::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

22 April 2015

E-novel: Bidadari 10



Bidadari 10
Aku membelek-belek cincin yang tersarung di jari semenjak petang tadi. Setelah penat meniarap, aku menukar posisi. Aku memandang Nisa di sebelah yang dah lama terlena. Baru pukul sepuluh tadi, dia kata dia dah mengantuk. Mana tidaknya, siang tadi dialah orang kuat yang banyak ke dapur. Nampaknya malam ni aku pula yang jadi burung hantu.

Mata yang masih belum menunjukkan tanda mengantuk aku pejam. Namun fikiran masih lagi melayang. Bibir menguntum senyuman teringat-ingat peristiwa siang tadi. Ah, gila dah aku ni! Bunyi telefon bimbit yang betul-betul di sebelah bantal membuatkan aku mata aku terbuka luas. Dah dekat pukul dua belas dah ni. Siapa agaknya yang rajin nak mesej aku malam-malam macam ni? Bilik yang tadi hanya diterangi lampu jalan, kini ditambah dengan cahaya daripada telefon bimbit aku. Jari laju menyentuh skrin. Tak lama, mesej si pengirim terpapar di skrin.
Tidurlah. Janganlah asyik menilik cincin tu. –Aiman-
Aku terkaku. Macam mana dia boleh tau aku tak dapat nak lelap ni? Lama aku diam, berfikir. Merangka-rangka ayat untuk menjawab mesej dia. Nak guna gaya bahasa macam mana ni? Gila-gila dengan selamba macam dulu atau nak guna bahasa sopan lepas bertunang ni? Apabila angka minit di skrin telefon bimbit dah bertambah tiga, barulah aku membalas mesej Aiman.
Nak tidurlah ni. Dia tu kacau yang orang yang dah nak lelap dah ni –Hanis-
Aku membaca kembali mesej yang sudah ditaip. Dia? Orang? Hahaha... kalau bukan kerana Aiman dah jadi tunang aku, tak adanya aku nak guna kata ganti nama macam tu. Jangan Aiman pula yang asyik menggelakkan aku sudah.
Oh. Sorry. Saja je nak menyakat orang tu. Manalah tahu excited sangat dapat cincin sampai bawa tidur ^.^ -Aiman-
Hampir nak ketawa aku baca mesej Aiman. Memang nak bawa tidur pun...
Eh? Tak boleh ke bawa tidur? Cincin mahal ni. Bukan senang nak dapat. ;) -Hanis-
Tak lama selepas delivery report memberitahu mesej sudah sampai kepada penerima, Aiman menelefon aku. Lama aku memerhatikan skrin telefon bimbit. Teragak-agak aku mahu menjawab panggilan dia. Mengingatkan Nisa yang tengah tidur, aku terima juga panggilan dia. Sebelum butang hijau ditekan, aku berdehem dua tiga kali, membetulkan suara.
“Helo?”
“Assalamualaikum,” tenang Aiman memberi salam.
“Waalaikumussalam. Kenapa telefon malam-malam ni? Dah pukul dua belas dah? Telefon siang tak boleh ke?”
Aiman tak terus menjawab. Dia mendiamkan diri beberapa saat sebelum berkata-kata.
“Lain kali janganlah bergurau macam tu...” Lain ditanya, lain yang dijawab Aiman.
Dahi aku dah berkerut. “Gurau apa?” aku menyoal.
“Tak adalah. Punyalah kita beli susah-susah cincin. Nak bagi dekat dia. Sekali boleh dia cakap kita tak nak dia pakai pula.”
Nyaris nak pecah perut aku mendengar kata-kata Aiman. Serius lawak bila mengingatkan yang selama ni kita orang berbual aku-kau je, tiba-tiba bertukar. Ini belum menikah lagi. Kalau dah, memang seratus lapan puluh darjah berubah.
“Hahaha... bergurau je pun. Sejak bila jadi serius sangat pula ni?”
“Sejak siang tadi. Semenjak bila status dekat Facebook boleh bertukar daripada single kepada engaged?”
Aku hanya tersenyum. “Iyalah. Tapi, jangan tukar betul, eh? Seganlah!”
“Hrm... Iyalah.” Pendek balasan Aiman.
Aku dah tak tahu nak bertanyakan apa lagi. Terpandangkan cincin di tangan membuatkan aku terfikir sesuatu.
“Aiman?”
“Ye?”
“Mana tahu saiz jari? Ngam-ngam ni hah.”
“Cuba teka?”
“Hrm... Nak kata pernah ukur jari ni, memang taklah. Kan?”
Aiman ketawa. “Memanglah. Orang ukur guna jari orang lain...”
Aku terdiam. “Jari siapa?”
“Atiqah.”
“Hah? Atiqah? Bila masa pergi ukur jari dia?”
“Orang tanya Atiqah saiz jari orang tu. Atiqah cakap, jari orang tu sama dengan dia. Atiqah bagilah saiz jari dia. Bukannya orang pergi tengok dan ukur jari Atiqah. Apalah dia ni...” sempat Aiman mengutuk.
“Oh...”
“Hrm...”
Aku menarik nafas. Ah, apa lagi nak cakap ni? Mata memandang ke sekeliling bilik. Sambil itu, otak bekerja mencari idea.
