::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

15 May 2016

Mini-novel: Leman & Laili 04



Leman & Laili 12
Sulaiman memberhentikan keretanya di hadapan rumah teres dua tingkat berwarna kuning lembut. Selepas menekan alat kawalan jauh, pintu pagar rumah itu terbuka perlahan-lahan. Kereta dipandu masuk ke garaj. Bulat mata Laili memerhatikan persekitaran rumah yang asing padanya. Dadanya berdebar-debar bagai ada tidak kena.
“Rumah siapa ni?”
“Rumah saya...”
Laili menelan air liur. Biar benar? Kenapa Sulaiman membawanya ke sini?
“Ada orang nak sangat berjumpa dengan awak, Laili. Baru hari ini saya dapat tunaikan permintaan dia.”
Laili mula tidak sedap hati. Entah kenapa, dia bagai dapat mengagak siapa yang Sulaiman maksudkan.
“Jom masuk,” ajak Sulaiman selamba. Dia membuka pintu kereta dan keluar menuju ke pintu utama rumahnya. Sengaja dia biarkan Laili di belakang. Memberi masa buat gadis itu.
“Assalamualaikum! Ibu... oh ibu!” panggil Sulaiman sebaik saja membuka pintu. Tidak sampai beberapa saat, wajah Puan Jamilah muncul di sebalik dinding. Perlahan-lahan Puan Jamilah menolak tayar kerusi rodanya menghala ke pintu.
“Awal balik hari ni, Leman. Cuti ke?”
“Leman ambil cuti hari ni, ibu...” balas Sulaiman sebelum menyalami tangan Puan Jamilah.
Puan Jamilah tersenyum nipis. Anak lelakinya inilah tulang belakangnya. Selepas kematian suaminya lima tahun lepas, Sulaiman menggalas tanggungjawab suaminya sebagai ketua keluarga. Segala-galanya dia sedaya upaya sediakan untuk kemudahan dirinya. Suhana sejak berkahwin dan mengikut suami.
“Leman ada bawa tetamu...” ujar Sulaiman pendek. Dia menolak kerusi roda ibunya menuju ke pintu utama.
Laili sudah gelisah semasa berdiri di luar rumah Sulaiman. Hatinya merungut-rungut dengan tindakan Sulaiman membawanya ke sini tanpa meminta pandangannya walau sedikit pun. Mendengarkan suara Puan Jamilah dari dalam rumah menambahkan resahnya. Laili meramas-ramas tangannya. Patutkah dia lari dari sini sebelum bertentangan mata dengan Puan Jamilah?
“Laili!”
Mendengarkan suara Puan Jamilah yang terkejut menyedarkan Laili yang dia sudah tidak sempat hendak lari ke mana-mana lagi. Laili menelan air liur. Wajahnya diangkat dan matanya bertentangan mata dengan Puan Jamilah yang duduk di atas kerusi roda.
“Maafkan mak cik, Laili. Maafkan mak cik!” ujar Puan Jamilah dalam tangisan.
Laili terkedu.
***
Laili memandang drama yang ditayangkan di siaran televisyen tanah air dengan pandangan kosong. Fikirannya melayang mengingatkan peristiwa siang tadi. Pertemuan pertama dia dengan ayahnya juga dengan ibu Sulaiman setelah sepuuh tahun tidak bertemu muka. Sewaktu berjumpa dengan ayahnya, hatinya dia cukup keras untuk memaafkan kesilapan ayahnya. Bertemu dengan Puan Jamilah, hatinya menjadi sayu. Rasa simpati melihatkan Puan Jamilah yang mengharapkan kerusi roda untuk bergerak membuatkan jiwanya meruntun sedih. Spontan dia memeluk wanita yang pernah mengeji mereka dahulu. Membuatkan Sulaiman memandang dia dengan riak yang tidak percaya.
Laili menghela nafas berat. Terngiang-ngiang kata-kata maaf yang diucapkan Puan Jamilah sepanjang tiga puluh minit dia berada di rumah Sulaiman. Kata-kata maaf disulami dengan rasa menyesal dan berulang kali dia menyatakan nikmat kaki yang ditarik kembali kerana kemalangan merupakan kafarah dosa-dosanya terhadap keluarga Laili. Laili yang masih kekok hanya mampu menggangguk dan menyatakan dia sudah melupakan segala-galanya. Tiga puluh minit berlalu, Sulaiman memberi isyarat untuk mereka keluar. Pemergian mereka diiringi senyuman lebar Puan Jamilah.
“Laili tengah menonton atau televisyen yang tonton Laili?” tegur Puan Rumaizah yang baru keluar dari bilik.
Laili memandang ibunya dengan senyuman nipis.
“Duduk, mak?”
Puan Rumaizah mengambil tempat disebelah anak daranya. Sebaik sahaja dia duduk, spontan Laili meletakkan kepalanya di atas ribaan Puan Rumaizah.
