::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

13 June 2015

E-novel: Bidadari 18



Bidadari 18
            “Macam mana Langkawi?” Auni bertanya sebaik sahaja aku masuk ke pejabat. Senyuman yang tak lekang daripada bibir rasanya dah cukup menjawab soalan dia.
“Best! Dua-dua adik aku merungut tak dapat pergi. Lagi-lagi tengok gambar-gambar kita orang berempat. Apa lagi, bisinglah Nisa tu,” ceritaku ringkas.

“Iyalah, dia kan anak bongsu. Hrm... tak ada ke buah tangan untuk kita orang? Coklat ke, baju ke, pinggan mangkuk ke?” Auni bertanya tanpa rasa malu. Kepalanya terjenguk-jenguk memerhatikan barang yang aku bawa. Selamba.
Demand betul kau ya nak baju, pinggan mangkuk segala?”
Dia ketawa.
“Ni ada coklat campur-campur. Kau tolong bagikan dekat dia orang boleh? Bagilah semua, seorang sikit. Nak beli banyak, Encik Syahmi tak bagi duit bonus pula.”
Aku menghulurkan beg plastik putih yang berisi pelbagai jenis coklat daripada Langkawi. Jadilah sebagai tanda ingatan untuk semua. Nak belikan seorang satu paket besar tak mampu. Cuma... untuk Encik Syahmi je aku belikan istimewa sedikit. Teringatkan pesanan mak dengan ayah, terus aku jadi serba tak kena. Hish! Tak mungkinlah dia nak suka aku!
Aku mengeluarkan beg plastik biru yang berisi hadiah untuk Encik Syahmi sebelum ke bilik dia.
Tok...tok...
“Masuk Hanis.”
Aku menurut arahannya. Kemudian langkah aku atur ke arah mejanya, tempat dia duduk.
“Nampak ceria saja awak hari ni. Seronok ke Langkawi? Tak ada belikan saya apa-apa ke?”
Ini lagi seorang insan tak tahu malu. Kalau Auni tu, aku fahamlah juga.
“Alhamdulillah, seronok sangat dapat spend masa dengan family,” balasku sopan.
“Oh! By the way, ini ada coklat sikit untuk encik. Plastik yang merah tu tolong berikan pada Syakirah, ya?”
“Ingat juga awak pada dia ya?” Encik Syahmi menyambut beg plastik yang aku hulurkan.
Aku mengangguk. “Budak manja encik, macam mana saya nak lupakan. Baik, dengar kata. Cuma uncle dia saja yang garang sikit.” Sengaja aku berkata begitu. Teringat-ingat muka takut Syakirah apabila ditegur Encik Syahmi sewaktu di rumahku.
“Saya mana ada garang. Syakirah tu, kalau ditegur sikit memang macam itulah reaksi dia. Saya ni, kalau jadi ayah, insya Allah saya ayah yang paling penyayang, tahu?”
Serius Encik Syahmi memandang muka aku. Aku tergelak. Kemudian aku terdiam bila dia merenung seolah-olah geram aku tidak mempercayai dia.
“Baiklah, saya percaya.” Bila aku berkata begitu, barulah Encik Syahmi tersenyum.
“Jadi, macam mana dengan urusan abang awak? Hari tu merisik saja kan? Bila bertunangnya?”
“Bertunangnya masa sebelum nikah, encik. Lepas tu, kenduri belah kami dalam bulan November. Nanti saya berikan kadnya. Encik kena datang tau! Sebab kenduri ni, sekali dengan kenduri saya.”
Ralit aku memerhatikan air muka Encik Syahmi. Mana tahu berubah bila aku cakap aku bakal berkahwin. Kalau ya, memang terbuktilah kata mak dan ayah.
“Oh? Awak dah nak kahwin ke? Insya Allah saya datang nanti. Jangan lupa bagi kad. Oklah Hanis, awak boleh keluar. Sambung kerja, dah pukul lapan setengah dah pun. Jangan lupa tutup pintu sekali ya? And one more thing, thanks for the chocolates.
Selamba dia bersuara, siap angkat dan tunjukkan sekali beg plastik yang aku beri. Langsung tak ada menunjukkan riak kecewa atau yang sewaktu dengannya. Tengok? Aku dah cakap, tak ada maknanya Encik Syahmi nak suka pada aku!
***
            “Kenapa tiba-tiba cakap nak jumpa? Ada apa-apa masalah ke dengan preparation?”
            Lembut Aiman menyoal. Mendengarkan suaranya tiba-tiba hati aku terasa rindu. Lama betul tak berhubung. Kalau bertanya khabar pun banyak melalui Khairul. Aduhai...! Cepatlah masa berlalu. Sekurang-kurangnya tak adalah aku rasa berdosa sendiri bila berperasaan macam ni lepas nikah nanti.
