Bidadari Random Pick Number 2
Jam menunjukkan
angka sebelas setengah malam sewaktu Khairul dengan Nik tiba. Pada waktu itu,
aku dengan Aiman sibuk berbual di taman yang hanya disinari lampu jalan. Cari privacy
nak bercinta berdualah kononnya. Selepas bersalam, kami kembali duduk di
taman sehinggalah Aiman memberi isyarat ke arah Nisa yang sedang berjalan ke
arah kami.
“Kak ngah, along
minta tolong kak ngah pindahkan barang ke bilik belakang.”
Nisa bersuara
dengan muka tegang. Kening aku terangkat sebelah. Pandangan aku alihkan ke arah
Aiman. ‘Kenapa pula ni?’ tanyaku dengan isyarat mata. Dan Aiman mengangkat
bahu.
“Kenapa Nisa?”
Nisa menarik
muka. Masam dan nampak marah benar. “Kak Nik itulah!
Macam tak boleh nak tidur bilik belakang tu. Nak juga bilik yang dia guna masa
kenduri hari tu. Rumah kecil, kena belajar biasakanlah!” bebelnya geram.
Aku diam, tak
tahu hendak membalas apa. Kemudian aku kembali berpandangan dengan Aiman. Dia
sekadar tersenyum dan menggeleng dua tiga kali. Tak memberikan apa-apa komen.
Bilik belakang yang dimaksudkan adalah bilik yang aku dengan Nisa gunakan
selama ni. Inilah namanya buat kerja dua kali. Baru je aku pindahkan beg aku
tadi. Silap aku juga, kan lagi senang aku ajak Aiman duduk bilik belakang tu
awal-awal tadi. Bukannya tak tahu Khairul nak balik.
“Alah, Nisa...
sabarlah. Perkara kecil je tu. Dia kan ahli keluarga baru. Baru nak belajar
sesuaikan diri. Jomlah! Tolong Kak Ngah pindahkan barang. Bukan banyak mana
pun. Jom! Abang, Hanis masuk sekejap ye...” aku menarik lengan Nisa, mengajak
dia mengikut sekali ke dalam rumah. Tidak sampai sepuluh minit, bilik sudah
kembali kemas seperti asal.
“Hanis... cadar
yang dah basuh ada dekat mana?” soal Nik sewaktu aku mengangkat beg Aiman ke
bilik belakang. Dia sekadar menjadi pemerhati sejak aku mengeluarkan beg baju
aku dan Aiman.
“Ada dalam
almari. Sekejap aku tengokkan, ya?” tenang aku membalas.
“Cadar tu baru je
tukar! Tak payah nak tukar-tukar lagi. Membazir air dengan sabun je nak basuh
banyak kali!” kata Nisa pedas.
Aku mengangkat
muka. Tajam mata aku merenung Nisa. Kenapa dia ni? Geram pula bila dia cakap
kurang ajar macam tu. Sebaik saja aku keluar daripada bilik, Nik terus menutup
pintu. Aku dapat rasa mood Nik yang tak berapa nak elok malam ni. Patutlah masa
sampai tadi masam je muka dia. Senyum pun nak tak nak aje.
“Kenapa mulut tu?
Elok sangatlah cakap macam tu!” tegur aku bila kami sudah melangkah masuk ke
dalam bilik belakang.
“Kak ngah tak
tahu apa yang dia cakap tadi! Membara je hati ni dengar tau!” Nisa meluahkan
rasa tak puas hati dia.
“Tak kisahlah apa
pun yang dia cakap, Nisa. Kalau dia sakitkan hati kita, tak guna kita sakitkan
hati dia. Kita rasa puas hati? Sekejap je rasa tu. Lepas tu rasa menyesal.
Kesannya, sampai ke mati hubungan kita antara keluarga renggang tahu? Kalau
kita pun ikut sama emosi kita, tak ada bezanya kita dengan dia. Kalau orang tak
tahu nak berbudi bahasa, kita kena tunjukkan caranya.”
“Lagipun, memang
sepatutnya dia yang duduk bilik tu. Akak yang sepatutnya awal-awal ajak abang
Aiman duduk bilik ni. Apa isunya?”
“Mana boleh macam
tu! First come first serve lah!” marah Nisa.
“Ini bukannya
kedai, Nisa...” tegurku.
Nisa tidak
menjawab. Punggungnya di henyak ke atas tilam. Aku meraup muka dengan tapak
tangan. Alahai, apalah yang berlaku sampai macam ni sekali marah dia? Setahu
aku Nisa ni bukannya jenis banyak masalah. Ok je kalau dengan semua
orang. Adalah yang tak kena yang dia marahkan sangat ni. Aduh! Belum pun sampai
setahun hidup berkeluarga, dah macam-macam hal!
***
Antara konflik
yang dihadapi Hanis. ;)
No comments:
Post a Comment