Cinta Luar Biasa 01
Hujan
yang mula renyai tidak mematahkan semangat Aiza untuk turun dan mendapatkan
cakoi kegemarannya. Cakoi itu diperkenalkan oleh rakan sepejabatnya, Muna
sewaktu mereka berdua pergi ke pasar malam selepas tamat kerja. Aiza yang
selama ini tidak pernah memandang dan teringinkan cakoi tiba-tiba terus jatuh
cinta dengan rasanya yang lembut dan lemak manis itu. Lagi-lagi apabila dimakan
bersama kuah kari cair yang disediakan sekali, memang rasanya ‘cair’ di dalam
mulut. Kalah kek-kek mahal yang selama ni menjadi minatnya. Dan sejak itulah
dia menjadi pelanggan setia Pak Cik Atan yang menjual cakoi super enak itu.
“Baru
balik kerja ke, Aiza?” tegur Pak Cik Atan yang sedang menggoreng cakoi di dalam
kuali panas.
Aiza
mengangguk.
“Baru
balik, pak cik. Terus singgah ke sini. Rindulah dengan cakoi pak cik!” itulah
jawapannya setiap kali disoal Pak Cik Atan. Jawapan yang membuatkan hati Pak
Cik Atan dan isterinya, Mak Cik Marwah kembang setaman.
“Macam
selalu, Aiza?” soal Mak Cik Marwah pula.
“Iya
mak cik. Macam selalulah. Dua ringgit. Saya makan seorang je...” balas Aiza
lembut. Mak Cik Marwah cepat-cepat memasukkan kepingan cakoi ke dalam plastik
lalu dihulurkan kepada gadis manis dengan senyuman itu.
“Terima
kasih, mak cik. Saya balik dulu. Macam nak lebat je ni. Harap-harap tak lamalah
hujannya...” ujar Aiza meminta diri
Melihatkan
rintik-rintik hujan semakin banyak, cepat-cepat dia berlari ke keretanya. Tak
ada benda lain lagi yang hendak dibeli melainkan cakoi Pak Cik Atan. Cakoi yang
membuatkan dia tak tidur malam kalau dia tak ke pasar malam pada minggu itu.
Hah! Hiperbola sangat.
Air
hujan mula mencurah-curah sewaktu dia hampir tiba di keretanya. Cepat-cepat
Aiza mengeluarkan kunci kereta dan dengan menggunakan alat kawalan jauh, dia
membuka kunci pintu kereta. Kemudian, dengan pantas dia memboloskan badannya ke
dalam kereta. Fuh! Harap-harap hujan ini menjadi rahmat buat semua. Ada
masanya, hati kecilnya berasa kasihan melihatkan para peniaga yang bakal
terjejas jualan mereka kerana hujan lebat. Tapi bila dia suarakan rasa hatinya
itu kepada Pak Cik Atan dan Mak Cik Marwah, tenang pasangan itu menjawab,
rezeki daripada Allah. Kalau tak hujan pun, belum tentu orang akan datang beli
kalau rezeki mereka tiada pada waktu itu.
Aiza
tersenyum sendiri mengingatkan peristiwa itu. Sedikit sebanyak peristiwa itu
membuatkan dia semakin menyukai pasangan suami isteri itu. Sudahlah cakoinya
sedap, yang meniaga pun positif begitu. Mudah-mudahan, murahlah rezeki Pak Cik
Atan dengan Mak Cik Marwah, itu doanya di dalam hati.
Aiza
menghidupkan enjin kereta. Perlahan-lahan dia mengundurkan kereta untuk keluar
daripada petak parkir. Tak perasankan sebuah motorsikal di belakangnya,
tiba-tiba bunyi dentuman kuat kedengaran di belakang keretanya. Aiza terkejut.
***
Zaid
mengumpul kekuatan untuk bangun. Kemudian, dalam terjengket-jengket dia
berjalan mendapatkan motor yang terbaring di atas jalan. Mujur ada beberapa
orang brader yang nampak kemalangan
kecil tadi turut membantu walaupun hujan sudah mula lebat. Allah... macam-manalah
boleh terlanggar kereta ni? Nak salahkan pemandu kereta ni pun tak boleh sebab
dia pun khayal mencari tempat meletak motor tadi. Mujurlah pakai helmet. Kalau
tidak, tak pasal-pasal kepalanya ‘bocor.’
“Ya
Allah encik... saya minta maaf sangat-sangat. Saya tak nampak encik tadi...” terdengar
satu suara dari belakang.
Zaid
menoleh. Seorang gadis berjalan ke arahnya dengan wajah yang cuak sekali.
Melihatkan Zaid basah dalam hujan, cepat-cepat dia memayungkan Zaid agar tidak
ditimpa hujan lagi. Sudahlah dia jatuh kerana tak sengaja dilanggar, jatuh pula
dalam keadaan hujan lebat begini. Inilah namanya sudah jatuh ditimpa hujan.
“Encik,
kita pergi ke kaki lima kedai sekejap ya? Tangan encik berdarah tu...” ujar
gadis sedikit bersalah. Kemudian tiba-tiba tangan Zaid terasa ditarik lembut.
Zaid terkejut.
“Cik,
tangan saya...”
Tersedarkan
ketelanjurannya, cepat-cepat gadis itu melepaskan pegangannya.
“Maaf...
maaf. Saya tak sengaja. Saya kalut betul ni. Tak pernah-pernah saya langgar
orang. Aduhai..” ujar gadis itu sedikit gelabah.
Entah
kenapa, melihatkan gelagat gadis itu mengundang senyuman kepada Zaid. Hilang
rasa sakit jatuh tadi juga rasa sakit kerana luka di kaki dan tangannya.
Perlahan-lahan dia mengikut langkah gadis itu ke kaki lima kedai. Macam mana
nak selesaikan dalam keadaan hujan lebat begini.
“Bang!
Motor saya letak kat sini, ya!” jerit brader
yang membantu Zaid mengangkat motor tadi.
“Ok,
bang! Terima kasih banyak!” balas Zaid, juga menjerit. Zaid duduk di atas
sebuah bangku yang dihulurkan oleh tokey kedai telekomunikasi yang menjadi
tempat teduh Zaid. Mungkin tokey itu turut menjadi saksi kemalangan kecil tadi,
sebab itu dia dengan murah hati membantu apa yang boleh.
“Encik,
sekejap ya! Saya ambil first aid
sekejap.”
Belum
sempat Zaid hendak menjawab, gadis itu sudah laju berlari ke keretanya. Ek eh,
cik kak! Janganlah berlari. Ada nanti tergelincir, siapa nak tolong siapa ni?
Lagipun, tak macho kut setakat jatuh motor lepas tu nak guna first aid. Ini aku balik, basuh sikit,
letak minyak gamat pun dah cukup. Terpaksalah minta maaf dengan mak dan ayah
sebab tak dapat tunaikan janji untuk bantu mereka di gerai hari ni.
“Encik...
kita basuh sikit ya. Takut jangkitan kuman ni...”
Tak
sedar bila masa gadis ini muncul di hadapannya dengan kotak first aid dan sebotol air mineral di
tangan. Kemudian dengan berhati-hati dia membersihnya kesian luka dengan air
mineral. Zaid menahan rasa pedih yang menggigit-gigit dengan macho. Bukan tak pernah
jatuh motor sebelum ni. Tapi inilah kali pertama dia jatuh motor dan dirawat
oleh seorang bidadari.
“Saya
minta maaf sangat-sangat. Saya betul-betul tak perasan encik tadi...” ujar
gadis itu sewaktu menampal luka dengan plaster.
“Tak
apa. Kalau awak perasan, tak adalah awak langgar saya, kan?” ujar Zaid tak
bernada.
Wajah
gadis itu bertukar keruh. “Saya minta maaf...” nadanya sedikit lirih.
“Eh,
kan saya cakap tak apa... saya pun silap juga tadi. Leka sangat tengok
sekeliling sampai tak nampak ada kereta dekat depan,” ujar Zaid cuba untuk menenangkan
suasana. Pada dia, masing-masing bersalah dalam kemalangan tadi. Bila
melihatkan gadis ini pun nampak gelabah dan takut-takut, takkanlah dia pun nak
marah-marah macam orang tak betul?
“Encik,
motor encik tu kalau ada apa-apa kerosakan terus hubungi saya ya. Nanti saya
berikan nombor telefon saya. Saya betul-betul minta maaf. Ini, encik boleh
menunggang ke? Hujan pun lebat benar ni. Saya hantarkan encik ke rumah, ya?”
Zaid
memerhatikan raut wajah gadis di hadapannya. Entah kenapa, hatinya disapa
sebuah rasa yang lama dia tak rasakan. Ah, sudah! Cinta pandang pertama pula
ke? Jangan nak buat hal, Zaid!
“Habis
tu, motor saya? Takkan nak tinggalkan di sini? Kalau hilang, cik nak ganti ke?”
soal Zaid lagi.
Mendengar
soalan sinis itu, gadis itu terdiam dan menunduk. Wajahnya yang sedikit tenang
tadi kembali keruh. Alamak! Aku salah cakap ke tadi? Rasanya aku cakap perkara
yang betul. Sudahlah sekarang ni kes kecurian motorsikal semakin menjadi-jadi!
“Cik...
saya tak menyindir pun tadi. Saya cuma cakap perkara yang benar. Kat sini dah
banyak kali kes curi motor berlaku...” jelas Zaid. Risau bila melihatkan wajah
keruh gadis yang mencuit hatinya itu.
“Ya,
saya tahu. Saya minta maaf...”
“Cik
ni sejak tadi asyik minta maaf je. Tak ada apalah, cik. Kita sama-sama bersalah
dalam hal tadi. Lagipun, saya pun luka sedikit je ni. Tak ada masalahlah...”
Gadis
itu tersenyum nipis. “Tapi... sungguh ni saya cakap. Kalau ada apa-apa tentang
motor tu, telefon saya, ya? Nanti saya bayar ganti rugi...”
“Kalau
bukan tentang motor?” usik Zaid.
Si
gadis terpempan. Tak tahu hendak membalas apa, dia hanya ketawa kecil untuk
menutup kegugupannya. “Kalau lepas jatuh ni, ada sakit-sakit badan, ada yang
tak kena... pergilah klinik. Risau juga saya kalau ada after effect awak jatuh tadi. Kalau apa-apa, call je saya...”
Zaid
tersenyum tawar. Umpannya tidak mengena kali ini. Bila hati dah suka, si dia
pula tak faham satu benda. Entah bila masa si gadis menulis nama dan nombor
telefon di atas kertas. Kertas itu dihulurkan kepada Zaid. Lambat-lambat Zaid
mengambil huluran si gadis. Aiza. Sedap namanya.
“Saya
Zaid,” kata Zaid tiba-tiba.
Aiza
yang baru memasukkan pen dan sticky notes
ke dalam beg tangan terpinga-pinga. “Sorry?”
Zaid
mengeluh perlahan. Aku sebut nama pun dia tak perasan. Sabar sajalah Zaid. Janji
nombor telefon dia dah ada. Pandai-pandailah kau nanti nak memulakan langkah.
“Saya
Zaid. Ahmad Zaid.”
“Oh...”
Aiza mengangguk. “Aiza. Nuraizzah.”
“Saya
tahu...”
“Hah?”
“Tak
ada apalah, awak. Saya dah okey ni. Awak geraklah dulu. Risau suami awak tunggu
awak tak balik-balik...” dalam debaran, Zaid menunggu jawapan daripada mulut
Aiza. Sebelum dia meletakkan perasaan pada orang yang salah, lebih baik dia
merisik dulu secara tak langsung. Tak pasal-pasal dia kecewa seorang diri kalau
Aiza ni sudah berpunya.
“Saya...”
Aiza
teragak-agak hendak membalas kata-kata Zaid. Hendak cakap, ‘saya tak kahwin
lagilah...’ seolah-olah sengaja hendak memberi kiasan yang dia masih belum
berpunya. Lagipun, melihatkan cara Zaid memandang dan bercakap tadi, macam Zaid
nak mengurat dia je. Ceh! Perasanlah pula. Tapi apa salahnya kalau Aiza jual
mahal sedikit. Tak naklah semudah itu hendak memberi peluang kepada Zaid.
Itupun nombor telefon Aiza sudah ada pada Zaid secara percuma. Kalau dia
bersungguh, pasti ada pertemuan kedua dan ketiga. Lagipun, tak naklah dia hanya
menjadi tempat untuk ‘test market’.
“Saya
gerak dululah. Jumpa lagi ya, encik Zaid. Minta maaf tentang tadi. Moga
luka-luka encik cepat sembuh. Assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam...”
balas Zaid perlahan.
Langkah
Aiza yang meninggalkannya dia perhati. Luka di luar boleh sembuh cik Aiza. Luka
di hati kerana cik Aiza sudah berpunya, tak siapa yang tahu. Zaid bangun.
Bangku yang dipinjamkan oleh tokey kedai dipulangkan kembali dan diucapkan
terima kasih. Zaid berjalan perlahan ke hujung kaki lima kedai. Hujan masih
belum menunjukkan tanda-tanda berhenti. Tapi, wajah cik Aiza kita yang sudah
berhenti dan bertapak di hati. Aduh... aduh... Zaid. Sejak bila kau sudah pandai
bermadah begini?
xxx
Testing-testing. Hehehe.
KS dengan 7YoL belum siap tiba-tiba dapat idea lain. *sigh*
Dapat idea pun masa makan cakoi best dekat pasar ramadhan. kikiki.
Jarang menulis cerita daripada pandangan orang ke-tiga. Mencabar juga rupanya. Huhu.
Tq sebab membaca. ^_^
1 comment:
awk kite suka... huhu mcm cinta lama je ni zaid aiza belum kawin dgr x huhu
Post a Comment