::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

27 May 2015

E-novel: Bidadari 15 & 16



Tiba-tiba rasa bab 15 pendek sangat. Jadi saya update 2 bab sekaligus, ya? Selamat membaca! ;)
 Bidadari 15
Masa berlalu pantas. Dalam masa aku sibuk dengan urusan kerja, di luar pengetahuan aku Khairul turut sibuk untuk berkenalan dengan Nik. Rupa-rupanya dia sudah berjumpa dengan kedua ibu bapa Nik! Sedar tak sedar, lagi beberapa bulan saja aku dengan Aiman bakal disatukan. Aku sibuk di selatan, Aiman sibuk di utara. Perbualan antara kami semakin berkurang. Tiada lagi mesej-mesej bertanya khabar yang aku berikan dan dia juga sekadar bertanya khabar aku melalui Khairul.

Persiapan untuk majlis kami sudah mula dilakukan sedikit demi sedikit. Anggaran tetamu untuk dijemput sudah mula dikira-kira, dewan untuk digunakan sudah mula dicari, dan yang paling menarik, bilangan pasangan pengantin yang bakal diraikan masih lagi dalam persoalan. Jangan tak tahu, semangat mak untuk buat kenduri dua beradik serentak semakin menebal! Lagi-lagi apabila Khairul sudah berbunyi untuk mengajak mak dan ayah ke rumah Nik di Gurun.
“Takut pula abang nak jumpa keluarga Nik.” Ayat itu terpacul keluar daripada mulut Khairul sewaktu kami berbual di telefon.
“Kenapa pula? Kata abang dah jumpa hari tu...”
“Memang dah jumpa. Tapi belum berbincang pasal kitorang lagi. Buatnya tiba-tiba mereka menolak?” ucapnya gusar.
Aku tersenyum. Ingatkan sudah yakin sangat untuk merebut cinta Nik. Lautan api sanggup direnangi, kata orang.
“Mereka takkan tolaklah! Lagipun, dia orang tahu abang ni, abang Hanis...”
“Iya? Apa kena mengena?”
Aku sudah mahu tergelak. Ini kalau Khairul dengar jawapan aku, mesti dia naik angin.
“Sebab abang kan, abang Hanis. Mak dengan ayah Nik pernah jumpa Hanis. Nik siap cerita lagi pada Hanis, dia orang puji Hanis. Hahaha! Jadi, bila adiknya baik, sopan-santun, lemah-lembut dan tahu hormat orang tua, mestilah abangnya pun baik juga, ya tak?” aku memuji diri sendiri. Suka-suka hati menambah ayat perisa untuk menyedapkan cerita.
“Huh? Hanis silaplah. Bila dia orang tahu abang ni abang Hanis, bukannya dia orang fikir macam tu...” pangkah Khairul.
“Habis tu?”
“Dia orang akan fikir, baik anak dara seorang ni. Siapalah abang dia yang jaga dia sampai jadi macam ni. Kalau dia ada abang, kita mesti jadikan lelaki tu menantu kita!” ucap Khairul selamba.
Hahaha! Aku sudah tidak cukup nafas ketawa. Siapalah yang akan berfikir sejauh tu untuk cari menantu? Masa jumpa aku pun, mereka tak tahu aku ada abang. Aduhai, Khairul... Khairul. Ada saja lawak yang hendak dia buat.
“Abang memang yakin dengan pilihan abang? Dah istikharah? Betul memang nak ambil Nik jadi isteri?” aku menyoal Khairul dengan soalan yang Aiman pernah tanyakan kepada aku sewaktu kami bertunang dahulu.
Khairul tidak menjawab. Sesekali dengar bunyi bising sayup-sayup di hujung talian memandangkan Khairul berada di kedai makan.
“Insya Allah. Abang yakin dengan pilihan abang. Lagipun, dia kawan Hanis. I believe, dia pun gadis yang baik. Kenapa? Hanis tak suka? Kalau tak suka, abang boleh batalkan.”
“Ya Allah... ada pula macam tu! Hanis tak ada kena mengena pun dengan love life abang,” balasku geram. Ada-ada saja Khairul ni. Terlalu memikirkan hal aku sehinggakan mencari pasangan hidup pun hendak kena ada ‘kelulusan’ daripada aku.
“Ada. Memang ada. Tak seronoklah kan kalau kita berkumpul satu keluarga tapi Hanis ada perasaan tak seronok bila Nik ada...”
