::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

24 June 2013

Cerpen Aku Mencari Cinta 04

***
Aku berdiri dengan menyandarkan badan ke kereta. Sementara menunggu Ah Lee menyiapkan kerja dia, aku memerhatikan kereta yang lalu lalang di jalan besar, bersebelahan dengan Jalan Mahsuri ni. Baru hari ini aku memerhatikan keadaan bengkel Ah Lee sepenuhnya. Kalau tidak, aku perhatikan Ah Lee je. Haha!


Bengkel kereta Ah Lee ni boleh dikatakan strategik juga kedudukannya. Bengkelnya di hujung jalan, di mana di penghujung jalan ada lorong yang menghubungkan dengan jalan belakang. Cuma lorong itu jarang orang gunakan. Jadi, dapatlah dia gunakan ruang yang ada untuk meletakkan kenderaan yang tunggu untuk dibaiki.
Sorry lambat,” dia menegur.
Bibirnya seperti biasa, masih setia dengan senyuman. Senyuman yang buat aku berdebar-debar tak kira masa. Aku menundukkan sedikit muka, mengelakkan debaran di dalam dada terlihat di muka. Eh, boleh ke? Aku rasa boleh saja. Bila dada aku berdebar-debar melihat Ah Lee, mesti air muka aku pun berubah daripada biasa, kan?
“Tak apa. Awak busy ke?”
“Bolehlah. Pagi je tadi banyak juga kereta datang...” katanya lagi.
Aku mengangguk perlahan. “Oklah tu... Tuhan Allah bagi awak rezeki banyak hari ni!” kataku.
Ah Lee tidak membalas. Seperti biasa, bila aku bercakap tentang ketuhanan sedikit, dia hanya tersenyum dan mengangguk.
So, kita nak lunch kat mana hari ni?” soalnya tiba-tiba.
Aku mengerutkan dahi. Kemudian aku menggeleng perlahan. Tak ada idea.
“Awak pandai makan, makanan Cina?”
Erk! Aku menelan air liur. Serta-merta tekak terasa loya membayangkan makanan yang jauh beza dengan selera aku. Kena pula, Ah Lee ni faham ke halal haram? Sekali pun makanan yang dihidang tiada yang haram, bagaimana dengan proses penyediaan pula? Pinggan mangkuk, periuk belanga yang digunakan? Aku menggeleng perlahan. Nak kata tak mahu dan tak teringin langsung, tak sampai hati pula hendak menyakitkan hati Ah Lee.
“Awak nak cuba?”
Aku diam. Teragak-agak hendak menjawab.
“Kalau awak risaukan halal haram, awak tak perlu risau. Saya bawa awak ke kedai orang Islamlah!” katanya. Kemudian dia ketawa kecil apabila melihatkan air muka aku berubah lega. Pandai dia ‘membaca’ aku.
“Ok. Saya percayakan awak...” kataku walaupun hati masih teragak-agak mahu menerima.
Ah Lee membawa aku ke restoran Cina Muslim yang terdekat dengan bengkel kereta dia. Dekat tak dekat, lima belas minit juga kami berjalan. Dengan cuaca yang panas macam ni, berpeluh-peluh aku dibuatnya. Nak ajak naik kereta, rasa tak wajar pula sebab awal-awal dia cakap, ‘kita jalan kaki je. Restorannya dekat.’
“Penat ke?” soal dia sewaktu kami tiba di restoran itu.
Nak kata penat rasa macam tak patut pula walaupun aku rasa nak je mengamuk dekat dia ni sebab tak nak naik kereta. Kematu oi kaki aku berjalan! Berpeluh ketiak aku dibuatnya. Tahu tak aku kena masuk pejabat balik, Ah Lee? Busuklah aku nanti!
“Dekat je kan?” katanya lagi. Akhirnya aku mengangguk juga walaupun tak rela.
Tidak sampai lima minit kami menunggu, pelayan tiba dengan membawakan makanan. Aku termangu seketika. Rasanya kami baru je duduk dan belum pesan apa-apa makanan lagi.
“Saya dah order kan sebelum kita berjalan tadi...” katanya. Aku hanya mengangguk. Tak tahu apa hendak katakan.
“Makanlah...” pelawa Ah Lee.
“Awak ok ke tidak ni?” Ah Lee menyoal bila aku banyak mendiamkan diri. Mendengarkan soalan Ah Lee, aku mendapat satu akal.
“Tak... saya tak berapa nak oklah...”
“Kenapa? Tak nak share?”
Aku menghela nafas perlahan. Sudu dan garpu aku letakkan di tepi pinggan. Cuba mengumpul emosi agar idea yang muncul tadi berjaya dijalankan.
