Bab-bab seterusnya, kalau tak silap saya sama je cuma berubah dari segi bahasa dan ejaan. (^^,)
Minta doakan semoga semuanya berjalan lancar. Aminn. (^^,) v
Suami Aku Ustaz?! 12
“LISA memang serius ke nak study oversea?”
Soalan daripada Abang Hafiz yang duduk di sebelah membuatkan aku terhenti daripada membuat latihan Fizik. Kepala aku angkat daripada buku latihan di hadapan.
“Kenapa?” Aku menyoal.
Abang Hafiz hanya menggeleng. “Tak ada apa.”
Hish! Kecil je Abang Hafiz aku nampak sekarang ni. Dia ni suka sangat buat aku tertanya-tanya. Apa yang dia tengah fikirkan pun aku tidak boleh nak agak.
“Kenapa? Tiba-tiba abang rasa nak tukar fikiran ke?” Aku bertanya. Ini sahaja cara terakhir untuk mengetahui apa yang dia tengah fikirkan.
“Fikiran apa?”
“Iyalah... manalah tahu tiba-tiba tak bagi Lisa pergi pula ke?”
“Tak payah nak sibukkan fikir benda lagi setahun nak terjadi, lebih baik Lisa belajar je sungguh-sungguh kalau betul nak belajar oversea.” Itu sahaja yang dia ucapkan.
Ceh! Aku mencebik. “Dia yang mula dulu, kita pula yang kena.”
Abang Hafiz tersengih. “Lisa memang dah cadang nak ambil engineering ke?” Dia bertanya lagi. Agaknya dia memang hendak tahu sangat ke perancangan hidup aku?
“Hrm.. Cadang macam tu lah. Jadi macam ayah. Tapikan...”
Abang Hafiz setia menunggu aku menghabiskan ayat.
“Tapi tiba-tiba Lisa rasa nak ambil bidang agama. Boleh jadi ustazah? Baru sesuai digandingkan dengan ustaz. Iya tak Ustaz Hafiz?” Aku mengusik. Jadi ustazah? Hahaha!
“Tak semestinya ustaz itu, pasangannya ustazah. Kalau engineer tapi berpegang kepada fikrah dan tujuan hidup yang sama, pun boleh juga kan?”
“Fikrah?” Macam biasa dengar je perkataan tu.
“Ideologi. Pemikiran. Cara berfikir.” Ringkas Abang Hafiz menerangkan.
Aku malas mahu membalas. Kalau sambung berbual, mahu jadi kuliah lepas Isyak pula dekat sini.
***
‘SAYA kencing malam...’
Shin Chan tiba-tiba bersuara daripada telefon, menandakan ada mesej yang masuk. Spontan aku berbalas pandang dengan Abang Hafiz. Muka dia sudah pelik. Aku pula sudah tidak tahan hendak tergelak. Adoi! Macam manalah boleh terlupa untuk menukar mesej tone ni. Aku menjeling Abang Hafiz yang sudah tersenyum di hujung bibir. Kesian dia kan, dapat isteri macam aku?
-Lisa, tempat biasa?-
Joe menghantar mesej dengan isi yang sama kalau dia nak mengajak aku lepak. Selepas aku membalas, mesej Joe tadi terus aku padam. Kenapa eh? Sebab takut ustaz cek telefon aku ni ke?
“Siapa?” Abang Hafiz bertanya.
“Anak orang.”
“Johan?” Dia meneka.
Angguk.
“Kenapa?”
“Biasalah ajak jumpa.” Malas aku menjawab. Aku mendekatkan buku rujukan Fizik kepada aku. Lagi bagus aku belajar.
“Habis Lisa cakap apa?”
Aku menjeling Abang Hafiz sekilas. “Cakap suami Lisa ikat kaki Lisa, tak bagi keluar rumah?” jawabku sarkastik.
Abang Hafiz ketawa. “Ada ke abang buat macam tu?”
Tidak sempat aku membalas, Joe pula menelefon. Teragak-agak aku hendak menjawab di hadapan ustaz seorang ni. Sudahlah siang tadi dia sudah tegur, ini kalau aku pergi tempat lain untuk menjawab telefon, ada dia ingat aku memang sengaja hendak melarikan diri daripada dia.
