Bab-bab seterusnya, kalau tak silap saya sama je cuma berubah dari segi bahasa dan ejaan. (^^,)
Minta doakan semoga semuanya berjalan lancar. Aminn. (^^,)v
Suami Aku Ustaz?! 16
AKU melangkah masuk ke dalam kelas lebih awal daripada hari-hari biasa. Sampai awal pun kerana bergerak sekali dengan Abang Hafiz. Dia yang berkeras mahu menghantar dan mengambil aku dari sekolah hari ini. Nasib baik sewaktu sampai tadi, tidak ada sesiapa yang perasan aku naik kereta dengan Ustaz Hafiz. Itu pun aku yang beriya-iya memujuk dia untuk turunkan jauh sedikit dari perkarangan sekolah. Hrm... kalau aku naik motor, tidak adanya aku kena jalan kaki yang lagi jauh daripada hari ni, tahu?
Baru memanjat anak tangga yang kelima, aku ternampak Joe sedang menunggang motor masuk ke dalam sekolah. Terasa jantung aku seperti hendak melompat keluar. Malam tadi, bosan diganggu dengan aku agaknya, Joe terus matikan telefon dia. Aku perasan pun sebab panggilan yang aku buat masuk voicemail. Kalau nak dikatakan bateri habis, macam tidak logik pula sebab Joe yang selalu bising kalau aku malas hendak caskan bateri.
Aku melemparkan pandangan ke arah kelas yang masih gelap. Pelik. Pelik kalau aku yang menjadi orang pertama menjejakkan kaki ke kelas. Sambil menaiki tangga, aku memandang keluar. Joe sedang berjalan menuju ke arah tangga. Laju aku berkejar naik untuk mengelakkan diri daripada berselisih dengan Joe. Aduh! Kaki sudahlah masih terasa lagi sengalnya. Ini pun, nasib baik aku pakai bandage.
Masuk sahaja ke dalam kelas, aku terus menuju ke tempat duduk aku. Sebaik sahaja duduk di atas kerusi, aku menarik nafas dalam-dalam. Aduh...! Macam mana aku hendak berhadapan dengan Joe ni? Apa ayat aku nak cakap pada dia? Perlu ke aku minta maaf dan ceritakan je semuanya? Okay, maaf itu perkara paling utama. Tapi cerita? Aku mengeluh. Sedang aku leka memikirkan pasal Joe, Joe sudah melangkah masuk ke dalam kelas. Aku menelan air liur. Ah! Macam mana ni?
“Joe!” Laju aku memanggil Joe apabila terpandangkan dia sudah bersedia untuk melangkah keluar. Joe mengangkat muka. Sebaik sahaja dia terpandangkan aku, riak wajahnya nyata berubah.
Aku berdiri. “Joe!!” Buat kali kedua aku memanggil dia.
Joe seolah-olah tidak mendengar panggilan aku. Aku menggigit bibir. Terasa seperti mahu menangis apabila kawan baik sendiri buat aku macam ni.
“Johan!”
Akhirnya Joe menoleh. Daripada raut wajah dia, jelas kelihatan dia sedang menahan marahnya kepada aku.
“Apa dia?!” Melengking suara Joe.
“Pasal semalam...” aku cuba untuk mengumpul kekuatan. Semuanya perlu dijelaskan pagi ini juga.
“Joe, aku nak minta maaf. Sebenarnya, aku...”
“Sudahlah!” Joe memintas. Cara dia memandang aku pun, nampak seperti terpaksa. “Agaknya, kalau aku tak ada semalam, mesti sampai sekarang aku tak tahu kan, Lisa?” keras dia bersuara.
Aku menggigit bibir. Air mata yang sudah bergenang terasa seperti hendak luruh ke pipi. “Joe, takkan sebab benda ni kau terus buat aku macam ni?”
“Buat kau macam mana?” sinis dia menyoal.
Aku terdiam.
“Alisa, lepas apa semua yang berlaku semalam, lepas aku dapat tahu perkara yang besar macam ni, kau nak aku layan kau macam tak ada apa-apa yang berlaku?!” Joe meraup muka dia dengan tapak tangan.
“Aku minta maaf, Lisa. Perkara yang aku tahu ni buatkan aku tak boleh layan kau macam selalu.”
Aku memejamkan mata rapat-rapat. Pipi yang sudah basah dengan air mata, aku kesat dengan belakang tapak tanga. Ini baru Joe. Baru Joe seorang... belum lagi Wati, belum lagi Pa’an. Baru Joe seorang pun, penerimaan dia sudah macam ni.
“Takkan sebab benda kecil ni kau terus nak sisihkan aku? At least, bagilah aku peluang untuk explain.”
Joe tersenyum sinis. “Peluang? Explain?” Dia ketawa perlahan.
Lama aku memandang Joe tanpa sepatah kata.
“Kau dah lama sia-siakan peluang tu, Lisa. Let me guess, aku rasa aku orang pertama yang tahu kan?”
Aku terus mendiamkan diri tanpa memberikan apa-apa jawapan.
“Hah! Baguslah, tu! Kau mengaku dekat semua orang, kita orang kawan baik kau. Bestfriend forever kononnya. Tapi benda besar macam ni, seorang pun tak tahu. Ini yang kau cakap bestfriend, Lisa? Pergi matilah dengan BFF kau tu!”
Joe... kasarnya! Aku sudah mula teresak perlahan.
“Joe...” suara aku sudah mula serak.
Joe memusingkan badan dia, berdiri membelakangi aku. “Sudahlah Lisa. Aku frust sangat dengan apa yang kau buat. Pada aku kalau kau sendiri yang cerita awal-awal, aku masih boleh terima. Tapi dengan apa yang dah berlaku semalam, aku kecewa gila dengan kau.” Dia sudah berjalan perlahan-lahan untuk keluar.
“Kau ingat aku suka sangat ke?” perlahan aku bersuara.
Joe terhenti melangkah. Kemudian dia menoleh ke arah aku.
“Kau ingat aku suka sangat ke bila kena paksa macam ni? Kalau tak kerana mak dengan ayah aku, tak ada maknanya aku nak sia-siakan hidup aku tau! Kau pernah tahu apa yang aku rasa? Kau pernah terfikir apa yang jadi pada aku kalau satu sekolah tahu? Dengan SPM entah lagi berapa minggu. Apa pandangan dia orang bila dengar cerita ni? Semua benda ni mengarut, kau tahu tak? Kau tak pernah berada dekat tempat aku, Joe. Jadi tak adil kalau kau nak judge aku macam ni je. Kau ingat aku nak sangat ke hidup dengan dia? Kau ingat aku suka sangat ke dekat dia? Aku langsung tak terfikir semua benda ni tahu?” Laju aku menuturkan kata.
Aku lihat bibir Joe bergerak-gerak seperti mahu bersuara. Baru dia hendak membuka mulut, matanya menjeling ke arah seseorang di luar.
Aku berdehem beberapa kali. Ada orang datang pula ke masa-masa macam ni? Tanpa sepatah kata, Joe meninggalkan aku di dalam kelas berseorangan. Selepas mengesat mata, aku memberanikan untuk menoleh keluar. Mencari-cari siapakah gerangan yang sudah mendengar semuanya. Mata aku membulat apabila terpandangkan Abang Hafiz sedang berdiri di pintu belakang kelas. Terasa badan mahu melayang. Aduh! Satu masalah tidak selesai, sudah timbul masalah lain.
“Err...” aku menggigit bibir. Mesti Abang Hafiz nampak muka aku baru lepas menangis. Abang Hafiz mengambil satu langkah ke hadapan dan meletakkan sesuatu ke atas meja yang paling hampir dengan dia.
“You left this in the car,” dia berkata tanpa memandang aku. Kemudian, Abang Hafiz terus melangkah pergi tanpa bertanyakan apa-apa.
Aku mengigit bibir. Objek hitam itu aku perhatikan. Entah bila masa pula purse ni tercicir? Dan kenapalah mesti pagi ni benda tercicir? Ah! Aku cuba untuk mencari bayang Abang Hafiz. Dia sudah menghilang. Dia dengar ke semuanya? Kalau dia tidak dengar apa-apa, dia tidak akan jadi pelik macam tadi. Aku terduduk. Otak ligat berfikir, mengingatkan kembali apa yang aku sudah cakapkan kepada Joe tadi. Ya Allah! Mata aku pejamkan serapat yang boleh. Alisa... apa kau dah buat ni?
***
“KAU dengan Joe gaduh ke?” Wati bertanya apabila pelik melihat aku dengan Joe saling tidak bertegur.
Aku mendiamkan diri. Kalau aku mengaku, memang sah-sah Wati akan korek sampai dia dapat tahu apa yang membuatkan aku dengan Joe tidak bertegur sapa. Ok, bukannya aku yang tidak menegur Joe. Cuma, Joe yang buat seperti aku tidak wujud langsung.
“Tak adalah.” Akhirnya itu sahaja jawapan yang aku dapat berikan. Bukan hanya dengan Joe je macam ni. Dengan ustaz seorang tu belum tahu lagi. Aduh! Aku mengurut dahi apabila terasa pening. Malang bertimpa-timpa betul hari ni. Kalaulah tadi aku tidak ikutkan sangat perasaan aku.
“Iya ke?”
Aku mengangguk.
“Suka hati kaulah, Lisa. Kalau aku tanya banyak kali pun belum tentu kau nak cerita dekat aku.”
Bagaikan merajuk sahaja Wati bersuara.
“Wati...”
Wati menoleh. Aku teragak-agak mahu bercerita. Perlu atau tidak? Cerita atau diamkan sahaja?
“Ada apa?” Wati bertanya apabila aku tidak bersuara.
Aku menggeleng. Belum lagi... belum masanya. “Tak ada apalah!”
Tajam mata Wati memandang aku. Aku yang merasa serba tak kena, meneruskan kerja aku sebentar tadi.
“Aku tahu kau ada sorok benda daripada aku.”
Terus aku terbatuk sewaktu Wati meluahkan apa yang dia rasa. Setelah berdehem dua-tiga kali, aku bersuara.
“Err... Wati? Kalaulah memang ada something yang aku tak cerita pada kau, dan kau dapat tahu lambat, apa yang kau buat?”
Wati memusingkan badannya. Kali ini, aku dan dia sudah duduk berhadapan. Tangan kanan dia memegang tangan kiri aku.
“Sebelum aku dapat tahu lambat, baik kau cerita.” Dia mengarah.
Aku menarik nafas dalam-dalam.
“Aku cakap kalau. Bukannya aku ada rahsiakan apa-apa pun,” kataku cuba untuk mencari ruang untuk menyelamatkan diri.
Wati mengeluh. “Suka hati engkaulah, Lisa. Kalau kau nak rahsiakan sampai bila-bila pun, rahsiakanlah. Tapi kalau kau rasa aku ni kawan baik kau, kau ceritalah. Aku tak nak paksa.”
Aku terasa seperti kena penampar buat kali kedua daripada Wati. Kawan baik? Disebabkan perkataan ‘kawan baik’ itulah aku dengan Joe jadi macam ni. Aku menggosok-gosok leher yang terasa sedikit lenguh. Bila aku berahsia, bukan aku tidak anggap kau orang semua kawan baik aku. Cuma aku sendiri yang belum bersedia hendak berkongsi benda ni dengan kawan baik aku.
***
SEHARIAN di sekolah, tidak seceria seperti hari-hari sebelum ni. Joe dengan sikap dingin dia, Wati yang tidak berapa banyak berbual dan Pa’an pula mengambil langkah untuk tidak mahu mengambil tahu. Entah kenapa, aku dapat merasakan yang Wati macam sudah tahu semua benda. Takkanlah Joe dah cerita semuanya? Pelik juga kalau Joe yang bercerita sebab dia tu bukan jenis yang suka bawa mulut.
Aku duduk di perhentian bas seorang diri sementara menunggu Abang Hafiz datang menjemput. Jam dipergelangan aku jeling sekilas. Enam petang. Pelajar tingkatan lima kebanyakannya sudah pulang ke rumah masing-masing. Lambat pula lah dia ni. Aku dah naik penat duduk dekat sini, tidak buat apa-apa. Kalau dia datang awal pun, masalah juga hendak menyorok daripada pelajar lain. Tidak lama kemudian, kereta Abang Hafiz berhenti betul-betul di hadapan aku. Erk! Tiba-tiba terasa takut untuk masuk ke dalam kereta apabila teringatkan insiden pagi tadi. Fuh! Harap-haraplah hati Abang Hafiz dah ok.
Aku bangun daripada duduk. Buku teks di sebelah aku capai. Sebelum masuk ke dalam kereta, aku menjeling sekali lalu ke arah tempat yang aku duduk tadi. Takut-takut ada barang tertinggal.
“Assalamualaikum...” Aku memberi salam kepada Abang Hafiz.
Dia hanya mendiamkan diri. ‘Dia jawab dalam hati tu,’ aku cuba memujuk diri sendiri. Suasana di dalam kereta hanya sunyi sepi. Aku sudah naik pening memikirkan idea untuk ajak berbual.
“Abang.” Aku memanggil.
Abang Hafiz tidak memberikan apa-apa reaksi.
“Abang?”
Akhirnya dia menyahut.
“Err...” Aduh! Sekarang aku pula yang terkial-kial. “Esok Lisa nak pergi rumah Afrina ye? Ada kenduri. Boleh?”
“Hrm... pergilah.”
Aku mengerutkan dahi. Itu je jawapan dia? Kalau sebelum ni, mesti ada sahaja perkara yang dia akan tambah. Aduh! Mak! Menantu mak merajuk betul ni. Macam mana Lisa nak handle ni mak?
No comments:
Post a Comment