“Lelaki pujaan saya nak kahwinlah! Dengan kawan baik saya pula tu!” luahku. Seolah-olah betul-betul kecewa bila lelaki pujaan di ambil kawan baik sendiri.
Kening Ah Lee terangkat sebelah.
So?”
Aku mendengus geram. So? Itu yang dia tanya? Dia faham tak yang sepatutnya aku ni tengah kecewa tahap menonggeng dah ni? Ke muka aku tak cukup emosi? Aku nak juga tahu reaksi Ah Lee bila aku kata aku ada lelaki pujaan. Nak juga tengok dia ni cemburu ke tidak?
“Kalau awak tak ada benda yang lagi baik daripada ‘so’ untuk cakap, baik awak senyap!” aku berpura-pura marah.
Ah Lee tersenyum.
“Ramai lagi kan lelaki lain?”
“Contohnya?” ujiku. ‘Contohnya, sayalah!’ aku mereka jawapan yang bakal diucapkan Ah Lee. Kalau betul, memang aku buat kenduri tiga hari tiga malam.
“Mana saya tahu personal life awak!” kata Ah Lee selamba.
Aku mengeluh. Jawapan Ah Lee cukup menghampakan. Cukup menunjukkan yang dia sekadar selesa berkawan dengan aku. Entah-entah, ramai amoi yang nakkan dia. Aku ni dia pandang sebelah mata je agaknya. Sudahlah daripada hujung kepala sampai hujung kaki berselubung. Eh, silap. Sampai buku lali. Aku mana pakai stoking. Haha.
“Apa pendapat awak kalau kahwin berbeza budaya?”
“Ok je. Kalau kedua-dua pasangan boleh terima.”
“Berbeza agama?”
Air muka Ah Lee berubah.
“Bukan ke Islam tak benarkan umat Islam berkahwin dengan pasangan yang bukan Islam?”
Aku mengeluh. Dia tak faham dengan kiasan yang aku cuba sampaikan rupanya. Sekali lagi aku kecewa.
***
“Hoi! Dalam diam je kau, kan!” itu ayat pertama yang keluar daripada mulut aku bila satu hari Atiqah menelefon aku. Dah berkurun kad dia aku dapat, baru ini nak telefon aku? Huh! Putus sahabat!
“Assalamualaikum. Imah, sorrylah! Aku tak tahu nak cakap macam mana dengan kau. Semuanya mengejut!”
“Waalaikumsalam. Huh! Sudahlah kau! Alasan semata-mata!” kataku berdrama.
“Imah! Aku...” Atiqah kematian kata-kata. Aku dapat rasa dia serba salah gila dengan aku sekarang ni. Terbalas sudah kekecewaan aku bila dapat buat dia rasa serba salah begitu.
“Hah! Kau call ni ada apa?”
“Aku nak minta maaf. Aku tahu kau frust. Zhafran tiba-tiba datang rumah aku. Masa aku jumpa dia, aku ada juga cakap fasal kau. Tapi dia...”
Aku mengerutkan dahi. Budak ni... tak perlulah nak cerita selengkap itu! Laju aku memotong percakapan dia.
“Weh! Tak payahlah nak cerita yang Zhafran reject aku macam tu sekali. Kau ni, aku pun tahu malu juga! Jagalah sikit hati aku. Kecewa tahu tak bila lelaki pujaan aku suka kawan baik aku sendiri? Kecewa!” kataku.
Kalau tadi aku tak ada apa-apa perasaan, tiba-tiba rasa semacam pula bila Atiqah bercerita penolakan Zhafran. Huh! Sudahlah dengan Ah Lee pun macam kena reject juga! Bilalah aku nak jumpa cinta hati aku ni?
Sorry...”
“Hrm...” balasku endah tak endah.
“Aku harap kau datang!”
“Ye, aku datang!”
“Betul ke ni?” suara Atiqah kembali bersemangat. Aku tersenyum sumbing. Dahsyat juga rasa bersalah kahwin dengan lelaki pujaan kawan baik rupanya, ya? Sampai rasa takut dengan kawan baik sendiri.
“Insya Allah lah... kalau tak ada aral! Hai.... seronoklah kau... aku juga yang tak jumpa-jumpa cinta aku. Masih mencari cinta!”
“Eh! Mana ada kau seorang. Hanis dengan Nik kan ada? Ada tiga orang yang bertemu cinta lagi tau!”
Aku ketawa kecil. Terbayang seorang demi seorang sahabat yang sama-sama menuntut di universiti dahulu. Bila berkumpul, mesti keluar bermacam-macam jenis cerita. Bila dah rapat, rahsia masing-masing bukan jadi rahsia. Sebab itulah mereka tahu aku suka Zhafran, Hanis suka Aiman. Nik? Dia tu ustazah. Baik sikit. Tengok mana-mana lelaki pun dia tak teruja!
“Yelah kau! Pandai nak pujuk aku.”
Ketawa aku berpadu dengan ketawa Atiqah.
So, betul kau memang tak kisah?”
“Kenapa, kalau aku kisah, kau nak aku buat apa? Gantikan kau dekat majlis kau dengan Zhafran tu? Tak naklah aku!”