“Susah betul nak lepak dengan kau sekarang. Kau busy ke?” Joe bertanya sebaik sahaja salam berjawab.
“Tak adalah. Aku malaslah nak keluar.” Itu sahaja alasan yang ada kat fikiran aku sekarang.
“Lah? Selama ni kau lah yang bising kalau aku keluar tak ajak.” Dia mengungkit.
Aku ketawa mendengar kata-kata dia. Memang pun aku selalu bising kalau dia keluar tidak mengajak. Apabila terpandangkan muka Abang Hafiz, terus ketawa aku mati.
“Kau dekat rumah ke?”
“Hrm...” Mak oi! Kaku gila rasanya nak berbual dengan Joe depan Abang Hafiz ni.
“Seorang?”
“Taklah.”
“Oh! Mak Long dengan Pak Long kau ada eh? Patutlah malas nak keluar! Ingatkan seorang je tadi.”
“Kalau seorang kenapa?’
“Boleh aku datang teman,” Joe membalas dalam tawa.
Tawa aku berpadu dengan dia. “Gila kau, tak pasal-pasal kena tangkap basah...” dengan ustaz sebelah ni. Tapi bahagian hujung itu aku tidak sebutlah. Mata aku terpandangkan jelingan ustaz sebelah. Erk! Petanda tidak baik.
Makin galak Joe ketawa bila aku menjawab macam tu. Isk, budak ni!
“Eh, oklah Joe. Aku tengah study sebenarnya ni.” Aku memberi tanda hendak berhenti. Cuak juga tengok mata Abang Hafiz pandang aku tajam semacam.
“Oho.. Study tak ajak. Lisa, apa kata kita buat study group sebelum SPM ni? Kau master Kimia, aku ok Fizik. Wati dengan Pa’an, Math dengan Bio. Hah, cun sangatlah tu. ” Joe menyambung. Aku dah mengurut dahi. Hai... makin panjang pula dia hendak sambung berbual.
“Hrm... Tengoklah esok ke kita cerita. Oklah ek? Esok sambung lagi.”
“Ah, kau ni Lisa. Risau sangat. Aku yang call lah, bukannya kau.”
Aduh! Encik Johan, ni bukan masalah kredit, Encik Johan. Ni masalah lagi besar tahu? Aku sudah terasa aura berapi dari sebelah ni.
“Err, Joe. Ada orang datanglah. Bye. Assalamualaikum.” Spontan idea itu datang. Aku terus mematikan talian. Telefon aku letak balik dekat tempat tadi. Agaknya kalau aku off dan tanggalkan bateri dia macam dalam cerita Korea tu, over tak? Hahaha.
“Lisa nak keluar ke?” tiba-tiba Abang Hafiz menyoal.
“Abang bagi ke?”
Dia mengangguk. Aku pandang muka Abang Hafiz dengan perasaan tidak percaya bercampur teruja. Aku rasa, kalau aku dalam cerita kartun sekarang ni, mesti mata aku dah berbintang-bintang dah.
“Serius?”
Dia angguk lagi. Aku terasa pelik tiba-tiba. Takkanlah semudah itu dia hendak bagi aku keluar?
“Boleh keluar. Tapi abang ikut sama.” Akhirnya dia bersuara.
Mati terus senyuman aku. Ceh! Dah agak dah. Mesti ada motif lain ni. “Baik tak payah.” Aku merungut. Duduk dalam rumah ni lagi bagus.
“Amboi? Abang ajak keluar, tak nak. Johan ajak, laju je ye?” Dia dah bising.
Aku mencebik. “Joe lain. Abang lain.” Erk! Terlepas pula ayat tu. Aku menjeling Abang Hafiz di sebelah. Riak muka dia tidak dapat aku hendak tafsir.
“Apa yang lain?”
Aku tersengih. “Lepak dengan member kan lain daripada lepak dengan suami. Cerita pun nanti topiknya berbeza. Lainlah tu!”
Abang Hafiz memandang aku seketika sebelum kembali menunduk. “Tak payahlah Lisa nak keluar rumah malam-malam. Kalau nak juga, keluar dengan abang. Tak pun dengan ayah atau mak. Malam-malam anak dara keluar, bukannya kita tahu kalau ada orang niat yang tak elok. Jangan sampai dah jadi apa-apa baru menyesal,” tanpa mengangkat muka dia bersuara.
Erk! Panjang lebar dia memberi nasihat. Selama ini aku tidak ada pula terfikir sampai ke situ. Lagipun, kampung ini aman damai je. Alhamdulillah!
***
AKU berjalan keluar dari koperasi bersama Joe. Baru kami hendak melintasi blok yang menempatkan bilik guru, Abang Hafiz sudah melambai dari jauh. Aku mengetap gigi. Sengaja je dia ni tau.
“Kebetulan jumpa. Alisa, ikut saya ke bilik guru sekejap.”Dia mengarah bagaikan tidak nampak Joe di sebelah.
“Ok.”
Abang Hafiz mengalih pandang ke arah Joe. “Johan, awak pergi dulu. Saya nak jumpa Alisa sekejap.”
Aku tahu Joe terpinga-pinga sewaktu kena ‘halau’ dengan Abang Hafiz. Dia memandang aku sekilas. Apabila melihat aku mengangguk, Joe bergerak pergi.
“Sengaja je...” perlahan aku merungut. Tapi cukup untuk Abang Hafiz dengar.
Aku mengikut Abang Hafiz melangkah masuk ke dalam bilik guru. Setelah sampai di meja dia, Abang Hafiz terus duduk. Cara dia bagaikan aku tidak wujud di sini.
“Dari mana tadi?” Dia menyoal dengan mata membaca isi kertas yang dia ambil di atas meja.
“Dari kedai kasut. Kan dah habis waktu sekolah ni?” sindirku. Sudahlah aku belum makan apa-apa lagi ni. Keluar koperasi tadi ingatkan nak menghabiskan masa rehat dekat taman tempat selalu tu. Akhirnya ke sini pula perginya.
Abang Hafiz memusingkan badan. “Orang tanya elok-elok, cuba jawab elok-elok?” Dia menegur.
Aku menarik nafas. “Iyalah... iyalah. Lisa baru balik dari koperasi. Ingat nak pergi makan sekarang. Ada apa ustaz nak jumpa saya ni?”
Abang Hafiz tersenyum. “Macam tulah cakap dengan suami.”
“Ustaz...” suara aku dah bergetar, memberi amaran. Mata aku bulatkan sebesar yang mungkin. Kalau diikutkan hati tadi, ada aku tutup mulut dia dengan sapu tangan aku. Dia ini suka hati je cakap lepas dekat sekolah. Kalau cikgu lain terdengar, macam mana? Nasib baik cikgu sebelah meja dia tak ada sekarang.
“Ada apa?” aku tanya lagi sekali bila soalan aku masih tidak terjawab.
“Tak ada apa. Saja je tak nak Lisa berjalan dengan Johan.”
Aku pandang dia tidak puas hati. Isk! Kalau dekat rumah ni memang dah kena dah dengan aku.
“Hrm... Pergilah naik kelas. Masa rehat pun dah nak habis. Ada lima minit je lagi ni.” Abang Hafiz memandang jam di pergelangan tangan.
Ya Allah, kecil je aku rasa dia ni lah. Rehat sudah lah lima belas minit je. Tadi bersesak-sesak dalam koperasi pula sudah makan berapa minit. Selepas itu, dengan perut yang tidak diisi apa-apa lagi ni, dia hendak jumpa dekat sini. Tidak sampai lima minit sudah menyuruh aku keluar. Nak tak nak, badan aku pusing jugalah untuk keluar.
“Lisa?” Abang Hafiz bersuara balik.
Aku menoleh.
“Tolong passkan dekat kelas.” Abang Hafiz memberikan helaian kertas latihan untuk kelas Pendidikan Islam hari ni.
Aku memandang kosong kertas yang dia hulur. “Kan ada agama sebelum balik?” Seingat aku nanti Abang Hafiz akan masuk ke kelas sebab ada satu masa Pendidikan Islam sebelum balik.
“Tak nak bagi sudah.” Dia mengambil balik kertas tadi.
Seketika, aku terfikirkan sesuatu. Sekurang-kurangnya kertas yang dia bagi ni boleh tolong aku bila orang tanya kenapa Ustaz hendak jumpa kan? Bagus juga idea Abang Hafiz ni walaupun kadang-kadang tu aku rasa dia sengaja nak orang bersangka yang bukan-bukan dengan kita orang.
“Meh lah!” Akhirnya aku meminta kembali kertas tadi.
Abang Hafiz tersengih mendengarkan kata-kata aku aku. Kertas bertukar tangan.
“Hari ni dah start kelas tambahan kan? Elok-elok bawa motor balik nanti. Musim hujan petang je sekarang ni,” pesannya sebelum aku pergi.
Aku mengangguk. Belum sempat aku berpusing, sempat Abang Hafiz meletakkan tiga biji gula-gula HACKS di tapak tangan. Terus aku teringatkan kata-kata Wati. Ah, tidak ada maknanya! Abang Hafiz bagi ni pun sebab banyak dekat atas meja dia.
***
“LAMANYA?” Wati menegur aku sebaik sahaja aku tiba.
Joe hanya memandang aku suara.
“Lama ke? Kejap je aku rasa. Tidak sampai lima minit kan?” Aku menarik sedikit hujung baju untuk melihat jam di pergelangan tangan.
“Ada apa Ustaz nak jumpa?” Joe menyoal.
“Dia suruh bagi ni.” Aku menunjukkan handout yang aku bawa tadi. “Mana roti aku?” Aku menyoal Wati. Roti dihulur.
“Itu je? Kenapa dia tak suruh aku je tadi?” Joe menyoal lagi.
Aku malas hendak menjawab. Nanti panjang pula cerita dia. Bungkusan plastik roti aku buka lalu aku roti di tangan aku gigit.
“Jealous ke bro?” Pa’an yang sejak tadi diam tiba-tiba bersuara.
Aku dengan Wati sama-sama pandang Joe. Muka Joe sudah mula memerah.
“Nope!” Dia menidakkan.
Sebaik sahaja loceng berbunyi, kami semua mengangkat punggung mahu masuk ke kelas. Joe dengan Pa’an sudah berjalan dahulu di hadapan, meninggalkan aku dengan Wati. Sampai di kawasan yang tidak ramai orang, Wati tiba-tiba menarik lengan aku, menyuruh aku berhenti.
“Apahal kau?” Terkejut aku apabila kena tarik secara tiba-tiba.
Wati memandang aku semacam. Aku menelan air liur. Ah, kenapa aku terasa tidak sedap hati ni?
“Kau dengan ustaz ada apa-apa ke yang aku tak tahu?”soalan Wati buat aku rasa macam kena cekik.
“Apa-apa tu apa?” Aku menyoal kembali. Sengaja buat tidak faham dengan soalan dia.
“Tak adalah. Aku rasa pelik je dengan Ustaz tu. Sudahlah semasa dekat kelas perhatian dia pada kau lain...”
Erk! Lain? Tidak perasan pula aku.
“Kau ni, banyak fikir yang bukan-bukanlah. Akukan selalu dapat B dalam agama. Bulan depan dah SPM, Itu yang perhatian lebih kot? Dahlah tu, jom naik kelas.” Cepat-cepat aku menghentikan perbualan kami.
“Kau kalau ada apa-apa janganlah sorok beb. Kata kawan...” Wati tidak habis lagi.
Aku buat-buat tersenyum. “Iyalah.. nanti kalau ada apa-apa aku cakaplah. Contohnya, aku kahwin ke... aku jemputlah kau. Jangan risaulah!” Jemput ke kenduri nanti lepas SPM. Oklah tu kan?
“Ingat... jangan rahsiakan apa-apa daripada aku! Kalau tak, aku merajuk dengan kau sampai mati.” Wati mengugut.
Erk! Aku menelan air liur. Ah sudah! Kalau tidak kerana Abang Hafiz yang melebih-lebih, mesti aman damai hidup aku.
5 comments:
salam dik..rasa rasanya bila novel ini akan diterbitkan..ek..tak sabar nak tunggu..la dik
waalaikumsalam.
paling awal pun, awal tahun ni insya Allah.
teruskan menunggu ya, kak!
doakan yang terbaik. :)
x sbar nak tunggu ! hehe
xsabar nk tggu novel ni kt pasaran.. huhu.. sambung la lg cite nie... =)
saya harap novel ni dapat dikeluarkan secepat yang mungkin.. tak sabar nak baca... !! =D
Post a Comment