Bab-bab seterusnya, kalau tak silap saya sama je cuma berubah dari segi bahasa dan ejaan. (^^,)
Minta doakan semoga semuanya berjalan lancar. Aminn. (^^,)v
Suami Aku Ustaz?! 22
“USTAZ, saya pernah terdengar perkataan baitul muslim. Boleh ustaz explain tak apa maksud dia?” Nisa tiba-tiba bersuara.
“Oh! Nisa dah tak sabar nak kahwin!”Budak lelaki giat mengusik. Nisa sudah tersipu-sipu. Segan agaknya.
“Kelas, tak ada salahnya kalau kamu fikir pasal perkara ni. Masa sekarang ni pun, kamu dah prepare diri kamu dan berdoa untuk dapat jodoh yang baik-baik. Cuma, belajar tu jangan pula kamu abaikan. Pelajaran tu tanggungjawab utama kamu sekarang ni.”
Abang Hafiz kembali memandang Nisa. “Apa yang awak tahu pasal baitul muslim, Nisa?”
“Perkahwinan cara Islam? Cara-cara untuk pilih pasangan dengan betul?”
“Lagi?”
“Err...” Nisa tergagap sekejap.
“Kalau dia tahu, tak adalah dia nak suruh ustaz explain,” spontan aku bersuara.
“Lisa!” Wati sudah menyiku aku, menegur tindakan aku tadi.
Erk! Satu kelas memandang aku. Manalah aku pernah menjawab macam ni dekat kelas. Selalunya aku lebih suka mendiamkan diri. Aku mengurut dahi tengan tangan kanan, menutup sedikit muka aku daripada pandangan orang. Aduh! Rasa hendak menyorok balik pintu. Kenapalah mulut ni laju sangat nak menjawab?
“Alisa?” suara itu memanggil. Suara Abang Hafiz.
Wati menyenggol tangan aku apabila aku tidak menjawab. Akhirnya aku mengangkat muka dan memandang Abang Hafiz di hadapan.
“Sorry,ustaz!” kataku perlahan. Memang sengaja cari pasal betul aku hari ni. Nasib baiklah Abang Hafiz buat tidak kisah. Kalau dia kenakan aku lagi, aku rasa aku skip je kelas dia lain kali.
“Sebenarnya, soalan Nisa tu dah keluar topik belajar kita hari ni.” Abang Hafiz melihat jam di pergelangan tangan dia.
“Kita pun ada sikit masa lagi sebelum kelas habis. Jadi, sempat rasanya kalau saya nak berkongsi sedikit.” Dia menyambung.
Masing-masing dalam kelas memberikan perhatian.
“Bila bercakap tentang baitul muslim sebenarnya tak semestinya tentang perkahwinan, percintaan atau apa pun yang kamu semua fikirkan. Baitul itu maknanya rumah dan muslim itu pula mereka yang mengucap dua kalimah syahadah ataupun orang Islam. Jadi, baitul muslim pun boleh dimaksudkan dengan keluarga Islam.” Abang Hafiz memulakan mukadimah dia.
“Pembentukan keluarga Islam itu bermula daripada individu itu sendiri. Sebab itu saya katakan tadi, bermula daripada sekarang kamu dah boleh prepare untuk mendirikan baitul muslim. Didik diri sendiri untuk menjadi yang soleh dan solehah, barulah mencari yang solehah dan soleh untuk menjadi pasangan kita.”
Terangguk-angguk aku mendengar. Betul, betul, betul!
“Daripada individu yang hebat, pasangan yang hebat, barulah boleh melahirkan generasi yang hebat juga. Baitul muslim bukan hanya untuk pembinaan keluarga, tetapi ia juga untuk membina ummah.”
Abang Hafiz melukis sesuatu di atas whiteboard.
“Bermula daripada pembentukan individu muslim, akan lahir baitul muslim iaitu rumah tangga muslim. Kemudian naik ke step seterusnya sehinggalah kepada penyebaran Islam ke seluruh dunia.”
Aku membaca satu per satu tangga yang dilukis Abang Hafiz. Ada tujuh semuanya.
“Jadi perkahwinan ataupun baitul muslim ni bukanlah perkara kecil sebab ia melibatkan pembinaan ummah. Ia perkara besar yang sepatutnya kamu boleh berfikir mulai sekarang. Untuk agama kita.” Abang Hafiz kembali memandang ke seisi kelas. Aku rasa semua sudah tayang muka kelam kecuali budak-budak yang berlatarkan keluarga yang baik-baik macam Hanif, Irfan dengan Zulaikha.
“Err... Macam tak faham je apa yang saya cakap? Saya pun rasa topik ni berat sikit untuk kamu semua,” ujarnya dalam ketawa. Kemudian dia memadam kembali apa yang dia tulis.
“Apa-apa pun, memandangkan kamu semua belum berkahwin, jadi tak semestinya hanya selepas kahwin baru boleh membina baitul muslim. Jangan lupa yang kamu masih ada keluarga dekat rumah. Keluarga kamu itulah kamu kena terapkan ajaran dan nilai-nilai Islam. Sebabnya, kita hendaklah menyelamatkan diri kita dan ahli keluarga kita daripada api neraka.”