“Mak masa sebaya Laili ni, dah ada anak seorang, tahu?”
“Mak ni... asal Laili nak bermanja sedikit je, mak buka topik ni. Macam tak nak bagi can je Laili nak bermanja.”
“Tak adalah macam tu...” Puan Rumaizah mengusap lembut rambut Laili.
“Mak... mak masih marahkan ayah?”
“Tak. Mak dah maafkan segala kesalahan dia pada mak.”
“Kenapa mudah mak maafkan ayah? Siang tadi, Laili tengok mak tenang sangat-sangat.”
Puan Rumaizah tersenyum. Boleh di agak soalan itu yang bakal keluar dari mulut Laili.
“Cuba Laili bayangkan, masa Laili tengah lapar sangat-sangat dan makanan dah sedia terhidang di hadapan Lail, tiba-tiba ada orang tahan Laili, tak bagi Laili makan sebab Laili belum basuh tangan. Apa yang Laili akan buat?”
“Basuh ajelah. Dah memang kita nak makan dah, kan? Tapi apa kena mengena makan dengan maaf yang Laili tanya mak tadi?”
“Macam itulah bila di akhirat nanti, Laili. Bila kita tak sabar nak masuk syurga sebab itulah yang kita impikan di akhirat nanti, tiba-tiba langkah kita terhenti sebab ada orang yang ingin memohon maaf kepada kita. Takkan sebab itu kita nak tangguhkan apa yang kita nak? Kan lebih mudah bila kita memaafkan siap-siap di dunia dan di akhirat nanti tiada sesiapa yang berhutang dengan kita?”
Laili menelan air liur. Perumpamaan yang digunakan oleh emaknya menusuk ke hati. Laili muhasabah diri. Mengapa mudah dia memaafkan Puan Jamilah tetapi tidak ayahnya? Adakah kerana kesilapan yang ayahnya lakukan itu sebenarnya menyebabkan Puan Jamilah menjadi jahat sewaktu ketika dahulu? Tetapi Laili, kau pasti kalau ayah kau sebaik-baik manusia, Puan Jamilah tidak bersikap jahat  begitu?
“Siang tadi... masa Laili keluar petang tu, Laili tak ke pejabat pun.”
“Laili ke mana?”
Laili menggigit bibir. “Mak masih ingat amaran mak dekat Laili?”
“Amaran?” Puan Rumaizah ketawa. “Amaran apa ni Laili?”
“Yang mak minta Laili tak berkawan, bercinta atau berkahwin dengan Leman...”
“Laili masih berkawan dengan dia?”
Laili diam. Kawankah status mereka sekarang? Laili mengangkat bahu sebagai jawapan.
“Laili... mak tak bagi berkawan sebab mak tak mahu Laili terluka bila berdepan dengan mak Leman nanti. Cinta bukan segala-galanya, Laili...”
Laili menghela nafas perlahan.
“Tapi, kalau mak dia okey, dah berubah dan boleh terima kita seadanya, kenapa tidak? Mak mana yang tak nak anak dia bahagia?” Puan Rumaizah mencubit pipi Laili.
Laili mengaduh. Sedikit sebanyak, kata-kata emaknya bagai memberi sinar buat dirinya.
***
Bagai menjadi rutin buat Laili untuk menziarahi Puan Jamilah setiap kali selepas kerja. Sulaiman pula selalunya pulang malam. Jadi tidaklah mereka bersua muka. Entah kenapa, Laili pun masih kekok untuk berhadapan dengan Sulaiman. Kedatangan Laili sering disambut dengan senyuman lebar Puan Jamilah. Melihatkan kesudian Laili untuk melawatnya, memaafkannya membuatkan dia rasa sebak sendiri. Tak sangka anak gadis yang sering dia hina kerana perwatakannya, kerana keluarganya melayan dia dengan baik sekali. Cuma ada sesuatu yang Puan Jamilah risaukan sekarang. Hubungan antara Sulaiman dengan Laili.
Bila disoal pada Sulaiman, anak lelakinya akan mengelak dari menjawab. Bila dia bertanya pada Laili, reaksi gadis itu tak jauh beza. Puan Jamilah teringat, ada sekali Sulaiman menyatakan bahawa dia dengan Laili tidak mungkin ada apa-apa. Bila ditanya mengapa, anak lelakinya itu hanya tersenyum hambar.
“Mak cik nak bubur?” soal Laili sambil membancuh air teh di dalam teko.
“Boleh juga, Li... kita minum di luar, nak?”
Laili sekadar mengangguk. Selesai membancuh teh, dia meletakkan teko, dua biji cawan berserta piring ke atas dulang. Memudahkan dia untuk bawa ke luar nanti.
“Laili tolakkan mak cik dulu ke luar, ya? Nanti baru Laili bawa yang lain,” ujar Laili lalu menolak kerusi roda Puan Jamilah ke meja batu yang diletakkan di luar rumah. Selepas memastikan Puan Jamilah berada dalam keadaan selesa, Laili kembali ke dalam untuk mengambil air dan bubur untuk dibawa keluar.
Laili mengerutkan dahi sewaktu mendengar suara Puan Jamilah ketawa bersama satu suara lain. Langkahnya diperlahankan. Entah kenapa hatinya mula rasa tidak sedap secara tiba-tiba. Suara itu dia kenal sangat. Suara gadis yang dikenenkan oleh Puan Jamilah kepada Sulaiman. Tiba-tiba Laili rasa rendah diri. Tetapi kenapa? Berharap dapat berkongsi hidup dengan Sulaiman satu hari nanti, Laili?
Laili menghela nafas berat. Betulkan niat Laili... kau berbuat baik dengan Puan Jamilah pun kerana ingin menjalinkan silaturrahim yang terputus, bukan? Tetapi kenapa hati ini sakit bila mendengar gelak ketawa Lynn di luar?
“Laili... ini mak cik nak kenalkan, Lynn. Anak kawan mak cik...”
Laili dan Lynn berbalas renungan. Tiada senyuman yang terbit di bibir masing-masing. Namun cepat-cepat Lynn tersenyum. Tidak mahu ketengangan di antara dia dengan Laili dihidu oleh Puan Jamilah.
“Jemput minum...” pelawa Laili separuh hati. Selepas menuangkan bubur ke dalam mangkuk kecil, Laili menghulurkan mangkuk itu kepada Puan Jamilah.
Lynn melayan diri dengan minuman dan makanan yang sudah terhidang. Orang dah jamu, jangan jual mahal.
“Lynn dengan Sulaiman macam mana sekarang? Ada ke apa-apa yang mak cik perlu tahu?”
Laili sedikit tersentak. Entah kenapa, hatinya sakit benar apabila perihal Lynn dan Sulaiman menjadi topik bualan.
“Kami semakin baik, mak cik. Selalu juga keluar makan dengan Sulaiman.”
Puan Jamilah mengangguk perlahan. Dijeling anak dara yang duduk di sebelahnya sekilas. Tiada langsung yang dia boleh baca daripada bahasa wajah Laili.
“Eloklah kalau macam tu. Lega mak cik dengar...”
Laili bagaikan hendak tercekik. Rasa hendak menangis pun iya. Meskipun dia melayan Puan Jamilah dengan baik, Lynn tetap calon menantu pilihan. Hati Laili menangis pilu.
“Alhamdulillah mak cik. Saya ada juga tanya-tanya, bila dia nak masuk meminang. Dia senyap pula.”
Laili semakin tidak senang duduk. Kalau boleh, mahu saja dia meninggalkan dua orang wanita ni tanpa sebarang kata. Makin lama dia duduk, makin sakit hati dia dibuatnya.
“Nantilah mak cik tanya dia. Hari tu mak cik tanya, dia senyap je. Tak elok berkawan lama-lama. Umur dia pun bukan muda lagi. Mak cik teringin benar nak bercucu pula...”
“Alah mak cik... Kak Suhana kan dah berikan mak cik cucu?”
“Suhana lain. Sulaiman lain. Sulaiman itu, anak yang baik. Kalau boleh, biarlah dia kahwin pula. Senang hati mak cik kalau dia beristeri. Makan pakai terjaga. Ini tengoklah? Balik pun malam. Tak ada life mak cik tengok.”
Lynn ketawa kecil. Sesekali dia menjeling ke arah Laili. Pastu berapi di dalam dada gadis itu. Biarkan dia rasa! Puas hatinya dapat mengenakan Laili.
“Insya Allah mak cik. Kalau ada jodoh...” ujar Lynn tersenyum-senyum.
Balik dari rumah Sulaiman, Laili terus menghempaskan tubuhnya ke katil. Mukanya ditutup dengan bantal. Tangisannya dihamburkan sepuas-puasnya. Puas menangis, dia bangun ke bilik air. Muka yang sembab dia basuh. Baru kini dia sedar, dirinya masih mendambakan Sulaiman. Baru kini dia faham, tiada nama lain di dalam hatinya selain Sulaiman. Laili memandang wajahnya lama di dalam cermin. Matanya bengkak kerana menangis. Menangis kerana tahu Sulaiman memang tidak akan menjadi milik dia.
***
“Cantiknya cincin kau, Lynn...”
“Amboi, bila kitorang dapat merasa nasi minyak kau ni?”
“Orang mana Lynn?”
Laili mengetap bibir apabila mendengar usikan rakan pejabatnya kepada Lynn. Daripada perbualan mereka, Laili boleh mengagak hubungan Lynn dengan Sulaiman sudah naik ke satu lagi tangga. Melihatkan senyuman bahagia Lynn, jiwa Laili bergolak. Seboleh-boleh dia menahan air mukanya daripada dibaca oleh rakan sekerja yang lain.
