::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

28 June 2015

E-novel: Bidadari 20



Bidadari 20
            Aku masuk ke dalam pejabat dengan semangat baru. Kalau orang lain, mungkin ada masalah Monday’s blues tapi aku rasa lain pula. Lagi-lagi mengingatkan kerja-kerja yang banyak tertangguh disebabkan kursus. Minggu lepas merupakan kali ketiga nama aku naik untuk berkursus. Pelik juga, minggu lepas baru seminggu naik bekerja sebab kena ke Melaka, minggu depannya dah kena ke Kuala Lumpur pula. Sayang sangat syarikat ni dengan aku. Nasib baik juga persiapan untuk perkahwinan banyak beli siap je.

            Good morning!” aku menyapa Auni yang baru turun daripada kereta. Auni yang leka mengambil beg mengangkat muka.
            “Morning! Amboi cerianya cik kak kita ni?”
Aku hanya ketawa. Kaki berhenti melangkah, menunggu dia untuk berjalan bersama.
“Ok kursus? Best?
“Biasalah. Lagi-lagi duduk dengan abang sendiri. Tempatnya dekat pula dengan rumah dia. Senanglah sikit. Lepas ni aku masuk pejabat ni, kau tengoklah. Sebaik saja aku duduk, kau takkan nampak aku angkat kepala sebab projek dah menimbun tertangguh. Tunggu dateline bila-bila je kena hantar. Jangan Encik Syahmi mengamuk dekat aku dah.”
Auni menjeling sekilas ke kiri sebelum bersuara. “Dia dekat sana tu. Tengah berjalan dengan Encik Lutfi. Tapi aku rasa ada je kemungkinan kau akan kena. Hati-hati je la.” Dia berbisik.
Aku menelan air liur. Tak sangka Auni akan berkata begitu. Kalau macam tu, memang betul bahaya Encik Syahmi ni. Entah apalah yang buat dia jadi tak betul macam ni. Buat malulah kalau jadi macam ni hanya sebab perempuan. Eh, perempuan tu bukan aku kan?
“Tak ada apa-apa ke yang kau bawa balik?” Auni melihat-lihat barang yang aku bawa. Dahi aku sudah berkerut.
“Kau ingat aku ni balik dari bercuti ke nak bawa cenderahati? Lagipun pergi Kuala Lumpur. Nak beli apa?” Aku pandang dia yang sudah tersengih-sengih.
“Manalah tahu belikan aku beg LV ke, Gucci ke...”
Aku sudah tergelak. Budak ni pun dah sama pening. Merepek tak sudah.
“Kau stress sangat dengan Encik Syahmi ke apa sampai minta aku benda bukan-bukan ni?” baru aku menghabiskan satu ayat, terasa badan aku sudah terlanggar belakang seseorang.
‘Buk’
Kaki aku terhenti. Kemudian aku mengambil satu langkah ke belakang. Ya Allah, macam manalah aku boleh terleka sampai tak perasan pak cik ni dah sampai dekat depan ni? Auni sudah mula tayang muka cuak. Aku rasa macam nak lari sekarang bila teringatkan cerita-cerita Auni tentang mood tak elok Encik Syahmi. Encik Syahmi menoleh ke belakang. Mak, takutnya, takutnya!
“Err sorry Encik Syahmi. Saya tak perasan encik dekat depan tadi.” Gugup. Tiba-tiba rasa melayang semangat yang kental masa turun kereta tadi.
“Tak apa. Saya tahu awak tak sengaja.” Lembut dia menjawab.
Sempat dia hadiahkan aku senyuman dia yang mahal tu. Aku tergamam. Walaweh! Ini Encik Syahmi ke ataupun kembar dia yang tak pernah wujud selama ni? Kenapa perangai dia seratus lapan puluh darjah daripada apa yang Auni ceritakan? Mana pernah dia nak senyum kalau tak ada sebab? Aku nampak dia ketawa besar pun bila berbual berdua dengan Encik Lutfi. Dengan kami pekerja marhaen ni, memang dia tayang buka ‘like a boss’ dia tu je lah.
“Err... itu... err... kan?” aku mengangkat kening kepada Auni bila Encik Syahmi dah masuk ke dalam pejabat.
Auni mengangguk tanpa bersuara.
***
“Hanis, nanti jumpa saya sekejap ya?”
Aku mengangkat muka memandang Encik Syahmi yang berada di hadapan meja Auni, membincangkan sesuatu. Sedikit pun dia tidak memandang muka aku ketika bersuara.
“Ok, Encik Syahmi.”
Aku menjawab sambil memastikan segala design dan laporan yang mungkin bakal disoal nanti ada.