Sebelum Abang Hafiz menamatkan penjelasan dia, lancar dia membacakan sepotong ayat Al-Quran sebelum menamatkan kelas. Makna ayat tu secara ringkasnya adalah tentang menyelamatkan keluarga daripada api neraka. Kalau tidak silap aku dia sebut tadi Surah At-Tahrim ayat enam. Hrm... balik nanti, kalau aku ingat bolehlah aku cari balik tafsir Al-Quran.
***
“KENAPA senyum seorang-seorang ni?”
Tersentak aku apabila kena tegur dengan Abang Hafiz. Dia ni, sengaja mahu bagi aku sakit jantung ke muda-muda ni. Melihatkan aku menayangkan muka tidak puas hati, hidung aku ditarik. Aku pun apa lagi, menjeritlah.
“Apa datang dekat orang main tarik-tarik hidung ni?” marahku.
Abang Hafiz buat lagak selamba. “Dah dekat pukul satu dah ni. Kenapa tak tidur lagi ni?” aku nampak dia mengerling ke arah skrin laptop aku. Bila masa entah dia tersedar aku tidak ada.
“Sekejap. Nanti Lisa masuk bilik tidur.”
Tadi ingatkan dia sudah nyenyak tidur. Aku pun keluarlah selepas tiga puluh minit berbaring di atas katil. Rasa tidak tenang dibuatnya apabila tinggal episod terakhir Full House untuk aku tonton.
“Orang tidur awal. Lepas tu boleh bangun awal, qiam.” Abang Hafiz sudah menegur.
“Hrm... abang nak bangun qiam eh? Pergilah tidur dulu. Nanti tak sedar pula!”
Baik punya jawapan aku bagi. Iyalah, dia yang hendak bangun qiam aku pula yang kena tidur awal sekali.
“No. Abang nak Lisa pun bangun sekali nanti,” tenang dia memberi arahan.
“Abang, kalau Lisa bangun sebab kena paksa nanti niat dah lain. Bukan bangun sebab Allah, tapi sebab abang paksa bangun,” ujarku memberi alasan.
“Tak apa. Sebab masa mula-mula belajar solat pun sebab kena paksa, kan? Lepas tu baru sedar solat perlu diniatkan kerana Allah. So, if sekarang Lisa rasa kena paksa pun tak apalah. Tapi Lisa kenalah ingat, penat je Lisa bangun awal-awal, solat malam tapi sia-sia sebab abang paksa. Jadi ikhlaskan hati, solat malam kerana Allah.”
Terus datang rasa mengantuk apabila dia mula bersyarah.
“Ok... ok! Just give me ten minutes. Then, I’ll go to sleep.”
“Abang tunggu.” Abang Hafiz duduk di sebelah.
Aku menghela nafas perlahan. Nampak gayanya terpaksalah aku sambung tengok esok lagi sepuluh minit terakhir ni. Aku nampak Abang Hafiz tersenyum menang semasa aku tekan pangkah dekat VLC media player. Sukalah tu. Hai dia ini kan... cepat-cepatlah pergi kursus esok! Dia kata esok awal malam mahu bergerak. Lega sikit aku kalau dia tidak ada dekat rumah. Barulah rasa macam rumah ni mak ayah aku yang punya!
***
AKU tersedar apabila terasa badan kena gerak macam tengah gempa bumi. Langsung tidak berhenti. Dalam terpaksa, aku buka juga kelopak mata walaupun terasa kelat. Cahaya lampu yang terang membuatkan aku rasa hendak pejamkan kembali kelopak mata ni. Tapi apakan daya, ustaz dekat sebelah sudah lebih sepuluh kali kejutkan aku tanpa rasa putus asa.
“Bangunlah,” lembut dia memanggil.
“Mengantuklah...” Sebenarnya, rasa malas yang lebih ni.
“Lisa, sehari kita sibuk dengan urusan dunia, Lisa. Takkan setakat dua rakaat tahajud, dua rakaat taubat, dua rakaat hajat, dan tiga rakaat witir untuk Allah pun nak berkira?”
Kening aku sudah bertaut. Lagi dia cakap macam tu, lagilah aku rasa mahu tidur. Apa tidaknya, cuba kalau tambah satu per satu bilangan rakaat minimum yang dia hendak aku buat. Banyak tu! Aku cuba memujuk hati aku. Iyalah... sehari dengan dunia, takkan langsung tidak ada masa untuk Pencipta kita. Tidak apalah Alisa, esok kau free! Ceh, gaya macam kena cerai je esok.
“Lisa ambil wudhu’ sekejap,” aku menurut.
Abang Hafiz tersenyum. “Good girl. Pergi cuci muka dengan gosok gigi sekali. Penuh air liur basi dah tu,” dia mengusik.
Aku pandang dia geram. Laju tangan mengesat pipi dan kemudian aku lapkan dekat baju dia. “Nah!” Selepas itu, laju aku berlari masuk ke bilik air. Segar terus mata dibuatnya.
