Bab-bab seterusnya, kalau tak silap saya sama je cuma berubah dari segi bahasa dan ejaan. (^^,)
Minta doakan semoga semuanya berjalan lancar. Aminn. (^^,) v
Suami Aku Ustaz?! 07
“ABANG, hujung minggu ni abang tak nak pergi mana-mana ke?” Lembut aku bertanya apabila hendak mengajak berjalan.
“Balik rumah umi lah. Kan, Isnin ni Raya Haji? Boleh tolong apa yang patut dekat sana. Kalau tak silap, umi cakap Abang Ipin dengan Kak Suraya pun balik sini raya ni,” jawab Abang Hafiz tanpa mengangkat muka.
Aku menghela nafas perlahan. Memanglah Abang Ipin dengan Kak Suraya balik sini! Kalau tidak balik rumah umi, dia orang tu hendak balik ke mana lagi? Bukannya macam Abang Hafiz yang dah ada mertua kat sini. Itu pun sebab mertua dia pergi Mekah, maka dapatlah dia balik rumah umi dia. Kalau tidak, tak dapatnya dia balik beraya rumah umi. Sebab nanti, awal-awal lagi aku sudah paksa dia balik rumah aku.
Aku sebenarnya terasa ingin mengajak dia pergi berjalan. Sebab itulah aku tanya, dia tidak mahu pergi ke mana-mana ke? Walaupun aku tidak ada apa-apa untuk dicari, teringin rasanya nak mencuci mata. Tapi, nak cakap apa lagi? Keputusan di tangan dia sepenuhnya. Suami akulah katakan.
“Kenapa?” dia menyoal apabila lama aku terdiam. Dia ni macam boleh baca fikiran aku je.
“Nope! Tak ada apa.” Aku kembali memandang kertas soalan di hadapan. Tetapi fikiran masih melayang di bawa angin.
Abang Hafiz meletakkan pen ke atas meja. Dia mengalih pandangan ke arah aku.
“Ni mesti ada apa-apa ni. Kalau tak, mesti Lisa tak tanya. You should be aware yang kita akan balik rumah umi. Kan?”
Aku sengih. “Tak ada apalah...” tidak bersemangat je aku menjawab.
“Nur Alisa...”
Aish...! Aku buat muka. Terasa dah macam dekat dalam kelas je bila dia panggil aku dengan nama penuh. Meleret-leret pula tu.
“Tak adalah... tiba-tiba Lisa rasa nak berjalan. Boring lah duduk rumah.” ‘Kalau Lisa keluar dengan member, nanti abang bising pula!’ terasa mahu je aku menyambung ayat macam tu. Mujurlah hari ini aku baik sedikit.
“Boring? Hai? Dah ada abang dekat rumah pun, boring lagi ke?” soal Abang Hafiz.
Terus aku buat-buat ketawa dengan menganggap dia tengah buat lawak, walaupun sebenarnya dia tak ketawa.
“Lisa nak berjalan ke mana? Selama ni kalau abang ajak pergi bandar ke... minimart ke... beli groceries ke... Lisa tak nak? Takut jumpa oranglah, itulah, inilah. Ada saja alasan dia?” Sempat pula dia menyindir aku.
“Setakat minimart nak buat apa...”
Buat menghabiskan minyak petrol je. Sebenarnya, memang betul pun yang aku malas hendak keluar dengan Abang Hafiz ni. Risau kalau terjumpa orang yang aku kenal. Lagi-lagi kalau budak sekolah. Mendengarkan nada aku macam orang sedih, Abang Hafiz tersenyum.
“Hrm... dah agak dah ada budak tu nak ajak berjalan. Lisa nak pergi mana? Ada barang ke Lisa nak cari?”
Erk! Kenapa aku rasa suara dia ni lembut semacam? Muka aku pun terasa panas tiba-tiba. Cis! Apahal ni?
“Kita pergi JB nak?”
“JB?” Dahi dia sudah berkerut. “Nak pergi mana?”
