati. Mereka sama-sama diam. Ini kali pertama dia keluar berdua dengan Laili selepas sepuluh tahun. Dia tak mahu orang lain merosakkan harinya. Kereta di pandu menuju ke kawasan rumah kedai yang tidak jauh daripada pejabat Laili. Dia mahu membawa Laili makan ke sebuah restoran yang sedikit eksklusif. Harapannya, tiada sesiapa akan mengganggu makan tengahari mereka.
Sebaik saja memakirkan kereta, Sulaiman mengajak Laili turun. Dia melangkah menuju ke restoran manakala Laili mengikut langkahnya dari belakang. Sekarang awak di belakang saya, Laili. Satu hari nanti saya akan pastikan awak berjalan di sebelah saya, Lali...
“Saya ada buat reservation atas nama Sulaiman,” ujar Sulaiman kepada gadis pelayan yang menyambut mereka.
Gadis itu tersenyum lalu mengangguk. Dia menunjukkan sebuah meja yang sudah tersedia di atasnya makanan untuk mereka berdua.
“Wah. Well prepared...”
Sulaiman senyum. Wajah selamba Laili menjadi tatapan matanya. “Sepuluh tahun saya tunggu saat macam ni, Laili. Masakan saya nak rosakkan ia?”
Laili tidak memberikan apa-apa reaksi. Ada sebab kenapa dia bersetuju untuk mengikut Sulaiman hari ini. Jika sepuluh tahun dulu dia meninggalkan Sulaiman tanpa sebarang kata, kali ini dia ingin membetulkan kesalahan yang dia lakukan dahulu.
“Tom yam seafood seperti biasa. Okey, ke?”
“Hrm... jemu sebenarnya menghadap benda yang sama. Lagi-lagi dah berpuluh, belas tahun. Tapi disebabkan awak dah order... saya makan sajalah...” ujar Laili mendalam.
Sulaiman buat tak faham dengan kata-kata Laili. Plastik yang menutupi mangkuk dan piring dia buka. Dibantu oleh Laili di hadapannya. Alangkah bahagianya rasa jika dapat makan bersama seperti ini selalu.
“Laili apa khabar sekarang?” Sulaiman memulakan perbualan setelah hampir lima minit mereka menjamah makanan.
“Baik.”
“Mak Laili?”
“Alhamdulillah. Sihat...”
“Alhamdulillah. Baguslah kalau begitu...” Sulaiman kematian kata-kata. Tidak mudah rupanya hendak memulakan semula perhubungan yang sudah lama terputus.
“Sekarang ni tinggal di mana?”
Laili menjeling Sulaiman sekilas. “Taman perumahan.”
Sulaiman menahan geram. Sabar sajalah dia berhadapan dengan Laili ni. “Dekat kawasan mana taman tu?”
“Kawasan yang orang tinggal. Buat apa nak tahu? Tak cukup ya kacau saya di pejabat?”
“Ouch! Tajamnya kata-kata awak, Laili. Menusuk ke jantung!” Sulaiman memegang dadanya. Bagai sakit benar. “Mestilah nak kena tahu. Senang saya nak masuk meminang nanti...” ujar Sulaiman selamba. Sambil berbual, makan tetap makan.
Laili mencebik. “Tak semudah itu untuk awak meminang saya. Halangan terbesar ada di rumah awak, Leman. Halangan kedua terbesar, ada di rumah saya.”
“Maksud Laili?”
Laili sekadar mengangkat bahu. Tak berniat hendak menjelaskan kata-katanya sebentar tadi.
“Sepuluh tahun ni, Laili ada sesiapa yang istimewa?”
Laili terhenti mengunyah. Wajah Sulaiman yang sedang menanti jawapannya dia pandang lama.
“Semestinya. Kenapa tanya soalan yang tak masuk akal ni? Sepuluh tahun kot. Bukannya sepuluh bulan. Sedangkan dalam sepuluh minggu pun macam-macam boleh berlaku.”
Sulaiman tersenyum tawar. “Saya faham...” nafas dihela perlahan. Tiba-tiba dia rasa begitu jauh dengan Laili. “Sepuluh tahun berlalu membuatkan saya rasa jauh sangat dengan awak...”
“Biasalah, Leman. Manusia ni berubah-ubah. Kalau sepuluh tahun dulu saya sukakan tom yam, tak semestinya hari ni saya akan sukakannya lagi.”
Sulaiman merenung mangkuk tom yam sudah habis isinya dikeluarkan oleh Laili. Meskipun tak suka, tak adalah sampai membuang. “Begitu juga dengan mak saya, kan? Dia pun boleh berubah...”