“Iya? Hrm.... kalau tak nak ni, mesti sebab dah ada orang lain ni...?” dia mengusik.
Aku ketawa menutup rasa malu. Ceh! Aku sudahlah aku yang bertepuk sebelah tangan. Ah Lee? Tangan pun dia tak ingin nak suakan.
***
“Kau dah fikirkan ke lamaran aku?” Shamsul bertanya masa aku betul-betul melangkah masuk ke dalam pejabat. Belum sempat aku hendak punch card dia dah tanya soalan tu. Bukan aku minta dia bagi masa ke? Rasanya baru dua minggu aku biarkan lamarannya tergantung.
“Bagi aku masa...”
“Sampai bila?” desaknya lagi. “Mak aku dah sibuk nak pinangkan anak kawan dia kalau aku tak ada calon lagi. Aku cakap aku dah ada calon, tapi dia tak percaya selagi aku tak kenalkan. Macam mana aku nak kenalkan bila kau dia je?”
Berkerut dahi aku mendengarkan cerita dia. Ada udang di sebalik batu rupanya. Aku tidak membalas. Tangan mencapai kad kedatangan dan aku masukkan ke dalam mesin.
“Oh! Kau nak ajak aku kahwin sebab nak elak daripada kena kahwin dengan calon mak kau ke?”
Shamsul menggeleng.
“Aku ajak kau kahwin dah lama, kan? Kau je ingat aku main-main. Mak aku baru je cakap hujung minggu lepas.”
“Bagi aku masa, Sul. Aku risau salah ambil keputusan. Bukan aku je yang merana, kau pun sekali!”
“Kau suka apek Cina tu ke?”
Aku terdiam. Suka kalau bertepuk sebelah tangan, tak guna juga!
“Hujung minggu depan, teman aku?”
“Pergi mana?”
“Kenduri kahwin kawan aku.”
Shamsul merenung mata aku meminta kepastian. Mesti dia ingat aku main-main nak ajak dia. Aku mengangguk meyakinkan.
“Tapi kemungkinan besar aku tidur rumah dia. Nanti aku carikan kau hotel.”
“Kenapa kau tiba-tiba nak berteman?”
Best friend aku, kahwin dengan lelaki pujaan aku. So, bila kau ada, tak adalah dia bersalah sangat. Boleh terima tak alasan aku?”
Shamsul sudah ketawa. Iyalah, alasan apa lagi yang aku ada untuk ajak dia? Tapi kenapa aku ajak dia pun aku tak tahu. Mungkin, bila berjalan dengan dia, aku boleh fikir-fikir sekali tentang lamaran dia tu? Harap-harap begitulah!
***
“Seronoknya tengok Atiqah. Nampak gayanya, kita berdua sajalah kan yang belum bertemu cinta, ye Nik? Hanis pulak ada si Khairul dia tu. Punyalah lama syok dengan Aiman, last-last dengan orang lain juga, ye?” kata aku dengan Nik selepas menjadi salah seorang saksi yang tidak rasmi pernikahan Atiqah dan Zhafran. Tatkala melihat Zhafran bersalam dengan ayah Atiqah, sedikit pun hati aku tak tercuit.
“Eh? Shamsul tu siapa? Bukan cinta hati kau?” tanya Nik.
Aku menggeleng. Nafas dihela perlahan. Shamsul, aku pun tak tahulah nak terima atau tidak lamaran dia tu. Keliru, confuse!
“Dia ada juga ajak kahwin. Aku yang tak bagi jawapan lagi...”
Nik tersenyum. “Sebab?”
“Aku tak cintakan dialah. Aku tengok dia macam kawan-kawan je. Tak ada perasaan langsung. Tak dapat bayangkan nak hidup dengan dia. Aku tak jumpa lagi cinta yang aku nak cari,” kata aku perlahan. Mata memerhatikan Atiqah yang ceria duduk di sebelah Zhafran. Bahagia.
“Kita sebenarnya dah jumpa cinta yang kita cari. Kita je tak perasan benda tu...”
“Maksud kau?”
“Kita biasa dengar kalau seorang hamba mengaku mencintai Allah, tapi jarang-jarang kita dengar Allah mencintai hambanya. Cinta apa lagi yang kita cari selain daripada cinta Allah kepada kita?”
Aku diam. Nik sudah memulakan hujahnya.
“Dalam sebuah buku yang aku baca, penulis menceritakan tentang cinta Allah kepada hambanya. Antara bukti-buktinya adalah dengan tidak menyegerakan azab walaupun kita sangat banyak melakukan maksiat. Kaum Nabi Luth a.s., mengamalkan homoseksual, sekelip mata Allah terbalikkan kampung mereka menjadi laut mati. Zaman sekarang? Berapa ramai yang mengamalkan homoseksual, tetapi Allah beri kita masa untuk bertaubat sehingga kiamat.”
“Bercakap fasal taubat, bawalah dosa sebesar bumi pun, Allah akan ampunkan kalau kita bertaubat. Kita manusia, bila orang minta maaf, belum tentu kesan di hati itu akan hilang walaupun kita katakana kita memaafkan. Tak cukup ke cinta yang Allah bagi pada kita?”
“Itu belum masuk lagi bila kita berniat nak buat kebaikan, dapat 1 ganjaran, bila kita lakukan kebaikan itu, Allah gandakan jadi 10 ganjaran. Dan bila kita berniat nak buat dosa, Allah tidak lakukan apa-apa, dan bila kita lakukan maksiat itu, Allah berikan 1 ganjaran yang buruk. Itu juga tanda cintanya Allah kepada kita. Takkan kita tak terasa nak balas cinta Allah itu dengan cinta yang paling bersih dan suci?” Nik tersenyum. Bagaikan dia berkata-kata kepada diri sendiri pula.
“Kalaua nak list kan bukti cinta Allah kepada kita, tak terkira! Tapi aku tak nafikanlah pula cinta sesama manusia tu fitrah. Kalau tidak, kita tak akan ada rasa cinta dan sayang pada ibu bapa kita, pada keluarga kita. Cuma, jangan terlalu mencari cinta manusia.”
“Macam sekarang ni, ada orang dah lamar kau, tak tahu nak buat keputusan, kau mintalah bantuan Allah. Dekatkan diri dengan Allah. Bersihkan hati, baca Quran, solat istikharah. Masa ni kau letakkan sepenuh kebergantungan kau pada Allah sebab kita tak pernah tahu apa yang terbaik untuk kita, tapi kita yakin Allah akan beri yang terbaik untuk kita.”
“Tapi dalam pada masa yang sama, kau risik-risiklah juga Shamsul tu bagaimana. Perhatikan kawan-kawannya orang yang macam mana. Bincang dengan orang yang lebih arif. Bila kita kahwin, Allah akan campakkan rasa kasih sayang tu antara kita dan suami kita. Dan rasa cinta akan datang selepas tu. Ada ke orang cinta dulu baru sayang? Tak ada kan? Semuanya sayang dulu baru jatuh cinta. Insya Allah, kau ok je nanti. Aku doakan yang terbaik untuk kau!”
Nik memeluk bahu aku dengan tangan kiri dia. Nik, gaya ustazah-ustazah tak hilang! Macam dia sudah kahwin je mendengarkan nasihat-nasihat dia.
            “Macam mana kau jaga diri kau eh, Nik? Sejak zaman belajar sampai sekarang, kau tak pernah ke suka sesiapa ke? Musykil aku!”
            Nik ketawa perlahan. “Bohonglah kalau tak ada! Kan aku cakap, cinta sesama manusia tu fitrah...” Kemudian dia senyum. Matanya seolah-olah cuba menutup apa yang dia rasa.
“Sebenarnya kalau aku cerita fasal aku pada kau orang, kau orang mesti terkejut punya. Kadang-kadang, luaran kita nampak sangat cantik dan suci sedangkan hakikatnya, kita sentiasa berperang dalam diri kita... tapi, biarlah aib tu, Allah saja yang tahu. Kalau sekali aku bercerita, kat akhirat nanti Allah buka pula aib itu pada seluruh manusia. Tak mahulah aku. Malu!” Nik tersenyum sumbing.
“Hidup kita ni Imah, perjalanan yang sumpah panjang dalam membaiki diri kita. Tapi ingatlah, Allah sentiasa bersama-sama dengan orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang usaha memperbaiki amalnya.”
Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. [An-Nahl 16:128]

Nik menghabiskan kata-katanya, serentak dengan waktu orang ramai mula meninggalkan masjid ini. Aku cuba untuk menenangkan fikiran yang runsing. Sebenarnya, kalau hati aku tak terjatuh suka pada Ah Lee, aku tak perlu runsing mana. Terima saja lamaran Shamsul tu. Dia pun, baiklah juga. Sepanjang kat pejabat, tak pernah lagi nampak dia tinggal solat Zuhur dengan Asar. Sekurang-kurangnya, bila dia mampu solat 5 kali sehari semalam, dia mampu menjadi ketua untuk dirinya sendiri. Mungkin, dialah yang terbaik buat aku.... kot?

2 comments:

Anonymous said...

boleh tak bsr kan terjemahan ayat An Nahl tu,kecik sgt tak nmpk

Kak Sue said...

Mintalah pertujuk dari DIA... baru bagi keputusan ... REDHA yang penting...