Aku terdiam. Tak sangka sampai ke situ dia fikirkan. Ada betulnya kata Khairul tu. Tak seronoklah bila ramai-ramai pulang ke kampung tetapi masing-masing ada perasaan benci antara satu sama lain. Kita berkahwin bukan hanya dengan pasangan kita, tetapi berkahwin juga dengan keluarga pasangan kita. Itulah salah satu hikmah pernikahan, mengeratkan silaturahim antara dua keluarga. Tapi, bukankah salah satu tujuan Allah menciptakan manusia berbilang kaum untuk saling kenal mengenali?
“Eh, tidaklah! Insya Allah, Hanis tak adalah sampai macam tu sekali. Nik tu baik budaknya. Sekalipun abang tak kahwin dengan dia pun, Hanis dah anggap dia macam saudara sendiri,” kataku ikhlas.
“Cukup bercakap pasal Nik, abang ada satu perkara nak beritahu Hanis pasal Aiman.”
Aku terkedu mendengarkan ayat yang keluar daripada mulut Khairul. Apa maknanya? Adakah Aiman sudah mengetahui status aku sebagai anak yang tak sah tarafnya? Apa penerimaan dia? Terkejut? Marah kerana aku merahsiakan? Atau dia akan memutuskan pertunangan kami? Dada aku mula dipalu hebat. Perasaan gemuruh mula hadir. Takut mendengarkan cerita seterusnya.
“Err... apa dia?”
“Ingat tak abang pernah cakap, abang akan test calon suami Hanis?”
“Hrm...”
“Berdasarkan ‘ujian’ yang abang buat, tahniah! Dia lulus!”
“Hah?” Kening aku bertaut. “Tak faham. Explain?”
“Hanis, untuk kita kenal seorang tu, kita kena berurusan dengan dia dalam empat perkara. Yang pertama, urusan berkaitan dengan duit, yang kedua, apabila kita makan dengan dia, yang ketiga bila kita menghabiskan malam dengan dia, yang keempat, sewaktu berjalan dengan dia. B.E.S.T formula. Bussiness, eating, spending night dan travelling. Kerana pada waktu ini kita akan lihat perwatakan orang itu yang sebenar. Sebab itu keluarga kita lebih kenal baik buruk kita berbanding kawan-kawan kita.” Khairul membuka cerita.
“Apa yang abang boleh cakap,Aiman memang lelaki yang baik Hanis. Dia ada dua tiga kali datang tumpang rumah abang kalau ke Kuala Lumpur. Tengok perwatakan dia, amalan dia, walaupun biasa, dia sangat sederhana dan konsisten. Itu yang susah nak cari. Insya Allah, abang yakin dia akan jaga Hanis lebih baik daripada apa yang abang mampu. Dan abang yakin walau macam mana rendah dirinya Hanis dengan taraf Hanis, perkara tu tak jadi kudis pada Aiman,” katanya lagi.
“Hanis nak tahu kenapa abang cakap macam tu?” soalnya pula.
“Kenapa?” soalku bila lama Khairul diam.
“Kami keluar makan, ternampak ada sekumpulan remaja, lelaki perempuan melepak tak ada batas. Abang ni pun, dengan marah komen perangai mereka tu. Nak tahu apa komen Aiman? Dia siap kongsikan dengan abang sebuah hadis lagi.”
“Kata dia, ada satu hadis bercerita tentang orang yang beramal dengan amalan penghuni syurga sampai jarak antara dia dengan syurga tinggal sehasta, tetapi ditakdirkan orang itu masuk neraka. Dan ada seorang lagi yang mengamalkan amalan penghuni neraka sehingga jarak antara dia dan neraka tinggal sehasta, tetapi ditakdirkan dia masuk ke dalam syurga.”
“Aiman cakap, hidayah itu milik Allah. Kita tak layak menghukum orang berdasarkan amalan dia yang lalu atau sekarang. Masa depan dia boleh jadi lebih baik daripada kita. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Tugas kita pula untuk membantu mereka kembali ke jalan Allah. Kalau kita terus memulaukan mereka, macam mana kita nak membantu mereka? Bayangkan, sekarang ni terlalu ramai anak-anak hasil perbuatan tak bermoral mereka. Tapi anak-anak itu bersih dan suci. Hanya kerana kesalahan ibu bapa yang khilaf, kasihan anak pula yang dihukum...”
Ya Allah, betapa jujur dan tulusnya kata-kata Aiman itu. Aku tergamam mendengarkan ayat terakhir yang disebutkan. Perasaan terharu dan kasih terhadap dia semakin menggebu-gebu. Entah kenapa air mata mula mengisi ruang di tubir mata.