Laili tersedak cili. Merah padam wajahnya menahan rasa perit. Cepat-cepat Sulaiman menghulurkan air suam ke arah Laili. Ya Allah, dalam dia hendak mengenakan Sulaiman, lelaki ini pula yang mengenakan dia.
“Dah lega sikit?” soal Sulaiman risau. Boleh nampak air mata Laili bertakung dek kerana menahan sakit.
Laili mengangguk. Lega bila rasa pedas sudah hilang. Gila kau! Dia tengah mengunyah cili kot tadi!
“Laili...” panggil Sulaiman lembut. Mudah-mudahan dapat melembutkan hati Laili juga.
“Can we start all over again?” soal Sulaiman penuh pengharapan. Laili kaki di hadapannya. Entah kenapa, dia dapat rasa tak semudah itu Laili akan menerima dia. Adakah dia terlalu tergesa-gesa? Bila disoal kepada Jefrey, Laili masih belum punya sesiapa. Dia tak mahu kehilangan Laili lagi. Bila Laili pergi, separuh jiwanya turut terbang sama.
“Bolehlah kita bayar dan balik. Rasanya dah tak ada apa lagi, kan? Makanan pun dah habis.” Laili melihat ke semua pinggan, piring dan mangkuk di atas meja. Selamat dah semua masuk ke dalam perut masing-masing. Soalan Sulaiman tidak berjawab. Entah kenapa, dia cukup sayu mendengarkan permintaan lelaki itu. Mungkin kerana perasaan sayang itu masih membekas di hati, jadi memang sukar untuk dia menolak Sulaiman seperti perancangan awalnya tadi.
“Awak tak jawab soalan saya, Laili.”
Laili mengetap bibir. Nafasnya dihela perlahan. Jangan bermain dengan api, Laili. Kelak membakar diri. Parutnya akan kekal sampai mati!
“Saya minta maaf, Leman. Tak akan ada sambungan untuk kisah kita. Dan sejujurnya, saya setuju makan tengahari dengan awak hari ni pun sebab nak tamatkan semuanya hari ni. Sepuluh tahun dulu saya tinggalkan awak tanpa sebarang kata. Kali ini saya nak buat semuanya dengan cara yang betul.”
This is it. This is the end. Lepas ni, kalau selain daripada kerja... tolong jangan cari saya, Leman. Anggap saya tak wujud. Bangunlah dari mimpi-mimpi awak selama ni. First love semua tu, nonsense! Lupakan saya,” putus Laili.
Meski wajah Laili nampak selamba dan seperti tiada apa-apa, hanya Allah yang tahu betapa jiwanya meraung melihatkan wajah hampa Sulaiman. Ini yang terbaik. Untuk mak, untuk Sulaiman juga untuk dirinya.
“It is hard to forget someone from the past, when that person has been the one you ever wanted in your future.”
Laili mengetap bibir. Sedaya upada dia menahan riak wajahnya daripada berubah. Ya Tuhan, susahnya bila diuji dengan ujian hati dan perasaan begini!
“Masa akan membantu awak.”
Sulaiman mengeluh keras. Semudah itu? Sepuluh tahun dia masih tak mampu mengusir bayang Laili, berapa tahun lagi dia perlukan masa untuk melupakan semuanya?
“Marilah. Kita balik. Masa rehat pun dah nak habis.”
Laili mengangguk. Tanpa melihat wajah Sulaiman, dia bingkas bangun menuju ke kaunter. Tiba-tiba dia terasa tangannya di tarik.
“Tak apa. Saya belanja. Saya yang ajak awak makan hari ni.”
Laili mengangkat bahu. “Suka hati...” langkahnya diatur menuju ke kereta Sulaiman. Sebaik saja tiba di pejabat, Laili terus menuju ke bilik air. Di dalam stall paling hujung, dia menangis sepuas hati. Melepaskan segala perasaan yang terbuku bertahun-tahun di dalam hati.
 ***
Leman & Laili p11.
Dua bulan berlalu. Kehidupan Laili berjalan seperti biasa. Sesekali ada juga ingatannya melayang teringatkan Sulaiman. Namun wajah itu muka muncul di ingatan, cepat-cepat Laili menyibukkan diri dengan kerja. Mujur projek bersama KPC Engineering diuruskan oleh Jefrey sepenuhnya. Jika tidak, tak tahulah bagaimana dia hendak berhadapan dengan Sulaiman.
