::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

04 March 2015

E-novel: Bidadari 03



Selamat membaca! ^^
,
Bidadari 03
Aku tersedar apabila waktu sudah masuk enam empat puluh pagi. Berebut aku bangun untuk menunaikan solat fardu Subuh. Inilah padahnya kalau tidur lambat malam tadi. Rancak sangat berbual dengan si Nik dan Imah, sampai dekat pukul tiga baru tidur. Nik dengan Imah sampai sini dalam pukul sebelas malam tadi. Di sebabkan dah lama tak berjumpa, memang semua ceritalah yang terkeluar. Teringat kenangan zaman belajar dulu. Ada sahaja benda nak diceritakan.

Mujurlah bilik pengantin ni memang ada disediakan pili air di penjuru bilik. Mungkin tujuannya untuk memudahkan penghuni bilik ni mengambil wudhu’. Bagus juga idea ni lagi-lagi waktu ramai orang macam ni. Tidaklah berebut dengan orang yang nak menggunakan bilik air. Lagi satu, tak adalah aku kantoi dengan keluarga Atiqah yang aku bangun lambat. Kalau Atiqah ada abang yang masih bujang, memang aku kena tolak untuk dibuat menantu.
“Hah! Baru bangun?” Nik menegur bila dia masuk bilik selepas membersihkan badan. Aku yang tengah melipat telekung terhenti sekejap.
“Kenapa tak kejut aku? Nasib baik tak terbabas Subuh tau.”
“Eh! Tolong sikit. Aku kejut, tau! Lebih tiga kali. Lepas tu si Imah kejut. Yang kau, hmm, ok, ye... tapi tak bangun-bangun juga!” kutuk Nik.
“Kau ni... empat tahun serumah dengan aku, macam tak kenal aku lagi je...” balasku.
Iyalah, aku ni kan tak boleh tidur lepas pukul tiga. Kalau tak, jadi macam tadi lah. Nyaris terbabas. Paling malang kalau terbabas betul. Teringat masa sekolah menengah dulu, Ustaz Zain pernah cakap. Kalau kita tahu kita tak boleh bangun awal untuk menunaikan solat subuh jika kita tidur lewat pada sebelah malam, jadi berdosa kalau kita melewatkan tidur kita. Huhuhu!
Aku meletakkan kembali telekung di rak. Kemudian, aku mendapatkan beg pakaian dan mengambil beg kecil berisi berus gigi dan pencuci muka. Pakaian untuk hari ni memang dah tergantung awal-awal dalam almari Atiqah tak mahu ia renyuk.
“Kenal memang kenal. Tapi sampai bila kau solat bila matahari dah nak naik? Kau nak solat tengah-tengah tanduk setan, ya?” Itu dia... Ustazah Nik Izzati dah bising.
Aku menayangkan senyuman tak bersalah.
“Kau ni Nik... dahlah kita susah nak jumpa. Sempat kau bebelkan aku, ek? Aku selalu bangun awal kalau dekat rumah. Ini je setelah sekian lama baru aku bangun lambat. Imah mana? Ramai orang tak dekat bilik air?” sengaja aku menukar topik. Ada nanti tak habis-habis si Nik membebelkan aku.
“Imah tengah mandi. Tak tahulah ramai ke tak. Tadi macam tak. Kau pergilah tengok.”
Aku mengangguk faham. “Bagus juga ye Atiqah ni duduk kampung. Semua saudara mara rumah dekat-dekat. Tak berhimpit duduk rumah Atiqah.”
Nik tak memberi apa-apa komen. Selepas menyarung tudung, aku melangkah ke pintu. Belum sempat kaki hendak menyapa lantai luar, Nik bersuara.
“Hanis, tadi masa kau tidur handset engkau lebih lima kali berbunyi. Last-last aku angkat juga. Bising!”
Kening aku terangkat. Disebabkan tak fokus dengan kata-kata Nik, aku jadi keliru dengan apa yang dia sampaikan. Orang telefon ke bunyi jam?
“Kau angkat?” soal aku keliru. Maknanya orang telefonlah, kan?
Nik mengangguk. “Hrm. Abang kau. Amboi... siap dia sebut ‘cik adik sayang’. Kau pagi-pagi memang akan dapat wake up call, ke? Siapa abang tu? Tak cerita pun malam tadi?” Kalau tak kerana tak cukup nafas, mesti ada lagi soalan yang Nik hendak bertanya.
“Lah... dah aku tulis ‘Abang’, abang akulah maknanya...” Bikin orang salah faham je Khairul ni. Nik pandang aku tak puas hati apabila aku membiarkan dia tanpa sebarang penjelasan.
***
Tepat jam sembilan, kami beramai-ramai sudah berkumpul di surau yang berdekatan untuk pernikahan Zhafran dengan Atiqah. Imah yang jadi pengapit, sekali tengok dah macam dia yang pengantin. Lip lap-lip lap bajunya boleh tahan!
“Ahmad Zhafran bin Jamaluddin, aku nikahkan kau dengan anak perempuan aku, Nur Atiqah binti Hamdan dengan mas kahwinnya seratus satu ringgit tunai...” panjang ayah Atiqah melafazkan ijab.
Aku pandang muka Zhafran. Zhafran dengan yakin membuka mulut.
“Aku terima err...” aku ternampak dahi Zhafran dah berpeluh.
Aku dah tersenyum. Kalau tak dikawal aku rasa suara aku boleh gegarkan surau ni. Cis! Aku sudahlah tengah rakam video. Habis rosak gambar! Bergegar satu badan aku nak tahan gelak. Ya Allah, aku ni pun sakan menggelakkan orang. Kasihan Zhafran.
Tok kadi mengarahkan supaya ijab kabul di ulang semula. Masing-masing dah menumpukan perhatian. Tapi agaknya disebabkan perasaan gementar masa kali pertama tadi tak hilang lagi, ayah Atiqah pula yang tersalah cakap di hari bersejarah ni.
Kalau selalunya pengantin lelaki je yang menggelabah, hari ni wali dengan pengantin lelakinya sekali menggelabah. Mana tak gelabahnya, kalau mula-mula si Zhafran yang silap, kali kedua ayah Atiqah pula yang tersalah sebut mas kahwin. Kali ketiga, si Zhafran pula terdiam lama sehingga tok kadi terpaksa menyampuk untuk menyedarkan Zhafran yang terleka. Aduhai...
“Aku terima nikahnya...” ujar Zhafran buat kali keempat.
Alhamdulillah...! Akhirnya! Aku rasa satu surau dok pasang senyum. Bagus juga Tok Kadi tadi, bagi pilihan dekat Zhafran untuk cakap ‘aku terima nikahnya’ je. Lafaz ijab qabul ni, yang wajib adalah jawab dalam satu nafas dan nama pengantin perempuannya kena jelas. Kalau wali sudah sebut nama pengantin dengan terang jelas lagi nyata, boleh saja pengantin lelaki sekadar menyebut ‘aku terima nikahnya’. Perkataan ‘-nya’ itu dah merujuk kepada pengantin perempuan. Mahar itu pula sunat sahaja. Kalau dah kes macam  tadi, entah berapa lama lagi ambil masa untuk akad nikah. Kasihan pengantin lelaki.
“Amboi... tadikan, abang nampak Hanis sakan menggelakkan pengantin lelaki ye?” Khairul berbisik di telinga aku.
Aku menoleh ke kiri. Bibir menguntum senyuman. Kenangan tadi kembali bermain difikiran. Akhirnya ketawa aku lepas.
“Okey, Hanis tahu tak baik ketawakan... tapi kelakarlah, bang. Paling tak tahan bila ayah Atiqah yang menggelabah. Tak pernah Hanis jumpa tau wali yang tersilap sebut!” aku membalas perlahan. Tak nak lah pula ada orang lain yang terdengar. Mata memerhatikan Imah, Nik dengan pengantin perempuan berjalan di hadapan.
“Hanis tahu tak, masa itulah masa paling nervous untuk lelaki tau. Kalau masa budak-budak, nervous kena jumpa Tok Mudim. Ni dah besar panjang, kena jumpa pula Tok Kadi.”
Aku ketawa besar. “Banyak betul lelaki ni kena jumpa tok ye? Jangan jumpa tok bomoh sudah!” usikku geli hati.
“Tapikan bang, kalau pengantin yang nervous logiklah. Ini tak sangka wali pun sampai tersalah-salah!” sambungku.
“Eh! Atiqah kan anak perempuan sulung. Logiklah kalau nervous. Dengan perasaan bercampur baur lagi nak lepaskan anak perempuan dekat lelaki lain...” itu sahaja komen Khairul.
Aku mengangkat bahu. Mungkin juga!
“Majlis pukul berapa ye? Laparlah. Tak makan apa lagi ni. Nak keluar cari kedai mamak tadi, kunci kereta dekat Hanis.”
“Lah? Awat tak minta pagi-pagi tadi?”
“Nak minta apanya kalau Hanis bangun lambat. Subuh tak pagi tadi? Ke cuti?”
“Tak cuti pun. Bangun lambat je. Hah, abang telefon pagi tadi sebab nak kunci ke? Takkan Subuh-subuh minta kunci kereta?”
Khairul menggeleng. “Tak adalah. Macam tak biasa pula dapat wake up call daripada abang, daripada mak. Ke ada orang lain yang telefon?” dia cuba menyerkap.
Spontan tangan aku naik ke lengan dia. “Jangan nak mengada-ngada buat cerita!”
“Hanis!” suara Nik memanggil mematikan perbualan aku dengan Khairul. Spontan mata aku mencari Nik.
“Siapa tu?” Khairul bertanya perlahan. Langkah kami masih tidak berhenti.
“Kawan Hanis.” Kami berhenti apabila berdiri betul-betul di hadapan Nik dengan Imah. Atiqah dah masuk ke dalam rumah. “Ada apa?”
“Nak sarapan dulu?” Nik menyoal. Matanya memandang ke arah Khairul sekilas.
Aku mengangguk. “Boleh juga.” Khairul pun dah lapar. Elok juga dapat makan dulu walaupun hanya menikmati kuih-muih sementara nak menunggu majlis nanti.
“Kalau macam tu, jom. Kita duduk sana,” kata Imah.
Telunjuknya mengarahkan ke meja yang masih kosong. Kami berempat bergerak serentak. Tidak lama kemudian, Imah memanggil kawan dia yang datang sekali. Baru aku sedar kewujudan Shamsul dekat sini. Rakan sekerja Imah rupanya.
“Siapa nama dia?” sekali lagi Khairul merisik tentang Nik. Aku dah mula rasa tak selesa.
“Nik? Kau nak kuih apa? Aku tolong ambilkan?” sengaja aku menjawab dengan cara begitu.
Nik menggelengkan kepala. “Tak apalah. Biar aku ambil. Kau ambil air boleh?” pintanya. Tetapi matanya bagaikan ingin aku mengenalkan siapa Khairu. Sengaja aku buat tak faham.
“Eh, tak apalah. Awak duduk. Biar saya ambilkan. Hanis, tolong ambilkan air ye?” Khairul dah bangun mendapatkan meja yang diletakkan kuih di atasnya. Mata aku sempat menangkap tangan Imah yang menyenggol lengan Nik. Shamsul hanya menjadi pemerhati.
“Hanis tak pernah cerita pun pasal Nik?” Khairul cuba mengorek maklumat yang baru. Tangannya ligat meletakkan beberapa keping kuih daripada pelbagai jenis ke dalam pinggan. Aku pandang dia tak puas hati. Takkan nak mengurat kawan aku kut?
“Buat apa Hanis nak cerita?”
“Iya lah... boleh juga abang kenal kawan-kawan Hanis.”
“Tak payah nak menggatal dengan kawan Hanis!” laju aku membidas.
Khairul ketawa besar.
Tak suka! Tak suka! Nak cari awek, jangan nak mengada cari kawan aku. Huh!
***
Majlis bermula apabila tetamu sudah mula datang pada jam sebelas. Di tangan aku dah bersedia kamera milik Khairul. Sesekali gambar orang tengah makan aku tangkap. Khairul duduk lepak di meja tadi dengan video kamera milik aku. Biar dia pula yang jadi videoman hari ni. Sedang aku berteduh dekat bawah pokok, Khairul datang dan berdiri di sebelah aku.
“Hanis...”
Aku menoleh.
“Lapar lagi...”
Aku mengerutkan dahi. “Baru makan tadi kan?” Aku menjeling jam di pergelangan tangan.
“Baru sebelas setengah, takkan dah lapar? Abang nak makan sekarang ke?”
“Hrm! Kita makan dululah sementara orang tak ramai ni. Nanti orang dah ramai susah nak duduk. Takut Hanis pengsan pula.”
Aku mencebikkan bibir. “Dia yang lapar, kita pula yang pengsan.”
Khairul hanya tersengih. Mata aku ligat memerhatikan ke sekeliling khemah.
“Mana Nik dengan Imah?” aku bertanya apabila tak nampak kelibat mereka berdua.
“Dia orang masuk dalam masa Hanis pergi tadi,” beritahu Khairul.