“Bolehlah ke bilik saya sekarang.”
Encik Syahmi sudah melangkah pergi. Tanpa membuang masa, aku turut mengikut sambil membawa sebuah buku nota untuk mencatat apa yang dia suruh memandangkan dia tidak ada menyebut apa-apa untuk dibawa bersama.
“Ada apa ya Encik Syahmi?”
“Hrm. Ok. Macam mana preparation majlis awak? Lagi sebulan kan?” dia menyoal dengan mata memandang komputer.
“Ya, alhamdulillah semuanya ok. Cuma minggu depan saya nak minta cuti hari Khamis dan Jumaat. Majlis nikah abang saya di Kedah hari Sabtu. Boleh ke Encik Syahmi?”
“Boleh. Insya Allah tak jadi masalah. Saya nak beritahu, company kita akan buat family day ke Universal Studio Singapore dua minggu depan. Sekali dengan pejabat di Kuala Lumpur. Memandangkan awak selalu kena keluar dua tiga minggu kebelakangan ni, saya nak tanya awak available ke tidak? Nama kena dihantar hari ni.”
Aku mula terasa hati melihatkan reaksi dia. Tak boleh ke dia pandang dan bercakap macam selalu? Walaupun dia tak mengamuk atau apa pun, terasa hati juga bila dia langsung tak mahu memandang muka aku. Tadi dengan Auni elok pula dia bercakap macam biasa.
“Dua minggu lagi? Rasanya tak dapatlah Encik Syahmi. Banyak perkara nak kena uruskan untuk majlis. Takkanlah saya nak bergembira dan lepaskan yang lain pada keluarga pula, kan?”
Dia mengangguk faham.
“Nampaknya semua akan rindukan awaklah ni.” Dia tersenyum. Bergurau. Tapi mata masih melekat dekat skrin monitor. Macamlah skrin tu lagi cantik daripada aku.
“Oklah. Itu je saya nak tanya. Awak boleh keluar. Jangan lupa tutup pintu sekali,” arahnya.
Aku menerima tanpa banyak soal walaupun dalam fikiran dah bermacam-macam persoalan yang keluar. Sebaik sahaja pintu ditutup, Encik Lutfi sudah berjalan menghampiri. Mahu berjumpa dengan kawan baik dia agaknya.
“Hanis Raihan! Lama rasanya tak nampak awak. Jom lunch sekali lepas ni?” ajaknya dengan senyuman ikhlas.
Aku menggeleng. “Tak dapatlah rasanya. Kerja saya banyak betul ni,” tolakku sopan.
“Eh, janganlah begitu. Kerja-kerja juga, rehat-rehat juga.”
Aku sekadar ketawa mendengarnya. Terus aku berlalu ke tempat duduk aku sementara Encik Lutfi sudah masuk ke dalam bilik Encik Syahmi. Tidak lama kemudian, mereka berdua keluar daripada bilik itu. Sempat Encik Lutfi mengenyit mata ke arah aku bila terpandangkan dahi aku berkerut melihat wajah serius Encik Syahmi.
“Hanis, dah pukul satu. Jom turun?”
Aku mengalih pandangan ke arah Auni yang sudah bersedia untuk keluar. Aku mengambil masa berfikir. Aku boleh rasa Encik Syahmi dengan Encik Lutfi turut sama ke kedai makan. Malas pula mahu turun sekali sedangkan tadi sewaktu Encik Lutfi ajak keluar, aku bermati-matian menolak.
“Eh, berangan pula. Jomlah!” desak Auni.
“Aku tak nak lunch. Banyak kerja nak kena settle ni. Kau pergi sajalah. Nanti aku bancuh air dekat pantry
“Janganlah macam tu. Oklah, tak nak turun, kita bungkuslah nasi campur. Air nanti kita bancuh sendiri je.
Beria Auni mengajak sehinggakan meja aku pun dia siap tolong susunkan apa yang patut. Akhirnya aku mengalah. Beg duit aku keluarkan.
“Iyalah... iyalah. Kau tolong bancuh, ye? Next week aku nak cuti lagi. Hantar Khairul pula ke Kedah. Nanti kahwin cuti lagi. Tapi sekejap ajelah sebab Aiman pun tak dapat cuti lama. Lepas majlis dah kerja balik,” ceritaku secara tidak langsung.
Auni sebagai pendengar hanya mengangguk. “Habis tu bila ke kau orang nak bercuti berdua?”
Aku menggeleng. Tiada idea.
“Tengoklah sebab lepas majlis dia kena uruskan projek dia tu. Ada presentation depan supervisor. Lepas tu kalau tak silap dia ada cakap kena pergi ke Langkawi, ada seminar dekat sana...”
Auni sudah tersenyum-senyum mendengarkan cerita aku. Apa yang ada dekat fikiran dia pun aku tak boleh nak agak.
“Apa lagi, ajaklah dia honeymoon terus dekat Langkawi tu. Sambil menyelam minum air kata orang?”
Auni mengekeh ketawa. Aku pandang dia tak berperasaan. Perkara-perkara macam ni, makin dilayan makin menjadi.
“Nantilah aku cakap pada dia. Baru je hari tu pergi Langkawi. Ini nak pergi lagi. Kenapalah tak buat dekat tempat lain. Buatlah dekat Kuching ke, luar negara ke...”
“Uish. Melampau tu nak ke keluar negara. Singapore kau tak nak? Seberang tambak tu je...”
Aku tergelak.
“Lagipun Hanis, bercuti dengan keluarga lain, pergi dengan suami lain...” itu sahaja komen Auni. Betul juga. Pergilah ke mana pun berulang kali, tak menjadi masalah pun sebenarnya. Lagi-lagi dengan orang yang tersayang.
***
Suasana di kedai makan sudah sibuk sewaktu kami sampai. Pilihan lauk-pauk pun tak berapa banyak yang ada. Aku memilih ayam masak kicap berserta sayur campur yang ditumis untuk dibungkus ke pejabat. Sedang leka memilih ayam, telinga menangkap perbualan daripada orang yang aku kenal. Lambat-lambat aku memilih ayam untuk dimasukkan ke dalam beg plastik, sengaja hendak memasak telinga apabila terasa nama aku disebut-sebut.
“Kecewa rasanya bila mengingatkan kebahagiaan dia. Tapi masa nampak dia pagi tadi, rasa gembira pun ada. Teruknya rasa bila dah tua-tua ni jatuh cinta balik...”
Aku terhenti daripada memilih ayam. Aku kenal benar suara itu. Itu suara Encik Syahmi! Mata menjeling cuba mencari tempat duduk mereka. Encik Syahmi dengan Encik Lutfi duduk di sebalik tiang, membuatkan aku terlindung daripada pandangan mereka berdua. Lagi-lagi apabila mereka duduk membelakangkan jalan yang aku dan Auni lalu tadi.
Relakslah... Masih ada perempuan lainlah. Kau pun muda lagi. Bukannya tua sangat. Rupa ada, duit ada. Apa susah? Suruh je lah mama kau carikan kalau susah sangat?”
“Mama? Hah, kau nak suruh dia cari yang macam mana? Macam si Rohayu dulu? Cukuplah sekali, Fi. Aku dah tak sanggup! Lagi sakit aku mengingatkan masa dia tinggalkan aku dulu.” Aku terdengar Encik Syahmi sedikit mengeluh.
“Hanis tu, sejak first time dia jejakkan kaki ke pejabat lagi aku dapat rasa, she’s the one. Dia berbeza dengan Rohayu. Aku dapat rasa tu. Tapi tak sangka kan, aku terlambat...dia ketawa tawar. Ketawa yang mengambarkan seluruh rasa hati dia. Agaknya.
Ayam yang disepit dengan penyepit makanan terlepas. Hanis? Aku? Tak semena-mena aku terasa badan aku melayang. Ah sudah, jangan pengsan di sini pula sudah! Laju aku berpaut pada meja di hadapan. Tak sangka, betul aku tak sangka Encik Syahmi menyimpan perasaan pada aku. Dia langsung tak memberikan apa-apa klu.
“Cara kau melayan dia pun satu. Sikit pun tak tunjuk kau suka kan dia. Memang melepaslah. Tunang dia tu, budak mana?”
“Entahlah. Aku pun tak tahu. Kalau boleh aku tak nak ambil tahu. Lagi aku tahu, lagi sakit hati aku dibuatnya. Aku ingat nak pindah pejabat Kuala Lumpur, Fi...”
“Habis siapa nak jaga pejabat ni? Kau jangan nak buat gila. Mengamuk bapak kau  nanti.”
Aku terus membawa nasi campur ke kaunter untuk dibayar. Tak sanggup rasanya hendak mendengar perbualan mereka seterusnya. Sepatutnya daripada awal aku kena percaya dengan kata-kata mak dengan ayah semasa Encik Syahmi datang ke rumah hari tu. Entah kenapa aku terasa kepala aku sudah mula pening. Sebaik sahaja pembayaran di buat, aku berpusing untuk kembali ke pejabat. Mahu cepat siapkan kerja dan tepat pukul lima, aku mahu balik ke rumah.
“Eh? Dah lama ke awak dekat sini? Tadi saya ajak lunch sekali awak tak mahu?”
Teguran Encik Lutfi membuatkan aku mengangkat muka. Riak wajahnya sedikit terkejut.
“Eh, tak adalah. Baru sampai. Encik Lutfi makan dekat sini je? Saya ingat keluar ke mana-mana tadi...”
“Hrm... melayankan orang tengah kecewa, cinta tersungkur di tengah jalan...”
“Hah? Siapa?” soalku buat-buat tidak faham.
Encik Lutfi tergelak. “Tak adalah. Saja je ke sini. Takkan asyik nak keluar jauh je.”
Aku sekadar mengangguk. Terpandangkan Auni yang sudah selesai membuat bayaran, terus aku menggamit dia ke arah aku.
“Gerak dululah Encik Lutfi. Jumpa dekat pejabat nanti.” Kami meminta diri. Tak sanggup rasanya aku hendak berlama-lama di kedai ini..
***
“Kenapa kau senyap je ni?”
Auni meletakkan dua cawan air coklat yang dia bancuh di atas meja. Aku mencapai salah satu gelas yang diletakkan. Mahu tenangkan fikiran.
“Hoi, aku tanya buat derkk je. Apahal kau ni? Tadi sebelum keluar pejabat ok je?”
Aku meletakkan gelas kembali di atas meja. Muka dia aku pandang kosong. Lama.
“Hanis Raihan!” panggilnya sedikit terjerit.
Aku tersentak. Kembali ke alam realiti apabila luahan hati Encik Syahmi kepada Encik Lutfi bermain di fikiran sebentar tadi.
“Aku ok.”
“Tipu.....”
Aku tergelak mendengarkan suaranya berlagu.
“Aku tak tahu aku patut share dengan kau ke tak. Tapi benda ni asyik bermain dekat fikiran aku je lah.”
“Kalau tak diluahkan, macam mana aku dapat menolong. Tak gitu?” Auni tersengih.
“Ada orang suka dekat aku. Tapi dia frust bila dapat tahu aku dah bertunang. Aku tak tahu kenapa aku sibuk nak fikir sedangkan majlis aku tak sampai sebulan pun lagi.”
Mulut Auni ternganga. Terkejut mendengarkan cerita aku.
“Encik Syahmi?” tekanya.
Aku menggeleng. Bukan menidakkan, tetapi tak mahu memberi jawapan sebenar.
“Kalau bukan dia, siapa? Aku ingat dia memang sukakan kau.”
“Adalah, orang yang aku kenal. Tapi taklah rapat mana...”
“Kau ni Hanis... buat apa nak difikirkan pasal orang? Aku tak fahamlah dengan kau ni. Aku cakap kau janganlah nak ambil hati pula, ya? Tapi betul, kau ni memang bodoh sibuk nak memikirkan hal yang kau tak patut fikir. Kau dengan tunang kau pun, alhamdulillah aku tak pernah dengar ada masalah. Jadi, fokus pada majlis sudah. Doakan semuanya selamat. Ini semua ni tak penting mana pun. Buang masa kau je fikir,” marah Auni. Betul-betul marah dengan sikap aku.
Aku tersengih. Terasa hati juga kena marah macam tu, tapi tak dapat tidak aku terfikir juga. Lagi-lagi orang tu orang yang paling aku tak sangka.
“Alah... aku bukannya nak ingat sangat. Cuma aku tak sangka lelaki tu suka aku. Tak adalah pula dia cakap apa-apa pun selama ni...”
“Habis kalau dia cakap pun, kau nak putuskan pertunangan kau, pergi dekat lelaki tu?”
Aku terkejut. “Eh! Tak adalah sampai macam tu! Lelaki tu pun tak ada kena mengena dengan personal life aku.”
“Dah tu? Yang sibuk nak fikir pasal dia kenapa?” marah Auni lagi.
“Tak adalah... aku cuma...” aku sudah kematian kata-kata.
See? Kau tak ada sebab apa pun. Saja nak menyemakkan fikiran kau dengan benda yang tak penting. Lainlah kalau lelaki tu ugut kau, letak parang dekat leher suruh terima dia juga-juga!”
Aku sudah tergelak mendengarkan kata-kata Auni. Marah betul dia. Tapi marah-marah pun, kata-kata dia ada benarnya juga. Bodoh juga aku ni memeningkan fikiran dengan benda yang bukan-bukan!
xxx
Sorry lambat sehari. Lupa semalam hari Sabtu. Hihi.
Maka dengan ini, Bidadari tamat di blog bagi memberi laluan untuk penilaian. Doakan yang terbaik ya. Apa-apa update saya akan update di sini ataupun di fb - Hannah Dhaniyah / aku_dia 
Lepas ni akan cuba fokus untuk KS dengan 7YoL. Terima kasih semua. ^_^

2 comments:

meeka42 said...

Saya tungguuuuu.
Huhu XD

Basyirah Abd Rahman said...

Selalu buat suspenn! Haha.. Sedihnya bg pihak en syahmi..