“Abang...”
“Ye?”
“Kalau dia lelaki yang baik, Hanis ni cukup baik ke untuk dia?” soalku dalam ketawa tak berperasaan. Tangan mengesat air mata yang jatuh ke pipi.
“Insya Allah, Hanis cukup baik untuk dia. Kalau tak cukup pun, bila dah kahwin nanti sama-sama saling membantu. Tapi, Hanis kena ingat, sebaik mana pun Aiman tu, mesti ada juga kekurangan dia yang mana akan menjadi kekuatan Hanis dan melengkapi dia. Jadi jangan terkejut bila dah kahwin nanti, Hanis kenal another side of him yang tak keluar masa dengan orang luar.”
Aku kembali tersenyum mendengar pujukan Khairul. Si pembakar semangat yang tak jemu-jemu memberi kata-kata motivasi untuk aku.
“Cuma lagi satu... abang tak tahu apa-apa, tapi Aiman ada cakap yang dia dah lama tak hubungi Hanis. Dan dia kata dia sengaja buat macam tu. Dia suruh Hanis tanya bila kau orang dah menikah nanti. Dah itu je abang nak cakap. Sudah, sudah! Pergi tidur. Esok abang telefon sekali je. Tak bangun, nasib!” ugutnya dalam nada ceria. Aku tahu dia mahu mengubah mood aku. Aku masih lagi tersenyum.


Bidadari 16
            “Bila cadang nak bergeraknya mak? Dalam pukul berapa?” aku menyoal mak sewaktu balik ke rumah hujung minggu itu. Petang-petang macam ni, seronok duduk dekat taman, minum petang sambil ambil angin.
Pagi tadi mak ajak aku teman dia ke kedai emas, mahu membeli cincin tanda buat Nik. Kata mak, Khairul cadangkan untuk beli cincin tanda je dahulu. Bertunang kalau boleh dia nak buat sekali masa nikah.
“Kita bergerak hari Khamis lepas zuhur, sampai sana nanti, tidur semalam di homestay, esok pagi baru ke rumah Nik. Dah alang-alang tu, mak ingat nak ajak ayah berjalan ke Langkawi. Lama sangat dah tak berjalan ke sana. Kali terakhir pergi masa kamu umur dua bulan. Lepas tu mana ada mak pergi lagi, kamu tu ada juga lawatan sekolah, universiti,” kata mak.
Aku sudah tergelak. Mak... mak. Bukannya ayah tak pernah bawa berjalan langsung. Boleh dikatakan dua atau tiga bulan sekali, mesti mak ajak ayah ke Kuala Lumpur. Katanya nak jumpa Khairul. Tapi sambil menyelam tu, minum airlah kata orang. Penuh kiri kanan juga tangan dibuatnya bila mak ke Jalan TAR.
“Fuhh... Lama betul tu mak. Boleh, boleh... ayah mesti tak kisah punya. Sayang isterilah katakan! Cuma itulah. Hanis tak tahu lagi Hanis dapat cuti ke tak. Tak cakap lagi dengan Encik Syahmi tu.”
“Ya Allah... mak dah pesan daripada awal bulan hari tu, ambil cuti, ambil cuti! Buatnya tiba-tiba tak dapat macam mana?”
Aku mencebik. Epok-epok yang masih panas di dalam pinggan aku capai dengan tangan kanan dan tangan kiri bermain-main dengan daun bunga kertas yang dah mula terjuntai dahannya ke meja kecil kami. Lamanya tak berkebun!
“Alah, Encik Syahmi tu bukannya kejam sangat mak. Lagipun, kalau minta cuti awal, tak semestinya confirm terus dapat. Boleh je jadi tiba-tiba kerja banyak, cuti dibekukan. Hah, masa tu memang kejam jugalah Encik Syahmi tu.”
“Kamu ni, ada je alasannya. Cuba...”
“Assalamualaikum!” laungan orang memberi salam membuatkan mak terhenti berkata-kata. Tanpa berlengah aku bangun dan berjalan ke arah pintu pagar yang berkunci.
“Waalaikumussalam...”
Terpandangkan muka Encik Syahmi yang sedang berdiri, aku terhenti melangkah. Encik Syahmi kemas berbaju t-shirt coklat cair bersama seluar slack hitam dan tidak dilupakan, sepasang cermin mata hitam yang terletak elok di pangkal hidung.  Eh? Apa motif dia datang ke sini?