“Hanis ada benda nak bincang sikit. Sebelum kita kahwin. Perkara penting ni...” Aku bermain dengan jari jemari yang terasa sejuk. Gelisah membayangkan penerimaan dia nanti.
“Hrm... nak jumpa di mana? Kuala Lumpur? Rumah abang ke?”
“Entahlah. Hanis rasa ada baiknya kalau umi dengan abi Aiman tahu sekali pasal hal ni. Macam mana kalau Hanis ke Ipoh?”
“Umi dengan abi elok tahu? Hanis? Perkara apa yang Hanis nak bincangkan ni? Hanis menakutkanlah!”
Aku terdiam. Rasanya tak sesuai kalau aku bercerita melalui telefon. Lagi-lagi melibatkan perkara yang besar.
“Oklah. Apa kata kita jumpa dulu dekat Kuala Lumpur. Kita discuss apa yang tak kena. Bila dah settle nanti, baru kita cakap dengan umi dan abi. Ok?” Dia memberikan cadangan.
I really hope Hanis bukan nak batalkan majlis kita...” Perlahan dia menyambung.
Mendengarkan harapannya, aku terasa sedih sendiri. Bagaimana kalau dia tak boleh terima? Mengingatkan cerita Khairul, sebelah hati aku yakin dia tidak akan kisah, tetapi itu sewaktu dia sendiri belum berhadapan dengan perkara begini. Boleh saja jadi dia tak terima apabila perkara ini melibatkan hidup dia. Aku menghela nafas perlahan.
***
            Berpeluh-peluh aku membantu mak menyediakan makan tengah hari di dapur rumah sewa Khairul. Jam sudah menunjukkan pukul dua belas setengah. Ayah sedang berehat di depan televisyen. Setelah berpuas hati dengan persiapan aku lakukan, aku bergegas ke bilik tamu, mahu membersihkan diri pula.
Tepat pukul satu setengah, loceng rumah sudah berbunyi, menandakan Khairul sudah balik daripada kerja. Kerja swasta macam kami ni, bersedia sajalah untuk bekerja pada hujung minggu. Kalau Khairul, berbaloilah dengan gaji yang ditawarkan. Mak mengintai luar rumah melalui lubang kecil yang ada pada pintu. Apabila yakin Khairul yang berada di luar, barulah dia buka.
“Assalamualaikum. Fuh... sedapnya bau! Mak masak apa?” soalnya selepas bersalam dengan mak. Kemudian dia dan terus melangkah ke dapur. Mak menggeleng perlahan. Mesti dia kasihan melihatkan telatah Khairul. Kalau tak, semestinya nasi kedai yang menjadi pilihan. Dia ni bukannya hendak masuk ke dapur sangat.
“Masak yang ringkas je, Along.”
“Ringkas? Ini macam-macam ada ni?”
“Yang lain-lain tu, Hanis yang tambah sendiri. Pudinglah apalah...”
“Ini masak ni sebab Aiman nak datang kan?” Khairul menjeling bila aku berada di pintu masuk dapur.
 “Macamlah selama ni Hanis tak pernah masak untuk abang!”Aku menarik muncung. Entah kenapa, aku terasa hati pula dengan dia.
            “Takkanlah merajuk kot? Abang main-main pun tak boleh. Sejak bila sensitif sangat ni?”
            Aku diam. Malas mahu melayan. Mak dah berjalan ke bilik.
“Pukul berapa Aiman sampai ni? Dia ada telefon?”
“Tadi dia kata dah sampai Sungai Buluh. Tak lama lagilah tu. Oklah, Hanis nak solat sekejap. Kalau dia sampai abang beritahu Hanis ye?”
Khairul mengangguk. Sempat lagi dia mencuri makan epal yang aku dah potong untuk pencuci mulut. Macam budak-budak!
***
“Dia tengah solat. Masuklah dulu. Kamu dah solat?”
“Dah sudah. Saya singgah di masjid tadi. Terus jama’kan dengan Asar.”
Sayup-sayup aku mendengar suara ayah bercakap dengan Aiman. Selepas menyarungkan tudung, aku keluar daripada bilik. Aiman sedang duduk di sofa manakala bayang Khairul langsung tak kelihatan.
“Mana ayah?”
“Dalam bilik. Dia tadi baru lepas solat, tak salin baju lagi.”
Aku membuka tudung saji yang menutup hidangan di atas meja. Semerbak bau sambal tumis udang menutupi bau makanan yang lain.
“Mari makan Aiman?” ajak ayah.