“Jusco?” aku mencadangkan sambil mematah-matahkan jari. Berharap sangat Abang Hafiz akan setuju.
“Jusco mana? Tebrau?” dia tanya lagi.
Aku menggeleng. “Permas Jaya best juga!”
Ceh, cakap sahajalah Alisa yang kau hendak ke Jusco Permas Jaya nun. Lagi mahu berkias-kias cakap bestlah, murahlah, selesalah, itulah, inilah.,
Abang Hafiz memanggung kepala dengan tangan kanan dia sambil mata memandang tepat ke dalam mata aku. Aku memandang ke tempat lain. Segan pula rasa main-main mata ni.
“Lisa ada nak cari apa-apa ke?” Soalan yang sama tadi dia ulang lagi sekali.
“Banyak tanyalah abang ni.” Aku sudah mula merungut. “Kalau tak nak, tak payahlah.”
Tiba-tiba terasa mahu merajuk. Sedihnya! Bila ada ustaz seorang ni dalam hidup aku, hendak pergi mana-mana pun sudah tidak boleh! Terus aku sambung balik belajar walaupun daripada hujung mata aku nampak Abang Hafiz tersenyum. Suka sangat dia ni menyakat aku!
“Alah... merajuk pula!” usik dia.
Aku diam.
“Oklah, kita pergi. Tapi pagi eh? Lepas tu terus balik rumah umi.”
Aku sudah tersengih sampai ke telinga.
***
“KENAPA Lisa tak nak pergi Jusco yang dekat je? Taman U kan ada?” Abang Hafiz menyoal semasa kami di dalam kereta.
“Tak naklah! Dekat sangat. Nanti jumpa orang yang kenal, nak cakap apa?” Mata aku leka memerhatikan kereta di hadapan.
“Cakap ajelah yang betul. Bukannya berdosa pun!” selamba je dia bagi idea.
Aku mencebik apabila mendengar idea tidak bernas milik Abang Hafiz. “Abang cakap senanglah!”
Aku ni? Ingat semua orang boleh terima ke kahwin masa belajar? Kalau dekat universiti tu logiklah juga. Ni SPM pun tak lepas lagi. Ada yang label aku ni anak dara gatal. Eiii...! Lepas tu nanti kena gantung sekolah. Walhal SPM tinggal lagi sebulan.
“Lisa, satu hari nanti semua orang akan tahu pasal kita. Lagi-lagi bila kita ni duduk serumah.”
“Habis tu? Nak pindah rumah tak? Kita duduk asing-asing?” sengaja aku berkata begitu, ingin melihat reaksi Abang Hafiz.
Muka Abang Hafiz bertukar kelat. “Ada pula macam tu,” sedikit keras nada suaranya.
Aku ketawa. “Tapikan, kalau difikirkan balik, betul juga cakap abang. Satu hari nanti, mesti orang tahu juga, kan?”
Aku bersuara setelah hampir setengah minit mendiamkan diri. Abang Hafiz sudah menoleh ke arah aku sebaik sahaja mendengar ayat yang keluar daripada mulut ni. Bibirnya menguntum senyum. Ceh! Berharap aku setuju untuk declarekan dekat semua oranglah tu.
“Kalau macam itulah kan, abang. Lisa rasa, elok kita tunggu ajelah satu hari tu. Yang penting bukan sekarang!” tegasku. “Apa-apa pun, biar Lisa dapat sijil berhenti sekolah secara official. Lepas SPM, nak umumkan dekat televisyen pun, Lisa tak kisah. Janji, Lisa dah habis belajar.”
Senyuman dia mati. “Iyalah... iyalah!” Akhirnya Abang Hafiz mengalah. Aku tersengih menang.
Sebaik sahaja sampai di Jaya Jusco, tempat meletak kenderaan sudah mula hendak penuh. Hujung minggu macam ni memang selalu ramai orang agaknya. Aku sendiri jarang ke sini. Kadang-kadang je datang sini dengan mak dan ayah. Wah! Kiranya ini kali pertama dalam sejarah ni aku datang sini dengan ustaz aku! Bolehlah aku pau dia macam-macam. Hahaha. Aku dah ketawa jahat di dalam hati.
Kedai pertama aku masuk adalah kedai buku yang berhampiran pintu yang kami masuk. Abang Hafiz mengikut sahaja ke mana aku pergi. Aku membelek-belek novel yang berlambak dekat rak. Wahhh! Banyaknya novel baru! Tapi, kalau beli novel buat masa sekarang ni macam malas dulu sebab tak sempat nak baca. Lepas SPM lah baru borong novel. Abang Hafiz tengah leka membelek buku-buku agama yang tersusun di atas rak lain. Malas nak berlama-lama di dalam kedai ni, aku mencuit bahu Abang Hafiz dari belakang.
“Dah ke? Sekejapnya?” Dia melihat tangan aku, kalau-kalau ada barang aku nak beli.
“Tak ada apa nak cari.”
“Hai? Sikit punya banyak novel dekat situ? Takkan tak ada satu pun yang berkenan?”
“Ada. Tapi nantilah!”
“Lah... abang baru ingat nak belanja. Tapi tak jadi pula. Bagus juga tu! Jimat duit abang!” dia ketawa. Macam ketawa aku bila dapat kenakan dia je bunyinya.
Sebelum kami bergerak ke tempat lain, sempat Abang Hafiz mencapai buku yang dibeleknya tadi. Kemudian aku pula kena tunggu dia yang hendak membuat pembayaran di kaunter. Selepas keluar dari kedai buku, kami melangkah pula ke kedai menjual kamera. Leka Abang Hafiz memerhatikan kamera yang terpamer di dalam almari kaca tu. Aku? Mata ni sudah melilau-lilau ke tempat lain. Hahaha! Bukannya aku minat sangat pun dengan kamera-kamera ni.
“Lisa, jaga mata...” tiba-tiba Abang Hafiz menegur.
Mata dia masih melekat pada kamera di dalam almari tu. Dia ni macam tahu-tahu je aku tengah leka memerhatikan seorang budak lelaki yang lebih kurang seumur dengan aku tengah melayan budak kecil. Sudahlah handsome juga budaknya. Comel je! Adik dia agaknya. Kalau tidak pun, anak sedara. Aku memandang ke arah Abang Hafiz. Bibir sudah menguntum senyum. Menutup kesalahan diri. Agaknya dia nampak daripada cermin ni kot.
“Nak beli ke?”
Abang Hafiz menggeleng. “Tak perlu lagi,” kata dia.
Malas mahu bertanya lanjut, aku meneruskan langkah ke dalam.
“Nak pergi mana-mana lagi?” cara Abang Hafiz bertanya macamlah kami sudah habis ronda dalam Jaya Jusco ni.
“Eh? Mestilah!”
Aku buat muka. Baru dua kedai yang kami masuk. Itupun kalau dikira betul-betul, baru sebuah sebab kedai kamera tadi aku dengan dia berdiri dekat luar je. Bosan sungguh berjalan dengan ustaz inilah. Kalau aku keluar dengan Wati ke... Joe dengan Pa’an ke... mesti tidak cukup sejam. Walhal kami lepak dekat bandar Pontian tu je pun.
“Ok. Nak pergi mana lagi?” Mata Abang Hafiz melilau melihat ke kedai-kedai lain.
“Masuk JJ kejaplah. Manalah tahu ada benda best ke yang boleh beli. Lagipun, bank bergerak Lisa tengah ada ni.”
Langkah Abang Hafiz tiba-tiba terhenti. “Bunyi tak sedap tu. Abang balik dululah.” Dia mengacah aku dengan memusingkan badannya.
Laju aku menarik tangan dia. “Sengallah dia ni,” marahku.
Abang Hafiz ketawa. Dia ni, waktu dia serius, macam ustaz. Kalau datang masa dia main-main, perangai sudah kembali seperti semasa dia menjadi abang sepupu aku. Eh, sekarang pun abang sepupu juga kan?
