Bab-bab seterusnya, kalau tak silap saya sama je cuma berubah dari segi bahasa dan ejaan. (^^,)
Minta doakan semoga semuanya berjalan lancar. Aminn. (^^,) v
Suami Aku Ustaz?! 13
AKU melihat jam di tangan. Jarum panjang menunjukkan sepuluh minit lagi untuk ke pukul dua. Kelas tambahan mula pukul dua tepat. Perut sudah selamat diisi dengan mee sup di kantin sekolah. Mee sup yang tidak berapa rasa sup. Tekak aku dapat rasa air masak yang dicampur ajinomoto je. Tak apalah, cukup untuk mengalas perut sampai habis kelas petang pukul lima nanti. Telekung aku lipat kemas selepas digunakan. Kemudian, dengan perlahan aku melangkah untuk meletakkannya di almari yang tersedia.
“Jom?” Aku mencuit bahu Wati setia menunggu aku sejak tadi. Sempat budak ni tidur sementara menunggu aku solat. Beg di sebelah Wati aku capai. Langkah diatur keluar surau. Elok selepas memakai kasut, mata terpandangkan langit yang sudah mula gelap. Gaya macam hendak hujan lebat je petang ni.
“Hai.. mengantuknya!” ujar aku sambil menguap.
Tangan menyeluk kocek baju kurung sekolah. Sebiji gula-gula aku keluarkan lalu aku masukkan ke dalam mulut.
“Aku...” kata-kata Wati terhenti.
Aku memandang Wati yang tiba-tiba bersuara. “Apa?” aku menyoal.
“Aku pelik kenapa kau suka makan gula-gula sekarang,” sambung Wati.
Dahi aku sudah berkerut. “Kenapa?”
Bibir Wati membentuk senyuman.
“HACKS je pula tu yang kau makan. Sebelum ni engkau lah yang paling jarang makan gula-gula ni walaupun mengantuk macam apa,” komen dia.
Aku hanya tersengih mendengarkan kata-kata Wati. Dalam hati, mak oi! Mengalahkan orang berlari seratus meter sewaktu mendengar Wati bercakap macam tu.
“Sebab sekarangkan busy. Lagipun dah kebetulan ada dalam kocek ni, takkan nak buang pula kan?” aku menjawab. Memang tidak akan sesekali aku beritahu, gula-gula ni Ustaz Hafiz tu yang bagi.
“Iyalah tu.”
Aku hanya mendiamkan diri. Kalau menjawab nanti, jadi panjang cerita pula. Ada semua rahsia terkeluar.
“Kebetulan aku teringat. Lisa, jangan lupa eh, hujung minggu ni.”
“Ada apa eh?” Dia belum cakap lagi apa benda pun, aku sudah terlupa.
Wati menayangkan muka bagaikan mahu menelan aku. “Kenduri akak akulah! Isk kau ni...” rungutnya.
Aku tergelak. Aduh! Lupa pula ada kenduri aqiqah anak saudara Wati. “Oh! Ok... ok.. Tapi aku tak janji lagi dapat datang ke tak.”
Kalau ustaz dekat rumah tu tidak bagi keluar, takkanlah aku hendak keluar jugakan? Ada jadi kes lain pula dekat sekolah nanti. Cukuplah sekali tu aku kena. Pengajaran seumur hidup tu! Teknik pengajaran dan pembelajaran paling berkesan!
“Lah, kenapa pula kau ada hal ke?” Wati menyoal.
“Tak adalah. Sebab kalau tiba-tiba ada aral melintang ke... mana kita tahukan? Buat masa sekarang, aku on je.”
Aku dan Wati terhenti daripada melangkah apabila Pa’an menghalang laluan kami. Dengan tangan di pinggang, dia bersuara. “Lambat!” Pa’an mengajuk suara nyaring Cikgu Linda kalau ada pelajar yang lambat masuk ke dalam kelas.
Aku dengan Wati sudah tergelak-gelak. Sengal gila budak Pa’an ni. Tidak sampai tiga puluh saat, muka Pa’an tiba-tiba berubah. Laju dia berjalan masuk ke dalam kelas tanpa menoleh ke arah kami. Aku dengan Wati berbalas pandangan. Apabila aku menoleh ke belakang, aku terpandangkan Cikgu Linda yang elok berdiri di belakang kami. Erk! Mata aku membulat. Laju aku menarik lengan baju Wati untuk masuk ke dalam kelas. Habislah kau Pa’an! Baru sahaja hendak berlakon, merasa menjadi Cikgu Linda. Aku rasa hendak gelak guling-guling dekat sini.
***
BUKU-BUKU latihan Biologi milik pelajar seramai tiga puluh dua orang aku angkat ke bilik guru. Separuh sahaja yang aku angkat kerana lagi separuh Joe tiba-tiba nak tunjukkan aku lagak gentleman dia. Aku tolong angkat ini pun sebab Cikgu Linda yang minta tolong tadi. Agaknya disebabkan aku duduk di hadapan, maka muka aku sahajalah yang dia nampak.
Hujan sudah mula renyai. Dari pukul dua tadi langit gelap, baru sekarang ni hendak hujan. Aku mengeluh. Terpaksa laju pula aku bawa motor petang ni. Kalau tidak, adalah yang terperangkap dalam hujan lebat. Joe berjalan perlahan di sebelah. Sengaja mahu teman aku katanya. Memang setiap hari kami balik bersama. Cuma, apabila tiba di simpang yang aku kena belok dan Joe kena terus, baru kita orang berpisah.
“Lisa, kau pernah bercinta tak?” Soalan daripada Joe buat kening aku terangkat sebelah.
“Apahal tanya soalan luar silibus ni?” Aku meletakkan buku latihan di atas meja di tengah-tengah bilik guru. Kemudian, kaki dihayun keluar bilik.
“Thank you Alisa,” kata Cikgu Linda sewaktu kami berselisih. Aku hanya mengangguk.
“Jawab ajelah soalan tu. Kau pernah bercinta ke tak?” Joe bertanya sekali lagi semasa kami berjalan ke garaj meletak motor.
“Cinta sebelum kahwin ke lepas kahwin?”
Joe ketawa dengar soalan aku. “Kenapa? Kau dah kahwin ke?”
Erk! Aku buat-buat terbatuk. ‘Dah kahwin Joe... dah kahwin dah...’ di dalam hati aku menjawab.
“Serius lah weh. Kau pernah bercinta tak?” Joe tidak habis lagi dengan soalan dia.
Aku geleng kepala sahaja melihat Joe. “Tak. Aku tak berminat pula dengan benda-benda ni. Apahal kau sibuk sangat ni? Dah jatuh cinta pula ke?”
“Oh... Kenapa eh tak minat?” soal Joe lagi.
Aku buat muka. Soalan aku tanya, dia masih tidak jawab, aku pula yang soal lagi.
“Entah. Sebab aku rasa tak perlu kot semua tu. Nanti bercinta dengan orang lain, kahwin dengan orang lain, Buang masa aku je. Lagipun sekarang ni kan masa untuk belajar? Malaslah aku nak fikir benda-benda tu,” akhirnya aku jawab juga soalan dia. Lagipun Joe ni jenis orang yang selagi soalan dia tidak berjawab, selagi itulah dia akan bertanya berulang kali.
“Oh...” tu je jawapan yang keluar daripada mulut Joe. Punyalah penat aku membebel panjang-panjang. Ceh!
“Oklah, aku gerak dulu. Lambatlah kau ni,” kataku apabila melihat Joe masih belum menghidupkan enjin motor dia.
Hujan sudah mula lebat. Sah-sah aku kena berjalan dalam hujan ni. Sudahlah aku memang jenis tak membawa baju hujan mana pergi. Sampai di lampu isyarat, hujan sudah mencurah-curah ke bumi. Boleh rasa badan menggigil di atas motor. Terdengar Joe panggil dekat sebelah, aku menoleh.
“Berhenti dululah dekat bus stop. Hujan lebat sangat ni.” Dia menjerit.
Aku menggeleng. Hujan macam ni, entah bila pula akan berhenti. Kalau duduk dekat bus stop nanti entah berapa lama pula kena tunggu. Kena pula berdua dengan Joe. Isk! Cari masalah je nanti. Lagipun, sekadar hujan lebat dan tak ada kilat petir. Aku terus pecut ke rumah. Pecut pun tidak adalah pecut mana. Kalau silap pecut, mahu tergolek jatuh aku dekat atas jalan yang dah basah ni. Nasib baiklah separuh perjalanan, hujan mula teduh.
Sebaik sahaja sampai di rumah, badan aku sudah basah kuyup. Hidung pun aku dapat rasa dah merah sebab asyik terbersin dari tadi. Aku berdiri di hadapan pintu rumah, dengan tangan terkial-kial hendak membuka helmet. Elok aku nak memberi salam, Abang Hafiz sudah membuka pintu terlebih dahulu. Terkejut dia melihat aku dalam keadaan basah kuyup.
“Kenapa balik dalam hujan ni? Apasal tak call abang?” laju dia menyoal.
“Nak membebel lepas ni ye? Lisa dah sejuk macam apa dah ni.” Laju aku menjawab sebelum dia membebel panjang-panjang.
Abang Hafiz memandang aku tidak berkelip. “Orang sikit punya risaukan dia, boleh dia jawab macam tu. Lain kali cuba belajar jawab elok sikit.”
“Yelah. Sorry.”
Baru aku hendak menarik nafas, aku terbersin buat kesekian kalinya. Kaki cepat-cepat melangkah masuk ke dalam rumah. Tempat pertama yang aku tuju semestinya bilik aku. Selepas mengambil baju dengan tuala, aku terus melangkah masuk ke dalam bilik air. Selesai membersihkan badan, aku duduk di meja makan. Bau sup dari arah dapur... fuh! Kena betul dengan aku yang tengah kesejukan ni.
“Beli?” aku bertanya.
Abang Hafiz menggeleng. Fahamlah, itu maknanya dia masak sendiri. Baru aku hirup kuah satu sudu Abang Hafiz membuka mulut bertanya.
“Mashita?”
Aku pandang ke arah Abang Hafiz dengan muka tidak percaya. Mak aih! Ustaz pun dah cakap bahasa Korea! Aku tergelak.
“Hrm... Mashita!” pujiku.
Abang Hafiz tersenyum sambil kepala yang sengaja di gelengkan perlahan. “Lisa...” dia memanggil.
“Ye?”
“Next time bawa baju hujan.”
Angguk.
“Pakai jacket naik motor tu. Tak pun sweater.”
Kali ini aku tidak terus mengangguk. Laju aku menoleh ke arah Abang Hafiz.
“Kenapa?”
“Hujan, baju putih, basah. Lisa nampak...” Dia berhenti sekejap. “Seksi?”
Erk?! Aku tersedak kuah sup. Mujur supnya tidak pedas mana. Tangan laju mencapai air yang dihulurkan Abang Hafiz. Dengan sekali teguk, gelas kosong diletakkan di atas meja.
“Apalah abang ni!”
Aku mengesat mulut dengan tisu. Muka yang terasa kebas, aku tahan. Isk! Memang lelaki nampak dan fikir macam tu ke? Menakutkan!
“I’m telling you the truth.”
“Iyalah.” Baik berhenti topik ni.
“By the way Lisa, abang kena pergi kursus.”
“Bila?”
“Tiga hari. Rabu, Khamis dengan Jumaat minggu depan.”
“Oh!” Aku tidak tahu nak berkata apa lagi. Tiba-tiba teringat mak dengan ayah dah nak balik. Terasa baru semalam aku menghantar mereka berlepas. Sedar tidak sedar, sudah sebulan lebih juga aku duduk serumah dengan Abang Hafiz. Mujurlah tidak ada apa-apa perkara yang berlaku. Harapnya semuanya selamat sampai aku habis sekolah.
“Sabtu pula, mak dengan ayah sampaikan?”
Dia mengangguk. “Sempat kita pergi ambil lepas abang balik. Lagipun dekat Senai je.” Kemudian Abang Hafiz memandang aku. “Tiga hari nanti, Lisa duduk rumah umi ok?”
Aku diam berfikir apabila mendengarkan arahan keluar daripada mulut Abang Hafiz.
“Malaslah. Jauh. Tak apalah, sekejap je kan kursusnya? Susah sangat Lisa ajak je Afrina tidur sini, kalau nak berteman.”
Rumah umi lagi menjauhkan jarak aku ke sekolah pula nanti. Aku tak naklah pukul enam setengah pagi sudah kena bergerak pergi ke sekolah.
“Oklah kalau macam tu. Afrina tak apa. Lain-lain jangan.”
“Lain-lain?” Kening aku bertaut. “Johan dengan Farhan?” tanya aku dalam ketawa. Buat apa aku nak mengajak mamat berdua tu. Tidak mendatangkan faedah langsung!
Abang Hafiz tidak membalas. Muka aku diperhatikan. Terasa malu sendiri, aku memalingkan wajah ke tempat lain. Kemudian dia memanggil aku sekali lagi. “Lisa?”
Aku mengangkat kening tanda menyahut.
“Tak sedih ke kena tinggal?”
Terpinga-pinga sekejap aku mendengar soalan dia. “Kena sedih ke? Bukannya abang tak balik-balik langsung kan?”
Abang Hafiz menguntum senyum. “Kalau abang tak balik sedihlah?”
“Nanti Lisa fikir nak sedih ke tak.”
Kalut betul aku menjawab. Isk! Apalah dia ni cakap macam tu. Err... tapikan Alisa, kalau dia tidak balik langsung macam mana? Aku tergeleng-geleng. Ya Allah... minta simpang!
No comments:
Post a Comment