Bidadari 20
Aku masuk ke dalam pejabat
dengan semangat baru. Kalau orang lain, mungkin ada masalah Monday’s blues
tapi aku rasa lain pula. Lagi-lagi mengingatkan kerja-kerja yang banyak
tertangguh disebabkan kursus. Minggu lepas merupakan kali ketiga nama aku naik
untuk berkursus. Pelik juga, minggu lepas baru seminggu naik bekerja sebab kena
ke Melaka, minggu depannya dah kena ke Kuala Lumpur pula. Sayang sangat
syarikat ni dengan aku. Nasib baik juga persiapan untuk perkahwinan banyak beli
siap je.
“Good morning!” aku
menyapa Auni yang baru turun daripada kereta. Auni yang leka mengambil beg
mengangkat muka.
“Morning! Amboi
cerianya cik kak kita ni?”
Aku hanya ketawa. Kaki berhenti melangkah, menunggu dia
untuk berjalan bersama.
“Ok kursus? Best?”
“Biasalah. Lagi-lagi duduk dengan abang sendiri.
Tempatnya dekat pula dengan rumah dia. Senanglah sikit. Lepas ni aku masuk pejabat
ni, kau tengoklah. Sebaik saja aku duduk, kau takkan nampak aku angkat kepala
sebab projek dah menimbun tertangguh. Tunggu dateline bila-bila je kena
hantar. Jangan Encik Syahmi mengamuk dekat aku dah.”
Auni menjeling sekilas ke kiri sebelum bersuara. “Dia
dekat sana tu. Tengah berjalan dengan Encik Lutfi. Tapi aku rasa ada je
kemungkinan kau akan kena. Hati-hati je la.” Dia berbisik.
Aku menelan air liur. Tak sangka Auni akan berkata
begitu. Kalau macam tu, memang betul bahaya Encik Syahmi ni. Entah apalah yang
buat dia jadi tak betul macam ni. Buat malulah kalau jadi macam ni hanya sebab
perempuan. Eh, perempuan tu bukan aku kan?
“Tak ada apa-apa ke yang kau bawa balik?” Auni
melihat-lihat barang yang aku bawa. Dahi aku sudah berkerut.
“Kau ingat aku ni balik dari bercuti ke nak bawa
cenderahati? Lagipun pergi Kuala Lumpur. Nak beli apa?” Aku pandang dia yang
sudah tersengih-sengih.
“Manalah tahu belikan aku beg LV ke, Gucci ke...”
Aku sudah tergelak. Budak ni pun dah sama pening. Merepek
tak sudah.
“Kau stress sangat dengan Encik Syahmi ke apa
sampai minta aku benda bukan-bukan ni?” baru aku menghabiskan satu ayat, terasa
badan aku sudah terlanggar belakang seseorang.
‘Buk’
Kaki aku terhenti. Kemudian aku mengambil satu langkah ke
belakang. Ya Allah, macam manalah aku boleh terleka sampai tak perasan pak cik
ni dah sampai dekat depan ni? Auni sudah mula tayang muka cuak. Aku rasa macam
nak lari sekarang bila teringatkan cerita-cerita Auni tentang mood tak
elok Encik Syahmi. Encik Syahmi menoleh ke belakang. Mak, takutnya, takutnya!
“Err sorry Encik Syahmi. Saya tak perasan encik
dekat depan tadi.” Gugup. Tiba-tiba rasa melayang semangat yang kental masa
turun kereta tadi.
“Tak apa. Saya tahu awak tak sengaja.” Lembut dia
menjawab.
Sempat dia hadiahkan aku senyuman dia yang mahal tu. Aku
tergamam. Walaweh! Ini Encik Syahmi ke ataupun kembar dia yang tak
pernah wujud selama ni? Kenapa perangai dia seratus lapan puluh darjah daripada
apa yang Auni ceritakan? Mana pernah dia nak senyum kalau tak ada sebab? Aku
nampak dia ketawa besar pun bila berbual berdua dengan Encik Lutfi. Dengan kami
pekerja marhaen ni, memang dia tayang buka ‘like a boss’ dia tu je lah.
“Err... itu... err... kan?” aku mengangkat kening kepada Auni
bila Encik Syahmi dah masuk ke dalam pejabat.
Auni mengangguk tanpa bersuara.
***
“Hanis, nanti jumpa saya sekejap ya?”
Aku mengangkat muka memandang Encik Syahmi yang berada di
hadapan meja Auni, membincangkan sesuatu. Sedikit pun dia tidak memandang muka
aku ketika bersuara.
“Ok, Encik Syahmi.”
Aku menjawab sambil memastikan segala design dan
laporan yang mungkin bakal disoal nanti ada.
“Bolehlah ke bilik saya sekarang.”