“Eh? Ustaz Hafiz?” Suara perempuan yang menegur Abang Hafiz itu macam biasa aku dengar masa dekat kelas. Muka aku terasa tidak berdarah. Alamak... siapa pula yang gatal sangat datang berjalan kat Jaya Jusco ni masa aku ada dekat sini?
“Eh? Cikgu!” Tenang je Abang Hafiz membalas sapaan cikgu tersebut.
Aku memanjangkan kepala, ingin melihat siapakah gerangannya orang di sana. Sebaik sahaja terpandangkan muka Cikgu Liana, berderu-deru darah turun daripada muka.
“Alisa? Awak buat apa dekat sini?”
Cikgu Liana memandang aku. Kemudian pandangan dia jatuh pada tangan aku yang elok memegang tangan Abang Hafiz. Apabila aku nampak air muka dia berubah, spontan tangan Abang Hafiz aku lepaskan.
Caught red handed. Selalunya idiom ni aku guna semasa buat karangan Bahasa Inggeris. Agak-agak, sesuai tak kalau aku gunakan untuk diri sendiri? Lagi-lagi apabila aku kena tangkap basah dengan Cikgu Liana masa aku tengah pegang tangan Ustaz Hafiz. Walaupun Abang Hafiz ni suami aku sekarang, bukannya Cikgu Liana ni tahu. Alahai... Macam ada jodoh pula kita ini ye Cikgu Liana? Sampai sejauh ni kita boleh terjumpa. Tapikan, jodoh dengan aku ke dengan Abang Hafiz? Erk! Cukup, cukup. Aku tak mahu berfikir yang bukan-bukan.
“Saya cari barang sikit, cikgu.” Ringkas aku menjawab.
Cara Cikgu Liana memandang aku, jelas menunjukkan dia tak berpuas hati. “Dengan Ustaz Hafiz?” jengkel je bunyi dia bertanya.
Abang Hafiz tersenyum. “Hrm! Kita orang berdua je.” Dengan baik hati, dia tolong jawabkan.
Riak wajah Cikgu Liana berubah. Tiba-tiba aku terasa macam tengah shooting drama Korea pula dekat sini.
“Alisa ni sebenarnya...”
“Adik sepupu!” laju aku memintas.
Buatnya Abang Hafiz mengaku aku isteri dia, ada mati terkejut Cikgu Liana di tengah-tengah alam ni. Abang Hafiz tidak memberi apa-apa komen. Nasib baik dia ikutkan sahaja. Aku lihat kening Cikgu Liana bertaut. Dahi dia pun sudah berkerut. Aduh! Kenapalah dia ni lambat sangat nak faham? Bukannya aku bagi dia soalan Matematik dekat sini.
“Ustaz Hafiz ni sebenarnya abang sepupu saya. Saya ajak dia teman ni nak cari barang. Mak ayah saya pergi Mekah, jadi takkan saya nak ke sini seorang.” Terpaksa aku terangkan lagi sekali. Kali ni dengan lebih jelas dan panjang lebar.
“Oh!” Cikgu Liana mengalih pandang ke arah Abang Hafiz. “Pelik juga saya bila fikirkan ustaz keluar dengan anak murid,” kata dia dalam ketawa.
Pelik ke cemburu? Usikku nakal dalam hati. Abang Hafiz hanya senyum nipis. Kemudian dia mengalih pandang ke tempat lain.
“Cikgu seorang je?” Terpaksa pula aku menjadi ramah apabila Abang Hafiz buat tidak tahu dengan Cikgu Liana ni.
“Eh, tak... saya dengan family. Saja berjalan hujung minggu,” katanya. “Adik yang kecil nak balik U. Dia nak cari barang sikit,” tambah dia lagi.
Dalam pada masa yang sama, dia menunjukkan ke arah seorang budak lelaki yang aku lihat melayan budak kecil tadi. Lah? Budak lelaki ni adik Cikgu Liana ke? Tidak jadi aku hendak tengok lebih-lebih. Aku hanya mengangguk tanda faham. Tidak sampai seminit lepas tu, masing-masing meminta diri.
