::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

24 June 2015

Mininovel: Kasih Suci 10



Kasih Suci 10
            “Kenapa, mak?” tegur Thaqif bila melihat kami berdiri statik di hadapan kumpulan hantaran tadi. Aku tersenyum tawar memandang Thaqif yang memandang kami berdua dengan riak yang pelik.
            “Ini hah... mak tunjukkan Ila gubahan ni. Cantik. Itu tanya dia, nak ambil yang macam ni ke tak...” jelas Mak Cik Jas.
            Aku tersenyum tanpa perisa. Otak laju bekerja untuk merangka ayat sesuai agar Mak Cik Jas menerima penolakan aku.

            “Mak cik...” panggilku perlahan. “Ila rasa rugi sangat nak habiskan beratus untuk satu gubahan ni. Kalau tujuh dah berapa ribu pula, mak cik. Apa kata, kalau kita beli bahan-bahan untuk gubah, lepas tu Ila gubah sendiri. Lebih jimat, mak cik. Adik Ila dulu bertunang, tak sampai tiga ratus pun modal untuk gubah hiasan ni...” pujukku.
            Thaqif memandang aku dengan Mak Cik Jas silih berganti. Melihatkan Irfan masih memanggil-manggil neneknya, meminta perhatian, Thaqif dengan rela hati mendukung Irfan bila Mak Cik Jas buat tak tahu.
            “Bukan selalu Ila. Tak apalah berhabis sikit. Cantik ni... mak cik berkenan sangat tengoknya.”
            “Mak cik... cantik tu sekejap je. Nanti lepas habis majlis, gubahan ini pun entah ke mana-mana. Tak pernah dibuat dek orang mak cik, pamerkan hantaran ni dekat atas rak. Tak apa mak cik, Ila sanggup buat semua gubahan hantaran untuk majlis nanti daripada membazir. Daripada kita habiskan beribu untuk hantaran ni, apa kata duit tu kita guna ke lain? Tak pun mak cik hadiahkan dekat Ila dengan Izzat? Boleh kami pergi ke mana-mana, bercuti...? Bolehkan, mak cik...?” pujukku tanpa rasa malu meminta hadiah percutian. Malu itu aku dah buang jauh-jauh bila membayangkan beribu hendak dihabiskan untuk ini je. Belum masuk bab baju nikah dan sanding lagi ni. Aduh! Sakit kepala dibuatnya.
            Mak Cik Jas tiba-tiba ketawa kecil, membuatkan aku memandang dia dengan penuh tanda tanya.
            “Kenapa mak cik?”
            Mak Cik Jas menggelengkan kepala. Ketawanya masih berbaki. “Mak cik geli hati tengok kamu memujuk mak cik, Ila. Mak cik sengaja nak test kamu tadi. Nak lihat kamu ni macam mana orangnya...”
            Aku sudah melopong. Ya Allah.... rupa-rupanya Mak Cik Jas sengajalah psiko aku tadi?
“Mak cik... kalaulah mak cik tahu betapa saya dah cuak sangat tadi kalau mak cik berkeras juga nak beli set gubahan yang ini...” aku sedikit merengek. Kepala aku geleng perlahan, masih tak percaya.
“Kita kenal tak lama, Ila. Mak cik pun nak tahu juga bagaimana hati budi bakal menantu mak cik ni... bila tengok air muka Ila masa mak cik cakap nak beli set ini juga, mak cik dah boleh agak penerimaan Ila.” Mak Cik Jas memeluk aku dengan sebelah tangan.
“Hai, mak... mak... terkejut juga Thaqif tadi tengok cara mak. Tak pernah-pernah mak buat macam tu...”
“Itulah... mujur tak terketawa je mak dibuatnya. Eloklah kalau macam tu, Ila. Kita beli apa bahan yang perlu untuk buat gubahan ni. Ila dah survey di KL juga, kan? Kalau rasa KL ada jumpa lagi murah, kita beli di sana. Kalau tak, beli sajalah di sini. Nak ke sana-sini, duit minyak lagi,” putus Mak Cik Jas.
Aku hanya mengangguk. Otak sudah merangka-rangka apa barang yang perlu dibeli sambil mata melilau mencari tempat-tempat yang menempatkan barang-barang.
“Mana Izzat ni? Hish... kita ke sini nak cari barang untuk dia, boleh pula dia ke tempat lain...”
“Izzat tadi ada berjalan belakang Thaqif, mak. Sekejap lagi sampailah tu...”
Irfan sudah berpindah ke tangan Mak Cik Jas. Melihatkan Mak Cik Jas tak menunjukkan gaya hendak mencari sesuatu, aku terus mengatur langkah untuk ke arah rak yang menempatkan pelbagai jenis barang untuk membuat gubahan hantaran. Aku ralit memerhatikan pelbagai jenis renda yang tersusun di satu tempat. Ah, sudah! Nak beli warna apa ni?
