::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

29 June 2015

E-novel: Cinta Luar Biasa 01



Cinta Luar Biasa 01
Hujan yang mula renyai tidak mematahkan semangat Aiza untuk turun dan mendapatkan cakoi kegemarannya. Cakoi itu diperkenalkan oleh rakan sepejabatnya, Muna sewaktu mereka berdua pergi ke pasar malam selepas tamat kerja. Aiza yang selama ini tidak pernah memandang dan teringinkan cakoi tiba-tiba terus jatuh cinta dengan rasanya yang lembut dan lemak manis itu. Lagi-lagi apabila dimakan bersama kuah kari cair yang disediakan sekali, memang rasanya ‘cair’ di dalam mulut. Kalah kek-kek mahal yang selama ni menjadi minatnya. Dan sejak itulah dia menjadi pelanggan setia Pak Cik Atan yang menjual cakoi super enak itu.
“Baru balik kerja ke, Aiza?” tegur Pak Cik Atan yang sedang menggoreng cakoi di dalam kuali panas.
Aiza mengangguk.
“Baru balik, pak cik. Terus singgah ke sini. Rindulah dengan cakoi pak cik!” itulah jawapannya setiap kali disoal Pak Cik Atan. Jawapan yang membuatkan hati Pak Cik Atan dan isterinya, Mak Cik Marwah kembang setaman.
“Macam selalu, Aiza?” soal Mak Cik Marwah pula.
“Iya mak cik. Macam selalulah. Dua ringgit. Saya makan seorang je...” balas Aiza lembut. Mak Cik Marwah cepat-cepat memasukkan kepingan cakoi ke dalam plastik lalu dihulurkan kepada gadis manis dengan senyuman itu.
“Terima kasih, mak cik. Saya balik dulu. Macam nak lebat je ni. Harap-harap tak lamalah hujannya...” ujar Aiza meminta diri
Melihatkan rintik-rintik hujan semakin banyak, cepat-cepat dia berlari ke keretanya. Tak ada benda lain lagi yang hendak dibeli melainkan cakoi Pak Cik Atan. Cakoi yang membuatkan dia tak tidur malam kalau dia tak ke pasar malam pada minggu itu. Hah! Hiperbola sangat.
Air hujan mula mencurah-curah sewaktu dia hampir tiba di keretanya. Cepat-cepat Aiza mengeluarkan kunci kereta dan dengan menggunakan alat kawalan jauh, dia membuka kunci pintu kereta. Kemudian, dengan pantas dia memboloskan badannya ke dalam kereta. Fuh! Harap-harap hujan ini menjadi rahmat buat semua. Ada masanya, hati kecilnya berasa kasihan melihatkan para peniaga yang bakal terjejas jualan mereka kerana hujan lebat. Tapi bila dia suarakan rasa hatinya itu kepada Pak Cik Atan dan Mak Cik Marwah, tenang pasangan itu menjawab, rezeki daripada Allah. Kalau tak hujan pun, belum tentu orang akan datang beli kalau rezeki mereka tiada pada waktu itu.
Aiza tersenyum sendiri mengingatkan peristiwa itu. Sedikit sebanyak peristiwa itu membuatkan dia semakin menyukai pasangan suami isteri itu. Sudahlah cakoinya sedap, yang meniaga pun positif begitu. Mudah-mudahan, murahlah rezeki Pak Cik Atan dengan Mak Cik Marwah, itu doanya di dalam hati.
Aiza menghidupkan enjin kereta. Perlahan-lahan dia mengundurkan kereta untuk keluar daripada petak parkir. Tak perasankan sebuah motorsikal di belakangnya, tiba-tiba bunyi dentuman kuat kedengaran di belakang keretanya. Aiza terkejut.
***
Zaid mengumpul kekuatan untuk bangun. Kemudian, dalam terjengket-jengket dia berjalan mendapatkan motor yang terbaring di atas jalan. Mujur ada beberapa orang brader yang nampak kemalangan kecil tadi turut membantu walaupun hujan sudah mula lebat. Allah... macam-manalah boleh terlanggar kereta ni? Nak salahkan pemandu kereta ni pun tak boleh sebab dia pun khayal mencari tempat meletak motor tadi. Mujurlah pakai helmet. Kalau tidak, tak pasal-pasal kepalanya ‘bocor.’
“Ya Allah encik... saya minta maaf sangat-sangat. Saya tak nampak encik tadi...” terdengar satu suara dari belakang.