Aku tersengih nakal. “Kesiannya dia... nampaknya, Nik tak berminat dengan abanglah! Lupakan ajelah niat abang tu...”
Khairul menjegilkan mata. Terus ketawa aku meletus. Hish! Tak sanggup aku tengok si Khairul dengan Nik.
Kaki melangkah ke arah meja yang menempatkan makanan yang disediakan secara buffet. Melihatkan makanan yang tersedia, bibir aku tersenyum. Nasi putih dengan beberapa jenis lauk lain yang dimasak secara kampung menjadi menu untuk majlis hari ni. Aku menoleh ke arah Khairul sekilas. Lauk kegemaran dia pun ada! Gulai lemak ikan masin yang dimasak bersama labu. Cukup mengecurkan air liur!
Khairul menghulurkan pinggannya ke arahku. Dia dengan rela hati pergi mengambil air. Aku pergi ke arah meja yang masih kosong. Meja yang kami duduk tadi di kosongkan untuk keluarga sebelah lelaki. Memandangkan kami ni bukan jurugambar rasmi, bolehlah take five waktu-waktu macam ni.
“Ehem!”
Suara lelaki kuat berdehem disebelah membuatkan aku berhenti memerhatikan Khairul yang tengah melangkah ke sini dengan dua gelas di tangan. Aku menoleh ke kanan. Aiman tengah memandang aku dengan seorang perempuan berdiri di sebelah dia. Dada aku berdegup kencang. Spontan aku bangun dan menghulurkan tangan. Tangan perempuan yang aku yakin hampir separuh abad itu aku salam dan aku cium.
“Mak ke?”
Aiman mengangguk.
“Inilah Hanis, ya?” mak Aiman bersuara.
Aku masih lagi tersenyum. Kepala dianggukkan. Leher dah terasa berpeluh. Aduh! Kenapalah sekarang ni aku kena jumpa mak Aiman ni?
“Mak cik berdua je? Nur tak ikut? Pak ciknya mana?”
“Kami bertiga. Nur ada kerja kena siapkan. Jadi tak dapatlah datang. Kami ni tadi pergi kenduri juga. Itu yang Aiman ajak terus ke sini. Pak cik tengah cari tempat letak kereta lagi tadi. Kami turun dulu,” lembut mak Aiman berkata.
Aku hanya mengangguk tanda faham. Lidah dah terkelu nak berkata-kata. Cuak weh kali pertama jumpa mak Aiman! Tapi kalau difikirkan balik, apa pasal aku nak cuak? Nafas aku tarik dalam-dalam. Cepat Hanis! Apa nak berbual ni?
“Oh! Aiman, tak bawa sekali calon bidadari dia?” aku menjeling Aiman. Kata semalam, nak bawa? Ni yang aku nak tuntut janji ni. Tapi kalau memang betul-betul Aiman bawa, menangis tak berlagu aku nanti! Ada sepanjang perjalanan balik Johor nanti mata aku bengkak kerana menangis.
Mak Aiman memandang kami berdua silih berganti. Pelik. “Bidadari?”
Muka Aiman memerah. “Kau ni...” dia menjeling aku. Eh? Marah? Hahaha...!
“Umi jangan layan budak ni, umi. Dia tak betul sikit!”
Berderau darah aku bila Aiman cakap macam tu. Oh tidaaaak! Habislah jatuh saham aku! Habislah... habislah!
Umi Aiman menyenggol lengan Aiman. “Apa cakap macam tu, Man?”
Aku nyaris tergelak bila umi dia menyebelahi aku. Muka Aiman yang tadi dah tenang kembali merah. Aku pula, laju tangan menutup mulut sebelum gelak aku terhambur depan-depan umi Aiman.
“Gelak... gelak!” Aiman mengugut.
Aku tersengih. Khairul dah berdiri di sebelah. Gelas di letakkan di atas meja.
“Hanis?” dia memanggil seperti biasa.
Lengan aku dicuit dan keningnya diangkat, sebagai tanda bertanya. Aku menelan air liur. Janganlah Aiman dengan umi dia salah sangka dengan kemesraan kami. Aiman dengan umi dia dah tengok aku semacam. Aku dah kalut tak tahu nak buat apa. Alahai... kalau si Aiman dengan umi dia salah faham, melepaslah aku nak jadi menantu umi Aiman! Aduh...!

2 comments:

eija said...

laa npe anis tak knlkn khairul 2 kt aiman..ckp jer lah dia abg hanis..

Unknown said...

Yelah...something fishy...