***
“Siti! Ada surat untuk kau!” aku yang baru melangkah masuk ke dalam kelas terpegun mendengarkan suara Uyul menegur. Mata dihalakan ke arah Uyul yang sedang melangkah masuk melalui pintu belakang kelas. Dahi aku berkerut.
“Kau cakap apa?”
“Ada surat untuk kau. Tadi aku pergi office, ambil surat yang mak aku pos. Ternampak ada nama kau sekali. Baru sampai agaknya. Pergilah ambil.”
Aku mengangguk. Surat! Mesti daripada Naufal. Aku tersenyum dalam diam. Hati sudah melagukan irama indah. Rasa macam nak terbang ke pejabat tu. Sabar, Siti... sabar! Takkan lari surat dikejar. Hihihi! Selepas meletakkan botol air yang baru diisi, aku berjalan keluar daripada kelas. Langkah diatur menuju ke arah pejabat sekolah yang tidak jauh daripada kelas aku. Pintu bilik dibuka. Terasa hawa dingin yang keluar daripada pejabat. Laju aku membelek tempat yang diletakkan surat-surat untuk pelajar.
“Hai! Dapat surat daripada boyfriend ke?” sinis suara Fakhrul menegur sewaktu aku melangkah masuk ke dalam kelas.
Aku memuncung. Sakit hati dengan teguran sinis dia. Geram! “Suka hati akulah. Yang kau sibuk nak jaga tepi kain aku, apasal?!” marahku.
Dua tahun sekelas dengan Fakhrul, cukup menjengkelkan. Oh, silap! Dicampur dengan sewaktu di menengah rendah, lima tahun sebenarnya aku sekelas dengan dia. Entah apalah malangnya dapat sekelas dengan dia semasa di sini. Masa aku mendaftar, Fakhrul sebenarnya tak dapat pun tawaran ke sekolah berasrama ni. Tetapi, dah rezeki dia agaknya... masa pelajar panggilan kedua mendaftar, dengan bangganya dia melangkah masuk ke dalam kelas aku. Lepas tu, suka sangat menyakitkan hati aku setiap kali aku dapat surat daripada Naufal. Sabar sahajalah!
“Apa ayat-ayat jiwang dia kali ni? Hahaha! Tak sangka ye, budak lembik macam tu, gagap, dahlah rupa pun hish.... ada jugak perempuan nak? Buta agaknya perempuan tu!” kata Fakhrul kuat.
Aku menahan geram. Ini bukan kali pertama dia berkata begitu. Tahun lepas pun, dia pernah pecahkan almari aku di dalam kelas semata-mata hendak mencari ‘surat cinta’ daripada Naufal kononnya. Entah macam mana malangnya nasib aku hari tu, boleh pula kad yang baru aku terima, aku terlupa hendak bawa balik ke asrama. Sekuat-kuat hati si beruang tu baca dalam kelas. Tak pasal-pasal jadi kes dekat sekolah. Seminggu jugak aku kena panggil dengan Ustazah Mashitah untuk kaunseling.
“Apa tujuan Fatimah bercouple sebenarnya, Fatimah?” soal ustazah lembut. Kalau empat hari lepas, ustazah sekadar berbual kosong. Dia bertanyakan latar belakang aku, keluarga aku, bertukar cerita dengan hidup dia, berkongsi cerita tentang zaman belajar... hari ni, barulah aku terasa lain mendengarkan soalannya.
Aku tertunduk. Segan rasanya bila baru tingkatan empat sudah kena panggil masuk ke dalam bilik ni buat kali kelima. Mujurlah hari ni hari terakhir aku kena menghabiskan masa dengan dia. Sudahlah bilik ni terletak di kawasan kelas pelajar tingkatan 5!
“Saya sayangkan dia, ustazah...” balasku berani walaupun tidak memandang muka Ustazah Mashitah.
“Hrm... ya! Kalau Fatimah tak sayang dia, takkan Fatimah couple dengan dia, kan?”
Aku diam.
“Jadi apa tujuan Fatimah couple dengan dia? Fatimah nak kahwin dengan dia lepas belajar ke?” asak ustazah dalam lembut.
Aku termangu. Kahwin? Aku? Naufal? Entahlah! Apa yang pasti, bila aku mengingati dia, fikiran aku jadi tenang, hati aku berbunga-bunga. Perasaan yang tak pernah aku rasakan sebelum ini.
“Ya!” kataku yakin lalu mengangkat sedikit muka, memandang ustazah.
Ustazah tersenyum simpul. Kepalanya dianggukkan perlahan.
“Bagus! Fatimah ada perancangan masa depan. Saya suka orang yang berfikiran jauh. Saya tak salahkan Fatimah kalau Fatimah bercinta.”
Terangkat sebelah kening aku mendengarkan kata-kata ustazah. Dahi aku sudah berkerut. Ustazah ni biar benar? Takkanlah cerita-cerita senior tentang ustazah ni strict dan garang sebenarnya tipu belaka?
“Cuma, apa yang salah adalah cara tu, Fatimah...”
Aku menelan air liur.
“Cinta itu fitrah. Saya tak pernah menghalang orang bercinta. Saya tak pernah marahkan anak-anak didik saya yang hendak bercinta. Teruskanlah! Siapa saya untuk menghalang perasaan yang Allah dah jadikan?”
“Tapi, saya hanyalah dengan cara bercinta yang dihalalkan Allah. Cara yang Fatimah buat ni, salah. Ya, memang Allah yang menciptakan perasaan kasih, belas, sayang, cinta. Tapi itu tak bermakna kita boleh salurkan perasaan itu dengan cara yang tak betul. Allah ciptakan perasaan kasih sayang. Tujuannya, untuk kita, orang-orang yang beriman ni berkasih-sayang. Merapatkan tali persaudaraan, agar tiada rasa benci, agar tiada perasaan iri hati, agar kita sama-sama rasa sakit bila saudara kita berada dalam kesusahan. Jadi, bila kita ada perasaan sayang itu, tak akan ada masalah. Sebab, kita akan rasa susahnya juga, sakitnya juga bila saudara kita ditimpa masalah-masalah tu...” kata ustazah lagi.
“Kalau macam tu, apa masalahnya kalau saya bercinta sekalipun? Sayakan orang yang beriman?” soalku berani.
Ustazah Mashitah hanya terangguk-angguk mendengarkan soalan aku. Sedikit pun tidak terkejut apabila aku berani bersuara. Tapi, betul apa? Ustazah jugak yang cakap, Allah ciptakan perasaan itu untuk orang yang beriman berkasih sayang? Jadi, apa masalahnya?
“Memang Allah suruh kita berkasih sayang. Tapi Allah juga dah mengingatkan kita, kasih sayang antara lelaki dan perempuan yang dia ciptakan hanya antara pasangan suami isteri. Bukan pasangan kekasih...”
“Habis tu? Takkanlah saya sendiri pulak yang buat-buatkan perasaan tu kalau bukan dari Allah?” balasku geram.
Ustazah tersenyum lagi. “Bukan Fatimah yang munculkan, tetapi syaitan yang mencampakkan benih-benih perasaan kasih sayang tu. Kasih sayang itu daripada syaitan, Fatimah. Bukan Allah...”
“Kalau macam tu, kenapa Allah izinkan syaitan mencampakkan perasaan tu? Kalau Allah tak izinkan, mesti tak akan ada masalah sekecil ni kan? Mesti ustazah bosan nak melayan masalah couple setiap tahun,” kataku sinis.
“Fatimah... Fatimah...” perlahan ustazah memanggil, seolah-olah mengeluh apabila aku asyik membalas kata-katanya.
“Kenapa Allah izinkan, ya? Berbalik kepada kisah penciptaan Adam, Fatimah. Fatimah lupa ya?” usik ustazah.
Aku tidak memberikan apa-apa reaksi.
“Bila Allah memerintahkan syaitan sujud kepada Adam, dia tak mahu. Katanya, dia lagi mulia daripada Adam. Apabila Allah murka, syaitan meminta izin untuk menyesatkan manusia. Allah izinkan. Tetapi itu tak bermakna Allah tak adil. Allah sayang sangat hambaNya, Fatimah. Dia berikan kitab sebagai petunjuk. Dia akan sentiasa mengampunkan hamba-hambaNYa yang tergelincir kerana ikutkan nafsu.”
“Tapi, ustazah... Saya bukannya berzina dengan boyfriend saya pun?”
“Ya... alhamdulillah, Allah masih melindungi Fatimah daripada terjebak dengan perkara-perkara haram tu, Fatimah. Saya bersyukur sangat. Mungkin Fatimah tak berzina, Fatimah. Tetapi hati Fatimah bagaimana? Fatimah berani cakap Fatimah tak pernah teringin sekalipun untuk peluk boyfriend awak?” soal ustazah.
Muka aku terasa panas. Malu dengan soalan yang dia ajukan. Aku menggeleng.
“Mungkin Fatimah belum pernah terasa lagi, sebab Fatimah dengan dia jauh. Tapi cuba kalau Fatimah dengan dia duduk sebelah-sebelah. Pernah tak Fatimah teringin nak pegang tangan dia? Kalau melintas jalan, dia pimpin tangan Fatimah, bagaikan melindungi Fatimah. Bermesra? Bermanja?”
“Saya bercinta dengan dia, tapi saya tak pernah buat perkara-perkara yang ustazah cakapkan tu. Saya couple, tapi saya ok!” kataku, cuba untuk meyakinkan dia.
“Ok. Secara luarannya, Fatimah ok. Alhamdulillah. Tapi bagaimana dengan hati Fatimah? Pernah Fatimah ingatkan Allah lebih daripada Fatimah ingatkan boyfriend Fatimah? Pernah Fatimah rindukan Allah lebih daripada Fatimah rindukan boyfriend Fatimah? Masa sembahyang, pernah tak Fatimah sembahyang segembira Fatimah terima surat daripada boyfriend Fatimah ataupun Fatimah sembahyang kerana terpaksa?” soalnya bertalu-talu. Tangannya menunjukkan kad yang diberikan Fakhrul kepada dia.
Aku menggigit bibir. Perlahan-lahan aku menggeleng.
“Hati kita ni Fatimah, penting sangat. Hati kita menunjukkan betapa ikhlasnya kita dalam beramal kepada Allah. Kalau hati kita dah terpalit dengan noda-noda yang hitam, macam mana hati kita nak ikhlas dan seronok bila beramal?”
Aku memerhatikan mata ustazah dalam-dalam.
“Fatimah tahu, dalam badan manusia ni, ada seketul daging yang bila daging itu baik, maka baiklah satu badan kita. Tapi, kalau daging itu rosak, maka, rosaklah diri kita. Daging itulah sebenarnya hati kita. Setiap kali kita langgar perintah Allah, lakukan apa yang DIa tak suka, bertambah rosaklah hati kita...”
Aku mengangguk lemah.
“Sebab itulah kita kena berusaha menjaga hati kita. Mesti ada hikmah setiap pengharaman Allah tu. Macam Allah mengharamkan arak. Arak boleh membuatkan akal kita rosak. Betapa Allah sayang kepada hambaNya, Allah tak hanya mengharamkan arak untuk umat Islam, tetapi juga untuk bukan Islam. Sebab itulah ada 10 orang yang dilaknat Allah berkaitan dengan arak. Semuanya untuk kebaikan kita kat dunia ni, untuk menjaga keselamatan hamba-hambaNya yang Dia cintai...” kata ustazah lembut.
“Oklah. Saya rasa, Fatimah dah faham apa yang saya cuba sampaikan. Cubalah perlahan-lahan. Kalau tak boleh nak lakukan hari ni, mungkin esok. Tapi, kalau boleh, buatlah sebelum terlambat,” Ustazah Mashitah mengakhiri kata-katanya. Kemudian, kami sama-sama berjalan keluar bilik. Sempat aku bersalam dan mencium tangannya sebelum kami berpisah. Tapi, itulah! Pesanannya tahun lepas bagaikan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Taufik Allah tak sampai lagilah tu!
3 comments:
best sangat akak! automatik dapat tazkirah free! ^^ smabung lagi akak, saya tunggu :)
nice one lah! rasa macam nak sambung sendiri.. hehe
hebat,ceramah dlm bentuk yg sangat dekat..bagus..
Post a Comment