***
“CIKGU Liana tu ok jugakan, bang?” Sengaja aku memancing Abang Hafiz dengan soalan macam tu. Mana tahu dapat korek rahsia hati dia.
Abang Hafiz hanya tersenyum.
“Abang tengok dia macam mana?” provok aku lagi apabila soalan pertama tadi tidak memberikan apa-apa tindak balas.
“Macam tu lah.” Malas je dia menjawab.
Pandangannya fokus ke arah jalanraya. Balik dari Jaya Jusco tadi ada jugalah barang aku dapat. Dapat ya, bukan beli. Sebab semua ditanggung sepenuhnya oleh Abang Hafiz. Siap termasuk dengan pakej makan tengah hari lagi. Itu pun, semua baju tadi, dia yang pilih mengikut citarasa dia. Iyalah, sudah nama pun Ustaz Hafiz, kan? Baju yang dia pilih tu, mestilah yang besar-besar, yang labuh-labuh. Aku buat tidak pandang ajelah dua bahagian tu. Nasib baik design baju tu kena juga dengan selera aku.
“Erm... Abang tahu tak dia suka abang?”
Tanpa selekoh-selekoh aku bertanya memandangkan bahasa kiasan aku tidak mendapat respon.
“Tahu!”
Jawapan daripada Abang Hafiz buatkan mulut aku ternganga. Hah? Tiba-tiba aku rasa jantung aku macam nak gugur. Apahal pula ni?
“Serius? Mana tahu?” Mati-mati aku ingatkan, aku dengan budak kelas aku je yang tahu benda ni.
“Biasalah kalau duduk dekat bilik guru tu. Ada saja yang menyakat.” Serba tidak kena aku rasa bila mendengar cerita yang disampaikan Abang Hafiz.
“Habis tu, abang macam mana pula?”
“Macam mana apa?”
“Abang tak suka dekat dia?” Terasa berdebar dada aku hendak menunggukan jawapan Abang Hafiz.
Abang Hafiz tergelak. “Kenapa? Lisa cemburu eh?”
Suka betul dia tengok aku serba tidak kena. Kenapa? Nampak macam orang cemburu ke? Isk! Tidak ada maknanya. Cemburu itukan, tandanya sayang. Aku rasa, aku tidak adalah sayang mana dekat ustaz seorang ni. Hrm... Iya ke, Alisa? Soalan Abang Hafiz aku biarkan tidak berjawab.
“Perasaan dia, Lisa. Biarkanlah. Abang buat tak faham je. Kalau dia nak suka dekat abang pun, bukannya abang boleh paksa dia berhenti pun. ” Abang Hafiz menyalakan lampu isyarat untuk ke kiri.
“Dan kalau orang tak suka kita, bukannya kita boleh paksa dia suka pun. Kalau boleh paksa, memang abang dah lama buat dah...” Dia buat ayat tergantung serentak semasa kereta berhenti.
Eh, dia ni! Cubalah belajar cakap sampai habis. Kalau boleh, dia nak buat apa? Ada sesiapa yang tak suka dia ke tapi dia mengharapkan orang tu sukakan dia?
“Tak nak keluar ke? Kita minum kejap?” Abang Hafiz menyoal apabila aku masih statik di tempat duduk.
“Lisa?”
Cermin tingkap sudah menjadi mangsa ketukan Abang Hafiz. Laju aku buka tali pinggang keledar walaupun dalam hati merungut-rungut tidak puas hati. Hendak bertanya lagi, terasa segan pula. Ingatkan tadi nak tunggu dia yang habiskan ayat dia. Alahai! Kalau macam inilah, memang sampai esok belum tentu dia sambung ayat dia tadi. Entah-entah, dia pun sudah lupa apa yang dia hendak cakap kan tadi.
3 comments:
best x sabar nak tunggu next chapter...
t klau sau?! da kluar maklumkn tau..x saba saya nak bc...
bila novel ni nak keluar ye?
Post a Comment