Zaid menoleh. Seorang gadis berjalan ke arahnya dengan wajah yang cuak sekali. Melihatkan Zaid basah dalam hujan, cepat-cepat dia memayungkan Zaid agar tidak ditimpa hujan lagi. Sudahlah dia jatuh kerana tak sengaja dilanggar, jatuh pula dalam keadaan hujan lebat begini. Inilah namanya sudah jatuh ditimpa hujan.
“Encik, kita pergi ke kaki lima kedai sekejap ya? Tangan encik berdarah tu...” ujar gadis sedikit bersalah. Kemudian tiba-tiba tangan Zaid terasa ditarik lembut. Zaid terkejut.
“Cik, tangan saya...”
Tersedarkan ketelanjurannya, cepat-cepat gadis itu melepaskan pegangannya.
“Maaf... maaf. Saya tak sengaja. Saya kalut betul ni. Tak pernah-pernah saya langgar orang. Aduhai..” ujar gadis itu sedikit gelabah.
Entah kenapa, melihatkan gelagat gadis itu mengundang senyuman kepada Zaid. Hilang rasa sakit jatuh tadi juga rasa sakit kerana luka di kaki dan tangannya. Perlahan-lahan dia mengikut langkah gadis itu ke kaki lima kedai. Macam mana nak selesaikan dalam keadaan hujan lebat begini.
“Bang! Motor saya letak kat sini, ya!” jerit brader yang membantu Zaid mengangkat motor tadi.
“Ok, bang! Terima kasih banyak!” balas Zaid, juga menjerit. Zaid duduk di atas sebuah bangku yang dihulurkan oleh tokey kedai telekomunikasi yang menjadi tempat teduh Zaid. Mungkin tokey itu turut menjadi saksi kemalangan kecil tadi, sebab itu dia dengan murah hati membantu apa yang boleh.
“Encik, sekejap ya! Saya ambil first aid sekejap.”
Belum sempat Zaid hendak menjawab, gadis itu sudah laju berlari ke keretanya. Ek eh, cik kak! Janganlah berlari. Ada nanti tergelincir, siapa nak tolong siapa ni? Lagipun, tak macho kut setakat jatuh motor lepas tu nak guna first aid. Ini aku balik, basuh sikit, letak minyak gamat pun dah cukup. Terpaksalah minta maaf dengan mak dan ayah sebab tak dapat tunaikan janji untuk bantu mereka di gerai hari ni.
“Encik... kita basuh sikit ya. Takut jangkitan kuman ni...”
Tak sedar bila masa gadis ini muncul di hadapannya dengan kotak first aid dan sebotol air mineral di tangan. Kemudian dengan berhati-hati dia membersihnya kesian luka dengan air mineral. Zaid menahan rasa pedih yang menggigit-gigit dengan macho. Bukan tak pernah jatuh motor sebelum ni. Tapi inilah kali pertama dia jatuh motor dan dirawat oleh seorang bidadari.
“Saya minta maaf sangat-sangat. Saya betul-betul tak perasan encik tadi...” ujar gadis itu sewaktu menampal luka dengan plaster.
“Tak apa. Kalau awak perasan, tak adalah awak langgar saya, kan?” ujar Zaid tak bernada.
Wajah gadis itu bertukar keruh. “Saya minta maaf...” nadanya sedikit lirih.
“Eh, kan saya cakap tak apa... saya pun silap juga tadi. Leka sangat tengok sekeliling sampai tak nampak ada kereta dekat depan,” ujar Zaid cuba untuk menenangkan suasana. Pada dia, masing-masing bersalah dalam kemalangan tadi. Bila melihatkan gadis ini pun nampak gelabah dan takut-takut, takkanlah dia pun nak marah-marah macam orang tak betul?
“Encik, motor encik tu kalau ada apa-apa kerosakan terus hubungi saya ya. Nanti saya berikan nombor telefon saya. Saya betul-betul minta maaf. Ini, encik boleh menunggang ke? Hujan pun lebat benar ni. Saya hantarkan encik ke rumah, ya?”
Zaid memerhatikan raut wajah gadis di hadapannya. Entah kenapa, hatinya disapa sebuah rasa yang lama dia tak rasakan. Ah, sudah! Cinta pandang pertama pula ke? Jangan nak buat hal, Zaid!
“Habis tu, motor saya? Takkan nak tinggalkan di sini? Kalau hilang, cik nak ganti ke?” soal Zaid lagi.
Mendengar soalan sinis itu, gadis itu terdiam dan menunduk. Wajahnya yang sedikit tenang tadi kembali keruh. Alamak! Aku salah cakap ke tadi? Rasanya aku cakap perkara yang betul. Sudahlah sekarang ni kes kecurian motorsikal semakin menjadi-jadi!
“Cik... saya tak menyindir pun tadi. Saya cuma cakap perkara yang benar. Kat sini dah banyak kali kes curi motor berlaku...” jelas Zaid. Risau bila melihatkan wajah keruh gadis yang mencuit hatinya itu.
“Ya, saya tahu. Saya minta maaf...”
“Cik ni sejak tadi asyik minta maaf je. Tak ada apalah, cik. Kita sama-sama bersalah dalam hal tadi. Lagipun, saya pun luka sedikit je ni. Tak ada masalahlah...”
Gadis itu tersenyum nipis. “Tapi... sungguh ni saya cakap. Kalau ada apa-apa tentang motor tu, telefon saya, ya? Nanti saya bayar ganti rugi...”
“Kalau bukan tentang motor?” usik Zaid.
Si gadis terpempan. Tak tahu hendak membalas apa, dia hanya ketawa kecil untuk menutup kegugupannya. “Kalau lepas jatuh ni, ada sakit-sakit badan, ada yang tak kena... pergilah klinik. Risau juga saya kalau ada after effect awak jatuh tadi. Kalau apa-apa, call je saya...”
Zaid tersenyum tawar. Umpannya tidak mengena kali ini. Bila hati dah suka, si dia pula tak faham satu benda. Entah bila masa si gadis menulis nama dan nombor telefon di atas kertas. Kertas itu dihulurkan kepada Zaid. Lambat-lambat Zaid mengambil huluran si gadis. Aiza. Sedap namanya.
“Saya Zaid,” kata Zaid tiba-tiba.
Aiza yang baru memasukkan pen dan sticky notes ke dalam beg tangan terpinga-pinga. “Sorry?”
Zaid mengeluh perlahan. Aku sebut nama pun dia tak perasan. Sabar sajalah Zaid. Janji nombor telefon dia dah ada. Pandai-pandailah kau nanti nak memulakan langkah.
“Saya Zaid. Ahmad Zaid.”
“Oh...” Aiza mengangguk. “Aiza. Nuraizzah.”
“Saya tahu...”
“Hah?”
“Tak ada apalah, awak. Saya dah okey ni. Awak geraklah dulu. Risau suami awak tunggu awak tak balik-balik...” dalam debaran, Zaid menunggu jawapan daripada mulut Aiza. Sebelum dia meletakkan perasaan pada orang yang salah, lebih baik dia merisik dulu secara tak langsung. Tak pasal-pasal dia kecewa seorang diri kalau Aiza ni sudah berpunya.
“Saya...”
Aiza teragak-agak hendak membalas kata-kata Zaid. Hendak cakap, ‘saya tak kahwin lagilah...’ seolah-olah sengaja hendak memberi kiasan yang dia masih belum berpunya. Lagipun, melihatkan cara Zaid memandang dan bercakap tadi, macam Zaid nak mengurat dia je. Ceh! Perasanlah pula. Tapi apa salahnya kalau Aiza jual mahal sedikit. Tak naklah semudah itu hendak memberi peluang kepada Zaid. Itupun nombor telefon Aiza sudah ada pada Zaid secara percuma. Kalau dia bersungguh, pasti ada pertemuan kedua dan ketiga. Lagipun, tak naklah dia hanya menjadi tempat untuk ‘test market’.
“Saya gerak dululah. Jumpa lagi ya, encik Zaid. Minta maaf tentang tadi. Moga luka-luka encik cepat sembuh. Assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam...” balas Zaid perlahan.
Langkah Aiza yang meninggalkannya dia perhati. Luka di luar boleh sembuh cik Aiza. Luka di hati kerana cik Aiza sudah berpunya, tak siapa yang tahu. Zaid bangun. Bangku yang dipinjamkan oleh tokey kedai dipulangkan kembali dan diucapkan terima kasih. Zaid berjalan perlahan ke hujung kaki lima kedai. Hujan masih belum menunjukkan tanda-tanda berhenti. Tapi, wajah cik Aiza kita yang sudah berhenti dan bertapak di hati. Aduh... aduh... Zaid. Sejak bila kau sudah pandai bermadah begini?

xxx
Testing-testing. Hehehe.
KS dengan 7YoL belum siap tiba-tiba dapat idea lain. *sigh*
Dapat idea pun masa makan cakoi best dekat pasar ramadhan. kikiki.
Jarang menulis cerita daripada pandangan orang ke-tiga. Mencabar juga rupanya. Huhu.
Tq sebab membaca. ^_^


1 comment:

Unknown said...

awk kite suka... huhu mcm cinta lama je ni zaid aiza belum kawin dgr x huhu