“Apa warna tema korang berdua?”
Tak sedar bila masa Thaqif berjalan mengikut langkah aku.
“Hrm... untuk hantaran dari belah Ila, Ila beli warna hijau lumut. Untuk yang belah Izzat ni, tak tahulah. Izzat suruh pilih je apa-apa warna. Dia tak kisah...”
“Susah juga nak pilih, ya? Abang tengok warna lebih kurang je... kalau hijau, hijaulah. Kalau biru, birulah. Tak tahulah hijau lumut ke, hijau daun ke, biru langit ke...”
Aku tergelak mendengarkan komen yang keluar daripada mulut Thaqif. Memang betul kata dia. Lelaki ni, manalah reti nak membezakan jenis-jenis warna. Lainlah kalau perempuan, segala jenis warna ada bezanya. Aku menarik keluar warna renda berwarna merah ceri. Cantik juga warna ni kalau dijadikan warna tema hantaran.
“Merah?”
Aku menggeleng. “Maraschino.” Sengaja aku hendak mengusik dia.
Thaqif membulatkan mata dan mengerutkan dahi. “Maras-what?”
Aku ketawa besar. “Merah cerilah!”
Thaqif ketawa kecil lalu menggeleng perlahan. “Sebut sajalah merah. Buat apa nak sebut nama dalam carta tu. Bukannya abang tahu pun...”
“Saja je nak usik abang...” kataku geli hati. Mata aku berbalas pandang dengan Thaqif. Leka dia memerhatikan aku sejak tadi. Tersedar kemesraan yang tak sepatutnya terjalin, cepat-cepat aku menutup mulut dan kembali fokus dengan tujuan asal untuk mencari barang.
“Dulu masa majlis abang dulu, Liana pilih warna biru muda. Lembut je warnanya. Untuk belah perempuan, dia ambil warna merah jambu kegemaran dia. Dialah yang menggubah semua hantaran. Nak harapkan abang, manalah abang reti. Keluarga pun tak ada...”
Ayat terakhir yang disebut membuatkan kening aku terangkat sebelah. “Abang tak ada keluarga?” soalku bila lambat menangkap maksud dia.
“Abang anak yatim, Suhaila. Sebab tu semuanya keluarga ni yang uruskan...” ujarnya merujuk kepada Pak Cik Yunus sekeluarga.
Aku mengangguk faham. Patutlah dia banyak menghabiskan masa di rumah Mak Cik Jas. Si Irfan itu pun, Mak Cik Jas yang jaga. Anak yatim piatu rupa-rupanya. Aku tak tahu nak berkata apa bila Thaqif membuka sejarah hidupnya. Malas nak mengambil masa lama, aku terus meminta seorang pekerja untuk memotong beberapa meter renda untuk digunakan nanti.
“Dapat barang yang dicari, Ila?” tegur Izzat sewaktu aku dengan Thaqif berjalan ke arah rak yang menempatkan bakul dan beberapa jenis barang yang lain. Aku dengan Thaqif sama-sama berpaling ke arah Izzat. Kepala aku anggukkan perlahan.
“Izzat dah ada ni. Abang pergi jaga Irfan, ya...” ujar Thaqif meminta diri. Aku hanya mengangguk. Bila masa aku minta dia teman aku tadi pun, aku tak tahu. Tiba-tiba je dia setia berjalan di sebelah aku dan memberikan cadangan itu dan ini.
“Kalau Izzat tak ada, Abang Thaqif nak buat apa?” soal Izzat sewaktu Thaqif sudah hilang daripada pandangan. Aku tersentak. Wajah Izzat aku pandang dengan seribu satu rasa. Apa yang dia maksudkan dengan kata-kata dia tadi?
“Maksud Izzat?”
“Tak ada apa...”
Izzat mencapai sebuah bakul yang dibuat daripada rotan dan membelek-beleknya. Kemudian, tanpa sebarang kata dia meletakkan balik bakul itu ke tempat asalnya.
            “Ada apa-apa idea untuk hantaran?”
            Izzat menggeleng. “Buatlah apa yang Ila rasa patut. Saya bukannya tahu sangat benda-benda ni. Kalau Abang Thaqif lainlah. Dia dah ada pengalaman.”
            Berkerut dahi aku apabila nama Thaqif disebut. “Kenapa tiba-tiba sebut nama Abang Thaqif?”
            Izzat tersenyum penuh rahsia. Kepalanya digelengkan perlahan.
            “Nanti, hantar saya ke LCCT?”
            “Boleh je. Ila memang tak ada apa-apa program untuk esok. Mak cik dengan pak cik ikut hantar sekali ke? Kalau ya, Ila tumpang diorang je la...”
            “Tak. Kita berdua je.”