“Hanis...”
“Aiman?”
Spontan kami berdua bersuara. Tiba-tiba aku terasa malu. “Cakaplah dulu,” kata aku.
“Tak apa. Ladies first,” ala-ala lelaki budiman dia menyuruh.
Sekali lagi aku tersengih.
“Kenapa tak pernah cerita, orang tu dapat tawaran kerja dekat universiti sana?” soalan yang tiba-tiba terbit di fikiran aku lontarkan.
“Hrm... Tak sangka ye, kita berfikir benda yang sama? Baru ingat nak beritahu tadi,” ujar Aiman.
“Great thinkers think alike,” ujarku. Sengaja menyebut kembali quote yang selalu aku sebut masa zaman belajar bila kita orang berfikir benda yang sama. Kononnya, kita orang berdua ni great thinkerlah!
“Hah, iyalah sangat! Tak habis-habis dengan great thinker dia tu,” lepas menghabiskan kata-kata dia, Aiman ketawa. Ketawa yang membuatkan aku berasa senang.
“Berbalik kepada topik tadi, orang baru je dapat tahu tiga minggu lepas. Kebetulan ada kekosongan. Alhamdulillah, rezeki dekat situ agaknya...” ala-ala pensyarah Aiman menjawab.
“Wah... boleh ganti Dr. Ahmad lah lepas ni?” aku mengusik.
Ketawa Aiman mendengarkan kata-kata aku. Dulu, dia ni anak murid kesayangan Dr. Ahmad. Entah apa yang ada pada Aiman ini pun aku tak tahulah. Tapi, aku tak boleh nak nafikanlah, dia dalam kelas Dr. Ahmad memang aktif sikit.
“Tak adalah sampai macam tu. Lagipun, banyak yang boleh belajar daripada dia. Orang senior, banyak pengalaman.”
“Betul...” aku bersetuju. “Habis tu, kena sambung phD lepas ni?”
“Kena sambung. Tapi satu-satulah. Enam bulan lagi nak kahwin... nanti lepas kahwin Hanis kena ikut pergi oversea.”
Terasa berbunga-bunga hati ni bila mendengarkan kata-kata yang keluar daripada mulut dia. Ah! Ini yang aku tak suka ni. Bertunang bukannya lesen nak berperasaan merah jambu, Hanis! Aku mengingatkan diri sendiri.
“Hrm... nak kena isi borang resign ke?,” perlahan aku menuturkan. Terbayang sudah di fikiran saat-saat terakhir bekerja. Seronoknya! Tapi, nak buat apa lepas tu?
“Tak perlu nak berebut. Kalau rasa lepas kahwin, nak kerja lagi setengah tahun boleh je.” Aiman ketawa.
“Setengah tahun lagi? Lamanya. Tapi tak naklah lama sangat kerja. Biarlah kita duduk sama-sama. Tak seronoklah PJJ ni...”
Aiman ketawa kecil. “Ok.” balas Aiman lembut.
“Kadang-kadangkan... rasa macam kelakar pula.”
“Apa yang kelakar?”
“Tak adalah. Bila mengingatkan yang kita tengah berbincang tentang masa depan kita?”
Sekali lagi ketawa Aiman pecah. “Dah sampai masanya, kan?”
“Aiman memang yakin dah ke ni?” aku bertanyakan soalan yang dah lama aku inginkan jawapan. Semenjak Atiqah beritahu aku tentang Aiman hari tu, aku nak sangat bertanyakan soalan ni pada dia.
“Lepas beberapa hari minta petunjuk Allah, insya Allah pilihan ni tak silap.”
Sekali lagi hati aku terasa berbunga. Bibir menguntum senyuman.
“Hrm. Yang orang tu pun, terima tak banyak soal... dah istikharah ke belum?”
Aiman membalas dengan soalan yang sama. Alamak! Memang tak ada istikharah langsung masa tu! Spontan aku mengetuk kepala dengan telefon bimbit di tangan.
“Hahaha...” aku hanya ketawa sebagai jawapan. Spontan muka aku terasa panas mendengarkan usikan dia. Kalau dia tahu aku dah lama suka pada dia, mesti dia lagi sakan mengenakan aku.
“Oklah. Dah mengantuklah. Nak tidur.” Akhirnya aku memberi alasan untuk mengelak.
“Ok. Goodnight.Assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam... oh, sekejap! Lagi satu Aiman, kalau boleh tak payahlah telefon lagi waktu malam boleh? Dan kalau boleh kita limitkan communication kita. Bincang apa yang penting, itu pun melalui orang ketiga. Kita mulakan hubungan kita dengan cara yang diredhai Allah. Boleh?” pintaku.
“Iye... faham... itu yang sepatutnya. Cuma, iyalah, saya pun manusia biasa juga. Mudah terlupa.” balasnya. “Terima kasih, Hanis. Makin saya yakin awaklah yang bakal menjadi sayap kiri saya nanti.
Aku tersenyum malu. Mudah-mudahan Sama-sama mengingatkan. Cuma, jangan sampai setiap malam aku kena dengar suara dia baru boleh tidur sudahlah.

No comments: