::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

09 February 2012

[EDITED] Suami Aku Ustaz?! 20

Ada sikit je perubahannya pada bahagian permulaan sebab nak kasi terang lagi jelas dan nyata [kot]...
Bab-bab seterusnya, kalau tak silap saya sama je cuma berubah dari segi bahasa dan ejaan. (^^,)
Minta doakan semoga semuanya berjalan lancar. Aminn. (^^,)v


Suami Aku Ustaz?! 20
SEBAIK sahaja masuk ke dalam kereta, Abang Hafiz hanya menghidupkan enjin kereta tanpa menunjukkan tanda untuk bergerak balik ke rumah. Aku yang duduk di sebelah dia hanya mematungkan diri. Dia ni, tengah tunggu pegawai Jabatan Agama Islam datang ke apa? Tapi Alisa, bukan sekarang dekat tengah-tengah alam ke? Bukannya kau berdua dengan ustaz ni dekat hutan lipur! Iyalah, walaupun sekarang dekat tempat awam, tapi buat apa hendak duduk dekat sini lama-lama? Baik balik rumah. Boleh juga aku isi perut dengan makanan apa yang ada dekat rumah tu.
“Cuba tengok.”
Aku tersentak. Hilang terus suara-suara yang berbunyi di dalam kepala aku tadi.
“Apa?”
“Agak-agak dia orang tengah buat apa?”
Aku memandang ke arah tempat yang Abang Hafiz tunjuk.
“Yoga?” jawabku tak berperasaan.
“Hrm... Lisa rasa apa tujuan dia orang buat tu?”
Aku leka melihat seorang perempuan tengah beryoga sambil otak ligat memikirkan jawapan untuk Abang Hafiz. Bukan ke dia tengah duduk bersila tu? Hendak tahu kenapa juga ke?
“Sebab dah penat berdiri,” selamba aku menjawab.
Aku dapat rasa Abang Hafiz sedang melihat aku semacam tanpa perlu aku memandang dia sekarang ni.
“Lisa ni... Abang tanya lain, dia jawab lain,” Abang Hafiz merungut.
Iyalah, salah dia juga apa sebab bagi soalan tidak jelas. Kalau SPM keluar soalan macam tu, boleh dipertikaikan tau! Heh, suka-suka hati aku je.
“Kenapa dia buat yoga, ye?” Aku tersenyum nipis. “Sebab nak tenangkan fikiran. Nak bertenang sebab hari ni hujung minggu jadi dia orang ada masa untuk duduk situ lama-lama untuk tenangkan fikiran?” Panjang pula aku menjawab.
Abang Hafiz tersenyum senang. “Bukan sebab dia orang nak tenangkan diri daripada masalah?”
“Hee... apaperlah, ustaz!” Aku sudah malas hendak melayan. Bukannya ada dalam silibus pun.
Abang Hafiz hanya menggeleng melihat tingkahku. Dia mesti sudah faham yang aku malas mahu melayan dia apabila aku mula memanggil dia dengan gelaran ustaz. Gear dimasukkan dan akhirnya kereta mula bergerak perlahan-lahan.
“Lisa pernah terbaca yang statistik muslimin dekat Malaysia tak solat?”
Aku diam. Dia ni macam tidak tahu pula yang aku ‘terlebih’ rajin membaca surat khabar. Kalau online internet pun, aku buka benda yang lagha.
“Paling terbaru abang baca, satu per enam muslimin dekat Malaysia tak solat.”
“Jadi? Apa kena mengena dengan yoga?”
“Tak adalah. Kadang-kadang kita ni, sibuk nak beryoga, bermeditasilah itulah, inilah. Tapi sebenarnya, kita sendiri dah ada cara meditasi kita. Kan?”
Aku hanya mengangguk. Solatlah tu. Perlahan aku dalam agama pun, tidak adalah lembab sangat berfikir pasal tu.
“Kadang, kita terlupa apa yang Allah dah syariatkan tu sangat sempurna. Tak perlu nak duduk bermeditasi lama-lama. Kalau kita solat, sempurna solat kita, khusyuk dah cukup tenang dah fikiran. Iyalah, masa solat tu kan masa kita kosongkan fikiran kita. Hanya perlu ingatkan Allah. Solat macam Allah ada dekat depan kita. In the same time, boleh juga minta tolong Allah permudahkan urusan kita, minta tolong bagi petunjuk nak selesaikan masalah kita...”
Aku menadah telinga, mendengar Abang Hafiz memberi tazkirah pagi tanpa menyampuk. Hai... nampak gayanya, kalau jodoh aku dengan dia ni panjanglah, mesti setiap hari aku kena tadah telinga dengar tazkirah dia.
“Lisa?”
Aku tersentak. Kereta tengah berhenti dekat traffic light. Alamak! Habislah kena tangkap mengelamun masa dia tengah bagi tazkirah. Spontan aku tersengih, menutup kesalahan.
“Orang cakap dia boleh berangan pula,” lembut Abang Hafiz menegur.
Aku buat muka tidak bersalah. “Lisa dengarlah.”
“Kalau dengar, apa yang abang cakap?”
Aku tersenyum menayangkan gigi. “Pasal meditasi dengan solat. Macam mana solat tu sendiri boleh menangkan fikiran, dekatkan diri kepada Allah dan secara tak langsung, meminta Allah permudahkan urusan kita.” Aku meringkaskan apa yang dia cakap tadi. Wah, hebat juga aku ni walaupun aku dengar acuh tak acuh je tadi.
“Hrm...” Hanya itu yang keluar daripada mulut Abang Hafiz. Mesti dia ingat aku malas nak ambil tahu semua benda ni walaupun itu hakikatnya.
“Lisa, kita sarapan dulu?” Abang Hafiz bertanya apabila kereta sudah berhenti di bahu jalan. Kereta sudah berhenti baru tanya. Lebih baik dia tanya semasa kaki sudah melangkah masuk kedai makan tu. Wait. Kedai makan? Berdua? Tempat awam? Aku mengetap gigi.
“Abang!” Aku memanggil dia dengan dahi yang sengaja dikerutkan
Abang Hafiz menoleh. “Kenapa?”
Tangan kanan aku bawa ke perut, berlakon seolah-olah menahan sakit. “Sebenarnya Lisa sakit perut ni. Nak pergi bilik air.” Aku berkias. “Abang bungkuskan ajelah ya? Kita makan dekat rumah. Order yang simple je. Cepat sikit siap” Sambung aku lagi. Bibir menguntum senyuman agar tidak ketara sangat aku menipu.
“Hai... boleh pula dia sakit perut. Iyalah... iyalah. Lisa nak apa?”
Anything yang cepat siap.”
Abang Hafiz mengangguk tanda faham. “Kunci pintu.” Sempat dia mengingatkan sebelum sebelum bergerak pergi.
Aku duduk di dalam kereta dengan senang hati. Hendak tahu kenapa? Mestilah sebab tidak ada ustaz dekat sebelah! Kalau dia ada, aku rasa semua benda yang aku buat macam tersekat. Contohnya... hah! Jari aku menekan suis radio. Memilih siaran radio yang aku suka.
IKIM? Mestilah tidak. Alisa, malaikat dekat kiri kanan tu, dah terlupa ke? Argh! Kenapa tiba-tiba aku macam terdengar suara ustaz aku dekat sebelah ni? Dua puluh minit menunggu, akhirnya Abang Hafiz sampai dengan bungkusan plastik dan surat khabar di tangan. Aku yang tengah menyanyi lagu kumpulan Spider terus terdiam. Laju tangan menutup radio. Isk! Kacau daunlah dia ni.
“Nah.”
Bungkusan plastik dengan surat khabar tadi bertukar tangan. Aku meletakkan bungkusan makanan di tempat duduk belakang. Surat khabar aku ambil dan buka. Terbacakan tajuk utama sahaja, aku sudah rasa gerun. Menakutkan! Lagi-lagi apabila melihat gambar yang terpampang besar di situ. Ngeri! Bukan berita tentang pengeboman, dan juga bukan berita tentang kemalangan ngeri. Tetapi sekarang ni, cerita bayi yang baru lahir, dan dibakar menjadi berita utama. Dunia sekarang sudah gila agaknya.
“Apa pendapat Lisa?”
Aku terpinga-pinga sekejap. “Pendapat?”
“Pasal tu.”
Aku faham sendiri yang Abang Hafiz meminta aku memberi komen mengenai gambar tu.
“Hrm... dunia sekarang dah gila.” Itu sahaja yang terluah.
“Kenapa gila?”
“Sebab buat benda-benda macam ni. Bunuh orang sesuka hati. Kan?”
Abang Hafiz tersenyum sumbing. “Macam mana kalau abang cakap ni antara kesan-kesan meninggalkan solat?”
Dahi aku sudah berkerut. “Apa kena mengena?”
“Solat itukan mencegah maksiat, Lisa. Bila solat dah tak dapat mencegah maksiat, itulah jadinya. Itupun kalau dia orang solat. Kalau tak, apatah lagi. Boleh lupa yang kita ni ada CCTV dekat atas nun.” Abang Hafiz mengehelakan nafas perlahan.
CCTV. Baru je tadi aku bercakap pasal malaikat kiri kanan. Ni ustaz lagi advance, guna CCTV terus. Iyalah, Allah itu kan Maha Melihat.
“Manusia sekarang ramai ada masalah hati, Lisa. Dan ubat dia sebenarnya adalah, mendekatkan diri kita kepada Allah. Banyakkan baca Al-Quran, banyakkan solat malam, pergi majlis ilmu. Banyak lagi yang lain. Tapi, kalau dah solat lima waktu pun, hancur. Macam mana?”
Aku setia mendengar Abang Hafiz bersuara.
“Hidup kita ni Lisa, sebenarnya dah ada guide. Macam kalau kita beli washing machine, ada manual dia. Kalau kita tak ikut, rosaklah mesin tu. Macam tu juga hidup kita. Tak ikut guide yang Allah dah turunkan, jadi macam-macamlah dekat dunia ni.”
Aku tersenyum. Suka dengan analogi yang diberikan Abang Hafiz.
“Kenapa senyum?”
Eh? Dia perasan? “Tak. Suka dengan analogi abang bagi tadi,” balasku.
“Hrm... kalau suka, apa guide hidup kita? Dia menguji.
“Quran dengan Sunnah. I know that.”
Abang Hafiz tersenyum. “Lisa pernah dengar ayat ni? Kalau kita nak tengok masa depan negara kita, kita tengok generasi muda sekarang.”
Aku mengangguk. Dia pernah cakap masa dekat kelas.
“Kalau macam ni generasi muda sekarang, cuba Lisa bayangkan masa depan negara kita? Ok, tak payah cakap negaralah. Bercakap pasal agama. Apa jadi dengan Islam?”
Aku diam. Tidak tahu hendak menambah apa.
“Zaman sekarang, Lisa... dah banyak kembali ke zaman sebelum Islam datang. Zaman masa bila orang sibuk membunuh anak.”
Aku mengangguk, bersetuju. Jahiliah itu tidak mengetahui atau bahasa mudahnya bodoh. Walaupun zaman sekarang orang berlumba-lumba menimba ilmu, tapi perangainya lebih teruk dari zaman dahulu. Agaknya sebab itulah dinamakan jahiliah moden. Aku cuba memahamkan apa yang Abang Hafiz cuba sampaikan.
“Sebab tu agaknya orang cakap lagi senang duduk dan hidup dekat luar negara. Senang nak didik anak-anak katanya.” Barulah aku bersuara. Kesian juga dekat ustaz ni bercakap seorang diri sejak tadi.
Abang Hafiz tersenyum nipis. “Ye, mungkin mudah untuk kita. Sebab nanti bila anak-anak tanya, kenapa dia boleh kita tak boleh sedangkan sama-sama muslim, kan? Itu yang Lisa cuba sampaikan?”
Aku mengiyakan.
“Tapi, Lisa. Kalau semua berfikiran macam tu. Semua nak lari daripada tanggungjawab dekat sini, siapa pula yang nak naikkan Islam dekat sini kalau bukan kita? Abang tak nak, nanti dekat sana kena soal kenapa lari daripada tanggungjawab. Kalau kita sedar benda ni, kita pun kena sedar tanggungjawab kita. Bukannya lepaskan je macam tu dan biarkan dia orang leka buat maksiat.”
Aku mati kutu. Terkebil-kebil duduk di sebelah Abang Hafiz. Payah bila ustaz sudah bercerita pasal masalah umat ni. Nasib baik Abang Hafiz tidak terus menyambung perbincangan dia. Dia ni dah salah oranglah. Aku hendak diajak berfikir pasal semua ni. Kalau sekadar baca, ambil iktibar dan benci dengan hati tu, dah hebat dah.
***
BAU harum nasi lemak dengan sup kambing berjaya membuatkan perut aku yang lapar bertambah lapar. Elok masuk rumah, aku terus meletakkan tudung di kepala sofa. Selepas itu, terus aku masuk dapur ambil apa yang patut untuk bersarapan pagi ni. Sia-sia je pergi jogging lepas tu makan nasi lemak. Hahaha. Tapi tidak apalah. Sekurang-kurangnya, nasi lemak kurang sikit kalori dia kalau hendak dibandingkan dengan roti canai.
“Eh? Tadi Lisa kata sakit perut? Pergilah masuk bilik air dulu. Sempat juga abang masak air.” Abang Hafiz pandang aku pelik semasa aku tengah menuang sup ke dalam mangkuk.
Aku menahan diri daripada tergelak. Habis aku kalau dia tahu aku tipu dia tadi.
“Tiba-tiba dah hilang rasa sakit perut. Tak apalah, kita makan dulu ye? Lagipun Lisa dah lapar ni.” Aku menuang air soya yang aku ambil daripada peti ais. Manalah sempat hendak sediakan air panas sekarang?
“Ke Lisa tipu abang tadi?”
Rasa hendak luruh jantung aku apabila dengar dia cakap macam tu. Dia memang boleh kesan ke kalau aku tipu dia? Tadi masa jogging dia sindir aku juga.
“Tak adalah. Jomlah makan? Laparlah.” Laju aku mengelak.
Abang Hafiz duduk di sebelah. Pinggan kosong dengan gelas berisi air soya aku dekatkan ke arah dia. Wah? Kali pertama aku layan dia masa makan.
“Lisa...”
Aku mengangkat muka.
“Tak ada apa. Saja nak panggil.”
Rasa hendak tersembam muka aku ke dalam pinggan ni. Ustaz ni sihat ke tidak? Aku menyambung suapan. Sup kambing yang menyelerakan aku cedok kuah dia. Hrm... sedapnya!
“Lisa.” Sekali lagi dia panggil.
Lagi sedikit aku hendak menarik muka. Kalau tidak disebabkan sekarang ni di hadapan rezeki dan sebab hendak menjaga hati dia, memang aku dah buat!
“Abang, daripada duk berzikir nama Lisa, lagi baik abang berzikir macam dekat padang tadi.” Aku menyindir.
Tergelak besar Abang Hafiz selepas aku bercakap. Isk! Tak faham aku.
“Bila masa abang duk berzikirkan nama Lisa? Abang panggillah.”
Aku mencebik. “Iyalah. Ada apa?”
Abang Hafiz masih tidak menghilangkan lagi senyuman dia. Dia ni, terlebih makan gula apa?
“Nak cakap, cakaplah sekarang. Kalau tak, Lisa nak sambung makan.” Bukan ke tengah makan tidak elok berbual?
“Hai, Lisa... Lisa.”
“Iya, ustaz?” aku menjawab dengan nada yang sengaja dibuat-buat lembut.
“Lisa memang nak duduk kat rumah ni ke masa abang tak ada nanti?” Suasana tiba-tiba menjadi serius sewaktu dia bertanya.
“Iyalah, kenapa?”
“Abang risau. Duduk seorang, takut apa-apa jadi. Lisa balik rumah umi ya? Sekurang-kurangnya, ada orang teman.” Dia memandang terus ke mata aku, menyuruh aku bersetuju.
Aku menggeleng. “Tak ada apalah. Insya Allah Lisa ok punya. Don’t worrylah, hubby.”
Erk! Aku menutup mulut. Terkeluar pula perkataan tu daripada mulut ni. Walaupun lebih kepada melawak, kalau ada masak lemak cili padi sekarang ni, memang aku sudah cili mulut aku ni sekarang. Abang Hafiz tersenyum. Sukalah tu. Mesti dia fikir, ‘oh Lisa ingat lagi aku ni suami dia.’ Ceh!

No comments: