::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

27 July 2015

E-novel: Cinta Luar Biasa 05



Cinta Luar Biasa 05
            “Aiza... kita keluar?” pelawa Nizam bila hampir sebulan tak berjumpa.
            Hasil keputusan dia berterus-terang dengan Nizam hari tu, ternyata lelaki itu tak boleh menerima permintaan Aiza. Nak juga-juga meminta masa untuk membetulkan keadaan sedangkan pada Aiza, tiada apa yang hendak dibetulkan. Bukan salah sesiapa, cuma hatinya yang tiada untuk lelaki bernama Nizam tu.

            Sorry, Nizam. Saya penat,” jawab Aiza pendek.
Nizam dihujung talian menghela nafas berat. Ada saja penolakan daripada gadis ini bila diajak berjumpa.
“Sibukkan apa? Kerja awak bukannya teruk benar? Setakat duduk depan komputer, angkat telefon, meeting dalam bilik mesyuarat yang ada air-cond... apa yang penatnya? Lainlah kalau kerja luar ke, kerja kilang ke?” pertikai Nizam. Geram bila ada saja alasan yang gadis itu berikan.
Aiza diam. Malas hendak menjawab kata-kata Nizam yang menyakitkan hati. Kalau dia menjawab pun, bukannya boleh menang. Setahun berkawan dengan Nizam, dia perasan Nizam jenis lelaki yang tak boleh kalah.
“Aiza... are you there?” nada suara Nizam kembali kendur. Sedar kalau dia berkeras, semakin keras hati Aiza menolaknya.
“Hrm...”
Please? Kita keluar sekejap. Dinner sekejap pun jadilah...” pujuk Nizam.
“Nizam...”
“Aiza, awak dah janji nak beri satu lagi peluang untuk kita, kan?”
Aiza mengerutkan dahi. “Bila masa saya cakap macam tu?”
“Awak tak cakap. Tapi awak diam je masa saya cakap hari tu. Orang tua-tua cakap, diam tandanya setuju...” Nizam sengih mengusik. Mujur Aiza tiada di depannya sekarang. Kalau tidak, pasti berasap Aiza dibuatnya.
Aiza menjulingkan mata. “Zaman sekarang dah tak ada macam tu, Nizam. Saya jenis, suka cakap suka. Tak suka, cakap tak suka...”
“Macam awak cakap yang kita tak boleh naik lagi satu level, kan?”
Aiza terdiam. Tak tahu bagaimana hendak menjawab bila Nizam buat suara sedih begitu. Minta maaf? Apa salahnya? Dia tak salah apa-apa. Dia sekadar berterus terang tentang apa yang dia rasa supaya Nizam tak terus mengharapkan apa-apa daripada dia. Itu dah cukup baik daripada dia biarkan Nizam terus berharap dan dikecewakan kemudian.
“Saya ada kerja Nizam. Assalamualaikum...” ujar Aiza lalu mematikan talian.
Nizam yang terkejut dengan tindakan Aiza menamatkan talian terus mencampakkan telefonnya. Geram. Marah. Sakit hati dengan sikap Aiza yang langsung tak mengambil peduli dengan perasaan dia. Apa kurangnya dia sampai Aiza sanggup menolak dia mentah-mentah? Kalau bertanya kepada orang lain, pasti ramai menyatakan Nizam mempunyai pakej yang cukup untuk dijadikan suami. Ramai gadis yang terkejar-kejar lelaki sepertinya. Tapi, kenapa bukan Aiza? Nizam meramas rambutnya kasar. Mati akal untuk menangkap Aiza menjadi miliknya. Tiba-tiba dia mendapat satu akal.
***
Zaid duduk di atas tembok di depan rumah. Sambil memerhatikan bulan yang terang bersama-sama bintang yang bersinar, Zaid melarikan jari-jarinya di tali gitar.
“Jika engkau minta intan permata tak mungkin ku mampu, tapi sayangkan ku capai bintang dari langit untukmu… Jika engkau minta satu dunia akan aku coba, ku hanya mampu jadi milikmu pastikan kau bahagia... Hati ini bukan milik ku lagi seribu tahun pun akan ku nantikan kamu…”
Dengan penuh perasaan Zaid menyanyikan lagu milik Yuna, artis tempatan yang mula meningkat namanya di persada antarabangsa. Meskipun suaranya garau dan kasar, dia tak peduli. Siapa pun yang hendak mendengar suara sumbangnya di tengah-tengah malam begini? Teringatkan Aiza, Zaid tersenyum sendiri. Adalah beberapa kali dia berbalas mesej dengan Aiza sejak bertukar-tukar nombor hari tu.
“Sayangku jangan kau persoalkan siapa di hatiku… Terukir di bintang tak mungkin hilang cintaku padamu…”
“Eee...! Tak ada lagu lain ke nak nyanyi, bang? Geli telinga Imah dengar abang nyanyi lagu tu, tau!”
Za’imah tiba-tiba bersuara. Dia yang tadi sudah bersedia hendak tidur tiba-tiba tak jadi tidur. Ngantuknya sudah hilang entah ke mana. Melihatkan abangnya Zaid duduk di tembok bersama gitarnya, tiba-tiba dia rasa hendak jadi pengacau. Abangnya ni, dapat nyanyi lagu-lagu evergreen boleh tahan juga. Tapi tak sangka pula lagu Yuna yang dia nyanyi malam ni. Euw!
“Sibuklah Imah. Ni apahal tak tidur lagi, ni? Esok Imah kerja, kan?” balas Zaid geram. Aku nak layan blues pun tak dapat bila budak ni dah ada.
“Abang! Esok Ahad tau! Kerja apanya?” Za’imah mencebik. “Ni nyanyi lagu terukir di bintang ni dah kenapa? Teringatkan Kak Zara ke?” serkap Za’imah. Pelik kalau abangnya masih mengingati Kak Zara tu. Bukan sikit punya rasa benci abang Zaid terhadap Kak Zara.
“Hish Imah ni! Buat apa abang nak ingat perempuan tak guna tu? Baik abang berzikir mengingati Allah tahu tak?” Zaid tayang muka serius. Benci betul bila dia mendengar nama Zara. Tak suka bila kisah lama disingkap kembali.
“Hah! Berzikir ingat Tuhan ye, bang? Kalau betul, alhamdulillah sangat-sangat. Masuk bilik nanti Imah buat sujud syukur. Tapi bang, zikir tu bunyinya, ‘subhanallah, walhamdulillah wa lailahailallah wallahuakbar!’ bukannya ‘terukir di bintang tak mungkin hilang cintaku padamu..’ tahu?” sindir Za’imah.
Zaid buat tak faham. Dia masih lagi bermain-main dengan gitarnya. Za’imah di sebelah dia buat tak pandang. Anggap adiknya tak wujud di situ.
Senangnya dalam hatiku lihat kau di sisi... Dari kejauhan mata namun dekat di hati... Kau memelukku indah membisik namaku... Kau tanyakan ku soalan yang buat ku terpaku...”
“Abang!” jerit Za’imah bila Zaid mula menyanyikan lagu Cinta Hati yang dicipta oleh Shila Amzah.
Zaid memandang Za’imah geram. Bising betul budak ni. Tak boleh ke duduk diam dan dengar je apa yang aku nak nyanyi. Kacau!
“Pergi tidurlah, Imah!” marah Zaid.
Za’imah memandang abangnya dengan penuh rasa tidak percaya. “Abang... abang tengah angau, ke? Baik abang cerita...”
“Sibuk!”
“Alah... dengan Imah pun nak berahsia. Dulu Imah siap tolong jadi posmen lagi untuk abang dengan Kak Zara...” ungkit Za’imah.
Mendengarkan nama Zara, kepala Zaid rasa berasap. “Pergi tidur!” halaunya buat ke sekian kalinya.
Za’imah membuat muka. Namun dia tetap bangun dan melangkah masuk ke dalam rumah. Melihatkan gelagat abangnya sekarang, dia tahu ada sesorang yang telah mengetuk pintu hati abangnya. Cuma dia tertanya-tanya siapa. Abangnya pun bukannya muda lagi. Sudah jejak tiga puluh tahun. Eloklah kalau abangnya sudah berjumpa dengan cinta hati baru. Harap-harap perangainya tak macam Kak Zara yang sering memperlekehkan kemampuan abang Zaid untuk menampungnya.
Za’imah mengeluh. Dulu Kak Zara tak pun macam tu. Bila Zaid menghulurkan salam persahabatan, elok Kak Zara menerima. Dah bertunang pun mereka berdua tu. Tapi bila dia berjaya dapat kerja yang elok di ibu kota, kena pula sebulan selepas tu bergaya memakai kereta buatan Jepun, memang Kak Zara pandang abang Zaid sebelah mata sajalah. Kena pula abang Zaid hanya kerja kilang. Jatuhlah standard Kak Zara kalau kawan-kawan dia tahu boyfriendnya tak berapa berada. Kesian abang Zaid...
***
Aiza bersiap seringkas yang boleh. Semalam Zaid tiba-tiba mengajak dia makan malam bersama. Mengingatkan dia pun masih berhutang dengan Zaid – satu kerana kemalangan dan satu lagi kerana nasi kerabu yang dia belanja, laju saja Aiza bersetuju. Aiza membelek diri sendiri di hadapan cermin. Puas hati dengan penampilan diri, dia mencapai beg tangannya dan membuka pintu bilik. Bersedia untuk keluar.
Zaid sudah menunggu di dalam kereta di bahu jalan. Sempat Aiza mengerling tona baju Zaid yang serupa dengan blouse yang dia pakai sekarang. Berjodoh pula baju mereka hari ni. Macam berjanji-janji pula.
Boyfriend awak tak marah ke awak keluar dengan saya?” soal Zaid yang secara tidak langsung merisik status gadis pujaannya.
Aiza ketawa kecil mendengarkan soalan itu. Siapa nak marah? Nizam? Dia bukannya pernah ada apa-apa pun dengan lelaki tu. “Tak adalah. Tak ada sesiapa nak marah. Awak pulak? Girlfriend tak marah?” Aiza memulangkan soalan yang sama.
Zaid sekadar tersenyum. Soalan Aiza sengaja dia biarkan tak berjawab. Melihatkan Aiza sudah duduk dengan selesa, kereta digerakkan perlahan-lahan meninggalkan kawasan rumah Aiza.
“Kita nak makan dekat mana ni?” soal Aiza bila mereka semakin jauh meninggalkan kawasan perumahan.
“Hrm... awak suka makan apa?”
“Saya? Saya suka makan apa yang paling mahal dekat kedai tu...”
Zaid menjeling. Dah pandai bergurau. Satu petanda yang baik.
“Oh... tapi saya minta maaf awal-awal. Saya mampu belanja awak makan makanan yang paling murah je malam ni. Telur mata sebiji dengan air putih.”
Ketawa besar Aiza mendengarkan balasan selamba Zaid. Saja dia nak bergurau tadi, tak mahu rasa kekok sangat. Selama ni berbalas mesej di telefon. Inilah baru kali pertama mereka keluar berdua.
“Saya tak pernah pula nampak awak di gerai selama ni?” soal Aiza menukar topik bicara.
            “Saya baru berhenti kerja. Kilang yang saya kerja sebelum ni terpaksa di tutup.”
            Terdiam Aiza mendengar cerita Zaid. Kesiannya! Kesan daripada ekonomi yang merundum sejak kebelakangan ni menyebabkan banyak kilang dan syarikat terpaksa membuang pekerja. Paling malang bila kilang terpaksa ditutup kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk meneruskan operasi. Aiza melafazkan rasa syukur di dalam hati. Mujur syarikatnya tidak bertindak begitu. Kalau tidak, tak dapat dia bayangkan macam mana nak meneruskan hidup dengan hutang kereta dan hutang rumah yang masih belum selesai.
            I see... Tak apa. Rezeki awak di tempat lainlah tu...”
            “Hrm... sudi ke berkawan dengan orang yang tak ada kerja macam saya?” soal Zaid lurus.
            Aiza terdiam. Seketika ingatannya melayang kepada Nizam. Mungkin Nizam punya segalanya, tetapi entah kenapa hatinya lebih senang bila bersama Zaid. Mungkin terlalu awal untuk dia membuat penilaian, tetapi dia yakin dengan rasa hati yang satu ni.
            “Apa salahnya. Orang kata, berkawan biar seribu... berkasih biar satu,” Aiza memberikan jawapan selamat.
            ‘Tapi saya nak jadi yang satu, tu...’ bisik Zaid nakal. Belum masanya dia melamar Aiza menjadi kekasih hati dia. Jangan berebut, Zaid. Kalau jodoh pasti tak ke mana. Dia tak mahu bertindak gopoh, risau kalau Aiza bertindak pergi menjauh.
            “Kita makan dekat sini, boleh?”
            Zaid memberhentikan kereta di tepi jalan. Tidak jauh di hadapan terdapat sebuah kedai makan yang penuh dengan lampu berwarna-warni. Dari jauh kedengaran ada orang menyanyi karaoke. Melihatkan banyaknya kereta di tepi jalan, Aiza yakin kedai ni ramai pelanggannya. Dia sendiri tak pernah ke sini. Zaid sudah keluar dan menunggu di depan kereta. Cepat-cepat Aiza mencapai beg tangan di kaki dan keluar.
            “Aiza makan sup gearbox? Sup dekat sini sedap tau!” ujar Zaid sewaktu mereka berjalan berdua.
            “Iya? Okey juga. Sup gearbox pun mahal tak?”
            Zaid ketawa juga akhirnya. Tak habis lagi rupanya pasal makanan paling mahal tadi. Zaid menggeleng perlahan. “Ada-ada je awak ni, ya? Jomlah!”
Aiza dan Zaid sama-sama melangkah masuk ke arah restoran. Mujur ada meja yang kosong, sedikit jauh dari orang ramai. Terus Zaid melangkah ke arah meja itu. Ini sudah baik! Ada privasi untuk mereka berdua. Aiza duduk membelakangkan dinding, Zaid dengan selamba mengambil tempat di sebelah Aiza. Senang nak berbual. Tak perlu nak terjerit-jerit masa berbual nanti.
“Nak makan apa?” soal Zaid lembut. Wajah Aiza dipandang, menantikan jawapan keluar daripada bibir comel itu.
“Hrm... tadi awak nak belanja saya telur mana je kan dengan air suam?” Aiza sudah tergelak. Zaid turut sama ketawa.
“Saya gurau je tadi. Orderlah yang awak nak. Saya tak tahu selera awak.”
Aiza mengangguk. Tanpa melihat menu di tangan, dia meminta nasi putih paprik bersama air limau suam.
“Itu je?” soal Zaid pelik. Namun dia minta juga sepinggan nasi putih bersama sup gearbox untuk dikongsi berdua.
Aiza mengangguk. “Jaga body! Nanti boyfriend lari!”
Zaid terkejut. “Tadi kata tak ada boyfriend?” soalnya ingin tahu.
Melihatkan reaksi Zaid, Aiza tersengih lebar. “Memanglah tak ada... tapi akan datang mana tahu?”
“Hrm... kalau macam tu, awak tak perlu risau.”
“Kenapa?”
“Sebab, saya takkan lari daripada awak.”
Dan Aiza ketawa lagi buat kesekian kalinya. Cheesy habis!
            ***
Aiza meluruskan badan di atas katil. Meskipun jam sudah menunjukkan pukul dua belas tengah malam, matanya masih lagi segar-bugar. Masih terbayang di ingatan Aiza bagaimana Zaid tiba-tiba meminta diri dan bangun meninggalkan meja mereka. Matanya menyorot langkah Zaid yang menghala ke arah pondok kecil yang menempatkan peralatan audio yang diselia oleh seorang lelaki. Selepas bercakap-cakap dengan lelaki itu, Zaid tiba-tiba berdiri di hadapan sebuah monitor kecil dengan memegang sebuah mikrofon. Aiza terkelu.
Sinaran matamu bak kejora
Di tengah malam
Menyuluh kedamaian hati
Halusnya lengan mu sehalus
Sutra cina
Melembutkan setiap kata
Harum kasturi harum rambutmu
Ingin ku belai
Bertambah harum kita
Indah keperibadianmu
Indah bicara
Menyegarkan semangat daku
Bila kau berada di sampingku
Semuanya menjadi keindahan hidupku
Bila kau berada di sampingku
Semuanya menjadi keindahan hidupku
            “Sedap suara awak menyanyi...” puji Aiza sebaik saja Zaid kembali ke tempat duduk. Zaid yang selamba hanya mengangkat kening apabila dipuji Aiza.
            “Saya tujukan lagu tu untuk awak,” balasnya pendek dengan senyuman. Senyuman yang membuatkan Aiza terigau-igau sampai sekarang.
            Aiza bergolek ke kiri. LED telefon bimbitnya yang berkelip-kelip di atas meja membuatkan dahinya berkerut. Melihatkan warna putih, dia tahu mesej masuk di aplikasi WhatsApp. Nak kata Zaid, semestinya bukan. Dia perasan Zaid menggunakan telefon Nokia yang bukan telefon pintar tu. Patutlah selama ni Zaid hanya menghantar SMS, bukan mesej di WhatsApp. Malas rasanya nak bangun dan mendapatkan telefon tu. Tapi risau kalau ada perkara penting, dia gagahkan juga diri untuk bangun dari katil.
            Patutlah tiba-tiba je buat keputusan untuk hentikan hubungan kita. Rupa-rupanya ada orang lain di belakang saya. Bagus sangat ke lelaki tu? – Nizam –
            Aiza meletakkan telefonnya kasar. Macam mana Nizam boleh tahu dia keluar dengan Zaid? Ah! Dia tu siapa hendak mengawal pergerakan Aiza? Nak kata suami pun bukan, boyfriend lagilah tidak. Jadi, tiada salahnya Aiza keluar dengan sesiapa pun. Teringatkan ayat terakhir Nizam tadi membuatkan Aiza mencebik. Bagus sangat ke lelaki tu? Eh, seribu kali lagi bagus daripada kau tau! Walaupun Zaid tu tak ada kerja sekarang ni, sekurang-kurangnya makan tadi dia yang bayar! Argh! Geramnya!
Nizam yang masih menunggu balasan Aiza merengus geram. Dua tanda tick yang sudah bertukar ke warna biru hampir lima minit tadi membuatkan dia rasa nak naik angin. Geram bila Aiza buat tak faham. Melihatkan masa terakhir Aiza online membuatkan kemarahannya memuncak. Baru seminit yang lepas. Nampak sangat Aiza memang sengaja hendak menguji dia. Nizam menarik nafas dalam. Cuba untuk bertenang. Mungkin dah sampai masa untuk dia menjalankan rancangan yang sudah lama dia fikirkan. Dia yakin rancangannya akan berjaya.

3 comments:

Unknown said...

Cibuk je nizam tu..

Kak Sue said...

dah tahu org x suka sibuk ja...

Unknown said...

Best. Suka sgat. 😍