“Lisa!” dia sudah menjerit terkejut.
Aku tergelak. Hah! Nak sangat! Walhal tidak ada pun air liur basinya. Aku tidurkan bertertib. Sengaja je bikin kecoh.
Abang Hafiz menjadi imam solat sunat di tengah-tengah pagi ni. Satu perkara yang aku respect dekat dia ni adalah alunan bacaan Al-Quran dia yang sedap. Kadang-kadang, terasa segan juga apabila berdiri sebelah dia. Dia itu sudahlah baik yang amat. Aku ni, perangai macam ‘Syaitonnir rajim’ itu banyak yang amat. Macam langit dengan bumi.
Teringat kata Wati selepas syarahan baitul muslim semasa kelas. Boleh dia cakap, kahwin dengan orang yang kaya iman ni, insya Allah selamat hidup aku dunia akhirat. Ceh. Cuma, yang aku risaukan satu je, takut elok-elok ustaz ni dapat peluang masuk syurga, aku yang tarik dia masuk neraka. Nauzubillahi min zalik!
“Lekakan apa?” Abang Hafiz menyoal apabila aku masih menadah tangan berdoa sedangkan dia sudah meng’amin’kan doanya. Cepat-cepat aku meng’amin’kan doa yang entah bila masa habis untuk menutup malu. Isk!
“Dah habis kan? Nak tidur kejap eh? Mengantuklah.” Laju aku bangun sambil tangan membuka telekung.
“Mengantuk? Abang tengok muka segar je?”
Segar? Hrm... Masa ambil wudhuk tadi segarlah sekejap. Macam manalah agaknya orang boleh tahan untuk qiam selalu? Nampak sangat aku ni tidak kuat iman. Campur pula sifat pemalas tu. Dicucuk pula dengan nafsu yang kawan baiknya, syaitan. Makinlah malas aku hendak buat. Tapi tang benda lain rajin pula ye, Alisa?
***
“I’M leaving....”
“Ok.”
“Tak nak hantar abang ke?”
Aku berdiri tegak. Peti ais yang aku buka tadi aku tutup kembali. Abang Hafiz sedang berdiri di tengah-tengah pintu masuk ke dapur.
“Coming.” Aku bersuara.
“Sikitnya barang?” Aku tengok dia hanya membawa satu beg baju dengan satu beg sandang belakang.
“Tiga hari je Lisa. Bukannya tiga tahun. Kalau tiga tahun, Lisa pun abang bawa.”
Aku menahan bibir daripada tersenyum. Kalau dia nak bawa, aku kena ikut ke?
“Ok.” Aku sudah tidak tahu untuk menjawab apa. “Abang pergi dengan siapa lagi?”
“Cikgu Liana.”
“Hah?!” Mulut aku sudah terlopong. Biar benar?
Spontan Abang Hafiz ketawa apabila melihat aku. Kureng! Boleh dia kenakan aku lagi. Muka aku sudah bertukar panas. Cis! Mesti dia ingat aku cemburu. Bukan cemburu ye Encik Muhammad Nur Hafiz! Saya terkejut je tahu?
“Sorry sorry. Abang gurau je.”
“Hrm... Iyalah.” Aku buat muka. Malas aku hendak bertanyakan apa-apa. Nanti aku yang kena lagi. Panas di muka beransur kurang.
“Oklah. Abang gerak dulu.” Dia berkata apabila enjin kereta sudah dihidupkan dan beg diletakkan di dalam kereta.
“Ok.”
“Ok je? Salam?”
Aku menghulur tangan dekat dia. Selama ni kalau pergi ke sekolah, tidak pernah pula dia kisah salam ke tidak. Elok selepas bersalam, Abang Hafiz menarik aku rapat dengan dia. Dahiku dicium dan aku terasa badan aku dipeluk erat. Sekali lagi darah menyerbu ke muka. Aku menggaru kepala yang tidak berapa nak gatal. Nak menutup malu sebenarnya.
“Kalau boleh, Lisa baliklah rumah umi. Abang risau...” ujarnya sebaik sahaja pelukan dilepaskan. Abang Hafiz tidak menghabiskan ayat dia.
“Apa-apa abang call. Take care. Jaga diri. Jaga iman,” akhirnya dia menukar topik lain.
Aku senyum sambil mendengar pesanan dia. Tiba-tiba hati terasa sayu. Semalam beriya-iya hendak dia pergi cepat. Isk. Kacau!
“Janganlah sedih. Insya Allah, tiga hari lagi kita jumpa. Hrm?”
Aku membulatkan mata. “Bila masa pula Lisa sedih?!” aku membantah. Nampak sangat kalut apabila tembakan dia mengena.
Abang Hafiz ketawa.
“Iyalah... iyalah. Tak sedih. Ok, abang gerak dulu. Assalamualaikum.” Dia melangkah masuk ke dalam kereta. Sekali lagi perasaan sayu muncul. Ah! Perasaan je tu. Bukannya apa.
1 comment:
maratib amal! :)
Post a Comment