“Encik Syahmi? Buat apa dekat sini?” soalku bila benar-benar yakin dengan mata aku sendiri. Manalah tahu tengah sibuk-sibuk bercakap dengan mak pasal Encik Syahmi tadi, mata aku pun ternampak muka dia je?
Uncle, ini ke rumah kawan uncle?”
Aku memandang seorang kanak-kanak yang berdiri di sebelah Encik Syahmi. Uncle? Anak saudara dia agaknya.
“Hanis? Siapa tu? Kenapa tak buka pintu pagarnya?” teguran mak membuatkan aku kembali ke dunia nyata. Laju aku meneruskan langkah tadi dan tangan terus membuka pintu pagar tanpa teragak-agak.
“Jemputlah. Nak masuk ke dalam boleh, nak duduk di taman pun boleh,” kataku.
Encik Syahmi sekadar mengangguk. Cermin mata hitam ditanggalkan dan diletakkan di kocek bajunya. Kemudian dia mengarahkan anak saudaranya bersalam dengan aku dan mak.
“Saya masuk sekejap ya. Encik duduklah dulu,” pelawaku. Aku berjalan pula ke dalam rumah, ingin mengambil cawan dan kuih untuk di tambah. Hish! Apa pasal Encik Syahmi tiba-tiba datang rumah ni? Bukannya aku dengan dia rapat benar sampai nak melawat bagai?
“Ayah, bos Hanis tiba-tiba datang ni. Boleh jadi kawan berbual sekejap? Dia ada dekat taman,” kataku kepada ayah yang baru saja keluar bilik. Terpinga-pinga orang tua tu dibuatnya.
“Bos Hanis?” soalnya pelik.
“Ha’ah. Encik Syahmi. Entah apa mimpi dia tiba-tiba datang sini. Hanis nak masuk sekejap ambil cawan. Ayah, kalau boleh ayah keluarlah, ya?”
Tiba di luar, aku menuangkan air teh ‘o’ ke dalam cawan dan aku tolak ke arah Encik Syahmi.
“Macam mana encik boleh tersesat ke sini?” soalku.
“Saya singgah rumah adik saya. Dekat Kulai juga. Teringat rumah Hanis dekat sini. Terus saya singgah...” dia menjawab apabila aku bertanya.
Aku sekadar mengangguk mendengarkan cerita ringkas Encik Syahmi. Memanglah singgah, tapi untuk apa?
“Adik Encik Syahmi? Ibu bapa Syakirahlah kiranya?” aku mengangkat kening. Musykil juga dibuatnya. Iyalah, Encik Syahmi pun bukan muda lagi. Dia pun pernah putus tunang. Jadi logiklah kalau ada adiknya yang dah berkahwin dan ada anak sebesar ni.
“Syakirah berapa tahun? Dah sekolah ke?” soalku lembut kepada si manis itu.
“Sya lima tahun. Dah sekolah dah auntie,” balasnya manja.
Aku tersenyum melihatkan keletah Syakirah. Manja tetapi mendengar kata. Macam tadi aku lihat, dia tidak berani pun mengambil kuih yang terletak di dalam pinggan walaupun aku sedar matanya memandang epok-epok yang sememangnya sedap itu. Bila Encik Syahmi dengan lembut menyuruh dia ambil, barulah dia berani ambil.
“Iya? Seronok tak sekolah? Sya dah belajar apa dah?”
“Sya belajar baca, belajar kira-kira, belajar mewarna. Best auntie! Kawan-kawan Sya pun ramai...”
“Iya? Seronoknya... Bolehlah auntie ikut pergi sekolah Sya nanti, ya?”
“Tak bolehlah auntie. Nanti siapa nak teman uncle dekat office? Uncle kata, auntie selalu temankan uncle dekat office kalau uncle banyak kerja...”
“Syakirah...” tegur Encik Syahmi lembut. Air muka Syakirah sedikit berubah. Takut agaknya.
Sorry uncle,” katanya perlahan.
“Budak-budak, kita maksudkan lain, dia faham lain. Maaflah mak cik, pak cik. Jangan salah faham pula...” kata Encik Syahmi sopan kepada mak dan ayah.
“Sunyi je rumah hari ni? Memang tinggal bertiga saja ke?”
“Sekarang ni bertiga. Dua anak pak cik masih belajar. Yang sulung pula di Kuala Lumpur, kerja.”
“Oh, Hanis ni anak kedualah? Patutlah. Mujur juga Hanis kerja di Johor juga. Kalau tak, mesti lagi sunyi...”
Perbualan diteruskan. Encik Syahmi sedikit pun tidak kekok berbual dengan mak dan ayah. Aku layankan sahaja. Sesekali aku sedar juga dia menjeling ke arah aku bila mak dan ayah buka cerita pasal aku. Aku senyum sahajalah. Hendak bercakap lebih-lebih dengan Encik Syahmi manalah aku pandai sangat. Takkan nak bercakap pasal kerja pula.
“Minggu depan kami hendak ke Kedah pula. Hanis ini pun satu, awal-awal lagi dah dipesan, ambil cuti siap-siap. Mahu merajuk si Khairul tu kalau dia tak pergi sekali,” mak merungutkan hal aku kepada Encik Syahmi. Dia sekadar ketawa kecil.
“Ada apa ke sana? Berapa hari bulan? Rasanya tak ada masalah untuk Hanis ambil cuti. Hari Isnin nanti, awak hantar sajalah borang cuti atas meja saya, ya Hanis?”
Dan aku sekadar mengangguk.
“Khairul, abang Hanis ni. Nak merisik orang sana, kawan si Hanis ni...” cerita mak.
Encik Syahmi mengangguk faham.
“Boleh, boleh. Tak jadi masalah. Seronoklah dapat berjalan. Saya sendiri pun dah lama tak bercuti...”
“Alah, Syahmi kan bos. Bila-bila masa saja boleh ambil cuti, bawa anak isteri berjalan...” kata mak.
Aku sudah membulatkan mata. Alamak! Lupa nak cakap dengan mak dia ni tak kahwin lagi. Jangan tiba-tiba mood Encik Syahmi berubah sudah! Buatnya isu kahwin ni sensitif pada dia, susah juga. Mendengarkan Encik Syahmi ketawa, hati aku sedikit lega.
“Saya belum berkahwin lagi mak cik. Dulu pernah juga bertunang, tapi bukan jodoh saya...”
“Lah, iya ke? Maaflah, mak cik tak tahu...”
“Kisah lama mak cik. Buat apa hendak dikenang sangat. Insya Allah, satu hari nanti sampai juga jodoh saya...” Encik Syahmi menjeling aku sekilas. Bibirnya tersenyum senang. Nampak lain pula dia hari ni kalau nak dibandingkan dengan di pejabat. Nampak lebih mesra dan ramah.
Bosan mengikut perbualan antara Encik Syahmi dan kedua ibu bapa aku, aku membawa Syakirah berjalan-jalan ke sekitar rumah. Seronok benar dia melihat ikan kap yang baru sebulan tinggal dengan kami dalam kolam mini buatan ayah dengan Khairul. Jadilah sekadar untuk menenangkan diri mendengar bunyi air terjun mini tu petang-petang. Hampir setengah jam berbual, akhirnya Encik Syahmi minta diri untuk pulang. Sempat aku bekalkan coklat yang ada di dalam peti ais untuk Syakirah.
“Hanis...”
Aku menoleh ke arah ayah yang menayangkan riak serius. Begitu juga dengan mak.
“Dia tahu tak Hanis dah bertunang?” soal ayah lagi.
Aku tersentak. Kenapa ayah tanya macam tu?
“Kenapa, ayah?”
Ayah mengeluh perlahan. Kepalanya digelengkan beberapa kali.
“Beritahu dia. ayah takut tiba-tiba ada kes pinang tunang orang dalam family kita nanti.”
Dahiku berkerut.
“Hanis tak nampak ke?” soal mak pula.
Aku menggeleng. Tak faham apa yang mak cuba sampaikan.
“Cara dia bercakap, cara dia memandang, itu semua kiasan tu.”
Aku ternganga. Kalau bukan mak yang bercakap, mesti aku dah ketawa memperlekehkan kata-kata itu. Mana mungkin!
“Beritahu dia awal-awal Hanis. Memang pertunangan tak wajib diheboh-hebohkan tetapi, jangan sampai dia pinang Hanis sebab tak tahu Hanis dah bertunang,” sambung ayah pula.
“Tapi... kalau betul pun, sepatutnya Encik Syahmi merisik dulu, bukannya terus hantar rombongan?” aku mempersoalkan kembali.
“Buat apa dia nak malukan diri merisik orang yang dah bertunang, Hanis?!” marah mak. “Lebih baik Hanis beritahu. Jangan bila tiba-tiba dia dah letak harapan tinggi, kita hancurkan. Lagi kesian dekat dia,” kata mak lagi.
Aku kematian kata-kata. Masih tidak percaya dengan apa yang diperkatakan. Biar benar?

No comments: