::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

17 March 2015

Mininovel: Kasih Suci 06

ps: Sorry lambat. Moga terhibur. :)

Kasih Suci 06
            Kehidupan kami berjalan seperti biasa. Walaupun sudah sebulan berlalu, aku masih belum melakukan apa-apa persediaan lagi untuk majlis kami. Sesekali, aku dengan Izzat bertukar khabar melalui Facebook kerana hanya itu medium perhubungan yang ada jika dia berada di sekolah. Itu pun, waktunya cukup terhad. Mereka hanya dapat berhubung dengan dunia luar apabila waktu bekerja tamat. Bila nampak ada perkembangan di timeline dia tu, memang bersyukur sangatlah kami tahu dia sihat.

            Aku membuka laman Facebook Izzat. Timeline dia penuh dengan perkongsian tentang agama, cerita tentang hari-harinya di sekolah dan gambar-gambar aktiviti dia bersama anak-anak murid Ibannya. Masing-masing nampak rapat dengan Izzat. Tambahan pula, bukannya baru setahun dia Izzat mengajar di sana.  Aku tersenyum apabila terpandangkan sekeping gambar yang menunjukkan hadiah-hadiah pemberian anak muridnya sempena hari guru. Sebak pula rasanya membaca caption yang Izzat tuliskan.
            ‘Tiada hadiah yang lebih berharga daripada doa dan ingatan yang tulus ikhlas. Moga anak-anak cikgu terus berjaya.’
Aku perhatikan gambar itu dengan berhati-hati. Meja Izzat penuh dengan kad ucapan yang dibuat sendiri dan bunga-bunga yang aku yakin dipetik di sekitar sekolah. Aku tersenyum tawar. Berbeza sungguh dengan anak-anak bandar yang ibu bapanya melayan dengan membelikan pelbagai jenis hiasan dan hadiah buat setiap guru pada hari guru. Benar kata Izzat, tiada hadiah lain yang lebih berharga daripada doa dan ingatan. Kesungguhan mereka hendak membuat kad daripada kertas A4 putih dan hanya ditulis dengan ucapan dan harapan itu cukup berharga.
Aku klik pula pada perkataan next untuk melihat gambar seterusnya. Beberapa gambar Izzat bersama rakan-rakannya menjadi tatapan. Ada gambar di atas speedboat. Ada gambar di jeti Kapit. Mata aku tercantap pada seorang gadis yang duduk di sebelah Izzat sewaktu mereka sedang melepak di sebuah kedai makan. Entah kenapa, hati aku dipalu rasa cemburu. Cepat-cepat aku menahan rasa itu daripada terus merajai hati.
Aku tekan pula ke gambar lain. Gadis itu masih ada bersama Izzat walaupun mereka bergerak di dalam kumpulan. Aku mengetap bibir. Seketika kemudian, aku terpandang beberapa komen yang tertulis di bawah gambar. Perbualan Izzat bersama Nabihah tentang perjalanan mereka ke Kuching. Aku menghela nafas perlahan. Apa sebenarnya hubungan Izzat dengan Nabihah? Entah kenapa, sejak kami berjumpa di LCCT, hati aku cukup tak selesa dengan status ‘kawan’ gadis tu dengan Izzat?
“Hei! Lekanya! Tengok apa tu?” teguran Kak Win membuatkan aku tersentak. Ibu mengandung itu tersenyum apabila melihat aku sedang melihat-lihat Facebook Izzat.
“Dah rehat ke kak? Tak perasan pula jam dah pukul satu...”
“Dah rehat dah. Dah lebih sepuluh minit. Jomlah kita makan,” ajaknya.
Aku mengangguk. Selepas mematikan komputer, aku mengeluarkan beg duit aku daripada beg tangan.
“Jom!” ujarku kepada Kak Win.
Kami terus menuju ke kafe yang terletak selang beberapa buah kedai daripada pejabat kami. Orang ramai sudah mula memenuhi setiap meja yang ada. Mujur Kak Win terperasankan ada satu meja kosong yang terletak di sebalik tiang. Cepat-cepat dia mencuit tangan aku, menyuruh aku duduk terlebih dahulu sebelum meja diambil orang.
Aku berjalan pantas. Baru aku hendak menarik kerusi yang ada, tiba-tiba seorang lelaki sudah duduk terlebih dahulu di hadapan aku. Terpinga-pinga aku memandang lelaki berkaca mata hitam itu. Hendak menyuruh dia beralih, dia yang dapat duduk dahulu. Aduhai... tak pasal-pasal berebut tempat duduk hari nil Selalunya, tak adalah seramai ni orang dekat kafe ni.
Sorry, Kak Win. Saya lambat dua saat!” ujarku bila Kak Win sudah menghampiri. Aku hanya buat tak faham pada lelaki tadi walaupun aku sedar dia memerhatikan aku sejak dia duduk tadi.
“Tak apa, Ila. Kalau penuh juga, kita tapau dan makan dekat pantri...” ujar Kak Win sedikit sebanyak membuatkan aku kurang rasa bersalah.
“Duduk saja di sini, Suhaila. Saya pun seorang saja ni...” lelaki berkaca mata hitam itu tiba-tiba bersuara. Aku dengan Kak Win berpandangan. Dahi aku sudah berkerut memikirkan siapa gerangan lelaki itu. Tatkala aku menoleh ke arah dia, cermin mata hitam tidak lagi menutup kedua belah mata dia. Mata aku membulat.
“Encik Thaqif?!” soalku terkejut. Dia tersenyum.
“Duduklah, Suhaila. Puan, silalah duduk. Penat puan berdiri dengan bawa baby lagi dalam perut tu...” ujar Thaqif dengan rasa hormat.
Aku teragak-agak hendak duduk di sebelah abang ipar Izzat. Melihatkan Kak Win mengangguk bersetuju. Kesian pula hendak membiarkan dia berdiri lama. Aku mengambil tempat di hadapan Thaqif manakala Kak Win duduk di sebelah aku. Sedikit sebanyak aku rasa kekok. Sudahlah tak biasa dengan dia ni. Kali pertama kenal pun dalam keadaan tak berapa baik. Tapi, mengingatkan dia abang ipar Izzat, sampai bila aku hendak melarikan diri? Pasti akan bertem juga bila aku sudah menjadi isteri Izzat nanti.
“Saya tak tahu pula Enci Thaqif bekerja dekat-dekat sini?” soalku sopan selepas pelayan mengambil pesanan kami. Memandangkan kafe ini menyediakan masakan panas, memang kami selalu ke sini kalu tak rasa hendak makan nasi campur.
“Saya baru balik melawat tapak. Pejabat Suhaila dekat mana?” soalnya serius.
Aku menunjukkan pejabat aku yang berada tidak jauh daripada meja kami. “Nombor empat dari sini,” jelasku.
Thaqif mengangguk. Kak Win yang sedikit keliru mendengarkan perbualan kami menyenggol lengan aku. Baru aku teringat hendak memperkenalkan Kak Win kepada Thaqif. Tapi janggal pula rasanya sebab aku pun bukannya kenal benar dengan Thaqif ni.
“Kak Win, Encik Thaqif ni abang ipar Izzat...” jelasku ringkas.
Rahang Kak Win jatuh. “Lah... iya ke?” soalnya terkejut.
Thaqif mengangguk dan tersenyum. “Puan kenal Izzat ke?”
Kak Win mengangguk. “Mana tak kenalnya. Suami saya kawan baik dia.”
“Oh...”
“Kamilah yang kenalkan Suhaila dengan Izzat!”
Kening Thaqif terangkat sebelah. “Oh...” ujarnya lagi.
“Tak sangka sekali kenal, jumpa beberapa kali terus menjadi diorang ni. Itulah namanya kalau dah jodoh, iya tak?” Kak Win tersengih suka. Suka benar dia bila aku beritahu aku dengan Izzat sudah mengikat janji.
“Betullah tu...” ujar Thaqif pendek.
Kak Win menyambung perbualan tentang bermacam perkara. Thaqif pula hanya mengangguk dan sesekali mengiyakan apa yang dikatakan oleh Kak Win. Bila jadi orang ramah ni, memang mana pergi buat kawan. Tapi tak tahulah Thaqif ni macam mana pula sikapnya. Tapi melihatkan air mukanya nampak tenang sewaktu Kak Win bercerita, maksudnya dia oklah agaknya.
Aku menyisip jus oren yang baru diletakkan oleh pelayan ke atas meja kami. Sesekali aku menyampuk perbualan Kak Win dengan Thaqif. Dan bila aku menyampuk, pasti mata Thaqif yang beralih daripada wajah aku. Membuatkan aku gelabah dan merasakan seolah-olah sudah melakukan kesalahan pula. Aku menarik nafas dalam-dalam. Cuba untuk menenangkan diri. Mujurlah pesanan kami tiba tidak lama kemudian. Keramahan Kak Win terhenti apabila kami sudah menghadap makanan. Selepas membaca basmalah, kami sama-sama menikmati makan tengahari kami.
“Bila nak datang rumah mak? Boleh main dengan Irfan...” ujar Thaqif sebaik saja kami selesai menjamu selera.
Kening aku terangkat sebelah. Pelik benar bunyi pelawaan Thaqif itu tadi.
“Encik Thaqif duduk di situ juga ke?” soalku ingin tahu. Walaupun rumah Mak Cik Jas tidaklah jauh mana, aku tak pernah lagi menjejakkan kaki ke sana. Rasa macam tak selesa.
“Saya duduk di rumah sendiri. Irfan memang dijaga oleh mak. Datanglah rumah mak. Mak pun mesti suka dapat kenal bakal menantu dia lebih dekat...” ujar Thaqif.
Aku hanya mampu tersengih tanpa memberikan apa-apa komen terhadap kata-kata Thaqif. Tapi mengenangkan dia pun tak tinggal di rumah Mak Cik Jas, boleh juga aku pergi melawat bakal mak mertua aku nanti.
“Insya Allah... tengoklah macam mana nanti...” ujarku sopan.
Thaqif mengangguk. Kemudian dia meminta diri untuk pulang ke pejabatnya. Sebaik saja kereta Thaqif berlalu pergi, Kak Win riuh bertanyakan itu ini. Tadi hendak mengorek rahsia, tak boleh sebab tuan badannya ada dekat depan mata.
“Kalau dia tu abang ipar Izzat, maknanya dia kahwin dengan kakak Izzatlah, ya?” soal Kak Win sewaktu kami berjalan ke pejabat.
“Iya, Kak Win. Tapi kakak Izzat dah meninggal. Yang dia sebut Irfan tu, anak lelaki dia. Baru setahun lebih. Manja budaknya. Mak Izzat yang jaga...” ceritaku pendek.
Kak Win mengangguk perlahan. “Itulah.. akak pelik masa dia tanya Ila bila nak ke rumah mak, main dengan Irfan...” Kak Win tergelak kecil. “Lambat benar akak nak pick up. Aduhai...”
Aku tersenyum. Dalam fikiran sudah merangka-rangka hendak ke rumah Mak Cik Jas hujung minggu ni. Boleh juga aku menggomol budak kecil tu nanti. Nak harapkan anak sendiri, belum pasti lagi aku mampu ke tidak untuk menjadi seorang umi. Mudah-mudahan, murahlah rezeki sudah berkahwin nanti. Aku menghela nafas perlahan.
***
Pagi Sabtu, aku sudah tiba di hadapan rumah Mak Cik Jas. Selepas mengunci kereta, aku berjalan ke arah pintu pagar besi yang masih tertutup. Kemudian, aku tekankan suis loceng yang terdapat di situ.
“Sekejap...!” jerit suara lelaki dari dalam rumah. Pak Cik Yunus agaknya...
Tidak lama kemudian, seorang lelaki keluar daripada pintu rumah dan menuju ke luar. Kening aku bertaut.
“Encik Thaqif?” soalku pelik. Kalau tak silap, dia cakap dia tak duduk dekat sini...
“Selamat pagi, Suhaila...” ujarnya lalu membukakan pintu pagar untuk aku. Aku terasa kekok. Kemudian, kami sama-sama melangkah ke rumah. Hati aku masih tertanya-tanya tentang kehadiran dia di sini.
“Apa Encik Thaqif buat di sini? Kalau tak silap... encik cakap encik tak tinggal di sini, kan?” soalku bila tidak mampu mengawal rasa ingin tahu.
“Memang saya tak duduk di sini. Tapi, setiap kali hujung minggu, saya akan tidur di sini, melayan Irfan...”
Aku mengangguk perlahan tanda faham. Alahai... tak selesanya kalau dia turut ada bersama. Aku cepat-cepat membuang rasa itu bila mengingatkan Irfan yang manja tu anak dia. Sebaik saja kami tiba di pintu rumah, Thaqif memberi laluan kepada aku terlebih dahulu. Aku terasa malu sendiri.
“Assalamualaikum, mak cik... pak cik...” ujarku bila melangkah masuk ke dalam rumah. Pak Cik Yunus yang sedang bersiap-siap untuk keluar aku pandang dengan penuh tanda tanya. Nak kata ke bandar, gaya macam nak berkebun...
“Hah! Sampai dah Ila. Jas... ini bakal menantu awak dah sampai ni...” jerit Pak Cik Yunus memanggil Mak Cik Jas.
Aku hanya senyum. “Pak cik nak ke mana?”
“Nak melayan pokok-pokok tepi rumah ni. Nak potong rumput sikit. Masuklah Ila. Mak cik kamu ada dekat bilik tu, baru lepas mandikan Irfan...” ujar Pak Cik Yunus lalu berlalu keluar.
Aku berdiri tegak di ruang tamu. Tak tahu hendak ke mana. Hendak mencari Mak Cik Jas, rasa tak elok pula sebab ini kali pertama aku datang ke sini. Terperasankan aku sedikit kekok, Thaqif pula selamba duduk di atas sofa di belakang aku.
“Duduklah dulu... Suhaila,” pelawanya.
Akhirnya aku mengambil tempat di atas sofa single yang ada. Sambil duduk, aku memerhatikan keadaan rumah keluarga Izzat ini.
“Awak dah sarapan?” soal Thaqif tiba-tiba.
Aku memandangnya lalu mengangguk perlahan. “Sarapan di rumah sewa tadi.”
“Seorang?”
Aku ketawa kecil. “Iyalah... nak berdua, kenalah kahwin dengan Izzat dulu...”
Thaqif tersenyum.
“Encik Thaqif tidur di sini ke setiap hujung minggu?”
Thaqif mengangguk. “Kalau ikutkan saya, nak juga bawa Irfan tinggal sekali. Tapi mengenangkan kerja pun tak menentu, biarlah mak yang jaga. Nenek dia juga...”
“Oh...” aku mengangguk faham. Mak kandung dia sendiri tak kisah pula, ya? Atuk dengan nenek ni ada masanya berebut cucu.
“Saya sebenarnya...” kata-kata Thaqif yang terhenti membuatkan aku memandang dia dengan penuh pertanyaan.
“Sebenarnya, apa?” soalku bila dia diam dan sedikit serba salah.
“Sebenarnya, saya nak minta maaf sebab tuduh awak melulu masa kita jumpa dulu...” ujarnya akhirnya.
Aku tersenyum nipis. Dia masih terkenangkan perkara tu rupanya.
“Perkara dah lama, Encik Thaqif. Isu tu pun dah selesai. Anggap kita ni kosong-kosong sajalah, ye?” Thaqif mengangguk.
“Tapi rasa bersalah tu tetap selagi saya tak minta maaf...”
“Ye.. saya faham. Saya pun bersalah juga sebab leka masa memandu...”
“Oh... itu satu hal. Yang lagi satu masa saya tuduh awak nak langgar Irfan sedangkan awak yang selamatkan dia...”
“Oh...” aku mengangguk faham. “Tak ada apalah Encik Thaqif. Perkara kecil je...” kataku ikhlas.
Sebaik saja aku habis berkata-kata, terdengar suara kecil Irfan ketawa tatkala terpandangkan aku dan Thaqif. Senyuman aku melebar. Aku menghulurkan tangan ke arah Irfan, hendak menguji siapa yang menjadi pilihan dia. Aku atau ayahnya sendiri. Tergamam aku bila Irfan terus berjalan mendapatkan aku dengan senyuman di bibir.
“Irfan... Irfan buat apa tadi...?” soalku dengan suara lembut.
            Irfan hanya ketawa. Jari-jarinya yang halus menunjukkan ke arah bilik seolah-olah cuba memberitahu apa yang dia buat tadi.
            “Irfan mandi ye, tadi? Wanginya dia...” kataku lalu mencium kedua belah pipi Irfan. Irfan ketawa suka. Tangannya memegang kedua belah pipi aku dan kemudian, dia melentokkan dahinya ke hidung aku. Aku ketawa kecil. Comel!
            “Amboi... dapat Acik Ila, terus lupakan ayah...” perlahan suara Thaqif kedengaran
Aku ketawa kecil. Kemudian aku pusingkan Irfan agar dia dapan memandang wajah ayahnya yang sedang cemburu.
“Alah... ayah cemburu pula. Irfan nak ayah?” soalku.
Irfan menggeleng. “Nanak!”
Mendengarkan jawapan Irfan, aku ketawa besar. Wajah Thaqif sedikit berubah. Mesti dia geram mendengarkan jawapan anaknya itu.
“Nak bu...” ujar Irfan lalu menyandarkan tubuhnya kepada aku. Dahi aku berkerut.
“Bu?” soalku kepada Thaqif. Tak faham apa yang Irfan cuba katakan.
Thaqif teragak-agak hendak membuka mulut. Melihatkan aku masih menunggu jawapan dia, Thaqif mengalihkan pandangannya ke tempat lain.
“Nak ibu...” jelas Thaqif perlahan.
Aku tergamam.

 

1 comment:

ana said...

thanks sis update.. trubat rindu.
but, i feel something wrong somewhere.. haha,