::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

07 April 2015

Mininovel: Kasih Suci 07

Kasih Suci 07
“Lama dah ke sampai, Ila? Maaflah... mak cik sibuk menguruskan Irfan. Tadi dah mandi dengan air milo. Itu yang terus mandikan tu...”
Mak Cik Jas yang baru melangkah ke ruang tamu membuatkan menyelamatkan aku daripada terus terasa kekok dengan Thaqif. Irfan yang masih leka di pangkuan aku ralit membelek rantai tangan aku.
“Tak adalah lama pun. Baru je duduk ni...” ujarku lalu bangun sambil mendukung Irfan untuk bersalam dengan Mak Cik Jas.

“Dah sarapan dah? Mak cik buat nasi lemak tadi. Boleh kita makan sekali. Jom kita ke dapur... ” ajak Mak Cik Jas ramah.
“Boleh juga...” ujarku perlahan. Aku sudah tersengih malu. Bukanlah lapar sangat sebenarnya, tapi kekok bila duduk berdua dengan Thaqif di ruang tamu ni. Langkah aku atur mengikut langkah Mak Cik Jas ke dapur. Irfan masih berada dalam kendongan aku.
“Minta maaf mak cik. Ila tak bawa apa-apa pun buah tangan...” kataku sedikit segan.
“Hish. Tak apalah... mak cik tak kisah pun. Ila nak datang sini pun, dah elok...” kata Mak Cik Jas sambil mengambil pinggan di rak.
Tak mahu nampak seperti tuan puteri, aku turut berdiri di dapur. Irfan yang tiba-tiba meronta hendak turun aku lepaskan. Dari hujung mata aku memerhatikan langkahnya. Melihatkan Thaqif berada tidak jauh daripada kami, aku sedikit lega. Pandailah ayah tunggal tu jaga anak dia.
“Izzat tak keluar ke pasar hari ni, mak cik?”
“Tak ada pula. Selalunya kalau tak keluar tu, maknanya dia kena bertugaslah tu...”
“Bertugas?” soalku pelik. Dalam ada itu, aku mengambil mangkuk yang sudah Mak Cik Jas isikan dengan nasi lemak untuk dibawa ke meja makan.
“Bertugas. Dia jadi warden di sana. Hujung minggu, kenalah rotate dengan cikgu-cikgu lain...”
Aku mengangguk faham. Pelajar sekolah Izzat kebanyakannya duduk di asrama yang disediakan memandangkan rumah panjang mereka jauh-jauh. Yang darjah satu pun sudah berdikari sendiri.
Aku dan Mak Cik Jas mengambil tempat di meja makan. Kemudian, aku membantu mencedokkan nasi ke dalam pinggan. Tak sedar bila masa Thaqif turut berada bersama kami. Tahu-tahu saja suara garaunya kedengaran meminta aku mencedokkan nasi untuk dirinya sekali. Irfan di pangkuannya sibuk hendak mencapai pinggan di atas meja. Melihat lagi sikit tangannya hendak mencapai mangkuk sambal tumis, cepat-cepat aku mengalihkan mangkuk itu sebelum dia bermandi dengan sambal pula.
“Eh? Tadi dah makan, nak makan lagi?” soal Mak Cik Jas pelik.
Aku hanya buat selamba lali mencapai lagi satu pinggan untuk diletakkan nasi lemak buat Thaqif. Orang minta, kita ikutkan sajalah.
“Tadi jamah je mak. Ini baru makan...”
Aku tergelak mendengarkan jawapan Thaqif. Macam jawapan yang aku selalu berikan kepada mak bila dia menegur aku ambil pinggan buat kali kedua.
“Masakan mak memang sedap, mak cik. Lain dengan air tangan kita, anak-anak ni...” kataku memenangkan Thaqif.
Mak Cik Jas menjeling aku dengan Thaqif sekilas. “Iyelah sangat!”
“Betul...!” serentak aku dengan Thaqif bersuara. Seketika kemudian, kami bertiga ketawa. Irfan terpinga-pinga melihatkan kami ketiga. Kemudian dia turut ketawa. Aku tersenyum. Sempat tangan aku mencubit pipi labuhnya.
“Mari sini, Irfan. Ayah nak makan tu...” ujarku lalu menghulurkan tangan ke arah Irfan. Thaqif cepat-cepat menghalang sebelum Irfan sempat menyambut huluran aku.
“Awak makanlah dulu. Saya dah makan tadi. Tak apa, saya boleh pegang Irfan ni...” ujar Thaqif ringkas.
Aku mengangguk. Sambil makan, aku dengan Mak Cik Jas berbual bermacam perkara. Tentang Izzat. Tentang persediaan untuk kahwin. Tentang keluarga. Thaqif di sebelah menjadi pendengar dan sekali sekala dia menyampuk apabila perlu. Pak Cik Yunus yang menyertai kami pula menambahkan keriuhan. Terasa
“Majlis kamu dah tak lama lagi, Ila. Lima bulan tu bukannya lama. Pejam celik pejam celik dah lima bulan. Buat je apa yang boleh dulu. Mana nak kena uruskan dengan Izzat, pandai-pandailah kamu bincang dengan dia. Jangan tangguh-tangguh...”
“Ye mak cik...” aku mengangguk faham.
Selesai menjamu selera, aku membantu Mak Cik Jas mengemas meja dan juga membasuh pinggan mangkuk yang digunakan tadi. Memandangkan Mak Cik Jas pun tidak melarang, aku pasti dia pun hendak menilai sikap aku yang bakal menjadi menantu dia nanti. Ruang makan sudah sunyi sewaktu aku selesai membasuh. Langkah aku atur ke ruang tamu di mana keluarga kecil ini sedang berkumpul. Sesekali suara Thaqif kedengaran diselangi suara Irfan yang ketawa. Pasti dia sedang bermain berdua.
“Ila nak balik cepat ke?” soal Mak Cik Jas tiba-tiba.
Aku sedikit terkejut. “Kenapa mak cik?” soalku meminta penjelasan. Takkanlah Mak Cik Jas ada program lain pula sebab masa aku bertanya dia semalam, dia tak ke mana-mana hari ni.
“Baju Irfan dah banyak yang kecil. Mak cik nak beli, Thaqif suruh tunggu dia dulu. Kalau Ila tak ada apa-apa, jomlah kita keluar sekali...” ujar Mak Cik Jas.
Aku tersenyum lebar mendengarkan tawaran dia. Tanpa berfikir panjang, aku bersetuju.
***
Thaqif membawa kami ke kedai pakaian kanak-kanak yang tidak jauh daripada kawasan perumahan. Sepanjang perjalanan, macam-macam tips menjaga anak yang Mak Cik Jas turunkan. Aku hanya menangguk bila dia memandang aku seolah-olah hendak memastikan aku mendengar.
Sampai di kedai baju, kami terus menuju ke bahagian baju kanak-kanak. Beberapa helai baju kami belek bersama. Melihatkan Mak Cik Jas sudah mula letih memegang Irfan, aku menawarkan diri untuk menyambung tugasnya. Thaqif turut memilih beberapa helai baju basahan yang sesuai dipakai pada waktu panas. Sesekali, tangan Irfan menarik-narik baju yang bergantungan sekaligus menyebabkan beberapa helai baju terjatuh.
“Eh? Kak Ila kan...?” tegur satu suara. Aku mengangkat muka. Baju yang terjatuh aku gantungkan kembali ke tempatnya. Irfan sudah mula resah dan meronta hendak turun.
“Wani! Lama tak jumpa...!” ujarku teruja bila terjumpa junior sewaktu di universiti.
“Itulah... akak apa khabar? Bila kahwin?” soalnya sambil mencuit pipi Irfan. Irfan yang baru kali pertama berjumpa Wani menjauhkan diri. Berbeza benar dengan reaksinya bila berjumpa dengan aku.
“Akak kahwin cuti sekolah nanti. Dalam lima bulan lagi. Nanti akak bagi kad, ya? Wani guna nombor lama lagi, kan?”
“Ha’ah... habis, kalau akak belum kahwin, ni anak siapa?” soalnya pelik.
“Anak sedara...” terangku ringkas.
Dahi Wani berkerut. Namun dia anggukkan juga kepalanya tanpa bertanya apa-apa lagi. “Tak sangka jumpa akak dekat sini. Ok kak! Saya pun teman kawan je ni. Dia dah siap bayar tadi masa saya ternampak akak. Saya pergi dulu, ya! Jangan lupa bagi kad...!” kata Wani sebelum berlalu.
Aku kembali membelek baju-baju yang bergantungan. Irfan semakin meronta dalam pegangan. Penat dengan rontaan dia, aku menurunkan Irfan dan membiarkan dia berjalan di sebelah sambil tangan aku tak lepas memegang tangannya.
“Dapat bajunya, Encik Thaqif?” soalku bila melihatkan beberapa helai baju sudah diasingkan daripada kumpulan baju yang lain.
“Hai? Masih berencik-encik lagi, Ila?” tegur Mak Cik Jas yang tidak jauh daripada kami. Tak sedar bila masa dia berdiri di situ. Aku hanya ketawa kecil. Takkanlah nak panggil abang? Izzat pun, aku panggil nama walaupun dia sudah bergelar tunangan.
“Panggil Abang Thaqif pun boleh, Suhaila...” ujar Thaqif tanpa memandang ke wajahku. Serta merta muka aku terasa panas. Tidak tahu hendak menjawab apa, aku hanya diam dan tersenyum.
***
Pagi Ahad itu, Izzat tiba-tiba saja menelefon aku. Terkejut juga bila pukul lapan pagi sudah mendapat panggilan daripada dia. Mujur saja aku sudah bangun dan mengemas bilik hari ni. Buat malu saja kalau suara baru bangun tidur yang keluar semasa menjawab panggilannya.
“Awak buat apa?” soalnya selepas salam berjawab.
“Tengah kemas bilik. Ingatkan awak tak keluar minggu ni?”
“Keluar sekejap je ni. Pukul sepuluh dah nak masuk sekolah balik...”
“Oh... sekejapnya...”
“Iyalah. Dapat dengar suara orang-orang tersayang pun jadilah walaupun sekejap.”
Aku tersenyum sendiri mendengarkan kata-kata Izzat.
“Awak tengah buat apa tu? Dah makan?”
“Ni dekat kedai makanlah ni. Dengan kawan-kawan...”
“Ramai ke yang keluar? Macam riuh je dekat sana...”
“Geng-geng Kapit ajelah. Kalau awak ada tengok gambar kawan-kawan saya dekat sini, itulah orang-orangnya...” jawapan Izzat membuatkan ingatan aku melayang kepada Nabihah.
“Biha pun ada ke?”
“Biha? Oh ye... hari tu awak jumpa dia masa hantar saya, kan?”
            “Iye...”
            “Ada... sekolah dia dekat pekan Kapit ni je. Jadi, kalau kitorang turun pasar... dia lepak sekali...” jawapan Izzat membuatkan aku serba tak kena. Cemburu? Rasa tak patut pula sedangkan dia bukan hak aku sepenuhnya.
            “Semalam saya pergi rumah mak awak,” aku bercerita.
            “Itulah. Mak ada cakap juga tadi. Eloklah tu. Kenal-kenal dengan mak. Mak merungut juga masa saya ajak dia pergi merisik awak dulu. Katanya, tak kenal apa-apa langsung dengan orang yang nak dirisik. Bila dah jumpa awak, baru dia lega sebab dah pernah terserempak dengan awak masa di Kuantan...” cerita Izzat membuatkan aku tersenyum.
            “Sempat juga dia bercerita juga ye tadi?”
            “Sempat...”
            By the way Izzat, bila awak dapat balik ye untuk kita uruskan borang-borang untuk nikah nanti?”
“Hrm... bulan depan ada cuti umum kan hari Isnin?”
Aku membelek kalendar yang tertampal di dinding. “Ha’ah. Sarawak cuti sekali, kan?”
“Cuti... masa tu bolehlah saya balik sekejap.”
“Oklah kalau macam tu,” kataku lalu menanda tarikh Izzat bakal pulang.
“Tapi dua minggu lagi saya ingat nak balik sekejap.”
“Iya ke? Kenapa?”
“Saja je... boleh juga kita sediakan apa yang patut, kan? Mak dah bising tadi, cakap lima bulan tu bukannya lama...”
Aku ketawa kecil mendengarkan kata-kata Izzat. Tak sangka, apa yang Mak Cik Jas katakan kepada aku turut dia sampaikan pada Izzat.
“Kalau macam tu, bagus juga.”
“Oklah. Ila, saya nak makan dulu. Nanti sebelum saya balik sekolah, saya call awak lagi, ya? Take care...”
“Iye... awak pun. Take care. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
xxx
Sorry lambat update. Excited dengan terbitnya OMP sampai terabai kisah Suhaila ni. Hihi.
Bagi sesiapa yang nak order OMP melalui saya boleh pm di fb aku_dia ataupun Hannah Dhaniyah, ya!
*Fb Hannah Dhaniyah tu baru sebab saya tak boleh control page aku_dia kalau tak ada personal akaun. Huhuhu! Jemputlah add saya di sana. Hihi. ;)

1 comment:

Unknown said...

Suke sgt mini novel nih...tertunggu w/pn pendek..huhu