“Baru merisik je ni... insya Allah bulan depan bertunang, hujung tahun ni langsunglah,” balas Lynn ceria.
Laili mengepal penumbuk. Kalaulah dia boleh melakukan sesuatu agar senyuman di bibir Lynn hilang, pasti dia sudah lakukan. Tidak mahu mengikut perasaan, Laili bangun dari duduk dan mengasingkan diri ke pantri.
“Nak air?”
Terangkat bahu Laili dek kerana teguran Jefrey secara tiba-tiba. Laili menjeling Jefrey geram. Ini lagi seorang. Muka bercahaya betul sejak dua menjak ni.
“Tak nak.”
Laili menarik kerusi untuk duduk. Jefrey yang baru sudah membancuh air mengambil tempat disebelahnya.
“So.. macam mana kau sekarang?”
“Macam mana apa?”
“Masalah kau dengan ayah kau?” soal Jefrey. Dia hanya tahu sikit-sikit tentang masalah Laili dengan ayahnya. Itu pun Sulaiman yang bercerita.
“Macam itulah.”
“Tak baik memutuskan silaturrahim, Laili. Sedangkan sesama saudara Islam pun tak elok, inikan pula antara anak dan ibu bapa.”
Laili diam. Jefrey pun malas nak memberi tazkirah panjang lebar. Laili patut tahu. Pandai-pandailah gadis itu membuat pilihan.
“Jarang kau lepak sini tak bersebab, Li. Ada apa-apa ke dekat luar sana?”
Laili menjeling Jefrey geram. “Lynn itulah. Sibuk dok tayang cincin risik dia. Menyampah pulak aku.”
“Lah... kau cemburu ke?” Jefrey sudah tersengih sumbing. “Mintalah kat encik abang!”
“Aku bukan perampaslah Jef. Dah dia pilih perempuan tu, biarlah.”
Jefrey mengerutkan dahi. “Maksud kau?”
“Lynn itukan pilihan mak dia. Kau sendiri tahu kan?”
Jefrey diam. Sambil minum, dia memikirkan kata-kata Laili. Confirm si Laili ni dah salah faham. Jefrey menahan gelak. Namun sebuah senyuman tetap terbit di bibir. Ada sesuatu yang dia perlu lakukan.



Leman & Laili p13 END
                “Lama tak jumpa Laili...”
                Langkah Laili pegun. Matanya membulat memerhatikan Sulaiman yang santai bersandar di kereta dia.
                “Jom kita makan sama. Kebetulan saya ada urusan dekat-dekat sini.”
Sulaiman memerhatikan wajah polos Laili. Lama dia tidak berjumpa gadis ini. Rindunya pada Laili hanya Allah yang tahu. Kehidupannya sibuk sebulan dua ni. Balik ke rumah pun selepas matahari terbenam. Hanya dari mulut ibunya saja berita tentang Laili singgah di telinga sehinggalah beberapa hari lepas ibunya memberitahu Laili sudah tidak singgah lagi melawatnya.
                “Kita?”
                Sulaiman mengangguk.
                “Keluar makan?”
                Angguk lagi.
                “Berdua?” Laili sudah tersenyum sinis. Lupakah Sulaiman hubungan mereka sudah tidak sama lagi seperti beberapa hari lepas?
                “Iya. Kita keluar lunch berdua. Kat celah mana yang Laili tak dapat tangkap ayat saya tadi tu?”
                Laili buat-buat ketawa. “Lupa ke awak tu siapa?” Lynn dekat dalam pejabat tu siapa? Sambungnya di dalam hati.
                “Saya... masa depan awak?” Sulaiman tersengih.
                Laili menjeling geram. Dah dalam proses nak kahwin pun sebab mengayat dia lagi. Kalau dia dengan Sulaiman tak pernah ada sejarah bersama tak apa juga. Sakit hati tau bila dia buat macam ni!
                “Lynn tengah tunggu awak rasanya dekat dalam tu.” Laili terus mara ke pintu kereta tanpa menghiraukan Sulaiman. Baru dia hendak membuka pintu, pergerakannya terhalang. Sulaiman memandang Laili dengan riak tidak puas hati.
                “Kenapa awak selalu menggunakan Lynn untuk mengelak dari saya, Laili?”
                Laili meronta kecil untuk menarik tangannya. Namun pegangan Sulaiman terlalu kejap.
                “Saya tak tahu apa lagi yang saya patut buat untuk buktikan pada awak saya hanya mahukan awak jadi isteri saya!” nada Sulaiman mula meninggi.
                “Awak mahukan saya?!” nada Laili turut sama tinggi.
                “Macam mana awak boleh cakap macam tu tetapi dalam pada masa yang sama, awak dah rancang nak kahwin hujung tahun ni?!”
                “Iya. Memang saya rancang nak kahwin hujung tahun ni. Dengan awak!”
                “Hah! Kelakar sangat lawak awak buat ni, Leman. Sampai hati awak, kan? Main-mainkan perasaan saya, perasaan Lynn...” Laili tarik nafas dalam. Dia cuba untuk mengawal diri agar tidak menangis di tengah-tengah tempat parkir ni.
                “Laili, boleh tak awak jangan gunakan Lynn sebagai alasan?”
                “Lynn bukan alasan, Leman. Lynn itu jawapannya. Kenapa merisik Lynn tapi ajak saya keluar? Awak kejam, awak tahu tak? Awak sendiri tahu perasaan saya pada awak, kan? Awak sendiri sedar perasaan saya pada awak tak pernah berubah sejak dulu.”
                Sulaiman tergamam. Terkejutkan dengan salah faham Laili juga terkejutkan dengan pengakuan Laili. Perlahan pegangannya terlepas. Laili menggunakan peluang yang ada untuk memboloskan diri di dalam kereta.
                “Aduh!” kuat Sulaiman menjerit tatkala Laili menarik pintu kereta untuk ditutup. Laili tersentak. Allah! Cepat-cepat dia membuka kembali pintu dan keluar mendapatkan Sulaiman.
                “Leman awak okey?” soal Laili gusar. Melihatkan Sulaiman menahan kesakitan kerana jari tersepit pintu membuatkan dia bersalah sangat.
                “Mari saya tengok...” Laili cuba menarik tangan kanan Sulaiman namun lelaki itu mengeraskan tubuhnya.
                “Leman awak janganlah macam ni. Awak buat saya risau!”
“Kalau awak tak berkeras dan dengar cakap saya dulu, mesti tak jadi macam ni,” rungut Sulaiman.
Laili serba salah. Sekali lagi dia cuba menarik tangan Sulaiman untuk melihat jari yang tersepit tadi. Sulaiman membiarkan. Satu demi satu jari Sulaiman dibelek. Melihatkan wajah Laili yang tekun membelek jari-jemarinya membuatkan dia tersenyum.
“Tak ada apa-apa pun?” soal Laili bila yakin tiada satu dari lima jari Sulaiman yang cedera.
“Ke tangan kiri?” soalnya lagi lalu menarik tangan kiri Sulaiman. Kelima-lima jari Sulaiman dia belek. Terlupa batas-batas yang perlu dijaga.
“Saya tak cakap pun jari saya sakit.”
Bulat mata Laili memandang Sulaiman. Sekali lagi dia dipermainkan lelaki ini. Laili menampar dada  Sulaiman geram. Namun lelaki itu hanya ketawa.
“Suka...! Suka...!” marah Laili.
Sulaiman menggeleng perlahan. Tangan Laili yang masih menampar dadanya dia capai.
“I miss you, Laili...”
Laili terpempan. Sedar Sulaiman di hadapannya ini bakal menjadi milik Lynn, dia menarik tangannya perlahan.
“Hei, love birds, bergaduh lagi?” tegur satu suara.
Laili dan Sulaiman serentak menoleh ke arah suara yang datang. Jefrey dan Lynn sedang berjalan berdua menuju ke kereta Jefrey. Dahi Laili berkerut. Sejak bila mereka berdua?
“Mana ada bergaduh. Tengah bermesra ni. Tak nampak?” Sulaiman tolong jawabkan.
“Jangan mesra sangat. Nanti datang betul-betul pegawai pencegah maksiat, aku tak tolong!” ugut Jefrey. Teringat masa dia mengusik Sulaiman dan Laili di taman tasik.
Sulaiman sekadar ketawa. Laili menjadi pemerhati sehinggalah Jefrey dan Lynn masuk ke dalam kereta. Sempat Jefrey membunyikan hon sebelum berlalu pergi.
“Jom, kita makan?” ajak Sulaiman lembut.
“Sejak bila Lynn dengan Jefrey?”
“Sejak kita jumpa balik.”
“Saya tak tahu pun...” ujar Laili perlahan. Memalukan! Sangkanya Sulaiman yang bakal menjadi suami Lynn. Sudahlah dia salah faham, dia buat pengakuan depan-depan pula tu dia masih sayangkan Sulaiman!
“Tak apa. Biarkan mereka dengan urusan mereka. Kita dengan urusan kita. Banyak lagi benda yang masih tergantung.”
Sulaiman selamba mengambil kunci kereta daripada pegangan Laili. Mengambil alih tugas Laili untuk memandu.
“Masuklah. Masa tak menunggu kita, Laili...”
***
“Senyap je?” tegur Sulaiman sewaktu mereka menunggu makanan tiba.
Laili menjeling Sulaiman geram. Perasaanya bercampur baur pada saat ini. Malu, geram, lega... semua ada.
“Kalau fikiran awak masih penuh tentang Lynn, meh sini saya nak bagi tahu lagi. Lynn bukan pilihan saya!” tegas Sulaiman.
“Dia pilihan mak awak.”
                “Mak saya dengan mak dia, berkawan. Adatlah orang perempuan ni bila dah berbual, cerita pasal anak-anak... itu yang keluar cerita nak kenalkan kami.” Sulaiman memandang wajah Laili serius. Harapannya biar kata-katanya ini melekat di kepala gadis itu.
                “Memang kitorang berkawan. Tapi hati saya dah lama awak curi. Lynn tak dapat apa-apa pun daripada saya. Cuma iyalah tak sangka dia berharap pula. Orang handsome macam saya, siapa yang tak jatuh hati, kan?”
                “Eee... menyampah! Tak payah nak perasan sangat boleh tak?” marah Laili dan disambut dengan tawa Sulaiman.
                “Laili... kita kahwin? Sepuluh tahun masa kita terbuang macam tu je. Beberapa bulan ni, macam-macam perkara yang berlaku. Rasanya, cukuplah kita main tarik tali. Awak pun dah mengaku masih sayangkan saya.”
                Wajah Laili terasa panas. Malu apabila pengakuannya tadi diungkit Sulaiman. Laili melarikan pandangannya. Ada benar kata-kata Sulaiman. Dia pun tak tahan menjeruk perasaan. Dah sampai masanya dia jujur dengan Sulaiman tentang apa yang dia rasa. Lagipun, Laili perasan sejak kebelakangan ni, dia dan Sulaiman sudah mula terlupakan batas-batas pergaulan. Mesti hanya bersentuh tangan, itu sudah lari dari prinsip yang Laili pegang selama ni. Ternyata, apabila lelaki dan perempuan ajnabi berdua, pasti ada syaitan yang ketiga. Laili mengangguk perlahan-lahan. Sebuah senyuman manis dia hadiahkan buat lelaki yang duduk di hadapannya.
                “Bawalah mak cik jumpa dengan mak.”
                “Ok. Tak ada masalah. Hujung minggu ni boleh?”
                Laili mengangguk. “Cuma... sebelum tu...”
                Sulaiman merenung Laili lama. Menanti kata-kata yang bakal keluar dari mulut itu.
“Awak tahu dekat mana ayah saya tinggal?”
***
Sulaiman tersenyum sendiri. Bagai terngiang-ngiang soalan Laili itu di telinganya. Alhamdulillah! Hati Laili mula lembut dan belajar untuk menerima ayahnya semula. Tak perlu fikir panjang, terus Sulaiman pelawa untuk membawa Laili ke rumah Encik Mokhtar selepas balik kerja nanti.
“Senyum seorang ni kenapa? Ingatkan siapa?” tegur Laili bila terpandangkan senyuman Sulaiman tanpa sebab. Makanan sudah habis dimakan. Tinggal minuman yang masih separuh berbaki di dalam gelas masing-masing.
“Teringatkan awak. Awak dekat depan saya pun, saya dah rasa rindu.”
Laili mencebik. Namun di dalam hati menggedik suka. “Mengada-ngada!”
Sulaiman ketawa kecil. “Laili masih marahkan ayah Laili?”
“Entahlah ya? Saya sendiri tak tahu. Yang saya tahu, kalau saya nak kahwin, dia tetap wali saya.”
Sulaiman senyum sumbing.
“Lainlah kalau dia dah mati...” sambung Laili.
Wajah Sulaiman berubah riak. “Muluttt...” tegur Sulaiman. “Sekurang-kurangnya Laili patut bersyukur ayah sempat bertaubat sebelum meninggal, tahu?”
“Tahu...” ujar Laili tak berperasaan.
Diam. Laili menghabiskan minumannya yang berbaki. Sesekali dia menjeling ke arah Sulaiman yang leka memegang gelas sambil memandangnya.
“Dah nak pukul satu setengah. Jomlah...” ajak Laili.
Sulaiman mengangkat gelas dan ditunjukkan ke arah Laili.
“Air dalam gelas ni...”
Half full atau half empty?”
“Hish. Cuba jangan potong saya tengah cakap.” Sulaiman menggoyangkan gelas yang airnya tinggal separuh.
“Air dalam gelas ni, agak-agak berapa beratnya?”
Bulat mata Laili dengar soalan Sulaiman. “Dah kenapa tanya berat air tu?” Laili diam. Berfikir. “Hrm.. kalau satu gelas boleh isi 250ml air, jadi air dalam tu mungkin 125gram?”
Sulaiman menggeleng. “Berat dalam air ni, bergantung berapa lama saya dah pegang gelas ni.” Sulaiman menjeling jam di dinding restoran.