Sesekali emaknya bertanya tentang hubungannya dengan Jefrey. Risau benar orang tua itu kalau mereka berkawan lama sangat. Kata Puan Rumaizah, Laili seorang sajalah anaknya yang masih ada. Umur pun sudah sesuai benar untuk mendirikan rumah tangga. Tapi nak buat macam mana, mak? Jefrey pun tak sudi nak terima Laili jadi isteri.
Laili menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Waktu rehat sudah masuk. Namun perut yang masih kenyang menyebabkan dia tidak berniat untuk keluar mencari makanan. Matanya menangkap susuk tubuh Lynn yang sudah bersiap-siap untuk keluar. Semenjak dua menjak ni, mood Lynn sudah elok sedikit. Mungkin hubungannya dengan Sulaiman sudah pulih. Eloklah macam tu... Laili memejam mata rapat. Air liur yang ditelan terasa berpasir. Belum sempat dia hendak melayan perasaan, terasa ada seseorang berdiri di hadapan mejanya.
“Ada apa, Jeff?”
Jefrey senyum sumbing. Dalam mata terpejam pun gadis itu boleh meneka siapa di hadapannya.
“Tak nak keluar lunch, ke?”
“Hrm... malas. Kenyang. Nak rehat.”
“Ada orang pesan dekat aku, suruh pastikan kau jaga kesihatan. Makan pada waktunya...”
“Aku dah cukup besar untuk jaga diri sendiri, Jeff.”
“Aku bawa amanah orang, Li...”
“Dia bukan sesiapa untuk memberi amanah tu pada kau.”
Jefrey mengeluh. Mati akal dia hendak membantu kedua sahabatnya ini.
“Aku keluar dulu. Kalau nak kirim apa-apa, mesej.”
Laili tidak menjawab. Bau minyak wangi yang semakin menghilang memberi tanda Jefrey sudah keluar daripada ruang pejabat mereka. Pakai minyak wangi mengalahkan wanita! Sebatu dah boleh tahu kehadiran Jefrey kalau dia ke mana-mana.
Baru Laili hendak mula lena, dia dikejutkan dengan panggilan telefon oleh Puan Rumaizah. Dahi Laili berkerut. Pelik. Tak pernah-pernah emaknya menelefon dia sewaktu bekerja. Hatinya mula disapa rasa tidak enak. Harap-harap tiada khabar duka yang akan dibawa emaknya.
“Helo. Assalamualaikum. Kenapa, mak?”
“Waalaikumsalam. Laili...” perlahan dan lemah saja nada suara Puan Rumaizah menjawab.
Hati Laili semakin tidak tenteram. “Kenapa mak telefon? Ada apa-apa masalah ke dekat rumah?”
“Laili... boleh balik tengahari ni? Ambil cuti petang ni, tak payah masuk pejabat?”
Berkerut dahi Laili mendengar permintaan Puan Rumaizah. “Kenapa, mak? Ada apa-apa yang tak kena ke?”
“Kita ada tetamu...”
Laili menelan air liur. Sepotong ayat itu membuatkan jiwa Laili kacau. Tetamu bagaimana yang emaknya maksudkan? Laili bingkas bangkit. Beg tangan yang dia simpan di dalam laci dia keluarkan. Kemudian, telefon bimbit dicapai dan nombor telefon bosnya dia dail. Maaf bos. Saya terpaksa minta cuti kecemasan!
***
Kaku langkah Laili sewaktu terpandangkan wajah tua yang duduk di atas sofa di ruang tamu rumahnya. Di sebelahnya pula ada seorang lelaki muda yang segak, yang telah mencuri hati Laili sewaktu ketika dahulu. Laili mengalih pandangan. Mencari wajah Puan Rumaizah. Emaknya sedang duduk di atas sofa yang bertentangan dengan tetamu itu. Laili menelan air liur. Dia menjadi kekok apabila berhadapan dengan tetamu-tetamu yang tidak diundang itu. Perlahan-lahan Laili melangkah menuju ke arah Puan Rumaizah yang diam tidak bersuara. Dia duduk di sebelah emaknya dan tangan emaknya dipegang erat.
“Laili...”
Laili mengangkat muka. Wajah tua itu dipandang dengan seribu satu perasaan. Lelaki tua inilah yang menyebabkan kehidupan mereka sekeluarga huru-hara. Lelaki yang sepatutnya menjadi ketua dalam keluarga mereka namun hanyut kerana najis dadah. Lelaki yang kurang memberikan perhatian terhadap keluarga sehingga menyebabkan Along menjadi hilang arah. Lelaki yang menyebabkan dia dan emaknya dihina oleh masyarakat setempat sehingga terpaksa berhijrah untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa.
“Ayah minta maaf, Laili. Ayah banyak menyusahkan Laili dengan mak Laili...”
Laili termangu. Tidak tahu apa reaksi yang patut dia tunjukkan. Gembira? Sedikit pun dia tidak rasa gembira atas kedatangan ayahnya itu. Marah? Tiada apa yang dia hendak marahkan. Sepuluh tahun ini, dia bahagia hidup dengan Puan Rumaizah berdua.
“Sepuluh tahun ni mengajar ayah banyak perkara. Selepas Laili dan mak Laili pergi, along pun dihukum... ayah sedar kesilapan ayah. Ayah berusaha dapatkan rawatan di hospital untuk tinggalkan ketagihan ayah. Sulaiman di sebelah inilah yang banyak bantu ayah, Laili.”
“Baguslah kalau begitu...” komen Laili pendek. Dia tidak tahu hendak berkata apa lagi. Hubungannya dia dengan ayahnya pun bukannya rapat benar sewaktu mereka masih duduk di bawah satu bumbung.
“Ayah sekarang pun dah pindah keluar dari kampung lama kita. Ayah buka kedai runcit. Meniaga kecil-kecilan dekat kawasan perumahan yang ayah duduk sekarang. Kalau ayah mampu, ayah teringin sangat hendak menebus dosa-dosa ayah pada keluarga kita. Pada arwah...”
Tekak Laili terasa berpasir. Dia menjeling ke awah emaknya di sebelah. Wajah Puan Rumaizah nampak tenang. Sudahkan emaknya memaafkan ayahnya? Laili sendiri tidak pasti.
“Sepuluh tahun ni, kehidupan kami okey je. Ayah tak perlu risau. Sekali pun ayah tak muncul terus pun, tak menjadi masalah buat kami.”
“Laili...”
Could you please shut up, mister?” potong Laili sebelum sempat Sulaiman hendak bersuara.
Tajam Sulaiman merenung Laili. Sakit hati pula apabila disuruh diam begitu.
“Dia ayah Laili. Boleh tak hormat sikit?” tegur Sulaiman.
“Tak cukup hormat lagi ke saya? Nak suruh saya cium kaki dia ke macam mana?”
“Laili!” tegur Puan Rumaizah.
Laili diam. Perlahan-lahan dia cuba menenangkan dirinya. Entah kenapa, mudah sangat rasa marah menguasai dirinya. Laili beristighfar beberapa kali. Apabila sudah sedikit tenang, Laili mengangkat muka. Satu demi satu wajah yang ada didepannya dia pandang.
“Laili minta maaf. Kalau tak ada apa-apa, Laili nak kembali ke pejabat. Tak adalah terbuang saja cuti Laili separuh hari untuk perkara yang sia-sia.”
Sebaik saja menamatkan kata-katanya, Laili bingkas bangun. Beg tangan yang di letakkan di sebelah kaki dia capai. Tangan Puan Rumaizah dia capai dan dia salam sebelum keluar rumah. Meski dia sudah sedikit tenang, Laili tak belum dapat berfikir dengan normal. Kehadiran ayahnya mengejutkan. Satu demi satu kesengsaraan yang dia dan Puan Rumaizah lalui bagaikan terlayar kembali di kotak fikirannya di saat dia cuba menerima ayahnya yang sudah berubah.
“Biarkanlah dia. Dia perlukan masa, sama seperti pak cik perlukan masa untuk berjumpa dengan anak dan bekas isteri pak cik...” tahan Encik Mokhtar apabila Sulaiman bangun untuk mengejar Laili. Mendengarkan kata-kata Encik Mokhtak, Sulaiman kembali duduk meskipun hatinya bengkak dengan
“Zah bersyukur abang dah berubah. Setiap hari Zah doakan abang kembali ke pangkal jalan. Walau apa pun terjadi, abang tetap ayah kepada anak-anak Zah. Zah dah maafkan semua kesilapan abang dekat Zah. Cuma, berilah kami masa. Bukan sehari dua luka yang ada akan sembuh...”
Encik Mokhtar mengangguk perlahan. “Abang faham, Zah. Abang minta diri dulu. Zah sudi terima abang sebagai tetamu pun dah besar maknanya untuk abang.” Encik Mokhtar sudah bersiap-siap untuk pulang. Tiada apa lagi yang dia harus tunggu. Bekas isterinya menerima dia sebagai tetamu dan menjemput dia masuk ke dalam rumah pun sudah besar budinya. Encik Mokhtar menarik nafas dalam. Sedikit sebanyak dia rasa bersyukur dengan peluang yang Allah berikan kepadanya.