Mak berjalan di belakang diikuti Khairul. Tanpa menunggu lama, Aiman bangun, mengikuti langkah Khairul daripada belakang.
“Sebenarnya apa yang Hanis nak bincangkan?” soalnya sewaktu kami sedang menjamu selera. Sikit lagi aku hendak tersedak mendengarkan soalannya.
“Makan dulu Aiman, lepas ni baru bincang.” ayah tolong jawab.
Perlahan-lahan aku mengunyah makanan di dalam mulut. Terasa hilang selera hendak makan dibuatnya.
“Maaflah. Sejak Hanis telefon hari tu, tak senang duduk saya dibuatnya. Takut menunggu apa yang dia nak beritahu sangat.”
Ayah mengangguk faham.
“Makanlah dulu.” Itu saja yang mampu dia katakan.
            ***
“Jadi, apa perkaranya?”
Inilah kali pertama aku nampak Aiman dalam keadaan yang tidak sabar. Aku meramas tangan yang sudah mula terasa sejuk. Akhirnya, masanya tiba juga. Setelah hampir empat bulan bertunang, baru inilah aku membuka sejarah hidup aku.
Silap aku juga, tak menjelaskan perkara sebenar sejak mula. Selama ni bila mak dengan ayah bertanya, aku diamkan saja dan tukar topik lain. Aku takut, terlalu takut. Takut seandainya mimpi indah yang selama aku angankan menjadi hancur lebur. Terlupa dengan kekuasaan Allah yang merancang segala-galanya. Bising mulut mak dan ayah bila aku bercerita perkara yang sebenar. Risau kalau Aiman dan keluarga dia memang tak dapat terima.
“Baiklah. Sebenarnya, Aiman tahu kan yang Hanis anak susuan je dalam keluarga Hanis?” ayah menyoal.
Aiman mengangguk.
“Aiman tak pernah ke nak tahu susur galur keluarga Hanis?” soal ayah lagi.
“Bukan ke mak dengan ayah Hanis meninggal dalam kemalangan?”Aiman pandang aku pelik.
“Lagi?”
“Aiman tak tahu, pakcik. Sejujurnya Aiman pun tahu daripada Atiqah.”
Aku tertunduk sejenak. Ya, itu yang selalu aku katakan kepada kawan-kawan aku. Mudah untuk menutup mulut orang ramai daripada kata-kata yang tak sedap di dengar.
“Sebenarnya Aiman, ada satu perkara penting yang Aiman kena tahu. Perkara ni melibatkan masa depan kita, masa depan zuriat dan keturunan kita,” aku menyampuk bila agak lama ayah mendiamkan diri. Aku sedar air muka Aiman sedikit berubah mendengarkan kata-kata aku. Dia tidak bersuara, setia menunggu aku menghabiskan penjelasan aku.
“Hanis sebenarnya tak ada ayah, Aiman.” Sepotong ayat itu cukup membuatkan aku terasa malu untuk mengangkat muka.
“Mak kandung Hanis melahirkan Hanis dalam keadaan tak bersuami.”
Akhirnya aku hanya tertunduk, menceritakan peraka yang sebenarnya. “Umi Hanis kawan baik mak. Dia kena rogol masa nak pergi kuliah daripada rumah sewa. Selepas lahirkan Hanis, tak lama lepas tu dia meninggal kerana tumpah darah. Disebabkan mak masih menyusukan abang, mak susukan Hanis terus. Aiman...”
Aku mengangkat muka, memandang muka Aiman yang nyata terkejut.
Hanis minta maaf sangat-sangat sebab baru hari ni Hanis buka cerita. Hanis serahkan segala-galanya kepada Aiman untuk buat keputusan. Bab keturunan ni penting. Kalau tak, Rasulullah s.a.w. tak akan sebut dalam hadis dia, empat perkara yang perlu diambil kira untuk mencari pasangan. Jadi, apa pun keputusan Aiman, Hanis terima dengan hati yang sangat terbuka. Hanis tak mahu nanti Aiman tuduh Hanis menipu. Sebab itu Hanis nak umi dengan abi Aiman dengar perkara ni, sebab ia melibatkan keturunan mereka juga...”
Terasa perit untuk aku nyatakan apa yang benar. Bukan senang untuk berhadapan dengan realiti. Aiman masih lagi terdiam. Aku tahu, otaknya masih bekerja, mencerna segala info yang aku baru sampaikan. Yang lain sekadar menjadi pemerhati.
Ya Allah, jika pernikahan ini, membawa keburukan kepada urusan agama kami dan kehidupan kami, juga natijah urusan kami kini dan akan datang maka elakkanlah ia daripada kami dan tetapkanlah kebaikan kepada kami sebagaimana yang sepatutnya. Kemudian jadikanlah kami meredhainya. Ya, redha. Satu perkara yang mudah dikatakan dan cukup sukar untuk dilaksanakan.
Wow...”Aiman ketawa kecil. Menutup kegugupan yang dia rasakan.
Aku tersenyum tawar. Aku tahu dia pun sedang cuba menutup kegusaran yang dia tengah rasa sekarang.
“Aiman tak tahu nak kata apa. Benda ni terlalu mengejut...”
“Hanis tak suruh Aiman buat keputusan sekarang. Fikirkanlah. Kita masih ada masa hampir dua bulan untuk sebarang kebarangkalian. Kalau Aiman tak boleh teruskan, Hanis faham...”
Aku terasa sebak sendiri. “Ya, Hanis faham. Fikirkanlah masak-masak. Perkara ni bukan untuk Aiman je. Fikirkan tentang umi dengan abi sekali, ya?” pesanku.
Aku cuba mengelak air mata daripada jatuh ke pipi. Sabar, Hanis. Sabar...
Aiman diam. Matanya dipejamkan. Dia duduk sedikit menunduk dengan kedua tapak tangannya rapat dan memanggung dahinya. Berfikir.
“Kalau Aiman perlukan masa, pak cik dengan mak cik faham. Ambillah masa yang sewajarnya,” kata ayah pula.
Aiman sekadar tersenyum. Namun sedikit pun dia tak bersuara. Sesekali dia memejamkan mata, cuba memikirkan keputusan yang terbaik untuk diambil.
“Ya, memang betul kata Hanis. Dikahwini wanita itu kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Tapi ada satu perkara yang Hanis terlupa.  Maka utamakanlah dalampemilihanmu itu, wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu.” Aiman tersenyum. Senyuman sedikit sebanyak membuatkan hati aku kembali tenang.
“Aiman melamar Hanis, kerana agama yang ada pada Hanis. Aiman pun tak sebaik mana, tetapi insya Allah, Hanis akan melengkapkan diri Aiman selepas kita berkahwin nanti. Pak cik dengan mak cik dah membesarkan Hanis dengan sangat baik, dan Aiman yakin, arwah umi Hanis pun wanita yang sangat mulia. Tinggi maruahnya, cuma takdir hidup dia diuji sebegitu. Hanis ingat tak lagu Raihan?”
Aku memandang Aiman kosong. Lagu Raihan? Dahi sudah berkerut.
“Iman tak dapat diwarisi dari ayah yang bertaqwa. Iman tak dapat dijual beli, iman tak ada di tepian pantai, dan iman itu tak dapat juga dimiliki walau apa pun, jika tidak kita kembali pada Allah...” dia menuturkan lirik daripada lagu Raihan yang cukup terkenal sewaktu ketika dahulu.
            “Sebab itu kita jangan pelik bila ada anak tok imam yang jauh daripada Allah s.w.t. dan jangan pelik bila ada anak orang yang sangat jahil tentang Islam, menjadi sangat dekat dengan Allah s.w.t.”
“Keturunan memang penting, tapi yang utama itu agama. Untuk umi dengan abi, insya Allah Aiman yakin mereka tak ada masalah tentang hal ini bila mereka tahu sekalipun. Mereka yang selalu ingatkan Aiman, cari isteri yang beragama.” Aiman mengalih pandang ke arah mak dan ayah.
“Bila bawa umi jumpa Hanis masa kenduri Atiqah, terus dia approve. Jadi, jangan terlalu fikirkan sangat hal ini, ya?”
Sempat Aiman menyatakan harapan dia. Ya, itulah matlamat hidup dia untuk jangka masa panjang dan jika Allah izin kami bersama nanti, turut menjadi matlamat hidup aku. Sebak aku rasakan sewaktu mendengarkan penerimaan dia. Aku mengesat air mata yang jatuh ke pipi. Aiman terima aku menangis, kalau Aiman tolak pun, aku rasa aku menangis juga.
“Terima kasih, Aiman...” hanya itu yang mampu aku ucapkan sebagai tanda penghargaan. Bukan mudah sebenarnya untuk menerima perkara seperti ini. Aku berharap sangat agar Aiman tidak berubah hati selepas kami berkahwin nanti.
xxx
ps: Sepatutnya saya update Rabu lepas. Tapi sebab saya agak sibuk menyesuaikan diri di tempat baru membuatkan saya tak sempat nak buka laptop. Online pun dengan phone je. Phew. Maka lepas ni, 2 update terakhir Bidadari saya akan update pada setiap Sabtu ye? :)

3 comments:

My Beadz World said...

Tu kata Aiman kata mak Aiman?

Basyirah Abd Rahman said...

Mendebarkan jugak. Baguslah Aiman dpt terima. In syaallah..

Unknown said...

Hi,

Kami Team dari aplikasi NOVEL+ berbesar hati untuk mempromosikan novel nukilan anda yang bertajuk:

Bidadari
7 Years of Love
Kasih Suci

yang disiarkan di blogspot/website anda untuk dipaparkan dalam aplikasi yang kami bangunkan untuk mobile (android/IOS) secara percuma.

Peluang ini tidak harus dilepaskan kerana novel anda akan kami bantu untuk diperkenalkan kepada umum secara meluas melalui dunia dihujung jari.

Oleh itu, kami ingin meminta kebenaran daripada pihak anda terlebih dahulu, sebelum kami siarkan di dalam aplikasi NOVEL+ ini. Aplikasi NOVEL+ ini boleh dimuat turun melalui App Store (Apple/IOS) dan Play Store (Android). Kami mengharap agar dapat maklum balas dengan segera daripada pihak anda.


Hubungi Kami:
novelmcdp@gmail.com


Untuk Info:
NOVEL+ merupakan bahan bacaan berupa novel yang boleh dicapai dengan mudah melalui aplikasi mudah alih. Dengan NOVEL+, anda mempunyai akses ke dunia karya novel tempatan dengan meluas. Anda tidak perlu risau lagi untuk membawa bahan bacaan ketika berada di luar atau ketika sedang bercuti kerana kini aplikasi NOVEL+ akan bersama anda sentiasa, bila-bila masa dan dimana jua.
Para peminat novel boleh membaca karya-karya TERBAIK penulis berbakat di aplikasi NOVEL+ yang boleh dimuaturun secara PERCUMA. NOVEL+ terdiri daripada pelbagai genre novel TERKENAL dalam Bahasa Malaysia.