Encik Syahmi sudah melangkah pergi. Tanpa membuang masa,
aku turut mengikut sambil membawa sebuah buku nota untuk mencatat apa yang dia
suruh memandangkan dia tidak ada menyebut apa-apa untuk dibawa bersama.
“Ada apa ya Encik Syahmi?”
“Hrm. Ok. Macam mana preparation majlis awak? Lagi
sebulan kan?” dia menyoal dengan mata memandang komputer.
“Ya, alhamdulillah semuanya ok. Cuma minggu depan saya
nak minta cuti hari Khamis dan Jumaat. Majlis nikah abang saya di Kedah hari
Sabtu. Boleh ke Encik Syahmi?”
“Boleh. Insya Allah tak jadi masalah. Saya nak beritahu, company
kita akan buat family day ke Universal Studio Singapore dua minggu
depan. Sekali dengan pejabat di Kuala Lumpur. Memandangkan awak selalu kena
keluar dua tiga minggu kebelakangan ni, saya nak tanya awak available ke
tidak? Nama kena dihantar hari ni.”
Aku mula terasa hati melihatkan reaksi dia. Tak boleh ke
dia pandang dan bercakap macam selalu? Walaupun dia tak mengamuk atau apa pun,
terasa hati juga bila dia langsung tak mahu memandang muka aku. Tadi dengan Auni
elok pula dia bercakap macam biasa.
“Dua minggu lagi? Rasanya tak dapatlah Encik Syahmi.
Banyak perkara nak kena uruskan untuk majlis. Takkanlah saya nak bergembira dan
lepaskan yang lain pada keluarga pula, kan?”
Dia mengangguk faham.
“Nampaknya semua akan rindukan awaklah ni.” Dia
tersenyum. Bergurau. Tapi mata masih melekat dekat skrin monitor.
Macamlah skrin tu lagi cantik daripada aku.
“Oklah. Itu je saya nak tanya. Awak boleh keluar. Jangan
lupa tutup pintu sekali,” arahnya.
Aku menerima tanpa banyak soal walaupun dalam fikiran dah
bermacam-macam persoalan yang keluar. Sebaik sahaja pintu ditutup, Encik Lutfi
sudah berjalan menghampiri. Mahu berjumpa dengan kawan baik dia agaknya.
“Hanis Raihan! Lama rasanya tak nampak awak. Jom lunch sekali lepas ni?” ajaknya dengan
senyuman ikhlas.
Aku menggeleng. “Tak dapatlah rasanya. Kerja saya banyak
betul ni,” tolakku sopan.
“Eh, janganlah begitu. Kerja-kerja juga, rehat-rehat
juga.”
Aku sekadar ketawa mendengarnya. Terus aku berlalu ke
tempat duduk aku sementara Encik Lutfi sudah masuk ke dalam bilik Encik Syahmi.
Tidak lama kemudian, mereka berdua keluar daripada bilik itu. Sempat Encik Lutfi
mengenyit mata ke arah aku bila terpandangkan dahi aku berkerut melihat wajah
serius Encik Syahmi.
“Hanis, dah pukul satu. Jom turun?”
Aku mengalih pandangan ke arah Auni yang sudah bersedia
untuk keluar. Aku mengambil masa berfikir. Aku boleh rasa Encik Syahmi dengan
Encik Lutfi turut sama ke kedai makan. Malas pula mahu turun sekali sedangkan
tadi sewaktu Encik Lutfi ajak keluar, aku bermati-matian menolak.
“Eh, berangan pula. Jomlah!” desak Auni.
“Aku tak nak lunch.
Banyak kerja nak kena settle ni. Kau pergi sajalah. Nanti aku bancuh air
dekat pantry”
“Janganlah macam tu. Oklah, tak nak turun, kita bungkuslah
nasi campur. Air nanti kita bancuh sendiri je.”
Beria Auni mengajak sehinggakan meja aku pun dia siap
tolong susunkan apa yang patut. Akhirnya aku mengalah. Beg duit aku keluarkan.
“Iyalah... iyalah. Kau tolong bancuh, ye? Next week aku
nak cuti lagi. Hantar Khairul pula ke Kedah. Nanti kahwin cuti lagi. Tapi
sekejap ajelah sebab Aiman pun tak dapat cuti lama. Lepas majlis dah kerja
balik,” ceritaku secara tidak langsung.
Auni sebagai pendengar hanya mengangguk. “Habis tu bila
ke kau orang nak bercuti berdua?”
Aku menggeleng. Tiada idea.
“Tengoklah sebab lepas majlis dia kena uruskan projek dia
tu. Ada presentation depan supervisor. Lepas tu kalau tak silap
dia ada cakap kena pergi ke Langkawi, ada seminar dekat sana...”
Auni sudah tersenyum-senyum mendengarkan cerita aku. Apa
yang ada dekat fikiran dia pun aku tak boleh nak agak.
“Apa lagi, ajaklah dia honeymoon terus dekat
Langkawi tu. Sambil menyelam minum air kata orang?”
Auni mengekeh ketawa. Aku pandang dia tak berperasaan.
Perkara-perkara macam ni, makin dilayan makin menjadi.
“Nantilah aku cakap pada dia. Baru je hari tu pergi
Langkawi. Ini nak pergi lagi. Kenapalah tak buat dekat tempat lain. Buatlah
dekat Kuching ke, luar negara ke...”
“Uish. Melampau tu nak ke keluar negara. Singapore
kau tak nak? Seberang tambak tu je...”
Aku tergelak.
“Lagipun Hanis, bercuti dengan keluarga lain, pergi
dengan suami lain...” itu sahaja komen Auni. Betul juga. Pergilah ke mana pun
berulang kali, tak menjadi masalah pun sebenarnya. Lagi-lagi dengan orang yang
tersayang.
***
Suasana di kedai makan sudah sibuk sewaktu kami sampai.
Pilihan lauk-pauk pun tak berapa banyak yang ada. Aku memilih ayam masak kicap
berserta sayur campur yang ditumis untuk dibungkus ke pejabat. Sedang leka
memilih ayam, telinga menangkap perbualan daripada orang yang aku kenal.
Lambat-lambat aku memilih ayam untuk dimasukkan ke dalam beg plastik, sengaja
hendak memasak telinga apabila terasa nama aku disebut-sebut.
“Kecewa rasanya bila mengingatkan kebahagiaan dia. Tapi
masa nampak dia pagi tadi, rasa gembira pun ada. Teruknya rasa bila dah tua-tua
ni jatuh cinta balik...”
Aku terhenti daripada memilih ayam. Aku kenal benar suara
itu. Itu suara Encik Syahmi! Mata menjeling cuba mencari tempat duduk mereka. Encik
Syahmi dengan Encik Lutfi duduk di sebalik tiang, membuatkan aku terlindung daripada
pandangan mereka berdua. Lagi-lagi apabila mereka duduk membelakangkan jalan
yang aku dan Auni lalu tadi.
“Relakslah...
Masih ada perempuan lainlah. Kau pun muda lagi. Bukannya tua sangat. Rupa ada,
duit ada. Apa susah? Suruh je lah mama kau carikan kalau susah sangat?”
“Mama? Hah, kau nak suruh dia cari yang macam mana? Macam
si Rohayu dulu? Cukuplah sekali, Fi. Aku dah tak sanggup! Lagi sakit aku
mengingatkan masa dia tinggalkan aku dulu.” Aku terdengar Encik Syahmi sedikit mengeluh.
“Hanis tu, sejak first time dia jejakkan kaki ke pejabat
lagi aku dapat rasa, she’s the one. Dia berbeza dengan Rohayu. Aku dapat
rasa tu. Tapi tak sangka kan, aku terlambat...” dia ketawa tawar. Ketawa
yang mengambarkan seluruh rasa hati dia. Agaknya.
Ayam yang disepit dengan penyepit makanan terlepas.
Hanis? Aku? Tak semena-mena aku terasa badan aku melayang. Ah sudah, jangan
pengsan di sini pula sudah! Laju aku berpaut pada meja di hadapan. Tak sangka,
betul aku tak sangka Encik Syahmi menyimpan perasaan pada aku. Dia langsung tak
memberikan apa-apa klu.
“Cara kau melayan dia pun satu. Sikit pun tak tunjuk kau suka
kan dia. Memang melepaslah. Tunang dia tu, budak mana?”
“Entahlah. Aku pun tak tahu. Kalau boleh aku tak nak
ambil tahu. Lagi aku tahu, lagi sakit hati aku dibuatnya. Aku ingat nak pindah pejabat
Kuala Lumpur, Fi...”
“Habis siapa nak jaga pejabat ni? Kau jangan nak buat
gila. Mengamuk bapak kau nanti.”
Aku terus membawa nasi campur ke kaunter untuk dibayar.
Tak sanggup rasanya hendak mendengar perbualan mereka seterusnya. Sepatutnya
daripada awal aku kena percaya dengan kata-kata mak dengan ayah semasa Encik
Syahmi datang ke rumah hari tu. Entah kenapa aku terasa kepala aku sudah mula pening.
Sebaik sahaja pembayaran di buat, aku berpusing untuk kembali ke pejabat. Mahu
cepat siapkan kerja dan tepat pukul lima, aku mahu balik ke rumah.
“Eh? Dah lama ke awak dekat sini? Tadi saya ajak lunch sekali awak tak mahu?”
Teguran Encik Lutfi membuatkan aku mengangkat muka. Riak
wajahnya sedikit terkejut.
“Eh, tak adalah. Baru sampai. Encik Lutfi makan dekat
sini je? Saya ingat keluar ke mana-mana tadi...”
“Hrm... melayankan orang tengah kecewa, cinta tersungkur
di tengah jalan...”
“Hah? Siapa?” soalku buat-buat tidak faham.
Encik Lutfi tergelak. “Tak adalah. Saja je ke sini.
Takkan asyik nak keluar jauh je.”
Aku sekadar mengangguk. Terpandangkan Auni yang sudah
selesai membuat bayaran, terus aku menggamit dia ke arah aku.
“Gerak dululah Encik Lutfi. Jumpa dekat pejabat nanti.”
Kami meminta diri. Tak sanggup rasanya aku hendak berlama-lama di kedai ini..
***
“Kenapa kau senyap je ni?”
Auni meletakkan dua cawan air coklat yang dia bancuh di
atas meja. Aku mencapai salah satu gelas yang diletakkan. Mahu tenangkan
fikiran.
“Hoi, aku tanya buat derkk je. Apahal kau ni? Tadi
sebelum keluar pejabat ok je?”
Aku meletakkan gelas kembali di atas meja. Muka dia aku
pandang kosong. Lama.
“Hanis Raihan!” panggilnya sedikit terjerit.
Aku tersentak. Kembali ke alam realiti apabila luahan
hati Encik Syahmi kepada Encik Lutfi bermain di fikiran sebentar tadi.
“Aku ok.”
“Tipu.....”
Aku tergelak mendengarkan suaranya berlagu.
“Aku tak tahu aku patut share dengan kau ke tak.
Tapi benda ni asyik bermain dekat fikiran aku je lah.”
“Kalau tak diluahkan, macam mana aku dapat menolong. Tak
gitu?” Auni tersengih.
“Ada orang suka dekat aku. Tapi dia frust bila
dapat tahu aku dah bertunang. Aku tak tahu kenapa aku sibuk nak fikir sedangkan
majlis aku tak sampai sebulan pun lagi.”
Mulut Auni ternganga. Terkejut mendengarkan cerita aku.
“Encik Syahmi?” tekanya.
Aku menggeleng. Bukan menidakkan, tetapi tak mahu memberi
jawapan sebenar.
“Kalau bukan dia, siapa? Aku ingat dia memang sukakan
kau.”
“Adalah, orang yang aku kenal. Tapi taklah rapat mana...”
“Kau ni Hanis... buat apa nak difikirkan pasal orang? Aku
tak fahamlah dengan kau ni. Aku cakap kau janganlah nak ambil hati pula, ya?
Tapi betul, kau ni memang bodoh sibuk nak memikirkan hal yang kau tak patut
fikir. Kau dengan tunang kau pun, alhamdulillah aku tak pernah dengar ada
masalah. Jadi, fokus pada majlis sudah. Doakan semuanya selamat. Ini semua ni
tak penting mana pun. Buang masa kau je fikir,” marah Auni. Betul-betul marah
dengan sikap aku.
Aku tersengih. Terasa hati juga kena marah macam tu, tapi
tak dapat tidak aku terfikir juga. Lagi-lagi orang tu orang yang paling aku tak
sangka.
“Alah... aku bukannya nak ingat sangat. Cuma aku tak
sangka lelaki tu suka aku. Tak adalah pula dia cakap apa-apa pun selama ni...”
“Habis kalau dia cakap pun, kau nak putuskan pertunangan
kau, pergi dekat lelaki tu?”
Aku terkejut. “Eh! Tak adalah sampai macam tu! Lelaki tu
pun tak ada kena mengena dengan personal life aku.”
“Dah tu? Yang sibuk nak fikir pasal dia kenapa?” marah Auni
lagi.
“Tak adalah... aku cuma...” aku sudah kematian kata-kata.
“See? Kau tak ada sebab apa pun. Saja nak
menyemakkan fikiran kau dengan benda yang tak penting. Lainlah kalau lelaki tu
ugut kau, letak parang dekat leher suruh terima dia juga-juga!”
Aku sudah tergelak mendengarkan kata-kata Auni. Marah
betul dia. Tapi marah-marah pun, kata-kata dia ada benarnya juga. Bodoh juga
aku ni memeningkan fikiran dengan benda yang bukan-bukan!
xxx
Sorry lambat sehari. Lupa semalam hari Sabtu. Hihi.
Maka dengan ini, Bidadari tamat di blog bagi memberi laluan untuk penilaian. Doakan yang terbaik ya. Apa-apa update saya akan update di sini ataupun di fb - Hannah Dhaniyah / aku_dia
Lepas ni akan cuba fokus untuk KS dengan 7YoL. Terima kasih semua. ^_^
2 comments:
Saya tungguuuuu.
Huhu XD
Selalu buat suspenn! Haha.. Sedihnya bg pihak en syahmi..
Post a Comment