            Dahi aku berkerut. Peliknya. Takkan mak cik dengan pak cik tak hantar Izzat sekali?
            “Saya dah cakap dengan mak dan ayah, Ila hantar saya. Ada benda sikit yang kita kena bincangkan...” serius Izzat berkata. Aku memandang wajah Izzat dengan penuh persoalan. Daripada gaya dia berkata, seolah-olah ada perkara penting yang perlu dibincangkan. Kalau tak, takkanlah sampai dia minta Mak Cik Jas dengan Pak Cik Yunus tak menghantarnya. Hati aku mula disapa rasa tak senang. Kalau perkara yang Izzat hendak bincangkan melibatkan hubungan kami, apa agaknya isunya?
***
Perjalanan ke LCCT kami diserikan dengan lagu-lagu yang berkumandang di radio. Aku dengan Izzat sama-sama diam sewaktu dalam perjalanan ke LCCT. Fikiran aku penuh dengan kata-kata yang dia ucapkan selepas kami makan tadi. Izzat? Aku tak tahu apa yang dia fikirkan. Aku menghela nafas berat. Berat seperti mana beratnya sewaktu Izzat meminta aku memikirkan kembali tentang hubungan kami. Tak mahu tersilap langkah. Tapi hati jahat aku menyatakan dia hanya hendak menyelamatkan diri dan meminta aku membuat keputusan.
Setibanya di LCCT, seperti yang aku jangka, Nabihah menunggu Izzat di ruangan menunggu untuk check in bersama-sama. Aku mengetap bibir geram. Jangan-jangan sebab perempuan inilah Izzat meminta kami sama-sama memikirkan balik pertunangan kitorang. Agaknya, kalau aku tarik diri, mudahlah untuk dia pergi kepada Nabihah. Nak memutuskan pertunangan ni agaknya nampak kesalahan semuanya diletakkan atas bahu dia. Aku merengus geram.
“Jom...” ajak Izzat untuk ke balai pelepasan.
Aku bangun dan melangkah malas mengikuti langkah mereka berdua. Rancak kelihatan Izzat dengan Nabihah berbual. Aku rasa tak senang melihatkan kemesraan mereka. Cemburu? Aku sendiri tak pasti. Izzat tiba-tiba menoleh ke belakang. Terpandangkan wajahku yang tiada perasaan, dia memperlahankan langkah dan berjalan bersama-sama dengan aku. Nabihah di hadapan hanya menjeling tanpa sebarang kata.
Kalau benar apa yang aku rasakan, Nabihah menyimpan perasaan pada Izzat... akukah yang menjadi orang ketiga di antara mereka? Kalau benar Izzat turut menaruh perasaan pada Nabihah, kenapa dia bersetuju sewaktu Mak Cik Jas mencadangkan kami bertunang terus? Dan agaknya bila dia tersedar dia silap membuat pilihan, dia meminta aku memikirkan kembali pertunangan ni dengan memberikan Thaqif sebagai alasan. Aku rasa seperti hendak mengamuk saja di kedai makan tadi. Marah dan geram dengan Izzat yang berfikiran bukan-bukan. Kalau tak kerana memikirkan air muka yang akan jatuh, memang aku sudah menjerit-jerit saja tadi.
“Saya masuk dulu, Ila...” ujar Izzat apabila kami berdiri di hadapan pintu masuk balai.
Aku hanya mengangguk. Izzat tersenyum nipis.
“Fikirkanlah nanti apa yang kita bincangkan tadi. Take care, Ila. Assalamualaikum...”
“Waalaikumsalam...” jawabku peralahan. Dalam pada masa yang sama aku cuba untuk menahan rasa marah yang membuak bila Izzat mengingatkan kembali perbincangan tadi. Cepat-cepat aku beristighfar.
Telefon aku berbunyi apabila ada mesej masuk di aplikasi WhatsApp aku. Sedang aku berjalan hendak ke keretalah dia nak berbunyi. Lambat-lambat aku mengeluarkan telefon yang aku letakkan di dalam beg tangan. Aplikasi WhatsApp aku buka. Bulat mata aku tatkala melihatkan sekeping gambar candid yang Izzat hantarkan kepada aku. Aku terkelu.
***
Masih terngiang-ngiang perbualan antara aku dengan Izzat semalam. Masa itu, darah panas mula mengalir ke seluruh badan. Marah bila Izzat tiba-tiba mengutarakan isu yang mengarut pada aku. Namun cepat-cepat aku menarik nafas panjang, tak mahu terikut-ikut dengan emosi yang tak stabil.
“Saya rasa kita kena fikirkan balik tentang pertunangan kita.”
Aku merenung Izzat tajam. “Apa maksud Izzat?”
“Ila... balik kali ni, Izzat nampak Ila dengan Abang Thaqif nampak lain...” berhati-hati Izzat memulakan kata. Dahi aku sudah berkerut. Lain?
            “Cara Ila dengan dia, cara dia pandang Ila... saya boleh nampak semua tu. Kena pula Irfan manja benar dengan Ila...”
            “Izzat, itu tak memberi makna apa-apa tau. Ila dengan Abang Thaqif tu macam kawan je. Izzat janganlah salah faham. Mungkin sebab Ila rajin melayan Irfan pun membuatkan kami jadi rapat...”
            “Sebab itulah. Sebab itu saya minta Ila fikirkan balik. Siapa sebenarnya dekat hati Ila... saya tak nak nanti bila kita dah kahwin benda ni semua menjadi isu. Saya nampak, Ila dengan Thaqif serasi benar. Lagi-lagi bila Irfan ada sekali... korang bertiga nampak macam sebuah keluarga bahagia,” kata Izzat.
“Izzat cakap macam ni... sebenarnya Izzat yang nak cari alasan untuk putuskan pertunangan kita, kan?”
“Eh! Bukan macam tu, Ila. Saya ikhlas nak memperisterikan Ila. Walaupun antara kita tak ada apa-apa perasaan, saya yakin perasaan sayang tu boleh dipupuk. Cuma, saya tak nak bila kita dah kahwin nanti, Ila baru tersedar ada orang lain yang boleh membahagiakan Ila. Kita dah matang, Ila. Perkahwinan bukan semata-mata untuk ada teman sehingga kita tua, tapi kalau boleh biar teman kita itu membahagiakan kita sampai kita tua.”
Aku memandang Izzat lama. Kalau begitu kenapa perkara ini yang dia utarakan? Aku lagi gembira kalau dia rasa cemburu dan meminta aku menjauhkan diri daripada Thaqif sebab itu menunjukkan perasaan dia yang merasakan aku hak milik dia. Kenapa dia merasakan sebaliknya? Kenapa dia rasa ada orang lain yang mampu membahagiakan aku tetapi dia tak menyatakan dia akan berusaha untuk membahagiakan aku?
“Ila tak boleh terima semua ni. Semua benda ni tak tercapai dek akal Ila, tau! Sebenarnya masalah ni tentang Izzat atau Ila? Izzat cakap Ila nampak lebih serasi dengan Thaqif? Habis tu? Izzat serasi dengan siapa? Nabihah?” soalku geram.
Izzat nampak terkejut. “Dah kenapa Ila sebut nama Biha tiba-tiba ni? Sekarang kita bincangkan tentang kita berdua. Saya dengan Biha tak pernah ada apa-apa!” nada Izzat mula tegang. Aku memejamkan mata rapat-rapat dan cuba bertenang daripada berkata yang bukan-bukan.
“Tentang kita berdua tak pernah ada isu, Izzat. Izzat yang tiba-tiba utarakan isu ni. Entahlah. Kenapa ya, Ila je yang rasa Izzat tak bersungguh dengan hubungan kita? Ila rasa Izzat cuba meletakkan semuanya pada bahu Ila. Seolah-olah, kalau apa-apa terjadi pada hubungan kita, Ila yang akan dipersalahkan. It takes to tango, Izzat. Kalau Ila seorang yang berusaha untuk hidupkan hubungan kita, tak ke mana...” Dan itu mengakhiri perbincangan kami.
Aku menghenyakkan tubuh ke atas katil besi milikku. Berkeriuk bunyi besi berlaga sesama sendiri. Tangan aku letakkan di atas dahi. Wajah Izzat masih terbayang-bayang di fikiran. Berganti pula dengan wajah Thaqif. Dari celah mana pula yang Izzat boleh menyangka aku dengan Thaqif ada sesuatu?
Teringat gambar yang Izzat kirimkan selepas dia masuk balai berlepas, aku merengus geram. Hanya dengan itu dia boleh menyangka aku dengan Thaqif mempunyai chemistry? Kalau aku berbual dengan lelaki lain, entah berapa ramai lelaki yang dia kata aku ada chemistry. Aku menarik selimut menutupi tubuh. Sakit kepala bila tiba-tiba Izzat buat hal begini. Geram! Rasa nak menangis pun ada. Seolah-olah aku ni bola yang boleh ditendang ke sana ke mari.

xx
Huhuhu. Makin lama makin susah nak menaip. Tapi semangat berkobar-kobar. Buka word terus terkelu otak nak memikir ayat. :(

3 comments:

cik ct payung said...

setelah sekian lama menanti akhirnya ada juga sambungan. so, what next?

Didie Alimen said...

sy sokong ila dengan thaqif heeee

ana said...

its sokayh sis. sye sntiase sokong sis! izzat mcam mngelak je. btw, sye pon suke ila dengan thaqif.