“Sepuluh minit ye saya pegang. Dua-tiga minit pertama, tak terasa langsung berat. Lepas sepuluh minit, terasa lenguh tangan saya pegang gelas ni. Baru terasa beratnya...”
Laili diam. Sulaiman terus menghabiskan minumannya. Gelas yang sudah kosong dia letakkan kembali ke atas meja.
“Macam itu jugalah dengan dendam, Laili. Makin lama kita simpan, kita pegang, kita bawa ke mana kita pergi sepanjang hidup kita, makin terasa berat dalam jiwa kita...” Sulaiman tersenyum. “Jom,” ajaknya apabila melihat Laili masih terpaku di situ.
***
Berat rasanya hendak melangkah mendapatkan Encik Mokhtar yang berdiri di hadapan Sulaiman. Wajah tua ayahnya itu ceria menerima Sulaiman sebagai tetamu. Tidaklah jauh benar rupanya rumah ayahnya sekarang. Kedai runcit yang ayahnya cerita pun selang beberapa baris dari rumah yang dia berteduh.
Laili melangkah lambat-lambat menuju ke tempat Sulaiman dan Encik Mokhtar berdiri. Terpandangkan Laili yang sedang melangkah, senyuman Encik Mokhtar semakin lebar. Tindakan anaknya datang melawat pun memberi petanda yang baik.
“Laili apa khabar?” soal Encik Mokhtar lembut.
Laili mengangguk perlahan. “Sihat,” balasnya pendek. Kekok rasanya berhadapan dengan ayahnya.
“Alhamdulillah. Jemputlah masuk, Leman... Laili... boleh kita berbual,” pelawa Encik Mokhtar. Dia mematikan niatnya yang baru hendak ke kedai. Mujur ada Roslan yang membantu menjaga kedai.
“Tak apalah... kami sekejap je ni...” tolak Laili.
Sulaiman tidak menyampuk. Dia membiarkan dua beranak itu berbual sesama sendiri.
“Laili... nak ajak ayah ke rumah Sabtu ini. Makan tengahari dan...” dia menjeling ke arah Sulaiman yang menjadi pemerhati. “Dan... insya Allah Sulaiman nak hantar wakil untuk merisik.”
“Iya ke? Alhamdulillah...” Encik Mokhtar meraupkan kedua belah tapak tangannya ke muka.
“Insya Allah... ayah akan datang Laili. Terima kasih kerana masih ingat pada ayah. Ayah pasti akan datang!”
Laili mengangguk perlahan. Kemudian dia mencuit lengan Sulaiman dan menunjukkan ke arah kereta. Mengajak lelaki itu pulang.
“Datanglah. Laili balik dulu err... ayah.”
Spontan mata Encik Mokhtar bergenang tatkala anak daranya memanggilnya ayah. Lama dia rindukan panggilan itu. Dalam dia menahan perasaan, Encik Mokhtar terasa tangannya ditarik. Sopan Laili menyalami dan mencium tangannya. Allah... air mata lelaki itu jatuh ke pipi. Sulaiman yang menjadi pemerhati hanya mampu tersenyum. Dia membuat pilihan yang tepat dalam memilih Laili menjadi permaisuri hatinya.
***
Majlis kenduri kesyukuran yang diadakan secara kecil-kecilan bagi meraikan Sulaiman dan Laili yang baru diijabkabulkan pagi tadi. Ceria wajah kedua-duanya melayan saudara mara dan jiran tetangga yang hadir ke majlis mereka. Sesekali Sulaiman akan menggapai tangan Laili agar gadis itu tidak pergi jauh daripadanya. Kalau Laili hendak melayan tetamu pun, biar dia turut ada bersama.
Laili menjeling ke arah Sulaiman yang berbual dengan Jefrey dan Lynn yang baru selesai makan. Dia pula hanya menjadi pendengar. Tak kuasa nak berbual mesra dengan Lynn. Lynn pun tak ada pula sibuk-sibuk nak berbual. Tadi pun hanya perkataan tahniah yang keluar dari mulut dia. Ah, pedulikanlah! Tekak sudah terasa kering benar. Mana tidaknya, hampir sejam juga mereka melayan tetamu selesai mereka makan beradab tadi. Perlahan-lahan pegangan Sulaiman dia leraikan dan Laili melangkah menuju ke arah tempat air. Sulaiman yang terasa Laili meninggalkan dia menjeling dengan ekor mata. Risau sangat!
“Nak air?” tanya Laili yang baru mengambil dua gelas air untuk mereka berdua. Jefrey sudah tersengih-sengih menjadi penonton.
Kening Sulaiman terangkat. “Kenapa ambil dua?”
“Saja ambil dua, kot-kot awak nak juga,” balas Laili jujur.
Sulaiman sengih nakal. Gelas yang dihulurkan oleh Laili dia ambil. “Lain kali ambil satu je. Kita share. Jefrey cakap, rahsia mengekalkan kebahagiaan rumah tangga,” ujar Sulaiman selamba.
“Eh, aku pula!” Jefrey menjegilkan mata.
Laili mencebik. “Kahwin dulu baru nak sibuk bagi tips rumah tangga!”
Jefrey ketawa. “Kau ni... dah dapat kahwin dengan pujaan hati pun nak garang-garang lagi. Kau patut berterima kasih dekat aku tau! Kalau tak kerana aku, tak adanya menjadi korang berdua ni! Sudahlah kitorang merancang dulu, korang pula yang naik pelamin dulu!”
Suasana tiba-tiba menjadi sunyi sepi di antara mereka berempat. Spontan mata Sulaiman dan Laili memandang Jefrey. Seorang dengan pandangan amaran, ‘jangan pecahkan rahsia.’ Seorang lagi dengan pandangan amaran, ‘woi Lynn woi!’ Jefrey pula hanya ketawa besar bagi menutup kesilapannya. Lynn menjeling malas hendak melayan. Kecewa kerana Sulaiman memilih seterunya? Huh! Tidak sama sekali.
“Sudahlah! Berbual sampai bila pun tak habis. Jomlah kita balik!” ajak Lynn akhirnya.
“Okey sayang. Man, Laili... tahniah!” ucap Jefrey sewaktu bersalam dengan Sulaiman.
Sulaiman mengangguk dan Laili hanya tersenyum. Lynn menghulurkan tangan kepada Laili sebagai berbahasa. Melihatkan peluang yang ada, terus Laili menyambut salam yang dihulurkan dan dia menarik Lynn ke dalam pelukannya.
“Terima kasih Lynn sebab sudi datang...” ujar Laili lembut. Dia cuba untuk merendahkan egonya setelah apa yang Lynn lakukan padanya. Bukan untuk Lynn, tetapi untuk dirinya sendiri. Untuk kepuasan jiwanya sendiri, meletakkan apa yang berlaku di antara mereka ke tepi.
Lynn terpempan. Tak disangka Laili akan memeluknya begitu. Jiwanya tersentuh. Namun tidak mahu menunjukkan dirinya kalah, cepat-cepat dia melepaskan salam dan menjauhi Laili. Kata-kata Laili hanya dibalas dengan anggukan kecil. Tidak lama kemudian, pasangan itu hilang dari pandangan.
“Abang bangga dengan Laili,” ujar Sulaiman yang sedari tadi memerhatikan tingkahnya dengan Lynn.
Laili terpinga-pinga. “Bangga?”
Sulaiman menggeleng perlahan dengan senyuman. Dia berpusing ke belakang, melihat kaum keluarga yang sibuk dengan kerja masing-masing. Seketika kemudian, pandangannya tercantap pada Encik Mokhtar dan Puan Rumaizah yang sedang berbual.
“Laili...”
Laili menoleh. Belum sempat dia bertanya, pandangannya sudah terlebih dahulu mendapat jawapan.
“Kalau mak dengan ayah bersama balik, Laili ok?”
Laili mengalih pandangan ke arah suaminya yang masih leka melihat ibu bapanya melayan tetamu yang bersalam.
“Laili tak nak masuk campur urusan mereka. Kalau itu boleh buat mak gembira, Laili tak kisah. Lagipun...”
Sulaiman mengalih pandangan. Kata-kata yang tidak habis membuatkan dia tertanya-tanya sendiri.
“Lagipun apa?”
“Lagipun, Laili dah jumpa kebahagiaan Laili. Tak adillah kalau Laili je yang bahagia sorang-sorang.”
“Hrm... boleh je kita kongsi kegembiraan kita dengan mak.”
“Oh ya? Macam mana?”
Sulaiman merapatkan dirinya ke arah Laili. Kemudian dia membisikkan sesuatu ke telinga isterinya itu. Merah wajah Laili tatkala Sulaiman habis berbisik.
“Gatal!” marah Laili. Merah wajahnya dek kerana malu.
“Apa pula? Biasalah tu... dah kahwin kan? Bukannya ramai pun. Dua lelaki, dua perempuan. Mesti ibu, mak dan ayah semua gembira.”
Sulaiman dah ketawa besar. Seronok dapat mengusik Laili yang dah tak tentu arah. Hatinya tenang. Setiap kali memandang wajah permaisuri hatinya, tak putus-putus doa dia panjatkan ke hadrat Ilahi buat mereka berdua. Berdoa agar rumah tangga yang dibina sentiasa tenang, penuh rasa cinta dan kasih sayang. Sakinah, mawaddah dan rahmah.
End.

3 comments:

Anonymous said...

Good story line. It makes my heart flutter so much. Hahaha

Yasmin Syamimi said...

Menarik ...penuh dgn pengajaran..

Unknown said...

sama nama dengan saya..huhu..kakak sulaiman pun sama nama dengan kakak saya