***
Laili tidak kembali ke pejabat. Dalam fikirannya dan emosinya yang berkecamuk, Laili yakin dia tidak akan dapat menumpukan fokusnya dengan kerja. Akhirnya dia membuat keputusan untuk ke Taman Tasik. Dia mahu mengambil angin. Dia mahu menenangkan fikiran. Cuaca yang panas tidak berjaya mematikan niatnya. Dalam keadaan runsing begini, hanya satu cara saja dia dapat menenangkan diri. Dengan mengingati Allah s.w.t. Dan caranya, dengan melihat alam ciptaan Allah s.w.t.
Lama Laili berteleku di bawah pohon yang rendang, yang memberinya tempat untuk berteduh. Dia mula berfikir satu demi satu perkara yang terjadi dalam hidupnya. Salahkah dia berdendam dengan ayahnya? Kerana ayahnya, kehidupan kanak-kanaknya dan zaman remajanya tidak pernah bahagia. Kerana ayahnya, dia dengan emaknya menderita. Kerana ayahnya, kisah cintanya tidak kesampaian dan sehingga kini, dia sentiasa merasa rendah diri dengan latar belakang dirinya. Tetapi, kenapa emaknya begitu tenang menerima kepulangan ayahnya? Mengingatkan wajah tenang Puan Rumaizah tadi menyebabkan Laili panas hati. Emaknya tidak sepatutnya tenang begitu. Emaknya tidak sepatutnya menerima kehadiran ayahnya tadi. Emaknya patut menghalau lelaki yang telah menghadiahkan penderitaan buat mereka berdua.
Encik Mokhtar bukan ayah yang baik. Encik Mokhtar bukan suami yang baik. Dia tidak berjaya mendidik anak-anaknya sendiri. Dia tidak berjaya memimpin keluarganya sendiri. Berbelas tahun dia hanyut dengan syurga dunia yang dia cipta. Masakan dengan semudah itu dia meminta orang lain melupakan?
“Memaafkan lebih baik daripada berdendam, Laili...” tegur satu suara dari arah belakang.
Laili terkejut. Laju dia menoleh ke belakang. Wajah serius Sulaiman menyapa matanya. Bagaimana Sulaiman tahu dia berada di sini?
“Bila kita memaafkan, beban dendam yang tersimpan dalam dada kita akan hilang. Secara tidak langsung akan memberikan ketenangan kepada jiwa kita...” ujar Sulaiman lembut. Dia mengambil tempat di sebelah Laili. Melihatkan Laili yang berteleku begitu membuatkan dia geleng kepala. Boleh gadis ini tahan duduk di sini dalam cuaca panas begini?
“Buat apa kat sini?”
“Temankan Laili...”
“Saya nak bersendirian...”
“Berdua lebih baik.”
“Tolonglah, Leman. Saya tak ada masa nak melawak!”
Sulaiman tersenyum. Wajah marah Laili nampak manis di matanya. “Kongsikan apa yang memenuhkan kepala Laili, I’m all ears.”
“Saya nak bersendirian!”
“Kongsikan apa yang Laili rasa, agar hati Laili jadi tenang...”
“Sulaiman...!”
“Laili marahkan saya sebab bawa ayah Laili ke rumah Laili?”
“Saya tak nak bercakap tentang ayah saya. Pada saya, ayah saya dah lama mati!”
“Manusia boleh berubah, Laili. Jika Allah s.w.t. memberikan peluang kepada hamba-Nya untuk berubah selagi belum mati, selagi belum kiamat, kenapa tidak kita?”
“Sebab saya bukan Tuhan...”
“Iyalah, kan? Sebab kita manusia. Kita lemah. Ada masanya, kita kalah dengan emosi kita. Kita berdendam bila kita kecewa dengan seseorang. Jadi, bila dalam keadaan kita dah tidak berdaya dan kawal rasa marah kita, lepaskan semuanya kepada Allah s.w.t. Selepas kita hanya usaha sedaya-upaya kita untuk memaafkan. Kita berdoa kepada Allah s.w.t. untuk memaafkan kelemahan kita yang tak mampu hendak memaafkan orang tu...”
“Tak payah cakap berbelit-beli, Leman. Saya penat nak dengar.”
“Saya akan terus bercakap, menasihati Laili. Sampai bila-bila.”
Laili menutup mulutnya rapat-rapat. Kalau dia menjawab, akan ada lagi tazkirah yang keluar daripada mulut lelaki itu. Dia ke sini bukan hendak mendengar orang bercakap. Dia ke sini kerana hendak merawat hati dia yang terluka. Dengan melihat kebesaran Allah s.w.t., dia tahu apa yang dia alami terlalu kecil sebenarnya. Tetapi bila Sulaiman datang, hatinya tak tenang. Semakin berkecamuk. Rasa hendak saja dia tolak Sulaiman masuk ke dalam tasik yang terbentang di hadapan mereka sekarang. Laili menggigit bibirnya perlahan. Tak tahan menanggung rasa, tiba-tiba saya air matanya jatuh ke pipi. Dia kalah. Dia lemah.
“Menangis bukan bermakna Laili lemah, tetapi bermakna Laili dah terlalu kuat untuk tempoh yang lama. Menangislah Laili kalau itu mampu meredakan perasaan Laili...”
Kata-kata Sulaiman ibarat angin lalu di telinganya. Puas menangis melepaskan apa yang tersimpan sepuluh tahun ini, Laili mengangkat muka. Pandangannya terhala ke arah Sulaiman yang duduk santai memerhatikan tasik. Mereka berdua bagaikan berada di dalam dua dunia yang berbeza.
“Laili nak balik.”
“Nak saya hantarkan?”
Geleng. “Takkan nak tinggalkan kereta...”
“Kereta tu...” tidak sempat Sulaiman hendak menyambung,
“Assalamualaikum. Saya daripada badan pencegah maksiat. Awak berdua dah berkahwin ke belum?”
Berubah  wajah Laili dan Leman mendengarkan teguran itu. Spontan keduanya mengalih pandangan ke arah lelaki yang menegur. Jefrey sudah tersengih-sengih, suka dapat mengenakan dua orang sahabatnya itu.
“Bongok! Tak kelakarlah, Jef...” ujar Laili senada.
Jefrey yang baru melabuhkan pandangannya ke arah Laili menelan air liur. Melihatkan mata Laili bengkak dia boleh mengagak gadis itu baru lepas menangis. Ah, sudah! Niatnya hanya mahu bergurau. Spontan tangannya naik kepala, menggaru kulit kepala yang tidak gatal itu.
“Sorry, aku just nak bergurau. Tak sangka pula ada hal lain...” Jefrey menjeling ke arah Sulaiman yang sudah senyum mengejek.
“Aku nak minta tolong kau bawa balik kereta Laili. Aku nak akan hantarkan dia balik nanti,” pinta Sulaiman lebih kepada mengarah. Kemudian dia bangun. Tangan mengibas seluarnya daripada kotoran yang melekat.
Jefrey membuat muka. Tak pasal-pasal dia jadi orang suruhan petang ni. Patutlah Sulaiman menyuruh dia menaiki teksi. Malas hendak menjawab, dia menghulurkan tangan ke arah Laili. Mahu meminta kunci kereta gadis itu.
Laili memandang Sulaiman. “Tak apa. Saya boleh balik sendiri.” Pandangan dialihkan ke arah Jefrey yang masih menunggu. “Sorry Jef, susahkan kau.”
“Saya hantarkan awak balik, Laili. Lagipun, saya nak bawa awak ke satu tempat.”
“Ke mana?”
Sulaiman sekadar senyum nipis. “Jom. Awak akan tahu nanti...” ajaknya.
Tanpa membantah, Laili bangun dan memberikan kunci keretanya kepada Jefrey. Laju Jefrey berjalan ke kereta Laili selepas meminta diri. Melihatkan Jefrey sudah memandu kereta Laili keluar dari parkir, spontan Sulaiman mencapai tangan Lali dan berjalan ke kereta. Tersedarkan kesilapannya, cepat-cepat Sulaiman melepaskan tangan itu dan dia menggosok-gosok rambutnya.
Sorry...” ucapnya perlahan. Sungguh bila bersama Laili, sukar untuk dia mengawal diri.
“Hrm... kita nak ke mana?”
“Ada orang nak jumpa dengan Laili. Banyak kali dah dia sebut-sebut.”
“Bukan ayah saya, kan?”
Sulaiman ketawa kecil. “Bukan...”
“Singgah stesyen minyak dulu. Saya nak basuh muka.”
Sulaiman mengangguk. Apa saja untuk kamu, my lady!

No comments: